Saturday, September 8, 2018

APAKAH HARAPAN YANG DIBERIKAN OLEH PAKATAN HARAPAN KEPADA RAKYAT?



Kumpulan (mungkin lebih tepat gerombolan) Pakatan Harapan (seterusnya PH) dikatakan telah mengubah pemerintahan negara dengan kemenangan PH 9 Mei 2018. Betulkah begitu? Kalau kita melihat gaya dan beberapa tindakan yang boleh disifatkan biadab yang dilakukan oleh wakil-wakil dalam kerajaan PH, misalnya memulai berita Cina dan Tamil di BERNAMA, dan permintaan seorang wakil DAP yang dilantik sebagai menteri pekerjaan supaya membawa sekolah Tamil dari kebun getah ke bandar-bandar besar dan bahasa Tamil diiktiraf sebagai bahasa rasmi, maka perubahan yang dijanjikan itu memang dilakukan, tetapi dilakukan dengan biadab dan menentang semangat yang dipersetujui bersama ketika membentuk Perlembagaan Negara. Manusia jenis ini tidak fasih langsung berbahasa Melayu, yang mereka tahu adalah bahasa kebangsaan Malaysia dan termaktub dalam Perlembagaan.

Siapakah PH dan siapa pula UMNO/BN?  Yang jadi PM selama 22 tahun Dr. Mahathir Mohamad; dialah juga yang jadi pemimpin PH sekarang. Hanya nama yang berbeza, isi dan semangat tetap sama. Ini sangat jelas dalam ucapan terbaru Dr. Mahathir di perhimpunan untuk membelasah Melayu kesekian kalinya sebagai tidak kreatif, korup, berharapkan bantuan, dan lain-lain yang masih diulang oleh Dr. Mahathir dalam ucapan terbarunya. Bolehkah Melayu berubah dengan menyumpah dan menyeranah mereka sambil menghina mereka? Selama lebih dari 60 tahun  UMNO kononnya memperjuangkan Melayu, kononnya mahu menghapuskan kemiskinan. Yang terjadi sebaliknya. UMNO memang berjaya besar dalam membina para pemimpin yang kaya dan mewah. Mana ada pemimpin UMNO yang papa kedana? Melayu memberi kesempatan kepada pemimpin UMNO untuk membolot kekayaan melalui program membasmikan kemiskinan. Sudah 60 tahun, masih belum mendatangkan hasil?  Kalau ini satu fakta yang terang jelas, adakah ini membuktikan kegagalan Dr. Mahathir Mohamad “membasmikan” kemiskinan Melayu dalam masa 22 tahun jadi PM. Dia sedar kegagalannya, maka kali kedua dia jadi PM, dia mesti salahkan Melayu yang memang seronok menjadi miskin dan membenarkan dengan rela hati para pemimpin mereka menjadi kaya raya dan hidup mewah. Apa bezanya UMNO/BN dengan PH bekas pemimpin UMNO yang memang kaya raya itu? Orang-orang ini nampaknya tidak ada perasaan malu untuk mengaku kegagalan mereka.  Kalau anda mahu tahu makna sebenar politik Melayu, anda mesti baca novel Hikayat Buyung Lurus: Sebuah Hikayat Politik Melayu.

