Friday, December 24, 2010

MENGHIDUPKAN KEMBALI PERSURATAN MELAYU DALAM ABAD 21 MELALUI GAGASAN PERSURATAN BARU


Pendahuluan kritis:  Walaupun terdapat kejayaan yang sederhana dalam era kesusasteraan Melayu moden, namun kejayaan yang terbatas dan mengelirukan itu tidak wajar diteruskan. Kehilangan semangat tauhid dalam era kesusasteraan, dengan terhapusnya wadah ilmu dan wadah agama melalui tulisan Jawi, hasil usaha para sasterawan yang dipelopori oleh Asas 50,  maka karya-karya kreatif dalam bahasa Melayu kontang dari segi pemikiran dan hanyut dalam keghairahan menonjolkan kebebasan individu para sasterawan. Salah satu kesesatan yang disanjung oleh para sarjana dan pengkritik sastera Melayu moden ialah penemuan kembali jatidiri para sasterawan dengan penonjolan watak Si Tenggang, Hang Jebat dan lain-lain tokoh yang menghayutkan orang Melayu ke samudera kekeliruan budaya dan penyelewengan nilai-nilai bercorak Islam yang selama beratus tahun menjadi amalan di kalangan para pengarang Melayu. Apa yang disebut sebagai penemuan identiti itu sebenarnya ialah kesesatan budaya akibat kekeliruan tentang konsep ilmu dan asas tamadun Melayu.  Yang ditemui bukan identiti yang berasaskan ajaran tauhid yang selama ini menjadi pegangan para pengarang Melayu. Yang ditemui itu ialah diri peribadi yang selama ini sesat dan sasau, terumbang ambing dalam keseronokan budaya Barat yang ditelan bulat-bulat tanpa tapisan teliti berasaskan ajaran tauhid yang dipancarkan melalui konsep taklif. Kesesatan itu dilanjutkan dengan megah di kalangan para sasterawan apabila kerajaan, berasaskan nasihat yang salah, telah mewujudkan Panel Anugerah Sastera Negara untuk memilih “sasterawan negara”.  Panel Anugerah Sastera Negara dalam usahanya memilih “sasterawan negara” itu melaksanakan sepenuhnya semangat dan jiwa Barat dalam sastera Melayu moden, dengan menolak bulat-bulat nilai-nilai bercorak agama dalam tamadun Melayu yang selama ini menjadi asas penulisan para pengarang, ulama, dan cendekiawan Melayu.  Akhirnya yang terpilih bukanlah para pemikir  dan tokoh cendekiawan yang boleh dicontohi, yang melanjutkan tradisi dan tamadun Melayu berasaskan ajaran tauhid yang jelas dan kuat nilai-nilai Islamnya. Yang terpilih dan disanjung itu ialah tokoh-tokoh yang bukan tokoh sebenarnya, yang hanyut dan keliru dalam pencarian identiti berasaskan faham individualisme Barat, yang kononnya menjadi asas kemodenan (sebenarnya lebih tepat pembaratan, westernization).  Apabila timbulnya kesedaran perlunya dikembalikan semangat Islam dan jiwa tauhid dalam “kesusasteraan”, maka yang terjadi ialah penerusan pembaratan nilai dalam sekularisasi agama yang kononnya menjadi kesedaran baru di kalangan para sasterawan yang sudah mula sedar akan kesilapan mereka. Tetapi “kesedaran” itu melahirkan kekeliruan yang lebih besar apabila istilah kesusasteraan masih diteruskan, padahal kesusasteraan itulah yang menjadi punca kekeliruan para sasterawan selama ini. Masalah ini telah dibincangkan dalam Pendidikan Estetika Daripada Pendekatan Tauhid (1992).

