Sunday, March 11, 2018

PERUBAHAN PARADIGMA SUDAH MENJADI KENYATAAN



Sejak pertengahan tahun 1970-an hingga awal 1980-an, masyarakat sastera Malaysia bercakap dengan kecoh tentang perlunya perubahan paradigma. Apa yang mereka maksudkan dengan perubahan paradigma itu tidak pernah dijelaskan; oleh itu apabila muncul Gagasan Persuratan Baru, mereka menyepikan diri, mungkin mereka sedar itulah perubahan paradigma yang selalu disebut-sebut itu. Tetapi mereka tidak dapat menerimanya, seperti yang telah saya ulas berkali-kali dalam blog ini. Tiba-tiba muncul perubahan sebenar yang ditunggu-tunggu oleh para sarjana, sasterawan dan pengkritik sastera. Paradigma baru yang mereka tunggu-tunggu itu muncul umpama satu ledakan halilintar, yang pada mulanya membingungkan mereka, tetapi kemudiannya amat menggembirakan mereka. Paradigma baru itu dibawa oleh Dr. Norhayati Ab. Rahman melalui bukunya yang sangat disanjung dan amat terkenal, Puitika Sastera Wanita Indonesia dan Malaysia: Satu Bacaan Ginokritik  (USM 2012).  Paradigma baru itu ialah kemunculan the poetics of adultery dalam sastera Melayu dan sastera Indonesia, yang diberi analisis mendalam oleh sarjana terkenal ini, sehingga bukunya ini mendapat hadiah “berprestij” (?) dari DBP dan Universiti Malaya, dua buah institusi besar negara ini.  Sementara idea tentang Gagasan Persuratan Baru mendapat kutukan dari sekumpulan para juri yang memilih karya kritikan dengan membuat kesimpulan buku  Pendidikan Estetika Daripada Pendekatan Tauhid, yang mereka anggap telah menghina sastera Melayu dan para sasterawan dan para sarjana sastera. (Baca laporan penilaian mereka dalam Dewan Sastera 1994).  Pilihan untuk menerima the poetics of adultery  sebagai perubahan paradigma yang sangat penting di Malaysia dan Indonesia adalah hasil kemasukan feminisme dalam sastera Melayu dan sastera Indonesia, yang tidak mahu lagi dikongkong oleh sebarang nilai-nilai moral dan agama (terutama agama Islam). Tokoh yang membawa perubahan paradigma ini di Indonesia ialah Ayu Utami, yang mendapat sanjungan tinggi dalam buku Dr. Norhayati Ab. Rahman ini.  Sedikit sedutan daripada pujian itu ada saya salin dalam Hikayat Salim Adil, hal. 58.