Pelbagai kutukan dilemparkan oleh pemimpin Melayu terhadap orang Melayu yang mereka marah (betulkah begitu?) kerana miskin dan bangga menjadi miskin.  Hingga era yang mereka panggil Malaysia Baru ini pun para pemimpin Melayu, lebih tepat ahli politik, semakin galak menghamburkan seranah mereka kepada rakyat Melayu yang tertinggal di belakang segala-galanya. Semua ini terjadi, kata Dr. Mahathir dari dulu hingga kini, kerana Melayu malas, mengutamakan akhirat dan mengambil mudah kehidupan duniawi, dan Melayu tidak cerdik. Saya tertarik betul bila dikatakan Melayu tidak cerdik itu. Tepat. Mereka telah memilih para pemimpin yang tidak boleh dipercayai, yang giat mengumpul harta dan kemewahan. Orang miskin ini sangat pemurah, tidak mahu memarahi pemimpin mereka yang telah menipu mereka, dengan tegas berkata pemimpin mesti kaya, barulah dia boleh memberi makan percuma sekali sekala kepada rakyat, boleh memberi hadiah dan sebagainya. Sungguh beruntung menjadi pemimpin Melayu kerana mereka tetap disayangi rakyat walaupun mereka korup dan didapati menipu dalam pilihan raya. Mereka tidak bersalah, kata mereka (maksudnya rakyat) memberi hujah yang dipelajari daripada para pemimpin mereka, tidak bersalah jika tidak dihukum bersalah. Bila telah dihukum bersalah, maka bersalahlah. Mudah. Dan mereka percaya kepada sistem kehakiman negara! Kata mereka, tidak mungkin hakim pun boleh menipu. Memang betul Melayu memang baik hati.  Dalam konteks ini sungguh cantik pembebasan Menteri Kewangan, yang juga Setiausaha Agung DAP, daripada tuduhan rasuah. Cuma di sini dia tidak dibicarakan, kerana pihak yang mendakwa tokoh besar DAP ini  berkata kalau didakwa pun mesti kalah. Baik tidak dibicarakan, buang masa saja.  Andainya Pak Pandir ada bersama kita, tentu dia tertawa berguling-guling membaca keputusan tokoh yang membebaskan Lim Guan Eng sebelum dibicarakan.  Lebih menarik lagi, Timbalan Menteri di JPM, seorang Melayu (?), berkata memang tidak ada kes untuk dibicarakan. Dengan itu dia membodohkan sebodoh-bodohnya para pegawai Suruhan Pencegah Rasuah Malaysia  yang membantah keputusan hakim yang bijaksana itu. Nampaknya dunia yang dibikin oleh PH betul-betul tidak siuman. Bukti? Tun Mahathir Mohamad sendiri menyatakan dia terkejut Menteri Kewangan yang dilantiknya dibebaskan! Kita semua terkejut benda ini berlaku dalam kerajaan yang anti rasuah, yang memberikan kita Malaysia Baru melalui Kerajaan Pakatan Harapan.  Tidak sia-sia Buyung Lurus menjelaskan mengapa PUPEN penting: “PUPEN ini akan jadi pusat orang-orang pandai kita membuat penyelidikan tentang penipuan yang berlaku di negara kita.”  Siapa sangka Buyung Lurus yang bodoh itu lebih cerdik daripada semua ahli politik Melayu dan bukan Melayu yang tidak pun terfikir untuk membina PUPEN. Sebabnya? Sukarlah mereka sendiri hendak menipu rakyat.

PH adalah kemuncak pandirisme dalam politik Melayu, yang disembunyikan di sebalik slogan kosong Malaysia Baru. Kalau kita kira secara kasar, Melayu telah diberi slogan tak kurang dari 5000 slogan. Kerana terlalu banyak, rasa hendak termuntah jika dibilang satu persatu. Saya serahkan kepada anda untuk membilangnya satu persatu jika anda mahu. Slogan sangat penting dalam konteks penipuan politik, kerana semua slogan dipercayai dan diterima oleh masyarakat. Misalnya slogan Malaysia Baru, sangat popular sekarang dan boleh dikatakan masyarakat sudah dipukau dengan slogan ini. Di mana saja orang bercakap tentang Malaysia Baru yang memberi kebebasan kepada rakyat menyuarakan apa saja yang mereka ingin perkatakan, termasuk mengejek dan mengkritik Agong yang pernah diselar oleh seorang wartawan terkemuka Malaysia, yang kini diberi kedudukan istimewa sebagai penasihat komunikasi seorang Perdana Menteri, manusia inilah yang menyelar Agong boros dan tidak segan silu lagi membelanjakan wang rakyat untuk keseronokan peribadi. Perbuatan begini tidak lagi dianggap kurang ajar dan biadab, malah dipuji sebagai sejenis keberanian memberikan pendapat yang bernas.  Dalam Era Malaysia Baru, konsep dan perilaku kurang ajar tidak lagi relevan, kerana semua orang digalakkan untuk menyatakan apa saja tanpa sebarang risiko, kecuali jika melampaui  batas yang dibenarkan undang-undang.  Dengan gaya hidup biadab ini, Malaysia Baru memberi  makna baru kepada istilah kesopanan, yang kini bererti kelangsungan kekurangan ajaran (sorry guna ungkapan gila ini!)  dalam komunikasi secara umum. Anda mahu contoh?  Seorang bekas Ketua Polis Negara (terlalu jijik hendak menyebut namanya, walaupun beliau kenalan saya dan pernah saya bergurau bahawa satu hari nanti dia akan jadi Ketua Polis Negara; ketika itu dia Ketua Polis Selangor) baru-baru ini dilantik oleh Perdana Menteri mewakili Malaysia menyertai rundingan damai di Siam (selatan Siam).  Bila dibantah, sedap-sedap saja jawabnya dia ada pengalaman luas dan telah berjaya besar kepada Malaysia; termasuk menumbuk Anwar Ibrahim hingga jatuh terlentang. Pemilihan beliau adalah satu strategi yang jahat untuk “mengajar” Anwar Ibrahim secara sindiran! Saya kira ramai yang tahu makna pelantikan ini dari segi politik, untuk menampar Anwar Ibrahim dengan sindiran yang menikam rasa.) Kalau kes ini bukan satu kebiadaban, apakah nama yang boleh kita berikan?

