Catatan: Ini adalah
entri terakhir tahun 2017. Tahun ini amat bersejarah bagi sastera Melayu kerana
telah diulang cetak Pujangga Melayu
dan diterbitkan Hikayat Salim Adil,
sebuah karya paling unik pernah ditulis dalam sastera Melayu. Sebelum itu
(2016) diterbitkan Pandirisme Dalam
Komuniti Dunia yang membicarakan dengan mendalam aspek kedangkalan yang
dibincangkan di sini. Semuanya diterbitkan oleh Klasika Media.
Para penilai
sastera Melayu menyanjung tinggi kedangkalan (dalam bahasa akademik disebut
cetek meraba-raba) dalam bentuk apa pun kerana kedangkalan itulah yang mereka
maksudkan dengan kelainan yang memang dicari-cari. Inilah yang dimaksudkan oleh Panel Anugerah Sastera
Negara ketika memuji karya Anwar Ridhwan dan lain-lain sasterawan negara.
Masalah besar yang sering saya bangkitkan ialah, adakah ukuran itu benar-benar
menyerlahkan keistimewaan karya para sasterawan negara? Saya dengan tegas
mengatakan tidak. Penegasan itu tidak bermaksud untuk mengugut sesiapa supaya
bersetuju dengan saya. Malah dalam hal
ini, saya dengan senang hati menyerahkan karya saya sendiri untuk dinilai
sehabis kritis berasaskan ukuran yang jelas, dan pada waktu itu juga karya para
sasterawan negara ini pun dinilai mengikut ukuran itu. Tujuannya ialah untuk
menentukan karya para sasterawan negara itu memang bermutu tinggi dari segenap
segi ukuran yang digunakan, jauh mengatasi karya saya sendiri baik novel,
cerita pendek, sajak mahu pun tulisan akademik sebagai seorang pengkritik
sastera. Hanya dengan berbuat demikian saja kita akan melihat kegemerlapan
karya para sasterawan negara dan dengan itu menentukan tanpa ragu bahawa para
sasterawan negara itu memang layak mendapat gelaran itu. Kerjanya cukup mudah,
oleh itu amatlah aneh apabila tiada sesiapa di kalangan para sarjana yang
bersedia melakukannya. Padahal inilah yang kita tunggu-tunggu. Seperti yang
saya buktikan, berasaskan laporan Panel Anugerah Sastera Negara sendiri,
penilaian Panel terlalu banyak yang cacat dan tidak tepat. Saya telah
mengumpulkan sebahagian daripada pandangan saya dalam satu dokumen berjudul,
“Kita Tidak Perlukan Sasterawan Negara”. Jika anda mahu, anda boleh membaca
dalam beberapa perpustakaan universiti, terbaru di Universiti P. Ramlee.
Kita
menunggu sanggahan para sarjana ini, yang cukup senang mereka dapat lakukan
kerana dokumennya telah ada untuk mereka koyak secara akademik. Dengan
mendiamkan diri, mereka jelaslah tidak bertanggungjawab kepada ilmu dan nilai-nilai
akademik yang memang bidang mereka. Adakah ini bermakna universiti kita dihuni
oleh ahli-ahli akademik yang diragui keupayaan akademiknya yang memang rendah
dan bidang itu tidak dikuasai dengan mendalam?
Saya telah mendedahkan semua karya saya dan keupayaan akademik dan
intelektual saya untuk dinilai mereka dengan kritis, kerana dengan berbuat
demikian saja mereka dapat membuktikan keunggulan para sasterawan negara ini
dan memang tepatlah mereka diletakkan di takhta keunggulan.
