Satu
perkembangan yang menarik berlaku di Jabatan Perdana Menteri ketika PM bertemu “para
ulama” di Putrajaya, negeri peribadi PM (ceritanya akan mengikut jika saya rasa
perlu bercerita tentang kisah menarik ini).
Menurut Malaymail 31/7/2018
yang dipetik Malaysiakini 1 Ogos
2018, Dr. Mahathir sebak tak dapat meneruskan ucapannya ketika beliau berkata
(dipetik oleh Mufti Perlis dalam FBnya), “kita sudah tiada jalan lain untuk
menjadi umat Islam yang berjaya melainkan kena baca al-Quran.” Adakah kesedaran ini akan dijadikan panduan
oleh kerajaan Pakatan Harapan yang dipimpin oleh Tun Mahathir? Kita harap begitulah, setelah PAS gagal
memberikan pimpinan yang berkesan dalam politik baru yang ditolaknya (kerana
setia kepada UMNO/BN).
Yang menarik
minat saya dalam perkara lain, ialah mengenai sikap para sarjana sastera,
sasterawan dan pengkritik sastera. Adakah mereka masih setia kepada BN yang
memberikan mereka dana yang besar (masing-masing 5 juta untuk PENA dan 5 juta
juga untuk GAPENA). Tidak siapa pun tahu
untuk apakah dana yang begitu besar digunakan. Bagi pihak saya, alangkah
baiknya jika mereka membeli karya PB untuk disebarkan ke seluruh badan penulis
seluruh negara. Boleh juga mencerdikkan para penulis. Atau lebih baik lagi jika
PENA atau GAPENA mengadakan sidang kemuncak (seperti yang dibuat oleh ITBM
2014) untuk membincangkan dengan kritis PB dan menolaknya secara tuntas. Tidak
mungkin golongan yang menjadi pengikut teori sastera Barat ini akan menyebelahi
PB. Tidak mengapa, kerana kewujudan PB tidak terjejas dengan penolakan mereka;
tetapi mereka akan terjejas besar dan amat memalukan kerana sudah jelas mereka
menolak PB yang berteraskan konsep ilmu yang bersumber daripada al-Quran. Jika
ini betul, jelaslah mereka tidak menyokong Kerajaan Pakatan Harapan pimpinan Tun
Mahathir. Kalau tekaan ini benar,
jelaslah PENA dan GAPENA dan seluruh badan penulis di Malaysia menolak Pakatan
Harapan, dan masih menunggu kemenangan UMNO/BN dalam pilihan raya akan datang. Sungguh
kuat azam mereka, sanggup menunggu 5 tahun lagi dengan keyakinan yang besar BN
akan menang lagi. Nampaknya tiadalah akan berlaku perubahan terhadap sikap
mereka yang terus menolak PB. Walaupun ini suatu keputusan yang amat pelik,
yang didorong oleh sikap mereka yang menerima pandirisme sebagai dasar
perjuangan mereka, perbuatan mereka jelas tidak menerima al-Quran sebagai asas
perjuangan mereka dalam sastera! Kebencian mereka kepada PB mendorong mereka
mengambil keputusan yang tidak masuk akal bagi yang menggunakan akal. Jika
mereka menolak kesimpulan ini, mereka harus memberi penjelasan atas dasar apa
mereka menolak PB. Penjelasan ini tidak
akan terjadi, kerana pengaruh Mutual Admiration Club yang dipimpin oleh Prof. Emeritus
Dr. Muhammad Haji Salleh begitu kuat mencengkam seluruh badan penulis dan
anggota badan-badan penulis itu. Walaupun sikap ini merupakan satu kegilaan
intelektual yang pelik dan mengelirukan, dari segi realitinya itulah pilihan
mereka, yang sebenarnya timbul dari ketakutan mereka yang amat sangat kepada
konsep ilmu yang benar. Jika mereka menerima konsep ini, tidak ada lagi
sasterawan negara. Itulah yang mereka cuba pertahankan walaupun mereka
sebenarnya tahu mereka berada dalam kandang orang salah. Jangan pula ada yang salah faham,
seolah-seolah mereka bersikap seperti penjenayah. Tidak. Yang jelasnya, mereka
membuat pilihan yang salah dengan menolak konsep ilmu yang benar hanya kerana
tidak suka kepada PB. Itu saja.
