Pengkritik
sastera Malaysia masih lagi budak-budak hisap puting. Tetapi menarik, kerana
semua puting yang mereka hisap dibuat di Barat. Orang Melayu tidak buat puting,
kerana mereka ajar anak-anak mereka hisap ibu jari saja. Mana pun yang anda
pilih, puting atau ibu jari,
kedua-duanya membuktikan
anak-anak ini belum dewasa. Tak tahulah pula jika mereka sudah biasa hisap,
terus saja hisap walaupun sudah dewasa. Yang dewasa umur, tidak pemikiran
mereka. Bagaimana kita tahu mereka masih hisap puting? Cukup senang, dengan
membaca tulisan mereka. Kritikan hisap puting ini sangat popular dalam sastera
Melayu. Contohnya telah banyak saya berikan, tetapi sekadar imbasan kembali
untuk perhatian anda, kita lihat lagi contoh kritikan hisap puting ini.
Seorang sarjana
besar Malaysia yang terkenal seluruh dunia, mendapat idea baru untuk memastikan
dia puas hisap puting dengan menaiki bumbung kilang berkarat untuk mencari idea.
Hasilnya ialah sebuah kritikan gaya hisap puting yang dibincangkan dalam Sidang
Kemuncak Penulis Malaysia 2014, dimuat dalam buku ITBM Sastera
Teras Negara Bangsa (2014). Judul buku ini sangat hebat, tetapi isinya
lebih lucu daripada cerita jenaka Melayu.
Nampaknya Pak Pandir dan kawan-kawannya lebih cerdik daripada penyumbang
kertas kerja, yang paling jelas boleh kita lihat dalam mutu kertas picisan yang
saya rujuk. Kerana tidak berapa ramai orang memuji sarjana ini, maka dia
memulai tulisannya dengan memuji dirinya sendiri, untuk memperlihatkan betapa
pentingnya kedudukannya sebagai seorang “pemikir” dalam genre kritikan hisap
puting. Supaya anda boleh lihat sendiri,
saya salin perenggan pertama karya genre kritikan hisap puting sarjana ini.
Kata beliau dengan sombong:
“Saya agak
lama tidak menjadi pentadbir atau perancang, jadi agak sulit untuk menempatkan
diri saya dalam keadaan yang demikian.
Namun begitu, saya sering menulis cadangan untuk perancang – sebahagian
besarnya terselit di antara huruf dan dakwatnya dan setahu saya ramai yang cuba
mencungkilnya dan mempertimbangkannya.”
(hal. 203)
Kebenaran
perenggan pertama ini tidak dibuktikan kebenarannya dalam perenggan berikutnya,
yang memang kaya dengan omongan bernada angkuh dan memuji diri serta
kawan-kawan dekat.
Seluruh
tulisannya tidak sedikit pun memperlihatkan beliau tahu perkembangan terbaru
dalam kritikan sastera Malaysia. Pengetahuannya tentang kritikan masih berada
di sekitar tahun 1950-an, a la Asas 50.
Saya tidak keberatan beliau memuji dirinya, tetapi tunjukkanlah kemajuan
yang telah anda buat selama 40-50 tahun ini. Syarahan perdana beliau sudah
mati, sudah menjadi fosil dalam sastera Melayu kerana tidak berasaskan
perkembangan sebenar yang berlaku dalam perkembangan intelektual Malaysia.
Beliau masih hanyut dalam dunia penglipur lara, dan membawa Pak Wahid Awang
Batil ke majlis syarahan perdananya untuk disetarafkan dengan para profesor.
Inilah kemuncak pandirisme yang sering saya tegaskan selama ini. Tokoh seperti
sarjana ulung ini tidak dapat memisahkan dirinya dari pengaruh pandirisme,
hanya kerana dia tidak mahu melihat kemajuan yang sudah dimulai sejak tahun
1980an lagi apabila idea tentang Persuratan Baru mula diperkenalkan. Adakah sejarah sepenting ini dihembuskan
dengan ingus akademik sahaja? Itulah
yang berlaku, yang memang terbentang di hadapan anda jika anda bukan tuli,
pekak dan bisu dan buta. Sekali lagi,
bukti terbaik ialah yang anda boleh lihat dalam buku ITBM Sastera Teras Negara Bangsa.