Pada waktu
kita sudah mempunyai beratus sarjana yang
telah membuktikan mereka layak digelar sarjana dengan kelulusan yang
mereka perolehi dalam tesis kedoktoran mereka, maka amatlah tidak wajar jika
mereka bersikap terlalu angkuh untuk mengerjakan kajian dan penilaian yang
paling kritis ke atas para sasterawan negara ini supaya masyarakat tidak
tertipu untuk menerima para sasterawan picisan dan karya picisan sebagai kemuncak
kecemerlangan sastera Melayu, padahal
penelitian yang kritis memberikan keputusan yang sebaliknya. Ini adalah cabaran akademik yang besar, yang
tujuannya untuk menyelamatkan dunia akademik kita daripada sebarang unsur
penipuan supaya setiap penulis yang mereka nilai boleh dipertahankan dengan
mudah kerana ukuran yang mereka gunakan boleh diuji dengan mudah dari perspektif
ilmiah, sebagai ukuran yang objektif dan tepat. Tidakkah inilah yang kita
kehendaki dalam dunia akademik kita? Tidak wajar kita meneruskan usaha mengelirukan
para pelajar untuk menerima para sasterawan negara yang picisan dan karya
mereka juga yang picisan sekiranya dinilai daripada perspektif ilmu dan
pemikiran.
Kedangkalan,
mediocrity, yang terjelma dalam
konsep pandirisme yang kini dijadikan arus perdana, memerlukan perubahan
radikal dari perspektif akademik yang disandarkan kepada konsep ilmu yang
benar, bukan disandarkan kepada teori Barat yang sentiasa berubah untuk terus
relevan, sedangkan konsep ilmu yang benar yang diajarkan oleh al-Quran tetap
utuh sepanjang zaman dan boleh digunakan dengan mudah serta meyakinkan untuk
menilai sumbangan para penulis kita. Adalah amat ironik, ketika Prof. Emeritus
Dr. Muhammad Haji Salleh telah mengherdik
(menggunakan istilah Mana Sikana, murid Muhammad Haji Salleh) para sarjana yang
menggunakan teori Barat untuk menilai karya sastera Melayu yang berbeza dari
segi nilai-nilai budaya dengan nilai-nilai Barat (baca penegasan beliau dalam
ucaputamanya ketika merasmikan satu seminar besar bertaraf Nusantara, yang diadakan di DBP 22-24 Mac 2005, “Seminar
Teori dan Kritikan Sastera Melayu Serantau II”, yang memberi fokus perbincangan
secara khusus bertemakan “Teori Asas Pengukuhan Sastera Melayu Serantau”. Sebuah buku prosiding seminar berjudul Teori dan Kritikan Sastera Melayu Serantau
telah diterbitkan oleh DBP, disunting olah
Hajijah Jais dan Muhammad Ikhram Fadhly Hussin (DBP 2005). Buku ini penting kerana dalam seminar dan
dalam buku inilah Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh, seorang sasterawan
negara yang dihormati, telah meletupkan bom akademiknya dengan memberitahu
peserta seminar dan seluruh dunia kata-kata yang berikut:
“Pertamanya
sudah puluhan tahun kita menggunakan teori yang muncul di Barat untuk menilai
diri kita yang bukan Barat, sebaliknya dibentuk oleh bahasa Melayu dengan wataknya yang khusus pula. Jadi kita
sudah lama telah melakukan kesalahan dalam menilai karya kita, kadang-kadang
termasuk saya sendiri. Kedua, teori sastera belum dituliskan secara menyeluruh
dan cukup mendalam.
Saya kira
dalam hal ini sastera moden sudah menjadi subjek setia kepada perubahan dan
sebuah teori untuknya harus disediakan. Tapi yang lebih meruncing ialah sastera
lisan dan tradisional yang masih belum dikaji secara mendalam dan mulai
dilupakan. Di sinilah terletak pemikiran sastera yang unik, yang berakarkan
budaya dan watak bangsa kita. Dan saya kira sudah menjadi tanggungjawab
intelektual dan moral pengkaji kita untuk menuliskannya.” (hal. 14-15).
