Tuesday, September 11, 2018

MENGAPA HIKAYAT BUYUNG LURUS DIKETEPIKAN PENGKRITIK DAN SARJANA?



Apabila organisasi seperti DBP dan ITBM dikendalikan oleh pentadbir yang tidak sensitif kepada ilmu dan pemikiran, maka karya sastera yang bermutu disisihkan dengan angkuh. Itulah yang terjadi kepada Hikayat Buyung Lurus: Sebuah Hikayat Politik Melayu, dan novel terbesar Malaysia yang boleh menandingi mana-mana novel agung dunia, Pujangga Melayu. Dua buah novel ini muncul sebagai penanda aras nilai novel sebelum dan selepasnya. Jangan berdiam diri, sebagai sarjana atau sasterawan, jika anda tidak bersetuju dan meremehkan dua buah novel agung dalam bahasa Melayu ini. Tampilkan novel Melayu yang lebih baik dengan memberikan analisis dan penilaian yang dihujahkan secara akademik. Permintaan ini adil dan munasabah. Tidak pantas jika kita tidak mempunyai sarjana sastera yang jujur kepada bidangnya dan tajam analisisnya sebagai sarjana. Tampil ke depan dengan hujah anda untuk menolak dua buah novel ini dan kemukakan novel yang lebih bermutu daripada dua buah karya ini.  Kalau anda perlukan bayaran, saya akan membayar setiap makalah yang dimaksudkan dua atau tiga ribu setiap satu yang tersiar dalam Dewan Sastera. Saya boleh buat surat peguam dengan Dewan Bahasa dan Pustaka untuk memastikan bayaran itu dibuat seperti yang dijanjikan. Anda tidak perlu masuk peraduan untuk mendapat bayaran setinggi itu. Percuma. Saya tunggu cabaran saya disambut dengan kontan dan jujur.  Jikalau DBP mahu saya deposit sepuluh ribu saya boleh depositkan wang itu  dengan disaksikan oleh peguam.  Jangan takut, saya hanya mahu membuktikan anda berani menyahut cabaran ini. Jangan malu, kita semua tahu harga diri dan maruah anda yang tinggi, sehingga membuat anda tidak berani menyahut apa-apa cabaran untuk kebaikan sastera Melayu, walaupun anda sepatutnya melaksanakan tugas yang diberi itu dengan jujur dan cekap. Ini cabaran dan janji saya, apa lagi yang anda mahu?

Saya tidak bermaksud menjatuhkan maruah intelektual dan maruah akademik anda dengan cabaran ini.  Semua kita dapat melihat dengan jelas sastera Melayu sangat lesu dan penuh dengan kemunculan karya picisan yang ditulis oleh para sasterawan yang juga picisan. Saya telah memberi anda peluang yang begitu luas untuk menafikan kesimpulan ini. Jika anda pandang cabaran ini remeh dan kebudakan, maka tunjukkan anda sendiri lebih baik dengan mengemukakan  bukti yang tepat dan objektif. Anda boleh periksa kemampuan intelektual dan pemikiran saya dengan mengkritik apa juga isu dan kesimpulan yang saya kemukakan dalam blog ini sejak 2010.  Selain dari itu, saya dedahkan karya kreatif dan karya akademik saya untuk anda lapah dengan menggunakan apa juga teori sastera yang anda mahu dan anda kuasai dengan memuaskan. Mahu apa lagi, gelanggang sudah terbuka. Masuklah ke dalam gelanggang itu sebagai pendekar tulen, bukan berdiam diri sebagai pendekar palsu yang tidak silu menjaja kepalsuan itu dalam gosip murahan seperti yang anda sering lakukan.  Seperti yang diucapkan oleh Buyung Lurus, “Kita mesti selamatkan kebenaran di negara kita.” Di mana salahnya penegasan itu jika anda tidak bersetuju. Kemukakan versi anda pula.

