Tajuk ini
mungkin mengejutkan para sarjana dan sasterawan yang percaya, dan yakin,
kemunculan sastera Melayu moden tidak mungkin terjadi tanpa pengaruh sastera
Barat. Kata mereka, buktinya cukup mudah: kehadiran para sasterawan negara
tidak mungkin terjadi tanpa pengaruh teori sastera Barat. Masalahnya anggapan ini
tidak betul, dan tidak berasas. Dalam hal ini, Panel Anugerah Sastera Negara,
dalam semua laporan mereka, menerima pengaruh Barat sebagai asas sastera Melayu
moden. Walaupun dalam banyak perkara, seperti yang saya sentuh di sana sini
dalam blog ini, laporan Panel pada umumnya mengarut, tetapi dalam hal ini
mereka betul kerana itulah pengakuan mereka sendiri dalam semua laporan mereka.
Bagi Panel, tidak ada sastera Melayu
tanpa teori sastera Barat.
Nampaknya
kita menghadapi kontradiksi yang tidak siuman. Apakah kontradiksi itu? Bayangkan, tanpa teori Barat, tidak akan muncul
sastera Melayu. Tetapi para sasterawan negara dan lain-lain sasterawan
dikatakan kelompok penulis yang mempunyai keaslian mereka sendiri. Apakah
keaslian itu? Sebenarnya tidak ada, kerana Panel telah memberi hujah yang
diterima sendiri oleh para sasterawan negara bahawa mereka adalah peniru teori
dan teknik sastera Barat. Dilihat dalam konteks ini, memang tepat dan benar
kesimpulan PB bahawa para sasterawan negara ini adalah kumpulan peniru yang
bangga menganggap diri mereka mempunyai keaslian yang melayakkan mereka
dilantik sebagai sasterawan negara. Sekarang anda nampak agak jelas, dalam
penghujahan yang berpusing-pusing ini sebenarnya tepat sekali bahawa para
sasterawan negara ini adalah golongan peniru, oleh itu tidak asli dari segi
penampilan tema dan stail penulisan. Dalam konteks inilah saya gelarkan mereka
golongan fakus, golongan yang
sebenarnya fake, yang palsu.
Kenyataan ini boleh difahami dengan lebih mudah jika anda menggunakan PB untuk
menilai mereka. Tahu mereka fake,
maka mereka terpaksa menolak PB yang telah membuktikan sifat fakus mereka. Dengan membaca perlahan-lahan beberapa kali,
anda mungkin dapat menangkap masalah kontradiksi yang saya maksudkan.
Sifat
sastera yang fakus ini dibuktikan,
secara tidak sengaja, oleh Dr. Norhayati Ab. Rahman dalam “teorinya” yang saya
panggil the poetics of adultery.
Ini sarjana dengan bangga memperagakan kelucahan penyelidikannya sebagai
sebuah hasil akademik yang berkualiti tinggi, dengan menerima hadiah-hadiah
besar daripada DBP dan Universiti Malaya serta Kementerian Pendidikan Malaysia. Dari perspektif mana pun anda lihat, the
poetics of adultery tidak diperlukan dalam sastera Melayu; mungkin
diperlukan di Indonesia yang menerima Saman
sebagai sebuah karya besar mereka. Bagi
sasterawan Indonesia, unsur Islam dalam sastera adalah masalah pinggiran yang
tidak penting dan yang sengaja dibangkitkan untuk membuat golongan minoriti
(walaupun Islam agama majoriti, dalam sastera Islam kecil saja) menjadi
gelisah. Kelemahan sasterawan Indonesia ialah mereka tidak ada kesedaran
tentang pentingnya konsep ilmu dalam penulisan kreatif. Aspek ilmu, terutama
dalam konteks Islam, dikeluarkan sama sekali kerana yang mereka tuju ialah apa
yang mereka panggil “universal Barat”.