Dalam buku itu, anda tidak dapat apa-apa perbincangan tentang konsep
ilmu dan peranan ilmu dalam karya kreatif dan yang lebih penting, apakah sumber
ilmu? Anda sudah diberitahu semua ini,
tetapi anda menolaknya. Itu saja. Penolakan itu menjadi lebih bermakna kerana
dilakukan dengan angkuh. Iblis pun tidak melawan Allah, Iblis hanya ingkar bila
disuruh hormat Nabi Adam. Tetapi anda? Jawapan yang paling tepat hanya ada pada
anda dan anda pun tahu apakah jawapan itu. Antara yang menarik dari jawapan itu
diberikan sendiri oleh tokoh besar ini. Kata beliau: “Sudah lama institusi
bahasa dan sastera kita tidak menjadi apa-apa, melainkan bahan ketawa. Yang
menjadi ketua bukan orang dalam bidang yang akan diketuai” (hal. 208).
Tentu saja
ini termasuk yang menjadi ketua ITBM sendiri, yang tiba-tiba saja muncul dalam
dunia sastera. Lebih wajar jika beliaulah (yakni tokoh yang kita bicarakan ini)
yang menjadi ketua ITBM, atau sekurang-kurangnya Baha Zain yang banyak pengalaman
itu di DBP. Tokoh lain ialah Dr. Anwar
Ridhwan, yang juga lama di DBP, tetapi tidak memberi kesan kerana kehadiran dua
orang tokoh besar ini tidak membawa kegemilangan kepada DBP dan negara. Apakah
jasa beliau yang menonjol dan boleh dijadikan bukti kehebatan mereka ketika di
DBP? Antara cadangan saya yang terpenting yang saya sebut kepada orang besar
DBP ialah supaya DBP bekerjasama dengan universiti terpilih untuk menyediakan
edisi lengkap karya pengarang kita seperti Ishak Hj. Muhammad, Ahmad Boestamam,
Ahmad Bakhtiar, Harun Mohd. Amin, Abdullah Sidek dan lain-lain. Kita juga perlu menulis sejarah perkembangan
intelektual dalam sastera Melayu. Rupanya, tiada seorang pun daripada para
profesor kita yang layak membuat kerja ini. Apa guna kita wujudkan begitu ramai
profesor sastera jika mereka tidak boleh menghasilkan karya akademik yang
berkualiti? Tentulah sangat aneh, tidak wajar langsung, untuk mengharapkan saya
yang membuat kerja itu; walaupun mereka tahu tiada seorang pun di antara mereka
yang muncul sebagai seorang pemikir unggul untuk menulis buku yang hebat
seperti, misalnya, After the New
Criticism oleh Frank Lentricchia; atau Anti-Intellectulism
in American Life, oleh Richard Hofstadter.
Habis lekeh pun, sudah patut pada waktu ini untuk muncul sebuah
sanggahan terhadap Gagasan Persuratan Baru, melihat besarnya kebencian para
sarjana besar kita yang diwakili oleh para profesor yang hebat-hebat. Kalau
mereka sendiri tidak ada idea bernas, sekurang-kurangnya mereka berupaya
menyanggah idea bernas seperti yang terdapat dalam buku Gagasan Persuratan Baru itu.
Prof Syed Hussein al-Attas pernah memberi gelaran glamour kepada sarjana seperti ini; tentu anda masih ingat.
Tokoh besar
sastera Melayu ini, yang menjadi wira dalam Hikayat
Salim Adil, melampiaskan kehebatannya dalam kutipan ini, yang biadab dan
tidak beretika, yang ditujukannya kepada musuhnya yang tidak mahu disebutnya,
tetapi sebenarnya beliau menulis tentang
dirinya sendiri. Kita baca seranah beliau yang angkuh dan hipokrit ini:
“Kritikan
ialah satu sayap sastera yang sudah patah – sebahagiannya dipatahkan orang
gasang dan tidak berbudi sastera, yang menulis dengan kata-kata racun dan
kebencian, tanpa etika dan maruah diri atau hormat terhadap penulis lain. Saya
menginginkan suatu kritikan yang dipupuk
kembali menjadi bidang yang bermoral, beretika, bertanggungjawab, dan juga
membantu penulis berkembang. “Criticism
with kindness” ialah suatu prinsip yang dapat dipakai. Penulis juga harus
belajar menerima kritikan dan belajar daripadanya. Kembalilah mencari contoh
daripada Goenawan Mohamad dan Baha Zain.”
