Dalam
pertandingan UMNO 2018, ada dua pandangan Ku Li yang sangat bernas, tetapi ahli
UMNO tidak nampak. Pertama, Ku Li menegaskan semua pemimpin UMNO wajib menerima
tanggungjawab dalam kekalahan pilihan raya 2018, dengan itu semua mereka perlu
undur diri dan tidak layak lagi untuk dipilih. Mereka sudah gagal
mempertahankan UMNO dalam pilihan raya 2018. Pandangan kedua, yang lebih
penting, ialah mengenai konsep tanggungjawab bersama, collective responsibility. Yang menarik, Ku Li mengambil contoh
Hitler, yang membunuh dari; kemudian semua menterinya ditangkap dan
dibicarakan, dan dihukum gantung. Aspek kedua ini sangat penting: Adakah para
pemimpin UMNO mempunyai kewibawaan dari perspektif collective responsibility itu? Tidak. Mereka membiarkan Najib anak Tun
Razak memikul tanggungjawab kekalahan itu. Mana boleh. Ini namanya mengkhianati
amanah kepemimpinan bersama. Jadi apa yang disebut Ku Li memang tepat; dengan
itu Zahid Hamidi (lebih terkenal di kalangan umum sebagai Zahid Komedi) tidak wajar menampilkan diri untuk menjadi
Presiden UMNO. Dalam praktik politik di
Malaysia, berpegang kepada amanah adalah slogan yang popular dan sering dilaungkan;
tetapi tidak perlu dipraktikkan. Keputusan politik tidak sama dengan keputusan
moral. Politik adalah panglima; moral adalah khayalan untuk memberi wajah palsu
kepada wajah politik. Ingat baik-baik: Politik adalah panglima, oleh itu
perhitungan lain tidak ada tempat dan tidak perlu diberi tempat. Adakah ini budaya Melayu? Pertanyaan ini
boleh dibahaskan, jika anda mahu. Yang nyata, inilah politik UMNO. Oleh sebab UMNO itu Melayu, dan Melayu itu
UMNO, nampaknya inilah budaya Melayu baru.
Jika Najib
anak Tun Razak dituduh Raja Rasuah, bagaimana pula dengan para pemimpin
tertinggi UMNO yang lain? Tidak ada di
antara mereka yang miskin, malah semua mereka kaya raya. Dari mana mereka
mendapat wang yang begitu banyak dan hidup mereka begitu mewah? Adakah sama keuntungan politik dengan
keuntungan perniagaan? Sekiranya anda
anggap politik itu perniagaan, maka tepatlah politik itu perniagaan yang
menguntungkan. Kalau begitu, kita harus menggalakkan perniagaan politik ini
supaya semua rakyat mendapat kesenangan yang memang mereka perlukan. Masalahnya ialah, keuntungan perniagaan
politik tidak diperhitungkan untuk dicukai seperti yang perlu dilakukan oleh
pekerja dan ahli perniagaan biasa, yang boleh disita hartanya jika didapati
tidak isytiharkan harta mereka. Mereka boleh dibankrapkan dengan mudah, dengan
itu semua pendapatan mereka wajib diserahkan semuanya kepada Jabatan Hasil
Dalam Negeri. Di sinilah sebenarnya ahli politik sangat pandai. Tiada siapa pun
boleh menuduh mereka korup sehinggalah disabitkan dalam Mahkamah; dan mereka
tidak boleh dihadapkan ke Mahkamah jika tidak ditangkap. Jika mereka berkuasa,
mereka tidak boleh ditangkap. Sebaliknya, jika mereka tidak berkuasa, mereka
tidak berpeluang untuk melakukan korupsi. Di sinilah menjadi ahli politik yang
berkuasa amat menguntungkan. Bodohlah jika ahli politik tidak mahu kuasa dan
setelah berkuasa membiarkan saja kekayaan dibolot oleh para peniaga
semata-mata. Di sinilah pentingnya persefahaman ahli politik dengan peniaga,
untuk sama-sama menikmati kekayaan negara.