Allah yarham Ustaz Fadzil Noor, Yang di Pertua PAS, pernah berkata, dia memohon kepada Allah SWT supaya usia Mahathir Mohamad dilanjutkan, supaya dia sendirilah yang akan membicarakan tentang kejahatannya. Itulah yang terjadi kini, boleh kita lihat dengan mata kepala kita sendiri dihamburkan dengan megah dan sombong oleh Dr. Mahathir Mohamad. Yang paling jahat ialah peristiwa Anwar Ibrahim dibelasah, atas arahan Mahathir Mohamad sendiri, dilakukan oleh Ketua Polis Negara, yang kini dihormati menjadi utusan rasmi Kerajaan Pakatan Harapan yang diketuai oleh Dr. Mahathir Mohamad untuk menjadi wakil Malaysia dalam satu perundingan di Selatan Siam.  Rupanya orang ini belum puas mengajar orang yang pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri beliau sendiri. Maka bermulalah Reformasi 1998, yang kononnya kini ditegakkan dengan nama Kerajaan Pakatan Harapan yang dipimpin oleh Mahathir Mohamad. Kerajaan hasil dari perjuangan reformasi 1998 diketuai oleh Mahathir Mohamad? Begitulah politik, yang matlamatnya hanya untuk mendapat kuasa, cara mana sekali pun.

Ketika menulis entri ini, saya terbaca sesuatu yang menarik dalam Hikayat Buyung Lurus.  Rupanya novel persuratan ini memang hebat, walaupun kecil. Cili api paling pedas, baka Mexico gamaknya. Yang menghairankan saya ialah mengapa novel ini tidak dibicarakan oleh sarjana sastera, pengkritik dan sasterawan sendiri, padahal inilah jenis karya yang perlu dikritik. Dunia pandirisme dalam sastera Melayu begitu kuat pengaruhnya, oleh itu karya picisan dikupas secara picisan oleh sarjana picisan.  Hikayat Buyung Lurus memberikan anda kepuasan intelektual dan kepuasan estetik sekali gus, dua perkara yang tidak ada di dalam mana-mana karya sasterawan negara. Ini satu cabaran yang perlu disambut dengan kritis oleh para sarjana sastera, juga pengkritik sastera. Saya tidak akan berhenti mencabar para sarjana, pengkritik dan sasterawan kerana bagi saya mereka masih berada terlalu jauh di pinggiran dari segi pemikiran dan keupayaan kreatif.  Kedegilan mereka untuk berada dalam kandang pandirisme  amat memalukan, lebih-lebih lagi mereka dengan angkuh dan bangga mendakwa bahawa mereka adalah golongan intelektual terpilih yang unggul. Penilaian yang salah, berasaskan ukuran yang palsu, telah saya bincang banyak kali dalam blog ini; terbaru bertarikh 26 Ogos 2018.  Saya cabar sesiapa juga untuk menolak analisis saya sebagai longgar dari segi penghujahan, tidak berasaskan kedudukan sebenar persoalan yang ditimbulkan. Saya membawa contoh dengan menonjolkan Hikayat  Buyung Lurus kerana keseluruhan isi novel itu mengenai kebenaran. Contoh: “Kita mesti selamatkan kebenaran di negara kita.” (hal. 127).  Hebatnya Buyung Lurus kerana dialah yang pertama menubuhkan PUPEN (Pusat Pengesan Penipuan Negara).  Inilah pusat yang kita perlukan sekarang. Anda perlu baca Hikayat Buyung Lurus: Sebuah Hikayat Politik Melayu dengan kritis dan kreatif. Saya anjurkan anda baca baik-baik, dan kritis, hal. 139.  Sekarang sudah banyak kali disebut semua pemimpin politik yang berkuasa isytiharkan harta mereka. Perdana Menteri James Callaghan dari England telah buat ini sejak tahun 1976 lagi!  Bacalah Hikayat Buyung Lurus dengan kritis dan kreatif, anda nanti akan jadi lebih terbuka kepada intelektualisme dalam kesusasteraan.

