Thursday, March 23, 2017

PUJANGGA MELAYU Sebagai Novel Mini Ensiklopedia

[Tujuan saya menyiarkan semula entri bertarikh 1 September 2015 ialah untuk memudahkan anda memahami entri ini. Saya harap anda membaca dengan kritis kedua-duanya.]

Pujangga Melayu diterbitkan pertama kali 1997 oleh Syarikat Fajar Bakti.
Pujangga Melayu sukar didapat ketika mula-mula diterbitkan, dan harganya agak mahal (Ringgit 75.00, kulit keras sahaja.)  Hanya 750 naskhah diterbitkan oleh Fajar Bakti. Saya tidak ragu-ragu menamakannya novel ilmu.  Ketika menulisnya pun itulah yang menjadi matlamat saya, menghuraikan konsep ilmu dan bagaimana ini boleh dijadikan asas penulisan kreatif.  Inilah yang membuat novel ini unik dan tidak dapat ditandingi oleh mana-mana novel yang telah diterbitkan, termasuk yang ditulis oleh para sasterawan negara.  Kesimpulan ini belum lagi dicabar oleh mana-mana sarjana sastera; oleh itu saya menunggu kemunculan mereka untuk mengemukakan hujah mereka dengan menonjolkan mana-mana karya sasterawan negara  yang mereka anggap unik dan yang terbaik. Anda tidak mungkin mengatakan sesuatu karya itu terbaik jika tidak dibuat kajian perbandingan yang teliti dan benar-benar akademik. Saya tunggu kemunculan sarjana yang mampu menyahut cabaran saya. Andainya tidak ada yang mampu, atau yang menganggap itu kerja sia-sia, maka anda tidak berhak dan tidak wajar untuk menyodorkan sebuah karya sasterawan negara sebagai karya terbaik ketika karya itu sedang dicabar oleh Pujangga Melayu. Anda selalu bercakap tentang dialogic imagination; maka inilah peluangnya anda menunjukkan anda faham konsep Bakhtin yang anda sering sebut-sebut itu.

Dalam entri yang lepas (saya rujuk yang bertarikh 13/3/2017), saya telah membayangkan aspek novel ini sebagai sebuah novel mini ensiklopedia ketika menebas belukar Prof. Rahman Shaari di dalam syarahan perdana beliau yang hanya layak dipanggil  belukar akademik yang belum ditebas dan dibersihkan.  Profesor sastera ini tidak pun tahu Pujangga Melayu telah diterbitkan sejak 1997, oleh itu beliau membiarkan begitu saja sajak-sajak yang banyak terdapat di dalam novel ini. Saya telah membuat kesimpulan, setelah meneliti sajak-sajak para sasterawan negara,  bahawa tidak sebuah pun karya mereka yang dapat menandingi, dari segi pemikiran dan idea, sajak “al-Andalus” dan lain-lain sajak yang terdapat dalam novel itu.  Memang amat memalukan bagi seorang sarjana yang berbicara tentang sajak, sekiranya dia tidak dapat menilai kualiti sebenar sajak-sajak yang dicontohkannya dalam syarahannya, dengan meninggalkan begitu saja sajak-sajak dalam Pujangga Melayu. Cabaran ini akan terus terbuka untuk disanggah. Saya dan orang lain juga yang berminat ingin melihat kehebatan sebenar karya para sasterawan negara ini jika dibandingkan dengan sajak-sajak dalam Pujangga Melayu. Satu permintaan yang wajar dan merendah diri oleh seorang penulis kerdil yang menulis Pujangga Melayu yang tidak diketahui wujudnya oleh para sarjana sastera. Adakah mereka, dari segi akademik, kumpulan manusia yang jujur dari segi akademik? Saya tidak fikir mereka dari kumpulan yang mempunyai maruah akademik yang tinggi. Maka dengan itu kedudukan mereka sebagai ahli akademik diukur maruahnya sejauh mana mereka kenal Pujangga Melayu dan mengkritiknya dengan sehabis kritis, untuk menayangkan keterampilan ilmu mereka dalam kesusasteraan.  Mereka dengan mudah akan dianggap sarjana yang bacul jika tidak berupaya menolak secara akademik kemunculan Pujangga Melayu dan kehebatannya sebagai sebuah novel mini ensiklopedia.  Mereka boleh saja menolak ungkapan novel mini ensiklopedia itu sebagai omong kosong, dengan menghujahkan konsep itu tidak penting dalam penilaian karya kreatif. Mereka mempunyai tidak kurang dari 20-30 teori sastera Barat yang mereka boleh gunakan untuk memperkecil kualiti pemikiran dalam Pujangga Melayu, dengan berkata (misalnya) bahawa itu bukan novel, kerana novel hanya cerita, tidak dicampur-aduk dengan aspek ilmu. Siapakah mereka yang diberi authoriti untuk menentukan bagaimana novel harus ditulis? Lagi pula mereka selalu bercakap tentang perlunya perubahan dan kelainan, dan anjakan paradigma. Sudah lupa? Kita pun mahu tahu sama ada mereka masih percayakan idea (?) yang mereka pernah lontarkan itu masih boleh dipakai atau tidak, masih siuman atau sudah nanar dari segi intelektual. Adakah idea-idea mereka sendiri yang tidak matang telah membuat mereka berada dalam dunia schizophrenic atau sasau?  Macam-macam boleh berlaku kepada para sasterawan kerana kedegilan mereka tidak mahu tunduk kepada kebenaran, malah menghina kebenaran jika tidak sesuai dengan kehendak mereka. Inilah punca mereka menjadi sasau sehingga bagi mereka menolak kebenaran taklif adalah satu kemegahan kerana ini akan membolehkan mereka menulis karya sensasi yang tidak tersekat dengan sebarang larangan walaupun larangan itu untuk kebaikan dan kebajikan mereka sendiri.  Inilah golongan yang keliru dan cetek meraba-raba yang dimaksudkan oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas.

Sebagai sebuah novel mini ensiklopedia, Pujangga Melayu membicarakan kehidupan manusia secara keseluruhan, meliputi aspek kerohanian, intelektual, dan beberapa persoalan penting dalam penulisan kreatif dan akademik.  Inilah satu-satunya novel Melayu yang  mempunyai ciri-ciri sebuah ensiklopedia kecil. Walaun pun begitu, novel ini tidak popular, tidak dibaca oleh para sarjana tidak pula dikenali para sasterawan. Adakah mereka menjauhkan diri kerana novel ini tidak mempunyai sensasi yang memang menarik minat pembaca Melayu dari dulu hingga sekarang?. Sikap dan sifat ini terbawa-bawa dalam novel  yang digunakan untuk dibaca oeh budak-budak sekolah, yang mesti penuh dengan sensasi untuk menarik minat pembaca muda. Barangkali yang paling lucu, yang akhirnya menjadi lucah dari segi intelektual, ialah sikap anggota Panel Anugerah Sastera Negara dan panel pemilih hadiah dan anugerah lain yang juga amat terpikat kepada sensasi, baik dalam karya kreatif mahupun dalam the so called karya akademik. Ingat saja bagaimana juri yang menjadi panel Hadiah Sastera Nasional memilih buku picisan karangan Dr. Norhayati Ab. Rahman (Puitika Sastera Wanita Indonesia dan Malaysia: Satu Bacaan Ginokritik, USM2012) sebagai karya akademik terbaik, sementara Prof. Hashim Awang pula kehilangan kata-kata untuk memuji buku ini yang baginya begitu istimewa. (Saya terbaca dalam Dewan Sastera, tetapi lupa tarikhnya.) Kepalsuan seumpama ini sudah dibudayakan, sudah menjadi sejenis hegemoni min Iblis yang mendapat sokongan para peserta Sidang Kemuncak Penulis Malaysia 2014.

Sebagai sebuah novel mini ensiklopedia, Pujangga Melayu boleh dinilai dari pelbagai perspektif yang anda mahu. Contoh: jika anda seorang peminat sajak, anda boleh saja menilai sajak-sajak dalam Pujangga Melayu dibanding dengan sajak-sajak para sasterawan negara misalnya. Siapakah di antara sasterawan negara itu yang telah membuktikan sajaknya lebih bermutu dari segi pemikiran dan teknik jika dibandingkan dengan sajak-sajak dalam Pujangga Melayu?  Tiada siapa pun yang berani melakukan perbandingan ini, kerana mereka tahu sajak-sajak para sasterawan negara akan muncul sebagai sajak-sajak kerdil tidak bermaya jika dibandingkan sajak-sajak dalam Pujangga Melayu.  Inilah salah satu sebab Prof. Rahman Shaari tidak merujuk kepada sajak-sajak dalam Pujangga Melayu, kerana beliau tahu sekiranya itu dilakukan, maka yang akan terserlah tidak lagi karya Muhammad Haji Salleh tentang Si Tanggang, atau mana-mana sajak Baha Zain atau sajak-sajak Kemala.  Sebagai contoh, ambil saja sajak “al-Andalus” atau “Kuala Lumpur Kota Gila” atau “Pendekar Palsu”, atau “Anugerah Yang Tercuri”.  Sejauh mana sajak-sajak ini gagal untuk menandingi sajak-sajak para sasterawan negara; atau lebih baik dari itu, manakah karya para sasterawan negara ini yang lebih menonjol dari segi pemikiran dan teknik daripada sajak-sajak yang disebutkan itu?  Yang boleh melakukan ini hanya Prof. Rahman Shaari, kerana beliaulah satu-satunya pakar sajak di Malaysia yang diberi authoriti oleh para pensajak untuk menilai karya mereka dan memberi mereka kedudukan yang tinggi dalam persajakan Melayu.  Walaupun saya sendiri tidak mengiktiraf beliau sebagai pakar sajak Melayu, kerana belum bertemu sebuah tulisan beliau tentang sajak yang boleh mengatasi makalah saya tentang sajak-sajak mantera dalam sastera Melayu, namun sebagai menghormati kedudukan beliau sebagai seorang profesor sastera, saya dengan senang hati memberi beliau sepenuh kebebasan untuk mengkritik atau menilai sajak-sajak dalam Pujangga Melayu, dibandingkan dengan karya para sasterawan negara yang menulis sajak.  Saya juga menulis tentang sajak celoteh dalam blog ini, dan saya kira Prof. Rahman Shaari banyak menghasilkan sajak-sajak celoteh ini, yang tidak boleh disetarafkan dengan sajak pemikiran. Sejauh mana para pensajak Malaysia bersetuju dengan beliau hanya boleh kita ketahui sekiranya beliau membuat penilaian itu sebagai satu-satunya pakar sajak Melayu yang telah disepakati oleh penulis sajak Melayu. Saya tidak fikir beliau akan melakukannya, kerana jika beliau jujur dari segi akademik, dia akan memberi kedudukan yang tinggi kepada sajak-sajak Pujangga Melayu dari segi pemikiran dan teknik. Tentu saja ini membahayakan kedudukan para sasterawan negara, termasuk beliau sendiri, yang kini sedang melobi untuk dilantik menjadi sasterawan negara dengan sokongan para sasterawan negara yang ada. Rahsia ini boleh kita dapati dalam Internet dengan mudah, dan saya fikir tidak ada sasterawan yang tidak tahu bahawa beliau, Prof. Rahman Shaari, amat berharap beliau dilantik menjadi sasterawan negara sebagai seorang pensajak ulung antara beberapa orang pensajak ulung dalam sastera Melayu.  Walaupun sejak tahun 1981 lagi saya menolak kewujudan sasterawan negara dan menulis cerita pendek tentangnya (disiarkan dalam Pura Bujangga, terbitan DBP, dengan judul “Orang Yang Berdiri”), namun saya tidak akan membantah sekiranya sesiapa pun hendak dilantik menjadi sasterawan negara, seperti yang pernah dilakukan Shahnon Ahmad yang membantah pelantikan Baha Zain (yang menurut Shahnon hanya menulis sajak-sajak kontot).  Saya hanya memberi pendapat saya yang bebas dan kritis (seperti yang anda boleh baca dalam blog ini) bahawa pelantikan sasterawan negara adalah satu jenayah intelektual, kerana ini merupakan satu perbuatan songsang yang mesti ditolak apabila para sasterawan negara ini diberi kedudukan lebih tinggi dan mulia daripada para ulama dan cendekiawa, dengan menyebut gelaran mereka setiap kali nama mereka disebut. What kind of joke is this?

