Monday, July 2, 2018

PENIPUAN DAN KORUPSI DALAM POLITIK DAN DALAM SASTERA. ADAKAH DUA GEROMBULAN INI SERUMPUN? [sambungan Bahagian 1]



Semua  sarjana politik dan ekonomi Barat menegaskan, dan mereka percaya, demokrasi adalah ciptaan kapitalisme untuk dipergunakan dan dijual beli oleh kaum kapitalis untuk memperkukuhkan kedudukan kapitalisme dan para pendukungnya.  Jika anda mengikuti perkembangan politik semasa di Amerika Syarikat, anda pasti akan melihat bagaimana demokrasi dijadikan alat oleh ahli politik dan peniaga untuk memperkuat kedudukan  mereka.  Saya tidak perlu cerita panjang tentang perkara ini, anda boleh ikuti di media yang disiarkan dari Amerika Syarikat.  Saya hanya ingin berbicara tentang kedudukan para sasterawan dan sarjana sastera sebagai pendukung politik sastera untuk kepentingan mereka, untuk faedah langsung kepada mereka. Keris Mas yang mula-mula dilantik sebagai sasterawan negara bercakap tentang politik sastera dan sastera dalam politik. 

Antara prinsip terpenting demokrasi ialah yang digelar di Amerika Syarikat “mobilization of bias”.  Parti yang mendakwa mengamalkan demokrasi akan menggunakan propaganda yang digelar “mobalization of bias” itu. Pengundi diberitahu dengan cara tidak benar, yakni dengan berbohong, bahawa manifesto yang mereka keluarkan adalah yang paling benar dan paling baik. Sokonglah manifesto itu dan undi parti yang menerbitkannya.  Manifesto tidak berubah, hanya  gaya  menyampaikannya  berubah atau diubah mengikut keperluan semasa.  Satu kajian menyeluruh berasaskan manifesto UMNO dan BN sejak merdeka tentu akan amat menarik, tetapi tiada sarjana politik yang bekerja di universiti yang berminat, kerana mereka sendiri adalah parasit yang mengharapkan habuan daripada ahli politik untuk mendapat kedudukan. Dengan itu ahli akademik pun turut sama menjadi pembohong dengan mengiakan saja apa yang dikatakan oleh pemerintah supaya mereka mendapat faedah peribadi. Demokrasi mengajar manusia menjadi pembohong, termasuk yang berada dalam parti Islam. Pembohongan besar yang menjadikan agama Islam sebagai “asas” politik mereka ialah para penyokong mereka dijamin masuk syurga; dan yang mengkritik mereka dijamin masuk neraka. Orang Melayu percaya penipuan ini, dan terus menyokong parti politik Islam yang memperjuangkan keperluan para pemimpin mereka. Untuk memperjuangkan Islam, anda tidak diwajibkan menjadi anggota parti, kecuali jika anda jahil dan percaya ugutan para pemimpin parti Islam ini yang sering mengugut anda akan disumbat ke neraka jika tidak menyokong mereka. Ini satu perbuatan syirik yang amat nyata, dan memang diketahui oleh orang yang tahu serba sedikit tentang Islam. Paling jelas inilah sifat munafik yang amat hina. Jika Nabi kita digelar Allah SWT dengan gelaran paling mulia sebagai contoh teladan terbaik untuk semua manusia (uswatun hasanah), maka ahli politik Islam menyebutnya sebagai satu propaganda untuk mereka yang kononnya berada dalam kumpulan “uswatun hasanah” itu.  Berlindung di bawah ungkapan itu, mereka memaki hamun seteru politik mereka sebagai ahli neraka semuanya.   Hanya mereka saja yang tahu mengapa mereka perlu menonjolkan imej begitu buruk terhadap Islam untuk mendapat sokongan. Bagi mereka itulah imej sebenar Islam, yang menjadi teras “perjuangan” (??) mereka.

