Wednesday, July 18, 2018

PERINGATAN PENTING TENTANG KEKELIRUAN BESAR DALAM SASTERA MELAYU



Kesimpulan dalam entri bertarikh 9 April 2018 wajar diperhatikan kembali dengan kritis supaya sastera Melayu dapat dikembalikan di landasan yang  betul.  Kemunculan Gagasan Persuratan Baru memberikan mereka, para sasterawan, sarjana, dan pengkritik sastera, satu kejutan yang besar kerana PB mencabar mereka dari segenap aspek pengetahuan mereka tentang sastera. Paling mengejutkan, keselesaan mereka kepada teori dan pendekatan Barat kini dicabar oleh PB dengan mengemukakan konsep ilmu yang benar berasaskan ajaran al-Quran, yang tidak pernah terfikir oleh mereka bahawa konsep ilmu yang benar itu penting dalam penulisan kreatif dan penilaian terhadap hasil tulisan itu. Persoalan ini telah dibincangkan dengan mendalam oleh Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir dalam tulisan beliau yang panjang, yang tersiar dalam jurnal Asiatic, Vol. 9, No. 1, Jun 2015, berjudul, “Persuratan Baru: An Alternative Paradigm to Western Literary Methodologies.”  Makalah penting ini tidak dikenali oleh para sarjana sastera, sasterawan dan pengkritik sastera. Sekiranya mereka tahu, mereka mengambil sikap “lembu kenyang”, seperti yang diungkapkan orang Kelantan. (Ini pun mereka tidak tahu maknanya, dengan itu mereka telah membuktikan mereka tidak kenal budaya mereka sendiri!)  Inilah antara maksud ungkapan “cetek meraba-raba” yang disebut oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam syarahan pengukuhan beliau 1972, yang tidak diketahui oleh para sarjana dan sasterawan sendiri kewujudannya. Inilah kutipan yang saya maksudkan:


“Walau apa pun pendirian para sarjana sastera dan sasterawan tentang konsep ilmu,  mereka tetap melakukan kesilapan besar dengan menerima kehadiran the poetics of adultery dalam sastera Melayu.  Kesarjanaan anda tidak sepatutnya menipu anda untuk tidak menerima kebenaran.  Inilah kesan yang amat negatif daripada kecetekan anda memahami teori sastera Barat yang amat nyata telah mengelirukan anda tentang konsep ilmu, sehingga anda menjadi amat kagum mendakap kekeliruan anda dengan membawa masuk the poetics of adultery dalam sastera Melayu.  Kesan buruk dari the poetics of adultery ini sangat besar dalam sastera Melayu, yang mendorong para sarjana dan sasterawan sendiri menerima karya picisan sebagai karya agung sepanjang zaman, seperti Naratif Ogonshoto; dan kini mereka menerima pula Puitika Sastera Wanita Indonesia dan Malaysia: Satu Bacaan Ginokritik (USM 2012).  Kedua-duanya adalah karya picisan, dilihat dan dinilai dari perspektif ilmu yang benar. Tetapi kedua-duanya mendapat perlindungan Mutual Admiration Club. Tidak dapat dinafikan lagi Mutual Admiration Club ini membawa keburukan dan memberi perlindungan kepada kejahatan sebagai teras penulisan kreatif dan akademik Malaysia.  Apa yang saya kritik selama ini memang benar, dan anda tidak boleh lari lagi dari menerima kenyataan ini.  Kini sudah jelas, masa depan yang gemilang bagi persuratan Melayu sudah pun dimulai oleh Gagasan Persuratan Baru melalui beberapa penerbitan utama yang anda sendiri memang maklum.”