Itulah kedudukannya Pujangga Melayu sebagai sebuah karya persuratan yang hingga kini tidak dapat ditandingi oleh mana-mana karya para sasterawan negara.  Tentu saja saya amat gembira jika tampil seorang (atau beberapa orang) sarjana dan pengkritik sastera yang dengan tuntas menolak Pujangga Melayu sebagai sebuah karya yang tidak bermutu dari segi pemikiran dan teknik kreatif.  Hanya yang kita minta, berikan kepada kita karya manakah yang telah mengatasi Pujangga Melayu dari segi pemikiran dan teknik kreatif? Tidak guna melantik sasterawan negara jika karya mereka pada umumnya adalah karya picisan jika dinilai dari perspektif ilmu dan keterampilan kreatif.  Ini bukan lagi cabaran, tetapi satu kenyataan yang begitu jelas di depan mata orang yang dapat melihat dengan terang makna kedudukan ilmu dalam karya kreatif dan segi-segi yang menarik dalam teknik mengarang, yang hanya anda boleh dapati dalam Pujangga Melayu

Pujangga Melayu diharapkan dapat membantu pembaca yang cerdik mengapa novel mini ensiklopedia ini sebuah karya istimewa yang tidak dapat ditandingi oleh mana-mana karya para sasterawan negara. Saya tidak ragu-ragu untuk mengulangi keyakinan saya bahawa sesiapa juga yang membaca novel mini ensiklopedia ini akan menjadi cerdik jika dia membacanya dengan kritis dan jujur untuk mencari kebaikan.

[Catatan:  Saya adalah seorang penulis yang paling terbuka untuk dikritik dan paling mudah dikritik kerana saya menulis karya kreatif dan kritikan sastera, di samping mengemukakan Gagasan Persuratan Baru sebagai sebuah teori yang satu-satunya boleh mencabar teori sastera Barat. Oleh yang demikian, anda sendiri perlu pula terbuka untuk memberi pendapat kritis anda yang objektif dan jujur dari segi akademik dan adil dari segi intelektual. Kita perlukan dialog, tidak hanya menyebut dialogic imagination tanpa memahaminya. Mesti ada maruah akademik dan maruah intelektual untuk tidak menghampakan  pembaca apabila menulis, yang boleh saja anda lakukan di atas bumbung kilang berkarat untuk mendapat ilham jika anda rasa selesa memanjatnya!)

Catatan Tambahan:   Mahu tidak mahu, kemunculan novel  mini ensiklopedia  Pujangga Melayu telah mengubah sama sekali persepsi anda tentang sastera dan persuratan. Anda akan dianggap ketinggalan zaman, mahu terus berada dalam dunia yang pinggiran, yang kehilangan adab dan keliru dari segi ilmu serta cetek meraba-raba dalam  dunia intelektual sebagai kumpulan pinggiran yang tidak mengenal warisan sendiri dan cetek pula pengetahuannya tentang teori sastera Barat yang menjadi ikutan anda, sekiranya anda masih meremehkan Gagasan Persuratan Baru yang kini mempunyai sekumpulan dokumen bernilai ilmu yang boleh anda telaah dan bahaskan  secara akademik jika anda seorang sarjana yang tidak ciritan.  Cabaran ini tidak dapat dielakkan oleh sesiapa sekalipun, apatah lagi jika anda seorang profesor atau pensyarah yang mengajar sastera di universiti. Sikap antagonis anda untuk meremehkan PB dan mengharamkannya daripada memasuki universiti untuk terus melindungi pandirisme yang anda sendiri menjadi anggota dan penyokongnya, akan meletakkan anda sebagai kumpulan yang tidak mempunyai maruah ilmu (intellectual integrity), lebih-lebih lagi apabila anda dengan riuh rendah mengajak orang lain (bukan diri anda sendiri) untuk menghargai pemikiran baru yang anda namakan eksperimen dan kelainan dan inovasi (atau entah apa-apa yang anda lebih tahu), padahal anda sendiri bersikap anti ilmu, atau dalam istilah yang diperkenalkan oleh Prof. Wan Mohd. Nor Wan Daud, sebagai kumpulan “ingkar ilmu” yang mendapat pengaruh min Iblis seperti yang ditegaskan dalam al-Quran.  Jika anda seorang Islam yang komited, anda tidak mempunyai pilihan melainkan membetulkan persepsi anda tentang ilmu dengan menerima, tanpa syarat, hakikat bahawa sumber ilmu yang sebenar ialah al-Quran, bukan teori sastera Barat seperti yang menjadi pegangan anda sekarang. Dengan membaca novel mini ensiklopedia Pujangga Melayu, anda pasti akan mengembalikan maruah intelektual anda sebagai seorang sarjana yang mempunyai integriti.  Selamat membaca Pujangga Melayu  sebagai pembaca yang kritis dan kreatif.

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 9/3/2017.






SEJAUH MANA CERDIKNYA SASTERAWAN NEGARA?

Baru-baru ini saya dilontarkan soalan yang pelik seperti di atas. Mengapa pertanyaan itu ditujukan kepada saya? Tidak adil dan tidak wajar. Memang saya mengkritik sasterawan negara agak keras, tetapi itu cara saya, kerana saya mempunyai ukuran tertentu yang tidak semestinya anda bersetuju, tetapi memberikan saya kejelasan dalam menilai karya para sasterawan negara ini apabila saya menggunakan ukuran itu. Ukuran itu telah saya huraian dengan terperinci dalam buku-buku saya dan sekali-sekala dalam blog ini.  Orang yang bertanya pastilah tidak membacanya, atau jika pun membacanya tidak memahaminya.

Jika anda benar-benar berminat hendak mengetahui sejauh mana cerdiknya para sasterawan negara ini, anda harus membaca karyanya, dan menilainya berpandukan ukuran yang diberikan oleh Gagasan Persuratan Baru.  Penegasan ini penting kerana dari penelitian saya terhadap kertas kerja yang memuji para sasterawan negara, yang dilontarkan oleh para sarjana ketika berseminar tentang “Pemikiran Sasterawan Negara”, saya dapati tidak kemas penghujahannya, malah tidak ada hujah-hujah konkrit yang dikemukakan oleh para sarjana ini. Hal ini terjadi kerana mereka tidak dibenarkan untuk berlaku kritis, kerana tujuan Dewan Bahasa dan Pustaka menganjurkan seminar itu ialah untuk memuji para sasterawan negara dan meletakkan mereka di atas takhta keunggulan yang paling istimewa yang tidak dapat dicapai oleh mana-mana penulis kecuali para sasterawan negara. Saya teringat pandangan seorang sarjana yang mengatakan jika para sasterawan negara dikritik, apa gunanya kita melantik mereka menjadi sasterawan negara jika untuk dikritik? Walaupun pandangan ini sangat aneh, lebih-lebih lagi apabila diutarakan oleh seorang sarjana terkenal, saya bersetuju dengan beliau bahawa setiap sarjana sastera mempunyai kewajipan untuk memuji para sasterawan negara. Saya sendiri tidak perlu memuji mereka, kerana saya bukan sarjana dan tidak ada jawatan rasmi sebagai seorang pensyarah di universiti yang mempunyai tempat untuk meletakkan beberapa jabatan sastera untuk tempat para sarjana ini berkecimpung dan melahirkan pujian mereka terhadap para sasterawan negara atau teman-teman mereka.  (Contohnya telah saya berikan, tidak perlu diulang di sini. Yang membacanya tentulah tahu jika mereka betul-betul membacanya.)  Saya terlepas dari beban makan gaji untuk memuji, tetapi tidak terlepas dari beban intelektual untuk memberikan pendapat yang kritis berasaskan ukuran yang dapat diuji dengan mudah dan objektif berasaskan prinsip-prinsip yang saya kemukakan. Inilah keistimewaan orang yang tidak makan gaji untuk memuji, tetapi mempunyai tanggungjawab ilmiah yang berat untuk mencerdikkan masyarakat dengan memberikan mereka cara-cara yang akan membolehkan mereka menjadi cerdik, dengan mengemukakan Gagasan Persuratan Baru sebagai asas penilaian. Sesiapa juga yang berani menggunakan PB dalam analisis mereka, kita akan dapati mereka lebih teliti menulis dan memberikan kita satu alternatif yang sering kali amat mencabar, seperti yang ditunjukkan oleh Prof. Ungku Maimunah ketika membicarakan novel besar Fatimah Busu, Salam Maria, yang mendapat pujian yang amat mewah daripada teman-teman beliau dan para sarjana yang kagum dengan cara Fatimah Busu menonjolkan segala macam teknik sensasi dalam novelnya, termasuk H. B. Jassin sendiri yang menyatakan kekagumannya (seperti yang diceritakan oleh Fatimah Busu sendiri). Saya tidak perlu memberikan contoh, kerana contoh itu berlambak di dalam novel ini sehingga membuat kita bertanya, “Beginikah sasterawan menulis novel?”  Tetapi contoh yang paling baik ialah pujian istimewa kepada sebuah novel sensasi yang lebih mendekati picisan, bukan berupa penerokaan pemikiran yang bernas dan original. Saya rujuk novel-novel Anwar Ridhwan, terutama sekali Naratif Ogonshoto.  Anda yang telah membaca kritikan saya tahu apa yang saya maksudkan, tak perlu diulang di sini.

Saya cuma ingin menegaskan bahawa jika anda percaya dengan mudah, dan percaya bulat-bulat pula, segala pujian para penulis kertas kerja tentang “pemikiran” para sasterawan negara ini, anda akan tertipu dengan mudah. Yang tragisnya ialah anda percaya dan berterima kasih kerana telah tertipu oleh pretensi intelektual yang disogok oleh para sarjana ciritan ini, dengan itu mengutuk orang-orang seperti saya yang lebih kritis dan serius dalam kritikan sastera, yang menolak segala pujian tidak berasas oleh para sarjana ciritan ini. Dalam konteks inilah jawapan kepada pertanyaan tadi perlu dilihat. Adakah anda mengasaskan penilaian anda terhadap para sasterawan negara ini kepada pujian para sarjana ciritan ini; atau anda sendiri membacanya dengan kritis dengan misalnya menggunakan ukuran yang dikemukakan oleh Gagasan Persuratan Baru?  Tidak semestinya begitu; asal saja anda berfikir dengan kritis dan tahu menggunakan segala teori kritikan Barat dengan kritis pula, anda akan dapati kemewahan pujian berasaskan pretensi intelektual itu adalah palsu dan tidak berasas. Ini telah saya huraikan banyak kali dalam blog ini, terutama sekali antaranya yang bertajuk “Keunggulan Yang Cacat”.

Jadi, yang akan menentukan kecerdikan para sasterawan negara ini adalah karya mereka sendiri, bukan pujian terhadap mereka, apatah lagi jika dilontarkan oleh puak-puak mereka sendiri yang berada dalam Mutual Admiration Club. Saya telah memberi contoh yang banyak, saya persilakan anda menyangkal contoh-contoh itu sebagai tidak betul dan tidak berasas. Itu kerja anda yang paling mudah. Jadi itulah jawapan saya yang paling ringkas.  Bukan hanya kecerdikan para sasterawan negara yang teruji; kecerdikan anda sendiri pun akan teruji. Oleh itu anda tidak main-main bertanyakan sesuatu sekadar untuk bertanya. Memberi jawapan jauh lebih mudah daripada mengemukakan pertanyaan yang cerdik. Inilah hakikat kecerdikan yang dipersetujui oleh para genius dan manusia cerdik dari dulu hingga kini. Adakah anda termasuk dalam golongan ini?  Nasib baik saya tidak termasuk dalam golongan ini, jadi saya lebih bebas, tidak seperti orang-orang yang terikat kepada keistimewaan tertentu yang menyusahkan mereka sendiri kerana yang mereka ingin dengar hanya keistimewaan mereka yang sebenarnya tidak ada. Orang-orang yang tidak istimewa seperti saya mempunyai keistimewaan yang tidak terdapat di kalangan golongan istimewa yang memang diistimewakan.  Itulah rahsia motto yang menjadi slogan di blog ini; yang memudahkan peranan saya sebagai seorang penulis.  Orang-orang istimewa seperti Prof. Emeritus Muhammad Haji  Salleh terpaksa memanjat bumbung kilang besi berkarat untuk mendapat ilham, walaupun hasil tulisannya tidak sehebat keberaniannya mencari sensasi yang begitu istimewa. Dalam konteks ini, yang istimewa itu rupanya hanya sejenis sensasi. Bagaimana dengan nilai sebenar karya para sasterawan negara? Di situlah terletak kecerdikan mereka.

Novel Pujangga Melayu (terbit 1997 oleh Fajar Bakti)  ini saya panggil novel mini ensiklopedia. Tepat tidak gelaran ini anda lebih berhak menentukannya sebagai pembaca yang kritis dan kreatif. Saya selalu bergurau, jika anda pembaca yang cerdik, novel mini ensiklopedia ini tidak menghampakan. Ini sesuai dengan motto blog ini.

Mohd. Affandi Hassan,

Petaling Jaya,  23/3/2017.

