Pertanyaan
nakal ini sepatutnya tidak disuarakan, kalaulah tidak untuk menyindir saya,
yanggg… kata mereka mengaku dirinya saja (sayalah konon!) yang cerdik. Bila diteliti sindiran ini, yang ditujukan
bukan saya, kerana karya saya baik yang berupa karya akademik mahu pun yang
bersifat kreatif memang jauh mengatasi mana-mana karya para sasterawan negara
dan para sarjana yang bergelar profesor sekalipun. Nah, kalau begitu, mengapa para pandirian (ini istilah baru merujuk
kepada pengamal pandirisme!) ini bersusah payah membelasah saya senyap-senyap
tetapi tujuannya mahu disampaikan kepada saya secara proxy. Maka tak dapatlah dielakkan pertanyaan yang menjadi tajuk
entri kali ini.
Seperti yang
diketahui, saya tidak ragu-ragu mendedahkan dan melontarkan karya saya di
tengah gelanggang untuk dikerumuni dengan bengis seperti burung hering
mengerumuni bangkai, seperti yang diceritakan oleh Anwar Ridhwan dalam novel
besarnya yang satu-satunya di Malaysia, berjudul Naratif Ogonshoto itu, yang berlapis-lapis maknanya menurut beliau
sendiri dan sahabatnya Dr. Mohamad Saleeh Rahamad yang memuji novelnya. Hanya saya seorang saja di Malaysia yang
menolak novel agung ini, dengan memberinya gelaran sebagai novel picisan saja;
sambil mencabar supaya novel agung ini dibicarakan bersama dengan novel
mini-ensiklopedia, Pujangga Melayu.
Tiada pula yang berani menyahut cabaran itu, mungkin kerana mereka tidak
membaca novel saya yang tebal dan sukar difahami jika dibandingkan dengan novel
Anwar Ridhwan yang kerdil itu. Semua ini menunjukkan makna sebenar yang disebut
kecerdikan itu dalam sastera Melayu. Bagi para sasterawan dan sarjana, yang
cerdik itu ialah yang tetap setia kepada pandirisme, bukan yang menentang
pandirisme. Kerana saya yang menentang pandirisme, maka menurut mereka sayalah
yang bodoh itu!
Saya tidak
mahu mengulas kesimpulan bodoh ini, dengan itu membiarkannya terkontang-kanting
dalam sastera Melayu menjadi burung patah sayap yang tidak boleh terbang,
tetapi masih mahu dianggap sebagai helang yang gagah perkasa yang membuat
sarang di gunung-gunung. Itulah yang kita panggil dengan gelaran “sasterawan
negara” dalam sastera Melayu. Ini bukan
ejekan, tetapi kenyataan yang menyerlah begitu glaring bila kita membaca
karya para sasterawan negara ini. Tetapi mengapa mereka mendapat pujian
dan sanjungan begitu tinggi daripada anggota Panel Anugerah Sastera Negara? Adalah aneh sekali mengapa para anggota panel
ini mendapati para sasterawan negara yang mereka pilih itu begitu istimewa? Anda akan dapat memahami dan menjawab
pertanyaan ini jika anda melihatnya dalam konteks pandirisme. Anda tidak dapat melihatnya jika anda berada
dalam kandang pandirisme. Itulah jawapan yang tepat kepada pertanyaan yang
bodoh tadi. Jika anda seorang ahli
akademik yang pintar, inilah jawapan yang paling tepat yang boleh diberikan,
dan inilah juga yang membawa Naratif
Ogonshoto ke dalam gaung picisan walaupun diisytiharkan oleh Dr. Mohamad
Saleeh Rahamad novel itu novel terbaik sepanjang zaman di Malaysia dan seluruh
dunia! Saya terus membawa persoalan ini
kerana anggapan ini merupakan penilaian yang muktamad jika novel ini dinilai dari
perspektif pandirisme. Bolehkah anda baca maksud sindiran tajam dalam kesimpulan ini? Jawapannya menjadi masalah kerana seluruh
penilaian anda terhadap karya picisan sebagai karya besar tetap ditolak oleh
PB. Di situlah terletaknya kecerdikan anda, jika anda faham sindiran ini dalam kritikan
sastera berasaskan PB. Semua ini anda
boleh faham dengan jelas, dan mungkin juga mudah, jika anda membaca dengan
kritis entri mengenai Pujangga Melayu
sebagai novel mini-ensiklopedia itu.
