Kita lihat
apa kata Kamus Dewan dahulu tentang
“bebelan”. Menurut kamus ini, “membebel’
bermakna “mengeluarkan kata-kata secara yang tidak tersusun atau yang sukar
difahami, mengomel; (2) berleter. Ini pula menurut Kamus Besar Bahasa Indonesia: (sorry,
tidak ada catatan tentangnya; yang ada beber
(bahasa Jawa) … Tak perlu disalin di sini. “Bebelan seorang tokoh intelektual
terkemuka” adalah satu ungkapan yang tidak bermakna apa-apa. Seorang tokoh
intelektual tentulah tidak akan “membebel”. Bagaimana pula dengan seorang ahli
akademik, seorang sarjana sastera misalnya?
Inilah yang melucukan, kerana sarjana sastera Malaysia sangat bijak
membebelkan kecetekan akademik mereka,
yang “cetek meraba-raba” dari segi ilmu dan kefahamannya tentang teori sastera
Barat yang menjadi pegangan mereka. Saya
sudah beberapa kali mencabar mereka mempertahankan teori sastera Barat yang
keseluruhannya bersifat, atau lebih jitu, berserabut dengan kontradiksi. Jika
ini benar, bagaimana sarjana sastera boleh menerima teori yang demikian
wataknya? Jika ini tidak benar, bagaimana pula para sarjana sastera tidak
berupaya mempertahankan teori Barat bila saya tegaskan tak satu pun teori Barat
boleh menafikan kebenaran dan kekuatan hujah gagasan Persuratan Baru? Nampaknya mereka ini, yang kita kenal sebagai
sarjana sastera, tidak boleh lari lagi
daripada berdepan dengan PB sebagai sarjana yang mantap keupayaan
akademiknya. Adakah ini bermaksud saya
tidak mengiktiraf mereka sebagai sarjana yang betul-betul mempunyai sifat-sifat
kesarjanaan tulen. Salah satunya ialah sifat terbuka untuk berdialog secara
ilmiah, tidak seperti sekarang hanya berdiam diri seperti “lembu kenyang”,
tidak kisah kepada perkembangan baru dalam dunia akademik, yang jika mereka
tolak sekali pun bahawa PB tidak ada kualiti akademik, mereka harus
memperlihatkan keunggulan mereka dari segi kemampuan ilmiah yang sorry to say, tidak menyerlahkan
kualiti akademik yang sewajarnya.
Saya beri
contoh yang paling terkenal, iaitu penilaian Dr. Mohamad Saleeh Rahamad
terhadap Naratif Ogonshoto, yang
picisan dan amat lemah kualiti akademiknya.
Adalah wajar anda mempertikaikan kesimpulan ini jika tidak tepat. Saya lihat anda berada dalam keraguan yang
tidak pernah terjadi kepada Pak Pandir yang selalu jelas tindakannya, walaupun
anda tertawakan “kebodohan” beliau. Adakah yang tidak tepat itu kesimpulan Dr.
Mohamad Saleeh Rahamad, atau penilaian saya terhadap tulisannya, atau
kedua-duanya sekali? Kalau begitu, jelaslah kami berdua lebih bodoh daripada
Pak Pandir yang tahu membuat pilihan yang tepat itu, seperti yang pernah saya
ceritakan ketika membicarakan konsep pandirisme dalam sastera Melayu. Saya sering mengambil contoh Dr. Mohamad
Saleeh Rahamad kerana kedudukan beliau yang istimewa, baik sebagai Ketua Satu
PENA, mahupun pengaruhnya dalam ITBM dan DBP. Baru-baru ini kita lihat beliau menyertai rombongan menemui Anwar Ibrahim yang dijangka akan dinobatkan sebagai
Perdana Menteri selepas Mahathir; jelaslah beliau mempunyai fikiran yang
strategik untuk menyediakan kemungkinan kerjasama erat dengan Anwar
Ibrahim. Bila teringatkan peristiwa ini,
saya tertawa kecil sambil menyapa tupai yang bising mengawan di kawasan rumah
saya di Petaling Jaya, sambil bertanya, “Betulkah kau seperti yang dijadikan
peribahasa, sepandai-pandai tupai melompat, jatuh ke tanah juga!” Saya geram
betul kerana tupai yang bising mengawan itu tidak pun faham pertanyaan saya,
dan terus kejar-mengejar dengan bising. Ada satu tabiat tupai betina selepas
mengawan, yang saya fikir anda tahu jika anda seorang pemerhati yang baik. Walau
apa pun anggapan kita, tupai memang pandai melompat, kerana itulah pembawaan
semula jadi mereka. Sindiran seperti ini boleh difahami dengan mudah oleh Salim
Adil, seperti yang terbukti dalam Hikayat
Salim Adil, novel pemikiran yang hebat itu. Tetapi belum tentu difahami
oleh para sarjana dan sasterawan Malaysia.