Thursday, March 16, 2017

Peringatan Penting Untuk Renungan Anda

Tuesday, September 1, 2015

PANDIRISME, FEMINISME, SOBBING ORGASM DALAM KRITIKAN SASTERA MELAYU



Joking is teaching. Don’t be fooled by the lightness,
or the vulgarity. Jokes are serious.  Rumi
                        (Coleman Barks, Delicious Laughter, hal. 83)

Sejenis pil perangsang nafsu untuk wanita baru saja diluluskan  di Amerika Syarikat, membuktikan betapa besarnya perniagaan seks dalam era pascamodernisme. Dalam hal ini terjadi kontradiksi dalam teori kritikan di Eropah dan Amerika Syarikat yang dipopularkan atas nama feminisme. Sebagai satu teori sastera, feminisme menolak sebarang bentuk eksploitasi di kalangan wanita, termasuk dalam mencari kepuasan seks. Bagi feminisme, orgasme adalah satu senjata seks yang dicipta oleh lelaki untuk menundukkan wanita sebagai hamba seks. Ini dilihat dalam konteks kemampuan wanita mencapai orgasme dalam persetubuhan, yang sebenarnya, menurut feminisme, hanya menunjukkan kekuatan lelaki ke atas wanita yang tidak dapat mencapai kepuasan seks tanpa ihsan lelaki. Lantas feminisme mengisytiharkan bahawa untuk mencapai orgasme, wanita tidak perlu lelaki. Mereka boleh melakukannya sendiri secara bebas, hingga mencapai sobbing orgasm sekali pun.  Dalam konteks inilah pil perangsang nafsu untuk wanita memainkan peranan yang istimewa: untuk membantu mencapai orgasme secara bersendirian dan dengan itu membenarkan tesis feminisme bahawa wanita tidak perlukan lelaki untuk mencapai peringkat orgasme; dan bagi lelaki untuk memastikan wanita terus menerus memerlukan lelaki untuk mencapai kepuasan nafsu seks mereka. Satu kejayaan perniagaan yang amat besar dan cukup bermakna. Tidak ada diskriminasi dari segi jantina.

Bagaimana perkembangan ini mempengaruhi kritikan sastera? Yang pasti, fenimisme seharusnya menerima baik kemunculan pil perangsang seks ini kerana ini membuktikan tesis mereka bahawa wanita boleh bebas dalam keperluan nafsu seks mereka adalah betul.  Adakah ini bermakna teori feminisme sudah tidak relevan, atau sebenarnya menjadi lebih relevan? Ketika Dr. Norhayati Ab. Rahman menulis tesisnya tentang feminisme dan diterbitkan dengan judul Puitika Sastera Wanita Indonesia dan Malaysia: Satu Kajian Ginokritik, perkembangan terbaru ini belum wujud, oleh itu puitika sastera wanita Indonesia masih berada dalam dunia yang ditakrifkan oleh lelaki dalam keperluan nafsu seks mereka. Oleh itu Ayu Utami dengan bangga memberitahu golongan wanita bahawa setiap wanita boleh memilih lelaki mana yang dia suka untuk mengadakan persetubuhan dan memuaskan nafsu mereka. Realiti (adakah ini satu realiti?) ini sudah diiktiraf oleh A. Samad Said dalam novelSalina dan Langit Petang. Dalam Langit Petang, watak wanitanya bertindak begitu liar dan berani untuk meniduri 18 orang lelaki hanya untuk memuaskan dendamnya ke atas  lelaki dengan membuktikan bahawa lelaki boleh menjadi hamba nafsu wanita sepanjang masa sekiranya wanita sanggup menggoda dan menawan mereka untuk menidurinya. Bagi Panel, novel ini sungguh istimewa kerana tekniknya: “Yang benar-benar berjaya dalam Langit Petang ialah tekniknya. Di sinilah terletaknya keistimewaan A. Samad Said sebagai penulis sehingga rangkaian tiga buah cerpen dapat diadun menjadi sebuah novel yang berkesan” (hal. 16). Dalam ulasannya terhadap buku ini, Panel Anugerah Sastera Negara tidak melihat ini  (i.e kelakuan watak)  sebagai satu pervesiti, tetapi sebagai satu kekuatan perwatakan yang menanam sifat berani bertindak walaupun perbuatan itu menentang nilai-nilai masyarakat. Seterusnya kata Panel: “Tidak dapat disangkal bahawa novel Langit Petang tidak membawa satu tema yang pokok, malahan tidak juga mengemukakan satu perutusan yang sengaja” (hal. 16).  Tetapi kemudiannya kesimpulan ini dilunakkan begini: “Jadi sebenarnya ada persoalan atau perutusan dalam novel Langit Petang, yang mestilah dicari melalui teknik-teknik yang secara sedar diolah oleh A. Samad Said supaya apa-apa yang digambarkannya dapat mencabar daya fikir kita sebagai pembaca” (hal. 16-17). Akhirnya inilah kesimpulan terpenting Panel: “Jelas bahawa novel memberi A. Samad Said kesentosaan dan kepuasan bermain di atas kanvas yang besar – menjelajah dengan idea-idea tentang erti hidup – satu hal yang sering mengacau fikiran dan selalu pula diperkatakan dalam tulisan-tulisannya. A. Samad Said dapat juga seenak-enaknya memaparkan dan melukis gambaran dengan cara yang luar biasa, iaitu daripada segi perincian dan ukiran-ukiran yang halus” (hal. 18-19). Persetankan nilai masyarakat, kerana yang penting dalam kebebasan mencipta karya kreatif sebagai karya sastera, perbuatan watak ini merupakan satu kelainan yang amat dihargai, yang membuat sastera Melayu berwajah moden dan pengarangnya muncul sebagai pelanggar nilai-nilai masyarakat dalam satu pelanggaran kreatif yang membolehkan seorang sasterawan diletakkan di atas takhta keunggulan, seperti yang dihuraikan oleh Dr. Abdul Rahman Napiah aka Mana Sikana dalam bukunya Sasterawan Negara di Takhta Keunggulan (ITBM, 2015). Semua perkembangan ini menjadikan sastera Melayu moden bersifat universal, oleh itu boleh bertanding dengan sastera dunia di mana saja. Dalam konteks inilah juga Mana Sikana memuji teori sastera Islam Shahnon Ahmad yang menurutnya serasi dengan nilai-nilai pascamodernisme yang menjadikan manusia bebas dalam semua perkara, termasuk dalam meletakkan nilai-nilai agama yang tidak lagi terikat kepada autoriti para ulama, sebaliknya autoriti itu diambil alih oleh para sasterawan atas nama Islam seperti yang dilakukan oleh Shahnon Ahmad, yang menjadikan novel erotik dan lucahnya, TIVI, sebagai sebuah novel Islam mithali kerana menurutnya sesuai dengan konsep azab menurut al-Quran. Dengan gelaran sasterawan negara sebagai satu entiti baru dalam kebudayaan Melayu, maka peranan ulama diletakkan di bawah para sasterawan kerana tidak seorang pun di antara mereka pernah diisytiharkan oleh pemerintah secara rasmi sebagai ulama negara. Seorang sarjana, Dr. Rahimah Abdul Hamid, menerima novel ini sebagai sebuah novel  sufi. Katanya: “Saya bersetuju dengan pendapat Shahnon bahawa karyanya ini berjiwa Islam.  Malah, karya nipis ini sebenarnya mendukung nilai-nilai mistik dan sufistik Islam yang halus dan mendalam” (Rujuk nota 7, hal. 198, Gagasan Persuratan Baru, edisi kedua,  UKM/ATMA, 2014).Terbaru kita melihat bagaimana Panel Anugerah Sastera Negara memuji Kemala kerana menggunakan alusi Mark Antony dan Cleopatra untuk meletakkan karya sufinya sebagai karya universal (Laporan 2012, hal. 20). Perbuatan Panel Anugerah Sastera Negara ini adalah suatu perbuatan yang perverse, tetapi tidak dilihat demikian kerana aspek universal itu lebih penting daripada nilai-nilai baku masyarakat Melayu. Adalah menarik untuk difikirkan oleh para sarjana ciritan kenyataan yang mungkin agak lucu, tetapi benar, bahawa Panel Anugerah Sastera Negara sudah mencapai peringkat sobbing orgasm mereka dengan melonjakkan karya para sasterawan negara ke taraf yang mereka tidak layak mendapatnya. Kemuncak kegilaan seksualiti teks yang dibicarakan oleh Barthes ini ialah laporan untuk Kemala, yang penuh dengan kata-kata lunak menawan membicarakan seorang sasterawan yang karyanya hanya berada di tahap sufi jenis Mark Antony dan Cleopatra yang disanjungnya.  Pendapat Panel adalah selaras dengan faham sastera Barthes yang mengatakan dengan positif bahawatext dan sex adalah sama: kedua-duanya berupaya mencapai yang disebutnya sebagai jouissance. (Lihat huraian saya dan rujukannya dalam Medan-medan dalam Sistem Persuratan Melayu: Sanggahan Terhadap Syarahan Perdana Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh, 1994, hal 24-27 untuk mendapat sedikit gambaran supaya anda dapat  memahami kesimpulan ini). Baik Shahnon Ahmad yang menulis TIVI, mahu pun Dr. Rahimah Abdul Hamid, kedua-duanya telah mencapai sobbing orgasm, yang disebut jouissance oleh Roland Barthes dalam teori sasteranya yang popular di Malaysia, dengan promotornya Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh (rujuk Puitika Sastera Melayu: Suatu Pertimbangan, 1989). Inilah contoh perversity dalam kritikan sastera  Melayu moden. Pengamal utama faham ini ialah Mana Sikana, dalam dua buah bukunya yang menampilkan teksdealisme sebagai kemuncak sobbing orgasm dalam kritikan sastera Melayu. Berasaskan perversity inilah Mana Sikana meletakkan sasterawan negara di atas takhta keunggulan.

Konsep perversity  adalah penting dalam kritikan sastera moden, yang dipopularkan oleh Roland Barthes dan Jacques Derrida. Daripada Roland Barthes kita dapat bukunya The Pleasure of the Text (1976) dan S/Z (1975). Konsep pleasure (Perancis plaisir) adalah penting dalam kritikan sastera Barat, terutama yang dikembangkan di Eropah.  Julia Kristeva menulis buku khusus mengenai konsep ini, Desire in Language (1980).  Semua ini menunjukkan betapa kuatnya pengaruh Freud dalam kritikan sastera, yang dengan bangganya pula dibawa masuk ke Malaysia. Kumpulan yang membawa masuk perversity ini bertanya dengan angkuh: Apa salahnya dengan Freud? Adakah dengan pertanyaan ini bermakna Freud betul dalam andaiannya? Soalan ini sudah dijawab oleh Imam Ghazali. Di sinilah anda perlukan konsep ilmu yang benar, seperti yang dihuraikan oleh Imam Ghazali dalam Pembebas dari Kesesatan. Itulah bezanya antara yang cetek meraba-raba dengan yang yakin melalui konsep ilmu yang benar.