Itu ucapan
beliau dalam tahun 2005. Kita lihat ucapan beliau dalam tahun 2014 (kiralah
sendiri berapa lama jaraknya) dalam satu pertemuan besar seluruh ahli akademik
dan sasterawan kelas pertama yang berkumpul di sebuah padang golf di Kedah, untuk
mereka bermain “golf sastera”, bukan membicarakan peranan ilmu dalam perkembangan
kreatif di Malaysia. Setelah memuji dirinya begini (“Saya agak lama tidak
menjadi pentadbir atau perancang, jadi agak sulit untuk menempatkan diri saya
dalam keadaan yang demikian. Namun begitu, saya sering menulis cadangan untuk
perancang – sebahagian besarnya terselit di antara huruf dan dakwatnya dan
setahu saya ramai yang cuba mencungkilnya dan mempertimbangkannya”, perenggan
pertama kertas beliau), maka beliau
pun berkatalah dengan kesal, “Berikanlah
waktu secukupnya supaya penyelidikan dapat dibuat dan ideanya juga mungkin
dapat mematang. Karya yang baik memerlukan waktu dan juga penyelidikan yang
luas dan rumit.” (hal 206)
Berapa lama
masa yang beliau perlukan? Dijawabnya
begini: “Kritikan ialah satu sayap yang sudah patah – sebahagiannya dipatahkan
orang gasang dan tidak berbudi sastera, yang menulis dengan kata-kata racun dan
kebencian, tanpa etika dan maruah diri atau hormat terhadap penulis lain.” (hal
206). Persis inilah yang beliau sendiri
lakukan, dengan penuh kesombongan dan perasaan hasad yang melimpah ruah dalam
dirinya, dia berkata sambil memuji dirinya: “Saya menginginkan suatu kritikan
yang dipupuk kembali menjadi bidang yang
bermoral, beretika, bertanggungjawab, dan juga membantu penulis berkembang.”
Persis itulah yang dibuatnya, walaupun beliau dengan angkuh memberi nasihat
kepada orang lain, “Penulis juga harus belajar menerima kritikan dan belajar daripadanya”. Adakah beliau berbuat seperti nasihat dan
tempelaknya kepada orang lain? Tidak. Sebaliknya dia memuji sahabat karibnya:
“Kembalilah mencari contoh daripada Goenawan Mohamad dan Baha Zain.” Apakah yang boleh kita pelajari daripada dua
orang jurnalis yang memang menulis karya mereka secara jurnalistik? Khusus tentang
Baha Zain. Mana buku beliau yang boleh menandingi Gagasan Persuratan Baru (cetakan pertama 2008; edisi kedua
2014)? Tentulah amat tidak pantas untuk
memperlekeh Baha Zain begitu rupa, kononnya Baha Zain itu contoh pengkritik
sastera terbaik, tanpa menulis sebarang buku yang berkualiti, yang
sekurang-kurangnya boleh menandingi Gagasan
Persuratan Baru yang tebal itu.
Tidak ada sebab untuk Prof.
Emeritus Dr.
Muhammad Haji Salleh mengejek Baha Zain sedemikian padahal beliau sendiri tahu
Baha Zain tidak menulis buku seperti beliau. Ada tidaknya buku Baha Zain yang
terbit ialah kumpulan tulisan jurnalistiknya yang dikumpul dan diberi pengantar
oleh Prof. Dato’ Rahman Shaari, yang amat disanjung oleh Baha Zain lalu dimasukkannya
dalam blognya, dan inilah saya salin pujian beliau ke atas dirinya dalam
kata-kata Prof. Dato’ Rahman Shaari: “… Baharuddin Zainal ialah pengkritik
sastera yang cukup berjaya. Ia sebenarnya
berjaya akibat daripada sikap
berhati-hati yang ada padanya, dan sikap itu sentiasa dipeliharanya. Sikap
berhati-hati itu menyebabkan kritikannya kerapkali mengandungi isi yang bernas,
dan isi itu disampaikan melalui bahasa yang kreatif. Elok saya tegaskan, bahawa
tidak besar jumlah pengkritik sastera yang berkeupayaan membina bahasa yang kreatif”. (Prof. Dato’
Rahman Shaari, “Baharuddin Zainal Pengkritik Sastera dan Penyair”, dalam Esei dan Puisi Baha Zain (2000). Saya ambil kutipan ini daripada blog Baha
Zain, untuk menunjukkan bahawa beliau, seperti sahabatnya, amat senang dengan
pujian walaupun pujian itu dilahirkan dalam gaya tulisan seorang pelajar, bukan
seorang sarjana walaupun dia bergelar profesor! Prof. Emeritus Dr. Muhammad
Haji Salleh yang mengaku dia silap kerana menggunakan teori sastera Barat,
akhirnya tunduk kepada teori Barat apabila beliau meminta muridnya menulis
kertas kerja tentangnya dalam Seminar Pemikiran SN Muhammad Haji Salleh supaya
menulisnya “baik-baik” dan dengan setia disanggupi Dr. Siti Hajar. Adakah ini tabiat akademik yang lumrah?
