Novel yang
tebal ini adalah yang terbaik yang pernah ditulis dalam bahasa Melayu. Bukan
mudah untuk membaca dan memahaminya sekiranya anda menolak konsep ilmu yang
benar yang menjadi dasar atau prinsip utama novel ini. Untuk memberi sedikit
panduan kepada anda, kedudukannya samalah dengan Gunung Tahan dan Banjaran
Titiwangsa di Semenanjung Tanah Melayu.
Kedua-duanya tetap berada di tempatnya, sama ada anda sedar atau tidak.
Begitulah kedudukan Pujangga Melayu, tetap berada di tempatnya yang istimewa sama
ada anda sedar atau tidak.
Demikianlah kedudukan sebuah karya agung dalam
persuratan, di mana-mana sekali pun di dunia. Kewujudan War and Peace tidak memerlukan kesedaran anda untuk karya itu
berada di tempatnya. Bolehkah kita
membuat kesimpulan yang sama terhadap karya terbaik Malaysia yang berjudul Naratif Ogonshoto? Saya telah menjawab pertanyaan ini dalam entri 2017, dengan panjang lebar. Anda perlu membaca keseluruhan entri itu,
seperti sebuah buku yang agak tebal, untuk mendapat jawapan yang tepat dan
berwibawa. Kedudukan novel besar sepanjang zaman ini samalah dengan sebatang
balak hanyut yang sudah reput, sedang menuju ke Kuala Besar untuk reput di Lautan
China Selatan! Saya membuat perbandingan
ini untuk mencabar kemampuan intelektual anda dengan memberi pandangan kritis
anda sebagai seorang intelektual yang berwibawa. Saya tidak pasti sama ada anda
faham atau tidak analogi ini, tetapi ketepatannya tidak memerlukan kefahaman
anda.
Demikianlah
kedudukan Pujangga Melayu, tidak memerlukan sarjana dan pengkritik
sastera untuk menjadikannya sebagai karya besar yang pernah dihasilkan dalam
bahasa Melayu. Gunung Tahan dan Banjaran
Titiwangsa tetap berada di situ, sama ada anda tahu atau tidak. Jika anda faham
maksud analogi ini, anda dapat melihat dengan jelas pembohongan penilaian yang
dibuat oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad terhadap novel Naratif Ogonshoto.
Kemunculan Gagasan Persuratan Baru menidakkan semua sekali penilaian
yang dibuat oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad itu, dengan itu sudah cukup untuk
membuktikan novel yang begitu hebat di mata Dr. Mohamad Salleh Rahamad itu pada
hakikatnya adalah sebuah novel picisan jika dinilai berasaskan Persuratan Baru
yang menjadikan konsep ilmu yang benar sebagai asas. Sesiapa juga yang ingin mempertahankan novel
picisan itu harus berdepan dengan Gagasan Persuratan Baru terlebih dahulu,
yakni mereka perlu membuktikan PB satu kaedah palsu yang tidak boleh digunakan
untuk menilai karya para sasterawan negara.
Ini menimbulkan masalah besar yang boleh membuat para sasterawan negara
dan para pengampu mereka seperti cacing kepanasan, kerana mereka tidak dapat
menolak kedudukan akademik yang kukuh yang ditunjukkan oleh PB. Para sarjana ini,
termasuk juga para sasterawan sendiri, boleh berkumpul dalam kumpulan yang
besar, malah boleh menganjurkan satu seminar bertaraf kebangsaan (kalau mahu
jadikan bertaraf antara bangsa lagi baik) untuk menidakkan PB, yang boleh saja
dianjurkan oleh DBP atau ITBM, atau kedua-duanya sekali. Saya yakin tidak akan
tampil sesiapa pun juga yang siuman untuk menyahut cabaran ini, kerana mereka
akan kelihatan seperti Pak Kaduk atau Lebai Malang di gelanggang nanti. Apakah
pilihan mereka? Hanya satu pilihan yang tepat, ia-itu menerima PB sebagai
kaedah penilaian yang paling akademik yang membolehkan sesuatu penilaian dibuat
dengan tepat. Kalau cabaran ini diterima, para sasterawan negara akan menjadi
penulis karya picisan, dan kedudukan mereka sebagai sasterawan negara tidak
boleh dipertahankan. Ke mana mereka mahu
lari? Ada jalan keluar yang paling mudah, iaitu menggunakan ukuran teori
sastera Barat, seperti yang mereka sudah lakukan dalam semua Seminar Pemikiran
Sasterawan Negara yang dianjurkan oleh DBP. Tetapi ini akan menjadi perangkap
yang amat berkesan untuk memasukkan mereka semua ke dalam kandang pandirisme.
Mahukah mereka berada dalam kandang pandirisme, atau memang sudah pun berada di
dalam kandang itu? Jawapannya hanya boleh dibuat oleh para sarjana sastera
sendiri. Saya tidak perlu memberi ulasan. Kita tunggu apa kata mereka nanti,
jika mereka mahu. Tetapi lebih baik jika mereka mendiamkan diri, untuk mengelak
dari berada di dalam kandang pandirisme.