Di mana kedudukan para sasterawan dan sarjana dalam pembohongan politik ini? Sasterawan dan sarjana mempunyai cara yang agak berbeza untuk mencapai cita-cita politik sastera mereka. Walaupun dari segi gaya agak berbeza, tetapi dari segi matlamat dan tujuan boleh dikatakan sama, iaitu kepentingan golongan mereka sendiri.  Inilah asas yang telah melahirkan 13 orang sasterawan negara setakat ini.  Semua mereka berada dalam kelompok  (lebih tepat gerombolan) Mutual Admiration Club, saling menyokong dan memuji satu sama lain, meletakkan diri mereka lebih tinggi daripada para ulama dan cendekiawan Melayu yang beratus-ratus tahun membina budaya ilmu di negara ini.  Kumpulan Mutual Admiration Club  ini tidak mempunyai maruah moral dan tidak juga maruah intelektual apabila mereka secara sedar memperjuangkan  faedah mereka dengan  membodek kerajaan supaya memberi mereka gelaran sasterawan yang wajib disebut setiap kali nama mereka disebut.  Walaupun karya mereka tidak mempunyai kualiti dari segi teknik dan pemikiran, mereka diberikan sifat itu oleh Panel Anugerah Sastera Negara. Dengan itu jelas terdapat sejenis mobilization of bias di kalangan gerombolan yang berada dalam Mutual Admiration Club ini.  Para sasterawan negara yang terpilih menjadi bukti  pentingnya mobilization of bias dalam penilaian sastera oleh para penilai yang menduduki Panel Anugerah Sastera Negara.  Walaupun istilah mobilization of bias satu istilah politik, tidak bermakna perbuatan seperti itu tidak berlaku dalam konteks lain, misalnya dalam konteks pemilihan terhadap sesiapa yang layak diberi kedudukan dan hadiah atau anugerah.  Persoalan besar di sini ialah kedudukan orang-orang ini dari segi moral dan maruah. Adakah dengan menggunakan mobilization of bias itu seseorang telah memperlihatkan moralnya yang tinggi dan maruahnya yang terpuji?  Dalam konteks Malaysia, persoalan ini jelas tidak mendapat perhatian di kalangan para penilai kerana yang dinilai dan yang menilai berada dalam kumpulan yang sama, yakni dalam kumpulan Mutual Admiration Club.  Jika anda meneliti penjelasan yang diberikan oleh Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh tentang Mutual Admiration Club ini, anda akan lebih mudah memahami penghujahan yang saya berikan di sini.  Cuma akan timbul persoalan: Adakah persoalan ini penting dan memberi kesan buruk dalam perkembangan budaya dan intelektual? Saya mengatakan itulah yang terjadi, kerana kita memberi kedudukan yang tidak wajar kepada sekumpulan sasterawan dan sarjana sastera yang picisan.  Sebaliknya, Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh yang pada mulanya mengutuk Mutual Admiration Club, berubah fikiran dan menyokongnya. Antara dua pilihan ini, yang saya kemukakan dan yang disenangi oleh Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh, mana satu yang lebih tepat? Sekarang anda perlu membuat pertimbangan yang paling objektif dan berani untuk memberi jawapan anda sendiri.

Kita lihat pula pandangan Keris Mas tentang Politik Sastera dan Sastera dan Politik yang termuat dalam ucapan penerimaan gelaran sasterawan negara 1981.  Sebelum itu, dalam tahun 1972, Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas telah memberi syarahan pengukuhan beliau di UKM dan dengan tegas membuat kesimpulan para sasterawan ini adalah golongan yang keliru konsep ilmunya, oleh itu mereka adalah golongan yang cetek meraba-raba. Syarahan itu nampaknya tidak dibaca oleh Keris Mas, yang tidak langsung menyebut kesimpulan penting itu. Boleh jadi kerana kesimpulan itu tepat, maka tidak perlu diungkit sebab akan merendahkan kedudukan para sasterawan negara sendiri.  Dengan tidak mencabar kesimpulan Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas, kedudukan para sasterawan negara menjadi persoalan besar, yang akhirnya membenarkan kesimpulan  Prof Syed Muhammad Naquib al-Attas itu. Implikasinya ialah, para sasterawan negara ini tidak layak diberi gelaran dan kedudukan palsu yang sedang mereka nikmati secara palsu sekarang.  Satu-satunya jalan keluar untuk memberi status yang benar kepada para sasterawan negara ini ialah dengan menolak secara total kesimpulan itu. Ini telah cuba dilakukan oleh Prof. Emeritus Ismail Hussein, atas nama GAPENA dalam satu perbincangan bersama Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas sendiri di UKM Bangi, tetapi GAPENA gagal memberikan hujah, hanya penafian semata-mata. Oleh itu, kesimpulan Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas masih belum tercabar, masih utuh seperti yang terkandung dalam buku syarahan pengukuhan beliau, Islam Dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu, 1972. Sampai bila para sasterawan dan sarjana berdegil mahu menafikan kesimpulan 1972 itu?   Di sinilah terserlah kepalsuan pandangan Keris Mas dan Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh dalam pidato penerimaan anugerah yang mereka ucapkan. 


