“Kreativiti
memang memerlukan keluarbiasaan, dan itu terbit daripada keberanian keluar
daripada lingkaran konvensi.” Kutipan
ini diberikan kepada saya kononnya pendapat
Dr. Mohamad Saleeh Rahamad.
Setelah merenung beberapa ketika kerana tidak yakin ini pendapat beliau,
saya akhirnya mengambil keputusan untuk mempercayai kata-kata itu memang
daripada sarjana terkenal ini. Anehnya
ialah, jika itulah pendapat beliau, mengapa beliau dengan kontan menolak PB
sebagai karut dan tidak boleh dipakai dalam analisis dan penulisan
kreatif. Jika beliau percaya kepada
ucapannya yang bernilai itu, tentulah beliau welcome PB sebagai satu
kaedah analisis dan panduan menulis karya kreatif yang “luar biasa” yang terbit
daripada seorang pemikir yang mempunyai “keberanian keluar daripada lingkungan
konvensi.” So?
Teka-teki
begini sering kita temui dalam ucapan dan tulisan para sarjana kita, seperti
yang saya paparkan sudah banyak kali dalam blog ini. Untuk meneliti mana satu
entri yang membicarakan aspek ini, sila rujuk senarai yang tersiar pada …
(maaf, saya tak dapat kesan tarikhnya.)
Barangkali lebih baik anda rujuk saja buku Prof. Ungku Maimunah Mohd.
Tahir yang diterbitkan oleh DBP 2009, berjudul
Dinamika Pemikiran Sastera Melayu.
Juga rencana beliau dalam bahasa Inggeris, “Persuratan Baru: An Alternative Paradigm to
Western Literary Methodologies” (Journal
ASIATIC, Vol. 9, No. 1, June 2015).
Saya pasti
Dr. Mohamad Saleeh Rahamad tidak membaca tulisan Prof. Ungku Maimunah kerana
menurut perhitungannya pendapat Prof. Ungku Maimunah tidak boleh dipakai,
terlalu taksub kepada PB sehingga menonjolkannya sepanjang masa. Walaupun
kesimpulan ini tidak bertanggungjawab dan amat aneh untuk dilontarkan oleh seorang
sarjana terkenal sepertinya, namun
itulah kenyataannya jika anda belum tahu. Pelik tetapi benar, tidaklah pelik
tetapi benar terdapat di kalangan para sarjana sastera yang terror seperti Dr. Mohamad Saleeh
Rahamad ini. Bagusnya pula, kita tidak
ada terrorist dalam kritikan sastera
Melayu, hanya sarjana yang pendapatnya sangat terror kerana keberaniannya yang luar biasa menolak keunggulan
pemikiran dan tulisan orang lain yang tidak dihormatinya kerana beliau sudah
terpengaruh oleh Tiga Qul dalam
konteks peranan Iblis yang disebut dalam Tiga
Qul itu. Kalau anda seorang sarjana
Islam, dan menolak Tiga Qul dalam
kritikan sastera, bagaimana kedudukan anda sebagai seorang yang beragama? Menurut hemat saya, di kalangan para sarjana
bukan suatu kejelikan, tetapi satu kekuatan dan keberanian yang luar biasa.
Kejelikan itu jelas, tetapi kekuatan akademik dan keberanian memberikan
pendapat yang songsang adalah luar biasa.
Mungkin anda
hairan mengapa kita selalu mengambil contoh daripada tokoh terkenal ini. Dua
sebab. Pertama, beliau seorang profesor sastera di sebuah universiti, dengan
itu beliau mengajar sastera kepada para pelajar. Adakah beliau memberi
pengajaran yang lengkap? Tidak. Ada perkara yang beliau tidak tahu, tidak
faham, dan tidak suka, maka tidaklah beliau sebut walaupun sepintas lalu kepada
para pelajar. Salah satu yang beliau tidak suka ialah gagasan Persuratan Baru,
yang beliau anggap menghalang kebebasan kesarjanaannya. Jika anda cerdik, dan tahu
makna kebebasan, anda akan dapati PB memberikan anda kebebasan penuh berasaskan
konsep ilmu yang benar. Anda
bebas membicarakan kebaikan; tetapi anda tidak bebas membicarakan sesuatu yang
merugikan masyarakat, terutama para pelajar. Walaupun kebebasan itu dihargai,
tetapi anda tidak bebas untuk berak dan kencing di merata tempat. Ada peraturan
tertentu yang mesti diikuti. Dalam kritikan sastera pun begitu. Walaupun anda
pengamal teori sastera Barat, sebagai sarjana anda harus tahu alternatif lain,
apatah lagi jika anda itu seorang penganut agama, maka wajib anda tahu kerana
itulah tuntutan agama dan anda pun boleh betulkan sesuatu pendapat jika tidak
betul. Dengan bersikap lembu kenyang, anda tidak membantu perkembangan ilmu dan
perkembangan intelektual dalam pengajaran sastera. Anda terus mengajar pelajar
anda menjadi bodoh, dan cetek walaupun dalam mata pelajaran yang anda lecture pelajar itu mungkin dapat A
untuk memborakkan kembali syarahan anda yang mungkin juga cetek. Ini persoalan
penting yang tidak ingin dibincangkan oleh para sarjana yang sedia keadaannya
dalam keadaan cetek meraba-raba. Hanya
PB yang bertegas di mana anda betul dan di mana pula anda silap. Dua perkara
ini penting dalam pengajaran ilmu. Adakah anda pasti Dr. Mohamad Saleeh Rahamad
telah melakukannya? Bukti dari tulisannya terang jelas beliau tidak berbuat
seperti yang diharapkan, seperti yang dapat kita baca dalam tulisannya mengenai
Naratif Ogonshoto, yang diberi hadiah
oleh DBP itu. Tulisan itu cetek dan picisan, memberi gambaran salah terhadap
sebuah karya picisan yang tidak bermutu.
