Dalam entri
yang lepas, saya menulis tentang konsep bebelan,
maksud dan peranan konsep itu dalam
wacana ilmiah, dan bagaimana bebelan yang serius boleh mencerdikkan pembaca
yang terbuka kepada wacana serius. Kali ini saya akan menggunakan konsep
bebelan itu untuk berbicara tentang Hadiah Nobel dan bagaimana sasterawan
Malaysia boleh menunjukkan kejujuran intelektual mereka untuk mengemukakan
novel Pujangga Melayu dan karya saya
dalam semua bidang yang saya ceburi melayakkan saya sebagai pemenang Hadiah
Nobel pertama dari Nusantara. Jangan
tertawa dulu, sekiranya anda tidak membaca karya saya dengan kritis dan cuba
menilainya dengan sehabis kritis yang terdaya oleh anda yang sebenarnya cetek
meraba-raba, seperti yang saya jelaskan dalam entri yang lepas. Jika anda mentertawakan cadangan yang serius
ini, anda hanya mendedahkan kehitaman peribadi anda yang tidak mempunyai
kejujuran intelektual dan tidak juga kejujuran sebagai manusia yang berbudi.
Saya menggunakan istilah “budi” itu dalam konteks falsafah bangsa Melayu,
ketika mereka berbicara tentang peranan para budiman dalam perkembangan ilmu di
Nusantara. Siapakah golongan cendekiawan yang budiman itu? Kita semua berharap
anda yang megah dengan kedudukan anda sebagai ahli akademik, yang bergelar
profesor dan sebagainya, sudi memberi sedikit “pencerahan” (saya tidak suka
istilah ini, tetapi menggunakannya juga untuk memudahkan kefahaman anda
sendiri) supaya kita semua yang dungu-dunguan ini (tidak semuanya bermastautin
di Dungun) boleh mendapat sedikit “pencerahan” yang dimaksudkan. Di mana golongan cendekiawan yang budiman
itu? Tidak mungkin mereka tidak ada di kalangan golongan terpelajar secara
akademik dan diberi gelaran akademik yang hebat-hebat (misalnya, gelaran
Profesor Emeritus!). Mengapa persoalan
ini penting? Jika anda belum tahu, inilah antara indicator yang sering digunakan ketika kita mahu menilai
perkembangan intelektual dalam sesuatu masyarakat, termasuk dalam masyarakat
Malaysia (atau tak perlu masuk? oleh itu
tidak perlukan sebarang indicator).
Jika anda
seorang pembaca yang serius dan jujur, anda akan dapati entri blog ini banyak
sekali mengemukakan isu-isu besar yang perlu diberi perhatian, dan dibahaskan
dengan kritis. Apakah isu-isu besar itu? Oleh sebab anda telah mengetahuinya,
jika anda membaca blog ini dengan kritis dan dengan kejujuran intelektual, maka
tidak perlulah saya menyenaraikannya di sini. Sekadar contoh, untuk membantu
anda memahami maksud saya, antara isu besar itu ialah peranan teori sastera Barat
dalam perkembangan sastera Melayu. Sejauh mana teori Barat mempengaruhi
penulisan kreatif dan penilaiannya? Ada orang berkata tidak terdapat apa-apa
pengaruh tertentu, kerana menurut mereka para sasterawan Malaysia mempunyai
keupayaan kreatif yang tinggi dan original ketika menulis karya mereka. Adakah
ini benar? Dalam penelitian saya, yang telah saya paparkan banyak kali dalam
blog ini dan dalam tulisan saya di tempat lain (dalam buku dan rencana,
misalnya), kesimpulan anda itu karut, tidak dapat dibuktikan dengan hujah yang
mantap jika anda membaca semua karya para sasterawan negara dengan kritis. Sayangnya
sarjana dan pengkritik sastera, apatah lagi para sasterawan, tidak membaca
dengan kritis dan solemn buku penting
mengenai mereka berjudul, Dinamika
Pemikiran Sastera Melayu (DBP 2009), karangan Prof. Ungku Maimuah Mohd.
Tahir. Jika anda membaca analisis ini,
dan faham, anda akan dapati betapa kejap dan kuatnya pengaruh Barat dalam
sastera Melayu moden, sehingga kita boleh berkata (seperti yang ditegaskan
berulang kali oleh Panel Anugerah Sastera Negara dalam laporan mereka), bahawa
tanpa teori Barat, tidak ada sastera Melayu.
