Thursday, September 20, 2018

TERPELAJAR TAPI TIDAK TERDIDIK, SESAT MERABA-RABA KELIRU DALAM KONSEP ILMU



Isu kali ini diilhamkan oleh Menteri Pendidikan Malaysia, yang terkenal dengan isu kasutnya. Dari putih tukar ke warna hitam, jimat belanja kata dia. Ada yang setuju, ramai pula yang berkata mereka geli geman. Itu (yakni kasut, atau kaki) yang jadi isu Menteri. Kataku, lebih elok jika dia mengutamakan otak daripada kaki. Ini pun tidak berlaku.  Sekarang dia dalam kontroversi bila dilantik menjadi Presiden UIA. Dia tak mahu, katanya, tapi Sultan Pahang titahkan minta dia jadi Presiden. Pelajar dan orang ramai suruh dia letak jawatan itu, dia bilang dia nak jadikan UIA setaraf atau lebih hebat daripada Oxford atau Cambridge. Maka masuklah saya dalam perbincangan ini bila dia bilang dia mahu jadikan universiti Islam macam universiti padri di England. Apa sudah jadi? Rupanya tidak sia-sia saya menulis Pandirisme Dalam Komuniti Dunia. Ada saya hadiahkan kepada Menteri ini sebuah sebelum terjadi kontroversi UIA nak dijadikan Oxford atau Cambridge. Ini benar-benar tindakan berasaskan falsafah pandirisme. Wah, tentulah saya happy (?) kerana kritikan saya selama ini terhadap kecetekan dan kepicisan para sasterawan dan sarjana ciritan sangat tepat, dibuktikan sendiri oleh seorang Menteri Pendidikan. Apa lagi yang kita mahu?

Menteri ini dipilih khusus oleh ketua partinya setelah ketua parti beliau ditegur mahu terus jadi menteri pendidikan padahal sudah jadi PM. Nampaknya pilihan PM ini mengecewakan PM sendiri kerana Menteri Pendidikan baru lebih berminat kepada kaki dengan mengubah kasut putih kepada kasut hitam, tanpa memberi perhatian kepada pembinaan intelektual di kalangan pelajar, dan juga pengajar.  Beliau tidak mempunyai apa-apa sumbangan dari segi idea untuk memajukan pendidikan di Malaysia ke arah pembinaan intelektual dan pembentukan nilai-nilai murni yang sering disebut-sebut itu. PM sendiri ada menyebut para pelajar perlu diajar untuk menjadi lebih kritis dan bersedia untuk menyuarakan pendapat mereka mengenai isu-isu penting, misalnya tentang peranan belia yang sebenar untuk membangun negara yang mencintai dan memperjuangkan kebenaran. Belia mesti kritis dan berani memberi pandangan mereka dan bertindak rasional untuk memperingatkan sesiapa juga yang bergelar pemimpin supaya tidak bertindak melampau.  Sebagai contoh, baru-baru ini ada ahli politik yang terlalu berani bertindak sehingga menimbulkan kegelisahan dan kebencian di kalangan masyarakat.  Beliau mencadangkan supaya bahasa Inggeris dibenarkan digunakan dalam perbahasan di Parlemen di samping bahasa Melayu supaya ahli parlimen yang tidak cekap berbahasa Melayu boleh memberikan pendapat dengan selesa dalam bahasa Inggeris.  Inilah Malaysia Baru, yang terbuka kepada perubahan tanpa menyinggung peruntukan dalam Perlembagaan Malaysia. Cadangan ini baik, tetapi pelaksanaannya adalah biadab dan kurang ajar. Mengapa? Setelah merdeka lebih 60 tahun, masih tidak boleh berbahasa Melayu. Orang-orang begini memang biadab dan kurang ajar, dan jumlah mereka sebenarnya amat besar. Oleh itu, pilihan terbaik untuk Kerajaan Pakatan Harapan ialah membiarkan saja meneruskan kebiadaban dan sifat kurang ajar mereka.  Lagi pula, kata mereka, Malaysia terbuka dan mempunyai tiga aliran pelajaran yang diiktiraf oleh Kerajaan. Jangan ikut Indonesia yang hanya menggunakan bahasa Indonesia; ikut Singapura yang menggunakan tiga bahasa, tetapi menggunakan bahasa Melayu dalam upacara rasmi diikuti bahasa-bahasa lain. Malaysia di bawah Kerajaan Pakatan Harapan sedang menuju ke arah itu, dimulai oleh seorang Menteri kanan yang menggunakan bahasa Mandarin secara rasmi.  Bodohnya, dia minta maaf, tidak sengaja katanya. Andainya lembu boleh bercakap, lembu pun akan membantah dengan cara revolusi, iaitu dengan berhimpun beramai-ramai di kawasan pejabat Pak Menteri sambil mengeboh dan berak merata-rata. Mujurlah Melayu tidak sebodoh itu walaupun bahasa Melayu terus dipermainkan.