Pesanan begitu tidak perlu dalam keadaan normal, tetapi penting bagi sesiapa
yang sukakan pujian dan sanjungan.
Mungkin inilah makna sebenar “pengkritik gasang” yang ditempelak oleh
sarjana besar ini.
Sewaktu
Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh mengherdik pengkritik tidak bermoral
dan sebagainya itu (lihat balik kata-kata beliau di atas), sudah tercokol di
depan matanya beberapa buah penerbitan penting mengenai Gagasan Persuratan
Baru, satu-satunya gagasan yang berupaya menyanggah sebarang teori Barat.
Kalaulah sarjana besar ini jujur kepada bidangnya, dia tentulah berterima kasih
kepada seorang yang dipanggilnya “anjing kurap” yang mencetuskan gagasan itu.
Apa sudah jadi? Tidak mungkin sejarah akan memihak kepada beliau; malah dalam
keadaan sekarang pun kewibawaan beliau sebagai sarjana amat diragui. Saya telah
membincangkannya dalam sebuah buku ketika mengkritik syarahan perdana beliau.
Sila rujuk dan baca dengan kritis buku saya Medan-medan
Dalam Sistem Persuratan Melayu (Kota Baharu, 1994; terutama halaman 23-28).
Lebih baik jika beliau menelaah Gagasan
Persuratan Baru, edisi ke-2. Banyak
yang beliau boleh pelajari di situ, tentang dirinya dan sahabat baiknya;
tentang teori sastera Barat; dan tentang keadaan sebenar dunia akademik sastera
Melayu. Semua pandangan ini terbuka luas untuk disanggah, tetapi nampaknya para
sarjana belum lagi mendapat ilham. Atau lebih tepat, mereka menghadapi
ketakutan akademik apabila mereka sedar mereka tidak berupaya menyanggahnya,
kerana sekiranya dibuat tanpa tunjangan ilmiah, usaha mereka akan diketawakan
oleh dakwat dan pena yang mereka gunakan, seperti yang disebut Prof. Emeritus
Dr. Muhammad Haji Salleh ketika memuji dirinya dalam kutipan yang diberikan di
atas. Bagaimana dengan kualiti
persajakan Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh sendiri. Sajak-sajak beliau
tidak boleh mengatasi sajak-sajak T. Alias Taib dan Nawawee Mohamad; tidak
sebuah pun sajak beliau boleh digolongkan sebagai sajak falsafah, seperti yang
dihasilkan oleh Prof. Wan Mohd Nor Wan Daud dalam dua buah antologinya, Mutiara
Taman Adabi: (Sebuah
Puisi Mengenai Agama, Filsafat dan Masyarakat)(2003), dan Dalam Terang: (Sebuah Puisi
Mentafsirkan tuntutan Amanah yang diterima Insan serta Peranan Ilmu dan Akhlak
dalam Masyarakat.) Pensajak ini menulis
sajak-sajak perjalanan, sajak-sajak jurnalistik berupa pemerhatian sepintas
lalu. Saya pernah membangkitkan perihal “azan merayau” di Kaherah. Saya tidak
mahu menambah komentar saya kerana tidak perlu.