Buku Prof. Ungku Maimunah membuktikan kesimpulan saya itu tepat dan inilah
yang menjadi kebanggaan para sasterawan sendiri. Jika anda mahu bukti, anda
perlu baca ulasan Dr. Mohamad Saleeh Rahamad terhadap Naratif Ogonshoto, dan ulasan itu diberi Hadiah Sastera Malaysia 2005. Kalau
anda tidak faham membaca rencana itu, anda boleh bertanya beliau sejauh mana
konsep pascamodernisme yang dibanggakannya itu bukan pengaruh Barat, tetapi
ciptaan sasterawan dan sarjana Malaysia sendiri yang tidak berkaitan langsung
dengan teori sastera Barat. Saya boleh
terima penafian karut ini jika anda memberikan hujah yang mantap yang
membuktikan tiada pengaruh Barat. Apa yang perlu anda tanya ialah: Apa salahnya
dengan pengaruh Barat? Saya boleh tolong jawab pertanyaan itu dengan mudah. Pengaruh Barat itulah
yang telah menyesatkan anda, apabila anda menolak konsep ilmu dalam penulisan
dengan memberi alasan setiap penulisan adalah penjelmaan pemikiran yang
mendalam berasaskan ilmu. Malangnya tidak seorang pun sasterawan negara
memberikan penjelasan yang tegas dan meyakinkan mengenai aspek ini, oleh itu
kesimpulan saya bahawa mereka tidak menjadikan ilmu sebagai teras penulisan
kreatif adalah tepat dan benar. Bagi
semua sasterawan, yang disebut karya kreatif itu hanya merujuk kepada cerita,
kepada imaginasi, tiada kaitan sama sekali dengan ilmu. Malah, kata mereka,
ilmu itu sudah disebatikan dalam cerita. Timbulnya kesimpulan ini ialah selepas
PB mencabar mereka tentang perkara ini, dengan itu mereka beranggapan mereka
telah menolak cabaran PB dengan penegasan itu.
Prof. Ungku Maimunah dalam bukunya telah membuktikan kesimpulan mereka
hanyut dalam khayalan mereka sendiri, tidak berasaskan bukti dan hujah. Sila
anda semua baca buku penting ini, sebelum anda memberi keputusan anda kepada
kesimpulan saya itu. Tidak salah untuk
anda belajar sedikit daripada analisis orang lain yang mungkin bertentangan
dengan pegangan anda yang belum lagi anda berikan hujah dalam analisis yang
mantap. Saya masih mencari rencana dan buku yang membuktikan kesimpulan saya
salah. Belum bertemu, nampaknya belum lagi ditulis. Yang telah ditulis oleh Dr. Mohamad Saleeh
Rahamad tentang Naratif Ogonshoto
membenarkan kesimpulan saya. Ada pendapat lain?
Ada dua isu
di sini yang membolehkan saya menulis kepada Sekretariat Anugerah Nobel.
Pertama, jika pengaruh Barat itu kuat, menjadi asas sastera Melayu, maka memang
ada alasan untuk mengemukakan karya para sasterawan negara sebagai layak diberi
pertimbangan untuk mendapat Hadiah Nobel.
Kedua, dan ini yang lebih penting, jika pengaruh itu telah dicabar dan
telah pun dibuktikan dalam karya yang telah pun diterbitkan, maka lebih lagilah
munasabah jika karya Mohd. Affandi Hassan diajukan kepada Sekretariat kerana
karya beliau asli dan berasaskan konsep ilmu yang benar di samping menyerlahkan
pemikiran bangsa Melayu dalam seni mengarang. Apa macam, boleh terima atau
tidak hujah ini? Sebelum anda menjawabnya dengan tegas, kita perlu mendapat
pandangan anda tentang kualiti karya para sasterawan negara dan karya Mohd.
Affandi Hassan yang menyimpang jauh daripada karya mereka. Di antara dua
kumpulan ini, mana satu yang lebih bernilai dari segi kreatif dan pemikiran?
Anda harus berani membuat kesimpulan, jika anda benar-benar jujur dari segi
akademik dan tidak terikat kepada Mutual Admiration Club yang palsu itu. Semua sasterawan negara adalah anggota Mutual
Admiration Club. Kalau anda masih ragu, anda boleh bertanya ketuanya, Prof.
Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh, seorang sasterawan negara. Saya timbulkan persoalan ini kerana menurut
Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh, hanya para sasterawan negara yang
menjadi pengikut Mutual Admiration Club saja yang layak diajukan sebagai calon
penerima Hadiah Nobel, tidak dari kumpulan yang di luar Mutual Admiration Club.
Sekarang kita menghadapi masalah serius: sasterawan anggota Mutual Admiration
Club itu tidak original, hanya peniru yang tidak matang; sedangkan yang di
luarnya, yang dipelopori oleh Mohd. Affandi Hassan, jauh lebih matang dan
karyanya jauh lebih bermutu. Kesimpulan ini tetap benar sehingga dibuktikan salah
oleh para peneliti sastera yang menganggap para sasterawan negara itulah yang
jempolan, yang tidak dapat diatasi oleh mana-mana sasterawan yang tidak terpilih
sebagai sasterawan negara. Sekarang anda
perlu mengkritik karya Mohd. Affandi Hassan berasaskan ukuran yang dipakai oleh
Panel Anugerah Sastera Negara. Sekiranya anda tidak mampu membuat kerja sukar
dan berat ini, jelaslah pengetahuan anda masih cetek, belum lagi sampai ke
taraf ilmiah yang telah dibuktikan oleh PB. Nampaknya anda mencabar diri anda sendiri
dengan tidak melihat kebaikan yang dipromosikan oleh PB dalam penulisan kreatif
dan dalam kritikan serta penilaian sastera.
Kalau anda tidak nampak itu, ubatnya amat senang (if you are a Muslim):
anda baca dan fahami Tiga Qul yang mengakhiri al-Quran. Di situ anda diberi
penekanan tentang makna tauhid; kemudian anda diberi peringatan betapa jahatnya
dan bahayanya sifat hasad; dan akhirnya anda diberi jalan keluar supaya
sentiasa memohon kepada Allah supaya dijauhkan daripada hasad dan sifat
was-was. Cantik sekali. Cuma bagi sasterawan dan sarjana, jika mereka faham
makna dan maksud Tiga Qul ini, mereka akan memilih PB. Itulah yang mereka tidak
mahu. Lantak hanglah, kata orang Kedah yang senang bercakap kasar itu. Apa
implikasinya dalam kehidupan berbudaya dan kehidupan golongan intelektual? Kata
peribahasa, tepuk dada tanya selera. Senang, tetapi alangkah sukarnya!
Di sinilah
pentingnya peranan organisasi seperti ITBM dan DBP yang diberi tugas untuk mengembangkan
sastera yang bermutu dan serasi dengan peringatan dalam Tiga Qul itu. Bolehkah
ini dilakukan oleh ITBM dan DBP? Kalau kita lihat kegiatan bersifat ilmu dalam
dua organisasi ini, mereka telah gagal mengenal dan mempelajari peringatan Tiga
Qul itu. Begitu takutnya mereka kepada
PB, hingga sanggup menolak al-Quran sebagai sumber ilmu. Itulah juga kedudukan para sasterawan dan
sarjana yang anti-ilmu. Jika anda mahu bukti, bacalah dengan teliti dan kritis
buku ITBM Sastera Teras Negara Bangsa
(2014) dan sikap para penilai (juri) Hadiah Sastera Dewan Bahasa dan Pustaka
yang menolak Pendidikan Estetika Daripada
Pendekatan Tauhid kerana mereka tidak
suka perkataan ketayap yang digandingkan dengan baju kot!
Macam-macam
hal dunia ini. Sekarang timbul cabaran
yang lebih besar, ia-itu menerima
hakikat bahawa karya Mohd. Affandi Hassan layak diangkat ke Sekretariat Hadiah
Nobel mewakili penulis Nusantara. Apa
pandangan anda sebagai pembaca yang jujur dan serius? Untuk menghilangkan keraguan anda dan pengaruh
Tiga Qul itu, bacalah dengan jujur dan kritis buku Prof. Ungku Maimunah Mohd.
Tahir, Dinamika Pemikiran Sastera Melayu
(DBP 2009).
Itulah saja bebelan intelektual saya sekadarnya. Kalau anda seorang yang cerdik, tidak senang
sebenarnya untuk membebel sebagai seorang intelektual. Bukti terbaik, sekali
lagi, Dr. Mohamad Saleeh Rahamad.
Mohd.
Affandi Hassan,
Petaling
Jaya, 24 Ogos, 2018.
No comments:
Post a Comment