Untuk
memahami sikap yang pelik ini, saya ingin memetik pendapat Editor Dewan Sastera, (Bil. 9, 2017; yang masih
menjadi pegangan Dewan Sastera), yang menyatakan:
“Setiap karya sastera tidak lahir dalam keadaan kosong. Karya sastera yang baik pula akan dipenuhi
dengan makna yang tersirat. Maka, untuk memahami dan memecah persoalan yang
dibawa oleh sesebuah karya sastera itu, diperlukan teori yang sesuai untuk
membuka setiap lapis yang tersirat tersebut. Dengan itu, kejayaan sesebuah teks
sastera itu tidak boleh berdiri sendiri tanpa ada yang menyokongnya atau dalam
erti kata yang lain, perlu pengkritik untuk membantu khalayak pembaca memahami makna sebenar yang ingin
disampaikan oleh sesebuah teks sastera.” Yang menulisnya editor yang bernama
Saifullizan Yahaya. Beliau kemudiannya menegaskan, yang boleh melakukan perkara
ini ialah Mana Sikana, melalui “teori” “taabudiyyah dan teksdealisme.”
Seterusnya kata editor ini: “Kebenaran yang dinyatakan oleh beliau terbuka dan
memerlukan reaksi daripada sarjana kita tentang arah teori sastera tempatan di
Malaysia”. Malangnya, saya menolak
secara total apa yang disebut “teori” oleh editor ini, dan oleh Mana Sikana
sendiri. Kalau anda mahu tahu, lihat entri dalam blog saya yang membicarakan
kepalsuan pendapat Mana Sikana ini, antaranya ialah entri bertarikh 19 April,
2015: “Mana Sikana penulis Sasterawan
Negara di Takhta Keunggulan: Kegagalan Teksdealisme Memahami Makna
Keunggulan Sejati.” Anda mesti baca
entri penting ini, yang jelas tidak dibaca oleh editor ini. Tidak patut seorang
editor majalah penting tidak tahu kewujudan blog tentang PB yang saya mulai
sejak 2010 lagi, masih aktif hingga ke saat ini. Seterusnya untuk makluman anda, sila rujuk
Syarahan Perdana yang diberikan oleh Prof. Bukhari Lubis di Universiti
Perguruan Tanjung Malim pada 2 Mei 2017. Pada halaman 19, dengan tajuk “Pandangan
yang tidak boleh menjadi teori”, beliau menolak “Teori Ta’abudiyyah” yang
dikemukakan oleh Mana Sikana, yang saya kritik dalam entri berkenaan. Belum
lewat bagi editor DS membaca pandangan saya dan pandangan Prof. Bukhari
Lubis. Lihat juga komen beliau yang bertajuk, “Fikrah Mohd. Affandi Hassan”
tentang PB, hal. 15-18. Nampaknya anda
tidak ada pilihan, melainkan membaca dan memahami apa bendanya yang dikatakan Gagasan Persuratan Baru itu dan mengapa PB
penting dalam perkembangan intelektual di Malaysia. Seperti yang saya sebut
dalam entri tentang Pujangga Melayu
sebagai novel mini-ensiklopedia, PB sudah diangkat sebagai teori alternatif
yang penting. Sudilah rujuk tulisan panjang Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir
dalam bahasa Inggeris mengenai perkara ini, berjudul “Persuratan Baru: An
Alternative Paradigm to Western Literary Methodologies” (ASIATIC, Vol. 9 No. 1,
June 2015).
Kesedaran
Tun Mahathir tentang pentingnya al-Quran dalam pembangunan negara wajar
dijadikan iktibar oleh para sarjana sastera, pengkritik, dan para sasterawan
serta para pemimpin badan penulis. Kalau mereka mendapati sukar untuk menerimanya,
kerana harus mengakui kebenaran PB, seperti yang dihuraikan dengan mendalam
oleh Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir dalam makalahnya itu, maka mereka boleh saja terus berada dalam kandang
pandirisme sambil bersuka-ria sesama mereka berada di bawah pengaruh Mutual
Admiration Club yang diketuai dengan gagah oleh Prof. Emeritus Dr. Muhammad
Haji Salleh, seorang sasterawan negara yang pernah menjadi beberapa kali
anggota Panel Anugerah Sastera Negara. Dirgahayu pandirisme dan para pendukungnya!
Mohd.
Affandi Hassan,
Petaling
Jaya, 1 Ogos 2018.
No comments:
Post a Comment