Saya
mengulangi kesimpulan ini kerana inilah persoalan besar yang menjadi tajuk
penting dalam beberapa buah tulisan Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir yang anda
boleh baca dalam tulisannya ketika membahaskan ukuran para juri Sayembara Novel
anjuran DBP yang telah memilih novel Azizi Haji Abdullah walaupun pemilihan itu
bertentangan dengan ukuran yang ditetapkan oleh DBP! Realiti yang kita hadapi sebenarnya
mencerminkan pandirisme dan sifat picisan tidak saja dalam karya yang dinilai,
malah penilaian itu sendiri pun adalah hasil kerja yang picisan. Berulang kali
saya membicarakan aspek ini dalam banyak tulisan dalam blog ini, namun kegilaan
kepada pandirisme ini tetap diteruskan dengan bangga. Mengapa ini terus
berlaku? Saya fikir yang boleh menjawab
soalan ini ialah para sarjana dan sasterawan picisan sendiri, seperti yang
ditunjukkan oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad dalam tulisannya yang diberi Hadiah
Sastera yang menulis tentang keistimewaan Naratif
Ogonshoto. Kebodohan yang bersifat
picisan ini telah diangkat oleh para sarjana ini ketika memberi pujian tinggi
kepada karya picisan yang mereka nilai.
Saya tidak perlu mengulangi contoh yang telah saya berikan; cukup untuk
anda lihat contoh terbaik ketika para sarjana dan penilai (para juri) ini
memberi kedudukan tinggi kepada karya Dr. Norhayati Ab. Rhman yang menjadikan adultery sebagai poetics dalam karya yang dikajinya untuk tesis Ph.D. beliau yang
diluluskan oleh Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Masih ingat judul buku
itu? Sudah lupakah kritikan saya terhadapnya dalam blog ini? Jawapan terbaik,
dan paling jelas, telah saya berikan dalam novel persuratan, Hikayat Salim Adil.
Jika anda
seorang pembaca yang cerdik, anda akan dapat melihat dengan jelas bahawa kita
tidak saja mempunyai masalah One MDB dalam politik, tetapi juga dalam sastera
Melayu moden. Ini telah saya jelaskan dalam Hikayat
Salim Adil. Kerana anda tidak membacanya, atau membaca tetapi tidak
memahaminya, maka anda terus menerus bergelumang dalam dunia pandirisme baik
dalam karya akademik dan lebih-lebih lagi dalam karya kreatif. Mahu saya
berikan bukti? Cuba anda lihat Hikayat
Salim Adil, hal. 117, Ruang 6. Kisah 1MDB ini sangat unik dalam politik
Malaysia; yang terlibat menafikannya terus menerus, menjadikan semua pertanyaan
dan pendapat tentang 1MDB hanya suatu fitnah.
Bagaimana sikap ini diterjemahkan di kalangan para sarjana sastera dan
para sasterawan, terutama sekali sasterawan negara? Ketiga-tiga kumpulan ini berada dalam Mutual
Admiration Club, sebuah kelab yang exclusive,
yang anggotanya adalah manusia pilihan yang wujud untuk memajukan sastera
mengikut versi mereka, yakni sastera yang seluruhnya bergantung pada cerita
khayal yang kononnya berjejak di bumi kenyataan kehidupan manusia. Apa
maksudnya? Kita lihat beberapa contoh. Dua contoh terkemuka ialah novel Anwar
Ridhwan, Naratif Ogonshoto, yang
diangkat oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad sebagai novel teragung dalam sastera
Melayu. Contoh kedua ialah sajak “Pulang Si Tanggang” yang dikatakan sajak
terindah dalam sastera Melayu, yang kaya dengan gaya bahasa yang cantik dan
isinya yang mengukir pemikiran yang mendalam. Kedua-dua karya ini saya tolak
dengan tuntas, sebagai karya picisan yang kualiti pemikirannya tidak wujud. Apakah