Para sasterawan negara dan sarjana sastera ditempelak hebat oleh DAP yang diwakili  Menteri Kewangan yang menghina bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi Malaysia dengan menggunakan bahasa Cina dalam upacara rasmi Kerajaan Pakatan Harapan. Menteri berkenaan memberi hujah bahawa sekarang Malaysia menerima “multilingualism” sebagai cetusan sebenar suara rakyat yang melantik Pakatan Harapan sebagai pemerintah Malaysia, yang didominasi oleh DAP. Itulah pilihan rakyat, oleh itu tiada alasan langsung untuk menolak sikap DAP yang sebenar.  Lebih menarik, tidak terdengar sebarang bantahan daripada para sasterawan negara dan sarjana sastera, yang nampaknya masih bingung setelah Barisan Nasional (UMNO) yang menjadi tempat mereka bergantung untuk mendapatkan dana (PENA dan GAPENA masing-masing mendapat 5 juta daripada kerajaan yang dikalahkan kini) dikalahkan dengan teruk dalam pilihan raya 2018, yang memberi kemenangan besar kepada idea DAP dalam perjuangan mereka untuk mendaulatkan konsep Malaysian Malaysia, yang kini diberi nama baru yang penuh semu, Malaysia Baru.

Dewan Bahasa dan Pustaka dan ITBM, dua organisasi besar yang kononnya ditubuhkan untuk menggalakkan pemikiran baru dan bernas dalam bidang kreatif dan kritikan, ternyata telah gagal membina pemikiran baru itu, sebaliknya menjadi penghalang kepada sebarang cabaran intelektual untuk menutup kelemahan dan kepalsuan karya para sasterawan negara dan para sasterawan umumnya. Mereka menjadi lembek dan tidak relevan bila berdepan dengan cabaran DAP yang menghina bahasa Melayu, kerana masih tidak mahu menerima kedudukan mutlak bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara Malaysia, sama ada Malaysia lama yang lemah mahupun Malaysia Baru yang palsu. Semua pertubuhan bahasa dan sastera diam menikus, memberi gambaran tepat akan kedudukan mereka yang amat lemah dari segi pemikiran dan sikap kritis. Mereka seolah-olah menerima cabaran DAP mungkin kerana mereka tidak memahami implikasi cabaran DAP itu dalam perkembangan intelektual dan politik di Malaysia. Kalau mereka ini serius, mereka sudah patut mengadakan persidangan besar peringkat nasional untuk membincangkan kedudukan pendidikan sastera dan perkembangan kreatif serta kritikan di Malaysia.

Tidak ada yang boleh kita harapkan daripada Kementerian Pelajaran untuk membina budaya intelektual, atau budaya ilmu yang benar. Universiti masih menjadi hamba pemikiran dan gerakan intelektual Barat. Contoh yang paling memalukan kita ialah universiti di Malaysia berlumba-lumba berusaha untuk mencapai kedudukan “tinggi” yang sebenarnya palsu dalam rating universiti dunia. Adalah amat memalukan jika universiti kita menjadi institusi kolonisasi ilmu atau kolonisasi akademik yang menentang konsep ilmu yang benar. Tidak hairan jika yang dilahirkan oleh universiti yang menjadi koloni akademik Barat ini amat menghampakan. Universiti lebih berminat melahirkan buruh daripada melahirkan ilmuan, kerana menurut mereka pasaran graduan tergantung kepada kemampuan para graduan bekerja dalam bidang-bidang yang kononnya mereka dilatih. Soalnya, mengapa begitu ramai pelajar lulusan universiti sukar mendapat pekerjaan yang decent untuk manusia yang lulus universiti? Tidak ada apa-apa yang boleh dibuat oleh Kerajaan Pakatan Harapan kerana mereka sendiri masih berada dalam acuan lama. Universiti masih lagi menjadi penjara terbuka yang digunakan sepenuhnya untuk mendidik pelajar menjadi bodoh dan pelajar yang tidak boleh berfikir, pendeknya mendidik mereka menjadi tokoh gerakan pandirisme yang masih diteruskan dalam sistem yang berasaskan kolonisasi akademik ini.  Persoalan ini sudah dibincangkan di USM dalam tahun 2012, dengan terbitnya buku yang penting, Decolonising the University: The Emerging Quest for Non-Eurocentric Paradigms.  (Penerbit USM, 2012).

