Sunday, July 22, 2018

MENYEDIAKAN KELAHIRAN GENERASI MASA DEPAN YANG CERDIK DAN BIJAK



Sejak  zaman remaja lagi saya telah mengusahakan, melalui tulisan, untuk memberi persediaan kepada generasi masa depan muncul gagah menjadi cerdik dan bijak.  Bayangkan, sejak tahun 1957, dan dua tiga tahun sebelum itu yang saya paparkan dalam sajak, membicarakan aspek ini dalam kehidupan bangsa Melayu.  Apakah kesan dari perjuangan yang lama ini? Berapa besar kesan itu saya tidak dapat bayangkan, malah bagi saya bukan masalah pun kepada saya. Saya tidak mengukur kejayaan saya dari pengaruh yang lahir dari perjuangan itu. Yang lebih penting, adakah saya sendiri telah menjadi dewasa dan bersedia untuk meninggalkan khazanah ilmu yang berharga kepada bangsa Melayu dan umat Islam? Ini hanya boleh ditentukan oleh sejarah dan penilaian masyarakat berilmu terhadap sumbangan itu.  Impian yang begitu besar mendesak saya melihat perkembangan intelektual dalam sastera dengan amat kritis dan agak keras dari segi penilaian saya terhadap sumbangan para sasterawan negara yang diberi hak istimewa untuk tidak boleh dikritik itu.  Boleh dikritik, tetapi kritiklah dengan adil, kata para penyokong mereka. Ini satu pendirian yang menarik, jika yang berkata itu faham dan jujur dengan maksud tersirat yang mereka pendam. Saya pun boleh bertanya mereka, adakah mereka sendiri melakukan hal yang sama kepada Gagasan Persuratan Baru yang mereka benci itu? Mereka menafikan ini, malah menurut mereka tiada sesiapa pun yang “membenci” PB. Mereka hanya tidak suka cara saya menulis yang menurut mereka amat kasar dan tidak ada kebijaksanaan langsung. Saya tidak perlu memberi pandangan kritis pula terhadap tuduhan ini, kerana dalam apa juga dialog yang bersifat intelektual, kita dituntut untuk menyatakan pendirian kita dengan jelas dan diiringi dengan memberikan hujah-hujah yang mantap, yang tersusun rapi dalam rangkaian bukti yang tidak dapat digugat, kecuali untuk tidak dipersetujui, dengan itu anda akan berpeluang memberikan alternatif anda sendiri. Semua ini tidak berlaku dalam dialog intelektual kita, malah apa yang disebut sebagai dialog intelektual itu sebenarnya tidak wujud. Kalau ini satu kenyataan akademik, maka apakah yang dibuat oleh para ahli akademik kita ketika menghadapi kemunculan Gagasan Persuratan Baru? 

Dalam ramalan saya, mereka ini, yang cetek meraba-raba, akan dikutuk oleh generasi masa depan kerana menghalang kemajuan berfikir dalam masyarakat, atau paling tidak bersikap degil dalam kejahilan yang tidak sepatutnya dijadikan hujah.  Di sinilah duduknya kegagalan karya para sasterawan negara, dan kegagalan para sasterawan negara sendiri yang tidak mampu berfikir, sekadar terikut-ikut dengan pengaruh Barat yang tidak pun difahami kelemahannya dari perspektif ilmu. Inilah “warisan” para sasterawan negara dan para penyokong mereka, yang saya kritik dengan keras dan lantang, yang mereka tidak berdaya menangkisnya kerana mereka memang tidak mempunyai hujah. 

Satu sifat utama mereka ialah kegilaan kepada aspek sensasi dalam karya kreatif, yang boleh kita lihat dengan jelas dalam karya Anwar Ridhwan dan Azizi Hj. Abdullah. Karya mereka cetek, sangat cetek, sebab itulah mereka gunakan sensasi kerana itu saja teknik yang boleh mereka gunakan. Mereka tidak berupaya berfikir, walaupun orang seperti Anwar Ridhwan itu punya gelaran “doktor”, sebagai pemegang ijazah  Ph.D.!  Bagusnya pula, kita boleh lihat betapa ijazah tinggi tidak boleh menjamin seseorang sasterawan muncul sebagai seorang pemikir.  Malah seorang sarjana yang bergelar doktor dalam bidangnya belum tentu mempunyai daya intelek yang tinggi, seperti yang dibuktikan oleh Prof. Madya Dr. Mawar Shafie, yang boleh kita lihat dalam bukunya tentang Anwar Ridhwan.  Saya jemput anda pertikai kesimpulan ini secara akademik, tunjukkan di mana saya silap!  Senang nanti saya patahkan hujah anda satu persatu, berasaskan buku Dr. Mawar Shafie sendiri.  Saya sudah melakukan ini sepintas lalu dalam  beberapa entri dalam blog ini. Yang membacanya tentu masih ingat.  Tujuan saya membangkitkan perkara ini untuk membuat anda lebih bersedia untuk menepis hujah saya, jika anda rasa perlu. Perkara ini boleh membatu generasi masa hadapan melihat ketangkasan berfikir para sarjana ini, untuk mereka contohi!  (Nota: perhatikan sindiran tajam dalam ungkapan “untuk mereka contohi!”).