Latar belakang yang disebut di atas merupakan perkembangan yang lumrah dalam sastera Melayu moden.  Idea brcorak perversity dalam kritikan/kajian sastera ini sudah disebut oleh Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh dalam syarahan perdana beliau (hal. 18), apabila beliau bercakap tentang akal sihat Roland Barthes yang digunakannya dalam penyelidikan tentang penglipur lara Melayu. Tetapi kerana beliau tidak mendalami pemikiran Barthes, maka yang dikatakannya akal sihat itu telah membawanya ke dalam belantara kekeliruan yang mengaibkan, seperti yang saya huraikan dalam sanggahan saya (boleh baca di sana jika anda berminat).  Kekeliruan utama sarjana ini ialah dalam memahami konsep teks yang dikemukakan oleh Barthes. Jika anda membaca Barthes dengan kritis, tetapi tidak kreatif, anda seolah-olah diberi dua pilihan untuk memahami maksud teks: yang tertutup dan lengkap sempurna sebagai“readerly text” yang makna dan tafsirannya berada di dalam teks itu sendiri diberikan oleh pengarangnya.  Tetapi dalam “writerly text”, pengarang tidak lagi berfungsi, sudah mati dan tidak boleh berbuat apa-apa ke atas teksnya. Pembacalah yang menyusun semula teksnya untuk mendapatkan makna seperti yang dapat dicapai oleh pembaca tersebut. Teks dalam konteks ini bersifat plural, atau dalam istilah yang digunakan Bakhtin yang bersifat “dialogik” yakni riuh dengan tafsiran yang pelbagai. Bezanya di sini ialah idea Bakhtin melahirkan dua orang gergasi sastera Russia: Tolstoy yang teksnya monolitik, yang melahirkan epik seperti Perang dan Damai; atau teks yang dialogik dalam karya Dostoevsky  yang melahirkan novelnya yang carnival/(carnivalesque)(mungkin kita gunakan istilah Melayu novel yang penuh temasya (termasya), untuk menterjemahkan istilah carnival itu). Dalam kedua-dua bentuk karya ini, tersembunyi hakikat kreatif seperti yang dihuraikan oleh Barthes tentang kewujudan teks sebagai satu medan permainan bahasa yang tidak terbatas, yang membenarkan anda berlari atau bersemyunyi di mana saja anda mahu. Kerana itu, dalam otak Barthes, sesebuah teks dan huraian tentangnya sentiasa bersifat kontradiksi, saling bertentangan, tiada kepastian dari segi makna, yang ada hanya sejenis performance seperti dalam sebuah drama yang dihargai sebagai satu persembahan semata-mata. Kerana itu, jika anda mengenal hakikat teori sastera Barat, anda akan dapati mereka semua berada dalam lautan ambiguiti, berhanyut  sambil makan angin dan berasa seronok berada dalam kekeliruan dan ketidakpastian matlamat.  Hal ini saya sebut dalam sanggahan saya terhadap syarahan perdana Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh (hal. 27-28). Inilah keadaan yang digambarkan oleh al-Quran,  24: 39-40 (anda harus baca sendiri untuk mendapat manfaatnya; juga lihat Tafsir a-Misbah, jilid 8,  hal. 566-572).  Atau anda sebenarnya berada dalam belantara permainan hide and seek, berpusing-pusing mencari ke sana ke mari sesuatu yang anda anggap penting tetapi sebaik saja ditemui, sebenarnya tidak penting. Sama ada anda berada di lautan ambiguiti, atau dalam belantara hide and seek ini, anda tetap tidak pasti apakah yang anda mahu. Inilah kehidupan Sisyphus dalam mitos Yunani. Usaha yang begitu besar menolak batu ke atas bukit untuk melepaskannya turun semula dan menolaknya lagi, adalah sejenis permainan intelektual dalam kehidupan intelektual Barat yang pada asasnya berasaskan hedonisme dan emosi, bukan berasaskan akal sihat. Konsep akal bagi Barat tidak seperti konsep akal dalam Islam. Akal dalam epistemologi Islam digunakan untuk membaca tanda-tanda kebesaran Allah; manakala “akal” dalam pemikiran Barat untuk menterjemahkan “pemikiran individu” yang kemudiannya distrukturkan melalui pendidikan, politik dan sebagainya sebagai budaya yang membina tamadun Barat.  Semua ini berasaskan kontradiksi yang saling bertentagan. Ambil saja konsep demokrasi dan kebebasan bersuara dan bertindak yang menjadi obsesi Barat, semua itu dilihat dalam konteks kezaliman yang tersembunyi, yang ditentukan oleh mereka untuk orang lain yang mereka kuasai. Anda boleh lihat ini apa yang berlaku di Timur Tengah sekarang. Kebebasan dan sebagainya itu hanya dalam konteks yang ditakrifkan oleh mereka, berasaskan kezaliman tersembunyi tadi. Inilah hasil dari perkembangan bahasa dalam budaya mereka yang tidak diasaskan kepada “root word” seperti dalam bahasa Arab, yang dipilih Allah Ta’ala menjadi bahasa al-Quran. Dalam bahasa Arab yang dipakai sebagai bahasa al-Quran, tidak akan terjadi kesesatan kerana semua makna diambil daripada kata dasar yang menerbitkan kata terbitan. Contoh yang paling baik untuk kita ialah kata dasar tentang konsep ilmu, yang dari situ terbit perkataan alam, yang di dalamnya terdapat tanda-tanda kebesaran Allah sebagai Pencipta. Ilmu dalam konteks ini memberikan keyakinan dan kepastian, tidak lagi ambiguiti dalam dunia hide and seek. Bukan tempat untuk bermain, tetapi tempat untuk dimakmurkan dengan segala kebaikan dan kebajikan untuk semua kejadian alam. Inilah maksud ilmu yang benar, yang tidak dipakai dalam teori Barat. Orang yang berilmu dalam pengertian ini adalah manusia yang takutkan Allah, Penciptanya. Masalah kita ialah sarjana Melayu tidak kenal lagi konsep ilmu yang benar itu, kerana mereka hanyut dalam lautan ambiguiti dan sesat dalam belantara permainan hide  and seek yang mereka temui dalam teori sastera Barat.  Dalam konteks inilah Barthes berkata teks itu perversive dan bermain dengan teks adalah sejenis perversity. Ini semua tidak difahami oleh Muhammad Haji Salleh ketika dia berkata dia menggunakan akal sihat Barthes untuk menghuraikan sastera Melayu lama (hal. 18 syarahan perdana 1989).

Sobbing orgasm dalam kritikan sastera Melayu, sejenis perversity yang menarik,  yang membuat para sarjana dan sasterawan Melayu tergila-gila sangat kepada teori sastera Barat, yang memberikan kepada mereka sejenis kepuasan  yang boleh dipanggil intelektual orgasme ketika memperkatakan karya Melayu, seperti yang dapat kita lihat dalam kertas kerja yang mereka bentangkan dalam Seminar Pemikiran Sasterawan Negara; dan kemuncaknya dalam Sidang Kemuncak Penulis Malaysia 2014 apabila para sarjana sastera mencapai kemuncak intelektual orgasme mereka ketika membentangkan kertas kerja yang keseluruhannya mengarah kepada faedah peribadi mereka, tetapi dibuat atas nama keperluan negara.  Apa yang mereka lakukan sebenarnya telah dibicarakan dengan menarik oleh Roland Barthes dalam tulisan kritikannya (lihat Encylopedia of Comtemporary Literary Theory, Toronto University Press, 1995; hal. 607-608).  Ini bukan perkara baru, kerana Rumi telah menyebutnya dalam mathnawinya (lihat entri blog ini bertarikh 5 November 2014) dan kertas kerja saya  mengenai peranan jokes ini ketika menulis tentang novel Kawin-kawin dalam kertas kerja untuk Seminar Jenaka Nusantara di Universiti Malaya, 2003. Dalam kertas kerja itu saya menurunkan empat kisah lucu, jokes, yang kita dapat dalam Mathnawi karya Rumi.  Apa yang berlaku dalam Sidang Kemuncak Penulis Malaysia 2014 adalah sejenisintellectual jokes yang melahirkan sejenis orgasme dalam kritikan sastera, yang hanyut dalam lautan ambiguiti dan dalam belantara teori sastera Barat yang pada hakikatnya adalah sejenis permainan hide and seek tanpa sebarang matlamat yang jelas, kerana mereka telah menolak konsep ilmu yang benar. Ini amat berbeza dengan yang dimaksudkan oleh Rumi. Konteks yang digunakan Rumi saya gunakan untuk menulis Balai Maqamat.  Anda boleh lihat dengan jelas tradisi mana yang saya ikut.
      
Untuk memahami apa yang saya catat di sini anda perlu membaca  buku-buku yang menjadi rujukan, yang tidak sukar dicari, yang saya pasti sudah pun anda baca (saya harap  begitulah), supaya anda mendapat gambaran yang agak lengkap dan menyeronokkan tentang teori sastera Barat ini. Sebenarnya mereka sebagai manusia yang menjadi hamba Allah semuanya (walaupun mereka tidak mengaku, itu tidak penting), mereka diberi sedikit kebijaksanaan yang boleh kita manfaatkan, jika kita tahu menggunakannya. Dalam konteks ini, saya anjurkan anda membaca dengan teliti seluruh bab 3, dengan tumpuan kepada  hal. 74-75 karya Julia Kristeva yang menjadi idola Mana Sikana, tetapi beliau tidak mendapat manfaatnya kerana cara beliau mendekati buku ini samalah dengan cara Pak Pandir mendekati padi hampa dan mengambil padi hampa itu sebagai padi berat. Baca 10 kali, atau 100 kali, atau seperti anda minum air setiap hari ketika terasa dahaga. Sebaik saja anda faham, anda akan dapat melihat makna stylization of ideas yang saya maksudkan.  Walaupun hanya maksud luarannya, tidak semestinya hakikat yang menjadi dasar konsep itu. Ketika itu, bolehlah anda membaca Balai Maqamat dengan kreatif dan kritis.  Anda pasti akan enjoy (?) jika anda menggunakan akal dan emosi anda dengan betul, sebagai yang dikehendaki digunakan oleh seorang sarjana, atau seorang sasterawan yang berfikir. Buku ini sudah diterbitkan lebih dari satu tahun, tetapi belum mendapat perhatian para sarjana dan sasterawan Melayu yang cerdik. Tidak pasti, sama ada mereka takut membicarakannya kerana tidak ada persediaan ilmiah yang mencukupi; atau mereka sengaja menyisihnya sebagai tidak penting. Tetapi jika mereka ingin tahu apa yang dimaksudkan dengan karya persuratan dan bagaimana karya itu dicipta menggunakan konsepstylization of ideas, anda mungkin tertarik. Itu pun jika anda tidak terlalu enggan (mungkin juga agak angkuh) untuk membaca karya orang lain yang anda remehkan, walau pun ternyata jauh lebih baik daripada karya anda sendiri. Apa yang saya bicarakan tentang teori Barat ini telah saya jelaskan dalam entri  16 Jun 2015  mengenai konsep ‘iwajan (crookedness) dalam al-Quran. Teori sastera Barat (dan Malaysia yang meniru Barat) menggambarkan dengan cemerlang sekali aspek ‘iwajan ini.

Dalam entri berikutnya, saya akan menulis secara khusus tentang Balai Maqamat, kerana saya kira inilah buku yang akan mencerdikkan para sarjana dan sasterawan Melayu jika mereka dapat memahami buku ini dalam konteksstylization of ideas. Sambil bergurau (jenaka itu serius, demikian jugavulgarity, kata Rumi dalam mathnawinya, rujuk entri bertarikh 5 November 2014), saya sering mengatakan saya dapat melihat ketangkasan berfikir sarjana dan sasterawan Melayu ketika mereka memperkatakan Balai Maqamat. Saya akan huraikan maksud saya nanti.

_____________________________________________________________

Catatan: entri ini hendaklah dibaca bersama entri bertarikh  9 November 2011;  1 Julai 2011,  pengkritik bisu tanpa teori Barat;  10 Mac 2015, Pandirisme dalam komuniti dunia;  28 Oktober 2014, Keunggulan yang cacat; 31 Mei 2014; 14 Januari 2015, kegagalan sidang kemuncak penulis;  untuk mendapat faedah maksimum.  Entri bertarikh 31 Disember 2014  tentang pembacaan dimaksudkan untuk mengembalikan sifat siuman dalam kegiatan intelektual Malaysia. Kini kita mempunyai sarjana ciritan yang terlalu ramai, dan mereka ini merosakkan pelajar dan dengan penuh gigih berusaha untuk menjadikan pelajar bodoh dan ciritan seperti mereka.

Catatan 2:  Saya petik kutipan panjang daripada Julia Kristeva kerana pandangan beliau tepat sekali menggambarkan cara berfikir Barat dalam teori sastera mereka. Bagus jika kutipan ini direnung dengan usaha berterusan untuk memahami cara berfikir Barat. Ini kurang diberi perhatian oleh sarjana kita. Inilah kutipan itu:

“The notion of dialogism, which owes much to Hegel, must not be confused with Hegelian dialectics, based on a triad and thus on struggle and projection (a movement of transcendence), which does not transgress the Aristotelian tradition founded on substance and causality. Dialogism replaces these concepts by absorbing them within the concept of relation. It does not strive towards transcendence but rather toward harmony, all the while implying an idea of rupture (of opposition and analogy) as a modality of transformation.

Dialogism situates philosophical problems within language; more precisely, within language as  a correlation of texts, as a reading-writing that falls in with non-Aristotelian, syntagmatic, correlational,  “carnivalesque” logic. Consenquently, one of the fundamental problems  facing contemporary semiotics is precisely to desrcibe  this “other logic” without denaturing it.

The term “ambivalence” lends itself perfectly to the current transitory stage of European  literature – a coexistence (an ambivalence) of “the double of lived experience” (realism and the epic) and “lived experience” itself (linguistic exploration and Manippean discourse)—a literature that will perhaps arrive at a form of thought similar to that of painting: the transmission of essence through form, and the configuration of (literary) as revealing (literary) thought without “realist” pretensions. This entails the study, through language, of the novel’s space and of its transmutations, thereby establishing a close relationship between language and space compelling us to analyze them as modes of thought. By examining the ambivalence of the spectacle (realist representation) and of lived experience (rhetoric), one might perceive the line where rupture (or junction) between them takes place. That line could be seen as the graph of motion which our culture forsakes itself in order to go beyond itself.

The path chartered between the two poles of dialogue radically abolishes problems of causality, finality, et cetera,from our philosophical arena. It suggests the importance of the dialogical principle for a space of thought much larger than that of the novel. More than binarism, dialogism may well become the basis of  our time’s intellectual structure. The predominance of the novel and other ambivalent literary structures; the communal, carnivalesque phenomena attracting young people; quantum exchanges; and current interest in the correlational symbolism of Chinese philosophy—to cite only a few striking elements of modern thought – all cofirm this hypothesis.” (Desire in Language, pp. 88-89).

