Penerimaan
para sasterawan, pengkritik, dan sarjana sastera terhadap kemunculan the
poetics of adultery sebagai perubahan paradigma yang didambakan oleh
mereka selama ini, menimbulkan pertanyaan penting tentang sikap sebenar mereka
ini yang berada dalam Mutual Admiration Club yang mendapat sokongan semua
sasterawan negara dan para penyokong mereka.
Adakah mereka tidak sedar bahawa mereka telah dikuasai oleh pengaruh
Mephistopheles yang mendapat sanjungan seorang sasterawan negara dan sarjana
yang paling ternama dan terbilang serta paling berpengaruh dalam sastera
Melayu? Mereka kenal siapa orang itu, tetapi mereka tidak membaca karyanya
dengan kritis. Dengan itu mereka membiarkan diri mereka hanyut dalam gerakan
feminisme yang menjadikan wanita sebagai manusia tidak bermoral yang inginkan
kebebasan mutlak untuk melakukan maksiat seperti yang diperjuangkan oleh Ayu
Utami di Indonesia yang kemudiannya mendapat sokongan dan dukungan sarjana terkenal, Dr. Norhayati Ab.
Rahman yang menulis sebuah tesis paling berpengaruh dan paling dikagumi di
Malaysia dengan diberi hadiah secara besar-besaran oleh DBP dan Universiti
Malaya, oleh kerajaan Malaysia sendiri. Tesis itu diterbitkan oleh USM dengan
judul, Puitika Sastera Wanita Indonesia
dan Malaysia: Satu Bacaan Ginokritik.
Kata Dr. Norhayati Ab. Rahman dan para penyokongnya, buku itu adalah hasil akademik yang tidak
semestinya dipersetujui oleh beliau dan para penyokong beliau, dengan itu
beliau dan rakan-rakan penyokongnya tidak dapat membezakan antara alasan dan
hujah. Mereka tidak sedar, apabila mereka menerima sesuatu dan memujinya pula,
maka mereka telah membuat pilihan mereka dan pilihan itu terjadi kerana mereka menyukainya. Kamu pun tahu seseorang tidak akan memilih
sesuatu yang dia tidak suka. Sekiranya
mereka sudah melakukan kesilapan besar, maka mereka harus mengaku dengan kontan
dan memberi penjelasan yang konkrit mengapa mereka menjadikan the
poetics of adultery sebagai asas perubahan paradigma dalam sastera
Melayu. Inilah contoh dan bukti betapa
kesarjanaan Barat telah menyesatkan
sarjana Melayu yang menolak konsep ilmu yang benar dalam Islam. Kedudukan mereka dibayangkan dalam Surah
al-Baqarah dalam beberapa rangkaian ayat yang perlu anda rujuk, mulai Ayat
7-12. Pintu hati mereka telah dikunci
dan ditutup untuk tidak dapat melihat kejahatan (ayat 7) kerana mereka
beranggapan mereka membuat kebaikan (ayat 12)
kerana dalam hati mereka ada penyakit (ayat 10). Mereka adalah buta, pekak dan bisu; tidak
dapat membezakan antara yang mungkar dengan yang makruf dengan memilih yang mungkar
sebagai panduan mereka, mereka melakukan kerosakan dengan alasan untuk
melakukan kebaikan. Mereka bangga melakukan kejahatan dan kerosakan,
lebih-lebih lagi apabila kejahatan itu diberi penghargaan dan penghormatan pula
oleh golongan mereka sendiri.
Sekaranglah masanya mereka bangkit dengan berani dan insaf untuk
menafikan semua yang mereka lakukan itu sia-sia dan merosakkan masyarakat. Mereka boleh melakukannya dengan mudah dengan
membuat penilaian yang kritis dan kreatif terhadap karya para sasterawan
negara, karya para sarjana yang memuji para sasterawan negara ini, dan
membuktikan bahawa penilaian terhadap karya mereka sendiri adalah tepat.
Sekiranya mereka tidak dapat, atau tidak mahu melakukannya, maka
sekurang-kurangnya mereka insaf bahawa sumbangan mereka dalam pembinaan tamadun
berasaskan ilmu yang benar tidak ada, oleh itu apa juga yang mereka lakukan
yang bertentangan dengan ilmu yang benar itu adalah batal. Kesimpulan ini perlu
diberitahu kepada para pelajar sastera dan wajar pula difikirkan dengan
objektif oleh para sasterawan sendiri.
Kesimpulan ini sebenarnya dibuktikan dengan jelas dalam buku Sastera
Teras Negara Bangsa (ITBM 2014).
Bukti yang
paling jelas untuk menyokong kesimpulan di atas ialah kemunculan the poetics
of adultery dalam sastera Melayu, yang diterima oleh para sarjana,
sasterawan dan badan penulis seluruh Malaysia. Kedua-dua kesimpulan ini tidak
mungkin ditolak oleh sesiapa sekali pun kerana kedua-duanya wujud dalam sastera
Melayu yang diusahakan sendiri oleh para sarjana dan pengkritik sastera, juga
oleh para sasterawan sendiri. Menurut mereka,
inilah pilihan paling tepat dan yang terbaik untuk menolak kritikan tajam yang
dibentangkan dalam buku syarahan pengukuhan, Islam Dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu (1972). Tetapi adakah ini sanggahan yang cerdik dan
akademik? Kemunculan the poetics of adultery membuktikan
mereka tidak siuman dan gagal menolak kesimpulan dalam syarahan pengukuhan itu. Malah sebaliknya mereka membuktikan
kesimpulan dalam syarahan pengukuhan 1972 itu adalah tepat.
Apakah yang
kita harus buat sekarang? Jika anda membaca dengan kritis dan kreatif Hikayat Salim Adil, anda akan menemui
jawapannya di sana.
Saya ada
beberapa cadangan untuk membersihkan wajah dan kedudukan persuratan (sastera
Melayu) daripada noda the
poetics of adultery ini. Pertama sekali, yang perlu dilakukan oleh DBP
dan ITBM, ialah mengadakan persidangan kedua anjuran ITBM untuk membincangkan
maksiat dalam sastera Melayu ini. Dalam persidangan itu, kita akan memberi
perhatian kepada peranan ilmu dalam kegiatan kreatif. Sehubungan dengan itu,
kita perlu membuat penilaian kritis terhadap karya para sasterawan negara. Jika
dalam perbincangan itu kita dapati kita tidak perlukan sasterawan negara, maka
kita wajib memberhentikan projek karut ini. Sebaliknya, jika anda tidak mahu
membincangkan masalah ini pada waktu ini, anda boleh meneruskan kegiatan
maksiat sastera ini. Tetapi hendaklah diusahakan penulisan sejarah intelektual
dalam sastera Melayu, supaya perkembangan dalam perubahan paradigma ini boleh diberi
catatan dan analisis kritis.
Itu saja
buat kali ini. Jika perlu, perbincangan
tentang perubahan paradigma yang memalukan dan menjijikkan ini akan disambung
lagi.
Mohd.
Affandi Hassan,
PJ 14/3/2018
No comments:
Post a Comment