Era 1950-an yang diklaim oleh Asas 50 sebagai permulaan era gemilang dalam sastera Melayu hanya satu impian yang gagal dijayakan oleh mereka. Sebabnya amat mudah: mereka membawa idea yang bertentangan dengan tradisi persuratan Melayu yang berasaskan ajaran Islam; sebaliknya mereka membawa idea Marx dalam slogan dan gerakan mereka yang menegaskan sastera harus berdiri di atas prinsip-prinsip realisme sosialis, yang diambil daripada ajaran Marx. Apakah yang mendorong Asas 50 menolak nilai-nilai Islam dalam penulisan kreatif, sebaliknya menerima ajaran Marx yang mereka gelar realisme sosialis? Sampai sekarang para penyokong Asas 50, yang berupa kerak-kerak Asas 50, tidak berupaya memberikan penjelasan yang berasaskan realiti sebenar dalam perkembangan sastera moden. Bagi Anwar Ridhwan, yang mendakwa beliau membawa idea Islam dalam karyanya, penerimaan terhadap realisme sosialis dengan tegas menafikan klaim beliau tentang peranan Islam dalam penulisan kreatif, yang seharusnya berasaskan konsep ilmu yang benar. Seperti yang saya perincikan dalam beberapa entri dalam blog ini, tidak sebuah pun karya Anwar Ridhwan mencerminkan dakwaan beliau, malah yang berlaku adalah sebaliknya.  Penelitian yang objektif terhadap karya kreatif beliau menyatakan/menunjukkan sebaliknya, yakni menerima seluruhnya idea Asas 50 yang menolak konsep ilmu yang benar itu. Sila rujuk beberapa entri mengenai persoalan ini, terutama yang saya tulis dalam tahun 2017.  Penjelasan ini perlu kerana di sinilah terletak bukti bahawa para sasterawan negara menolak konsep ilmu yang benar itu, dengan itu karya mereka akan bertaburan seperti rantai manik yang putus tali, sekiranya karya para sasterawan negara ini dinilai dari perspektif ilmu yang benar. Inilah kunci mengapa mereka menolak konsep ilmu yang benar, dan dengan itu menolak Gagasan Persuratan Baru sebagai anti-realisme dan dengan itu tidak boleh dijadikan asas penulisan kreatif.  Hakikat ini pada dasarnya meletakkan semua sasterawan negara dalam keadaan cacing kepanasan. Mereka tidak boleh menerima Gagasan Persuratan Baru kerana penerimaan itu akan menolak karya mereka; sebaliknya, mereka juga tidak dapat mempertahankan kedudukan karya mereka dalam konteks yang ditegaskan oleh PB berasaskan konsep ilmu yang benar tadi. Saya yakin para penulis muda yang lebih terbuka kepada ilmu dan peranannya dalam penulisan kreatif dapat melihat kedudukan sebenar para sasterawan negara dalam dunia kreatif yang telah berubah fokusnya dengan munculnya Gagasan Persuratan Baru.  Berbeza dengan para sarjana, pengkritik sastera, dan para sasterawan yang menolak PB untuk menyelamatkan karya mereka yang tidak berteraskan ilmu, saya dapati penulis muda lebih terbuka dan bersedia untuk meneliti PB sebagai alternatif dalam kritikan sastera dan sebagai panduan dari segi penulisan kreatif. Tidak semua mempunyai pendirian seperti ini, tetapi saya kira mereka bersikap lebih terbuka kepada perubahan. Sikap itu sudah cukup baik, untuk mendorong mereka memahami dengan lebih objektif prinsip-prinsip yang dikemukakan oleh PB. Cuma yang menjadi persoalan ialah saya dapati amat jarang guru sastera yang boleh membicarakan PB, kerana konsep sastera yang mereka terima ketika menjadi pelajar seluruhnya berkiblat kepada teori Barat, yang sebenarnya tidak mereka fahami dengan mendalam. Bilakah  keadaan ini akan berubah nampaknya sukar dibuat ramalan, apatah lagi Menteri Pendidikan baru dari Pakatan Rakyat tidak melihat persoalan ilmu ini penting dalam pendidikan. Jika perlu, saya akan bincang persoalan ini pada kesempatan lain.  Tidak wajar bagi seorang penulis seperti saya untuk memberitahu seorang menteri tentang peranan ilmu dalam pendidikan. Ahli politik sangat sensitif, dan mereka beranggapan mereka tahu segala-galanya; oleh itu kita tidak perlu ganggu keselesaan mereka dalam persoalan ini. Yang perlu belajar bukan menteri pendidikan, tetapi para guru dan pelajar. Bunyinya agak negatif, tetapi itulah kedudukan ahli politik di mana-mana saja. Saya dapati yang lebih terbuka ialah para ulama tulen, yang sanggup mendengar pendapat untuk dibuat koreksi di mana perlu. Seorang ahli akademik tidak begitu sikapnya, kerana kedudukan mereka tidak membenarkan mereka dikritik.  Dalam penelitian saya, keadaan ini mendorong kepada budaya pandirisme.  Masalahnya ialah budaya pandirisme ini memberi keselesaan kepada mereka.

