Kecelakaan
budaya dan intelektual yang dibawa oleh Mutual Admiration Club tidak disedari
oleh golongan intelektual di Malaysia yang terus khayal dalam kepalsuan dalam
pemikiran mereka yang menentang konsep ilmu yang benar. Kerosakan terbesar yang berpunca dari Mutual
Admiration Club ialah mewujudkan, dengan persetujuan kerajaan, anugerah
sasterawan negara yang dikhususkan kepada anggota mereka. Hakikat ini tidak
dapat ditolak kerana inilah yang berlaku sebenarnya. Apabila mereka keputusan/ketandusan/kepupusan
calon, mereka pun kembali kepada tokoh lama untuk dipilih sebagai sasterawan
negara. Itulah caranya Baha Zain diberi gelaran itu. Ini dibantah dengan keras
oleh Shahnon Ahmad, tetapi tidak menjadi suatu isu pun. Semua sasterawan dan
sarjana menerima pelantikan itu sebagai hak Baha Zain yang sudah lama berjasa
kepada Panel Anugerah Sastera Negara yang dia sendiri menjadi anggotanya
beberapa kali. Siapakah di belakang pelantikan ini diketahui oleh para
sasterawan dan sarjana sastera.
Sejauh mana
mereka (sasterawan dan sarjana) tahu bagaimana lobi dilakukan oleh sasterawan
yang mahukan kedudukan yang menguntungkan itu sebenarnya tidak penting, kerana
DBP mempunyai caranya yang tersendiri untuk mendapat pencalonan. Di sinilah pentingnya kedudukan
dan pengaruh Mutual Admiration Club, yang sedia membantu DBP untuk mendapatkan
calon. Untuk memudahkan kerja DBP,
mungkin bagus jika badan-badan penulis diberi tugas khas untuk mengenal pasti
calon baru tiap negeri masing-masing. PENA
dan GAPENA juga boleh memainkan peranan mereka untuk mendapatkan calon setiap
tahun, yang jika tidak terpilih tetap menjadi calon simpanan.
Apakah
keistimewaan para sasterawan negara ini? Belum ada lagi penilaian yang
benar-benar objektif, walaupun telah banyak ditulis mengenai mereka untuk
seminar khusus para sasterawan negara anjuran DBP. Semua kertas itu ditulis tergesa-gesa, tiada
yang benar-benar mengemukakan analisis yang mendalam terhadap karya para
sasterawan istimewa ini. Ciri paling menonjol di sini ialah penampilan pelbagai
“teori” sastera Barat untuk dipadankan dengan karya para sasterawan negara ini,
dengan dua tujuan tertentu. Pertama, untuk memperlihatkan bahawa mereka adalah
istimewa dan dapat memenuhi keperluan semua teori Barat. Kedua, mereka wajar
dilantik sebagai sasterawan negara kerana memenuhi ciri-ciri teori sastera
Barat. Inilah yang telah ditunjukkan
oleh para penulis kertas kerja. Timbul persoalan yang belum dijawab: Mengapa
hanya teori sastera Barat yang digunakan untuk menilai karya para sasterawan
negara ini? Tidak adakah teori lain yang boleh digunakan? Jawapan yang boleh
kita lihat melalui kertas kerja itu ialah teori Barat sesuai digunakan kerana
semua karya sasterawan negara ditulis untuk memenuhi keperluan teori sastera
Barat. Inilah kesimpulan semua laporan Panel Anugerah Sastera Negara dalam
semua laporan mereka. Apakah implikasi kesimpulan ini?
Jika ini
benar, maka kesimpulan Panel bahawa para sasterawan negara telah memberi kepada
sastera Melayu teknik baru yang asli adalah karut, tidak betul. Mereka adalah peniru teknik sastera Barat.
