Kemunculan Mutual
Admiration Club dalam tahun 1973 seperti yang dihuraikan oleh Prof. Emeritus
Dr. Muhammad Haji Salleh dalam kertas kerjanya di seminar kritikan sastera 1973
di Johor Baru (lihat entri 22 Mac 2018)
telah membongkar dengan berani dan penuh tanggungjawab seorang sarjana sastera
apabila beliau membicarakan keburukan Mutual Admiration Club dalam sastera
Melayu. Walaupun beliau kemudiannya, setelah dilantik menjadi sasterawan
negara, beliau sendiri menjadi penyokong
paling tegar, malah menjadi penaung dan ketua tertinggi Mutual Admiration Club
yang dikutuknya pada mulanya, kedudukan beliau telah berubah dan beliau
mempunyai misi yang lebih mulia serta penting untuk menjaga maruah para
sasterawan negara yang memang diwujudkan oleh kumpulan yang berada dalam Mutual
Admiration Club, malah para sasterawan negara adalah hasil sokongan Mutual
Admiration Club, yang kebenarannya tidak dapat ditolak. Lihat anggota yang
sekarang menjadi anggota kelab sasterawan negara, kita akan melihat, jika tidak
buta hati dan tidak tumpul kesedaran ilmiahnya, semua mereka adalah satu
kelompok yang semuanya menyokong kemunculan Mutual Admiration Club kerana kelab
itulah yang telah mengangkat mereka ke taraf sasterawan negara. Perubahan kedudukan Mutual Admiration Club
ini tidak bererti semua hujah Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh sudah
terbatal, kerana jika ini terjadi kedudukannya sebagai seorang sarjana ulung
Malaysia akan terjejas, malah akan meruntuhkan sama sekali maruah akademiknya
yang sentiasa mendapat sanjungan para sarjana, sasterawan dan pengkritik
sastera itu. Penjelasan yang lebih tepat mengenai perubahan ini ialah mengenai
peri pentingnya kedudukan para sasterawan negara dipertahankan dari sebarang
kritikan dengan meletakkan mereka di dalam Mutual Admiration Club, oleh itu
mempertahankan misi ini jauh lebih penting daripada misi awal untuk menjaga
kepentingan sastera Melayu yang kini telah berubah daripada keadaan yang ada
pada tahun 1973 itu. Saya fikir para sarjana, sasterawan dan pengkritik sastera
Melayu cukup faham mengenai perubahan ini, oleh itu sokongan mereka adalah padu
dan amat diperlukan supaya para sasterawan negara ini tidak mendapat malu besar
dan hilang kredibiliti.
Satu-satunya
persoalan besar yang masih tergantung tanpa sebarang keputusan ialah kemunculan
Gagasan Persuratan Baru dalam gelanggang sastera Melayu, yang menggegarkan
keseluruhan kewujudan sastera itu sendiri. Bagaimana ini boleh ditangani? Saya kira mudah, dan memang disedari oleh
para sarjana, sasterawan, dan pengkritik sastera. Apabila kumpulan ini menolak
PB maka mereka telah mengembalikan kedudukan para sasterawan negara
sekurang-kurangnya dalam masa satu dekad ini.
Perkembangan selanjutnya selepas itu tidak penting kerana pada waktu itu
sejarah telah memihak kepada para sasterawan negara. Dalam konteks hermeneutics yang dianjurkan oleh
Gadamar, sesuatu tafsiran akan berubah mengikut konsepsi kita terhadap sejarah,
ertinya kehadiran sasterawan negara adalah satu kejadian sejarah, dan dalam
sejarah tidak ada yang baik dan yang buruk, semuanya bergantung pada posisi
penilai sendiri. Oleh itu, Hang Jebat yang menderhaka tidak dapat dipulihkan
kerana sejarah tidak memihak beliau, walaupun ada sarjana dan penulis cuba
memulihkan kedudukannya. Hang Tuah masih terus diterima sebagai wira agung
Melayu. Demikianlah kedudukan para sasterawan negara sendiri, dengan itu
kedudukan Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh sebagai sasterawan, sarjana
dan tokoh terulung sastera Melayu, tetap kekal. Demikian huraian Gadamar, tokoh
hermeneutics yang terkenal itu. Dengan demikian, semua mereka yang terlibat
boleh bernafas dengan lega, kerana sokongan tokoh sehebat Gadamar sukar
ditolak; kecuali jika anda melihatnya dari perspektif ilmu yang benar yang
dijadikan teras Gagasan Persuratan Baru. Jika ini terjadi, kita hanya mempunyai
dua kedudukan, yang boleh menjadi pilihan jika anda mahu. Tetapi ada satu hujah
yang boleh menidakkan kedudukan yang diberikan oleh Gadamar. Apakah hujah itu
saya serahkan kepada anda yang lebih bijak dalam sejarah kritikan sastera
Barat.
