Tuesday, September 20, 2011

INSTITUT PERSURATAN BARU


Wajarkah ditubuhkan Institut Persuratan Baru supaya gagasan Persuratan Baru diberi kemudahan yang akan  membolehkannya lebih senang didekati? Idea itu nampaknya bagus, tetapi pelaksanaannya tidak semudah mencadangkannya. Tidak perlu wang atau apa-apa kemudahan, tegas teman yang mencadangkannya. Hanya diperlukan daya kreatif  untuk menggunakan “kemudahan maya” yang sedia ada dan boleh digunakan bila-bila masa saja oleh sesiapa sekali pun. Apakah yang dimaksudkan dengan “kemudahan maya”?  Iaitu menggunakan teknologi maya yang luas terbuka untuk dimanfaatkan oleh sesiapa juga yang ingin mendapat manfaatnya.  Kedengarannya mudah, tetapi bagaimana? Dunia maya sekarang sudah tersedia untuk dimanfaatkan oleh sesiapa saja yang mempunyai daya kreatif yang akan membolehkannya membina “struktur maya” untuk melancarkan apa juga bentuk aktiviti maya yang boleh dengan mudah dijelmakan ke dunia nyata, tanpa sekatan dan mudah pula diakses di mana-mana sekali pun. Salah satu cara yang amat popular sekarang ialah dengan menggunakan blog, dan dari situ orang atau pengguna boleh menyalin apa juga maklumat yang dipilihnya untuk dijadikan dokumen dan digunakan sebagai rujukan.  Kini sudah ada “percetakan maya”, yang membolehkan seseorang penulis menerbitkan karyanya dalam bentuk e-book. Buku itu boleh dijual, atau diberi percuma. Terpulang. Biasanya diberi percuma. Pendapatan dikutip melalui penggunaan ruang iklan yang tiada batas, tetapi perlu dikawal supaya tidak disalahguna. Inilah cara yang terbuka untuk membina Institut Persuratan Baru. Cara lain ialah membina website sendiri; atau menerbitkan majalah secara online. Macam-macam boleh dibuat, jika kita tahu bagaimana membuatnya.  Pilih saja caranya yang paling mudah  tetapi berkesan, yakni  dapat mencapai matlamat yang ditetapkan. 

Dalam dunia maya yang serba mungkin, Institut Persuratan Baru boleh diapungkan di dunia maya tanpa sebarang halangan. Tetapi saya yang tidak mempunyai kepakaran dalam teknologi maya, kini melontarkan idea ini kepada anda semua  yang berminat dan tahu caranya, untuk  membantu mewujudkan Institut ini. Yang diperlukan sekarang ialah seorang (atau beberapa orang?)  penyelenggara (administrator) yang akan melancarkan Institut ini dan membukanya untuk diisi oleh sesiapa juga yang dengan ikhlas ingin melihat gagasan Persuratan Baru menjadi agenda penting dalam Abad 21. Agenda penting itu ialah menjadikan konsep ilmu yang benar yang dikehendaki dalam Islam dijadikan asas penulisan kreatif, dengan menjadikan taklif sebagai pemacu kreativiti.  Matlamatnya untuk meletakkan manusia kembali sebagai hamba dan khalifah Allah dengan seluruh kesedaran insaniah yang telah menerima janji azali sebagai tanggungjawabnya.  Untuk memastikan tidak ada sesiapa yang tergelincir dari landasan, penyelenggara yang dimaksudkan seeloknya mahir berbahasa Arab dan seorang yang berpengetahuan luas dalam pengajian Islam; di samping itu baik pula bahasa Inggerisnya. Pada waktu ini, tidak sukar mendapatkan tokoh yang dikehendaki itu di Malaysia. Sudah ramai.

“Wahai orang-orang  beriman, mintalah pertolongan (daripada Allah) dengan kesabaran dan dengan berdoa (mengerjakan solat); sesungguhnya Allah bersama orang yang sabar” (Quran,  2: 153).
Semuanya bisa terjadi dengan izin Allah.  Setelah diusahakan.


Monday, September 19, 2011

PENULISAN SEMULA SEJARAH NEGARA VERSI MAJLIS PROFESOR NEGARA


Wujudnya Majlis Profesor Negara (MPN) telah memungkinkan penulisan semula sejarah negara apabila Prof. Dato’ Zainal Kling, mewakili MPN, menegaskan dalam kenyataan akhbarnya baru-baru ini bahawa Tanah Melayu  tidak pernah terjajah, hanya dilindungi oleh British untuk menjaga kepentingan ekonominya yang ketika itu sedang pesat berkembang, setelah Singapura dijual (atau ditipu British untuk dijual) kepada British. Hanya tiga buah negeri saja yang terjajah, yakni Negeri-Negeri Selat: Melaka, Pulau Pinang dan Singapura. Kenyataan ini menimbulkan pelbagai reaksi, yang pada umumnya mempersoalkan kesahihan kesimpulan profesor senior itu.  Beliau telah membuat “pembetulan” baru-baru ini dalam Harakahdaily Online.  (Rujuk Lampiran).

Sama ada beliau silap atau betul tidaklah penting, kerana perkara yang lebih penting ialah persoalan yang ditimbulkan yang sangat kontroversial, antaranya tuduhan bahawa pejuang berlandaskan Islam dan pejuang nasionalis kiri, adalah pengkhianat dan penderhaka kepada sultan atau raja-raja Melayu kerana mereka bercita-cita membentuk Melayu Raya, sebuah republik yang menjadi sebahagian daripada Indonesia. Satu-satunya kumpulan yang boleh digelar pejuang bangsa dan penegak “ketuanan Melayu” ialah UMNO, dengan bukti bahawa para pemimpin UMNOlah yang berjaya “memerdekakan” Tanah Melayu 1957, yang sekali gus memberi kerakyatan penuh kepada kaum pendatang seperti yang disyaratkan oleh British.  Fakta ini selalu disembunyikan, diketepikan dan tidak diungkit kerana akan menimbulkan kemarahan orang Melayu. Dato’ Onn Jaafar, yang dianggap pelopor kemerdekaan (walaupun beliau muncul lewat, itu pun untuk mempertahankan kepentingan bangsawan Melayu dan raja-raja Melayu), menentang keras rancangan jus soli dengan menerbitkan akhbar khas, Mingguan Kritik, untuk menyatakan pendapatnya.  Tetapi UMNO yang sangat intim dengan British dan tidak sabar lagi untuk “mendapat kemerdekaan”, bersetuju dengan  cadangan jus soli  walaupun merugikan orang Melayu yang terpaksa menerima kerakyatan kaum pendatang tanpa tapisan. Itulah kejayaan besar UMNO dalam menambah rakyat Malaysia dengan menerima kaum pendatang secara aotomatik sebaik saja Tanah Melayu diisytiharkan merdeka pada 31 Ogos 1957. Jadi walaupun Tanah Melayu tidak terjajah secara rasmi, menurut Prof. Zainal Kling,  namun dari segi kuasa politik ternyata  British mempunyai kuasa penuh dan boleh memaksa pemimpin Melayu (yang mereka pilih sendiri) untuk menerima cadangan mereka “demi perpaduan negara”.  Walaupun Melayu menerima jus soli,  kaum pendatang yang mendapat “durian runtuh” dengan kemerdekaan Tanah Melayu, tidak dapat menerima “hak-hak istimewa orang Melayu” yang boleh dihapuskan bila-bila masa saja, sedangkan jus soli sudah menjadi sejarah, tidak boleh dipinda lagi walaupun syarat kerakyatan baru sudah dikuatkuasa. Bagaimana kita boleh hadapi kenyataan ini dalam penulisan sejarah baru nanti? Di sinilah pentingnya sumbangan golongan kiri dan para pejuang berlandaskan Islam yang kemudiannya dianggap pengkhianat, seperti yang dilabel oleh British. 