Gaya bebelan yang saya paparkan kepada anda ini
boleh dikesan dalam banyak tulisan saya dalam blog ini. Saya ingin menarik perhatian anda kepada satu
entri yang serius, tetapi diberi judul yang mengejutkan: “Pandirisme,
Feminisme, Sobbing Orgasm Dalam Kritikan Sastera Melayu” (entri bertarikh 1
September 2015. (Istilah “sobbing orgasm” itu diberikan, atau dicadangkan oleh
seseorang yang kagum dengan istilah ini!). [Nota: “Jokes are serious”, kata
Rumi. Anda perlu baca entri ini.] Adakah ini satu kelebihan atau satu kegilaan
yang tidak senonoh, saya yakin anda sendiri lebih tahu dan telah pun membuat
kesimpulan yang tepat. Kemampuan
intelektual dan keterampilan akademik para sarjana dan sasterawan belum lagi
sampai ke taraf bebelan intelektual, masih lagi berada di tahap ocehan atau idle talk seperti yang dihuraikan oleh
Martin Heidegger. Kritikan ocehan ini menjadi sesuatu yang amat dibanggakan,
seperti yang boleh kita lihat dalam laporan para ahli Panel Anugerah Sastera
Negara yang boleh kita baca dalam laporan mereka. Jelaslah ocehan tidak sama dengan bebelan: ocehan adalah picisan, tetapi tidak
bebelan yang berasaskan kemampuan intelektual yang tinggi. Apabila PB menjadikan bebelan yang tersusun
sebagai konsep baru dalam wacana persuratan,
anda boleh lihat kepalsuan akademik yang saya kritik ketika membicarakan
tulisan tokoh-tokoh akademik yang hebat (kerana diberi hadiah dan sanjungan)
seperti Dr. Norhayati Ab. Rahman, Dr.
Mawar Shafei, Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh (sekadar memberi beberapa
contoh yang terkemuka), yang anda boleh baca dalam blog ini.
Saya mula
sedar pentingnya bebelan kerana inilah caranya yang mudah difahami (walaupun
belum pasti) oleh para sarjana dan sasterawan yang mempunyai kemampuan
intelektual yang agak terbatas, atau dalam kata-kata Prof. Syed Muhammad Naquib
Al-Attas, kumpulan yang cetek
meraba-raba. Menerusi bebelan ini
kita boleh dedahkan sekurang-kurangnya dua perkara. Pertama, bebelan yang
teratur dan kemas boleh membantu sesiapa juga yang kurang cekap berfikir untuk
memahami sesuatu masalah penting dalam dunia akademik, atau dunia ilmu. Contoh:
mengapa kita perlukan teori sastera Barat untuk memajukan sastera Melayu? Jika
benar teori sastera Barat boleh memajukan pemikiran kita, teori apakah yang
boleh berbuat demikian? Kalau kita sudah bertemu dengan jawapannya, maka kita
boleh melangkah ke depan lagi dengan mencuba membuat ketentuan bahawa yang kita
usahakan itu benar-benar dapat memajukan pemikiran kita dalam dunia kreatif dan
juga dalam bidang kritikan. Sekarang, kita perlu tahu dengan pasti, apakah
teori yang telah berjaya melakukan semua itu? Nampaknya kita tersekat di situ,
tidak pasti lagi mana satu teori Barat yang benar-benar membuat kita menjadi
cerdik dan betul-betul boleh membantu kita menulis karya kreatif yang bermutu,
dan juga menilainya dengan tepat. Nah, adakah harapan kita itu mendapat jawapan
positif? Di sinilah para sarjana yang mabuk teori Barat ini berdepan jalan
buntu, kerana mereka sendiri tidak betul-betul menguasai teori yang mereka
kagumi itu, dengan itu tidak dapat melihat kepalsuan teori itu dari perspektif
ilmu yang benar yang diajarkan oleh al-Quran dan dihuraikan dengan mendalam
oleh para ulama kita sendiri. Jadi, apa sudah jadi? Kita mahu mendengar
jawapannya daripada mereka yang kagum ini…
Kedua,
melalui bebelan ini, kita dapat melihat kebenaran dan dapat mengenal perspektif
yang betul untuk menjadi panduan kita yang benar-benar berguna. Dalam hal ini,
terdapat kemajuan yang amat menarik yang bagi saya agak melucukan. Sejak tahun
2010 ketika saya mula menulis blog Persuratan Baru, saya telah mula berbicara
tentang konsep ilmu dan peranan teori sastera berasaskan konsep ilmu tadi.