Kata-kata Buyung Lurus “kita mesti selamatkan kebenaran di negara kita” nampaknya tidak dipersetujui oleh para sarjana, sasterawan dan pengkritik sastera. Bagi mereka yang penting bukan kebenaran, tetapi kemenangan dan kekuasaan untuk memastikan mereka terus relevan dan mendapat faedah berpanjangan. Ini mengingatkan saya kepada cerita pendek “Bukan Orang Jahat” yang saya masukkan dalam kumpulan cerita pendek Biarlah Orang Tahu  (DBP 2005, cerita pendek ke 16). Kerana saya sudah sebut banyak kali tentang cerita pendek ini, saya tidak akan ulang di sini.  Saya hanya ingin menegaskan, yang diperjuangkan oleh sasterawan, sarjana dan pengkritik ialah kemenangan dan faedahnya kepada mereka. Jadi bukan hanya dalam politik kebenaran itu tidak penting; dalam sastera pun sama juga. Kerana itulah mereka ini menolak kehadiran PB, kerana penerimaannya akan memberi kemenangan kepada kebenaran dalam konteks taklif dan prinsip ilmu yang benar. Sampai bila penolakan ini akan berterusan? Semua ini akan berakhir, saya fikir, sekiranya Kementerian Pendidikan menerima PB sebagai sebahagian (dan bahagian yang penting atau utama) yang penting dalam pendidikan sastera. Saya telah cuba mendekati Kementerian Pendidikan untuk menjadikan PB sebahagian daripada pembelajaran dalam sastera; tetapi dengan senang hati saya ingin memberitahu anda, usaha itu tidak diterima kerana sebab-sebab yang tidak mahu dijelaskan. Ini bererti, jika terdapat pelajar menyebut PB dalam jawapan mereka, maka mereka tidak akan diberi markah, malah akan dipotong markah.  Sebagai satu sisipan menarik, saya ingin beritahu anda bahawa saya telah mengirim satu bungkusan agak besar mengandungi segala maklumat  tentang PB. Setelah lama tiada berita, saya mengirim beberapa dokumen untuk pengetahuan Menteri Pendidikan. Akhirnya saya menerima jawapan pendek saja daripada Penasihat Khas Menteri Pendidikan menyatakan kiriman itu sudah diterima, bersekali dengan surat asal saya dikembalikan. Maksudnya, kiriman itu ditolak, begitu juga PB, dengan mengembalikan surat asal saya. Walaupun perkara ini agak aneh, dan pelik, bahawa ini dilakukan pada zaman Pakatan Harapan bercerita banyak sekali tentang kewujudan PH. Anda faham maksud saya?  Penasihat ini menulis surat peribadi dengan memakai logo rasmi. Surat itu tidak ada rujukan, tidak difailkan.  Ke mana dibuangnya bungkusan dokumen mengenai PB? Ini lebih teruk daripada perangai para sarjana, sasterawan dan pengkritik, termasuk institusi sastera seperti DBP dan ITBM,  yang memberi layanan yang sama dengan yang diberikan oleh Kementerian Pendidikan. Anda faham apa makna perilaku begini? Ini semua sebenarnya telah disebut dengan kritis oleh Buyung Lurus, terutama dalam konteks  “Kita mesti selamatkan kebenaran di negara kita” (hal. 127). Mengenai tajuk ini, tentang makna kebenaran dalam Islam, dibincangkan oleh seorang ustaz dalam ceramahnya di TV. Kebenaran menurut beliau adalah inti perilaku manusia beragama, yang dikaitkan dengan nahi mungkar yang berkait rapat dengan ilmu yang benar. Apa kesimpulan kita jika perilaku mereka yang di Kementerian Pendidikan, ITBM dan DBP dinilai daripada perspektif ini?  Dirgahayu Buyung Lurus, anda seorang genius yang setaraf dengan Pak Pandir, genius Melayu pertama itu!