Sekiranya anda tidak selesa  dengan gaya saya, kemukakan gaya yang selesa dan indah yang anda miliki.  Itulah caranya kita membina budaya intelektual dalam perkembangan ilmu, yang memang diperlukan ketika kita sedang mengalami krisis budaya yang parah akibat merebak dan menularnya pandarisme dalam masyarakat kita.  Saya telah menulis sebuah buku penting membicarakan aspek ini, Pandirisme Dalam Komuniti Dunia  (2016).  Masalahnya anda tidak membaca buku itu kerana anda sendiri berada dalam kandang pandirisme dan seronok berada di situ.  Bilakah anda mahu keluar dari kandang itu?  Terdapat  satu episod sisipan yang penting dalam Pujangga Melayu, berjudul “Lembu Masuk Universiti”.  Jika anda seorang yang bijak dan tajam pemikirannya, anda akan baca sisipan ini bersama Balai Maqamat untuk memahami mengapa karya seumpama ini ditulis. Saya hanya memberi cadangan, tidak sekali-kali bermaksud hendak mengajar sesiapa. Itu bukan kerja saya pun…

Kemunculan Gagasan Persuratan Baru memberi makna baru kepada kegiatan kreatif dan kritikan yang kini tidak lagi hanyut dalam kekeliruan penilaian, sebaliknya diganti dengan kepastian ukuran dalam membuat penilaian terhadap sesebuah karya kreatif mahu pun karya akademik. Untuk karya kreatif, kita tidak lagi terikat kepada cerita, tetapi beralih kepada wacana yang bersifat keilmuan. Untuk karya akademik, kita memberi perhatian yang utama kepada konsep ilmu kerana akhirnya yang ingin dicapai dalam apa juga penulisan akademik seharusnya bertujuan untuk mendaulatkan ilmu, bukan hanya melonggokkan maklumat mentah yang tidak berupaya diterjemahkan dalam analisis yang mendalam yang memberi makna yang jelas kepada persoalan yang dibicarakan dan kepada pembaca yang akan mendapat manfaatnya dengan munculnya maklumat atau pengertian baru yang membawa kepada penjelasan yang diingini.   Adakah ini bermakna penulisan bersifat akademik selama ini hanya berupa longgokan maklumat mentah yang tidak dianalisis dengan memuaskan berasaskan konsep ilmu yang benar?  Jika kita ambil contoh daripada buku ITBM, Sastera Teras Negara Bangsa, kita dapat melihat kepalsuan judul itu sendiri kerana sastera tidak pernah menjadi teras pembangunan tamadun, malah dalam tamadun Melayu yang menjadi teras itu ialah persuratan yang membicarakan tentang ilmu dan sebagainya.