Setakat ini kritikan saya seolah-olah sejenis cetusan kekecewaan tidak berasas kerana dibelenggu oleh keinginan yang terlalu tinggi untuk melihat tercapainya idealisme perkembangan ilmu seperti yang telah dicetuskan oleh para ulama dan cendekiawan Islam zaman keagungan Islam, seperti yang saya gambarkan dalam sajak “Al-Andalus” yang tidak difahami oleh para sarjana sastera itu. Nampaknya inilah realitinya, apabila Gagasan Persuratan Baru mendapat tentangan hebat para sarjana  dan sasterawan kerana dituduh memperkecil sumbangan mereka. Anggapan ini lahir dari sikap mereka ini yang menerima pandirisme sebagai asas penilaian mereka, persis seperti yang dilakukan oleh Pak Pandir yang memilih padi hampa. Semua persoalan ini sudah saya jawab dan huraikan dalam buku-buku saya, terutama sekali Balai Maqamat, Hikayat Salim Adil, Pandirisme Dalam Komuniti Dunia.  Masalahnya ialah buku-buku ini dibaca tidak berasaskan konsep ilmu yang benar, yakni tidak kritis oleh itu tidak berupaya meneroka makna karya itu dari perspektif karya itu sendiri. Kaedah ini hanya boleh difahami dan dijadikan landasan penilaian jika konsep ilmu yang benar itu difahami terlebih dahulu. Inilah halangan besar yang dihadapi oleh para sarjana sastera, pengkritik, dan para sasterawan sendiri. Mereka adalah golongan cetek meraba-raba yang berasa senang berada dalam keadaan itu, kerana mereka tahu jika mereka bersikap kritis, mereka akan melemparkan karya mereka sendiri kerana mereka akan sedar bahawa karya itu tidak bermutu. Cabaran ini akan terus menjadi cabaran kerana mereka terlalu angkuh untuk tunduk kepada konsep ilmu yang benar itu. Demikianlah pentingnya mereka memahami Pandirisme Dalam Komuniti Dunia jika mereka ingin keluar dari kandang pandirisme itu.  Penyakit ini hanya boleh disembuhkan secara akademik jika mereka tunduk kepada kebenaran al-Quran dan menerima al-Quran sebagai sumber ilmu. Inilah yang terjadi kepada sarjana sastera, pengkritik, dan para sasterawan sendiri. Mereka memilih untuk menjadi bodoh kerana ingkar ilmu, tidak mahu menerima hakikat ilmu bersumberkan al-Quran.  Kalau begitu, siapakah yang mereka ikuti?  Jawapannya diberikan oleh al-Quran, antara lain yang boleh didapati dengan mudah ialah dalam Surah Yasin. Anda perlu mencari sendiri dengan membaca tafsir al-Quran.  Inilah asas kritikan saya yang anda perlu fahami terlebih dahulu. 