Oleh itu, para sasterawan, sarjana dan  pengkritik sastera tidak usah gusar kerana saya diberitahu dengan santun dan penuh simpati bukan masanya untuk kita menerima konsep kebenaran itu dalam pendidikan negara. Itulah kedudukannya secara rasmi, yang dibayangkan kepada saya. Sama ada akan berubah atau tidak, terpulang kepada sesiapa juga yang membuat keputusan akhir. Yang penting, projek sasterawan negara akan diteruskan, walaupun Dr. Mahathir Mohamad telah membubarkan Majlis Profesor Negara, yang lebih penting daripada Panel Anugerah Sastera Negara yang tidak akan diusik.

Sorry Buyung Lurus, PUPEN anda tidak laku!

Dalam entri bertarikh 23/8/2018 saya bercakap tentang bebelan seorang tokoh intelektual terkemuka; entri kali ini adalah sambungan kepada bebelan itu. Maksud saya, entri ini tidak serius, hanya sejenis bebelan saja, walaupun perkara-perkara yang disentuh di sini adalah isu-isu yang menarik untuk difikirkan dengan siuman.  Satu isu besar yang perlu difikirkan dengan siuman ialah Tun Razak Exchange, yang sudah siap dibina. Bangunan ini saya fikir akan menjadi legacy Dato’ Najib Tun Razak yang akan kekal dan menjadi kebanggaan rakyat Malaysia. Sekali imbas ini satu perkara aneh, tetapi tidak. Kompleks bangunan ini adalah jawapan Najib kepada Putrajaya, yang dari segi strategi jauh lebih hebat daripada Putrajaya. Mungkin anda tidak tahu bahawa pada mulanya Putrajaya dicadang dinamakan Taman Firdausi. Masa saya bekerja dulu, saya lihat petanya. Taman itu kemudiannya menjadi Putrajaya, tentang seorang “putera” yang berjaya. Pada mulanya Sang Putera meminta MB Selangor ketika itu, Abu Hasan Omar, supaya memohon izin Sultan Selangor untuk mendapat  izin baginda supaya mengisytiharkan pembukaan Putrajaya. Baginda menolak, dengan itu Ahli Exco tidak bersetuju dengan permintaan itu. Menteri Besar dipecat; dilantik Mohd. Khair Toyo yang masih muda untuk jadi MB Selangor yang baru. Di bawah pentadbiran beliau, Exco bersetuju dengan permintaan itu dan meluluskannya, walaupun Sultan menentang.  Akhirnya yang mengisytiharkan Putrajaya ialah PM ketika itu; dengan itu Putrajaya adalah negeri beliau yang secara de facto dan de jure  milik beliau atas nama PETRONAS yang menyediakan dananya. Kita perlukan pandangan ahli undang-undang untuk menafi atau mengesahkan pandangan ini.  Kembali kepada kedudukan Tun Razak Exchange, orang-orang yang tahu menegaskan inilah jawapan Najib kepada Mahathir; dan nampaknya kejayaan Najib dari segi ini jauh lebih megah daripada kejayaan Dr. Mahathir membina Putrajaya. Itulah ceritanya, yang tidak tertulis dalam Hikayat Buyung Lurus walaupun sebaiknya begitulah; tetapi tidak menjadi masalah kerana Hikayat Buyung Lurus ditulis 2004. Dicetak oleh sebuah syarikat Cina 2014 setelah ditolak oleh ITBM. Sejarah, begitulah liku-likunya. Sebenarnya membebel adalah satu seni, jika anda tahu melaksanakannya. Aneh atau lucu? Jika anda membaca dengan teliti Pujangga Melayu, khususnya sisipan “Lembu Masuk Universiti”, anda mungkin faham maksud saya.