Dengan
wujudnya kedudukan seimbang ini, yang diberikan oleh kritikan sastera Barat,
dan kedudukan sebenar dari segi konsep ilmu yang diberikan oleh Gagasan
Persuratan Baru, anda boleh membuat
pilihan. Oleh sebab pengaruh teori sastera Barat sudah bertapak kukuh dalam
sastera Melayu, maka semua sasterawan negara dan para penyokong mereka adalah
dalam keadaan selesa dan selamat. Walaupun mereka dicabar oleh Gagasan
Persuratan Baru, cabaran itu tidak bererti kerana mereka sendiri telah menolak
kemunculan PB dan mengangkat teori sastera Barat di atas segala-galanya. Mereka
telah memilih menjadikan sastera sebagai teras negara bangsa, dan ITBM telah
menerbitkan buku khusus tentangnya dengan judul yang sama.
Menurut para
sasterawan, sastera adalah sejenis permainan bahasa; dan dari segi penilaian
pula Wittgenstein telah memberi kedudukan tinggi kepada permainan bahasa dalam
falsafah bahasanya, yang dihuraikan dengan mendalam oleh Morris Weitz dalam
bukunya, Hamlet and the Philosophy of
Literary Criticism (Faber paperback Edition, 1964, 1972). Semua sarjana sastera Malaysia dan para
sasterawan mesti baca buku ini kerana inilah satu-satunya teks yang boleh anda
guna untuk menidakkan kebenaran Gagasan Persuratan Baru sebagai satu teori
sastera. Saya memberi laluan ini untuk mendengar bagaimana anda menghuraikan
perbezaan pandangan ini secara ilmiah dalam konteks sastera Melayu yang telah
menerima teori sastera Barat sebagai asas sastera Melayu. Semoga anda semua
bangkit serentak untuk menolak kehadiran PB dalam konteks sastera Melayu yang
berteraskan teori sastera Barat itu.
Jika hujah anda lebih baik daripada hujah yang diberikan oleh PB ketika
menolak teori sastera Barat, maka saya tidak ada pilihan selain bersetuju
dengan anda. Tetapi PB akan kekal dalam sejarah, sebagai teori yang gagal sama
seperti “teori” puitika sastera Melayu yang sudah menjadi fosil itu. Anda perlu mengambil peluang ini untuk
mematahkan hujah PB once and for all!
Cara
mematahkan hujah PB cukup mudah, diberi analisis dan penjelasan yang amat
terperinci oleh Morris Weitz dalam bukunya dengan menggunakan penjelasan dan
analisis terhadap drama Hamlet. Weitz memberi senarai panjang tokoh-tokoh
kritikan sastera Barat yang pernah membicarakan Hamlet, membuat tafsiran dan
sebagainya. Lihat bukunya dan cuba pelajari sesuatu yang amat berguna di dalam
buku itu: iaitu betapa aneka ragam dan betapa aneka makna yang dilontarkan oleh
para sarjana sastera, tetapi satu pun tiada yang menjawab sepenuh rahsia Hamlet. Mengapa terjadi demikian? Jawapannya cukup mudah: kerana semua teori
itu dicetuskan oleh manusia sendiri, yang memang tidak sempurna dan boleh
dikritik sebaliknya. Itulah yang terjadi kepada tafsiran para sarjana yang cuba
memahami siapa sebenarnya Hamlet dan mengapa dia menjadi masalah kepada sarjana
sastera. Adakah Hamlet watak yang kuat?
