Saturday, March 24, 2018

PERLUKAH DITERUSKAN KEKELIRUAN INI?



Penilaian semua terhadap sasterawan negara dan karya mereka semakin mendesak setelah jelas mereka dan karya mereka semakin diragui kualitinya. Mereka tidak perlu dilindungi dengan berada dalam kelompok Mutual Admiration Club yang pernah dikritik oleh Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh dalam tahun 1973 dulu.  Ketika itu beliau agak kritis kerana belum lagi mendapat apa-apa kedudukan istimewa seperti sekarang.   Hak istimewa orang Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan pun masih boleh dikritik supaya keistimewaan itu tidak disalahgunakan oleh ahli politik. Dalam dunia politik, orang Melayu tidaklah istimewa, tetapi ketua-ketua mereka adalah istimewa dan memang terbuka luas untuk mendapat kemewahan, sesuatu yang tidak dapat dirasakan dengan adil oleh Melayu kampung yang berada dalam mood lembu kenyang, menunggu habuan daripada ketua-ketua politik mereka. Sehari dua ini kita diberitahu ada usaha (?) daripada Felda untuk berbelanja 300 juta untuk membayar hutang penghuni FELDA. Mengapa mereka masih berhutang dan terus tinggal miskin  padahal mereka ditempatkan di dalam rancangan itu untuk menjadi bebas hutang. Semua ini terjadi kerana mereka hanya diberi keistimewaan untuk berhutang dengan syarikat FELDA yang kaya itu sekiranya mereka mahu tanam semula. Banyak perkara yang memerlukan penelitian tentang kehidupan mereka yang sebenarnya tidak istimewa itu. Sekarang kita lihat para sasterawan negara berada dalam keadaan selesa kerana diberi keistimewaan yang berlebihan, antaranya yang utama ialah mereka tidak boleh dinilai semula dan tidak boleh dikritik. Adakah ini hak istimewa atau mereka diistimewakan untuk melindungi kesilapan besar melantik mereka? 

Setelah lebih dari 35 tahun (tepatnya 37 tahun) diwujudkan sasterawan negara, tidakkah terdapat kemajuan yang dibuat oleh penulis lain yang tidak berada di dalam gerombolan sasterawan negara?  Kalau begitu, jelaslah tidak ada kemajuan di kalangan para sasterawan selain dari sasterawan negara. Adakah ini bermakna Malaysia begitu papa kedana dengan bakat baru yang lebih menonjol kebolehannya? Kalau memang tidak ada, maka jelaslah tiada siapa pun di antara generasi selepas sasterawan negara ini mendapat faedah daripada mereka. Semua ini adalah persoalan yang memerlukan penjelasan dan jawapan. Kita mesti ukur kemajuan yang telah kita capai dan mesti dapat melihat bakat-bakat baru yang muncul, adakah mereka sebenarnya lebih mundur? Kalau begitu, pendidikan sastera ternyata telah gagal melahirkan generasi penulis yang berbakat. Semua ini memerlukan penjelasan dan analisis. Sikap lembu kenyang yang menjadi  praktik sekarang tidak membina kreativiti, malah semakin membantut kreativiti itu.  Ini adalah penipuan yang jelas dalam perkembangan intelektual dan budaya.

Seperti yang telah saya sentuh banyak kali sejak tahun 1970-an lagi, sastera Melayu mengajar orang Melayu terus menjadi bodoh, dibantu dengan gigih sekali oleh para sarjana yang amat menyanjung kebodohan itu supaya kedudukan mereka sendiri pun tidak tergugat dan tidak dipersoalkan.  Saya telah mencabar para sarjana dan sasterawan ini supaya tampil dengan kelebihan ilmu yang ada pada mereka untuk menolak Gagasan Persuratan Baru dan karya yang telah ditulis berasaskan gagasan itu. Sepatutnya tidak harus ada perasaan takut untuk dinilai dari perspektif PB, kerana mereka ini memang dinilai dengan menggunakan macam-macam teori Barat yang banyak direka di Barat. Dalam hal ini saya bersetuju dengan Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh yang satu masa dulu bersedih tidak dinilai dari perspektif Melayu, sebaliknya dengan menggunakan teori Barat. Tetapi masalahnya beliau sendiri tidak mahu dinilai dari perspektif Melayu yang dibawa oleh PB, kerana jika ini dilakukan karya beliau tidak lagi istimewa dan jelas tidaklah bermutu seperti yang dilaungkan oleh beliau sendiri dan teman-temannya dalam Mutual Admiration Club. Demikian rendahnya self esteem mereka! 