Saya cadangkan PENA dan GAPENA menghubungi Najib untuk mendapat tempat di Tun Razak Exchange untuk dijadikan pejabat organisasi penulis ini. Najib sudah beri 5 juta kepada setiap satu organisasi penulis ini. Sudah habiskah wang itu? Saya fikir bolehlah beli ruang pejabat di bangunan gagah itu. Kalau Najib beri percuma, tentu lebih baik; lebih baik lagi jika dibeli dengan wang derma itu. Harap masih ada baki yang mencukupi untuk maksud ini.  Semua sasterawan Malaysia akan bangga nanti mendapat  tempat yang istimewa.  Rumah PENA dan GAPENA yang ada sekarang boleh dijadikan tempat penginapan (home stay) untuk para penulis yang datang ke Kuala Lumpur. Idea ini sangat baik dan wajar dilaksanakan segera.  Dua badan penulis ini wajar mengambil faedah daripada projek 1MDB (baca One MDB, sebutan rasmi kerana sebutan dalam bahasa Melayu sangat buruk).  Salah satu, atau kedua-dua badan penulis ini patut benar ke Mesir bertemu dengan organisasi penulis Mesir yang berjaya. Di Mesir para penulis diwajibkan menjadi anggota pertubuhan penulis, dan setiap bayaran buku yang diterbitkan, 10 persen dibayar kepada badan penulis ini. Badan penulis Malaysia pun patut buat seperti para penulis Mesir. PENA dan GAPENA bolehlah ke Mesir sekarang untuk mendapat maklumat lanjut. Dalam keadaan sekarang, kedua-dua badan penulis yang besar ini tidak berguna kepada penulis/sasterawan, tiada faedahnya yang mereka dapat. Yang jelas, aktivis penulis yang menjadi ketua atau anggota jawatan kuasa mendapat faedah dari perdampingan mereka dengan ahli politik yang berkuasa. Faedah itu sepatutnya didapati oleh semua sasterawan melalui perancangan teratur dan kemas badan-badan ini seperti yang dibuat oleh para penulis Mesir.

Nampaknya badan-badan penulis Malaysia tidak boleh lari dari bergantung pada kerajaan untuk mendapat dana.  Semakin banyak dana diterima, semakin naik tagan badan penulis yang mendapatnya dan ahli JK yang mengendalikannya. Keadaan ini amat menarik. Tidak saja penduduk luar bandar mengharapkan bantuan dari kerajaan; badan-badan penulis sama juga, kedua-dua kumpulan ini seronok menjadi pengemis.  Tetapi ini tidak boleh dianggap sebagai satu kelemahan. Kerajaan PH sudah membentuk satu tabung khas untuk mengemis dana daripada rakyat kerana menurut mereka Malaysia sudah bankrap, tidak ada wang kerana terlalu banyak penyelewengan. Kalau tak salah nama tabung itu Tabung Harapan Malaysia, sekarang sudah banyak juga diterima kutipan. Ini yang menyeronokkan: yang memberi derma adalah rakyat yang cintakan Malaysia; yang tidak beri apa-apa agaknya apa pula panggilan yang diberikan kepada mereka. Sandiwara di mana-mana, sama saja dengan yang dialami 61 tahun di bawah UMNO/BN. Kini bukan sesuatu yang aneh, kerana semua TV di Malaysia memang terkenal menyediakan hiburan melalui drama picisan yang boleh kita tonton (kalau mahu) setiap jam disediakan oleh semua stesen TV.  Adakah Kerajaan PH juga sejenis drama? Tidak adil untuk membuat tuduhan demikian, kerana kerajaan Malaysia Baru diwujudkan dengan kehendak rakyat, kata mereka.  Itulah harapan yang diberikan oleh kerajaan PH kepada rakyat, yang sebenarnya tidaklah membanggakan sama sekali. Tidak mengapa, kerana kerajaan ini masih baru, oleh itu mereka berhak bercakap besar untuk memujuk rakyat bahawa tidak lama lagi satu keajaiban akan berlaku yang akan membolehkan semua rakyat bersorak gembira. Bila? Tidak penting. Yang penting akan datang juga!!!