Kalau begitu, apakah keistimewaan mereka? Tiada siapa pun boleh menjawab
pertanyaan bodoh ini. Pertanyaan ini
bodoh kerana tidak perlu dan tidak wajar dikemukakan, kerana “keistimewaan”
para sasterawan negara ini bukan di situ. Para sasterawan negara ini adalah
tukang cerita penglipur lara moden yang menggunakan teknik penglipur lara untuk
menulis novel mereka. Ini diakui sendiri oleh Prof. Emeritus Muhammad Haji
Salleh ketika memberi ucaputama kepada seminar tentang Anwar Ridhwan. Beberapa kelemahan mereka, misalnya yang
terbesar dalam perwatakan, pengolahan, dan penampilan teknik baru yang
benar-benar baru ciptaan mereka, tidak diberi sorotan yang sepatutnya. Kita
mahu tahu, manakah di antara watak yang ditulis dalam karya para sasterawan
negara yang muncul sebagai watak yang kuat? Maksud kuat di sini, antara lain,
ialah kecerdikan mereka, kedegilan mereka menghadapi masalah secara bijaksana
dan memberi kesan kepada pemikiran, dan penampilan mereka sebagai watak ciptaan
seorang sasterawan. Kelemahan yang
terdapat dalam perwatakan ini adalah kelemahan sasterawan sendiri, yang tidak
muncul sebagai pemikir yang handal dan unggul. Anda boleh kemukakan mana-mana
karya yang anda mahu untuk menidakkan kesimpulan ini. Dalam aspek pengolahan tema, kita juga
mendapati tiada pemikiran baru dikemukakan, malah tema yang ditonjolkan oleh
para sasterawan negara masih tema lama, terutama sekali tentang kemiskinan,
persoalan seks, hiburan, keseronokan dan yang sejenis dengannya. Pengaruh penglipur lara sangat kuat dalam
karya Anwar Ridhwan misalnya. Pengkritik
dan sarjana sastera menamakan ini intertekstualiti. Bunyinya hebat,
maknanya lipur lara. Menghidupkan lipur
lara dan memujinya pula adalah satu perkembangan yang tidak dapat diterima,
menunjukkan kerendahan cara berfikir dan kecetekan ilmu. Pendapat Prof.
Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh tentang perkara ini adalah naif, cetek, dan
mengarut. Baca tulisan beliau dalam Sastera
Teras Negara Bangsa (ITBM 2014).
Antara lain kata beliau dengan bangga, tetapi dangkal: “Jika mengenal
karya-karya (lisan ini) kita mungkin bereksperimen dengan pantun, syair, gurindam, hikayat, dan
cerita lisan - ..” (hal. 204). Ini suatu
cara menempelak para sasterawan supaya terus kekal dalam khayalan penglipur
lara sambil memalu batil, seolah-olah Awang Batil itulah genius Melayu.
Tidakkah ini mengarut dan berlebihan memuja khayalan penglipur lara. Sekiranya anda menerima konsep sasterawan
sebagai pemikir bangsa, anda tidak wajar mendorong mereka menjadi Awang Batil,
seolah-olah itu saja modal dan model seorang sasterawan.
Semua ini
berlaku dalam kumpulan yang menjadi anggota Mutual Admiration Club
yang telah mengkhianati perkembangan intelektual dan budaya ilmu di Malaysia.
Amat memalukan kita semua ialah hal ini berlaku dengan sokongan dan persetujuan
ITBM dan DBP. Sifat naif dan cetek ini
menghalang adanya dialog ilmu yang kritis di kalangan sarjana dan sasterawan,
malah salah satu prinsip yang menjadi pegangan anggota Mutual Admiration Club
ini ialah “persetankan kritikan dan ejekan”, asalkan mereka terus mendapat
faedah daripada dua organisasi besar tadi.
Mereka memilih untuk dikutuk generasi masa depan daripada menghadapi
persoalan masa kini yang memerlukan perhatian serius dan jujur daripada
mereka. Peranan ilmu yang benar dalam
penulisan kreatif dan dalam kritikan sastera bukanlah boleh dipermainkan dengan
bersikap “lembu kenyang” seperti yang mereka lakukan dengan angkuh kini. Banyak kerosakan telah terjadi kerana
keengganan mereka mengaku dengan berani dan jujur bahawa mereka, sebagai
penyokong Mutual Admiration Club, telah menghalang kemaraan pembaharuan dalam
pemikiran persuratan Melayu yang dianjurkan oleh Gagasan Persuratan Baru.