Kepada
sarjana dan sasterawan, sekiranya anda malas membaca buku tebal seperti Gagasan Persuratan Baru edisi ke-2, anda
boleh dekati sebuah karya persuratan yang baru saja diterbitkan, Hikayat Salim Adil. Karya ini merangkum tiga genre, seperti yang
dijelaskan dalam entri bertarikh 22 November, 2017, berjudul “Hikayat Salim Adil: Sebuah Autobiografi
Intelektual”. Karya ini merevolusikan
gaya penulisan kreatif dalam persuratan Melayu (boleh juga dalam sastera
Melayu), dengan mengadun aspek kreatif
(cerita) dengan aspek wacana (pemikiran)
dalam satu kesatuan yang kompak yang boleh dibaca dalam bentuk cerita,
kritikan sastera, dan penerokaan aspek pemikiran politik dan perkembangan
nilai-nilai baru dalam masyarakat. Hikayat
Salim Adil adalah sebuah satira
intelektual yang belum lagi dicuba oleh mana-mana sasterawan negara kerana
kemampuan untuk berbuat demikian belum lagi dimiliki oleh para sasterawan
negara. Mungkin mereka boleh belajar daripada Hikayat Salim Adil ini, terutama sekali jika yang berminat itu
Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh, Baha Zain dan Prof. Dato’ Rahman
Shaari. Yang ketiga ini meremehkan PB
sebagai satu pendekatan mudah yang boleh dikerjakannya jika nanti dia terdorong!
(Saya fikir beliau tidak akan terdorong, kerana kemampuan kreatif dan
akademiknya terbatas, menjadikan beliau sukar menulis dalam teknik Hikayat Salim Adil). Lebih baik jika anda membaca hikayat ini
bersama Hikayat Buyung Lurus yang
diasaskan daripada style tinju Muhammad Ali.
Belajar daripada orang lain yang lebih cerdik tidak salah, jika anda
tahu bagaimana melakukannya. Siapa tahu anda mungkin muncul sebagai tokoh yang
jauh lebih hebat nanti.
Kepincangan
dunia akademik kita direkodkan dengan jelas oleh Prof. Emeritus Muhammad
Bukhari Lubis dalam syarahan perdana
beliau, Kesusasteraan Islami Bandingan:
Menyingkap Tabir Mengungkap Fikir (Tanjung Malim: Penerbit Universiti Pendidikan
Sultan Idris, 2017). Saya rujuk kepada satu peristiwa yang amat aneh bagaimana
boleh berlaku di sebuah universiti yang tumpuannya memberi ajaran yang betul
dengan jujur dan ikhlas untuk mendidik para pelajarnya menjadi cerdik,
tiba-tiba berlaku perkara yang memeranjatkan tikus di bumbung bangunan
universiti sekali pun. Menurut Prof.
Bukhari, ada seorang murid Mana Sikana bernama Ma’mor bin Yusof, menulis tesis
Ph.D. yang diselia oleh Mana Sikana, tajuknya “Penerapan Unsur-unsur Islam
Aqidah, syariah dan tasawuf dalam novel Mahabbah,
Ayat-ayat cinta dan Dunia bukan kita punya berdasarkan Teori
Taabudiyyah (sic) dan Teksdealisme
(nota no. 9, hal 71 syarahan perdana beliau.) Tesis itu bertarikh 2016; oleh itu tidak
pasti sudah siap atau masih dikerjakan. Prof. Emeritus Bukhari memberitahu, beliau
dilantik sebagai Penyelia Bersama II, manakala Penyelia Bersama I ialah Mana Sikana
yang menelurkan apa yang beliau panggil “teori”
yang dijadikan rujukan tesis. Kerana Prof. Bukhari tidak menerima
“teori” Ta’abudiyyah, beliau menarik diri dan diterima dengan baik oleh
pencetus “teori”.
Prof.