Apakah kemajuan yang telah kita capai? Ini yang menarik, yang mungkin juga
mengejutkan anda semua. Melalui perbincangan itu, saya akhirnya dapat
merumuskan satu konsep yang benar-benar mencabar pengikut teori sastera
Barat. Melalui kajian watak-watak jenaka
dalam sastera lisan (atau sastera lama), saya bertemu dan berbicara dengan Pak
Pandir. Rupanya tokoh ini tidaklah bodoh seperti yang dianggap oleh para
sasterawan dan sarjana sastera. Pak Pandir adalah tokoh genius Melayu yang
begitu lama diabaikan kerana pengaruh pandirisme itu sendiri. Maka saya pun
menulis sebuah cerita pendek, “Rumah Impian Polan Cupan”, yang ditulis sejak
2004 termuat dalam antologi Balai Maqamat yang hanya dapat
diterbitkan dalam tahun 2014 oleh ITBM, setelah dirobek-robek oleh seorang
sarjana terkenal. Seberapa boleh, saya cuba menyelamatkan naskhah itu, maka
terbitlah Balai Maqamat 2014. Cerita
pendek tentang Polan Cupan diterbitrkan oleh Dewan Sastera, September 2013, dan entah bagaimana “menang” Hadiah
Perdana Sastera Malaysia 2013. Tetapi Balai Maqamat tidak menang apa-apa
hadiah. Saya pun lupa karya mana yang menang, dan siapa penulisnya. Sekiranya
anda tahu, saya fikir bagus juga jika anda beritahu serba sedikit tentang
perkara ini, sebagai rekod untuk renungan pembaca sepanjang zaman. Bagi saya Balai Maqamat adalah sebuah karya besar,
hasil seorang pemikir yang menulis dalam konteks Persuratan Baru. Balai Maqamat adalah sebuah karya yang
cukup istimewa, jika anda faham maksud saya. Saya tidak mahu mengulas lebih
lanjut untuk memberi kesempatan kepada anda menolak andaian saya, dengan itu
kita semua dapat melihat bagaimana anda menilai sesuatu karya yang ditulis dari
perspektif PB. Anda diberi peluang untuk mengkritik PB melalui “kegagalan” Balai Maqamat. Sayangnya, tiada seorang
pun di antara sarjana sastera yang berani memperlihatkan kebodohan mereka.
Dengan membisu seribu bahasa, kebodohan mereka semakin jelas, dan kemampuan
intelektual mereka semakin terserlah kehebatannya. Inilah kelucuan yang paling
menyedihkan!
Jika anda
masih tidak dapat menerima bebelan seorang pemikir dan seorang intelektual
boleh membantu anda menjadi cerdik, maka anda akan berada dalam kandang
pandirisme seumur hidup anda. Ini bukan sesuatu yang melucukan, tetapi suatu
tragedi yang memalukan dunia kreatif. Di
mana anda mahu letak muka anda? Saya tujukan pertanyaan ini kepada para sarjana
dan sasterawan. Jika anda takut untuk
membicarakan sebuah karya penting seperti Balai
Maqamat, maka terbuktilah anda sebenarnya pengamal pandirisme yang tegar.
Satu-satunya ulasan yang cerdik yang saya pernah baca ialah yang ditulis oleh Najibah
Abu Bakar, seorang pustakawan. Para sarjana yang takut berbicara tentang karya
sepenting Balai Maqamat ini perlu
membaca ulasan Najibah Abu Bakar ini, yang mendapat hadiah dari kerajaan
Selangor. Jelaslah kebijaksanaan dan
keberanian intelektual tidak berada di kalangan para sarjana dan sasterawan.
Yang paling melucukan, mereka bangga menjadi kumpulan yang tidak jujur tentang
ilmu. Maka apabila lahir pula Pandirisme
Dalam Komuniti Dunia, diterbitkan oleh Himpunan Keilmuan Muslim (HAKIM),
2016 (masih baru lagi!), para sarjana dan sasterawan ini semakin terdesak. Akhirnya mereka bangga menjadi kumpulan
“lembu kenyang”, istilah sindiran tajam yang berasal dari Kelantan. Kumpulan “lembu kenyang” inilah yang
menggelarkan diri mereka sebagai kumpulan arus perdana! Inilah kumpulan yang bertemu dengan Anwar
Ibrahim tempoh hari.
Sekarang
anda boleh melihat dengan jelas bagaimana bebelan
seorang tokoh intelektual terkemuka dapat memberi kesedaran intelektual kepada
anda, jika anda mempunyai kualiti intelektual seperti yang difahami di kalangan para intelektual.
Mohd.
Affandi Hassan,
Petaling
Jaya, 22/8/2018.
No comments:
Post a Comment