Saya mengalu-alukan penulisan semula sejarah perjuangan para pejuang kemerdekaan, pendekatan mana pun yang diambil.  Jika MPN boleh tulis dalam masa terdekat (mereka mempunyai ramai pakar berwibawa dalam sejarah), tentu sangat baik.  Saya setuju dengan cadangan Prof. Khoo Kay Kim (dalam wawancara B/H 4/9/2011) perlu dimasukkan beberapa perkara yang ketinggalan, bukan tentang tokoh politik dan perkembangan politik saja. Misalnya, tokoh-tokoh pemikir Melayu seperti Syed Muhammad Naquib al-Attas dll, tentang perkembangan dalam sastera dan kritikan sastera,  mesti dimasukkan juga dalam buku  “magnum opus” sejarah Malaysia itu.

Walau apa pun kritikan yang dilemparkan terhadap MPN dalam kontroversi ini, saya fikir MPN kini sudah meletakkan dirinya  sebagai satu organisasi yang perlu diberi perhatian serius. Itu cukup bagus. Kini yang perlu dilakukan ialah menulis dan menerbitkan buku sejarah mengikut versi MPN. Tentu saja Prof. Khoo Kay Kim  boleh membantu, kerana beliau mempunyai  cukup dokumen untuk dirujuk. Yang kurang barangkali dari segi sejarah pemikiran, tetapi kita sudah mempunyai ramai ahli sejarah dalam bidang ini pun.  Buku-bukunya pun sudah ada yang diterbitkan.  Tak ada masalah untuk menulis “magnum opus” sejarah Malaysia itu.  Dari segi perkembangan bahasa, kita ada Prof. Asmah;  cuma kalau dapat  baik sekali jika ada sarjana kita (saya terfikir Dr. Bukhari Lubis) yang boleh menulis tentang sumber-sumber Arab yang dirujuk oleh Za’ba dalam Ilmu Mengarang Melayu dan dalam buku-buku nahunya.  Aspek ini langsung ditinggalkan, sungguh sayang. Saya juga fikir satu bab khusus tentang kegiatan cendekiawan Johor abad 19 dimasukkan. Begitu juga peranan Shah Wali Allah di Kelantan sejak 1930-an hingga kini wajar diberi tempat dalam buku ini.   

 Saya sungguh-sungguh berharap sejarah versi MPN akan menjadi kenyataan, kerana versi ini saya anggap hasil dari pakar sejarah terbaik yang berada dalam MPN. Saya kira kita sudah cukup dewasa, selepas setengah abad "merdeka" (saya harap kita sudah betul-betul merdeka) untuk menilai hasil MPN ini; jika nanti ada perbahasan, kita mempunyai teks untuk rujukan. Ini akan memudahkan saya memperkenalkan idea tentang Dua Mitos Agung itu, kerana masyarakat sudah bersedia untuk memahaminya.  Idea tentang Dua Mitos Agung ini telah saya bayangkan dalam tulisan saya yang dimuat dalam Kedudukan Ilmu Dalam Kesusasteraan: Teori dan Praktis (2010) yang disunting oleh Prof. Ungku Maimmuman Mohd. Tahir.

Apa yang disebut oleh Prof. Zainal itu (saya maksudkan tentang istilah yang beliau pakai)  penting dalam konteks  lingusitik politik/linguistik sosial, dilihat dari segi peranan retorik sebagai pelindung kebenaran (maksud saya ialah retorik yang melindungkan kebenaran, supaya apa juga tindakan akan kelihatan baik dan berguna). Dalam konteks ini contoh paling bagus ialah istilah globalisasi. Inilah istilah yang dipakai untuk imperialisme bentuk pascamoden. Dengan menggunakan istilah itu, ekonomi, pendidikan, politik, ideologi, agama dan sebagainya dijadikan senjata oleh kuasa besar untuk memaksa negara kecil menerima apa juga yang mereka ingin capai mengikut ukuran mereka. Dalam konteks pendidikan, bayangkan bagaimana kalutnya keinginan universiti tempatan untuk naik ke taraf dunia, supaya cita-cita globalisasi itu tercapai: mesti jadi universiti kelas pertama bertaraf dunia. Bahasa Melayu yang sudah agak kukuh menjadi pengantar di universiti, dalam alam globalisasi ini menjadi terpinggir; dan kita kembali menggunakan bahasa penjajah dengan megah. Bagi saya masalah pokok ialah kualiti pemikiran pelajar kita: bagaimana universiti boleh melahirkan pelajar yang pintar berfikir, yang membaca karya dunia dalam banyak bidang, yang boleh bebicara tentang falsafah (tak mengapa tidak mendalam), dan dapat membahaskan pemikiran ahli fikir moden/lama dengan baik. Kenalkah mereka siapa Hj. Agus Salim, tahu apa yang difikirkannya, mengapa dia tokoh besar? Siapa pula Tok Kenali yang tidak berbaju itu, tetapi yang mencetuskan pembentukan Majlis Agama Islam di Kelantan: apakah pengaruh tindakan itu dalam pendidikan?   Saya yakin jika pelajar kita tidak disekat dengan akta, dan mereka diberi input intelektual yang teratur,  mereka akan lebih pintar berfikir dan berbicara, dan lebih pintar berurusan dalam kehidupan moden. Boleh membaca sastera dunia dan faham, kenal ahli falsafah besar dunia. Itulah yang kita harap universiti kita lakukan, bukan menjadi hamba ukuran moden yang mungkin bertentangan dengan keperluan kita.