Mereka tidak sedar (para sasterawan), yang universal itu Islam, bukan
Barat. Itulah kelebihan mereka yang ingin dikuti oleh sasterawan Malaysia. Begitu kacau sekali konsep ilmu mereka; dan
ini menjadi kebanggaan mereka yang amat dikagumi di Malaysia. Lihat contoh
Muhammad Haji Salleh meletakkan Goenawan Mohamed sebagai tokoh yang mesti
dicontohi. (Rujuk Sastera Teras Negara
Bangsa, ITBM 2014). Kekacauan dalam peranan ilmu yang benar yang
ditolak dan yang menjadi ejekan di
Indonesia dibawa ke Malaysia dan amat dikagumi oleh para sasterawan Malaysia,
yang memberi credit yang tinggi
kepada sasterawan Indonesia yang lebih bebas. Sekali lagi buktinya ialah tesis
Dr. Norhayati Ab. Rahman yang mendapat sanjungan tinggi di Malaysia, walaupun
kualiti akademiknya picisan saja jika dinilai dari perspektif ilmu. Saya telah berkali-kali mencabar mereka untuk
menolak Gagasan Persuratan Baru
(edisi 2) sebagai tidak mempunyai kualiti pemikiran dan tidak ada kualiti
akademiknya sama sekali. Mereka tahu mereka perlu membaca rujukan yang banyak
sebelum dapat membuat penilaian yang sederhana sekali pun. Sebaik saja mereka
menyentuh Gagasan Persuratan Baru,
terserlah kejahilan dan kecetekan mereka. Oleh itu, lebih baik diam dan terima
saja segala kritikan terhadap mereka. Ini bukan sikap ahli akademik; sikap
jenis apa merekalah yang lebih tahu. Prof. Dato’ Rahman Shaari telah
membuktikan kelemahan mereka seluruhnya ketika cuba mengkritik PB yang
menurutnya mudah, tetapi kerana terlalu mudah tidak mampu diberi penilaian
sewajarnya. Mereka menggunakan
keangkuhan mereka untuk menunjukkan kecetekan mereka. Mereka telah mengkhianati
sastera, dan terutama sekali para pelajar sastera yang diberi pengajaran
sastera yang amat cetek dan mengelirukan.
Bagaimana anda boleh mengajar sastera dengan mendalam dan objektif jika
anda melarang pelajar anda meneliti dengan kritis Gagasan Persuratan Baru, yang kini muncul sebagai pencabar segala
teori Barat yang digunakan di Malaysia. Itulah yang saya maksudkan dengan pengkhianatan
dalam pendidikan sastera. Mereka
berbangga memperkenalkan the poetics of adultery di kalangan
pelajar sastera, tetapi tidak membuka kepada pelajar ini alternatif yang sudah
tersedia yang berasaskan konsep ilmu.
Orang Barat telah banyak menulis tentang pembohongan akademik ini,
antaranya… (saya biarkan sarjana kita
cari sendiri kerana buku-buku itu amat mudah didapati; tinggal membacanya saja. Judulnya telah saya sebut dalam beberapa
entri. Anda boleh mencarinya dengan mudah.)
Sebagai
seorang sarjana, atau sasterawan sekalipun, anda tidak wajar berbangga berada
dalam dunia ilmu yang keliru, seperti yang dibuktikan oleh Dr. Mohamad Saleeh
Rahamad dalam eseinya tentang Naratif
Ogonshoto.
Persoalan
yang saya bincang di sini telah saya bincang dengan panjang lebar dalam entri
bertarikh 9/4/2013, sebelas tahun dulu. Antara lain saya jelaskan mengapa kita
perlukan “teori” sastera, dengan memberikan beberapa pandangan mengapa kita perlukan teori dan untuk
apa. Pandangan saya terhadap teori sastera
Barat juga saya jelaskan, oleh itu anda yang berminat dengan “teori” patut
membaca kembali entri ini. Jika perkara
ini difahami, kita tidak mungkin memberi laluan yang begitu mewah kepada the
poetics of adultery bikinan Dr. Norhayati Ab. Rahman yang sebenarnya
amat memalukan kita, seolah-olah semua sasterawan dan sarjana bodoh-bodoh
belaka, tidak tahu memilih mana yang baik mana yang hampas. Adakah ini kenyataannya? Jika kita meneliti
perilaku mereka dan melihat dengan kritis karya akademik mereka, kita sukar
untuk menolak bahawa itulah kenyataannya. Seburuk itu? Nampaknya
begitulah. Pembaca blog ini yang
cerdik tidak dapat menafikan kesimpulan ini.