Dalam konteks ini amat jelas saya lebih terbuka dan sentiasa bersedia untuk dinilai karya kreatif dan ilmiah saya dari mana-mana teori yang mereka suka, dengan membuat perbandingan dengan karya para sasterawan negara ini. Kita tidak seharusnya memberi sokongan kepada kebaculan intelektual dengan tidak mahu dinilai sehabis kritis menggunakan pendekatan tempatan yang telah teruji keterampilannya sebagai sebuah teori sastera.  Itulah kedudukan PB dalam sastera Melayu. PB mesti dicabar dengan menggunakannya untuk menilai karya para sasterawan negara yang telah dinilai dengan selekeh oleh Panel Anugerah Sastera Negara, seperti yang telah saya buktikan dalam banyak kritikan saya terhadap kedudukan sebenar dari segi akademik Panel ini.

Tidak pernah berlaku dalam dunia ilmu di mana-mana sekali pun kita harus meneruskan kekeliruan dan kecetekan ini dan berbangga pula dengannya. Inilah yang kita wujudkan dalam projek sasterawan negara ini. Ini yang kita mesti ubah dan hapuskan, kerana projek sasterawan negara ini menghalang kemajuan berfikir dalam kesusasteraan.  Meletakkan para sasterawan sewbagai gelomboluan sastrera yang mengatasi peranan para ulama dan cendekiawan samalah dengan meletakkan kaldai setaraf dengan kuda bima yang besar dan gagah perkasa itu, yang menjadi kuda perang pada zamannya.Keldai hanya berguna untuk menarik kincir sambil mengelilingi kincir, berjalan berbatu-batu dengan mata tertutup. Entah berapa ribu batu dia sudah berjalan, tetapi tidak bergerak ke mana-mana. Itulah para sasterawan. Tidak terdapat sebuah pun karya sasterawan negara ini yang boleh dijadikan teladan dalam ketangkasan berfikir, seperti yang ditunjukkan oleh para ulama dan cendekiawan Melayu ketika membina kebudayaan Melayu berteraskan Islam.  Persuratan Melayu dibina oleh tokoh-tokoh ulama dan cendekiawan yang berilmu; manakala sastera pula diceburi hanya oleh penulis yang tidak tahu berfikir tetapi gemar bermain kata-kata yang kosong jika dinilai aspek pemikirannya. Tunjukkan satu contoh, satu pun cukup, untuk membuktikan para sasterawan ini manusia yang berfikir dalam konteks Islam yang berteraskan konsep ilmu yang benar. Kita sudah menunggu lebih dari empat dekad, masih belum lagi lahir seorang pun  pemikir yang unggul di kalangan para sasterawan negara ini. Kalau begitu, apa perlunya kita kepada mereka? Soalan ini mesti dijawab dengan kritis, bukan dengan emosi dan cemuhan, sebaliknya dengan membentangkan hujah yang tersusun.  Tentu sekali mereka boleh melakukannya dengan mudah, jika benarlah mereka dari  kumpulan gerombolan yang berfikir. 
Kecelakaan (Inggeris: disaster) paling besar yang lahir dari idea sastera ini ialah perubahan paradigma dalam sastera dengan wujudnya the poetics of adultery yang berasaskan sastera. Celakalah bangsa yang menjadikan the poetics of adultery sebagai asas perkembangan kebudayaan mereka.  Tetapi inilah yang terjadi di Malaysia. Sarjana ulung yang memperkenalkan the poetics of adultery ini mendapat  penghargaan dan pujian besar untuk bukunya Puitika Satera Wanita Indonesia dan Malaysia: Satu Bacaan Ginokritik (USM 2012).  Novel teragung Malaysia, karya Anwar Ridhwan, seorang sasterawan negara, telah diisytiharkan sebagai novel teragung sepanjang zaman dalam sastera Melayu, Naratif Ogonshoto. Novel ini telah mendapat hadiah dan anugerah kesemua jenis hadiah dan anugerah yang terdapat di Malaysia dan di Nusantara. Bayangkan kehebatannya menurut penilaian para sarjana dan pengkritik, tanpa mereka sedari novel ini membawa ajaran Mafia dan dipengaruhi oleh tokoh sadis terkenal dalam budaya Barat, Marquis de Sade. Novel ini mendapat pujian semua sarjana dan pengkritik sastera Malaysia, tanpa kecuali. Demikian hebatnya, tetapi Kementerian Pendidikan yang mengambil novel ini sebagai teks sastera, tidak ada pilihan selain tidak memasukkan satu episod yang paling unggul dalam novel ini, tetapi bagi pihak kerajaan, episod itu tidak boleh dimasukkan kerana inilah episod  yang paling jahat dan tidak sesuai dibaca oleh pelajar sekolah menengah. Oleh sebab novel ini tidak ditulis oleh pengarang wanita, maka dalam analisis Dr. Norhayati Ab. Rahman, novel ini tidak dibicarakan; padahal inilah novel yang totok memperakukan the poetics of adultery sebagai salah satu kehebatan pemikiran Anwar Ridhwan.  Sarjana Malaysia tidak menyedarinya kerana mereka anggap hal itu perkara biasa saja dalam karya sastera.  Walaupun tidak dinyatakan dengan jelas, mereka menganggap sastera tidak mengajar masyarakat dengan ajaran moral yang baik, seperti yang ditegaskan oleh Panel Anugerah Sastera Negara terhadap Salina karya A. Samad Said. Lagi pula, A. Samad Said sendiri mengaku dia menulis tentang seorang pelacur yang baik hati. Inilah ajaran yang menjadi pegangan para sasterawan negara dan lain-lain sasterawan. Kerana itu watak jahat menjadi pilihan mereka, yang amat jelas digambarkan dengan  bergaya oleh Anwar Ridhwan dalam novelnya yang menjadi maha karya sepanjang zaman dalam sastera Melayu, Naratif Ogonshoto.  Secara logik, karya-karya yang tidak menjadikan kejahatan sebagai tema utama, seperti novel-novel saya dan cerita pendek yang saya hasilkan, tidak dapat digolongkan sebagai karya kreatif  yang baik dan bermutu, hanya sejenis propaganda murahan saja. Kata sarjana sastera dan pengkritik sastera, karya begitu tidak ada seni, terlalu pekat dengan propaganda.  Inilah hujah yang mereka gunakan untuk menolak Gagasan Persuratan Baru.  Dengan hujah inilah mereka menerima the poetics of adultery sebagai panduan asasi penulisan sastera Melayu.  Inilah perkembangan terbaru dalam sastera Indonesia yang dijadikan ikutan para penulis Malaysia.