Melalui PBB, imperialisme dipraktikkan oleh kuasa besar dengan sewenang-wenangnya. Kita harus tulis sejarah kita dalam konteks ini, mengenal dan memahami penjajahan dalam bentuk politik dan budaya, dalam bentuk pendidikan dan agama. Liberalisme agama sekarang adalah hasil globalisasi yang berasaskan imperialisme keagamaan. Bayangkan berapa banyak dana yang diterima oleh tokoh-tokoh ini di Indonesia; dan kini sudah mula bertapak di Malaysia. Sejarah kita harus membuat rakyat kita mengenal erti penjajahan dalam kehidupan manusia moden dan peranan barunya dalam idea globalisasi itu. Jika kita membaca sejarah kita dengan cermat, kita dapat melihat  arah yang terjadi sekarang dengan hanya menggunakan mitos politik yang sudah lama wujud dalam sejarah kita, termasuk dalam pembinaan sejarah baru. Bolehkah ditulis satu sejarah moden kita dalam konteks itu? Saya fikir boleh, dan inilah yang kita perlukan. Kita harus membaca sejarah kita dalam konteks perkembangan dunia moden, dengan itu dapat memahami segala pergolakan yang sedang berlaku sekarang, yang sebenarnya mengubah dengan drastik nilai-nilai kita. Sebagai contoh: kini apabila bercakap tentang konsep ilmu, kita hanya kaitkan dengan sains dan kemajuan dalam bidang sains. Kita tidak boleh mengaitkan lagi dengan dimensi yang lebih asasi, itu ilmu yang boleh membuat kita kenal diri kita dan peranan kita di dunia dan dalam dunia ilmu. Itu telah dilakukan oleh para ilmuan Islam dahulu, oleh para ulama, para penyair kita. Lihat betapa manusia moden berminat hendak mengenal Rumi, Iqbal dll. Kerana mereka berbicara tentang kebenaran yang sejagat, yang paling halus yang memang difahami oleh akal manusia berilmu. Dengan kepercayaan ini, saya masih optimis MPN akan berupaya menulis sejarah kita dalam konteks yang disebutkan (tapi mestilah bukan yang ditulis oleh Prof. Zainal). Saya lihat sudah ada ahli sejarah yang berfikiran seperti yang saya cuba jelaskan. Dan mereka ini sudah bertaraf profesor.  Oleh kerana sejarah itu tentang perjalanan hidup manusia, maka penulisan sejarah harus mencerminkan penggembelingan ilmu. Saya setuju dengan saranan Prof. Khoo Kay Kim dalam wawacancara beliau di Berita Harian. Sejarah kita harus mencerminkan penggembelingan ilmu dan kesannya dalam kehidupan kita. Saya kira MPN mampu melakukannya kerana majlis ini dianggotai oleh orang-orang yang bertaraf pakar dalam bidang masing-masing. Mengapa kita tidak boleh menggunakan konsep penggembelingan ilmu itu melalui MPN?  Dan tulis sejarah kita dalam konteks itu? Dari segi itu, ada hikmahnya perkara ini disebut oleh Mat Sabu, dan diberi reaksi oleh MPN melalui Prof. Zainal Kling.  Rugi rasanya jika kita  biarkan berlalu begitu saja, ketika orang begitu ghairah ingin melihat kesudahannya yang bermanfaat bagi kita semua.  Wallahu a’lam.

LAMPIRAN


Harakahdaily   
http://bm.harakahdaily.net/images/stories/harakahdaily/person/tokoh2/zainal-kling.jpgKUALA LUMPUR, 16 Sept: “Ingin saya tegaskan bahawa saya melihat kehadiran British itu sebagai penjajahan (colonialism) juga dan telah membawa kesan dan natijah yang amat buruk terhadap bangsa Melayu dan golongan-golongan lain,” kata Prof Datuk Dr Zainal Kling.
Namun, jelasnya terdapat sedikit perebezaan antara penjajahan berbentuk 'colony' seperti berlaku di Negeri-Negeri Selat (Singapura, Melaka dan Pulau Pinang), Canada, Australia ataupun malahan India, dengan penjajahan berbentuk 'protectorate' di dalam FMS dan UFMS.
Katanya, ada beza antara konsep 'colony' dan 'protecorate'.
Menurutnya, pada realitinya di zaman British itu, ada beza antara pentadbiran Singapura dengan Kelantan atau Trengganu.
“Bezanya cukup banyak dan jelas dari segi kuasa, pentadbiran dan hubungan luar,” ujarnya dalam tulisan yang diemel kepada Harakahdaily, petang ini.
Tambahnya, walaupun antara 'colony' dan 'protectorate' berbeza tetapi kesan dari pentadbiran 'protectorate' adalah juga penjajahan.
Oleh kerana itu, ujarnya para ahli undang-undang seperti Roland Braddell melihatnya sebagai 'breach of trust' (pecah amanah).
Katanya lagi, para ahli sejarah seperti R. Emerson, melihatnya sebagai 'idirect rule' (pemerintahan taklasung).
“Kedua-duanya penilaian itu adalah melihat kesan pentadbiran British sebagai 'penjajahan' (colonialism) juga,” jelasnya.
Berikut tulisan penuh beliau.
YBhg. Saudara Editor Harakah Daily,
Assalamualaikum dan salam sejahtera. Doa agar saudara dan rakan-rakan di Harakah sentiasa dalam barakah dan sihat sentosa.
Sukacita saya merujuk kepada penerbitan Harakah, Edisi Jumaat, 18-20 Syawal 1432 bersamaan 16-18 September 2011 berkaitan pelbagai berita, ulasan dan pandangan pada halaman N1, N2, N4, N11, N13, N14, F3, F4, F11, F17, N21, N26, N29, yang terdapat di dalam penerbitan pada hari itu.
Saya amat berterikasih dan syukur jika Saudara dapat menyiarkan petikan dari apa yang dirakam dan diedarkan dalam 'Kenyataan Akhbar' dalam persidangan media Majlis Profesor Negara pada Hari Jumaat September 2011 itu. Tujuannya sekadar menjelaskan dan memaklumkan catatan sebenar agar perselisihan pandangan mungkin dapat dibetulkan. Saya akan mengutip edaran Kenyataan Akhbar yang dimaksudkan itu.
Berkaitan isu Tanah Melayu ukan Koloni tetapi Naungan, Kenyataan Akhbar itu ditulis, antara lain, seperti berikut:
"Negeri-negteri Melayu (B- FMS- atau tidak Bersekut - UFMS) tidak pernah menjadi colony atau tanah jajahan British .... Tanah Melayu tidak pernah terjajah (kecuali Pulau Pinang, Melaka dan Singapura) walaupun kesan pentadbiran itu merupakan satu bentuk 'penjajahan' (colonialism)...Penilaian pengkaji sejarah kolonialsme British terhadap perilaku 'penjajahan' British itu disifatkan sebagai 'Breach of trust' (R. Braddell) dan 'indirect rule' (R.Emerson)...Mereka melakukan penjajahan walaupun tidak sahih (illegitimate)."
Dua perkara yang ditegaskan di situ. Pertama, ada beza antara konsep 'colony' dan 'protecorate'. Pada realitinya di zaman British itu, ada beza antara penbtadbiran Singapura dengan Kelantan atau Trengganu. Bezanya cukup banyak dan jelas dari segi kuasa, pentadbiran dan hubungan luar. Kedua, walaupun antara 'colony' dan 'protectorate' berbeza tetapi kesan dari pentadbiran 'protectorate' adalah juga penjajahan. Oleh kerana itu, para ahli undang-undang seperti Roland Braddell melihatnya sebagai 'breach of trust' (pecah amanah). Para ahli sejarah seperti R. Emerson, melihatnya sebagai 'idirect rule' (pemerintahan taklasung). Kedua-duanya penilaian itu adalah melihat kesan pentadbiran British sebagai 'penjajahan' (colonialism) juga.
Dengan demikian, ingin saya tegaskan bahawa saya melihat kehadiran British itu sebagai penjajahan (colonialism) juga dan telah membawa kesan dan natijah yang amat buruk terhadap bangsa Melayu dan golongan-golongan lain. Namun terdapat sedikit perebezaan antara penjajahan berbentuk 'colony' seperti berlaku di Negeri-Negeri Selat (Singapura, Melaka dan Pulau Pinang) , Canada, Australia ataupun malahan India, dengan penjajahan berbentuk 'protectorate' di dalam FMS dan UFMS. Singapura mempunyai Sultan Husin Syah tetapi kerana pulau itu sebuah colony maka institusi raja itu terhapus begitu sahaja. Sebaliknya, Kelantan adalah sebuah 'protectorate' maka institusi raja, keistimewaan Melayu serta pelbagai peruntukan perundangan Perlembagaan Persekutuan dan Negeri-Negeri itu dapat kekal hingga menjadi bentuk kerajaan pada masa ini. Perbezaan 'tipis' (seperti kata Profesor Aziz Bari) ini harus menjadi pemahaman oleh semua, bukan hanya oleh pakar yang bijaksana, kerana ia mempunyai makna dan implikasi yang amat asasi serta bernatijah dalam kewujudan warganegara, negara dan negeri masa kini dan akan datang.
Diharap sedikit penjelasan ini dapat mengurangkan jurang pendapat yang telah muncul. Salam bahagia dan terima kasih. Wabillahi taufik wal hidayah.
Profesor Datuk Dr Zainal Kling.