Semua perkembangan ini memperlihatkan betapa haru birunya sistem pendidikan Malaysia, yang secara total gagal menyerlahkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara. Kalau ini bukan kurang ajar dan biadab, apa gelaran yang sesuai?  Pendidikan Malaysia sangat ghairah melatih pelajar menjadi kuli. Para graduan hasil sistem pendidikan yang dilontar oleh BN dan Pakatan Harapan adalah sama, melatih pelajar menjadi kuli.  Kalau sistem ini melahirkan sarjana sastera, kualitinya sangat rendah dan pengetahuan mereka tentang sastera sangat cetek. Anda mahu saya senaraikan siapa mereka? Tak perlu. Kita boleh lihat hasilnya daripada tulisan mereka dan murid-murid mereka. Sekadar memberi gambaran apa yang berlaku, saya lontar kembali tabiat kesarjanaan seorang profesor emeritus yang bangga memanjat bumbung kilang berkarat untuk menulis kertas kerja yang berlumut, bukan lagi berkarat. Kes ini sangat masyhur, dan menjadi kebanggaan para sarjana sastera.  Itulah hakikatnya. Mahu contoh lain?. Lihat saja betapa cetek dan kelirunya penilaian tentang Naratif Ogonshoto yang picisan dinilai oleh dua orang sarjana picisan, satu dalam bahasa Melayu satu lagi dalam bahasa Inggeris sebagai pendahuluan kepada terjemahan novel itu.  Semua ini bukti betapa tepatnya kesimpulan saya tadi.  Tiada siapa yang sanggup memberi bantahan atau sanggahan, kerana mereka begitu yakin penilaian yang picisan itulah yang betul dan tepat, oleh itu tidak perlu disanggah.  Inilah kesan pandirisme yang  begitu ketara untuk disembunyikan.

Menjadikan pandirisme sebagai benteng intelektual seperti yang dilakukan oleh sarjana sastera, sasterawan dan pengkritik sastera, adalah satu tindakan menghina perkembangan ilmu di Tanah Melayu yang secara sedia kala  disampaikan melalui persuratan Melayu, yang berasaskan konsep ilmu yang benar, bukan berasaskan pandirisme seperti yang dijana dalam kesusasteraan Melayu moden.  Kesusasteraan Melayu berteraskan pandirisme ini juga yang dijadikan asas pengajaran sastera oleh Kementerian Pendidikan dari dulu hingga sekarang.  Semua ini terjadi kerana tugas penggubalan kurikulum kesusasteraan diberikan kepada gerombolan yang anti-ilmu dan yang mencemuh konsep ilmu yang benar sebagai tidak relevan dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia, walaupun kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan dimaktubkan dalam Perlembagaan.  Menurut mereka yang menentang konsep ilmu yang benar ini, kepelbagaian agama di Malaysia tidak membenarkan hanya sudut ilmu menurut Islam saja yang dijadikan asas dalam pembelajaran sastera; padahal sastera dikembangkan di Malaysia berteraskan teori Barat yang tidak memberi keutamaan kepada nilai-nilai agama, tetapi lebih mementingkan nilai-nilai yang lahir dari naluri manusia. Di sini dipakai beberapa pendekatan teori psikologi untuk membuktikan manusia itu mempunyai kepelbagaian naluri yang telah dihuraikan dengan kemas oleh tiga tokoh psikologi Barat. Tidak semua pandangan tiga tokoh ini salah dan tidak semuanya betul; oleh itu kita perlu tahu bahawa teori mereka diasaskan kepada hawa nafsu manusia dan peranannya dalam pembangunan peribadi mereka. Dalam konteks ini, pandangan Adler lebih sesuai dalam pendidikan kerana teori ini berasaskan dorongan manusia yang positif; tidak seperti yang dikonsepsikan oleh Freud atau Gustav Jung.  Pandangan yang lebih komprehensif tentang manusia diberikan oleh Imam al-Ghazali dalam kitab-kitab beliau, terutama sekali dalam Ihya’ Ulumid-Din, yang dibicarakan dengan terperinci oleh Dr. Abul Quasem yang diterbitkannya sendiri, The Ethics of al-Ghazali: A Composite Ethics in Islam (Petaling Jaya, 1975; Central Printing Sdn. Bhd.)