Mengapa para sarjana dan sasterawan menerima dengan bangga the poetics of adultery, tetapi menolak dengan marah Gagasan Persuratan  Baru?  Jawapan paling tepat terdapat dalam konsep sastera yang menjadi pegangan para sasterawan dan ditunjukkan dalam karya mereka. Menolak the poetics of adultery bererti menolak karya para sasterawan negara dan para sasterawan lainnya.  Perbincangan tentang the poetics of adultery ini dibuat oleh beberapa orang sarjana, ketika membicarakan karya Shahnon Ahmad misalnya. Sebagai contoh, lihat rencana Dr. Mohd. Zariat Abdul Rani, dalam jurnal  Wacana  Vol. 11 No. 1 (April 2009): 159—172  yang membicarakan novel Terdedah.   Penerimaan terhadap perubahan paradigma  yang diperkenalkan oleh Dr. Norhayati Ab. Rahman ini  adalah wajar kerana inilah perubahan yang  serasi dan tepat sekali dengan karya para sasterawan negara sendiri; oleh itu tidak ada masalah untuk diterima di kalangan masyarakat sastera, lagi pula the poetics of adultery ini adalah gerakan universal dalam sastera dunia, yang memang didambakan oleh para sasterawan negara dan diketahui serta diakui oleh para sarjana sastera Malaysia. Sifat universal itulah yang diperjuangkan oleh para sasterawan dan sarjana sastera Malaysia.  Inilah jasa besar Dr. Norhayati Ab. Rahman sebagai seorang sarjana terkenal. Beliau sendiri tidak ragu-ragu menjadikan bukunya sebagai bahan bacaan dan kajian di kalangan para pelajar sasteranya.  Universiti Malaya dan Kementerian Pendidikan pun tidak melarang dan tidak membantah penggunaan buku kajian yang mendapat sanjungan besar ini, kerana inilah yang diharapkan oleh Kementerian dan Universiti di kalangan para sarjana.  Nama the poetics of adultery itu sendiri adalah hanya satu nama, seperti judul novel Terdedah itu sendiri; dengan itu tidak bertentangan dengan etika, moral dan nilai-nilai murni yang diperjuangkan oleh Universiti dan Kementerian.  Di Barat tidak ada lagi pelacur, kerana telah dinaik taraf sebagai pekerja sex yang sama kedudukannya dengan pekerja lain, seperti profesor dan pensyarah malah termasuk seorang presiden sekalipun, oleh itu dari segi undang-undang pekerja sex yang dulunya dipanggil pelacur tidak lagi haram.   Adakah ini akan mengubah penilaian kita terhadap watak Salina dalam novel Salina? Inilah kedudukan the poetics of adultery dalam sastera Malaysia dan Indonesia.  Bahawa buku sarjana terkenal Dr. Norhayati Ab. Rahman diberi perhatian tinggi oleh negara adalah bukti yang jelas terjadinya perubahan nilai dalam masyarakat yang membenarkan karya yang memperjuangkan kebebasan mutlak kaum wanita dalam mendapat kepuasan seks mengikut pilihan mereka, seperti yang dianjurkan oleh Ayu Utami dan diterima dengan baik oleh para sarjana sastera Indonesia, yang akhirnya juga diterima tanpa sebarang halangan di kalangan sasterawan dan sarjana sastera Malaysia. Tidak dapat disangkal lagi inilah perubahan paradigma yang dilaungkan itu.

Perkara ini hanya menjadi persoalan sekiranya dilihat dari perspektif Gagasan Persuratan Baru. Tetapi perkara ini tidak serius kerana PB sendiri telah ditolak secara rasmi oleh para sarjana dan sasterawan, dengan itu yang menimbulkan masalah bukanlah the poetics of adultery, sebaliknya yang menjadi masalah ialah kehadiran PB dan karya-karya persuratan. Bagi para sarjana, ini hanya masalah pilihan, bukan masalah akademik; dan sebagai masalah pilihan, maka boleh ditolak dengan mudah jika PB bukan menjadi pilihan mereka.  Dari segi akademik mereka tidak mempunyai hujah untuk menolak PB; tetapi ini boleh diatasi dengan mudah kerana mereka adalah pengikut setia dan taksub teori sastera Barat, yang menurut mereka adalah universal dan jauh lebih akademik daripada buku-buku tentang PB.  Adakah anggapan mereka ini benar, berasaskan kefahaman yang mendalam tentang teori sastera Barat? Dengan tegas saya berkata tidak, kerana jika mereka tahu dan sedar akan implikasi pilihan mereka, mungkin mereka berfikir banyak kali sebelum menerima dengan bangga teori sastera Barat. Sudah banyak kali saya bincang persoalan ini dalam blog ini. Nampaknya saya perlu membincangkannya lagi untuk menolak anggapan salah mereka.

Teori sastera Barat adalah bersifat peribadi ciptaan para sarjana mereka dan tiada kaitan dengan pegangan agama mereka sendiri kerana mereka telah menolak agama dalam kehidupan mereka.  Konsep dan praktik yang dinamakan postmodernism juga diterima dengan mudah dan dijadikan kebanggaan oleh para sarjana sastera dan sasterawan Malaysia, walaupun postmodernism anti-agama dan menolak semua nilai agama, sebaliknya menerima nihilisme sebagai asas gerakan in i. Sekarang timbul persoalan yang mesti diberi jawapan oleh para sarjana sastera Malaysia: Adakah mereka juga tidak lagi berpegang kepada nilai-nilai agama dalam kegiatan akademik mereka?  Jawapan yang mereka berikan tidak jelas dan tidak tegas. Kita hanya diberitahu sastera tidak perlukan agama, apatah lagi agama Islam. Sastera adalah sastera, kata mereka. Inilah ciri utama yang diperlihatkan oleh para sasterawan dalam karya mereka, misalnya dalam sajak “Pulang Si Tenggang” dan sajak “Di Museum Goethe” yang menerima Mephistopheles sebagai watak besar dalam sastera. Tidak seorang pun sarjana sastera membantah isi sajak-sajak seumpama ini, dengan itu penolakan terhadap nilai-nilai agama adalah jelas, tidak perlu dipersoalkan lagi. Dalam hal ini para sasterawan ini mempunyai hujah tersendiri yang mereka ambil dari teori sastera Barat. Hujah ini digambarkan dengan jelas oleh Panel Anugerah Sastera Negara  dalam semua laporan mereka. Hujah mereka saya tolak dalam beberapa entri dalam blog ini. Saya tidak perlu ulang, boleh rujuk sendiri jika anda mahu.  Saya hanya akan memberi beberapa contoh akan kepalsuan mereka yang menilai sastera berasaskan teori sastera Barat.