Mereka amat bangga dengan kejahilan dan sikap negatif mereka terhadap ilmu, dengan mengambil pendirian sikap “lembu kenyang” itu.  Mereka tidak berupaya memberi kritikan tajam paling kritis terhadap Gagasan Persuratan Baru, kerana mereka tidak memahaminya. Mereka tidak mahu mencuba memahaminya kerana takut terpengaruh dengan PB, setelah mereka menjadi lumpuh dari segi akademik untuk menolak PB sebagai alternatif seperti yang dihuraikan oleh Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir itu.  Apakah pilihan mereka? Terus berada dalam kejahilan dan terus angkuh berpegang kepada kejahilan itu. Mereka bangga berada dalam kejahilan dan itulah yang mereka ajar kepada para pelajar mereka di universiti. Inilah yang melahirkan keadaan yang saya sebut sejak tahun 1970-an lagi, yakni mereka mengajar para pelajar “untuk menjadi bodoh”!  Bagi mereka, menjadi pengkhianat kepada ilmu dan kebenaran adalah satu tindakan akademik yang terpuji, oleh itu mereka tidak berasa malu untuk berada dalam kejahilan akademik. Contoh terbaik sikap negatif ini ialah penilaian mereka terhadap novel picisan yang mereka puji setinggi langit sebagai novel teragung dalam sastera Melayu, tanpa memberikan penghujahan yang mantap, seperti yang boleh kita lihat dengan jelas dalam makalah Dr. Mohamad Saleeh Rahamad dalam tulisannya memuji novel picisan ini. (Dewan Sastera, 2005.)


Kegiatan kritikan sastera Malaysia amat tidak memuaskan, kerana keengganan para sarjana meninggalkan kaedah Barat yang lebih banyak menimbulkan masalah daripada menyelesaikan masalah. Sepanjang tahun 2017 saya telah memberi perhatian kepada masalah ini, dengan itu saya kemukakan seluruh entri 2017 untuk perhatian anda, dan jika boleh anda mengkritiknya dengan objektif.



Rencana Dr. Saleeh Rahamad yang mendapat Hadiah Sastera itu dengan tegas dan jelas menolak al-Quran sebagai sumber ilmu; sebaliknya menjadikan asas penilaiannya kepada konsep postmodernism  yang bersifat nihilisme dan menolak nilai, terutama nilai-nilai agama, sebagai asas kehidupan bertamadun.  Sebaliknya sarjana ini menerima ciri-ciri Mafia (ciri-ciri kemafiaan)  dalam Naratif Ogonshoto yang dianggapnya sebagai novel teragung dalam sastera Melayu, yang melintasi sempadan antara bangsa dengan meletakkan novel itu antara yang terbaik yang pernah ditulis dalam mana-mana sastera dunia. Begitu hebat sekali novel picisan ini!  Apakah ukuran yang digunakan oleh sarjana ini? Saya telah membincangkan aspek ini dalam beberapa entri dalam blog ini, oleh itu tidak akan mengulangnya lagi di sini.  (Sekadar satu contoh, rujuk beberapa entri panjang bertarikh April 2017).


Dalam beberapa entri 2017, saya memberi penekanan kepada perwatakan dalam novel-novel Anwar Ridhwan, yang bagi saya sangat lemah. Semua ini mencerminkan kemiskinan sasterawan dalam memahami temanya (rujuk entri 20/8/2014 dan 17/8/2017), dan betapa dangkalnya pengolahan tentang tema itu yang lebih terarah kepada sensasi. Semua novel Anwar Ridhwan berasaskan aspek sensasi itu, yang contoh-contohnya saya berikan dalam entri yang saya maksudkan.  Yang paling sensasi ialah para sarjana sastera tidak dapat melihat aspek ini, walaupun cukup jelas. Sebabnya amat jelas: sarjana sastera ini menerima sensasi sebagai satu kaedah dalam bercerita, dengan itu mengabaikan pemikiran kerana sensasi tidak akan dapat menyerlahkan pemikiran dalam penulisan kreatif.  Walaupun aspek ini elementary dan sepatutnya difahami dengan mudah oleh para sarjana sastera, ternyata tidak dapat dikesan oleh sasterawan dan sarjana yang menilai karya mereka. Hal ini diberi perbahasan yang cukup mendalam oleh Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir tentang keselekehan penilaian para Juri satu sayembara anjuran DBP yang memilih sebuah novel sensasi oleh Azizi Hj. Abdullah. (Rujuk tulisan beliau dalam Islam dan Pengaruh Barat dalam Kritikan, Bab 10, bertajuk: “Novel Harga Sebuah Maruah oleh Azizi Haji Abdullah: Kepincangan Penilaian Sebuah Pemenang Sayembara”.)