Adakah ini bererti kita harus menerima pandirisme sebagai satu warisan untuk diwariskan kepada generasi yang akan datang?  Inilah posisi yang dipilih oleh para sarjana sastera, yang membuat mereka menolak PB supaya tidak diketahui oleh para pelajar mereka. Kezaliman intelektual seperti ini memang menjadi amalan di Malaysia di kalangan sarjana.  Kerana sikap negatif terhadap ilmu inilah maka para sarjana ini, yang bergelar profesor dan lain-lain, menutup maklumat baru yang mereka anggap boleh mengancam kredibiliti mereka sebagai sarjana.  Kita dapati para sarjana jenis ini berlagak seperti ahli politik yang berselindung di sebalik tabir fatamorgana  seolah-olah mereka “memperjuangkan” keadilan dan kebenaran, padahal matlamatnya untuk mengangkat diri sendiri untuk diterima sebagai “pejuang” tulen yang boleh dipercayai.  Saya harap akan menulis tentang persoalan ini satu masa nanti untuk memperingatkan generasi muda supaya menjadi lebih berhati-hati  dan dapat mengenal golongan munafik intelektual ini dan peranan mereka dalam kegiatan anti-intelektual.

Bagaimana harapan ini boleh dilakukan diberi di dalam Hikayat Salim Adil, sebuah karya paling unik di dunia yang menggabungkan tiga genre: kreatif, kritikan sastera, dan falsafah estetika.  Perkara ini saya sebut dalam entri bertarikh 22 November, 2017: “Hikayat Salim Adil: Sebuah Autobiografi Intelektual.” Sedikit kutipan:  “Dari segi teknik, karya ini membicarakan kritikan sastera dalam bentuk cerita yang diwacanakan melalui perbincangan dan perbahasan.  Sebuah cerita tentang kritikan sastera, dan soal-soal kemasyarakatan termasuk politik, pendidikan, kebudayaan dan sebagainya. …  Karya ini akan menyerlahkan wajah sebenar sastera Melayu,  yang selama ini tertutup daripada pengetahuan masyarakat. Wajah sebenar sastera Melayu sangat buruk, meskipun diberi  lukisan yang amat indah dengan melantik sekumpulan penulis (sasterawan) untuk digelar sasterawan negara. Pelantikan itu sepatutnya menggalakkan perkembangan ilmu dan memberi penekanan kepada peranan ilmu dalam penulisan; yang terjadi adalah sebaliknya.  Apakah yang mendorong sarjana, pengkritik, dan sasterawan bersikap ingkar ilmu? Hikayat Salim Adil memberi jawapan dan penjelasannya yang terbuka untuk dinafikan dan dikritik jika tidak benar.”  Anda perlu membaca keseluruhan entri ini kerana perbincangannya sangat penting diberi perhatian serius.  Anda juga perlu membaca dengan kritis entri 1 Disember 2017: “Hikayat Salim Adil memberi peluang kepada anda untuk mengkritik Gagasan Persuratan Baru.” Ambillah peluang ini.

Kritikan sastera moden yang diamalkan oleh para sasterawan dan sarjana tidak memberi arah kepada perkembangan masa hadapan, kerana mereka tidak mempunyai idea yang mantap untuk diwariskan kepada generasi yang akan datang. Inilah yang saya maksudkan sebagai pengkhianatan ilmiah itu, yang nampaknya menjadi kebanggaan mereka yang mereka institusikan dalam Mutual Admiration Club yang diketuai oleh Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh.  Kepalsuan dan kedudukan Mutual Admiration Club ini yang menjadi pelindung para sasterawan dan sasterawan negara telah menghalang perkembangan budaya ilmu dalam sastera Melayu; sebaliknya anggota Mutual Admiration Club ini dengan degil dan bangga mempromosi teori sastera Barat yang terputus dari nilai-nilai agama di Barat sendiri.  Penentangan mereka terhadap Gagasan Persuratan Baru bertujuan untuk melindungi kepalsuan faham sastera yang mereka tiru dari teori Barat; dengan itu jelas sekali mereka bersikap anti-ilmu dan anti-akademik.  Inilah sikap yang disokong dan dipelihara oleh DBP dan ITBM. Apakah implikasinya dari segi kewangan? Saya serahkan kepada anda untuk memberikan jawapannya.  Yang  penting dibuat sekarang ialah membatalkan Panel Anugerah Sastera Negara dan memberhentikan pemberian anugerah sasterawan negara seperti yang telah dilakukan terhadap Majlis Profesor Negara.

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 22 Julai 2018.

                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                      

No comments:

Post a Comment