Prof. Ungku
Maimunah Mohd. Tahir dalam buku beliau, Dinamika
Pemikiran Sastera Melayu (DBP, cetakan pertama 2009), amat berhati-hati dan
sangat cermat ketika menghuraikan dan menganalisis Gagasan Persuratan Baru.
Bagi saya inilah contoh kecemerlangan akademik yang tidak dapat diremehkan oleh
sesiapa saja yang mempunyai maruah akademik yang tinggi dan murni. Dengan terbitnya buku penting ini, tidak ada
apa-apa alasan pun dari para sarjana sastera, para pengkritik, dan para
sasterawan sendiri, untuk tidak menerima kemunculan PB sebagai satu alternatif yang
akan memberi kecemerlangan baru dalam perkembangan ilmu, persuratan Melayu, dan
penghasilan karya kreatif yang berteraskan konsep ilmu yang benar. Reaksi sehabis kecil yang boleh dilakukan
oleh para sarjana sastera dan para pengkritik, termasuk juga para sasterawan,
ialah menolak analisis ini sebagai hanya permainan akademik yang tidak bermakna
apa-apa dalam perkembangan ilmu. Tentu
saja lebih baik jika mereka memberikan sanggahan mereka yang objektif untuk
menolak kehadiran PB sebagai satu alternatif yang diperlukan dalam perkembangan
kritikan sastera di Malaysia. Sikap
membisu yang mereka ambil tidak memberi faedah kepada mereka, malah boleh
disifatkan sebagai menghalang perkembangan ilmu dan pemikiran baru dalam
sastera Melayu. Walaupun kehadiran PB
menjadi cabaran besar kepada pemilihan para sasterawan negara, namun PB tidak
berminat untuk menghukum para sasterawan negara ini, kerana PB hanya berminat
memberikan analisis yang objektif kepada karya para sasterawan negara ini
dilihat daripada ukuran yang diberikan oleh PB.
Dalam dunia akademik, cabaran seumpama ini adalah biasa dan perlu
dihadapi dengan kontan oleh sesiapa juga yang berasa tercabar.
Peluang
untuk para penentang PB memberikan sanggahan mereka menjadi lebih mudah dengan
adanya buku Dinamika Pemikiran Sastera
Melayu ini. Oleh itu, apa lagi yang anda tunggu, pengayuh sudah di tangan,
gerakkanlah perahu akademik anda ke arah mana yang anda mahu dalam sungai besar
akademik yang kini terbuka luas untuk diteroka oleh sesiapa saja yang
berminat. Waktu untuk mendiamkan diri
sebagai “lembu kenyang” tidak boleh
diterima dalam dunia akademik yang sudah berubah. Sebagai ahli akademik, anda tidak wajar
mendiamkan diri apabila dicabar untuk tampil memberikan hujah anda yang masih berpegang kepada
kekeliruan dalam memahami konsep ilmu seperti yang difahami dalam kebudayaan
anda sendiri. Tamadun yang anda warisi sekarang dibina oleh para cendekiawan
dan para ulama yang jelas konsep ilmunya; oleh itu anda tidak mempunyai hujah
sama sekali untuk menafikan kehadiran mereka dalam pembinaan tamadun yang kita
semua warisi sekarang, tamadun yang berasaskan konsep persuratan yang
bertunjangkan ilmu yang benar.
Dalam
konteks inilah telaah anda yang jujur dan kritis terhadap buku Dinamika Pemikiran Sastera Melayu akan
memberikan pencerahan yang amat anda perlukan untuk memahami perkembangan ilmu
dalam pembinaan tamadun Malaysia. Prof.