Emeritus Bukhari memberi komennya seperti berikut: “Dalam pengamatan saya, ada juga pandangan
yang tidak boleh dikatakan gagasan apatah lagi teori. Sejak saya mendengar
frasa Teori Ta’abudiyyah, saya berat menerimanya. Istilah yang mendukung teori
itu terlalu umum. Istilah ini boleh digunakan dalam sebarang aspek atau
tindakan, atau banyak perkara yang boleh
dilakukan dengan senang, dikira demi menjalankan ibadat, sehingga
menyembelih ayam mengikut rukun-rukunnya boleh dikatakan ta’abbudi (kepatuhan demi
melakukan ibadat). Sebenarnya, pencetus teori sendiri, Mana Sikana, mengaku
bahawa frasa nama teori itu dicadangkan pada tahun 1998 (setelah dimatangkan
dalam menyambut galakan memperkenalkan pendekatan KI pada awal tahun 1970-an),
demi mengelakkan pertindihan dengan Teori Takmilah janaan Shafie Abu Bakar
(Mana Sikana 2013 dalam bukunya Dari
Barat ke Timur: Teori dan kritikan sastera. DBP 2013). Bagi saya prinsip yang menunjang teori ini
longgar.” (hal. 19-20 syarahan perdana.
Huruf tebal dalam asal). Prof.
Emeritus Bukhari memberi perhatian serius kepada Gagasan Persuratan Baru dalam
syarahan perdananya (rujuk hal. 15-18) dengan komen berikut (permulaan komentar
beliau), “Gagasan yang bernama Persuratan Baru (PB) ini agak teperinci sudah
tentu hasil perahan pemikiran yang bukan
sedikit dan tidak terhasil dalam masa yang singkat. Mohd. Affandi yang mencetuskan idea-idea
bernas di sekitar gagasan ini, awal-awal lagi empat unsur atau dasar yang menulangbelakangi
PB. (hal. 15). Sifat objektif beliau wajar
diikuti oleh para sarjana lain yang menentang PB tanpa alasan.
Mengenai kejanggalan
Teksdealisme ini, saya hanya ingin menambah sedikit catatan tentang percanggahan Ta’abbudiyah dengan Teksdealisme. Sebenarnya,
Teksdealisme bukan teori, tidak ada syarat-syarat utama sesebuah teori (saya
telah huraikan ini dalam entri lain lama dahulu), tetapi hanya sejenis ciplakan
dari Harold Bloom yang memang digilai oleh Mana Sikana yang secara semberono memuntahkan istilah
Harold Bloom dalam beberapa buah tulisannya di Utusan Malaysia, sehingga diberi komen yang sangat keras oleh
seorang penulis yang memakai nama K. B.
Tan, “Antara Ilmu dan Retorik Kosong” (Dewan
Sastera, Mei 1997, hal. 56). Beliau memberi senarai panjang betapa
istimewanya kualiti akademik Mana Sikana sehingga beliau sendiri tidak faham
istilah itu. Pengalaman saya membaca Mana Sikana meyakinkan saya beliau memang
tidak faham bahasa Inggeris, apatah lagi bahasa Inggeris Harold Bloom! Salah satu istilah Bloom yang terkenal ialah misprision. Mahu tahu maknannya tanya
Mana Sikana kalau-kalau dia tahu. Istilah ini penting kerana ia menggambarkan
sesuatu yang amat lucu di kalangan para sarjana. Teksdealisme adalah misprision dalam sastera Melayu!
Tetapi ini tidak penting. Yang penting ialah teksdealisme adalah ajaran
mulhid, diilhamkan oleh golongan ateis di Barat, yang menolak Tuhan. Bagaimana
teksdealisme boleh digandingkan dengan ta’abbudiyah? Sesiapa juga yang
menggandingkannya mestilah seorang yang sudah hilang akal, sudah gila
bahasa! Kita tunggu tesis Ph.D. Ma’mor bin Yusof yang diselia oleh Mana
Sikana. Kritikan saya tentang
teksdealisme boleh dirujuk dalam dokumen yang agak tebal yang saya kirim kepada
Perpustakaan UPSI kira-kira tiga tahun dulu (kalau tak salah ingatan
saya). Tujuan dokumen itu ditulis untuk
memberi amaran kepada para pelajar UPSI bahawa mereka sedang berada dalam
“neraka akademik” jika mereka tidak faham teksdealisme. Sudah jelas Encik
Ma’mor bin Yusof tidak lihat dokumen itu.
Tolong pergi cari di Perpustakaan dan cepat-cepat baca supaya anda tidak
terjun dalam “neraka akademik” yang disedari oleh orang seperti K. B. Tan.