Kalau anda cerdik, anda telah membaca ulasan kritis saya dalam blog ini. Sekarang mungkin sudah jelas mengapa kita
terus berbicara tentang tokoh ini. Kita mahu yang terbaik daripada beliau, yang
hingga kini belum lagi beliau berikan kepada kita. Kita tidak boleh membiarkan
kekeliruan dan kebodohan berterusan, sekiranya kita dapat membezakan dengan
jelas antara keduanya. Salah satu tugas utama seorang sarjana ialah
keupayaannya mengetahui perbezaan itu, dengan itu dia berhati-hati dan tidak
meneruskan kesilapan dan kebodohan dalam kerjayanya. Tidak ada sesiapa pun yang
akan membantah kesimpulan mudah dan tepat ini.
Keadaan yang
berlaku dalam dunia akademik kita sungguh amat memalukan. Saya telah mengulas
perkara ini dalam entri yang lepas, tentang kekeliruan seorang profesor yang
menghina profesor lain dalam ejekan yang sangat biadab. Ini bukan caranya
seorang sarjana, yang bertaraf profesor pula, membicarakan tentang soal ilmu
dan soal akademik. Tidak ada kebaikan langsung untuk berlaku biadab dalam dunia
akademik, dan dalam dunia ilmu. Ini mesti diketahui oleh seorang sarjana, bukan
perkara main-main seperti yang ditunjukkan oleh profesor berkenaan.
Sekiranya
anda membaca tulisan saya dengan kritis dan kreatif, anda akan dapati setiap
isu yang saya kemukakan bertujuan untuk membuka dimensi baru dalam memahami
masalah kekeliruan dalam konsep ilmu
yang sedang kita hadapi sekarang. Dalam konteks inilah saya mengkritik sarjana
yang selekeh keupayaan akademiknya, tetapi berlagak angkuh mempamerkan
kecetekan ilmunya seolah-olah dialah yang menentukan arah dalam perkembangan
intelektual Malaysia. Inilah yang kita lihat dalam tulisan yang memuji Naratif Ogonshoto, sebuah karya picisan
yang dangkal dan menyesatkan, tetapi diberi pujian tinggi yang tidak pada
tempatnya hanya kerana yang memberi pujian itu sama dangkalnya dengan penulis
novel itu sendiri. Sampai bila kita harus membiarkan keadaan ini berterusan?
Apa untungnya menjadikan kekeliruan sebagai panduan dan kemegahan akademik?
Anda tidak sedar akan perkara ini kerana anda tidak mempunyai alat analisis
untuk menyedarkan anda akan kebodohan analisis anda; di sinilah PB boleh
membantu anda kembali kepada kebenaran dan kekuatan hujah berasaskan konsep
ilmu yang benar. Bagaimana anda boleh memusuhi PB jika itulah matlamatnya? Anda
boleh menguji sampai tidaknya matlamat yang dituju itu dengan membuat
perbandingan yang kritis antara penggunaan kaedah sastera Barat dengan kaedah
berteraskan konsep ilmu yang benar yang diajukan oleh PB. Anda harus mengetahui dengan mendalam
kedua-dua pendekatan ini, sebelum anda boleh membuat kesimpulan yang tepat dan
objektif. Inilah yang ingin kita capai
dalam perkembangan pemikiran dalam penulisan kreatif dan dalam kritikan sastera.
Kita tidak akan dapat mencapainya jika kita memakai kaedah yang keliru yang
dipakai oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad. Sekarang anda faham mengapa saya
mengkritik tokoh ini. Kita tidak mahu kekeliruan dan keadaan cetek meraba-raba
ini diwarisi oleh para pelajar sastera di peringkat universiti. Ini suatu
pengkhianatan ilmu yang amat nyata yang mesti ditentang habis-habisan.
Jika anda
membaca kritikan saya ini dalam konteks kesimpulan Dr. Mohamad Saleeh Rahamad
dalam kutipan yang saya ambil pada permulaan tulisan ini, anda akan dapati
matlamat saya lebih jelas dan cara mencapainya cukup objektif, tidak seperti
yang cuba diberikan oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad yang masih keliru dan cetek
itu. Anda perlu bahaskan dengan kritis kesimpulan ini jika anda mempunyai
pandangan yang berbeza, dan mungkin juga yang terbaik untuk kita semua.
Kemukakan pandangan anda yang terbaik itu untuk kita fikirkan bersama dengan
kritis. Inilah tuntutan akademik yang tidak boleh didiamkan. Tidak ada sebab
sama sekali untuk anda terus berada dalam kandang pandirisme.
Mohd.
Affandi Hassan,
Petaling
Jaya, 1 September 2018.
No comments:
Post a Comment