Ungku Maimunah dalam bukunya itu memberi analisis yang amat cermat terhadap
novel persuratan Pujangga Melayu,
yang wajar didekati dengan kritis oleh sesiapa juga yang berkecimpung dalam
dunia sastera; lebih-lebih lagi apabila penilaian seorang sarjana terhadap
novel Naratif Ogonshoto tidak boleh
dipertahankan, oleh itu harus diterima kesimpulan bahawa novel itu adalah
sebuah novel picisan jika dinilai daripada perspektif ilmu dan keterampilan
pemikiran pengarangnya ketika menghasilkan novel itu. Percubaan Dr. Mohamad Saleeh Rahamad untuk
meletakkan novel itu sebagai novel Melayu teragung yang tiada tandingannya,
sebuah karya agung sepanjang zaman, ternyata tidak berasas kerana tidak
berlandaskan konsep ilmu yang benar yang sudah menjadi asas perkembangan
persuratan Melayu sejak beratus tahun. Tidak mungkin sarjana ini tidak tahu
hakikat sejarah ini. Walau bagaimana
pun, kita bersedia menerima analisis beliau sekiranya beliau menolak kesimpulan
yang diberikan ini sebagai tidak berasas. Kemukakan hujah anda kerana itulah
pilihan terbaik dan paling selamat untuk menjaga maruah akademik anda.
Prof. Ungku
Maimunah Mohd. Tahir telah meletakkan pencapaian penyelidikan akademik yang
tinggi untuk diteladani oleh para sarjana sastera yang kebanyakannya agak
selekeh hasil “penyelidikan” atau analisis mereka. Saya telah mengemukakan
contoh-contoh yang terlalu jelas keselekehannya, seperti syarahan perdana yang
dikemukakan oleh Prof. Rahman Shaari tentang sajak-sajak Melayu, hasil
penyelidikan Dr. Mawar Shafei tentang novel-novel Anwar Ridhwan, kajian Dr. Norhayati Ab.Rahman tentang “the poetics of adultery” dalam sastera
Indonesia dan Malaysia, tulisan Dr. Mohamad Saleeh Rahamad tentang Naratif Ogonshoto sebuah novel oleh
Anwar Ridhwan, dan yang paling menonjol ialah sikap anti-ilmu dalam Sidang
Kemuncak Penulis Malaysia 2014 anjuran ITBM yang tidak langsung menyebut
peranan ilmu yang benar dalam kritikan sastera. Kita dapat melihat bagaimana sarjana sastera
berlumba-lumba kononnya “memperkenalkan” kaedah baru dalam kritikan dan teori
sastera yang diambil dari Barat seluruhnya, menunjukkan mereka tidak mampu
berfikir secara kritis, hanya menjadi peniru buta sahaja. Semua ini anda boleh
lihat dalam kertas kerja Seminar Pemikiran Sasterawan Negara yang dianjurkan
oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Walaupun
Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh pernah mengatakan tidak wajar teori
sastera Barat dijadikan ukuran dalam kritikan karya Malaysia yang ditulis dalam
bahasa Melayu, namun beliau sendiri menerima dengan baik, malah bangga, apabila
karyanya dinilai dari perspektif Barat dalam Seminar Pemikiran Sasterawan
Negara Muhammad Haji Salleh. Semua
mereka ketakutan apabila digesa menjadikan konsep ilmu yang benar sebagai asas
kritikan sastera Melayu. Kata mereka,
sastera Melayu dihasilkan berasaskan teori sastera Barat, tidak berasaskan
nilai-nilai Islam; oleh itu tidak wajar jika karya mereka dinilai daripada
perspektif Islam. Bagi mereka, inilah jawapan yang paling akademik dan jujur!
Hendak ke
mana kamu semua, para sasterawan negara dan sarjana sastera? Pertanyaan ini tidak dapat dielakkan, oleh
itu mereka wajib menjawabnya atau memberi penjelasan yang munasabah. Lebih-lebih lagi apabila Prof. Emeritus Dr.
