Monday, July 9, 2018

SUDAH MULA NAMPAK KERETAKAN …?



Berapa lama lagi boleh bertahan?  Sekiranya Melayu masih mahukan  UMNO, selama itulah Melayu akan papa kedana, terus miskin dan terpinggir. Melayu yang cerdik mesti tahu mengapa UMNO diwujudkan oleh British. Melayu mesti tahu. Melayu mesti sedar.  Aku tidak mahu cerita mengapa British tubuhkan UMNO. Ceritanya telah dikupas dengan mendalam dalam dua buah buku mengenai sejarah Malayan Union, masing-masing oleh J. De V. Allen (The Malayan Union); Albert Lau (The Malayan Union Controversy 1942-1948), dan lain-lain buku (rujuk Gagasan Persuratan Baru, edisi kedua, hal.  228, nota 4.).  Fakta penting yang perlu diketahui, UMNO adalah projek British untuk menghapuskan para pejuang kemerdekaan dari golongan kiri, dengan menangkap mereka sebagai pengkhianat. Yang peliknya, Melayu boleh terima tuduhan British bahawa Dr. Burhanuddin, Ishak Hj. Muhammad, Ahmad Boestamam dan lain –lain sebagai pengkhianat, dan tali barut British dalam UMNO adalah tokoh pembela bangsa Melayu.  Anggapan itu kekal hingga sekarang, dengan nama UMNO (dalam bahasa Inggeris) sebagai pembela Melayu. Terjemahan bahasa Melayu untuk UMNO sangat buruk bunyinya; tidak hairan jika Peguam Negara yang baru dilantik  oleh Dr. Mahathir Mohamad tidak boleh berbahasa Melayu. Jika anda mahu tahu, Perlembagaan Malaysia hanya menerima bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan; oleh itu sesiapa juga yang tidak boleh berbahasa Melayu adalah pengkhianat Perlembagaan Malaysia. Tetapi kini bacaan ini tidak betul, kerana bahasa Inggeris sudah diterima secara rasmi sebagai bahasa utama dalam Malaysia Baru, yang telah menerima Malaysian Malaysia secara rasmi dengan kemenangan Pakatan Harapan dalam pilihan raya 2018. Orang-orang DAP menegaskan, Malaysia telah menerima multilingualism sebagai polisi bahasa Malaysia Baru, dengan persetujuan rakyat yang memilih mereka.  Ini suatu perkembangan baru yang amat bermakna bagi rakyat Malaysia, terutama sekali bagi orang Melayu yang tidak kedengaran membuat bantahan.

Dalam apa yang disebut sebagai politik baru, para sasterawan negara tidak mempunyai tempat, seperti kedudukan Majlis Profesor Negara yang telah dibubarkan sebaik saja pilihan raya selesai. Ini bermakna Panel Anugerah Sastera Negara juga perlu dibubarkan, atau secara implikasi telah terbubar kerana memang diketahui dengan sah Panel itu bekerja untuk UMNO yang kini telah ditolak secara total oleh rakyat yang memilih Pakatan Harapan. Tetapi para sasterawan negara masih boleh diselamatkan jika Pakatan Harapan, sesuai dengan multilingualism yang mereka jadikan sebagai polisi bahasa mereka  menerima semua karya dalam bahasa Cina, Tamil dan lain-lain bahasa (termasuk bahasa Inggeris) sebagai karya kebangsaan yang mencerminkan “bangsa Malaysia” yang berbilang  bangsa dan berbilang bahasa.  Setiap penulis yang menulis dalam bahasa Melayu, Tamil, Cina dan Inggeris adalah layak dipilih sebagai sasterawan negara. Inilah perjuangan DAP sejak 52 tahun ini, yang kini telah mencapai kejayaan cemerlang dalam pilihan raya 2018 dengan sokongan dan persetujuan pengundi Melayu sendiri. Rakyat telah membuat perubahan, oleh itu tidak wajar para sasterawan picisan ini membuat apa-apa bantahan sekiranya mereka tidak mahu dituduh mengkhianati rakyat. Tidak perlu diadakan apa-apa perubahan dalam Perlembagaan Malaysia kerana dari segi praktiknya bahasa Mandarin dan bahasa Inggeris adalah bahasa ekonomi yang menjadi bahasa utama di Malaysia sekarang, oleh itu graduan yang hanya berbahasa Melayu hanya boleh memohon kerja kerajaan, tidak di bidang swasta yang hanya menerima bahasa Mandarin dan Inggeris sebagai bahasa ekonomi. Sejauh mana orang Melayu sedar akan perubahan ini?