Inilah antara
contoh jenis kritikan hisap puting yang saya maksudkan.
Tentulah
aneh bila kita baca kritikan ini, yang ditujukannya terhadap dirinya sendiri.
Semua yang disebutnya itu adalah sifat-sifat dirinya sendiri, tidak kena
mengena dengan sesiapa juga yang dikritiknya. Beliau tidak saja tidak jujur
kerana bercakap begitu umum untuk membiakkan fitnah dan prasangka buruk di
kalangan penulis, yang tercari-cari siapa agaknya yang dimaksudkan beliau.
Kalau beliau tidak yakin, dan penakut, baik tidak usah sentuh tentang kritikan
jika hanya untuk menyerlahkan “perangai buruknya” menuduh orang lain yang
tidak dinamakan. Tidak salah untuk
menyebut nama sesiapa pun yang anda
maksudkan, kerana ini akan mengelak daripada prasangka buruk. Itulah etika
dalam kritikan, yang telah dijelaskan dengan panjang lebar dalam buku After the New Criticism, yang nampaknya tidak dikenal oleh profesor ini dan
tentu sekali tidak dibacanya; kerana sekiranya beliau membacanya beliau akan
melihat perbezaan pendapat yang sengit berlaku di kalangan sarjana Amerika,
tetapi mereka tidaklah sebiadab sarjana ini. Mereka masih hormat sarjana yang
dikritiknya dengan memberikan pandangan mereka terlebih dahulu atau mengolahnya
dengan cermat dan selepas itu memberikan pandangan kritis mereka. Itulah kaedah
akademik, yang sepatutnya menjadi ikutan di kalangan sarjana Malaysia, terutama
profesor ini. Apabila dengan begitu
angkuh profesor ini menidakkan kemunculan Gagasan Persuratan Baru, maka beliau
hanya memperlekeh dirinya sendiri yang tidak mahu menerima perubahan walaupun
perubahan itu baik dan amat bermakna dalam perkembangan intelektual Malaysia,
seperti yang telah dibuktikan oleh beberapa orang sarjana dalam tulisan mereka.
Dengan jelas, yang mematahkan sayap kritikan itu ialah beliau sendiri, dan ini
dilakukannya dengan penuh sedar dan dengan perasaan marah yang tidak terkawal
kerana dia pun sedar pendapatnya tentang kritikan tidak saja cetek, tetapi juga
tidak jujur. Misalnya, beliau pernah
mengkritik teori Barat yang katanya tidak sesuai digunakan untuk menilai karya
Melayu. Kritikan yang tidak berasas itu mati beragan kerana dia pun tahu
karyanya sendiri dibicarakan oleh para sarjana menggunakan teori Barat ketika
menulis kertas kerja mengenai “pemikirannya”
dalam Seminar Pemikiran Sasterawan Negara
anjuran DBP. Malah ketika itu beliau meminta seorang penulis kertas
kerja supaya menulis tentang yang baik-baik saja tentang karyanya, yang dipersetujui
oleh sarjana itu. Bukan saja ketika kita membeli ikan di pasar tani kita tawar
menawar, di kalangan sarjana pun berlaku. Inilah yang dinamakan pasar akademik
a la pasar tani. Dalam keadaan kacau dan bercelaru ini, tiga-tiba terjadi
perubahan yang mengejutkan.
Tiba-tiba,
secara mendadak, kita dipaksa menerima perubahan paradigma dalam sastera Melayu
dengan munculnya the poetics of adultery. Lebih memeranjatkan lagi kemunculan the
poetics of adultery ini mendapat sambutan begitu besar dan
memeranjatkan daripada golongan sarjana, pengkritik dan sasterawan, terutama
sekali di kalangan para sasterawan negara.
Mereka memberi sanjungan kepada pencetus the poetics of adultery
ini kerana telah menghasilkan sebuah karya akademik paling unggul, Puitika Sastera Wanita Indonesia dan
Malaysia: Satu Bacaan Ginokritik (USM 2012). Karya ini mendapat hadiah besar berprestij! Ada
pendapat yang berkata kemunculan the poetics of adultery ini mencabar
Gagasan Persuratan Baru yang tidak boleh berbuat apa-apa, malah kata mereka PB
akhirnya harus tunduk kepada the poetics of adultery jika
masih mahu hidup dalam sastera Melayu.