Jika dinilai daripada kata-katanya yang terkenal, “To be or not to be..”,
nampaknya dia bukan seorang watak yang kuat, sebaliknya terumbang-ambing tidak
pasti, sukar membuat keputusan kerana tidak yakin yang dibuatnya itu
benar-benar perlu. Mengapa Hamlet menjadi masalah dalam sastera Barat? Sebabnya
mudah, kerana mereka tidak ada pegangan berasaskan konsep ilmu yang bersumber
dari Tuhan, kerana mereka menolak Tuhan sebagai pencipta, dan manusia wujud
sendiri melalui proses tabii. Oleh itu sesiapa saja boleh menetapkan apa juga
ukuran mereka sendiri dan memberi nilai mereka sendiri, dengan itu watak yang
mereka anggap istimewa tidak semestinya begitu. Ini disedari oleh T. S. Eliot,
yang mengkritik Hamlet sebagai sebuah
drama tragedi yang cacat. Katanya antara lain:
Kritikan beliau dikritik oleh Morris Weitz dalam bukunya (Bab
4). Saya lebih dapat menerima pandangan Eliot kerana beliau sendiri adalah
penulis drama yang terkenal, oleh itu beliau tahu, dari pengalamannya sendiri,
apa yang dimaksudkannya dengan drama yang baik dan berjaya. Weitz hanya seorang
sarjana, yang membuat tafsiran berasaskan prinsip-prinsip peribadi beliau. Ada juga
terdapat sarjana Malaysia meletakkan
Shakespeare di tempat yang tinggi dan istimewa, maka itu adalah pilihan
peribadi, yang mungkin terpengaruh oleh
pembacaannya. Shakespeare adalah seorang tokoh bangsawan (maksud saya, cerita
bangsawan) Inggeris yang matlamatnya untuk menghibur. Apabila G.B Shaw, seorang
penulis drama yang terkenal, yang setiap dramanya dimulai dengan pendahuluan
yang panjang, mengkritik Shakespeare, dia berbuat begitu sebagai seorang yang
tahu tentang drama. Begitu juga dalam kes Tolstoy. Orang Inggeris tidak ada pilihan yang lain melainkan
meletakkan Shakespeare sebagai tokoh istimewa kerana kemunculan Shakespeare seolah-olah
memberi kekuatan kerana sekarang mereka
pun boleh berbangga mereka juga mempunyai tokoh besar seperti lain –lain tokoh
Eropah yang terdapat di Sepanyol, Perancis, German, Itali dan lain-lain.
Semangat nasionalisme dalam seni tidak dapat dielakkan, seperti yang juga
terjadi dalam sastera Malaysia. Tetapi bagi kita yang mempunyai al-Quran, semua
ini adalah fatamorgana, ilusi dan kekarutan faham yang diangkat menjadi penentu
ukuran padahal ukuran itu bersifat individu, tidak berasaskan konsep ilmu. Anda
tentu boleh berkata apa yang anda mahu, tetapi anda tidak dapat lari dari
kedudukan ilmu yang benar ketika membuat penilaian, kerana kepercayaan anda
mengajar anda begitu. Saya harap anda faham ke mana arah kritikan saya ini.
Penjelasannya telah banyak saya berikan dalam blog ini, tentu anda masih ingat.
Saya setuju para sasterawan negara mesti diselamatkan dari
mendapat kutukan generasi akan datang, atau mendapat malu besar pada waktu ini.
Cara membela mereka cukup mudah, dan benar-benar akan menyelamatkan mereka. Mereka mesti dinilai
sehabis kritis, sesuai dengan kedudukan mereka, untuk membuktikan kehadiran
mereka memang diperlukan. Panel Anugerah Sastera Negara telah gagal memberi
perlindungan, kerana laporan mereka sendiri pun cetek meraba-raba dan tidak ada tunjangan akademik. Tak perlu saya
ulang kritikan saya dalam blog ini mengenai mereka. Yang kita perlukan sekarang
ialah kita mesti mengelak dari tanggungjawab kita untuk mempertahankan para
sasterawan negara ini daripada dikutuk oleh generasi akan datang. Jalan keluar
cukup mudah dan boleh dilakukan sekarang, iaitu dengan menilai mereka dari
perspektif ilmu seperti yang disarankan oleh PB. Para sarjana sastera tidak
mempunyai pilihan lain, kecuali jika mereka benar-benar membuktikan teori
kritikan sastera Barat cukup ampuh untuk mempertahankan para sasterawan negara
ini, walaupun saya menolak anggapan dan andaian itu, kecuali dibuktikan. Bagi
mereka semua ini tidak diperlukan lagi, kerana semuanya sudah selesai, oleh itu
lebih bermoral, kata mereka, jika persoalan ini tidak diungkit lagi. Tetapi ini
bukan masalah ungkit atau saja-saja hendak mencari salah atau paling kurang
mencari kelemahan para sasterawan negara ini.
Masalah ini serius kerana amat jelas mereka ini cuba bersungguh-sungguh
untuk menutup kelemahan para sasterawan negara ini, dengan menutup sebarang
perbincangan kritis terhadap mereka. Oleh sebab karya mereka digunakan dalam
pendidikan sastera, para pelajar perlu diberi penjelasan yang menyeluruh
tentang kehebatan para sasterawan negara ini, bukan dengan menyembunyikan fakta
seperti yang berlaku terhadap Naratif
Ogonshoto, yang satu episod yang memalukan dalam novel itu dibuang. Para
pelajar juga perlu tahu dan berbincang tentang perkara itu, kerana mereka sudah
dewasa dan bersedia membincangkan aspek perzinaan dalam karya para sasterawan
negara ini. Lagi pula kini sudah ada the poetics of adultery yang diperkenalkan oleh Dr. Norhayati Ab.