***********

Pelik juga bagaimana orang Melayu tidak boleh membaca perkembangan terbaru dalam politik Malaysia sekarang, yang memberi kemenangan besar kepada Lim Kit Siang dan DAP.  YANG MENGUASAI NEGARA Malaysia sekarang ialah DAP, atas nama Malaysia Baru, satu nama baru untuk Malaysian Malaysia yang diperjuangkan oleh DAP sejak 52 tahun lepas.  Adakah Mahathir juga telah diperdaya oleh DAP untuk menegakkan Malaysian Malaysia perjuangan DAP? DAP menggunakan strategi yang cukup lihai dengan mengambil lambang “mata” yang dijadikan lambang PKR. Atas lambang itulah DAP menang besar.  Saya cabar para penganalisis politik menolak kesimpulan ini. Jika mereka menolaknya, mereka membuktikan bagaimana bodohnya dan mudahnya Melayu diperdayakan dengan mudah oleh DAP yang memakai lambang PKR. Parti Mahathir sendiri menggunakan lambang PKR. Apa makna semua ini? Jelas. DAP menggunakan strategi yang cukup lihai untuk memperdaya Melayu menyokong cita-cita politik mereka. Betapa bodohnya penganalisis politik dalam TV, terutama sekali seperti yang ditunjukkan oleh Astro Awani, yang memuji “kemenangan” DAP ini sebagai kemenangan seluruh rakyat Malaysia. Dengan bangga juruhebah Astro ini memuji dua orang tokoh DAP yang sanggup bekerja sukarela membantu Menteri Kewangan Malaysia, yang disandang oleh Setiausaha Agung DAP.  Para pengulas politik ini tidak saja bodoh, tidak dapat membaca hakikat sebenar politik “baru” yang mereka kagumi itu.  Mereka juga tidak mempunyai daya intelektual yang tinggi untuk dapat membaca hakikat sebenar yang disebut “politik baru” itu.  Saya ingin menegaskan di sini bahawa apa yang dinamakan politik baru itu adalah program politik DAP untuk berkuasa dengan menggunakan sokongan Melayu yang pada umumnya terlalu naif untuk dapat membaca matlamat akhir DAP untuk menguasai ekonomi, politik, perniagaan, pendidikan, dan penerapan nilai-nilai sosialis yang bercorak kecinaan.   Ini  bererti, sekiranya terdapat suara kritis daripada orang Melayu, maka suara itu adalah suara perkauman sempit yang tidak dapat diterima oleh pendukung politik baru itu.  Dalam politik baru ini Melayu diberi wajah perkauman yang sangat buruk, yang kononnya bertentangan dengan politik baru itu.  Dengan keadaan ini, Melayu diheret ke dalam gaung perkauman diseret oleh DAP yang telah menggunakan Melayu untuk mencapai cita-cita Malaysian Malaysia mereka. Inilah hakikat politik yang tidak difahami oleh Melayu yang kini seolah-olah sedang mabuk dalam politik baru itu.

Di mana para sasterawan, sarjana sastera dan pengkritik berada?  Golongan ini nampaknya terus menikus, seolah-olah bersedih kerana kehilangan kuasa BN sebagai kerajaan yang mereka sayang dan yang bermurah hati memberi mereka dana yang besar kepada persatuan penulis yang utama, GAPENA dan PENA.  Adakah projek kesayangan para sasterawan dan sarjana sastera yang bernama Panel Anugerah Sastera Negara itu akan dibubarkan? Antara tindakan penting yang dilakukan oleh PM ialah membubarkan Majlis Profesor Negara yang ditubuhkan untuk mendukung kerajaan BN.  Sudah tiba masanya kerajaan PH memberhentikan projek sasterawan negara yang sia-sia dan anti-ilmu ini yang selama ini hanya bermegah-megah dengan hasil penulisan kreatif yang bertaraf picisan dan ingkar ilmu.

Bagaimana kedudukan Gagasan Persuratan Baru dalam era politik baru ini?  Pada mulanya saya memberi harapan yang agak positif kepada Menteri Pelajaran PH; tetapi setelah mendengar beberapa ucapan beliau, bagi saya ini pun sejenis “gone case” juga.  Hasrat saya untuk memperkenalkan Gagasan Persuratan Baru kepada beliau kena tunggu mungkin hingga akhir tahun 2018, untuk memberi  beliau ruang susup-sasap dalam belukar pendidikan negara yang anti ilmu, yang bersikap ingkar ilmu.  Saya yakin beliau juga menerima kolonisasi akademik seperti yang saya sentuh di atas. Kalau begitu, memang tiada tempat  untuk saya pula susup-sasap dalam belantara kolonisasi akademik ini.  Sekarang politik baru memberi perhatian yang agak lumayan kepada peranan “anak muda” dalam politik baru ini, tetapi saya tidaklah kagum dengan apa yang disebut “peranan anak muda” dalam politik baru ini. Mereka hanya meneruskan apa yang mereka terima daripada “orang tua” yang melahirkan mereka dalam arena politik baru ini. Saya tidak perlukan golongan seperti ini, dan tetap yakin Gagasan Persuratan Baru masih belum gagal mencerdikkan anak-anak muda ini, kerana saya dapati sudah muncul sekumpulan anak muda yang kritis seperti yang saya maksudkan. Sekurang-kurangnya sudah wujud penerbit yang dikendalikan oleh anak muda yang mencintai ilmu. Saya menaruh harapan besar kepada sumbangan Klasika Media yang menerbitkan karya saya yang tidak dijeling oleh penerbit seperti DBP dan ITBM.

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 2 Julai 2018.


No comments:

Post a Comment