Sekali lagi gelaran glamour
Prof. Syed Hussein al-Attas muncul kembali. Rupanya memang benar-benar wujud
profesor kangkung, dan perihal pokok rimbun yang tidak berbuah.
Semua
perkembangan yang membawa kepada kemunculan the poetics of adultery
terpaksa kita terima walaupun kita terpaksa menerima sesuatu yang menjijikkan
dan terlalu menghina akal sihat dalam dunia sastera. Inilah kutukan akibat dari menjadi abdi teori
sastera Barat. Yang kita terima hanya
kejijikan dan penghinaan terhadap akal sihat. Kejahatan ilmu ini masih belum
disedari oleh para sarjana, pengkritik dan sasterawan Malaysia. Mereka adalah
golongan manusia tidak berakal yang dikutuk oleh al-Quran, “Mereka tuli, bisu
dan buta, maka (oleh sebab itu) mereka tidak mengerti.” (Al-Baqarah, 2:
171). Semua ini terjadi kerana menolak
konsep ilmu yang benar yang bersumber dari al-Quran.
Terdapat
satu hujah yang menarik yang disimpan oleh kumpulan ini kerana mereka tidak
mahu menimbulkan salah faham kononnya. Bagi mereka, sastera tidak diharamkan
dalam Islam, oleh itu tidak wajar jika sastera dilihat dari perspektif Islam
setelah konsep sastera itu dalam konteks yang menjadi pegangan para sasterawan
dan sarjana tidak pernah diharamkan oleh mana-mana ulama. Menurut mereka, yang
dipersoalkan ialah mengapa mereka menolak Gagasan Persuratan Baru, padahal PB
memberi mereka kebebasan untuk mencipta dalam konteks stylization of ideas. Semua
ini, kata mereka, tidak ada dalam Islam; hanya pendapat peribadi seorang
peneliti sastera yang tidak semestinya perlu menjadi ikutan. Menurut mereka,
walaupun PB dikatakan berasaskan konsep ilmu menurut Islam, tidak membuktikan
PB satu petua dalam penulisan kreatif, oleh itu tidak mengikat sesiapa sekali
pun untuk mengikut faham mereka sendiri. Kesimpulan ini sewajarnya dibahaskan,
tetapi kata para sarjana sastera perbahasan itu tidak perlu sama sekali kerana
ini seolah-olah mereka menerima PB padahal mereka tidak terikat dengan apa-apa
petua. Setelah berpusing-pusing mencari helah, akhirnya mereka dengan beraninya
membuat kesimpulan bahawa the poetics of adultery tidak wujud,
hanya satu andainya yang tidak semestinya benar. Kalau begitu, bagaimana pula
kedudukan Puitika Sastera Wanita
Indonesia dan Malaysia: Satu Bacaan Ginokritik? Buku itu menerima
perzinaan sebagai sesuatu yang sah untuk kesejahteraan dan kebebasan seks
wanita. Helah mereka, itu hanya benar dalam konteks wanita bukan Islam.
Soalnya, adakah helah mereka benar? Kutipan yang saya ambil yang dimasukkan
dalam Hikayat Salim Adil membuktikan
sebaliknya. Mana satu di antara dua dokumen ini yang berbohong? Kita perlukan kepastian anda supaya tidak
nanti pembaca terus terkeliru. Sesiapa
juga yang membaca buku Dr. Norhayati Ab. Rahman itu dengan kritis akan melihat
dengan jelas bahawa beliau secara sedar menerima perzinaan sebagai gaya baru
dalam sastera moden Indonesia, malah beliau memujinya. Lihat kutipan dalam Hikayat
Salim Adil halaman 58-59.
Kemunculan the poetics of adultery adalah satu kenyataan yang
tidak dapat dinafikan. Itulah paradigma
baru dalam sastera Melayu.