Adakah anda mempunyai pilihan?  Tidak. Para sarjana sastera (yang ciritan) dan para pengkritik sastera (yang cetek meraba-raba) dan para sasterawan sendiri (yang menulis karya picisan) telah menutup rapat apa juga alternatif baru yang diperkenalkan dalam pemikiran kreatif di Malaysia. Tujuan mereka untuk menolak, secara total, apa juga bentuk alternatif yang dicadangkan oleh Gagasan Persuratan Baru.  Mereka sudah gagal melakukannya kerana kini karya persuratan sudah bertapak kukuh dalam kegiatan kreatif di Malaysia, walaupun karya persuratan belum lagi mencapai angka ribuan. Permulaannya telah ada, dan buku-buku yang membicarakan karya sastera dari perspektif PB sudah pun ditulis  dan diterbitkan dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Apakah pilihan yang ada pada mereka, penentang konsep ilmu yang benar ini?  Pada mulanya saya ingin memberi jawapannya, tetapi lebih baik jika mereka sendiri menentukannya. Yang pasti, mereka sedang menghadapi masalah identiti yang amat teruk, kerana tidak sebuah pun karya sastera yang mereka tulis boleh berdiri gagah apabila dinilai dari perspektif PB. Ini memberi kesan yang besar terhadap kedudukan para sasterawan negara, yang tidak lagi dapat dinaungi oleh Mutual Admiration Club.

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 24/3/2018.

No comments:

Post a Comment