Apakah inti sari yang ingin saya sampaikan dalam entri ini? Sebenarnya saya telah menulis agak panjang dalam entri bertarikh 31 Disember, 2014, bertajuk: “Jangan baca karya sasterawan negara, tetapi baca buku ini.” Anda perlu membacanya kembali dengan kritis dan kreatif tulisan panjang ini, untuk mendapat sedikit gambaran betapa perlunya isu yang saya bangkitkan di sini dilihat dari perspektif ilmu dan diberi pertimbangan jujur, tetapi kritis. Di sinilah para sarjana sastera gagal, begitu juga para sasterawan dan pengkritik sastera. Sudahlah mereka tidak dapat memberikan hasil yang terbaik untuk negara, mereka bertindak biadab pula dengan mengetepikan pandangan kritis yang seharusnya boleh membuka mata mereka kepada persoalan sebenar yang kita hadapi sekarang, jika mereka jujur kepada diri sendiri.  Saya tidak pasti bilakah Kerajaan Pakatan Harapan akan menghentikan projek sasterawan negara yang sia-sia dan menyesatkan ini (saya telah bincang aspek ini cukup banyak dalam blog ini); padahal pada hari pertama (9 Mei 2018) kemenangan Pakatan Harapan, Dr. Mahathir membubarkan Majlis Profesor Negara, yang sepatutnya dipertahankan jika para profesor ini boleh dipercayai dan diperlukan oleh negara. Tentulah aneh jika sasterawan negara yang tidak diperlukan itu terus dibiarkan dan kekeliruan dalam konsep ilmu terus dipertahankan.

Dalam hal ini Kementerian Pendidikan tidak boleh diharapkan, malah tidak boleh dipercayai.  Kementerian ini memihak kepada pandirisme, dengan itu bersikap anti-ilmu. Bagaimana hal ini boleh terjadi dalam sebuah kementerian yang kerjanya memberi pendidikan untuk mencerdikkan rakyat? Persoalan begini tidak diminati oleh Kementerian Pendidikan, oleh itu Penasihat Kepada Menteri Pendidikan dengan sengaja memulangkan surat saya diiringi ucapan terima kasih yang pura-pura. Dia memakai kepala surat Kementerian, tetapi suratnya tiada rujukan, ertinya tidak disenaraikan sebagai surat rasmi.

Mengapa hal ini berlaku? Saya serahkan kepada anda untuk menjawabnya. Saya tidak tahu apa yang terjadi kepada satu bungkusan besar dokumen mengenai Gagasan Persuratan Baru, jika beginilah sikap pegawai ini dan Menterinya juga. Tentu ini bukan style Malaysia Baru yang diperintah Pakatan Harapan!  “Padan muka,” ujar seseorang dari kalangan sarjana. Inilah hakikat makna peribahasa “meludah ke langit timpa muka sendiri” kalau gerombolan ini faham.  Saya hanya ingin tahu sejauh mana mereka yang menguasai pendidikan negara ini jujur dalam tindakan mereka. Itu saja. Kecik sangat, tak perlu pun disambut dengan “Padan muka!”  Padan muka kamu!

Walaupun Kementerian Pendidikan wajar melahirkan kuli-kuIi yang diperlukan negara dalam pasaran pekerjaan, tetapi ini tidak bermakna mereka boleh dengan sewenang-wenang bersikap anti-ilmu dan menghalang perkembangan intelektual yang sihat dalam masyarakat.

Jika keadaan yang saya paparkan ini benar-benar wujud, apakah tindakan kita seterusnya? Jika tidak wujud, apakah erti bukti-bukti yang saya berikan itu? Tentulah lebih mudah untuk mengatakan perkara-perkara yang saya timbulkan itu tidak wujud dalam Kementerian Pendidikan, tetapi bukti-bukti yang disebut tidak pula boleh ditolak begitu saja.  Apakah yang sebenarnya berlaku? Inilah yang kita mahu tahu dengan pasti.  Perbincangan ke arah ini sangat penting jika kita boleh percaya sudah wujud Malaysia Baru yang dinamik dan menjurus kepada kebenaran dan kebebasan memberikan pendapat.  Jika semuanya tidak benar, kita mahu kepastian bahawa Kementerian Pendidikan tidak bersikap anti-ilmu, dengan itu menerima konsep ilmu yang benar yang diajarkan oleh al-Quran.

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 19 September, 2018.

















No comments:

Post a Comment