Naskhah ini
saya siapkan 2015 lagi, masih mencari penerbit yang berminat. Persoalan yang dikemukakan
sangat penting. Rupanya DBP pun sudah sedar mereka sudah buat silap besar minta
Kerajaan melantik sasterawan negara. Sejak 1981 lagi saya membuat bantahan,
malah cerita pendek tentang pemilihan sasterawan negara, berjudul “Orang Yang
Berdiri”, diterbitkan dalam Pura Bujangga,
yang dicetak oleh DBP 1990. Saya dapat
tahu, sebuah karya oleh Baha Zain, autobiografi beliau, ditolak oleh DBP. Perbuatan ini sangat janggal, tidak
sepatutnya dilakukan oleh DBP. Baha Zain telah membina DBP sejak sekian lama;
kedua, beliau kini seorang sasterawan negara. Orang yang berminat dalam sastera
mahu baca autobiografinya. Tidak pantas
Ketua Pengarah DBP membuat keputusan yang tidak bijak ini dengan menolak karya
Baha Zain. Saya cadangkan supaya diberi pertimbangan semula, dan amatlah baik
jika buku itu diterbitkan. Tentu banyak perkara yang disentuh oleh tokoh besar
yang amat dikagumi oleh Muhammad Haji Salleh ini, yang minta saya tiru Baha
Zain sebagai pengkritik sastera. Saya tidak keberatan belajar dari sesiapa sekali
pun, tetapi bagaimana jika orang yang dikagumi oleh Muhammad Haji Salleh itu
seorang tokoh yang bagi saya amat cetek pengetahuannya tentang sastera dan
kritikan sastera Barat sekali pun. Beliau tidak mempunyai buku dan tulisan yang
boleh menandingi tulisan saya, yang Muhammad Haji Salleh tidak pernah dengar,
dan tidak pernah berbincang dengan Baha Zain mengenainya. Saya tidak pernah anggap
dua tokoh besar ini musuh saya; hanya mereka berdua saja yang anggap saya
sebagai musuh mereka. Tidak baik bermusuhan dalam dunia ilmu, nampak sangat
bodohnya dan angkuhnya. Mari kita berdialog dengan santai, serlahkan kelebihan
hujah anda untuk saya ikuti; atau kalau tidak mampu, belajarlah dari PB.
Dengan sikap
angkuh yang ditunjukkan oleh dua orang sasterawan negara ini, maka mereka
dengan tidak fasal-fasal membenarkan pandangan kritis saya bahawa kita tidak
perlukan sasterawan negara, jika yang dipanggil sasterawan negara itu tidak
mempunyai karya yang dapat menandingi karya seorang penulis picisan seperti
saya sekali pun. Oleh sebab saya menulis dalam tiga bidang, kritikan sastera,
teori sastera, dan karya kreatif, maka amatlah wajar jika saya cabar dua orang
tokoh besar ini untuk tampil dengan jujur membahaskan sumbangan mereka lebih
bermutu daripada sumbangan saya; dan jemputlah para sarjana dan lain-lain untuk
ikut sama. Jangan takut untuk bercakap benar, kerana kebenaran tidak menjadikan
seseorang dipandang hina, kecuali jika mereka tidak bercakap benar. Dalam kes dua orang tokoh besar ini, mereka tidak
mahu mengkritik PB dan tidak mahu menilai karya saya dengan kritis kerana
sangka mereka darjat saya akan terserlah kerana mendapat perhatian dua orang
tokoh besar ini. Yang terjadi adalah sebaliknya: merekalah yang kini diberi perhatian
kerana saya mengangkat mereka sebagai
tokoh besar, walaupun tidak layak diberi jolokan itu.
Dua orang
tokoh besar ini sebenarnya sedang berada dalam kandang pandirisme, dan berasa selesa berada di dalam kandang itu. Saya menggunakan
istilah “kandang” bukan untuk menghina mereka; dalam budaya Melayu, jika mereka
faham budaya Melayu, “kandang” adalah tempat yang istimewa untuk diletakkan
lembu yang disayangi oleh tuannya. Saya
sendiri memang berada di dalam kandang, cuma yang berbeza saya berada dalam
kandang intelektual, bukan dalam kandang pandirisme. Sebenarnya, mereka juga
berhak berada dalam kandang intelektual itu, jika mereka dapat meyakinkan
khalayak sastera yang semakin cerdik sekarang setelah dididik dalam kandang PB.
Masalahnya, mereka tidak mahu masuk kandang PB, padahal tempat itu sangat
istimewa dan terhormat. Nasihat saya,
masuklah kandang PB, nanti anda akan dipandang hormat oleh para pencinta ilmu. Itulah pilihan
terbaik yang tidak dapat dipersoalkan. Jemputlah masuk ke dalam kandang PB,
supaya lebih terserlah kedudukan intelektual anda. Saya sendiri yang beri
jaminan ini.
Para
penerbit yang membaca blog ini mungkin ingin melihat naskhah tentang sasterawan
negara ini untuk diberi pertimbangan penerbitannya. Bolehlah hubungi agen saya untuk mendapat
penjelasan lanjut. Saya belum lagi
melantik agen itu, kerana belum diperlukan sehingga terdapat penerbit yang
berani menerbitkan naskhah itu. Saya mungkin meletakkan naskhah itu di
Perpustakaan DBP untuk semakan sesiapa saja yang berminat, terutama para
penerbit. Naskhah ini sangat penting dikenali dan dibaca oleh para sarjan
sastera, kerana boleh membantu mereka melihat sudut lain tentang para
sasterawan negara ini. Malangnya mereka pun sama saja standardnya dengan para
sasterawan negara ini; malah ada di antara sarjana ini yang sudah mengidam
untuk dilantik sebagai seorang sasterawan negara. Tokoh ini sudah pun mendapat
sokongan daripada Anwar Ridhwan sendiri dan beberapa orang lagi yang telah
menyatakan pendirian mereka. Jika anda
membaca naskhah tentang para sasterawan negara ini, anda mungkin dapat membuat pilihan
siapa yang layak berada di dalam kandang pandirisme ini. Demikianlah pentingnya
naskhah ini diterbitkan. Adakah DBP yang
menolak naskhah Baha Zain akan menerima naskhah saya? Untuk makluman, DBP telah pun menerbitkan “masterpiece”
dalam kritikan sastera yang saya tulis, Pendidikan
Estetika Daripada Pendekatan Tauhid.
Mohd.
Affandi Hassan,
Petaling
Jaya, 18/8/2018
No comments:
Post a Comment