Muhammad Haji Salleh, tokoh paling terkemuka dan paling terkenal sebagai tokoh
akademik yang unggul, pernah menegaskan
karya sastera Melayu mesti dinilai daripada perspektif Melayu, bukan perspektif
Barat atau Islam. Sehingga ini belum lagi ada penjelasan tentang keputusan
yang aneh ini. Siapakah di antara sarjana sastera yang akan tampil memberi
penjelasan tentang perkara ini? Yang
pasti, tiada seorang pun di antara mereka yang mempunyai keupayaan akademik
yang tinggi untuk membicarakan persoalan yang rumit ini. Kerana semua mereka
telah menolak PB, maka mereka kini berada dalam kebingungan yang aneh yang
tidak sepatutnya dialami oleh para sarjana.
Itulah
situasi yang kita hadapi sekarang dalam sastera Melayu. Semua ini hasil dari kegigihan
mereka menolak Gagasan Persuratan Baru sebagai alternatif yang terbaik, seperti
yang dihuraikan dengan mendalam oleh Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir dalam
bukunya, Dinamika Pemikiran Sastera
Melayu. Dan juga dalam rencana akademik beliau, “Persuratan Baru: An
Alternative Paradigm to Western Literary Methodologies” (ASIATIC, vol. 9, no.
1, June 2015). Dua dokumen penting ini
nampaknya tidak dibaca atau tidak diketahui oleh para sarjana sastera, kerana
keangkuhan mereka untuk tidak menerima perubahan walaupun dahulunya mereka
bising seperti murai bercakap tentang perubahan paradigma dalam sastera
Melayu. Sekiranya ada konsep munafik
dalam sastera, mungkin inilah wajahnya.
Keangkuhan
kumpulan Mutual Admiration Club ini menjadi penghalang besar kepada
perkembangan pemikiran dan pendekatan baru dalam sastera Melayu. Inilah kumpulan yang memilih para sasterawan
negara dan yang mempertahankan sasterawan negara itu secara picisan sekali,
sama picisannya dengan karya para sasterawan negara sendiri. Supaya berlaku
adil, saya sering menawarkan supaya karya kreatif dan akademik saya dinilai
bersama karya mereka. Sehingga ini mereka tidak melayan cabaran ini kerana
mereka yakin mereka akan kelihatan jelas sebagai kumpulan penulis picisan dan
cetek meraba-raba dalam bidang akademik.
Sekali lagi kita dapat melihat kebenaran kesimpulan ini dalam buku
terbitan ITBM, Sastera Teras Negara Bangsa, yang diselenggarakan oleh Dr.
Mohamad Saleeh Rahamad.
Apakah
kesimpulan kita dalam perbincangan ringkas ini?
Ada dua keadaan yang memerlukan penjelasan untuk keluar dari kekeliruan
tentang peranan ilmu ini. Pertama, para sarjana yang menerima teori sastera
Barat sebagai jawapan dan asas perkembangan sastera Melayu perlu memberi
penjelasan mengapa dalam konteks itu mereka perlu menolak peranan Islam yang
definitif dalam perkembangan kebudayaan Melayu seperti yang telah dihuraikan
dengan mantap sekali oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas. Hingga kini mereka
belum lagi membuktikan kesimpulan Prof. Syed Naquib itu bertentangan dengan
jalannya sejarah Alam Melayu yang menerima Islam sebagai teras kebangkitan
tamadun Nusantara. Kedua, dari segi apa pencapaian kreatif dan akademik
para sasterawan dan sarjana yang menjadikan teori Barat sebagai panduan mereka
telah melonjakkan kemajuan berfikir dalam perkembangan kebudayaan dan pemikiran
yang berasaskan konsep ilmu yang benar.
Adakah dua keadaan ini saling bertentangan sehingga memaksa kita memilih
salah satu, dan jika ini berlaku apakah kesannya terhadap perkembangan ilmu?
Kita lihat nanti reaksi mereka, yang saya yakin akan mendiamkan diri dalam
sikap dan tabiat “lembu kenyang” yang telah dibudayakan oleh para sasterawan
dan sarjana sastera.
Mohd.
Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 10 Ogos 2018.
No comments:
Post a Comment