Dengan menerima pandirisme sebagai satu-satunya saluran untuk berkarya,
maka mereka menyekat pembinaan budaya ilmu dalam persuratan. Pengkhianatan seumpama ini menafikan para pelajar mendapat maklumat yang
tepat dan objektif dalam bidang kreatif dan kritikan dan pendidikan
kesusasteraan. Pendidikan kesusasteraan
tidak saja lemah dan keliru, tetapi juga menafikan pemikiran baru dan bernas
yang diperkenalkan oleh Gagasan Persuratan Baru. Adalah tidak siuman dan tidak masuk akal
untuk kembali ke zaman animisme seperti yang dianjurkan oleh sasterawan negara
yang memanjat bumbung kilang berkarat untuk mendapat ilham, padahal yang dibawa
turun dari bumbung itu hanya cadangan mengarut dan cetek, yang tidak
sekali-kalai dapat membina budaya ilmu yang kita kehendaki berasaskan konsep
ilmu yang diajarkan oleh al-Quran.
Dengan menggesa sasterawan dan penulis Malaysia meniru dan menjadi
pengikut Salman Rushdie dan Orhan Pamuk, dua orang penulis yang menolak agama
yang menghina Islam secara terang-terang, maka sesiapa juga yang membuat
cadangan itu pastilah sudah tidak siuman dan amat tidak bertanggungjawab,
sekiranya orang itu mempunyai kedudukan dalam masyarakat. Inilah persoalan yang mesti dihadapi dengan
penuh tanggungjawab ilmiah.
Kemunculan
Mutual Admiration Club dalam sastera Melayu dikesan oleh Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh dalam tahun
1973 lagi, sudah begitu lama. Mengapa beliau kemudiannya membela Mutual
Admiration Club, malah menjadi jaguhnya pula? Kita boleh lihat perubahan ini
dalam tulisan beliau sendiri, terbaru seperti yang dilepaskannya dalam Sidang
Kemuncak Penulis Malaysia 2014. Mengapa perubahan ini perlu bagi tokoh besar
ini? Kita tidak tahu cerita sebenarnya, yang kita boleh teka ketika itu beliau
merasakan terdapat halangan terhadap beliau sendiri yang menjadi mangsa Mutual
Admiration Club yang disebutnya 173 dulu, secara khusus mengenai sajaknya
“Batu-batu” yang dikecam oleh segolongan sasterawan. Mengapa beliau akhirnya menerima kemunculan
Mutual Admiration Club itu dan menjadi jurucakapnya kalau tidak pun Ketua
Agungnya. Perlukah beliau memberi
penjelasan? Saya fikir tidak perlu. Yang berlaku adalah wajar dan memang diperlukan
oleh sekumpulan sasterawan yang telah dilantik menjadi sasterawan negara.
Mutual Admiration Club dalam bentuk baru yang diperlukan oleh para sasterawan
negara untuk mempertahankan diri dan melindungi kepentingan mereka. Sebagai
satu imbasan yang menyeronokkan, kita lihat apa kata Muhammad Haji Salleh dalam
tahun 1973 di Johor Baru dalam seminar kritikan sastera itu. Inilah pandangan
beliau:
“Sebagai
seorang pengadil, seorang kritikus itu bukanlah manusia yang mudah bertolak
ansur di dalam hal nilai-nilai sastera – yang mungkin dilonggarkan untuk
kawan-kawannya dan diperketatkan untuk musuhnya. Tulisan begini sebenarnya
bukanlah kritikan tapi propaganda: dan ini leluasa sekali pada hari ini. Ada
kumpulan-kumpulan penulis yang saling memuji antara satu sama lain sebagai
ahli-ahli suatu mutual admiration club.
Di dalam kumpulan-kumpulan begini penulis-penulis yang terlalu sederhana kebolehannya dan daya kreatifnya
ataupun fikirannya dipuji tinggi-tinggi dan dibandingkan dengan pujangga yang
besar di Barat. Ataupun dicarinya saja sifat-sifat yang baik dan
dibesar-besarkannya, dan dibutakannya mata penilainya kepada keburukannya.”