Apa yang anda dapat daripada pemerhatian Julia Kristeva ini dalam kes sastera Melayu moden? Adakah kita menghadapi perkembangan yang sama, atau sedang menunggu perubahan itu di Eropah untuk ditiru di sini? Saya sendiri melihat perkembangan yang dijangkakan oleh Julia Kristeva ini adalah penjelmaan daripada lautan ambiguiti yang menghanyutkan mereka di lautan kontradiksi yang lahir dari ketidakpastian makna ilmu; atau sesat dalam belantara hide and seek teori sastera mereka yang saling bertentangan akibat tiadanya kepastian tentang konsep ilmu.  Sudahlah mereka tidak bertemu Tuhan, malah mengelakkannya; tetapi mereka juga kehilangan makna kewujudan mereka dan arah yang mereka tuju. Yang ironiknya, dalam keadaan inilah Heidegger bercakap tentang idle talk. Persis inilah juga para sarjana kita sedang lakukan sekarang.  Mereka hanya bercakap tentang konsep dialogisme, tanpa usaha yang jelas untuk mempraktikkanya dalam kegiatan ilmiah mereka. Pada dasarnya mereka adalah golongan yang anti-ilmu, yang tidak mahu berbahas tentang ilmu, dan takut menghadapi kebenaran dalam konteks ilmu. Dalam keadaan yang seperti ini, mereka tidak saja hanyut dalam dunia ambiguiti berasaskan kedegilan untuk tidak menerima konsep ilmu yang benar; mereka juga sesat di belantara teori Barat yang mereka tidak kuasai.  Dalam bahasa al-Qruan, mereka mewakili golongan binatang ternak (al-an’am). Lihat maknaal-an’am itu dalam Tafsir al-Misbah. Mereka tidak dapat melihat aspek‘iwajan dalam teori sastera Barat yang mereka sanjung. Mereka adalah golongan al-ghafilun.  Inilah golongan yang memuji novel TIVI sebagai novel mithali Islam, novel sufi yang murni; dan mereka jugalah yang meletakkan golongan al-ghafilun ini di takhta keunggulan palsu yang mereka reka sendiri.

Mohd. Affandi Hassan,
31 Ogos, 2015.

No comments:

Post a Comment

Monday, March 13, 2017

SAMAKAH ADAB DAN KURANG AJAR?

Pertanyaan ini timbul, tidak dapat dielakkan, kerana sastera Melayu, melalui sasterawan negaranya, telah menetapkan dengan tegas, dan diterima oleh para sarjana sastera dan pengkritik sastera, bahawa dari segi sastera yang kurang ajar itulah yang dimaksudkan dengan adab. Kurang ajar yang sebenar, kata mereka, ialah apabila seseorang menolak sifat kurang ajar menurut definisi sastera itu sebagai kurang ajar sebenarnya. Menurut para sarjana dan pengkritik sastera, tidak ada yang kurang ajar dalam sastera. Semuanya dibenarkan. Ini, kata mereka, amat disedari oleh para sasterawan negara dan Panel Anugerah Sastera Negara yang memilih mereka. Bagi orang yang tidak biasa dengan bahasa sastera yang indah-indah, yang tidak melanggar tatasusila asalkan dijadikan bahasa sastera, maka tentulah pendapat ini amat tidak siuman. Tentulah orang yang siuman akan bertanya, bagaimana bahasa yang biadab dan kurang ajar itu dianggap sebagai bahasa sastera yang indah-indah? Dalam konteks ini, seperti yang ditekankan oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, sastera mempunyai hegemoni tersendiri, yakni sastera boleh memaksa masyarakat untuk menerima sasterawan dan karya mereka bukan dalam konteks moral, iaitu dalam konteks sifat kurang ajar. Sasterawan dan karya sastera mementingkan realiti dalam masyarakat, oleh itu apa juga yang dianggap kurang ajar tidak menjejaskan hegemoni sastera sebagai penentu nilai-nilai baru dalam masyarakat. Termasuk dalam kategori ini ialah menerima sifat kurang ajar itu, dalam konteks sasteranya, sebagai nilai baru yang mulia, yang menunjukkan perubhan kepada sifat dan sikap yang lebih baik. Itulah makna cerita Si Tanggang sekarang, yang amat ditekankan oleh Prof. Mohd. Mokhtar Hassan yang menyuruh para pelajar menjadikan Si Tanggang sebagai teladan yang wajar diikuti jika mereka juga ingin berjaya seperti Si Tanggang.

Dalam kritikan sastera, sifat kurang ajar ini mendapat pujian tinggi seorang profesor sastera yang dikemukakannya dalam syarahan perdana beliau, berjudul  Kemantapan Puisi  Melayu Moden: Satu Tinjauan  (Universiti Malaya, 29 Disember 2004).  Apakah ukuran yang digunakan untuk menentukan sesebuah sajak itu mantap atau tidak? Lebih penting, mantap dari segi apa? Dengan tidak memberi takrif yang jelas, Prof. Rahman Shaari (kini seorang Dato’) bebas memberi pandangannya yang tidak mempunyai ukuran yang membolehkan beliau “menangkap” sajak-sajak yang mantap.  Ini menjadi masalah besar kepada beliau dan kita yang membaca analisisnya. Oleh sebab sajak bukan lembu atau biri-biri, yang boleh dilihat gemuk kurusnya dan ditentukan berat ringannya dan dengan itu berapa pula harganya, maka Prof. Rahman Shaari tidak dapat membezakan mana satu sajak yang gemuk mana pula yang kurus kering. Berasaskan pemerhatian beliau sendiri yang tidak mantap, beliau membahagikan sajak yang dikatakan mantap itu kepada beberapa kategori:  yang menggoncang fikiran (contoh: Kassim Ahmad dan Muhammad Haji Salleh); sajak konfesional (contoh: Baha Zain dan T. Alias Taib); sajak protes dan sajak sinis (contoh: Dinsman); sajak moral dan pendidikan (contoh: Shafie Abu Bakar, Zurinah Hassan);  dan macam-macam lagi yang remeh-temeh.  Kemantapan sajak-sajak yang terpilih boleh dipersoalkan, menunjukkan cara yang dipilih Prof. Rahman Shaari tidak bercerita tentang sajak, tetapi tentang pensajak dan tema sajak mereka. Ini cara budak-budak sekolah, atau cara pelajar tahun satu universiti.  Apakah yang ingin kita tahu tentang sajak-sajak yang dikatakan mantap itu? Pertama sekali pemikiran, atau idea yang menjadi pilihan pensajak. Ini tidak ada. Kering. Kurus. Kedua, penggunaan bahasa yang boleh dikatakan bahasa sajak, kerana kita ada bahasa syair, bahasa pantun, bahasa seloka dan sebagainya. Bagaimana sajak itu dibahasakan? Apakah ciri utama dalam perbahasaan itu? Sejauh mana bahasa itu mencerminkan kedalaman berfikir si pensajak? Tidak ada dalam syarahan perdana ini. Supaya anda mudah faham, anda perlu baca sajak-sajak T.S.Eliot (Inggeris), Iqbal, atau Rumi (Islam) dan para penyair besar dunia. Di mana pensajak kita berada?  Kalau kita tidak berani meletak mereka dalam komuniti penyair dunia, maka bagaimana kita akan melihat kelebihan mereka? Kita dapat lihat ini dalam karya Amir Hamzah dan Chairil Anwar; dan kita pun tidak ragu-ragu berkata tanpa Amir Hamzah, tidak akan lahir Chairil Anwar, walaupun terdapat perbezaan yang jelas dalam penggunaan bahasa dan pemikiran. Saya telah bahaskan serba ringkas tentang perkara ini dalam blog ini.  Di Malaysia yang menulis sajak bukan pemikir, yakni orang yang berfikir; mereka adalah pemerhati yang dangkal, maka lahirlah sajak-sajak peristiwa yang dangkal, sekadar bercerita dengan segala kepura-puraan kononnya mereka ini perihatin kepada masalah di sekeliling mereka. Sajak serupa ini saya kategorikan sebagai sajak peristiwa, sajak topikal. Pada umumnya inilah sajak yang ditulis dalam sastera Melayu. Panel Anugerah Sastera Negara memberi beberapa contoh daripada karya Kemala dalam laporan mereka. Lihat di sana untuk menilai kualiti sajak-sajak kategori ini. Dalam pemerhatian saya, terdapat dua jenis sajak yang dominan dalam persajakan Melayu, yang saya namakan sajak-sajak mantera dan sajak-sajak celoteh. Pandangan saya tentangnya telah dijadikan entri dalam blog ini. Untuk sajak mantra lihat entri bertarikh 30/10/2010.

Ada satu persoalan penting yang kita dapat buat kesimpulan daripada syarahan perdana Prof. Rahman Shaari ini. Cukup jelas bahawa beliau sewenang-sewenang memberikan pembahagian (kategori)  tanpa sebarang asas ilmiah, tidak berasaskan konsep ilmu. Ini membuktikan dengan jelas bahawa sastera Melayu memang hanyut dalam kekeliruan tentang konsep ilmu, dan akibatnya berada dalam kehilangan adab yang jelas. Oleh itu apa yang disebut sebagai kemantapan sajak-sajak Melayu sebenarnya adalah penyerlahan kehilangan adab dalam persuratan Melayu. Contoh terbaik ialah tentang sajak mengenai Si Tanggang. Menurut profesor ini, makna dan tafsiran boleh berubah bila-bila masa jika keadaan memerlukan, dengan memberi contoh Hang Jebat tidak lagi menderhaka dalam tangan Usman Awang dan lain-lain; semua cerita legenda boleh diubah maknanya mengikut kamahuan semasa, tanpa memberi bekas kepada inti sari cerita itu. Profesor ini tidak sedar bahawa beliau sebenarnya membenarkan hakikat bahawa sastera Melayu adalah cetusan sasterawan yang keliru dan cetek meraba-raba, yang tidak kenal tradisi bangsa sendiri dan cetek pula pengetahuannya tentang sastera Barat. Pendeknya, kehilangan adab dalam dua tradisi. Tepat sekali pencirian yang dibuat oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam syarahan pengukuhan beliau 1972, Islam Dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu. Di situ beliau berkata betapa yang disebut sasterawan (istilah yang beliau gunakan pujangga) adalah golongan pinggiran yang cetek meraba-raba... (hal.  54-55). Tidak seorang pun di antara sarjana dan sasterawan menolak pandangan beliau. Mengapa hal ini terjadi? Mereka tidak menerimanya, tetapi tidak dapat pula menyanggahnya; oleh itu benar-benar menjadi duri dalam daging para sasterawan, lebih-lebih lagi apabila gelaran sasterawan negara diberikan pula kepada para sasterawan yang keliru ilmunya dan cetek meraba-raba pengalaman intelektualnya. Satu lakonan komedi yang menjadi bahan tertawa sepanjang masa, atau dalam bahasa yang digunakan oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, Ketua 1 PENA  , telah dikanunkan sebagai hegemoni sastera dalam masyarakat, walaupun palsu. Tanpa dimaksudkan olehnya, “kemantapan” sajak-sajak  Melayu yang cetek dan bertentangan dengan warisan persuratan membuktikan kepalsuan hegemoni yang dimaksudkan oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad. Tetapi “kemantapan” dan hegemoni palsu itu membuktikan dengan tegas dan jelas akan kemewahan sifat kehilangan adab dan betapa sifat “kurang ajar” itulah yang diangkat menjadi adab dalam konteks sastera Melayu yang dipertahankan oleh para sasterawan dan sarjana sastera. Inilah kedudukan para sasterawan negara dan peranan Panel Anugerah Sastera Negara memperkukuh sifat-sifat kehilangan adab dalam kebudayaan Melayu moden. Bagi mereka, adab yang mereka klaim untuk kumpulan mereka adalah sifat kurang ajar yang menjadi teras sastera Melayu moden terutama yang menjadi pegangan para sasterawan negara, yang akhirnya dijadikan teras negara bangsa oleh PENA dan ITBM. Inilah matlamat hegemoni yang dimaksudkan oleh Dr. Saleeh Rahamad dalam tulisannya yang dimuat dalam buku ITBM itu.  Authoriti mereka Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh yang mengajar para sasterawan dan sarjana betapa pentingnya menjadi kurang ajar untuk “memeluk kenyataan dengan logika baru/berdebat dengan hujah-hujah pejal dan nyaring”.  Inilah makna adab dalam konteks kebiadaban baru yang didukung sepenuhnya oleh Panel Anugerah Sastera Negara.