ukuran yang digunakan untuk mengatakan dua buah karya ini adalah karya agung
dalam sastera Melayu? Paling terkenal ialah ukuran yang dipakai oleh Mana
Sikana yang menegaskan Malaysia mempunyai hanya tiga orang “penyair”: Muhammad
Haji Salleh, Baha Zain dan …. belum diketahui lagi orangnya! Ini Mana Sikana
juga menerima hanya sasterawan yang diangkat sebagai sasterawan negara saja
yang layak diberi kedudukan sebagai novelis ulung; antaranya Shahnon Ahmad dan
A. Samad Said, dan Anwar Ridhwan.
Penilaian ini saya tolak dalam satu entri yang panjang, bertarikh 19 April 2015. Sesiapa yang berminat bolehlah
baca di sana. Tajuk entri itu cukup memikat, “Mana Sikana Penulis Sasterawan Negara di Takhta Keunggulan:
Kegagalan Teksdealisme Memahami Keunggulan Sejati.” Dalam buku ini Mana Sikana
merewang tak tentu arah, merepek tak tentu arah, dalam bahasa Inggeris rambling. Teksdealisme adalah contoh rambling yang dimaksudkan. Antara komen
saya dalam entri itu ialah, “Teksdealisme yang dipujinya itu adalah hasil Abad
19 yang memberi tumpuan kepada pengarang.” Amat menarik kesimpulan karut Mana
Sikana ini: “Sebuah wacana sastera, dari sudut teksdealisme, harus pragmatis
kepada khalayaknya. Tiada gunanya sebuah karya besar, agung atau kanon, kalau
tidak mempunyai impak kepada masyarakat.” Kita tanya Mana Sikana: Bagaimana
kamu menentukan sesebuah karya itu karya besar dsb. yang kamu sebut itu? Tentu
ada ukurannya yang kamu gunakan, yang bila digunakan akan menyerlahkan
kehebatan karya itu. Apakah ukuran itu? Perhatikan kesimpulan saya ini: “Tidak
mungkin beliau berupaya membahaskan secara ilmiah bahawa kehadiran para
sasterawan negara ini lebih baik dan lebih unggul daripada para ulama dan cendekiawan
Melayu yang telah membina tamadun ilmu
melalui persuratan Melayu itu. Sekiranya para sasterawan negara ini amat lekeh
jika dibandingkan dengan sumbangan para ulama dan cendekiawan Melayu, dan
“impaknya” kepada masyarakat, maka nyatalah kehadiran para sasterawan negara
ini tidak diperlukan. Oleh itu, bagaimana Mana Sikana boleh meletakkan mereka
di takhta keunggulan jika mereka sebenarnya golongan pinggiran yang cetek
meraba-raba seperti yang ditegaskan oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas,
yang hingga kini belum ditolak secara ilmiah.”
Demikianlah mengarutnya
teksdealisme yang dibanggakan oleh Mana Sikana itu. Seterusnya anda perlu baca dengan kritis
entri yang panjang itu.
Semua
kepincangan yang kita hadapi sekarang dalam sastera Melayu boleh dibaiki dan
dihapuskan jika anda bersifat terbuka dengan menerima konsep ilmu yang benar
yang diperjuangkan oleh Gagasan Persuratan Baru. Perkara ini tidak sepatutnya
menjadi masalah dan kekeliruan besar seperti yang dihadapi sekarang sekiranya
konsep ‘iwajan yang disebut dalam
Surah al-Kahfi, Ayat 1, difahami dengan tepat dan dijadikan panduan dalam
kerja-kerja yang bersifat intelektual.