Jika anda
hitung semua hujah yang diberikan di sini dengan kritis, anda akan dapat
melihat dengan lebih jelas kualiti kreatif dan pemikiran yang terdapat dalam Pujangga Melayu. Sukar untuk anda menolak kesimpulan bahawa Pujangga Melayu adalah sebuah novel yang
paling hebat pernah ditulis dalam bahasa Melayu, sehingga dapat diberi gelaran
sebagai sebuah novel mini ensiklopedia. Tidak ada novel lain yang dapat digelar
novel mini ensiklopedia selain dari Pujangga
Melayu. Novel terbaik sepanjang zaman yang diberi pujian tinggi oleh Dr.
Mohamad Saleeh Rahamad itu pun gagal mencapai taraf sebuah novel pemikiran,
apatah lagi sebagai sebuah novel mini ensiklopedia. Tidak mungkin sebuah novel
picisan seperti Naratif Ogonshoto
menjadi sebuah novel mini
ensiklopedia. Oleh itu, tegas
semua sarjana dan sasterawan, sebuah novel tidak perlu bertaraf sebuah novel mini
ensiklopedia untuk muncul sebagai sebuah novel besar. Hujah ini termasuk dalam kategori hujah
berasaskan pandirisme, kerana tujuan para sarjana mengemukakan hujah ini
bertujuan untuk menafikan Pujangga Melayu
sebagai sebuah novel istimewa. Saya
sudah pun memberi bayangan, jika anda berkata Gunung Tahan dan Banjaran
Titiwangsa tidak kena mengena dengan kemajuan Persekutuan Tanah Melayu, saya
hanya ingin membawa perhatian anda kepada peristiwa banjir besar 2014,
sekiranya anda tahu membaca tanda-tanda alam dan cakerawala. Saya berhenti setakat ini sahaja, tidak
perlukan penjelasan apa-apa, hanya dengan membawa perhatian anda kepada banjir besar
2014 dan mengapa terjadi dan begitu besar kerosakannya. Bagaimana boleh
dikaitkan dengan penilaian Pujangga
Melayu memerlukan sedikit kecerdikan anda berfikir!
Demikianlah
istimewanya Pujangga Melayu dalam
perkembangan intelektual Malaysia. Hanya jauhari yang mengenal manikam!
Saya tidak
bermaksud memuji diri sendiri dengan kenyataan di atas. Saya tidak memerlukan
apa-apa pujian daripada sesiapa pun; saya hanya perlukan sifat kritis anda
untuk menilai Pujangga Melayu sebagai
sebuah karya istimewa Malaysia. Mengapa ini penting? Hanya dengan membaca kritikan anda yang
kritis saja saya dapat mengukur kecerdikan anda, dan seterusnya kecerdikan
masyarakat Malaysia yang menggunakan bahasa Melayu. Ini bermaksud bahawa Pujangga Melayu boleh dijadikan ukuran
untuk melihat kemajuan intelektual pembaca Malaysia, dan seterusnya kecerdikan
para sarjana sastera, termasuk para profesor sastera. Saya tidak menyatakan
kejujuran mereka sebagai sarjana, kerana kejujuran tidak diperlukan dalam
kritikan sastera seperti perlunya para pendakwah bersikap jujur dalam dakwah
mereka. Dari para sarjana ini kita hanya perlukan keterampilan akademik mereka
sebagai penyampai ilmu kepada para pelajar mereka. Tetapi dalam bidang inilah
kita dapati mereka amat lemah, hasil dari sikap malas membaca, oleh itu tidak
peka kepada perubahan dalam dunia akademik.
Apa bila ditanya, mereka sangat bangga memberitahu mereka tidak tahu
menahu tentang Gagasan Persuratan Baru, tidak pernah membaca tentangnya, oleh
itu bagi mereka tidak perlu diketahui.
Walaupun lucu dan aneh untuk mengaku bodoh dan cetek, tetapi bagi mereka
itulah kelebihan mereka yang mereka banggakan. Dengan sikap “tidak kisah” ini
mereka mengajar pelajar mereka menjadi bodoh, perkara yang telah saya
bangkitkan sekitar akhir 1970-an lagi, masih kekal hingga sekarang. Cubalah
hitung sudah berapa lama. Keadaan inilah yang mendorong saya menulis tentang
aspek pandirisme dalam dunia akademik Malaysia. Penganut padirisme ini termasuk
para profesor yang berada dalam Mutual Admiration Club, yang dipelopori dan
diketuai oleh Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh, seorang sasterawan
negara yang pernah juga menjadi ahli panel yang memilih para sasterawan negara.
Anda boleh bayangkan hasilnya dan kesannya!
Dalam
konteks inilah Pujangga Melayu muncul
sebagai penentu kemajuan dalam sastera Melayu.
Tentulah amat baik jika ada sarjana yang menentang dan menolak
kesimpulan ini. Kita mahu dengar hujah
mereka. Masalahnya mereka terlalu
meremehkan PB, tidak bersedia untuk memahaminya. Sebagai sarjana, sikap negatif
begini tidak sepatutnya menjadi kebanggaan seseorang sarjana yang dihormati.
Mohd.
Affandi Hassan,
Petaling
Jaya, 25/7/2018.
No comments:
Post a Comment