Apabila saya berkata, Hikayat Buyung Lurus dan Pujangga Melayu adalah dua buah novel terbaik pernah ditulis dalam bahasa Melayu, mengatasi semua karya para sasterawan negara, anda perlu bertanya: Siapakah yang menentukan penilaian itu, apakah asasnya, apakah ukurannya?  Bahawa anda tidak berani bertanya membuktikan anda tidak pasti, atau lebih tepat tidak tahu, apakah ukuran yang dipakai dan mengapa ukuran itu boleh memberikan penilaian yang tepat dan objektif.  Sepatutnya inilah persoalan yang perlu dijawab apabila anda menilai sesebuah karya kreatif. Dengan kontan dan yakin anda harus tampil memberi senarai ukuran yang anda pakai, yang telah diuji, yang membolehkan anda membuat penilaian yang tepat dan objektif.  Kita ambil contoh ini, seperti yang sering diberikan apabila dibuat penilaian terhadap sebuah cereka. Yang biasa digunakan ialah tema, teknik, latar, perwatakan, dialog, gaya, dan lain-lain yang biasa digunakan. Perbincangan mengenai perkara ini dihuraikan dengan terperinci oleh Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir dalam bukunya,  Dinamika Pemikiran Sastera Melayu  (DBP 2009) dan dalam tulisannya ketika membicarakan penilaian yang dibuat oleh juri dalam Sayembara Mengarang Sempena Sambutan Jubli Emas DBP.  (Rujuk tulisannya dalam,  Islam dan Pengaruh Barat Dalam Kritikan (UKM 2016, Bab 10).  Terdapat tiga jenis kelemahan yang menjadi kemegahan palsu dalam novel Melayu. Pertama, kelemahan dari segi perwatakan. Kedua, kelemahan dari segi persoalan yang dipilih. Ketiga, kelemahan dari segi bahasa. Saya telah menulis banyak kali dalam blog ini mengenai tiga persoalan ini (antaranya anda boleh baca dalam entri tahun 2017), membuktikan bahawa sasterawan bukanlah pemikir dan pembina teknik baru dalam penulisan. Mereka, semua sekali, adalah peniru yang tidak tahu memilih dan tidak kreatif.  Kita ambil yang ketiga, penggunaan bahasa. Di sini terserlah konsep keindahan bahasa yang palsu, tidak diasaskan kepada kekuasaan dan kekuatan bahasa sebagai penyampai ilmu. Bagi sasterawan, bahasa adalah indah jika terdapat metafora yang melampau, atau perbandingan yang tidak masuk akal, atau khayalan yang hanyut dalam ungkapan picisan. Dalam PB, bahasa yang indah dan bermakna dicapai melalui konsep ihsan (sudah dijelaskan dengan terperinci dalam  Adab dan Peradaban (MPH, 2012), Bab 19: “Keindahan bahasa berasaskan konsep ihsan.”

Keseluruhan tiga perkara yang saya maksudkan boleh anda perhatikan dalam Hikayat Salim Adil.  Novel yang kecil ini (155 halaman; berbanding Pujangga Melayu, edisi baru 2016 setebal 735 halaman), namun sebagai sebuah karya persuratan, novel ini membicarakan persoalan yang luas meliputi segala aspek perkembangan intelektual bangsa Melayu. Biarlah anda sendiri mencarinya, jika anda benar-benar seorang pembaca intelektual yang cerdik. Sebagai bayangan untuk membantu anda, saya sebut satu persoalan besar yang disentuh secara ringkas pada halaman 136, mengenai cita-cita Cina untuk membelah Semenanjung menjadi dua, satu untuk Melayu bahagian yang paling mundur; satu lagi untuk Cina bahagian yang paling maju. Kata Cina, yang memajukan Semenanjung ialah orang Cina. Tanpa Cina, tiada kemajuan.  Baru dua tiga hari lepas bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar, memberitahu dalam tahun 1969 Lim Kit Siang dimasukkan ke dalam tahanan kerana mengemukakan cadangan untuk membelah Semenanjung. Jadi idea ini memang ada dalam kepala orang Cina. Melayu diam mengeram di kampung-kampung mereka dan mewah dalam kemiskinan dan mereka menerima itu sebagai takdir. Tanpa Cina, tiada kemajuan. Ini nampaknya diterima oleh orang Melayu, malah dipersetujui oleh PM Mahathir. Tun Dr Mahathir, kini PM rekon kali kedua, sangat bangga menyelar dan menghina Melayu sebagai pemalas, korup dan lain-lain keburukan. Tun Dr. Mahathir Mohamad, Presiden UMNO Baru yang diberinya nama  Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).  UMNO adalah United Malays National Organisation, nama yang diberi oleh penjajah Inggeris. Parti baru yang ditubuhkan Mahathir adalah terjemahan ke bahasa Melayu akronim UMNO, diringkaskan menjadi BERSATU.  Memang inilah UMNO Baru ciptaan Mahathir ketika dia mengharamkan UMNO lama, setelah UMNO diharamkan akibat perebutan kuasa antara beliau dengan Tengku Ghazaleigh yang kalah setelah UMNO Kelantan berpaling tadah. Ceritanya sangat menarik, anda perlu tahu perkara ini. Penting. Sebagai catatan, kalimah “Bersatu” adalah slogan UMNO asal yang selalu mereka jeritkan dalam perhimpunan mereka, dijadikan akronim parti peribadi Tun Dr. Mahathir Mohamad. Very (clever, shrewd, smart) indeed!  Anda boleh pilih salah satu daripada tiga perkataan itu atau ketiga-tiganya, yang dikira tepat mencirikan peribadi Tun Dr. Mahathir Mohamad. Saya pilih shrewd, dalam bahasa Melayu dipanggil kelentong. Perebutan kuasa dalam UMNO berlaku 1987, pada ketika itulah saya mengemukakan pandangan saya supaya UMNO menerima hakikat UMNO mesti dikalahkan jika parti itu benar-benar berjuang untuk orang Melayu. Rupanya benar-benar berlaku dalam PRU 2018. Tepat sekali ramalan saya, walaupun ketika saya kemukakan idea itu saya dituduh sebagai pengkhianat bangsa Melayu kerana mencadangkan UMNO perlu dikalahkan untuk menyedarkan Melayu dalam dan di luar UMNO. Ironinya, yang menang adalah UMNO rekon pimpinan Tun Dr. Mahathir. Adakah betul Melayu bodoh, atau pemimpin Melayu memang tidak boleh diharap? Saya serahkan kepada penganalisis politik mengupasnya dengan kritis.