Tidak ada hujah langsung bagi sasterawan, sarjana, dan pengkritik
sastera dari jenis Melayu untuk menolak al-Quran sebagai sumber ilmu. Persoalan ini menjadi kekeliruan besar kerana
sikap meremehkan al-Quran yang amat jelas di kalangan sarjana dan penulis Islam
sendiri. Apakah yang menghalang kamu semua daripada memahami konsep ‘iwajan itu, yang memang menjadi dasar
karya sastera dan kritikan sastera yang digalakkan pada waktu ini. Saya telah membincangkan dengan panjang lebar
aspek ini dalam entri yang panjang bertarikh 31 Mei 2014 dengan tajuk yang
mencabar itu. Bacalah dengan kritis entri
itu jika anda mempunyai sedikit harga diri dalam kerja-kerja ilmiah ini. Anda dipersilakan mengkritik PB sehabis
kritis, dan cerdik, untuk mendapat faedah daripada gagasan itu. Amatlah rugi
jika anda bersikap bodoh sombong padahal PB bersedia membantu anda menjadi
cerdik dan kritis. Mana ada teori sastera yang begitu bermurah hati seperti
PB? Rugi sangat jika anda tidak ambil
kesempatan untuk mencerdikkan diri anda dengan mengkritik PB sehabis kritis
yang anda boleh lakukan. Masuklah ke
dalam golongan orang-orang cerdik dan berhemah dengan berada dalam kumpulan
pemikir dan cendekiawan yang telah membina tamadun ilmu melalui
persuratan. Sasterawan dan sarjana
sastera tidak ada tempat dalam kumpulan ini, kecuali jika mereka menerima
konsep ilmu yang benar sebagai asas kegiatan penulisan mereka.
Saya sudah
kerap mengingatkan para sasterawan dan sarjana sastera, peri pentingnya mereka
menjadi dewasa dengan mencintai ilmu. Mereka berada dalam kerugian besar kerana
tidak mahu mendekati dan memahami PB. Jika sekali pun mereka ingin
mempertahankan para sasterawan negara, PB masih boleh mereka jadikan landasan
untuk membicarakan karya para sasterawan negara ini, dengan memberikan konteks
yang tepat kepada karya mereka. Jika ini mereka lakukan, tidak timbul perasaan
curiga mereka bahawa PB akan menolak karya para sasterawan negara ini secara
total. Jika mereka berpendapat demikian, mereka menang satu poin, kerana itu
merupakan penghinaan mereka terhadap PB. Di sini pun sekali lagi mereka silap,
kerana anggapan itu hanya memperlihatkan keterbatasan kemampuan intelektual
mereka sendiri yang tidak dapat menempatkan karya para sasterawan negara ini
dalam konteks PB. Apa maksud saya dengan kesimpulan ini? Saya akan biarkan
kesimpulan ini di sini, untuk memberi mereka peluang melihat konteks kesimpulan
itu dan maknanya dalam kritikan sastera.
Kita mahu ajar sama mereka bagaimana menggunakan ilmu dalam kritikan sastera,
bukan dalam menulis karya kreatif saja. Sekiranya mereka fikirkan perkara ini
dalam-dalam, dengan objektif, dan cerdik, mereka akan berasa mereka telah
menipu diri mereka sendiri dengan tidak cuba memahami dan mengkritik PB sebagai
seorang sarjana yang terhormat. Ini telah dilakukan oleh Prof. Emeritus Bukhari
Lubis dalam syarahan perdana beliau; juga telah dilakukan oleh Prof. Ungku
Maimunah Mohd. Tahir dalam syarahan perdana beliau dan dalam banyak tulisan
beliau. Jika kedua tokoh ini tidak ada
kualiti akademik yang tinggi dengan menjadikan PB sebagai landasan dalam
kritikan mereka, bagaimana pula dengan sarjana yang mendiamkan diri dengan
angkuh, tanpa memberi sumbangan akademik yang bernilai. Sila periksa dengan
kritis komen dan kritikan saya terhadap Prof. Rahman Shaari, Dr. Mohamad Saleeh
Rahamad, Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh, Dr. Nurhayati Ab. Rahman, Dr.
Mawar Shafie dan lain-lain. Cuba
tunjukkan kesilapan saya, supaya saya sendiri dan sarjana lain boleh mendapat
pelajaran yang berharga dari kritikan itu. Ini pun tidak mereka lakukan? Mana
mereka mahu letak keterampilan akademik mereka dengan hanya membisu dalam
isu-isu besar tentang peranan ilmu yang benar dalam bidang akademik. Sudah wajar mereka sedar diri, lama sangat
berada di kandang pandirisme!