Dokumen itu bertajuk, “Teksdealisme Lambang Pandirisme dalam Kritikan Sastera
Melayu”. Saya harap Encik Ma’mor bin
Yusof segera membaca dokumen itu supaya tesis Ph.D. anda berpeluang untuk
diberi sedikit kualiti akademik seperti yang ditekankan oleh Prof. John E.
Ellis yang saya kutip dalam entri bertarikh 1 Jun, 2015: “Teksdealisme Lambang
Pandirisme dalam Kritikan Sastera.”
Lain-lain entri yang perlu anda rujuk bertarikh 22 Mei, 2015:
“Pandangan Kritis Tetapi Positif Terhadap Teksdealisme Mana Sikana yang
Gagal Sebagai Kaedah Kritikan.” Lihat juga entri bertarikh 19 MAC, 2015:
“Cabaran Pandirisme dalam Kegiatan Intelektual.” Seterusnya yang paling lucu
tetapi penting, entri bertarikh 19
April, 2015: “Mana Sikana Penulis Sasterawan Negara di Takhta Keunggulan:
Kegagalan Teksdealisme Memahami Makna Keunggulan Sejati.” Sebenarnya wajah teksdealisme sangat buruk,
tidak layak dijadikan rujukan dalam penulisan tesis peringkat mana sekali pun.
Banyak
perkara pelik dalam dunia akademik sastera Melayu ini. Perhatikan seterusnya.
Adakah
Muhammad Haji Salleh seorang sufi selepas beliau memanjat bumbung kilang
berkarat untuk beruzlah sambil bertapa mencari ilham? Orang Kelantan akan jawab mudah saja,
“Kapur!” Kalau anda tidak tahu maknanya,
cuba tanya penulis Kelantan yang cerdik (jangan tanya yang bodoh, dia pun tak
tahu), tentu dia akan tertawa. Siapakah
sasterawan sufi? Menurut Panel Anugerah Sastera Negara sasterawan sufi itu
ialah Kemala. Anda percaya? Jawapannya sama saja, “Kapur!” Amatlah aneh jika Kemala itu seorang pensajak
sufi. Panel Anugerah Sastera Negara sendiri mengejek
Kamala dengan membuat kesimpulan begini, “… Kemala berani menggunakan alusi
daripada budaya lain seperti rujukan kepada Mark Anthony (sic) dan Cleopatra.” (laporan ke 11 tahun 2012, hal. 20.).
Ejekan Panel sangat dahsyat, jika anda tahu hakikat sebenarnya alusi itu
seperti yang diberikan oleh Allan Bloom (pengarang The Closing of the American Mind yang sangat terkenal di Malaysia
satu ketika dulu) dalam bukunya, Love and Friendship (New York: Simon @ Schuster, 1993), yang
memberitahu kita: “Antony and Cleopatra
are enchanted with each other and unabashedly want to have sexual intercourse
with each other as much as possible” (hal. 304). Itukah perangai ahli sufi? Sungguh kejam
sindiran Panel, jika mereka tahu. Jika mereka tidak tahu, sangatlah malang bagi
Kemala. Dan menjadi bahan ketawa seluruh pembaca dalam dunia, bukan saja di
Malaysia. Adakah kedua-dua pihak bodoh sebenarnya, Panel dan Kemala? Tidak. Mereka hanya jahil tentang makna sufi yang
sebenarnya. Itulah kualiti ilmiah anggota Panel Anugerah Sastera Negara! Adapun akan Kemala, dia menulis tentang
Antony dan Cleopatra ketika sedang mabuk cinta, bukan kerana fana dalam
makrifat kesufiannya. Seperti manusia
lain yang normal, kehidupannya yang sunyi itu dihiburkan oleh perkenalan dengan
seseorang yang amat menghargainya hingga mereka jatuh cinta, berkahwin dan
khabarnya bercerai (satu tragedi pula!).
Maklumat ini perlu dibetulkan jika tidak tepat, supaya tidak timbul
fitnah yang tidak perlu.
