Sunday, June 17, 2018

DARI MALAYSIAN MALAYSIA KE MALAYSIA BARU (MALAYSIA KITA): KEMENANGAN BESAR DAP MENGUASAI POLITK MALAYSIA. (Bahagian 1)



Tahniah kepada Lim Kit Siang anak-beranak dan anggota DAP. Anda telah menang besar, Melayu telah memberi anda apa yang anda perjuangkan selama 52 tahun (atau lebih) setelah membawa idea Malaysian Malaysia dari PAP Lee Kwan Yew, former boss Lim Kit Siang. Kita tunggu buku tentang Lim Kit Siang di Singapura dan bagaimana Lee Kwan Yew mempengaruhi politik Malaysia sehingga berjaya mencapai kemenangan besar oleh DAP dalam pilihan raya 2018.  Sejarah ini penting kerana ini ada kaitannya dengan peristiwa berdarah Mei 1969, apabila DAP yang menang besar berarak di Kuala Lumpur sambil menjeritkan kata-kata, “Melayu, balik kampung lah…”  Saya tidak tahu sama ada sejarah peristiwa penting ini telah ditulis atau tidak dalam analisis yang objektif. Saya fikir sejarah ini penting dikenang kerana inilah permulaan kemenangan besar dalam pilihan raya ke-14 yang dicapai bulan Mei 2018. Mei adalah bulan keramat bagi DAP, dan bulan celaka bagi Melayu menurut pemimpin Melayu yang perkauman. Kita perlu sedar, yang perkauman hanya Melayu, bukannya bukan Melayu. Seorang pemimpin DAP keturunan Tamil yang menjadi Menteri Pekerja, memberi amaran kepada kerajaan Pakatan Harapan (Malaysia Baru) supaya menerima kedudukan bahasa Tamil setaraf dengan bahasa Melayu, dengan itu menjadikan Tamil salah satu bahasa rasmi Malaysia Baru. Ini orang (seorang peguam) memberitahu dengan tegas supaya semua sekolah Tamil dibawa ke bandar-bandar, tidak lagi ditempatkan di estate getah. Ini suatu pembaharuan yang penting yang perlu diberi perhatian utama oleh Perdana Menteri Tun Mahathir. Kita diberitahu sudah ditubuhkan jawatan kuasa untuk pengundi Tamil yang menjadi king maker dalam pilihan raya 2018. Gerakan ke arah membasmikan perasaan perkauman Melayu perlu dianalisis supaya orang Melayu sedar diri bahawa selepas 9 Mei 2018 mereka bukan lagi gerombolan yang memperjuangkan hak ketuanan Melayu, yang menurut Rafidah Aziz (Tan Sri yang vokal) perlu diganti kepada ketuanan Malaysia.  Semuanya mesti berubah demi kesejahteraan rakyat yang telah menolak UMNO.  Sebenarnya Melayu tidak menolak UMNO, yang saya yakin akan bangkit kembali jika parti ini mendapat pemimpin yang cerdik dan  vokal. Saya fikir Tan Sri Rafidah Aziz layak mengetuai UMNO, terutama sekali dalam Malaysia Baru kita diberitahu bahawa kedudukan wanita diberi perhatian utama, dengan misalnya melantik Dr. Wan Azizah sebagai Timbalan Perdana Menteri.  Cerita beliau melawan bekas Imam Besar Masjid Negara telah saya abadikan dalam Hikayat Buyung Lurus. Novel ini wajar dibaca oleh para pemimpin politik jika mereka mahu menjadi pemimpin yang benar-benar jujur, bukan hanya berlagak jujur seperti dahulu hingga sekarang. Peringatan penting: Anda tidak perlu meragui kejujuran DAP yang berjaya memperjuangkan Malaysian Malaysia menjadi Malaysia Baru untuk semua rakyat. Politik Baru dalam Malaysia Baru adalah jawapan kepada kemunduran Melayu yang terabai di bawah pentadbiran UMNO. Para pemimpin UMNO kaya raya sementara para pengikut mereka terus papa kedana. Di mana silapnya? Jawapannya mereka beri dalam keputusan pilihan raya Mei 2018, menurut para penganalisis politik. Walaupun saya menghormati analisis (?) mereka, saya tidak fikir mereka telah memberi analisis yang cerdik dan objektif. Dalam analisis saya, mereka hanya menyerlahkan keistimewaan mereka sebagai pengamal pandirisme dalam politik. Supaya mereka faham maksud saya, elok mereka baca Pandirisme Dalam Komuniti Dunia dan Hikayat Salim Adil (terutama bab tentang 1MDB). Dua buah buku ini akan memberi anda sedikit gambaran kritis tentang faham politik yang kononnya dianuti oleh para pemimpin Politik Baru.

Adakah orang Melayu, pengundi Melayu, telah dijual dalam pilihan raya 2018? Walaupun pertanyaan ini agak nakal, namun jawapannya adalah serius jika anda faham maksud pertanyaan itu.  Kita mahu tahu apakah sebenarnya yang telah dicapai oleh pengundi Melayu dengan menyerahkan kemenangan kepada idea Malaysian Malaysia yang dilaungkan DAP sejak 52 tahun dalam politik Malaysia untuk kemudiannya menjadi Malaysia Baru pilihan anak muda yang dikuasai oleh orang tua politik. Sejauh mana anak muda sedar bahawa kerajaan baru yang menjadi kebanggaan mereka adalah sebuah kerajaan re-con yang ditonjolkan sebagai perubahan besar. Jika benar keputusan Mei 2018 merupakan perubahan besar, siapakah yang mendapat faedah besar dalam perubahan itu? Dalam pandangan saya, kemenangan besar itu adalah kepunyaan Malaysian Malaysia yang diperjuangkan oleh DAP sejak 52 tahun ini.  Kalau andaian saya betul, kita perlu tahu sejauh mana perubahan itu akan mengubah politik Malaysia? Adakah dalam perubahan itu Melayu terus terpinggir seperti yang mereka alami selama lebih dari 60 tahun di bawah UMNO?  Saya tinggalkan pertanyaan ini untuk anda fikirkan, sebelum saya memberi jawapannya dalam lain entri nanti.

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya 17 Jun 2018.

No comments:

Post a Comment