Berasa
selesa di kandang pandirisme adalah kelakuan “lembu kenyang”. Jika inilah wajah
sebenar sastera Melayu moden, maka dengan disengaja atau tidak sengaja para
sasterawan dan sarjana sastera telah memilih untuk menjadi pengkhianat kepada
perkembangan intelektual di Malaysia. Dalam sebuah negara yang menghargai
kecemerlangan akademik, keadaan ini akan dikutuk oleh ahli akademik mereka,
kerana sikap ini bersifat anti-ilmu. Di Malaysia adalah sebaliknya. Sikap
inilah yang menjadi kebanggaan para sasterawan dan sarjana sastera kerana
mereka anggap mereka telah mendapat kedudukan yang tinggi dan mulia dengan
bersikap anti ilmu dan menentang sebarang perubahan yang dikira akan merugikan
mereka. Jika anda mahu bukti, anda boleh
melihatnya dalam buku yang diselenggarakan oleh ITBM dan PENA, Sastera Teras Negara Bangsa (2014), yang
memuat kertas kerja Sidang Kemuncak Penulis Malaysia (SKPM), 2014. Tajuk yang dipilih untuk buku itu sendiri
sudah menggambarkan budaya pandirisme yang amat memalukan para cendekiawan
Malaysia yang sensitif kepada peranan ilmu dalam pembinaan tamadun bangsa.
Perkumpulan golongan pandirisme yang mewakili
anggota Mutual Admiration Club ini menjadi sejarah penting dalam
perkembangan ilmu di Malaysia. Untuk memahami kesimpulan ini, saya sudah banyak
kali menulis dan mengkritik kedudukan kumpulan Mutual Admiration Club ini dalam
perkembangan ilmu. Seperti yang ditunjukkan dengan jelas dalam kandungan buku Sastera Teras Negara Bangsa, keengganan anggota kelab ini
untuk menerima idea baru yang akan membawa perubahan yang bermakna dalam budaya
ilmu negara kita sangat jelas. Mereka menjadi ketakutan kerana mereka sedar
sumbangan mereka, jika ada, terlalu kecil untuk dapat dibanggakan. Jika mereka
berada di kalangan pengajar di universiti, mereka amat berjaya mengajar para
pelajar mereka menjadi bodoh, yang sudah beberapa kali saya bangkitkan dalam
blog ini. Kita tunggu reaksi mereka
mengenai subjek mengajar siswa menjadi bodoh ini kerana kegiatan ini semakin
galak diteruskan dalam pelajaran sastera di universiti. Sukar hendak percaya
mereka ini tiada maruah akademik dan tidak ada juga maruah peribadi sebagai
seorang yang layak dihormati. Akibat
perbuatan ini kita tidak mempunyai pelapis pengkritik dan sarjana yang
kritis. Bayangkan, apakah yang sudah
dihasilkan oleh Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh dan Mana Sikana?
Silalah senaraikan nama-nama mereka dan karya mereka untuk makluman kita semua.
PB sudah mempunyai senarai itu …! Jika
anda tidak tahu, tugas anda untuk mencarinya, tidak wajar mengharapkan saya
memberikan senarai itu.
Nasihat saya,
tidak bijak dan tidak wajar bagi para sarjana, terutama yang bergelar profesor
dan lain-lain gelaran akademik, untuk menafikan para pelajar mereka dari mendapat
maklumat mengenai PB dan mereka diberi kesempatan untuk membahaskannya dengan
guru-guru sastera mereka di universiti. Saya diberitahu Kementerian Pendidikan
sekarang dikepalai oleh seorang pencinta ilmu, oleh itu amatlah wajar beliau
diberi sedikit maklumat mengenai PB dan lebih baik lagi jika Kementerian
memasukkan PB dalam kurikulum pengajian/pendidikan sastera. Tidak wajar kita
menjadikan sikap anti ilmu sebagai budaya ilmu.
PB adalah satu cetusan ilmiah oleh seorang tokoh yang telah membuktikan
kemampuan kreatif dan intelektualnya dalam karya-karya kreatif dan karya
akademiknya.
Mohd.
Affandi Hassan,
Petaling
Jaya, 9 Ogos, 2018.
Catatan: Saya anjurkan anda membaca beberapa
entri 2014 untuk lebih memahami entri ini. Sila rujuk entri 31/5/2014 (“Hudud dan kesusasteraan Melayu moden:
Tertegaknya pandirisme dan Mutual Admiration Club dalam sastera Melayu moden”.);
entri 28/10/2014 (“Keunggulan yang cacat”); dan entri 13/8/2014 (“Kritikan
sastera yang naif, keliru dan anti-ilmu”).
No comments:
Post a Comment