Sekarang
tinggal lagi satu persoalan. Apakah yang akan terjadi kepada PB? PB akan kekal
dalam persuratan Melayu, menjadi pendorong kepada penulisan kreatif berasaskan
konsep ilmu yang benar, yang tidak mungkin ditolak oleh sesiapa sekali pun. Dengan itu sebarang sarjana, pengkritik dan
sasterawan yang meremehkan PB, hanya
meremehkan diri mereka sendiri. Dalam
konteks ini, PB harus berdepan dengan kumpulan Mafia sastera yang berada dalam
satu kelab terkenal, Mutual
Admiration Club. Ketika dikesan
oleh seorang sarjana pada tahun 1973, Mutual Admiration Club ini tidak
bertindak ganas (aggressive) seperti
yang ada sekarang. Penjelmaan kelab ini dibicarakan oleh seorang sarjana dalam
buku terbitan Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan (1973), Kritik Sastera di Malaysia. Pada waktu ini kelab Mutual Admiration Club ini menguasai hampir semua kegiatan
sastera sama ada yang dianjurkan oleh DBP mahupun oleh ITBM. Dalam persidangan para sarjana sastera yang
dianjurkan oleh ITBM 2014, keseluruhan program persidangan itu dirangka untuk
memberi kemudahan dan keuntungan khas kepada anggota kelab ini, yang dapat kita
lihat dalam Resolusi yang mereka kemukakan dan luluskan. Paling ketara dalam persidangan ini ialah
tiadanya usaha untuk membincangkan peranan ilmu dalam karya kreatif dan dalam
kritikan sastera. Ini merupakan satu pengkhianatan kepada perkembangan
kebudayaan di Malaysia. Inilah wajah sebenar sastera Melayu dari dulu hingga
sekarang. Dengan wajah ini, maka berleluasalah mediocrity dalam semua bidang, dengan tidak ada sesiapa pun boleh
menilai kedudukan mereka kerana apa juga usaha untuk membaiki keadaan akan
ditentang habis-habisan oleh mereka. Wajah sastera yang mereka tampilkan sangat
buruk dan jijik, tetapi amat cantik bagi mereka kerana merekalah yang mendapat
faedahnya. Dalam suasana yang liar dan ganas inilah Gagasan Persuratan Baru
menghadapi semua cabaran mereka dengan kontan, sehingga akhirnya mereka
terkapai-kapai kelemasan dalam gerakan intelektual apabila mereka tidak
berupaya menangkis apa juga cabaran yang dihadapkan kepada mereka oleh Gagasan Persuratan Baru.
Dalam
keadaan inilah kumpulan Mafia sastera yang berada dalam Mutual Admiration Club
terkejut besar, tetapi menggembirakan mereka, apabila Dr. Norhayati Ab. Rahman
memperkenalkan the poetics of adultery dalam sastera Melayu, dengan itu
memberi tunjangan ilmiah terkuat untuk menyokong kumpulan Mafia sastera ini,
seperti terbukti daripada kegembiraan mereka memberi hadiah istimewa kepada
buku Dr. Norhayati Ab. Rahman, Puitika
Sastera Wanita Indoesia dan Malaysia:
Satu Bacaan Ginokritik (USM 2012). Buku picisan ini mendapat sokongan
istimewa dari Penerbit USM yang
menerbitkan buku ini. Buku ini juga
mendapat hadiah dan penghargaan istimewa dengan sokongan para juri yang
menilainya, yang semuanya dari kumpulan Mafia yang berada di bawah lindungan Mutual
Admiration Club. Demikianlah lahirnya the poetics of adultery
dalam sastera Melayu, yang akhirnya mengubah paradigma sastera Melayu (lihat beberapa entri mengenai persoalan ini). Kemunculan kumpulan Mafia dalam sastera
Melayu ini diberi tempat istimewa, dan mendapat sokongan yang juga amat
istimewa daripada para penilai dan sarjana sastera, iaitu diperkenalkan oleh Naratif Ogonshoto dalam watak Presiden
yang tidak bernama, satu alusi tentang kedudukan para sarjana sastera dan para
sasterawan sendiri yang menyokong gerakan Mafia sastera ini sama ada dengan
sedar mahu pun secara tidak sedar. Novel ini telah diisytiharkan sebagai novel
terbesar, sebagai novel agung dalam sastera Melayu untuk sepanjang zaman. Nah,
apa lagi bukti yang anda mahu untuk menolak peri pentingnya peranan Mafia
sastera dalam perkembangan sastera Melayu.
Novel inilah yang memperkenalkan tokoh pemikir dari Itali, Machiavelli.