Rahman, yang bukunya digunakan sebagai teks dalam kursus the poetics of adultery ini. Persoalan perzinaan dalam sastera diberi
kedudukan tinggi oleh para sarjana kerana ini bagi mereka adalah perubahan yang
memang ditunggu-tunggu. Untuk rujukan mudah, lihat Hikayat Salim Adil, hal. 58-59 yang menurunkan beberapa bahagian
buku Dr. Norhayati Ab. Rahman mengenai the poetics of adultery ini. Mengajar para pelajar universiti untuk menipu
dalam dunia akademik adalah satu kesalahan besar yang sepatutnya dielakkan.
Kalau anda sudah berani memperkenalkan the poetics of adultery dalam sastera
Melayu, anda juga mesti berani mempertahankan kepalsuan anda sendiri supaya tidak
menjadi ikutan para pelajar anda. Perkembangan ilmu tidak sepatutnya diasaskan
kepada penipuan akademik.
Sebaliknya, sekiranya anda memang berpendapat bahawa penipuan
akademik adalah sesuatu yang wajar dalam penyelidikan, untuk memberi peluang
orang lain membaca kajian anda dan menyokong atau menolak kajian anda, maka
anda juga perlu mempertahankan kedudukan
anda itu. Sebaik-baiknya para pelajar diajar untuk tidak menipu, tetapi jika
ini akan merendahkan taraf anda sebagai sarjana, maka sekurang-kurangnya anda
mendedahkan mereka kepada kebenaran, tidak menutupnya. Pilihan anda untuk
menutup kejahatan seperti dengan membuang
satu episod penting dalam Naratif
Ogonshoto kerana anda pun tahu tidak sesuai untuk para pelajar, anda
sekurang-kurangnya memberi mereka peluang mengetahui terdapat alternatif lain
dalam perbahasan tentang isu-isu sastera sekarang, dengan munculnya
Gagasan Persuratan Baru yang tersedia
untuk dirujuk melalui tulisan yang sudah diterbitkan (dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris) dan
dibukukan. Sebenarnya adalah aneh dan tidak masuk akal untuk anda menutup
kejahatan di kalangan pelajar, tetapi mendedahkannya kepada masyarakat. Memang benar andaian yang dibuat selama ini
bahawa karya para sasterawan negara ini kaya dengan aspek kejahatan dalam
kehidupan masyarakat yang dipaparkan begitu saja, seperti dalam Naratif Ogonshoto dan beberapa buah
novel erotik dan lucah Shahnon Ahmad. Kita tidak perlu segan silu untuk
menyebut kenyataan ini kerana itulah yang diberikan kepada kita oleh para
sasterawan negara. Sekarang kerja begini sudah meresap dalam kerja-kerja
akademik, dengan munculnya the poetics of adultery dalam karya
Dr. Norhayati Ab. Rahman. Semua ini
memerlukan penjelasan, kerana kehadiran the poetics
of adultery ini dalam sastera Melayu amat mengejutkan. Perkembangan terbaru ini menggugat sifat
siuman para sasterawan, sarjana dan pengkritik sastera. Oleh sebab kesemua
mereka menerima perkembangan terbaru yang belum pernah berlaku dalam sastrera
Melayu ini, maka mereka sudah jelas tidak bertanggungjawab sama sekali. Masalah
ini berlaku kerana terdapat tiga masalah BESAR yang menjadi isu yang mesti
diselesaikan jika sastera Melayu mahu kembali siuman seperti dalam tradisi
persuratan dahulu. Pertama, sastera Melayu terlalu terikat kepada teori Barat,
dengan itu para sarjana, pengkritik dan sasterawan menulis dalam wajah teori
Barat. Kedua, akibat dari yang pertama, maka terjadilah sikap negatif terhadap
perubahan yang menjadikan mereka menolak konsep ilmu yang benar. Ketiga, akibat
dari dua isu besar di atas, maka muncullah Mutual Admiration Club yang sesat
itu. Tiga isu besar ini hanya boleh
diatasi dengan kembali kepada konsep ilmu yang benar yang dijelaskan dalam
Gagasan Persuratan Baru. Tiada pilihan lain, jika mereka ini mahu menjadi
siuman. Membawa masuk dan memperkenalkan
the
poetics of adultery adalah perbuatan paling tidak siuman yang pernah
berlaku dalam sastera Melayu.
Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 28 Mac 2018.
No comments:
Post a Comment