Mengapa saya agak kritis menghadapi kerajaan PH ini? Saya banyak belajar daripada Buyung Lurus, yang memperingatkan Dr. Adi Bahari supaya memperjuangkan kebenaran yang mesti diselamatkan daripada dikhianati.  Saya sendiri menghadapi pengkhianatan intelektual ketika cuba mendekati pihak yang saya kira mempunyai tugas besar untuk mencerdikkan masyarakat Melayu terutamanya, di samping menegakkan kebenaran dalam semua tindakan.  Mereka tidak berminat, kerana perkara yang saya cadangkan memerlukan keberanian intelektual dan komitmen yang tinggi kepada kebenaran itu. Saya mengajak mereka menjadikan konsep ilmu yang benar sebagai asas pendidikan negara, yang mereka tolak kerana kata mereka Malaysia adalah multi-racial dan multi-religious. Islam tidak sesuai dijadikan asas atau diberi penegasan yang boleh menakutkan etnik bukan Islam. Tentu saja pendapat atau pandangan ini sangat bodoh, dan menentang terang-terangan konsep uswatun hasanah yang dibawa oleh Nabi kita SAW. Sejarah tamadun Islam tidak menjadikan ini satu halangan, kerana pembinanya mempunyai otak kelas par excellence yang dihormati seluruh dunia. Tamadun Islam menetapkan nilai-nilai keilmuan dan sebagainya untuk diikuti oleh semua manusia, dan mereka menerimanya kerana mereka tahu itu yang mereka mahu. Mengapa tidak masyarakat Malaysia?  Siapa mahu dan boleh jawab soalan ini jawablah, saya tidak berminat membuang masa.

Setelah meneliti apakah yang boleh saya sumbangkan dalam kerajaan PH, saya positif tidak ada apa-apa yang boleh saya sumbang, kerana mereka pun tidak mahu perkara-perkara yang saya hargai. Mereka mahu melihat “kemajuan” kebendaan semata-mata, sambil membiarkan pemikiran mereka bantut, kusut, serabut, dan tidak berminat kepada kebenaran kerana kebenaran tidak boleh dijadikan panduan untuk membuat duit. Yang penting bagi mereka ialah teknologi, semua jenis teknologi. Itulah yang memperkayakan bangsa, kata mereka. Tentu saja pandangan begini tidak siuman, kerana Islam ditegakkan di atas ilmu, bukan kemahiran semata-mata. Orang yang terdidik dalam epistemologi Islam dapat membezakan dua perkara ini. Jelaslah kerajaan PH tidak berminat kepada aspek ilmu, hanya memberi tumpuan dan perhatian kepada teknologi kerana itu boleh membawa kekayaan. Dalam masyarakat yang begini kemahuannya, sukar  mendapat orang-orang berilmu, cendekiawan dan ulama yang budiman. Kerana itu, tak mungkin kerajaan PH akan kekal dan boleh membawa kemajuan kepada bangsa Melayu, seperti gagalnya kerajaan UMNO/BN yang gagal total untuk memajukan manusia Melayu yang terus miskin. Sekarang  orang Melayu membawa pula kemiskinan ke bandar-bandar besar. Apakah gelaran untuk kehidupan begini? Anda carilah sendiri istilahnya.

Selamatlah jiwa yang sempurna.

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 6 September 2018.



No comments:

Post a Comment