Friday, September 16, 2011

KOPI LUWAK DAN SEORANG “PROFESOR” (?) ...

Setiap kali musim durian tiba, para penjual durian akan menunjukkan kehebatan durian Musang King yang besar-besar ulasnya dan kecil atau tiada langsung bijinya. Inilah durian paling sedap. Apa pula kopi paling sedap? Ialah kopi tahi musang. Kopi luwak.  Apabila buah kopi sudah masak, musang akan makan buah kopi itu, kemudian berak di mana-mana yang mereka rasa selesa.  Kini musang (luwak) dipelihara dalam kandang musang, dihidangkan biji kopi yang telah masak untuk dinikmati mereka. Jadi tahi musang tidak perlu dikutip lagi, sudah siap tersedia seperti  longgokan dokumen dalam almari atau di rak-rak perpustakaan untuk digunakan oleh ahli sejarah untuk menulis buku-buku sejarah mereka. Menurut cerita, zaman  Belanda dulu, orang Belanda yang berkebun kopi tidak membenarkan rakyat Indonesia minum kopi. Jadi rakyat yang miskin papa kedana itu mengutip tahi musang yang ada biji kopi  dan memprosesnya untuk dijadikan kopi. Rupanya kopi tahi musang ini amat sedap. Saya belum cuba, hanya dengar cerita. Kata Majlis Ulama Indonesia dalam fatwanya, kopi berasal dari tahi musang itu halal, kerana yang dijadikan kopi bukan tahi tetapi biji kopi yang tidak hancur. Tahi musang dikutip kerana biji kopi yang dimakan tidak terjejas. Biji kopi itu dibasuh, dibersihkan, dijemur dan dijadikan kopi. Itulah kopi yang paling sedap. Harganya sangat mahal, beratus ringgit untuk satu kilo. Tetapi kerana sedapnya, dan peminum kopi yang banyak wang mahu berbangga minum kopi yang paling sedap dan paling mahal, mereka tidak keberatan membayarnya walaupun kopi itu berasal daripada tahi musang. Itu kisah musang dalam makanan yang enak.

Dalam konteks lain, orang Melayu telah mencipta peribahasa tentang musang, antaranya yang paling terkenal dan sering disebut ialah “musang berbulu ayam”.  Sekarang orang sedang galak berbicara tentang siapa pejuang kemerdekaan, siapa perunding, siapa wira siapa petualang, dan lain-lain seumpama itu. Yang anehnya, tidak kedengaran peribahasa “musang berbulu ayam” itu disebut dalam wacana perjuangan kemerdekaan itu.   Adakah kerana semua pejuang sekali dan beberapa kali dalam hayat perjuangan mereka pernah menjadi “musang berbulu ayam”?  Ahli sejarah tidak dapat membantu, kerana mereka yang menyokong sesuatu puak (iaitu puak yang mereka suka dan mendapat faedah daripadanya) tidak ragu-ragu lagi menggelarkan puak yang tidak disokong atau tidak disukai mereka sebagai “musang berbulu ayam”, maksudnya sebagai golongan penipu yang mencari kesempatan. Dalam wacana sejarah yang ditimbulkan oleh Majlis Profesor Negara, ahli sejarah rasmi negara yang menyokong UMNO dan kerajaan Barisan Nasional, juga tidak menyebut peribahasa ini, tetapi mereka tidak ragu-ragu menuduh musuh UMNO sebagai pengkhianat. Di antara orang yang termasuk dalam golongan itu antaranya orang yang  terkenal alim, kuat ibadatnya, lemah lembut tutur kata dan pembawaannya, seperti  Dr. Burhanuddin dan Ustaz Abu Bakar Bakir.  Termasuk juga orang yang telah meringkuk di dalam penjara/tahanan kerana keyakinan politiknya, seperti  Ahmad Boestamam, Ishak Hj. Muhammad dan lain-lain. Kesemua tokoh ini tidak layak digolong sebagai “musang berbulu ayam” kerana mereka tidak menipu sesiapa, hanya memperjuangkan keyakinan politik mereka untuk membebaskan tanah air mereka. Mereka tidak layak dipanggil “musang berbulu ayam”, kerana mereka bukan penipu yang mencari kesempatan untuk mendapat faedah untuk diri mereka sendiri.  

Oleh itu, siapakah yang layak diberi gelaran “musang berbulu ayam” itu?  Di sinilah terjadi pertikaian besar kerana golongan yang layak diberi gelaran itu berjaya mendapat kuasa tanpa susah payah untuk mengorbankan diri mereka, hanya dengan sambil berbual dan berunding dengan pemegang kuasa, mereka mendapat apa yang mereka mahu dan direstui pula oleh golongan yang berkuasa tadi, yang menjadi pilihan mereka untuk diserahkan kuasa. Jadi di sini menjadi “musang berbulu ayam” bukanlah sesuatu yang  tidak baik, malah sebaliknya  sesuatu yang terpuji kerana itulah puncak strategi yang paling sempurna untuk mendapat kepuasan, faedah, dan kemenangan. Diceritakan, Mat Indera ditangkap oleh teman-temannya sendiri yang memakai strategi “musang berbulu ayam” dengan memberi minum Mat Indera kopi kecubung (bukan kopi luwak?) sehingga dia mabuk dan terus ditangkap, dibawa kepada Inggeris untuk dihukum gantung. Dengan hal yang demikian, peribahasa “musang berbulu ayam” bukanlah menggambarkan sesuatu yang tidak baik, malah sesiapa juga yang menjadi “musang berbulu ayam” adalah ahli strategi yang paling cerdik. Jadi, peribahasa ini berbicara tentang kepintaran menggunakan strategi, bukan tentang penipuan atau  apa-apa maksud yang tidak baik.