Dalam
konteks inilah kita harus memahami perjuangan politik UMNO selama lebih dari 60
tahun ini. Kejayaan mereka ialah mereka
telah berjaya menjadikan rakyat puas hati berada dalam kemiskinan, seperti yang
ditanggung oleh orang Melayu di luar bandar. Bohonglah jika ada yang
pandai-pandai berkata rakyat luar bandar senang lenang, tidak lagi miskin.
Sebenarnya rakyat memilih untuk menjadi miskin, kerana mereka tidak diperlukan
membayar cukai seperti orang kaya yang berniaga. Dalam konteks ini, UMNO telah
berjaya besar dalam usaha mereka menghapuskan kemiskinan dengan berbelanja
beratus juta dalam projek membasmikan kemiskinan itu, yang masih subur sehingga
belanja membasmikan kemiskinan itu sangat besar, yang boleh dijadikan insentif
untuk para pemimpin memperjuangkan kemiskinan.
Mereka mendapat faedah daripada projek pembasmian kemiskinan itu.
Adalah sangat
ironik bahawa kejayaan UMNO terbesar ialah mempertahankan kemiskinan di luar
bandar, yang kini dibawa masuk ke dalam bandar-bandar. Kemiskinan bandar kini
menjadi masalah yang memerlukan perhatian ahli politik. Kini mereka harus
menghadapi dua daerah besar kemiskinan, di luar bandar dan di dalam bandar. Adakah
polisi membasmi kemiskinan luar bandar sudah gagal, sehingga mereka membawa
kemiskinan itu ke dalam bandar pula? Menurut para ahli ekonomi yang galak
berbicara di forum yang disiarkan di TV, kemiskinan bandar nampaknya semakin
teruk. Apa sudah jadi? Sementara para pemimpin senang lenang dan kaya raya,
bagaimana pula kemiskinan rakyat semakin meluas hingga melimpah ke dalam
bandar? Memang tidak masuk akal, tetapi itulah kenyataannya. Kita tidak boleh
menyalahkan UMNO dan parti politik jika rakyat terus miskin. Menjadi miskin
adalah pilihan rakyat; dan keberanian rakyat melakukan migrasi kemiskinan ke
dalam bandar adalah satu kemajuan penting yang boleh digunakan oleh ahli
politik untuk dijadikan modal politik mereka. Kini mereka boleh berbangga
menjadi pejuang kemiskinan bandar pula, setelah mereka gagal menghapuskan
kemiskinan luar bandar. Orang Melayu
patut berbangga kerana mereka mempunyai istiqamah untuk melanjutkan kemiskinan
mereka dengan membawanya ke bandar pula.