Cuma sayangnya Machiavelli yang sudah diterima sebagai pelopor falsafah politik
di Eropah diberi wajah yang sangat buruk, yang anda boleh baca dalam Naratif
Ogonshoto. Ini pun satu bukti betapa jahilnya sarjana dan sasterawan Malaysia
yang ingin mendabik dada memperkenalkan Machiavelli, tetapi Machiavelli yang
tidak wujud dalam sejarah pemikiran Eropah sendiri. (Sila baca dengan tekun
buku ini, yang dihasilkan oleh Sheldon S. Wolin, Politics and Vision (Boston: Little, Brown and Company, 1960. Buku
yang ada dalam tangan saya mencatat “Eighth Printing”, tarikh saya beli London
6/12/76. Saya masukkan maklumat ini untuk makluman biasa saja supaya anda tidak
berfikir yang bukan-bukan). Buku ini membicarakan dengan terperinci peranan
Machiavelli sebagai seorang ahli falsafah politik yang menjadi pelopor
pemikiran politik Eropah. Saya sebut
maklumat ini untuk menarik perhatian anda bahawa Machiavelli yang menjadi
kebanggaan sasterawan Malaysia tidak wujud pun!
Seorang lagi sarjana Barat yang diterima sebagai pakar pemikiran
Machiavelli ialah Quentin Skinner. Anda
boleh lihat kuliah Skinner dalam YouTube. Lihat juga buku kecil yang penting, Machiavelli, oleh Maurizio Viroli (London: Granta Publications, 2008). Dalam
siri buku penerbit ini, How to Read. Sekadar untuk membantu saja, kerana
sarjana dan sasterawan kita perlukan bantuan seumpama ini. Menarik juga jika
anda renung kata-kata Machiavelli di
belakang kulit buku sebagai sebahagian dari blurb: “Men are infamous and detestable who are
destroyers of religion, squanderers of kingdoms and republics, and enemies of
the virtues.” Bab 7 buku ini secara khusus membincangkan peranan agama
menurut pandangan Machiavelli.
(Bertajuk: “The Necessity of Religion”.)
Jangan-jangan ramai di antara sarjana dan sasterawan masuk golongan yang
dikutuk oleh Machiavelli ini!
Inilah wajah
sebenar sastera dan sasterawan Malaysia: Pandirisme. Inilah wajah sebenar anggota Mutual
Admiration Club. Inilah kumpulan yang akhirnya melahirkan the
poetics of adultery dalam sastera Melayu. Dalam konteks ini, baca
dengan kritis kutipan daripada Machiavelli itu.
Saya yakin
wajah jijik dan buruk sastera Melayu ini boleh diselamatkan dan dibersihkan
perlahan-lahan dengan mempraktikkan idea
besar yang terdapat dalam Gagasan Persuratan Baru. Jika anda masih ragu-ragu,
kita perlu bahaskan kesimpulan ini dengan tuntas dan tegas. Masalahnya ialah
anda begitu bacul dan penakut untuk masuk gelanggang ilmu dengan sikap positif
untuk mencari kebenaran. Ini berlaku kerana kuatnya pengaruh kritikan hisap puting yang menjadi
pegangan dan praktik golongan Mutual Admiration Club ini. Dalam
keadaan inilah kita perlu mendedahkan keburukan kumpulan Mafia sastera ini
dengan membahaskan kepalsuan tulisan mereka secara berterusan. Tugas ini berat,
tetapi dapat dilaksanakan jika anda mempunyai persediaan ilmiah yang mencukupi.
Wajah buruk kritikan sastera ini digalakkan oleh para sarjana sendiri, yang
kualiti tulisan mereka rendah dan keliru. Contoh terbaik boleh kita lihat dalam
buku ITBM Sastera Teras Negara Bangsa. Judul itu sendiri mencerminkan kualiti berfikir
yang amat rendah dan cetek di kalangan sarjana sastera; apatah lagi bila kita
membaca dengan kritis tulisan yang dimuat dalam buku itu. Satu pengkhianatan kepada ilmu, to say the least!
Mari,
anak-anakku dan guru-gurumu, saya ajar kamu menjadi cerdik dan mencintai ilmu,
melalui Gagasan Persuratan Baru. Kamu
tidak akan rugi. Masuklah ke dalam
golongan orang-orang berilmu dan yang mencintai ilmu.
Mohd.
Affandi Hassan,
Petaling
Jaya 18/3/2018.
No comments:
Post a Comment