Dalam bukunya yang terkenal, The Western Canon oleh Harold Bloom, sumber kanun Barat ialah Shakespeare, yang telah dimitoskan. Bloom memberikan beberapa nama lagi, yang boleh dijadikan sumber.  Asas penilaian mereka konsep tragedi, yang menjadi genre paling unggul dalam sastera Barat. Islam menolak tragedi, seperti yang dijelaskan dengan tegas oleh Dr. Che Razi Jusoh dalam rencananya, “Tragedi Sebagai Salah Satu Wajah Kebudayaan Barat.”   (Rujuk Adab dan Peradaban: Karya Pengi’tirafan untuk Syed Muhammad Naquib al-Attas, ed. Dr. Zaidi Ismail dan Dr. Wan Suhaimi Wan Abdullah. (Kuala Lumpur:  MPH Publishing 2012, dua kali cetak Julai dan November.)  Tulisan ini tidak dibaca oleh para sarjana dan sasterawan Malaysia kerana melihat nama Prof. Syed Muhammad  Naquib al-Attas itu sendiri membuat mereka jijik  kerana kritikan beliau terhadap para sasterawan dalam syarahan pengukuhan beliau 1972. Menurut mereka, sikap mereka adalah akademik kerana mereka tahu memilih mana satu sarjana yang mereka suka mana pula yang mereka benci dan tidak suka. Kebebasan memilih adalah hak mutlak mereka yang tidak boleh dipersoalkan.  Bagi mereka, karya Dr. Norhayati Ab. Rahman dan para sarjana sastera serta para sasterawan lebih akademik dan lebih tinggi nilai serta kualiti pemikiran dan analisisnya. Menurut mereka, tokoh yang menjadi pilihan mereka lebih bermoral daripada tokoh-tokoh yang mengkritik mereka, dan lebih bermutu pandangannya tentang sastera dan nilai-nilai murni masyarakat. Sikap ini menyebabkan mereka menolak dialog dan pertukaran fikir yang lebih terbuka dan kritis. Mereka hanya tahu menyebut  nama Bakhtin sebagai pencetus dialogic imagination di kalangan sasterawan Barat, dengan penegasan bahawa semua sasterawan negara mempunyai ciri itu walaupun tidak terdapat dalam karya mereka.  Malah mereka menjadi sangat marah apabila saya membuka kepada mereka seluas-luasnya untuk mengkritik karya kreatif saya dan juga karya akademik untuk dinilai dengan kritis bersama karya mereka dan karya sasterawan negara. Kedudukan mereka dengan itu menjadi bahan jenaka di kalangan ahli akademik dan golongan intelektual, apatah lagi bila mereka menegaskan mereka adalah above  criticism kerana kedudukan mereka yang istimewa.  Siapa yang memberi mereka kedudukan istimewa itu tidak dijelaskan.  Mungkin benar di kalangan sasterawan negara, yang diberi gelaran oleh negara sendiri dan disahkan oleh Yang di Pertuan Agong. (Untuk calon ke 13, Menteri Pelajaran yang memberi pengesahan, bukan Agong lagi.) 

Walaupun perubahan paradigma sudah berlaku dalam sastera Melayu, bagi saya ini sesuatu yang amat malang. Di manakah sifat siuman para sarjana dan sasterawan yang menerima the poetics of adultery sebagai satu perubahan paradigma?

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 11 Mac, 2018.
















No comments:

Post a Comment