Tidakkah inilah yang dipakai oleh UMNO untuk mendapat kuasa daripada British? British telah ditipu hidup-hidup oleh para pemimpin UMNO yang menggunakan strategi ini kerana dapat meyakinkan pihak British bahawa mereka akan memenuhi semua tuntutan British dalam perundingan itu tanpa menjejaskan kedudukan orang Melayu. Contoh: orang Melayu mendapat bahasanya yang dijadikan bahasa rasmi negara; orang Melayu juga mendapat agamanya yang dijadikan agama rasmi negara; orang Melayu tidak kehilangan raja-rajanya yang dijadikan raja-raja berperlembagaan; dan yang lebih utama orang Melayu mendapat kuasa politik dan layak menjadi Perdana Menteri dan sebagainya.  Dengan menggunakan  strategi  “musang berbulu ayam”, orang Melayu yang menjadi rakyat diyakinkan bahawa dengan kemerdekaan yang tercapai hasil perundingan tadi, tidak sedikit pun mereka kehilangan apa-apa faedah yang  mereka dapat pada waktu itu. Kerakyatan mereka tidak hilang, walaupun kerakyatan kaum pendatang diberi secara automatik sebaik saja diisytiharkan tarikh kemerdekaan. Di sinilah para ahli sejarah bingung dan keliru. Tujuan tarikh kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 itu ialah untuk memastikan seberapa ramai rakyat bukan Melayu dengan secara automatik menjadi rakyat Tanah Melayu merdeka. Jadi  di sini tarikh itu penting, walau pun Tanah Melayu tidak pernah dijajah. Tanpa tarikh itu, amat sukar bagi kaum pendatang hendak menjadi rakyat secara automatik, seperti yang dikehedaki oleh British sebagai satu hadiah istimewa mereka kepada kuli ladang, kuli bijih dan semua saudagar Cina  yang membantu mereka memakmurkan negara, sementara orang Melayu hanya berdiam diri mengangkat tangan menyembah raja-raja mereka.  Dua golongan ini berjasa kepada British, kerana tanpa kehadiran dua golongan ini, semua kepentingan British akan dimilik-negarakan seperti yang berlaku di Indonesia. Belanda rugi besar, hilang sumber ekonomi yang dengan susah payah diperjuangkan selama ini.  Britisah tidak perlu bersusah payah menjaga kepentingan mereka di negara Melayu yang merdeka sekarang, kerana tugas itu ditanggung beres oleh para perunding kemerdekaan sendiri. Inilah kemenangan “sama-sama menang” kerana kepentingan masing-masing tidak terjejas. Siapa yang diketepikan dalam kemenangan ini? Selama 54 tahun atau lebih selepas merdeka, orang Melayu masih lagi bercakap tentang kemiskinan. Ada berapa jenis kemiskinan yang mereka tahu? Mereka hanya tahu sejenis saja, iaitu kemiskinan tegar, yang bererti terus menerus miskin sejak beradad-abad.  Mereka tidak tahu terdapat kemiskinan jenis lain, iaitu kemiskinan membuat pilihan terbaik untuk mereka setiap kali mereka diberi peluang memilih para wakil mereka di Dewan Rakyat. Walaupun dewan itu dibangunkan atas nama mereka, namun kemakmuran bukan hak mereka, oleh itu mereka masih terjerit-jerit minta dibantu. Tetapi jangan bimbang, kerana mereka tidak dimasukkan penjara atau dijadikan orang tahanan. Yang menghadapi peluang itu ialah orang-orang yang berjuang untuk mereka, untuk mengubah nasib mereka.  Demikianlah bijaknya British menyusun kemerdekaan negara kita, sampai ada profesor  yang berkata Tanah Melayu tidak pernah terjajah secara rasmi. Apa lagi yang kita mahu? Bodohlah jika kita tidak berterima kasih kepada mereka, dengan mengutuk mereka, padahal merekalah yang memberi kuasa kepada para pemimpin yang mereka senangi dalam struktur politik dan pentadbiran yang mereka tetapkan. Itulah semangat kemerdekaan yang sebenar, yang tidak dipengaruhi oleh strategi “musang berbulu ayam.” Itulah yang diceritakan semula oleh Majlis Profesor Negara. Cuma di sini ahli MPN silap, apabila mereka menafikan terdapatnya tarikh kemerdekaan. Bagaimana mereka tersilap hanya boleh difahami jika kita kaji semangat kemerdekaan mereka sendiri. Ahli MPN telah meletakkan diri mereka di bawah naungan kerajaan, seperti raja-raja Melayu dahulu meletakkan diri mereka di bawah naungan British. Jadi seperti raja-raja dahulu juga, maka ahli MPN ini mendapat faedah percuma daripada penaung mereka. Itulah faktor yang membuat mereka silap tidak mengiktiraf tarikh kemerdekaan, padahal dengan tarikh itulah beratus ribu (berjuta-juta?) pendatang asing ketika itu secara automatik menjadi rakyat Malaya merdeka. Belum nampak lagi?

 Satu hari saya berkereta menggunakan jalan kampung, untuk melihat kemajuan orang kampung. Walau pun jalannya kecil, tetapi agak sibuk kerana orang cuba lari daripada membayar tol. Sebaik saja saya masuk sempadan Johor, terasa dahaga, lalu singgah di sebuah warung di antara warung-warung yang berceretek di tepi jalan. Ramai juga orang berhenti minum. Kerana ingin tahu, saya bertanya mereka apakah perniagaan penduduk  di situ. Cepat sekali mereka jawab, dengan bangga pula, bahawa mereka pengusaha kopi. Sepantas itu pula tuan warung mengeluarkan bungkusan kopi. “Ini kopi baik, tuan. Murah.” Saya mengambilnya untuk melihat keistimewaannya. Baunya bagus juga.  Lalu saya tanya bersahaja, “Kopi luwak ada?” Tuan punya warung tertawa, bersama beberapa orang penghuni yang sedang minum.  “Mana ada, tuan. Mahal. Sangat mahal. Lagi pula orang Malaysia tidak pelahap sangat, sampai minum kopi tahi musang. Mahal pula tu!” Saya gembira kerana maklumat mereka global, bukan glokal. Kerana melihat mereka mesra, saya mula berbicara tentang harga barang-barang. “Masih murah, tuan, jika dibanding dengan Singapura.”  Saya makin gembira kerana maklumat mereka global, bukan glokal.  Ternyata mereka menonton TV dan mendengar radio, kerana itu mereka tahu harga barang di Malaysia masih murah.  “Tuan dari mana?” tanya seorang pelanggan warung.  Belum sempat saya jawab, kerana sedang menghirup minuman, seorang lagi bertanya, “Tuan seorang profesor?” Gamaknya kerana dia lihat saya berjanggut, dia fikir saya profesor, orang cerdik-cerdik.  Melihat saya tersenyum seolah-olah mengiakan, ada yang mengerutkan kening, kemudian terjadilah perkara yang memeranjatkan saya. Seorang demi seorang meninggalkan warung itu sambil memerhatikan saya dengan curiga. Tuan warung terperanjat, merenung saya, dengan renungan, seperti kata Keris Mas, “seperti orang Islam melihat anjing” dalam cerita pendeknya “Mereka Tidak Mengerti”.  Saya yang tergamam terus membayar dan terus keluar dari warung. Ketika membuka pintu kereta, saya tertawa sendirian. “Wah, hebat betul rakyat sekarang,” bisik hati saya sambil tersenyum puas, dan terus berlalu sambil menjeling warung bersejarah itu.