Kita lihat bagaimana Prof. Rahman Shaari menghujahkan persoalan ini. Seperti Panel Anugerah Sastera Negara menerima Muhammad Haji Salleh sebagai satu-satunya pensajak intelektual kerana telah menghasilkan sajak terbesar dalam sastera Melayu, “Pulang Si Tanggang”, maka demikianlah juga Prof. Rahman Shaari  dengan selesa dan penuh hormat berkata, “Pengalihan perwatakan daripada antagonis kepada protagonis dalam karya Muhammad Haji Salleh telah menggoncang fikiran. ... Jika kita membaca skrip drama Usman Awang yang berjudul “Matinya Seorang Pahlawan”, kita juga menemukan anjakan perwatakan, apabila Jebat diberi nilai yang baik dan murni. Ternyata dalam kesusasteraaan Melayu sesekali sasterawan meghasilkan karya yang sebegini menggoncang.” (hal. 38).  Apakah yang dimaksudkan oleh Prof. Rahman Shaari dengan “menggoncang”?  Inilah ulasan beliau: “Sama ada pembaca menyenangi goncangan seumpama yang dilakukan oleh Kassim Ahmad, Muhammad Haji Salleh dan Usman Awang ... atau tidak adalah hal lain. Yang penting dalam kupasan ini, perkembangan perpuisian telah berlangsung ke arah trersebut.” (hal. 38).  Maksudnya, persajakan Melayu memang mengarah kepada budaya kurang ajar yang diajarkan oleh Muhammad Haji Salleh melalui sajaknya “Pulang Si Tanggang”.  Sekiranya kita terima bahawa mereka yang mengajak ke arah sikap kurang ajar itu dan menerimannya dengan selesa adalah tokoh-tokoh utama dalam sastera Melayu, maka kita dengan selesa boleh berkata memang sastera Melayu yang dikembangkan oleh mereka, para sasterawan dan sarjana, adalah sastera yang anti-ilmu dan yang menyokong sifat kurang ajar. Inilah yang dimaksudkan dengan adab baru yang melahirkan slogan baru “sastera teras negara bangsa”. Bagi mereka, adab dan kurang ajar adalah sama, satu rumpun dalam perkembangan menuju ke arah kecemerlangan sastera Melayu moden. Yang beradab dan yang kurang ajar adalah setaraf, sama-sama penting, sama-sama memberikan sumbangan besar kepada perkembangan sastera Melayu.

Kesimpulan ini akan bertaburan seperti manik gadis Iban yang putus tali jika kita melihat perkembangan ini dalam konteks yang dianjurkan oleh Gagasan Persuratan Baru. Kita akan melihat dengan jelas akan kepalsuan perkembangan  yang dibanggakan oleh kumpulan yang keliru dan cetek meraba-meraba ini.

Nampaknya kemunculan sasterawan negara untuk memperkukuh kepalsuan ini supaya dapat diterima sebagai perkembangan yang berharga, tidak dapat dipertahankan. Mereka juga berada dalam kelompok yang biadab dan kurang ajar itu, seperti yang kita lihat dalam karya mereka. Oleh itu, dari hujah yang bagaimana mereka ini kita perlukan? Inilah persoalan besar yang membuat mereka lesu tidak boleh berkata apa-apa untuk menyanggah kesimpulan Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas itu. Demikianlah situasi sebenanrya dalam sastera Melayu.

Bagaimana sikap Prof. Rahman Shaari sendiri terhadap ilmu? Negatif. Amat negatif dan agak liar, ganas seperti serigala membaham bangkai. Sekiranya anda mengikuti gerak-geri sarjana ini, anda akan bertemu dengan sikap ganas dan liar itu sewaktu beliau mengulas syarahan perdana Prof. Ungku Maimunah Mohd Tahir.  Sebagai seorang sarjana yang ganas dan liar, beliau tidak saja memperkecilkan syarahan perdana itu sebagai tak lebih daripada “copy cat”, tidak original dan tidak berfaedah kerana yang menjadi subjek syarahan itu ialah Gagasan Persuratan Baru.  Kebencian beliau terhadap Persuratan Baru sampai ke peringkat schizophrenia,  apabila beliau menolak bulat-bulat apa juga tulisan dan buku yang membicarakan PB sebagai omong kosong tentang ilmu untuk menunjuk-nunjuk dan mengada-ada. Novel Pujangga Melayu terbit 1997, syarahan perdana beliau 2004 berbicara tentang sajak dan kemantapan sajak. Di dalam Pujangga Melayu anda akan bertemu banyak sajak yang dari segi kualiti pemikirannya jauh mengatasi dan meninggalkan mana-mana sajak yang telah ditulis oleh mana-mana sasterawan negara sekali pun. Jika Panel Anugerah Sastrera Negara bercakap tentang sajak intelektual, dengan menamakan Muhammad Haji Salleh sebagai pelopor sajak intelektual melalui sajak “Pulang Si Tanggang”, Prof. Rahman Shaari bersetuju dengan Panel dan meletakkan sajak itu sebagai satu-satunya sajak intelektual yang terdapat di Malaysia. Bagaimana dengan sajak-sajak di dalam Pujangga Melayu? Saya sudah mencabar sesiapa juga yang memperkecilkan kualiti pemikiran sajak-sajak dalam Pujangga Melayu tampil membicarakan sajak “Al-Andalus” dan lain-lain sajak dengan sajak “Pulang Si Tanggang” dan buktikan sajak-sajak dalam Pujangga Melayu tidak bermutu. Jika anda seorang sarjana yang worth your salt, prestij anda akan bertambah sekiranya anda dapat membuktikan sajak-sajak Muhammad Haji Salleh adalah yang paling berkualiti dan tidak boleh ditandingi oleh mana-mana sajak dalam Pujangga Melayu. Perbincangan serupa ini tidak ada, suatu keadaan yang amat memalukan dunia akademik kita, lebih-lebih lagi jika anda betul-betul serius ingin berbicara tentang “kemantapan” puisi Melayu. Meninggalkan sajak yang jauh lebih berkualiti dari segi pemikiran dan teknik seperti sajak-sajak dalam Pujangga Melayu adalah tidak akademik, menandakan pembicara tentang kemantapan sajak-sajak Melayu tidak membaca dan meneliti dengan cermat karya yang jauh lebih bermutu daripada mana-mana karya yang dimuat dalam syarahan perdana Prof. Rahman Shaari ini. Kita bercakap tentang pemikiran, bukan tentang populariti yang dibuat-buat. Cabaran kreatif dan cabaran akademik ini tidak boleh didiamkan, dengan sikap “lembu kenyang” seperti dalam ungkapan orang Kelantan.  Tetapi yang bagusnya pula, sikap “lembu kenyang” ini membenarkan dan membuktikan kebenaran pemerhatian saya bahawa dalam sastera Melayu konsep adab dan kurang ajar memang disetarakan, sehingga yang mencermin adab dalam konteks ilmu seperti sajak-sajak dalam Pujangga Melayu ditinggalkan, tidak disentuh langsung. Keangkuhan akademik seumpama ini merugikan dunia intelektual kita, kerana usaha orang lain yang jauh lebih maju dan mengatasi sajak-sajak mantap yang tidak mantap itu kelihatan seperti kucing dibandingkan dengan harimau!  Orang biasa pun tahu membezakan kucing dengan harimau; maka menjadi tanggungjawab seorang ahli akademik tidak meletak kucing lebih tinggi daripada kedudukan harimau.  Perilaku yang tidak akademik, tetapi angkuh dengan lagak akademik, sepatutnya sudah lama ditinggalkan. Kita mahu para sarjana mempunyai sedikit “humility” untuk menerima hakikat bahawa terdapat karya yang benar-benar mantap bukan saja dari segi pemikiran, tetapi juga dari segi kreatif yang anda  akan dianggap tidak mempunyai etika akademik jika meninggalkannya, seperti yang dilakukan oleh Prof. Rahman Shaari dalam syarahan perdana beliau. Bagi saya ini suatu perkara yang serius, yang tidak sepatutnya diremehkan oleh para sarjana kita. Sekiranya taraf kesarjanaan mereka tinggi, mereka akan dengan mudah dapat membezakan sesuatu karya yang benar-benar bermutu dengan yang hanya dianggap bermutu tetapi pada hakikatnya tidak.  Tentu saja kritikan saya agak keras, tetapi itulah yang wajar apabila kita menghadapi siatuasi yang boleh mencemarkan dan merendahkan kedudukan dunia akademik kita. Saya tidak dapat menerima syarahan perdana Prof. Rahman Shaari ini sebagai suatu sumbangan yang bererti, yang sebenarnya kita tunggu-tunggu daripada hasil pemikiran dan penyelidikan para sarjana kita. Sungguh Sayang!  Kalau tidak silap, saya pernah mencadangkan dalam blog ini supaya diizinkan dikemukakan syarahan perdana yang kedua, yang lebih mantap yang benar-benar membuat kita bangga. Contoh? Syarahan pengkukuhan Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas 1972, yang belum dapat diatasi hingga kini dari segi perkembangan ilmu.  Lekeh sangatkah sarjana sastera kita?

Saya sudah sampai kepada kesimpulan yang tentu saja tidak dapat diterima oleh para sarjana ciritan dan sasterawan picisan. Saya ingin menegaskan untuk kesekian kalinya, jalan keluar yang dihadapi oleh para sarjana dan sasterawan yang sedang berada dalam kegelapan ambiguiti ilmu ini sudah disediakan oleh Gagasan Persuratan Baru. Tunggu apa lagi? Anda diberi dua pilihan yang tegas jelas: menerima PB atau menolaknya secara akademik. Pilihan ketiga sentiasa terbuka, dan sebagai seorang sarjana anda tahu maksud saya. Dalam konteks inilah konsep pandirisme dan buku tentangnya akan memberikan anda ruang akademik dan ruang intelektual untuk memberi sumbangan yang benar-benar mengangkat kualiti akademik dan kualiti ilmu dalam sastera. Sesungguhnya adab dan kurang ajar tidak sama. Tidak mungkin lahir hegemoni daripada sikap dan sifat kurang ajar yang diajarkan oleh para sasterawan negara dalam karya mereka.


Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya,  12/3/2017





Thursday, March 9, 2017

LAYAKKAH SASTERA MENJADI TERAS NEGARA BANGSA?

Sidang Kemuncak Penulis Malaysia 2014 (SKPM 2014) telah melakukan satu kesilapan besar yang amat memalukan kita apabila sekumpulan sasterawan, sarjana dan pengkritik sastera yang menghadiri persidangan itu telah menetapkan sastera adalah teras negara bangsa, dan menjadikanya tajuk buku terbitan ITBM, Sastera Teras Negara Bangsa.  Siapakah yang memberi mereka authoriti untuk menjadikan sastera teras negara bangsa?  Apakah maksud slogan baru ini?  Saya telah menjelaskan dalam entri 4/3/2017 bahawa slogan baru ini adalah lanjutan slogan Asas 50 “seni untuk masyarakat/sastera untuk masyarakat”.  Saya telah menjelaskan bahawa slogan Asas 50 itu adalah slogan golongan Marxist dalam sastera Melayu dan slogan itu memberi gambaran palsu kepada sejarah persuratan Melayu yang beratus tahun dikembangkan oleh para ulama dan cendekiawan Melayu berteraskan ilmu. Apabila ITBM menghidupkan semula slogan ini dengan lebih khusus seperti judul buku mereka, maka apakah alasan mereka melakukannya demikian? Jelaslah mereka tidak mempunyai kesedaran sejarah persuratan Melayu, tidak juga kesedaran ilmu dan peranan ilmu dalam pembinaan tamadun. Ini memberi gambaran bahawa tidak ada kemajuan berfikir di kalangan para penulis dan sarjana sastera; di samping itu pengaruh teori sastera Barat terlalu kuat mencengkam mereka sehingga seluruh kesedaran akademik  mereka dibelenggu oleh pengaruh Barat. Adakah ini satu keistimewaan mereka yang membuat mereka begitu berani menjadikan sastera berimej Barat itu asas tamadun moden Malaysia? Apabila ITBM, melalui Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, Ketua Satu PENA, menggunakan istilah Marxist “hegemoni” untuk menggambarkan “kehebatan” sastera, maka jelaslah kumpulan ini tidak memberikan kita idea baru atau pendekatan baru yang lebih canggih, tetapi hanya melanjutkan kepalsuan slogan Asas 50.  Mengapa kita harus menerima perkembangan yang membawa kita ke belakang ini? Kita boleh menggunakan tradisi persuratan yang beratus tahun menjadi warisan kita; tetapi Asas 50 tidak meninggalkan apa-apa warisan sehebat warisan persuratan itu. Mengapa kita perlu mengikut mereka, seperti yang dipaksakan oleh ITBM dan PENA ke atas kita? Ini merupakan satu pengkhianatan intelektual yang sangat hina, yang mesti ditolak dan dihumban ke dalam longkang sejarah yang busuk hanyir dengan sikap anti-ilmu dan anti-Islam yang menolak tulisan Jawi dan peranan Islam dalam pembangunan tamadun negara kita.  Inilah tinggalan sebenar Asas 50 untuk dihidu oleh para sasterawan dan sarjana sastera.  Tentulah tidak wajar jika ITBM dan PENA melanjutkan gerakan anti-ilmu dan anti-agama ini dalam sastera Melayu.  Mereka tidak boleh menafikannya kerana kenyataan ini terkedang jelas dalam tulisan/kertas kerja yang dimuat dalam buku Sastera Teras Negara Bangsa.