Tetapi peluang masih terbuka luas kepada mereka untuk menafikannya,
kerana ramai pembaca yang ingin melihat kecerdikan anda pula yang menolak
hakikat ilmu dalam persuratan. Bila saya
baca tulisan Dr. Norhayati Ab. Rahman dalam Sastera
Teras Negara Bangswa, beliau bercakap tentang ilmu (?), atau seolah-olah
bercakap tentang ilmu. Silap besar beliau ialah beliau tidak memberi
definisinya menurut Islam. Jika maksud beliau yang diperkatakannya itu ilmu
yang benar, dia tidak seharusnya melawan Gagasan Persuratan Baru yang jelas dan
tegas memperjuangkan ilmu yang benar dalam persuratan dan bidang akademik.
Mungkin beliau mendapat sumber lain yang lebih hebat daripada sumber saya
sendiri. Kenalah beliau bermurah hati menjelaskannya kepada pembaca dan saya
pun ingin belajar daripada beliau, membetulkan konsep ilmu yang saya
perjuangkan. Kita amat memerlukan
sarjana yang bermurah hati berkongsi ilmu dengan orang-orang jahil yang tidak
sarjana seperti saya. Andainya jika
berlaku sebaliknya, yakni pemikiran saya tentang ilmu lebih terserlah daripada
beliau, maka menjadi tugas beliau untuk
belajar daripada saya. Demikianlah yang berlaku di kalangan para ulama, yakni
para ahli ilmu dalam Islam. Tentu saja
tradisi ini sangat bagus, dan telah berjaya melahirkan para pemikir yang amat
cemerlang dalam Islam, malah dalam dunia ilmu seluruhnya. Nampaknya sarjana
Melayu, yang membicarakan sastera Melayu, agak kedekut untuk memberi sedikit
cebisan daripada ilmu mereka tentang sastera. Ini membuat kita ragu bahawa
mereka sebenarnya golongan yang berilmu, seperti yang ditakrifkan dalam Islam.
Walau apa
pun pendirian para sarjana sastera dan sasterawan tentang konsep ilmu, mereka tetap melakukan kesilapan besar dengan
menerima kehadiran the poetics of adultery dalam sastera Melayu. Kesarjanaan anda tidak sepatutnya menipu anda
untuk tidak menerima kebenaran. Inilah
kesan yang amat negatif daripada kecetekan anda memahami teori sastera Barat
yang amat nyata telah mengelirukan anda tentang konsep ilmu, sehingga anda
menjadi amat kagum mendakap kekeliruan anda dengan membawa masuk the
poetics of adultery dalam sastera Melayu. Kesan buruk dari the poetics of adultery
ini sangat besar dalam sastera Melayu, yang mendorong para sarjana dan sasterawan
sendiri menerima karya picisan sebagai karya agung sepanjang zaman, seperti Naratif Ogonshoto; dan kini mereka
menerima pula Puitika Sastera Wanita
Indonesia dan Malaysia: Satu Bacaan Ginokritik (USM 2012). Kedua-duanya adalah karya picisan, dilihat
dan dinilai dari perspektif ilmu yang benar. Tetapi kedua-duanya mendapat
perlindungan Mutual Admiration Club. Tidak dapat dinafikan lagi Mutual
Admiration Club ini membawa keburukan dan memberi perlindungan kepada kejahatan
sebagai teras penulisan kreatif dan akademik Malaysia. Apa yang saya kritik selama ini memang benar,
dan anda tidak boleh lari lagi dari menerima kenyataan ini. Kini sudah jelas, masa depan yang gemilang
bagi persuratan Melayu sudah pun dimulai oleh Gagasan Persuratan Baru melalui
beberapa penerbitan utama yang anda sendiri memang maklum.
Mohd.
Affandi Hassan,
Petaling
Jaya, 8/4/2018.
No comments:
Post a Comment