Mohd. Affandi Hassan, 16/9/2011 (sempena Hari Malaysia, bukan Hari Merdeka yang tak wujud.)

Thursday, September 15, 2011

SEJARAH KEMERDEKAAN DAN GAGASAN PERSURATAN BARU

Perhatikan bagaimana sejarah bermain dengan kita, atau mempermainkan kita, atau kita dipermainkan sejarah:  Majlis Profesor Negara, melalui Ketua Kluster sekian sekian ... , Prof. Datuk Zainal Kling, mengisytiharkan dengan tegas, dengan sokongan para profesor di dalam kumpulannya (dipanggil kluster) bahawa Tanah Melayu tidak pernah dijajah, kerana raja-raja Melayu terus berdaulat di bawah naungan British, dan semua pekerja kerajaan yang berada di negeri-negeri Melayu adalah anggota kerajaan baginda, oleh itu sesiapa juga yang melakukan kesalahan adalah menderhaka kepada baginda dan layak dihukum, dan hukuman itu dijalankan bagi pihak baginda oleh British yang menaungi kerajaan baginda. Itulah sekira-kira hujah yang diketengahkan. Isunya: Tanah Melayu tidak terjajah, oleh itu kemerdekaan Tanah Melayu  dan raja-raja Melayu tidak pernah digugat dengan kehadiran British di Tanah Melayu yang hanya menjalankan tugas sebagai penasihat kepada raja-raja Melayu. Kata Prof. Zainal Kling:   “Fakta sejarah menunjukkan Tanah Melayu tidak pernah terjajah oleh British. Ini mesti dibaiki dari sekarang oleh semua pihak sama ada pelajar, guru, ahli politik atau pentafsir politik.” (Catatan: ahli akademik tidak termasuk dalam senarai itu, tidak juga ahli sejarah; untuk makluman, Prof. Zainal Kling bukan ahli sejarah, tetapi seorang “pakar” antropologi yang pernah dibimbing oleh (Prof ) Dr. Syed Husin Ali.)

Menurut Prof. Zainal Kling, Perjanjian Pangkor ditandatangani pada tahun 1874, tidak pernah tercatat dalam perjanjian itu bahawa negeri Perak akan dijajah, sebaliknya hanya dilindungi atau dinaungi. Katanya: “Dinaungi tidak sama dengan kolonial ... Hanya tiga negeri sahaja yang merupakan tanah jajahan, Singapura, Melaka dan Pulau Pinang.”   Prof. Zainal Kling tidak menjelaskan bagaimana ketiga-tiga “Negeri Selat” itu terjajah atau diserahkan untuk dijajah oleh British. Fakta sejarah mengatakan, ada pun “Negeri-negeri Selat” itu asalnya tanah jajahan raja-raja Melayu, dijual kepada British untuk membayar hutang. Mengapa sampai begitu sekali? Hutang apa? Mungkin “fakta” ini ada disebut di mana-mana buku sejarah, tetapi tidak disebut oleh Prof. Zainal Kling walaupun penting kerana fakta ini mesti diketahui oleh rakyat.  Beliau juga tidak sebut, dengan berpengkalan di Negeri-negeri Selat itulah British merancang penaklukan negeri-negeri Melayu kerana raja-raja Melayu didapati tidak berupaya menjaga keamanan sehingga menjejaskan perniagaan British di Tanah Melayu; di samping itu British selalu sangsi terhadap kejujuran raja-raja Melayu yang mungkin saja membuat perjanjian dengan kuasa-kuasa Eropah seperti Belanda, Jerman dan lain-lain sehingga merugikan British. Misalnya, di Perak sebelum  Perjanjian Pangkor, Perak membuat perjanjian dengan Belanda dan menempatkan kubu Belanda di Sungai Perak untuk menjaga kepentingan Belanda dan sekali gus mempertahankan kedudukan Sultan Perak. Itulah asal mula cerita kita ini, yang sebenarnya bermula dengan penaklukan Melaka oleh Portugis 1511. Jadi cerita penjajahan Tanah Melayu ini sudah lama. British masuk kemudian setelah kuasa ekonomi British di Tanah Melayu terus berkembang, dan untuk menjamin kepentingan ekonomi mereka itulah maka British “melindungi atau manaungi” negeri-negeri Melayu dengan persetujuan raja-raja Melayu, seperti yang disebut oleh Prof. Zainal Kling.