Inilah realiti yang kita hadapi. Adakah kita akan membiarkannya saja merosakkan sistem nilai yang kini sudah parah diceroboh oleh sastera yang kononnya menjadi teras negara bangsa itu. Persoalan ini akan diberi kupasan dan penjelasan yang jitu dalam buku saya yang akan diterbitkan tidak lama lagi, membicarakan dengan tuntas pengaruh teori sastera Barat ke atas sastera Melayu. Jalan keluarnya sudah pun berada di depan mata anda dalam Gagasan Persuratan Baru yang secara keseluruhannya mengemukakan dua penyelasaian: pertama, memperkasa lorong akademik dan lorong kreatif supaya boleh dilalui dengan selamat berasaskan konsep ilmu yang benar. Kedua, mencabar keseluruhan teori sastera Barat dari akar umbi dan falsafahnya dengan mencabar kesahihan pendekatan yang disediakan sama ada benar-benar memenuhi keperluan akal dan rohani manusia yang berfikir. Kalau ini tidak boleh dianggap teori sastera yang lengkap, maka Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh harus tampil dengan penuh tanggungjawab seorang sarjana ulung untuk menyediakan teori lengkap yang diminta dan (diejeknya) itu. ITBM dan PENA perlu membantunya dengan memberitahunya terlebih dahulu bahawa dia tidak mungkin menemui teori yang lengkap itu dengan memanjat bumbung kilang berkarat seperti yang dibuatnya ketika menyediakan kertas kerja untuk Sidang Kemuncak Penulis Malaysia 2014.

Ejekan meminta teori sastera yang lengkap ini sepatutnya tidak timbul, jika para sarjana kita tidak mengidap serangan saraf yang disebut schizophrenia, atau sasau dalam bahasa Melayu.  Di dalam dunia ini tidak ada yang lengkap; malah orang gila pun tidak gila sepenuhnya, sebab itu orang gila masih boleh dipulihkan jika kena caranya. Tetapi gila sastera ini menjadi masalah besar apabila penganut sastera dengan angkuhnya, yang tidak ada pada orang gila yang tulen, menetapkan bahawa sastera adalah teras negara bangsa. Ini sejenis kegilaan yang tidak tulen lagi, yang dibuat-buat untuk mendapat pengaruh yang palsu. Pengaruh palsu itu mereka namakan hegemoni, satu konsep Marxist. Mengapa kita perlukan hegemoni untuk membina negara bangsa yang bertamadun berasaskan ilmu? Untuk kembali siuman, tidak lagi mengidap penyakit saraf schizophrenia, maka anda perlu membiasakan diri mengenal konsep ilmu yang benar, seperti yang dianjurkan oleh Gagasan Persuratan Baru.  Ditakuti jika anda terlibat dalam keinginan yang terlalu memuncak untuk mencari kelainan, lalu memanjat bumbung kilang berkarat; bagaimana jika yang mencari kelainan itu seorang tokoh besar yang ulung yang dihormati, tiba-tiba tergelincir, dan terus kong off. Tidakah kita semua rugi besar? Fikirkanlah.

Catatan: Dalam beberapa entri terakhir mengenai persoalan yang sedang kita bincang, saya banyak sekali menggunakan tamsil ibarat.  Perhatikan terjemahan ayat 29:43 ini:  “Dan perumpamaan-perumpamaan ini Kami buatkan untuk manusia; dan tiada yang memahaminya kecuali orang-orang yang berilmu.”

Betul, tiada yang memahaminya kecuali orang-orang yang berilmu.  Adakah panjat bumbung  kilang berkarat satu tamsil ibarat? Mungkin... Tapi tentulah bukan dari kalangan orang berilmu!

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 9 Mac 2017.



Saturday, March 4, 2017

INGKAR ILMU DAN KEHILANGAN ADAB DALAM SASTERA MELAYU

“Tentulah sangat aneh, dan biadab, jika budaya kehilangan adab ini mahu dijadikan teras negara bangsa.”

Itulah antara kesimpulan penting saya dalam entri yang lepas (bertarikh 1/3/2017). Bagaimanakah budaya kehilangan adab ini muncul dalam sastera Melayu?  Segala-galanya bermula dengan kemunculan Asas 50, sebuah persatuan penulis yang ditubuhkan di Singapura ketika akhbar Melayu mula mendapat tempat di kalangan pembaca Melayu. Itulah Utusan Melayu, yang dikendalikan oleh para wartawan muda yang berfaham kiri. Asas 50 memakai slogan “sastera untuk rakyat”, sesuai dengan gerakan kiri dalam politik Melayu. Hampir semua sarjana sastera dan pengkritik sastera menerima Asas 50 sebagai pelopor sastera Melayu moden, yang memberi wajah baru kepada bentuk cereka sama ada dalam novel mahu pun dalam cerita pendek.  Apa yang disebut “wajah baru” itu tidaklah baru, kecuali terdapat sedikit perubahan dalam gaya, hasil dari peniruan penulis Asas 50 dari para pengarang “moden” di Indonesia, bermula dari Angkatan Baru hingga ke Angkatan 45. Pengaruh Angkatan 45 itulah yang terkuat dari segi penggunaan bahasa yang lebih berani, misalnya banyak menggunakan perbandingan dan kiasan (metafor).  Ungkapan yang kasar dan sumpah seranah mula menjadi kegemaran para penulis Melayu. Itulah sebenarnya yang boleh dikatakan “kelainan” yang dibawa oleh penulis Asas 50 dan para pengikut mereka.

Ketika itu kesedaran terhadap ilmu tidak ada; yang menonjol ialah kegemaran kepada sensasi dalam mengemukakan karya dan juga dalam penggunaan bahasa. Tidaklah aneh jika di kalangan para sasterawan negara di Malaysia kegemaran itu masih bertapak kuat, kerana mereka menerima perubahan itu sebagai kemajuan dalam penulisan kreatif.  Saya ingin membuat penegasan sekali lagi di sini bahawa kemunculan sekumpulan sasterawan negara di Malaysia adalah pengaruh langsung daripada gerakan Asas 50, seperti yang telah banyak kali saya sebut dalam blog ini. Mereka adalah kumpulan yang keliru tentang konsep ilmu dan cetek meraba-raba dalam penampilan mereka sebagai “pemikir”  kreatif walaupun setelah diangkat menjadi sasterawan negara. Hal ini tidak dapat dielakkan, kerana para sasterawan negara sesungguhnya menulis dalam gaya dan cara penulis Asas 50. Mereka sendiri  adalah pediri Asas 50 dan pengikut Asas 50. Inilah permulaan Mutual Admiration Club dalam sastera Melayu, yang pada mulanya dikritik oleh Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh dalam tahun 1973, tetapi kemudiannya beliau sendirilah yang menjadi pembela dan penggiat Mutual Admiration Club selepas dilantik menjadi sasterawan negara.

Dengan latar belakang ini, kita akan lebih mudah memahami bagaimana akhirnya mereka inilah yang mengemukakan idea “sastera teras negara bangsa”, lanjutan daripada slogan lama “sastera untuk masyarakat”.  Perubahan ini kemudiannya melahirkan perkembangan yang tragis dalam sastera Melayu, apabila pengaruh Machiavelli korup dijadikan asas penulisan dan penilaian karya sastera, yang boleh kita lihat dengan jelas dalam tulisan Anwar Ridhwan dan Dr. Mawar Shafie. Kita boleh  membuat kesimpulan yang selamat dan tepat bahawa perkembangan ini menjadi bukti yang amat jelas akan kemunculan golongan yang kehilangan adab dalam sastera Melayu, yang keliru dari segi ilmu dan cetek meraba-raba dari segi matlamat. Inilah kumpulan yang melancarkan slogan baru “sastera teras negara bangsa”, satu manifestasi kehilangan adab yang amat jelas.  Hujah ini disimpai dengan kemas dengan kutipan daripada amaran Machiavelli yang saya kutip dalam entri lepas.  Anda tidak perlu berasa pelik jika Machiavelli seolah-olah berbicara tentang kehilangan adab di zamannya. Anda perlu baca tentang Machiavelli yang saya sebut dalam entri lepas.

Sekiranya anda berasa sukar hendak memahami penghujahan ini,  anda harus mendalami pengetahuan anda tentang konsep ilmu dalam Islam dan bagaimana konsep ilmu itu difahami di Barat, terutama di kalangan ahli falsafah mereka. Masalahnya ialah, jika anda memahami dua perkara ini, anda akan menolak teori sastera Barat. Nampaknya fikiran anda semakin kusut. Tidak mengapa, cara menyembuhkan penyakit intelektual yang anda alami ini sangat mudah, seperti yang saya sarankan tadi.  Memang sukar untuk seseorang yang sudah lama kehilangan adab untuk memahami masalah ini, kerana dia tidak mahu memahaminya, dan bangga menjadi seolah-olah binatang ternak (yang disebut di dalam al-Quran, lihat Surah al-A’raf (7: 179). Huraian yang diberikan oleh M. Quraish Shihab dalam kitab tafsirnya,  Tafsir al-Misbah (jilid4, hal. 378-379) adalah penting dalam konteks kehilangan adab ini. Antara lain kata beliau, “Hati, mata dan telinga orang-orang yang memilih kesesatan dipersamakan dengan binatang kerana binatang tidak dapat menganalogikan apa yang ia dengar dan lihat dengan sesuatu yang lain. Binatang tidak memiliki akal seperti manusia. Bahkan, manusia yang tidak menggunakan potensi yang dianugerahkan Allah lebih buruk sebab binatang dengan instinknya akan selalu mencari kebaikan dan menghindarkan bahaya, sementara manusia derhaka justeru menolak kebaikan dan kebenaran serta mengarah kepada bahaya yang tiada taranya.”  Apakah bahaya yang tiada taranya itu? Ialah yang disebut al-ghafilun   dalam ayat ini, “yakni lalai, tidak mengetahui atau menyedari apa yang seharusnya diketahui dan disedari.”  Sekiranya anda memilih untuk menjadi binatang ternak untuk tidak memahami konsep ilmu dan kehilangan adab ini, maka anda tidak sekali-kali akan mendekati PB. Mengapa tiba-tiba PB berada dalam perbincangan ini? Anda harus ulang membaca penjelasan yang diberikan oleh M. Quraish Shihab tentang “hati, mata dan telinga” ... dan seterusnya sehingga sampai kepada huraian tentang konsep al-ghafilun tadi.  Jika anda mendapati sukar untuk memahaminya, maka anda benar-benar sudah berada dalam kelompok binatang ternak yang dimaksudkan oleh ayat ini. Jika anda dapat memahaminya, maka anda akan dapat memahami mengapa PB memberikan anda jalan keluar yang terbaik kepada anda dalam usaha anda membina “negara bangsa berteraskan konsep ilmu yang benar”.  Dengan itu anda akan faham mengapa saya menolak dengan keras sebarang usaha untuk membina negara bangsa dengan menjadikan “sastera teras negara bangsa.”

Adab berkait rapat dengan konsep ilmu.  Tulisan ini bertujuan untuk memberi amaran kepada sesiapa juga yang ingin menulis sejarah perkembangan sastera Melayu supaya memahami perkembangan ini dan tidak memandai-mandai menyelewengkan sejarah dengan memberi tafsiran palsu tanpa memahami susur galur perkembangannya.  Adakah buku Sastera Teras Negara Bangsa terbitan ITBM 2014 itu terhindar dari penyelewengan sejarah yang dimaksudkan?  Ini bukan masalah saya lagi; sebaliknya inilah masalah besar yang anda hadapi akibat menolak konsep ilmu yang benar yang diajarkan oleh al-Quran, dengan memilih untuk berada dalam kelompok binatang ternak yang dihuraikan oleh M. Quraish Shihab tadi. Ulangi membaca huraian beliau untuk mendapat sedikit pencerahan yang sangat anda perlukan.