Dalam
konteks dan situasi ini, amatlah wajar jika ditubuhkan satu parti baru dengan
nama Parti Kemiskinan Negara yang memperjuangkan dengan gigih dan penuh
tanggungjawab untuk mengekalkan kemiskinan; dengan itu para pemimpin mereka akan
ada harapan untuk menjadi kaya dengan pertolongan parti lain yang dipimpin oleh
orang kaya. Itu saja caranya kemiskinan dapat dikurangkan, setelah disedari
memang tidak dapat dihapuskan. Slogan untuk menghapuskan kemiskinan adalah satu
pembohongan besar yang tidak wajar dilaungkan lagi. Cadangan yang dikemukakan
di sini patut mendapat perhatian ahli politik, terutama sekali dari kalangan
UMNO. UMNO mesti berubah menjadi parti
orang miskin jika mereka benar-benar jujur dalam perjuangan mereka. Oleh sebab hal ini tidak mungkin berlaku,
maka tindakan paling baik ialah membuang terus UMNO dari politik Malaysia,
seperti yang sedang dilakukan oleh Tun Mahathir dan penyokongnya dalam Pakatan
Harapan. Tetapi ada satu perkara yang mesti difahami oleh orang Melayu, iaitu
mereka tidak boleh lagi menyebut nama Melayu kerana ini adalah sikap perkauman
yang tidak sesuai lagi dalam Politik Baru yang menjadi kebanggaan rakyat
Malaysia sekarang. Kini yang mendapat faedah besar ialah DAP dan Lim Kit Siang,
yang berjaya menjadikan Malaysian Malaysia kepada Politik Baru dan Malaysia
Baru yang diterajui sepenuhnya oleh DAP dengan sokongan padu daripada orang
Melayu sendiri yang bosan dan benci dengan UMNO. Adakah nasib Melayu akan
berubah dengan munculnya DAP sebagai penentu politik Malaysia? Kalau Melayu cerdik, mereka tidak perlu
berubah, apatah lagi percubaan selama lebih dari 60 tahun oleh UMNO telah
gagal. Dengan menyerahkan kepercayaan kepada DAP dan Politik Barunya, orang
Melayu mungkin boleh bangkit dengan kesedaran baru bahawa mereka tidak boleh
bergantung pada pemimpin mereka yang telah mengkhianati mereka selama 60 tahun.
Kemiskinan mereka berterusan, tetapi pada waktu yang sama para pemimpin yang
mereka percayai itu hanya mengumpul
harta dan kekayaan, bukannya membaiki kehidupan rakyat luar bandar. Nampaknya
DAP dan Politik Barunya lebih boleh dipercayai, sekurang-kurangnya mereka belum
lagi mengkhianati penyokong Melayu luar bandar. Beri kepercayaan kepada mereka,
setelah UMNO yang sudah menjadi ikan buruk kepala itu tidak boleh diharapkan
lagi. Itulah kenyataan politik yang cuba
ditonjolkan oleh Pakatan Harapan. Dengan perubahan ini, Melayu sepatutnya tidak
lagi diperbodohkan oleh para pemimpin politik.
Nampaknya orang Melayu harus sedar bahawa DAP lebih memahami mereka daripada pemimpin
UMNO yang telah gagal. Jika orang Melayu
gagal dan tidak dapat menerima perubahan yang sedang berlaku, mereka akan terus
ketinggalan. Orang Melayu sepatutnya sudah sedar betapa mereka telah tertipu
selama 60 tahun kerana memberi kepercayaan mutlak kepada UMNO. Sekarang mereka
diberi pilihan yang lebih realistik, iaitu menerima Malaysia Baru yang
ditawarkan oleh DAP yang dulunya mereka panggil Malaysian Malaysia. Itulah
konsep yang realistik, menurut falsafah politik Pakatan Harapan. Anda perlu
ingat, Pakatan Harapan diterajui oleh Tun Mahathir Mohamad, pejuang Melayu
tulen yang tidak dapat diragui kejujurannya!!
Anda mahu apalagi? Kini Mahathir
sudah ada parti sendiri, yang disokong oleh Muhyiddin Yassin. Sampai bila
Pakatan Harapan akan hidup? Apabila PKR berasa perlu memisahkan diri, yang akan
mengikut PKR ialah parti Mat Sabu dan tentu saja DAP. Kalau begitu amatlah
sukar bagi Mukhriz untuk menjadi PM selepas bapanya, walaupun itulah yang
diperjuangkan oleh Mahathir. Kalau begitu, Mahathir akan kembali kepada UMNO
dalam erti partinya akan bersatu dengan UMNO. Dalam politik segala-galanya
bisa, sebab wajah pemimpin politik bisa saja menggunakan segala jenis topeng
yang dia senangi. Itulah makna kejujuran dan maksud amanah dalam politik. Ikan
pekasam yang busuk pun tak mengapalah, asal dapat memuaskan hati.
Mohd.
Affandi Hassan,
Petaling
Jaya, 1 Julai 2018.
No comments:
Post a Comment