Kritikan
saya terhadap sastera Melayu ini akhirnya dibuktikan kebenarannya dengan
munculnya the poetics of adultery dalam sastera Melayu. Siapa yang boleh menolak kesimpulan saya
bahawa sastera Melayu kaya dengan karya picisan, baik dari segi akademik mahu
pun dari segi kreatif? Seluruh tulisan saya dalam blog ini, mulai 2010 hingga
sekarang, membuktikan kebenaran kesimpulan saya. Begitu pun, saya masih
menunggu, dan bersedia untuk menerima sanggahan dari mana-mana sarjana untuk
membuktikan kesimpulan saya salah. Belum ada lagi yang tampil, bukan kerana
mereka tidak boleh melakukannya (malulah jika mereka tidak mempunyai kemampuan
akademik untuk berdialog), tetapi kerana mereka sangat lihai untuk mendiamkan
diri kerana bagi mereka tiada faedahnya berbincang tentang peranan ilmu yang
benar dalam sastera Melayu. Menurut mereka, teori sastera Barat lebih mencabar
dan lebih unggul daripada Gagasan Persuratan Baru yang membawa idea tentang
ilmu yang benar itu. Dengan kemampuan yang terbatas dari segi ilmu dan dengan
keangkuhan akademik yang menjadi kebanggaan mereka, mereka meremehkan
saja cabaran PB kerana sekiranya mereka menerima cabaran itu, mereka tidak
mampu menolaknya. Inilah keadaan yang melahirkan the poetics of adultery
itu. Dunia akademik pun akhirnya menerima konsep perzinaan ilmu dengan menolak
konsep ilmu yang benar. Sekali imbas terasa aneh melihat kebodohan para sarjana
ciritan ini, tetapi kedudukan mereka
sebagai pensyarah dan profesor membolehkan mereka berdolak-dalik tentang ilmu,
walaupun hujah mereka mengarut, bullshit, hogwash; atau menurut Prof Jeff Mason dalam bukunya Philosophical Rhetoric (1989, hal. 17)
menggunakan istilah artful ruses untuk menggambarkan sifat munafik akademik
ini. Itulah realiti dalam dunia akademik tentang sastera yang kita terima.
Tetapi saya terbuka untuk dicabar secara akademik bahawa kesimpulan saya salah,
tidak objektif. Kesimpulan mereka itulah yang objektif dan akademik, dengan
mendiamkan diri sebagai “lembu kenyang” dan menolak sebarang dialog ilmiah.
Dalam konteks retorik sastera, kelakuan ini sebenarnya amat melucukan; lebih
rendah tarafnya daripada kelucuan tokoh jenaka dalam sastera lama Melayu, yang
diketuai Pak Pandir, ahli falsafah Melayu yang melahirkan konsep pandirisme itu.
Sebenarnya
para sarjana dan sasterawan tidak terfikir pun buku Dr. Norhayati Ab. Rahman
memperkenalkan the poetics of adultery
dalam penilaian mereka, kerana memang ciri sastera membenarkan sebarang
perbuatan songsang dalam karya sastera kerana itulah kehidupan manusia, sangka
mereka. Tetapi apabila anggapan ini sudah menjadi melampau, dengan menerima
sebuah karya lucah oleh Ayu Utami sebagai karya bermutu setelah menerima
pengiktirafan daripada juri Indonesia yang tidak menerima sebarang unsur agama
mana-mana sekali pun, maka sarjana Malaysia sendiri menerima keputusan itu
walaupun keputusan itu salah. Kesilapan
sebesar ini sepatutnya tidak berlaku di Malaysia sekiranya para sarjana kita
terdedah kepada perkembangan ilmu dalam Islam dan memahami secara mendalam konsep
“knowledge” dalam budaya Barat yang
melahirkan berbagai-bagai teori sastera.
Pada umumnya teori sastera Barat berlegar
di sekitar tiga isu saja: pengarang sebagai pencetus karya berhak menentukan
bagaimana karyanya harus dinilai; karya itu sendiri diberi kedudukan istimewa
oleh New Criticism sebagai autonomous oleh itu berhak menentukan kedudukannya
dalam masyarakat; atau pembacalah yang menentukan bagaimana karya itu dinilai
dan diberi tafsiran. Semua teori sastera Barat berada di sekitar tiga aspek
ini. Kesilapan paling besar bagi sarjana Islam ialah apabila mereka menolak
peranan agama dalam penulisan, dengan itu tidak menerima al-Quran sebagai
sumber ilmu. Kita tidak pasti sama ada Dr. Norhayati Ab. Rahman sedar tentang perkara ini; saya
lebih cenderung untuk membuat kesimpulan bahawa beliau tidak sedar. Sepatutnya beliau diberi
penjelasan oleh penyelia beliau; tetapi kedua-duanya tidak mempunyai pengalaman
ilmiah mengikut konsep ilmu yang benar yang diajarkan oleh Islam, maka
kedua-duanya hanyut dalam kekeliruan dan kejahilan mereka. Tidak mengapa jika
hanya mereka berdua yang menerima akibatnya; tetapi apabila perkara ini disogok
secara sedar kepada masyarakat dan tidak diberi penjelasan sepatutnya, maka
mereka hanya menyesatkan masyarakat yang tidak sedar kesilapan mereka. Kini telah muncul the poetics of adultery
hasil tindakan jahil ini, maka adakah kita biarkan saja kesilapan besar
sebegini berada dalam masyarakat? Saya
telah menyebut Ayat 4: 115 (An-Nisa’): nuwallihi
ma tawalla (buatlah apa mu nak buat,
tapi ingat akibatnya nanti) dalam tulisan yang lepas, untuk memberitahu anda
bahawa Iblis yang ingkar kepada perintah Allah supaya menghormati Nabi Adam ‘a.s.
memberi logiknya sendiri bahawa dia (Iblis) adalah lebih mulia kerana dijadikan
daripada api, sedangkan Nabi Adam ‘a.s. daripada tanah. Kalau Iblis mengaku dia
hamba yang ingkar, bagaimana pula seorang Islam tidak dapat menerima hakikat
bahawa dia pun dituntut oleh agamanya untuk menerima al-Quran sebagai sumber ilmu?
Inilah punca yang melahirkan the poetics of adultery ini. Kini
anda sudah tahu, apakah keputusan anda?
Kedua-dua sarjana ini boleh saja menggunakan ginokritik untuk
membicarakan feminisme dalam sastera Melayu, tetapi mereka dituntut
menghuraikannya dalam konteks ilmu yang difahami dalam Islam supaya mereka
tidak sesat dan pembaca mereka pun tidak sesat, dengan menghuraikan kedudukan
feminisme dalam Islam dan kedudukan sumber ilmu mengikut al-Quran. Oleh sebab mereka
tidak faham perkembangan feminisme yang lahir di Barat dan jahil tentang
kedudukan feminisme dalam Islam, maka jadilah seperi yang terjadi sekarang. Apakah yang mereka boleh buat sekarang? Kalau
mereka cerdik dan jujur kepada ilmu, jalan keluarnya mudah saja.
Mohd. Affandi
Hassan,
Petaling
Jaya, 15/3/2018.
No comments:
Post a Comment