Bukan saja perwatakan dalam novel-novel sasterawan negara yang lemah; para sasterawan itu sendiri pun sama saja sifat picisannya dengan karya mereka yang amat lemah perwatakannya. Kesimpulan Prof. Ungku Maimunah dalam makalahnya juga tepat sekali jika dikenakan kepada penilaian para anggota Panel Anugerah Sastera Negara dalam laporan mereka.  Sehingga bila penipuan intelektual ini ingin diteruskan?  Para anggota Panel terdiri daripada ahli  akademik, nampaknya mereka bangga menjadi ahli akademik yang picisan.  Zaman untuk menipu masyarakat sudah lama berlalu, sebaik saja PB diperkenalkan. Kamu, ahli akademik picisan yang dilantik menjadi anggota Panel Anugerah Sastera Negara, adalah jenis manusia tidak bermoral baik dari segi akhlak mahu pun dari segi ilmu.  Para ahli akademik palsu yang menjadi anggota Panel Anugerah Sastera Negara ini wajar dikutuk kerana penampilan mereka membawa kecelakaan kepada perkembangan kritikan sastera yang sihat dan yang berteraskan ilmu.  Sesiapa juga boleh mencabar kesimpulan ini dengan membawa kepada kita hujah-hujah mereka untuk membuktikan sebaliknya.  Melihat betapa mudahnya kita menghumban karya terpilih itu ke dalam lumpur picisan, sudah cukup menjadi bukti akan sifat picisan para penilai ini.  Sekali lagi, jika anda mahu menjawab cabaran ini, anda harus tampil memberi pembelaan anda dengan bukti-bukti yang jelas dan penghujahan yang tuntas. Itulah antara lain yang anda boleh lakukan untuk menidakkan keunggulan PB dalam memberikan penilaian yang objektif dan tepat. Semua penegasan yang dipaparkan di sini boleh membantu anda menulis karya kreatif yang indah dan bermakna, dua matlamat yang ingin dicapai oleh PB. Makna ungkapan ini telah dijelaskan oleh Prof. Ungku Maimunah Mohd Tahir dalam makalahnya tentang PB yang tersiar dalam jurnal yang dirujuk.


Dengan munculnya Gagasan Persuratan Baru, para sasterawan, sarjana sastera, dan pengkritik sastera, sudah diberi pilihan secara akademik untuk menerima konsep ilmu yang benar sebagai asas kegiatan mereka. Apa bila mereka menolak perkembangan terbaru ini, jelaslah mereka tidak mempunyai kualiti akademik yang berupaya memberikan mereka pertimbangan ilmiah yang wajar untuk membuat pilihan terbaik untuk dijadikan asas kegiatan mereka. Inilah masalah yang dihadapi oleh mereka, yang tidak boleh nafikan. Sikap mereka yang anti ilmu dan memilih untuk terus berada dalam kejahilan memberikan pengaruh yang amat buruk terhadap perkembangan sastera yang sihat, yang memihak kepada kecemerlangan akademik dan keampuhan untuk memilih konsep ilmu yang benar yang diajarkan oleh al-Quran. Penderhakaan terhadap ilmu golongan ini menjadikan sastera Melayu berada dalam zaman jahiliah moden, menutup segala kemungkinan baru untuk memulai perkembangan persuratan yang berasaskan ilmu yang benar. Kalau sikap ini bukan pengkhianatan kepada kegiatan kreatif dan akademik, apakah kesimpulan yang tepat yang sesuai dengan sikap negatif mereka terhadap ilmu yang benar?  Soalan ini perlu mereka jawab.


Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 18 Julai 2018.



 













No comments:

Post a Comment