Mengapa saya bawa perkara ini dalam entri mengenai Buyung Lurus? Saya fikir tidak perlu saya jawab. Anda tentu lebih tahu dan tak perlu diberitahu. Ingat saja kata-kata Buyung Lurus yang membina PUPEN.  Dalam politik Malaysia, PUPEN tidak diperlukan.  Kebenaran, kata ahli politik, bukan istilah politik, tetapi istilah agama, khususnya istilah sufi.  Kata mereka, agama adalah soal peribadi, bukan masalah politik.  Hanya penjual agama yang menjadikan agama sebagai matlamat politik mereka. Kata mereka, dalam Islam tidak ada politik seperti yang difahami dalam demokrasi. Yang ada syura. Di Malaysia syura itu berada di Parlimen. Di Amerika Syarikat terdapat 5 jenis demokrasi yang berbeza penekanannya dan kesannya dalam masyarakat. Demokrasi adalah alat kapitalisme, oleh itu demokrasi dikuasai oleh kaum kapitalis atau kaum peniaga. Bagaimana di Malaysia? Sama saja. Syarikat besar dan berkuasa memerlukan demokrasi versi mereka untuk memperkuat kedudukan ekonomi mereka. Sekarang saya kemukakan satu pertanyaan bodoh yang memerlukan jawapan yang cerdik. Apakah yang berlaku dalam politik Malaysia selepas pilihan raya 2018? Jawapan itu ada di dalam Hikayat Buyung Lurus; anda hanya perlu mencarinya.  Teka teki ini perlu untuk mencerdikkan anda, dan membuat anda lebih peka kepada penipuan dalam politik demokrasi. 