Tetapi fakta itu tidak penting. Lebih penting ialah, mengapa baru sekarang, setelah diwujudkan Majlis Profesor Negara, ahli akademik kita (semua mereka?) sedar Tanah Melayu tidak pernah dijajah?  Apa sudah jadi dengan ahli sejarah kita? Tak perlulah kita membuat andaian, misalnya dengan mengatakan mereka cuai, atau sedang mabuk fakta sehingga tak tahu memilih mana fakta yang betul mana yang palsu, atau pun pengajian sejarah mereka begitu cetek sehingga tidak tahu cerita sebenar sehinggalah kerajaan menubuhkan Majlis Profesor Negara, barulah mereka sedar mereka telah tertipu dan oleh itu perlulah diberitahu hakikat sebenar tentang sejarah Tanah Melayu yang tak pernah menjadi koloni British, kecuali tiga buah negeri selat yang dijual oleh raja-raja Melayu kepada British untuk membayar hutang atau apa-apa juga sebab yang raja-raja itu sendirilah yang mengetahuinya.  Sampai setengah abad ahli sejarah kita tidur, atau khayal dalam dunia sejarah mereka, sehinggalah disedarkan oleh Majlis Profesor Negara bahawa sejarah kita selama ini palsu, oleh itu mesti dibetulkan sekarang, serta-merta, kerana sudah tenat betul sampai tidak kenal lagi siapa pejuang, siapa pengkhianat, siapa komunis siapa pejuang Islam, dan macam-macam lagi. Gila betul dibuatnya, dibuat oleh pakar sejarah yang telah menipu kita semua, termasuk ahli politik yang berarak bertempik minta dimerdekakan, padahal selama-lamanya kita telah merdeka. Yang paling aneh, raja-raja Melayu sendiri tidak tahu mereka tidak dijajah, sehinggalah diberitahu oleh Majlis Profesor Negara. Apa sudah jadi dengan akal Melayu dan raja-raja mereka sebelum 4 September 2011, saat mereka diberitahu mereka sebenarnya sudah merdeka, oleh itu tidak perlu berjuang sampai mematikan diri untuk mendapat kemerdekaan. Lebih memalukan lagi, terhegeh-hegeh ketua-ketua UMNO pergi ke England untuk berunding mendapatkan kemerdekaan, padahal sudah merdeka. Apa punya ahli politik yang tak tahu apa yang mereka buat?   Kata para pemimpin UMNO,  yang bodoh dan buta sejarah bukanlah mereka, tetapi Mat Sabu dari PAS yang telah membangkitkan perihal sejarah perjuangan kemerdekaan yang tidak betul itu, sehingga menimbulkan kemarahan semua ahli UMNO  dan Mat Sabu sendiri diisytiharkan seorang Komunis atau penyokong Komunis, sehingga Timbalan Perdana Menteri berkata Mat Sabu kena bertaubat dan seluruh anggota UMNO meminta kerajaan mereka supaya memenjarakan Mat Sabu sehingga dalam satu forum seorang bekas profesor dan seorang bekas Naib Canselor universiti berjanji akan menampar Mat Sabu jika beliau berjumpa Mat Sabu di mana-mana! (Baca laporan/berita dalam Malaysiakini,  15/9/2011). Mungkin betul juga Mat Sabu ini bodoh kerana membuka tembelang UMNO sehingga membuat mereka hilang akal, hatta seorang profesor pun sanggup menjadi samseng hendak menampar Mat Sabu. Undang-undang  apa yang profesor ini pakai?  Sungguh haram jadah jadinya kelakuan manusia apabila sudah terlalu marah kerana pecah tembelang, sampai seorang profesor bercawat kote (istilah Kelantan) bertukar menjadi samseng. Demikian besarnya pengaruh sejarah ke atas manusia. Dan ini dibuktikan oleh Barbara Watson Andaya dalam rencana beliau (JMBRAS, Part 1 1974) yang menulis tentang  “The Installation of the First Sultan of Selangor in 1766”.  Kata beliau, sejarah itu ditulis untuk memenuhi keperluan politik atau kuasa kumpulan yang menulis sejarah masing-masing; oleh itu cerita pertabalan Sultan Selangor dalam Misa Melayu tidak sama penekanannya seperti yang ditulis oleh orang Bugis dalam Tuhfat al-Nafis. Hakikat ini ditegaskan oleh Prof. Khoo Kay Kim yang mengatakan, “The historian unavoidably has to write according to the dictates of his own interest or that of persons for whom he writes.” (JMBRAS 1974, hal. 3).  Dalam ceramahnya yang terbaru selepas kontroversi Mat Sabu ini, Prof. Khoo Kay Kim menegaskan bahawa tidak pernah menjadi polisi British dan tidak pernah dilakukan oleh mereka untuk melaksanakan polisi “pecah dan perintah”; demikian juga British hanya membawa orang India ke Tanah Melayu kerana pada waktu itu mereka menjajah India, tetapi British tidak membawa seorang pun kuli China ke Tanah Melayu kerana China bukan jajahan takluk British; malah kata Profesor Khoo Kay Kim, yang membawa kuli China ialah usahawan China sendiri. Dia tidak pula menyebut dengan bantuan dan galakan dari British, kerana tidak perlu. Kata sumber dari Perak, orang-orang besar Peraklah, dan mungkin juga sultan sendiri, antara yang membawa kuli China untuk bekerja di lombong-lombong bijih milik mereka.  Sekiranya Mat Sabu tidak buta sejarah, seperti tuduhan pemimpin dan ahli UMNO, dia tidak akan bercakap tentang penipuan dalam penulisan sejarah, kerana sejarah memang begitu sifatnya. Oleh itu memang betul kata-kata Majlis Profesor Negara seperti yang diucapkan oleh jurucakap mereka, Prof. Zainal Kling walaupun dia pun bukan ahli sejarah seperti Mat Sabu juga.

Sesuatu yang pelik sudah berlaku di mana-mana.  Sekarang teriakan merdeka masih dilaungkan, padahal tidak perlu. Merdeka dari siapa? Kalau kita tidak selesaikan kemelut ini, berapa ratus Hospital Tanjung Rambutan pun yang kita bina, tidak akan dapat memuat orang-orang  yang perlu diberi kesempatan berada di situ kerana sudah hilang akal dan perlu dikembalikan akal sihatnya!

Apakah yang kita boleh pelajari daripada episod yang dicipta oleh Majlis Profesor Negara ini? Inilah cerita Plato tentang manusia yang hidup di dalam gua, yang percaya mereka berada di dunia realiti, padahal hanya dalam dunia khayalan. Tetapi kerana mereka tidak keluar dari gua itu, mereka tidak tahu dunia ini luas. Dalam skala yang lebih kecil, orang tua-tua Melayu yang bijaksana, telah berkata manusia yang berada dalam gua itu kalau dikampung-kampung Melayu diibaratkan seperti katak di bawah tempurung. Bayangkan begitu lama ahli sejarah kita berada di bawah tempurung, begitu juga ahli politik. Adakah mereka terdiri daripada kluster manusia yang bodoh? Tidak. Mereka hanya dikhayalkan oleh mimpi buatan mereka sendiri yang dulunya tidak sedar mereka kluster hamba yang menurut perintah, atau kluster manusia yang taat setia kepada ketua-ketua mereka, yang akhirnya menjadi hamba, atau pengikut, dan kini pembela, golongan penjajah yang kini disedari bukanlah penjajah, tetapi sahabat yang baik hati. Kalau begitu, apa perlunya dimansuhkan PPSMI yang telah dilaksanakan dan didapati berkesan seperti yang ditunjukkan oleh Majlis Profesor Negara?

Apakah yang boleh kita pelajari daripada episod yang dicipta oleh Majlis Profesor Negara ini? Bagi para sasterawan, sarjana sastera, dan pengkritik sastera yang selama-lamanya menggunakan kaedah Barat dan bangga dipengaruhi oleh nilai-nilai Barat dalam kesusasteraan Melayu moden, yang mentakrifkan makna moden itu sendiri,  episod Majlis Profesor Negara ini bukanlah sesuatu yang memeranjatkan mereka, kerana sudah lebih dari 30 tahun mereka telah menerima hakikat itu seperti yang disahkan oleh Panel Anugerah Sastera Negara yang menegaskan para sasterawan tidak pernah terikat kepada mana-mana pengaruh dari Barat, oleh sebab mereka hanya meniru teknik Barat dan menggunakan kaedah analisis dan penilaian dari Barat seperti raja-raja Melayu dan para pahlawan Melayu dan para pemimpin politik Melayu mendapat faedah daripada British dan orang Barat yang membawa mereka kekayaan yang membolehkan mereka membina apa-apa juga yang hendak dibina dan telah dibina, di samping mendapat kekayaan dan kemewahan dan kedudukan yang dihormati, yang kini perlu dipertahankan. Sebenarnya, Majlis Profesor Negara dan Panel Anugerah Sastera Negara tidak berbeza, dan mana-mana orang yang mendapat faedah daripadanya adalah sama.