Mengapa kita menghadapi masalah kehilangan adab yang sedang dipertahankan oleh kumpulan yang menamakan diri mereka kumpulan arus perdana?  Jawapannya diberikan oleh Prof. Wan Mohd. Nor Wan Daud melalui konsep “ingkar ilmu” yang dikemukakan beliau. Lihat entri bertarikh 17/10/2016 mengenai “ingkar ilmu” untuk memberi sedikit gambaran kepada anda mengenai masalah “ingkar ilmu” ini. Dalam entri ini terdapat sedikit maklumat tentang burung unta yang menyembunyikan kepala di dalam pasir untuk mendengar dari mana bahaya akan datang; sebaliknya para sasterawan dan sarjana sastera menyembunyikan kepala dalam lumpur pandirisme kerana takut menghadapi kenyataan. Siapa lebih cerdik antara burung unta dengan mereka? Tentu ramai yang pilih burung unta kerana setiap gerak gerinya mempunyai makna, tidak seperti para sarjana (ciritan) dan sasterawan (picisan) yang tenggelam dalam sensasi kreatif dan sensasi kritikan (contoh terbaik ialah pembelaan Prof. Mohd. Mokhtar Hassan terhadap Si Tanggang).  Konsep hegemoni yang diperkenalkan oleh golongan Marxist sebenarnya telah dimulai oleh Iblis ketika memberi nama pokok yang terlarang di dalam syurga sebagai “khuldi”, bermakna kekal abadi di dalam syurga sekiranya larangan Allah dilanggar!  Penerimaan konsep hegemoni dalam sastera Melayu moden, dalam erti sastera itu mempunyai hegemoni tersendiri seperti yang ditafsirkan dalam buku Sastera Teras Negara Bangsa, adalah lanjutan daripada logik yang dipakai Iblis ketika menolak perintah Allah supaya sujud hormat kepada Nabi Adam ‘a.s. dengan memberi alasannya sendiri bahawa dia lebih mulia kerana dijadikan daripada api. Inilah logik yang dipakai untuk membicarakan konsep hegemoni dalam sastera, dalam erti sasteralah yang menentukan bagaimana pembangunan bangsa, atau tamadun, harus dibangunkan.  Jika anda sukar memahaminya, apabila anda menolak konsep ilmu yang benar, seperti yang dilakukan Iblis yang terang-terang menolak konsep ilmu itu ketika membantah perintah Allah, maka keputusan anda untuk tidak menerima konsep ilmu dalam sastera Melayu tepat dengan tafsiran yang diberikan oleh Iblis tadi.  Sekiranya anda menerima hujah mereka ini, maka anda berada dalam jalur “pemikiran logik” yang dianjurkan oleh Iblis. Mungkin tanpa sedar, dan jika ini sebabnya, nyatalah anda dari kumpulan yang paling keliru. Bagaimana kumpulan yang keliru boleh menentukan corak tamadun bangsa? Perhatikan bagaimana konsep “ingkar ilmu” memberi anda pencerahan yang anda perlukan, sekiranya anda sedar anda berada dalam golongan yang keliru dan cetek meraba-raba itu.

Penjelasan tentang konsep “khuldi” yang dipakai Iblis boleh dilihat dalam kitab Tafsir al-Misbah, jilid 7, hal. 691-695.  Lihat juga jilid 4, hal. 57-59. Jilid 1, hal. 188-190.  Hujah-hujah Iblis untuk menegakkan hegemoni logiknya adalah hujah-hujah palsu, kerana Iblis tidak mempunyai apa-apa authoriti untuk menentukan kedudukan dan makna sesuatu. Mengapa terdapat manusia bersetuju dengan Iblis? Inilah kehebatan kuasa kata yang dibisikkan Iblis kepada manusia untuk melalaikannya, dan selepas itu Iblis tanpa rasa tanggungjawab menjahanamkan manusia yang diperdayanya. Inilah maksud hegemoni yang dipakai di Barat, yang kemudiannya ditiru dalam sastera Melayu. Anda tidak mungkin faham aspek ini sekiranya anda menerima konsep “ingkar ilmu” sebagai hujah untuk mengelak daripada menerima konsep ilmu yang benar.

Mohd. Affandi Hassan,

Petaling Jaya, 4/3/2017.

Wednesday, March 1, 2017

ANTARA ANGKA DAN KATA, MANA YANG LEBIH BERKUASA?

Manusia yang paling cekap menggunakan angka dan kata ialah ahli politik. Mereka perlu angka untuk mengira undi yang mereka dapat, jika diadakan pilihan raya. Mereka perlu bermain dengan kata-kata untuk mempropagandakan apa saja yang mereka mahu dipercayai.  Di kalangan para sasterawan, angka juga penting, dari segi jumlah wang yang akan mereka terima jika diberi hadiah. Misalnya, dari 30,000.00 kini menjadi 60,000.00 untuk para sasterawan negara. Jika buku mereka dijadikan teks di sekolah, angka itu akan meningkat menjadi tidak kurang daripada 500,000.00. Jumlah dari segi  angka yang akan mereka terima bertambah, adakah kualiti dan mutu karya mereka juga bertambah?  Angka boleh berubah dan diubah dengan mudah; tetapi bagaimana dengan kata-kata yang sudah menjadi karya sastera? Masih juga boleh berubah, jika dilakukan terjemahan. Ini telah ditunjukkan dengan amat baik dan jelas oleh Muhammad Haji  Salleh, seorang sasterawan negara yang sangat terkenal dengan ucapan yang paling agung dalam sastera Melayu: Aku sudah belajar/ Jadi kurang ajar.  Bila diterjemahkan, menjadi: I’ve learnt/the ways of the rude. Dalam sastera Nusantara, terdapat dua ucapan yang “menggugurkan langit angkasa”.  Daripada Chairil Anwar, kita dapat: Aku ini binatang jalang/dari kumpulannya terbuang.  Apa bezanya dengan ucapan Muhammad Haji Salleh. Sama. Dari segi makna, sama saja. Masing-masing mengaku menjadi kurang ajar, dan diterima dengan bangga oleh masyarakat mereka.  Dari perspektif ini, apakah yang membuat ucapan Chairil Anwar lebih “murni”?  Dia tidak terpelajar seperti yang seorang lagi, yang sengaja belajar menjadi kurang ajar.  Hanya dalam budaya Barat saja hal ini boleh terjadi secara normal; tetapi tidak dalam budaya Melayu. Adakah Muhammad Haji Salleh tidak tahu? Sebenarnya dia tidak tahu; atau ... dia tahu, tetapi kerana kurang ajarnya, dia menjadikan Si Tanggang seorang wira “baru” dengan mengubah makna dan kedudukannya dalam budaya Melayu. Menurutnya, itulah tugas seorang sasterawan, iaitu mengubah nilai-nilai lama dan membawa masuk nilai-nilai Barat sebagai nilai-nilai baru yang sesuai dengan kemajuan sejagat.  Inilah tugas para sasterawan negara, seperti yang disahkan oleh Panel Anugerah Sastera Negara dalam laporan mereka.

Satu rahsia yang perlu saya dedah: Muhammad Haji Salleh sebenarnya tidak tahu membaca sajaknya sendiri. Bukti? Dalam bahasa Melayu “aku sudah belajar jadi kurang ajar” itu dia membahasakan dirinya yang ... Dalam terjemahan olehnya sendiri, dia belajar dari Barat macam mana mahu jadi kurang ajar (rude). Jadi, dari segi itu, penguasaan bahasa Melayunya lemah. Lihat juga sajak yang memuja Raja Iblis ketika dia bertemu Goethe (Sebuah Unggun di Tepi Danau, hal. 5).

Nampaknya kata-kata lebih berkuasa daripada angka kerana kata-kata boleh dipesongkan maknanya bila-bila saja dan oleh sesiapa pun juga. Ini telah dilakukan oleh Prof. Mohd. Mokhtar Abu Hassan (lihat di bawah). Seorang atau beberapa orang yang terpilih atau dipilih, boleh mengubah nilai-nilai murni kepada nilai-nilai pragmatik, seperti yang dibincangkan dengan selesa dan yakin oleh Prof. Mohd. Mokhtar Abu Hassan dalam kertasnya yang diterbitkan dalam buku ITBM, Sastera Teras Negara Bangsa (2014).  Profesor ini tidak melihat ini sebagai perubahan nilai dan kekeliruan dalam konsep ilmu, sebaliknya beliau melihatnya sebagai perubahan tafsiran yang menguntungkan masyarakat moden yang global, yang boleh dimanfaatkan oleh para pelajar. Beliau tidak sedar bahawa inilah nilai-nilai palsu yang berasaskan hawa nafsu manusia, terutama sifat tamak dan hasad yang kini sudah diterima sebagai nilai-nilai positif yang mendorong seseorang untuk terus maju dan berjaya. Kekeliruan dalam konsep ilmu ini menjadi amat parah apabila dipromosikan oleh seorang profesor sastera. Semua ini adalah kesan kemunculan Si Tanggang dalam sastera Melayu moden, yang diterima sebagai kelainan seorang sasterawan negara. Kalau ini bukan sejenis kecelakaan budaya, maka apakah yang kita ingin panggil? Seperti yang saya tegaskan dalam blog ini, apabila sarjana dan sasterawan menerima Machiavelli korup sebagai panduan mereka, maka mereka tidak peduli lagi kepada konsep ilmu yang benar dan pentingnya memahami sumber ilmu dalam Islam.  Dalam hal ini, kata telah membawa mereka ke gaung kekeliruan yang akhirnya melahirkan  manusia yang cetek meraba-raba, yang keliru konsep ilmunya dan akibatnya mereka adalah golongan yang kehilangan adab.  Maka lahirlah pemimpin palsu dalam masyarakat, dan sarjana palsu dalam bidang akademik. Dalam sastera Melayu inilah golongan sarjana ciritan.  Dalam bidang kreatif mereka adalah sasterawan picisan, yang di dalamnya tergolong juga para sasterawan negara yang terang-terang menolak konsep ilmu yang benar dan tidak menerima sumber ilmu itu mutlak daripada al-Quran.  Kesimpulan ini diambil daripada karya mereka dan juga daripada sikap mereka terhadap ilmu. Perbincangan mengenai kesimpulan ini dibuat dalam beberapa entri yang boleh dirujuk dengan senang. Sebagai pembaca yang kritis, anda harus meneliti semua hujah dan bukti yang dikemukakan dengan cermat dan objektif.

Bagi golongan yang keliru dan cetek meraba-raba ini, mereka menggunakan angka untuk menegakkan kepalsuan mereka, dengan membuat penegasan bahawa mereka adalah golongan majoriti yang mewakili arus perdana dalam sastera Melayu. Dalam konteks mereka, “sastera” seperti yang mereka fahami dan praktikkan, memberi mereka hegemoni dalam perkembangan budaya, seperti yang mereka tegaskan dalam judul buku mereka, Sastera Teras Negara Bangsa. Secara khusus, tetapi dilihat dalam konteks teori Barat sepenuhnya,  Dr. Mohamad Saleeh Rahamad telah menulis tentang hegemoni seperti yang difahami oleh Foucault yang menurutnya itulah juga yang perlu dilakukan dalam budaya intelektual Malaysia. Semua penghujahan beliau adalah keliru dan palsu, tidak berasaskan konsep ilmu yang sudah lama dikenali oleh para ulama dan cendekiawan Melayu sejak beratus tahun, dalam tulisan-tulisan mereka ketika membina persuratan Melayu berasaskan ilmu yang benar menurut al-Quran. Apakah yang mendorong beliau tidak menyebut hakikat ini hanya boleh difahami dalam konteks kekeliruan dalam konsep ilmu, yang akhirnya membawa beliau dan rakan-rakannya dalam kumpulan yang cetek meraba-raba, yang kehilangan adab.  Bagi mereka kehilangan adab adalah satu keistimewaan, sebagai bukti bahawa mereka tidak lagi berfikiran cara lama, malah sebaliknya anggota zaman global yang universal. Itulah yang ingin dicapai oleh para sasterawan dan sarjana sastera. Menurut mereka, yang universal dan global itu ialah dengan menjadi pengikut setia teori sastera Barat dan tidak ketakutan berada dalam dunia pascamodern.

Tentulah sangat aneh, dan biadab, jika budaya kehilangan adab ini mahu dijadikan teras negara bangsa.

Dalam penjelasan ringkas tentang peranan angka dan kata ini kita sudah melihat bagaimana korupsi intelektual, jenis Machiavelli korup yang menjadi pegangan para sarjana sastera yang ciritan dan para sasterawan yang picisan, diseleweng begitu rupa untuk menolak persuratan Melayu yang berasaskan ilmu itu daripada dijadikan teras negara bangsa, yakni teras yang sebenarnya, yang memang telah sedia ada.  Tentulah anda akan tertanya-tanya, mengapa kumpulan yang keliru dan cetek meraba-raba ini anti-ilmu dan anti-Melayu. Jawapannya diberikan oleh Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh, sasterawan negara: “Aku sudah belajar/jadi kurang ajar”. 

Sebagai perbandingan, saya tutup dengan kata-kata Machiavelli ini:

“Men are infamous and detestable who are destroyers of religion, squanderers of kingdoms and republics, and enemies of the virtues.” (Dikutip oleh Maurizio Viroli (2008) di kulit belakang  bukunya,  Machiavelli.

Mohd. Affandi Hassan,

Petaling Jaya, 1 Mac 2017.