Semua isu dan persoalan yang saya bangkitkan ini membuktikan betapa pentingnya pendekatan baru dalam penulisan; dan pendekatan itu dipakai dengan penuh kesedaran bahawa hasilnya nanti akan menyerlahkan kecerdikan penulisnya dan mengemukakan persoalan penting yang memerlukan perbahasan untuk mendapatkan kesimpulan terbaik bagi kita semua. Itulah yang dilakukan dalam Hikayat Salim Adil.  (Lihat penjelasannya dalam entri bertarikh 22 November 2017;  1 Disember, 2017;  2 Disember, 2017; 4 Disember, 2017; dan 6 Disember, 2017.)  Keistimewaan paling menonjol Hikayat Salim Adil ialah keupayaannya merangkai tiga genre dalam satu karya kreatif yang bersifat intelektual, yang tidak pernah terlintas dalam fikiran para sasterawan negara untuk menulisnya, malah mereka tidak dapat menulisnya kerana kecetekan pengetahuan mereka dan kelemahan daya kreatif mereka sendiri.  Cabaran Hikayat Salim Adil dapat dilihat dalam dua perspektif. Pertama, sebagai sebuah karya yang merangkum tiga genre sekali gus. Kedua, sebagai karya kreatif yang sekali gus juga sebuah karya akademik. Apakah implikasinya? Jelaslah Gagasan Persuratan Baru memberi ruang yang amat luas untuk sesiapa juga yang mahu menulis karya kreatif menggunakan tekniknya untuk menulis karya kreatif yang bercorak akademik. Inilah makna pembaharuan yang sebenarnya, yang bertunjangkan faham ilmu yang benar. Anda boleh gunakan Hikayat Salim Adil untuk menilai karya sastera Melayu dari dua perspektif yang disebutkan.

Saya ingin menegaskan, sekiranya para sarjana, sasterawan dan pengkritik membaca Hikayat Salim Adil sehabis kritis yang mereka mampu, mereka akan menerima sepenuh hati Gagasan Persuratan Baru kerana itulah yang terbaik bagi mereka. Dengan menguasai PB, mereka akan dapat menguasai teori sastera Barat dengan mudah, dan ini akan membantu mereka menulis karya akademik dengan lebih cermat dan lebih teratur dari segi logik dan analisis.  Tidakkah ini sesuatu yang diperlukan dalam bidang akademik?  Nampaknya anda tidak ada pilihan. Satu-satunya pilihan yang ada untuk menyelamatkan diri anda dalam dunia akademik ialah dengan memasuki kandang pandirisme dan kekal di situ. Tetapi itu pilihan yang sangat bodoh dan sia-sia. Sekali lagi saya memberi contohnya, sebagai bukti, buku ITBM, Sastera Teras Negara Bangsa.  Buku ini hanyut dalam kekeliruan tentang konsep dan peranan ilmu dalam pembinaan tamadun. Tidak terdapat sebuah pun makalah yang membincangkan masalah ilmu dan peranan ilmu dalam pembinaan tamadun. Wang yang banyak telah dibelanjakan, masa yang digunakan adalah sia-sia, resolusi yang dipersetujui memperlihatkan sikap tamak dan ghairah untuk mendapat faedah kebendaan.  Tanpa kesedaran taklif, kehidupan manusia adalah sia-sia, sebagai penderhaka yang menolak hakikat bahawa mereka telah berjanji di alam alastu sebagai janji azali yang tidak dapat dinafikan, kerana yang mengaku dan berjanji itu adalah ruh yang suci. Alangkah celakanya manusia beriman jika dia menolak hakikat ini padahal dia tahu. Demikianlah kehadiran Gagasan Persuratan Baru akan terus diperingatkan, sebagai tugas taklif yang tidak dapat dielakkan.

Walaupun bagi anda Buyung Lurus dan Pak Pandir dua tokoh jenaka yang bodoh yang tidak wujud, tetapi kedua-duanya muncul dalam dunia sastera Melayu, dengan itu kewujudan mereka tidak dapat dinafikan.  Buyung Lurus mencipta PUPEN (Pusat Pengesan Penipuan Negara) untuk mempertahankan kebenaran, Pak Pandir pula memberikan kita konsep pandirisme.  Kini kedua-duanya sudah sah boleh dijadikan ukuran dalam membuat penilaian karya sastera, mengikut ukuran yang anda pakai dalam membuat penilaian dalam kritikan.  Jangan-jangan kedua mereka yang anda  anggap bodoh itu jauh lebih cerdik daripada anda, walaupun anda seorang sarjana, sasterawan, dan pengkritik sastera.  By the way, tidakkah Kerajaan Pakatan Harapan menentang rasuah dan penipuan?

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 1 Muharram 1440/ 11 September 2018.

No comments:

Post a Comment