Yang menjadi pengkhianat dalam perjuangan kemerdekaan yang  sudah sedia wujud itu ialah para pejuang tulen yang ikhlas berjuang untuk mendapatkan kemerdekaan kerana merekalah yang awal-awal lagi  sudah keluar dari gua dan sudah menyepak tempurung yang menutup kesedaran politik mereka.  Dalam bidang sastera pula, pengkhianat itu ialah golongan (bukan kluster?) yang menamakan diri mereka pengikut gagasan Persuratan Baru yang lantang berkata  persuratan Melayu mesti dimerdekakan daripada alam khayal dengan membawa kembali peranan ilmu yang benar seperti yang dipraktikkan oleh para pujangga, ulama dan pendeta sebelum kedatangan kesusasteraan moden yang dibawa oleh penjajah Inggeris.  Tetapi kerana telah dibuktikan (tanpa sebarang bukti dan hujah  oleh Majlis Profesor Negara kerana tidak perlu) bahawa penjajahan itu tidak pernah wujud, maka sudah sahlah kesusasteraan Melayu pun tidak pernah terjajah. Oleh hal yang demikian, apa perlunya dibawa kembali barang yang hilang yang dinamakan ilmu yang benar yang diajarkan oleh Islam dan dipraktikkan oleh para ulama, pujangga dan pendeta silam itu? Tidakkah semuanya karut belaka? Kita beruntung kerana akhirnya kita diberi  peluang oleh kerajaan yang menubuhkan Majlis Profesor Negara untuk menyedarkan kita semua betapa bodohnya kita selama ini kerana tidak mahu berfikir dengan menggunakan akal sihat berasaskan konsep ilmu yang benar itu.

Tetapi di dalam kemelut orang-orang bodoh yang cerdik ini, yang pernah saya gelar “cerdik pandir” (yang berbeza daripada “cerdik pandai”),  saya lebih tertarik mengikuti analisis Prof. Amin Sweeney (semoga dicucuri Allah ruhnya dan diampunkan dosanya) dalam JMBRAS Part 1 1976 yang menulis tentang Pak Pandir dalam rencananya, “The Pak Pandir Cycle of Tales”.  Berasaskan pentingnya Pak Pandir sebagai seorang pemikir Melayu yang asli, saya meminjam falsafah beliau dalam cerita-cerita jenaka yang beliau lakonkan bersama Mak Andeh, untuk dijadikan istilah ilmu yang saya namakan pandirisme, yang kini sudah menjadi aliran perdana dalam kebudayaan Melayu.  Saya juga telah menulis sebuah cerita pendek yang panjang bertajuk, “Rumah Impian Dr.  Polan Cupan”, kisah seorang cucu Pak Pandir yang bernama Polan bin Cupan (cupan itu singkatan dari ‘cucu pak pandir’), seorang arkitek Melayu yang terkenal yang setaraf dengan arkitek Mesir bernama Hassan Fathi, guru beliau yang disayanginya. Cerita pendek itu telah diserahkan kepada Persatuan Penulis Kelantan lebih dari lima tahun dahulu yang mahu menerbitkan satu kumpulan karya penulis-penulis Kelantan dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka, Wilayah Timur. Saya mendapat tahu semua karya yang sudah dikumpulkan itu tenggelam dalam banjir besar yang melanda Kelantan baru-baru ini, tidak dapat diselamatkan lagi. Jika PPK dan DBP masih berminat, saya masih simpan salinannya dan saya akan hantar salinan baru bila-bila masa saja yang mereka perlukan. Rasanya masa inilah kumpulan cerita pendek itu sesuai diterbitkan, kerana di dalamnya terdapat cerita cucu Pak Pandir yang saya yakin pasti akan menarik minat anggota Majlis Profesor Negara kerana sebuah sejarah Pak Pandir yang selama ini dalam khayalan orang Melayu, telah muncul dalam arena budaya dan intelektual Malaysia melalui konsep pandirisme yang kini menjadi budaya arus perdana.

Saya sebut perkara ini dalam konteks ini kerana baru-baru ini saya bertemu, secara tidak sengaja, sebuah seloka baru ditulis oleh seorang penulis yang tak pernah saya kenal dan tak pernah saya baca karyanya, tetapi seloka beliau yang saya temui itu sangat bagus dan bernilai seni, sama seperti seloka Melayu lama yang dinukilkan oleh Za’ba dalam Ilmu MengarangMelayu, antaranya tentang Pak Kaduk, Lebai Malang, dan sebagainya. Seloka ini bagi saya jauh lebih baik daripada sajak-sajak sasterawan negara kerana ketajaman analisisnya, yang setiap barisnya boleh ditulis syarahnya dalam sebuah buku. Inilah seloka itu yang saya salin daripada blog penulisnya (saya mohon izin saudara, diharap saya tidak disaman nanti kerana sekarang saman-menyaman ini sudah dibudayakan di Malaysia, seperti rajinnya orang menulis laporan polis misalnya laporan polis terhadap Mat Sabu sudah makan bilangan ribu, sungguh rajin orang Melyu yang sayangkan negara dan kebenaran menurut tafsiran mereka menyaman sesiapa juga yang mereka anggap boleh membodohkan mereka dan membuka tembelang mereka).  Perhatikan baris akhir seloka ini: “Tak sangka ada professor kuku”.  Tidakkah itu satu kesimpulan yang bertaraf genius?

Inilah seloka itu:

Hang punya pasai Mat Sabu....
Negara diselubungi jerebu
Dari KL hingalah ke Sibu
Banyak asap dan debu
Reda sedikit isu Mat Sabu
Senyap terus isu JAIS serbu
SPR pula diam dalam kelambu
Semakin hari semakin kelabu
Dakwat kekal atau guna jari ibu

Hari-hari ada cerita baru
Timbul pula profesor keliru
Mungkin dia mabuk tairu
Kepala tak gatai pun dia garu
Dijajah atau tak jadi isu terbaru
Pening semua cikgu dan guru
Guru konpius murid haru-biru
Nak guna pen merah atau biru
Cerita sejarah macam katak puru

Habis kita nak gelar apa kat Tunku
Bapa Kemerdekaan dah tak laku
Laungan merdeka jadi lawak tigasuku
Kena cetak semula semua buku-buku
Salah fakta tentang sejarah tanahairku
Profesor Kling buat rakyat terkaku
Tak sangka ada professor kuku

Keris Silau
13 September 2011
Posted by Keris Silau at 12:05 PM http://img1.blogblog.com/img/icon18_email.gifhttp://img2.blogblog.com/img/icon18_edit_allbkg.gif


Mohd. Affandi Hassan,  15/9/2011.