Dalam konteks politik baharu yang wujud sekarang, orang Melayu tidak perlu bising mempertahankan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, kerana dari segi Perlembagaan tidak ada perubahan (setakat ini); yang terjadi hanya dalam praktiknya, yang telah menerima kedudukan Peguam Negara yang tidak perlu berbahasa Melayu dalam urusan perundangan negara.  Perubahan ini penting dalam usaha Kerajaan Rakyat  dalam Pakatan Harapan yang sedang berusaha  gigih untuk mencampakkan bekas Perdana Menteri yang dikalahkan dengan menggunakan bahasa Inggeris dalam perbicaraan rasuahnya, khusus mengenai kes 1MDB.  

Inilah realiti politik Malaysia Baru.  Nampaknya semua sasterawan dan badan-badan penulis menerima hakikat dan kenyataan politik baru ini dengan mendiamkan diri, tanda penerimaan mereka kepada politik baru yang menerima multilingualism sebagai polisi bahasa yang sah. Ini adalah pilihan rakyat, tidak wajar dibantah.  Bagaimana kedudukan DBP dan ITBM dalam Politik Baru?  Nampaknya kedua-dua organisasi ini telah gagal “memperjuangkan” bahasa Melayu apabila kedua-dua organisasi ini keliru besar dalam operasi mereka yang terang-terang menolak konsep ilmu yang benar dan pentingnya konsep adab dalam ciptaan kreatif dan kritikan sastera. Tidak ada tindakan mereka yang mengarah kepada pembinaan tamadun berasaskan ilmu yang benar; sebaliknya kedua-dua organisasi ini memberi tumpuan kepada pembinaan budaya pandirisme yang anti-ilmu, atau paling tidak yang ingkar ilmu.  Bukti paling nyata dalam kesimpulan ini mereka tayangkan dalam penerimaan mereka kepada novel Anwar Ridhwan, Naratif Ogonshoto, sebuah karya picisan yang memberi kedudukan istimewa kepada nilai-nilai nihilisme dan budaya Mafia dalam kehidupan manusia, yang jelas terserlah dalam novel picisan itu.  Karya anti-ilmu ini dijadikan mercu tanda dalam kemajuan aspek pandirisme dalam budaya intelektual Malaysia.  Bagaimana ini boleh terjadi telah saya berikan huraiannya dengan panjang lebar dalam blog ini.  Aspek “kemafiaan” telah dikenal pasti oleh Prof. Siti Hawa Salleh dalam kertas kerjanya (rujuk entri bertarikh  6/12/2017). Ini merupakan bukti yang tidak dapat dinafikan bahawa kewujudan Mafia dalam sastera Melayu adalah satu realiti. Inilah jasa terbesar Naratif Ogonshoto. Sungguh amat malang novel Mafia ini dipaksakan ke atas pelajar untuk dipuji dan disanjung!

Adakah karya seumpama ini masih diperlukan dalam Malaysia Baru? Sudah jelas Panel Anugerah Sastera Negara tidak relevan lagi, dan sudah terbubar dengan sendirinya; dengan itu pemilihan sasterawan negara menjadi sesuatu yang menentang arus dalam hakikat politik baru dalam Malaysia Baru yang menerima multilingualism.  Para sasterawan dan sarjana sastera tidak perlu khuatir, kerana Gagasan Persuratan Baru pun sudah dimasukkan ke dalam tong sampah multilingualism.  Cuma bezanya, Gagasan Persuratan Baru akan kekal dalam sejarah Malaysia kerana berasaskan konsep ilmu yang benar, yang bersumberkan al-Quran.  Tentu saja orang Islam di Malaysia tidak akan membenarkan al-Quran pun dimasukkan ke dalam tong sampah walaupun bertentangan dengan Malaysian Malaysia yang tidak mengiktiraf Islam sebagai agama rasmi Malaysia.  Di mana kedudukan Islam dalam Malaysia Baru, dalam Malaysian Malaysia?  Jawapannya cukup mudah, oleh itu aku tidak perlu memberi apa-apa penjelasan.

Kalau anda seorang pembaca yang cerdik, anda akan faham mengapa aku menulis para pertama dalam bentuknya yang ada itu. Jawapan itu telah aku berikan dengan jelas dalam Pujangga Melayu, Hikayat Buyung Lurus, Hikayat Salim Adil, dan lebih awal dari itu dalam Aligupit.

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 9 Julai 2018.








No comments:

Post a Comment