Cerita ini
sepatutnya tidak timbul jika Panel Anugerah Sastera Negara tidak membuat
kesilapan besar dalam pujiannya terhadap Kemala. Saya bersimpati dengan Kemala,
yang terpaksa menanggung malu gara-gara kenakalan Panel Anugerah Sastera
Negara.
Perkara-perkara
seumpama ini biasa saja dalam kehidupan seorang sasterawan, oleh itu tidaklah
menghairankan, walaupun mungkin agak aneh bagi yang tidak biasa membaca kisah
hidup pengarang dunia yang lebih pelik dan kadang-kadang lucu. Beberapa contoh sekadarnya. Flaubert mengambil
kekasihnya dengan kereta kuda dan melakukan persetubuhan tiga kali di atas
kereta kuda sebelum sampai di rumahnya.
Victor Hugo suka mengintai pelayannya mandi. Seorang tokoh German yang serba boleh ketika
berjalan terjumpa dan berkenalan dengan seorang tukang jahit muda, dua hari kemudian perempuan itu melawat tokoh
serba boleh itu di biliknya dan melakukan persetubuhan, kadang-kadang sampai
lima kali sehari (menurut catatan tokoh itu sendiri), dan mereka selama dua
tahun berkenalan melakukan persetubuhan 583 kali. (Peter Watson, The German Genius (sebuah
buku yang terkenal di kalangan golongan intelektual), bab 26. Jadi tidak hairanlah jika Kemala menemui Mark
Antony dan Cleopatra yang dipuji oleh Panel Anugerah Sastera Negara telah
membawa Kemala ke persada antara bangsa kerana menyebut Mark Antony dan
Cleopatra dalam sajaknya. Anda boleh
fikir sendiri betapa seriusnya, atau lucu, mereka ini. (Saya rujuk Panel yang
memuji Kemala.)
Kelucuan
Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh lebih intelektual dan lebih bersahaja.
Saya pernah mendengar dia memuji Prof. Amin Sweeney sebagai Amin Swineny (swine adalah babi peliharaan yang lembut
dagingnya, berlainan dengan hog yang
liar dan dijadikan ungkapan hogwash
dengan maksud bullshit! Prof. Syed Naquib al-Attas yang pernah
menjadi ketuanya di ITBBM dipanggilnya Si Arab!
Saya sendiri, seperti sudah diketahui, adalah “anjing kurap” (menurut
laporan Dr. Fatimah Busu dalam bukunya.)
Semua ini disebut in good faith,
sebagai penghormatan dengan menggunakan perkataan yang menghina sebagai bukti
betapa rapatnya hubungan kemanusiaan Sang Tokoh dengan orang yang
ditempelaknya. Dunia orang cerdik,
begitulah. Jadi tidak hairan jika Panel
Anugerah Sastera Negara memuji Kemala kerana memberi penghormatan kepada Mark
Antony dan Cleopatra, yang telah mengangkatnya menjadi tokoh global.
Cara saya
jauh berbeza, sekiranya anda membaca sajak saya “Al-Andalus” dalam Pujangga Melayu. Masing-masing dengan “kelebihannya”! Ada yang kurang “kelebihannya”, ada yang
melimpah ruah kelebihannya seperti para sasterawan negara. Itulah dunia…
Walaupun
saya menulis tentang kedangkalan dalam sastera Melayu, contoh-contoh dari Barat
yang saya sebut itu bukanlah mengenai tokoh-tokoh yang dangkal, malah amat
terkenal di Barat. Jika hal ini berbeza dengan pengalaman kita, maka itulah
kelebihan kita: menerima kedangkalan sebagai ciri sastera dan ciri budaya
intelektual kita. Ini bukanlah perkara aneh, kerana sesungguhnya prinsip kedangkalan itulah yang menjadi teras
pemilihan para sasterawan negara seperti yang dibuktikan dengan jelas dalam
laporan Panel Anugerah Sastera Negara, yang saya kupas dalam dokumen yang saya
rujuk di atas.
Mohd.
Affandi Hassan,
Petaling
Jaya, 29 Disember 2017.