Memang
menarik pandangannya ini, yang semua keburukan yang dikritiknya itu
dilakukannya dalam tulisannya dalam Sastera
Teras Negara Bagnsa, seperti yang sudah kita lihat dalam pujiannya yang
tidak munasabah terhadap Baha Zain, yang disuruhnya dicontohi kemampuan inteleknya
sebagai pengkritik, walaupun teman yang dipujinya itu tidak atau belum lagi
menulis sebuah buku kritikan dan teori sastera yang boleh mengatasi Gagasan Persuratan Baru, edisi
ke-2. Dolak-dalik begini tidak lagi
memualkan, tetapi terus memuntahkan pembaca yang tahu kualiti sarjana profesor
terkenal ini. Seterusnya kita baca lagi:
“Kepentingan
kritikan adalah kepentingan sastera dan bukan untuk kritikus itu sendiri atau
teman-temannya. Kita dan generasi yang akan datanglah akan rugi jikalau
kepentingan perseorangan atau kumpulan-kumpulan kecil ditempatkan di atas kepentingan sastera dan kebudayaan. Dan
ini tak lebih dari rasuah yang dilakukan
oleh pegawai-pegawai yang rakus dan mencuri wang rakyat. Kita tau apa yang akan
jadi kepada negeri yang ditulari oleh rasuah, dan kita pun tahu apa yang akan
terjadi kepada sastera yang korupsi, kerana kita sendiri sedang mengalami akibat-akibatnya.
Pengarang-pengarang begini bukan saja tidak tenang dan adil di dalam
tulisannya, tetapi sudah melanggar tatatertib dan nilai-nilai sastera.”
Tentu saja
pandangan profesor agung ini sangat hebat, yang tidak pernah terfikir olehnya
bahawa semua itu berlaku ke atas dirinya sendiri, seperti yang dapat kita lihat
dengan jelas dalam tulisannya di dalam buku ITBM itu. Seterusnya beliau membuat kesimpulan yang amat
mengagumkan orang yang tidak tahu politik kritikan sastera ini. Renung
seterusnya kebijaksanaan sarjana agung ini:
“Seorang
kritikus itu harus mempunyai harga diri yang dia tidak akan jualkan untuk
sesiapa saja atau tujuan apa-apa pun.” (rujuk hal 66).
Melihat
kutipan itu, kita rasa beliau seolah-olah ikhlas membangkitkan kemunculan Mutual
Admiration Club itu. Apa yang berlaku
kemudiannya? Nampaknya tidak perlukan penjelasan, sudah menjadi sejarah buruk
dalam sastera Melayu. Apakah reaksi kita
sekarang? Hebat. Tulisan 1973 memang hebat dan sangat hebat; tetapi sayangnya tidak boleh dipakai untuk
menjadi ukuran kemajuan berfikir yang telah kita hadapi pada tahap sekarang. Atau,
inilah bukti kemunduran berfikir yang kita hadapi pada waktu ini. Saya yakin ketika menulis catatan beliau yang
penting ini, Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh jujur kepada dirinya dan
mungkin juga kepada sastera; tetapi tidak lagi sekarang, sudah berubah sama
sekali apabila beliau sendiri yang mengepalai Mutual Admiration Club yang
dikutuknya 1973 itu. Sebenarnya inilah hasil perkembangan yang paling dramatik
dalam sastera Melayu, apabila selepas 8 tahun pandangan bernas dan jujur ini
disuarakan oleh seorang sarjana ulung, maka terciptalah gelaran “sasterawan
negara” yang kini sudah mencapai angka 13 orang, setelah dimulai dalam tahun
1981 dengan penerima pertama Keris Mas, seorang tokoh besar Asas 50. Pemberian
gelaran ini adalah untuk para penyokong Asas 50 dan konco-konconya, bukan untuk
negara apatah lagi untuk sastera kerana apabila dinilai dengan kritis karya
mereka, kita berasa hairan yang amat sangat inilah karya manusia yang diberi
gelaran “sasterawan negara” itu. Tidak ada bezanya dengan karya lain-lain,
malah kemudiannya terdapat karya yang lebih bermutu ditulis oleh bukan
sasterawan negara, misalnya dalam kes T. Alias Taib, yang sajak-sajaknya jauh
lebih indah dan lebih bermutu daripada sajak-sajak Muhammad Haji Salleh
sendiri, sasterawan negara ke-6 selepas Arena Wati. Is this just a joke?
Sekarang
anda sudah dapat melihat mengapa saya memberi judul yang menggegarkan untuk
entri kali ini. Sekarang anda mengerti
mengapa saya memanggil sarjana jenis ini sebagai sarjana hisap puting!
Mohd.
Affandi Hassan,
Petaling
Jaya, 22 Mac 2018.
No comments:
Post a Comment