Kembali kepada taklif.  Hasil-hasil kesusastertaan yang digunakan dalam pendidikan negara telah menjadikan para pelajar semakin bodoh, semakin jauh dari tradisi mereka, semakin kacau dalam sistem nilai mereka. Ini terjadi kerana karya-karya yang diberikan kepada mereka untuk dikunyah tidak mempunyai pegangan yang jelas, di dalamnya tidak terdapat kebijaksanaan yang boleh dijadikan panduan dalam kehidupan remaja. Malah penggunaan apa yang dinamakan “bahasa sastera” telah melemahkan penguasaan bahasa Melayu mereka, oleh sebab bahasa itu kering dari nilai-nilai ilmu dan nilai-nilai moral yang baik. Karya sastera yang dimegahkan itu bersifat terbuka, tidak mementingkan pengajaran moral, seperti yang ditegaskan dan dihujahkan oleh Panel Anugerah Sastera Negara. Moral dan pngajaran tidak diperlukan dalam karya sastera yang bermutu tinggi, kata para penilai ini. Karya yang baik ialah yang tidak mempunyai apa-apa matlamat, yang hanyut dalam khayalan sasterawan, yang bebas tanpa batas, yang terbuka luas untuk  ditafsir sesuka hati.  Kaedah pengajaran sastera yang diasaskan daripada “teori” Barat menghendaki begitu, membiarkan manusia atau pembaca mencari sendiri nilai-nilai yang baik yang tidak semestinya terdapat, kerana kehidupan manusia yang sebenar, kata mereka, tidak terikat kepada nilai-nilai moral yang mengikat kebebasan mereka, walaupun mereka misalnya beragama Islam. Inilah jenis pengajaran yang ditonjolkan oleh Panel Anugerah Sastera Negara yang termaktub dalam laporan mereka, sudah diarusperdanakan dalam penilaian sastera dan sudah pula diterima sebagai baku dalam kritikan sastera yang diajar di sekolah dan universiti.  Kepalsuan ini hanya berjaya diserlahkan dengan munculnya gagasan Persuratan Baru yang meneliti semua karya kreatif berasaskan konsep ilmu yang benar, yang melihat penggunaan wacana dan cerita berteraskan konsep taklif. Selama ini karya kreatif dibaca dan dinilai serta ditafsirkan dengan menggunakan “teori” Barat yang menyisihkan sama sekali keterikatan manusia kepada konsep taklif itu, dengan itu manusia tidak lagi bertanggungjawab kepada sesiapa, melainkan kepada tuntutan hawa nafsunya. Jika anda baca dengan teliti dan kritis semua laporan yang ditulis oleh Panel Anugerah Sastera Negara, anda akan melihat hakikat ini dengan jelas, sekiranya anda tidak menggunakan apa-apa juga “teori” Barat, tetapi melihatnya daripada perspektif taklif.

Kunci untuk membuka perwatakan manusia  dan memahami tingkah laku mereka ialah konsep taklif itu, oleh itu dalam penulisan karya kreatif, yang watak-wataknya ialah manusia atau binatang yang dimanusiakan, atau manusia yang dibinatangkan, maka hakikat taklif itu perlu dijadikan panduan dalam membina perwatakan dan menyusun cerita dan peristiwa dalam karya. Pemahaman yang mendalam tentang konsep taklif akan memudahkan kita memahami sesebuah karya yang ditulis oleh sesiapa saja, dari tamadun mana sekali pun.  Dari perspektif taklif, tidak ada soalan seperti “To be or not to be”, kerana semua pilihan dan keputusan akan berasaskan konsep ilmu, keadilan, dan ikhtiar terbaik untuk menyelesaikan masalah. Seperti yang dijelaskan oleh Shah Wali Allah, taklif mempunyai tiga rahsia, iaitu ilmu pengetahuan, keadilan, dan usaha ikhtiar. Jadi apabila watak bertanya seperti soalan di atas, daripada perspektif taklif soalan itu hanya wujud dalam konteks mencari keredaan Allah ta’ala, bukan untuk membalas dendam. Kalau orang berkata, mengapa pula dimasukkan peranan Allah ta’ala dalam drama Shakespeare, tidakkah itu haru-biru dan bertentangan dengan semangat tragedi dalam drama itu? Oleh sebab dalam Islam tidak ada apa yang disebut  tragedi itu, maka pembaca Islam harus memahami soalan itu dalam konteks Islam yang menolak tragedi, bukan terikut-ikut melihat persoalan dalam konteks tragedi seperti yang difahami di Barat. Dengan itu, sebagai pembaca atau penonton Islam, kita dapat “menikmati” drama itu dalam konteks yang betul, yakni dalam konteks taklif tadi.  Jika hal ini difahami, maka kita dapat membaca dengan selesa dan menilai dengan saksama apa juga karya yang ingin dan perlu kita baca. Tidak semua karya perlu kita baca, jika hanya untuk membuang masa. Kita harus memilih yang benar-benar terbaik, untuk dijadikan bahan pemikiran yang boleh membuat kita insaf akan makna kehidupan manusia daripada perspektif taklif tadi.  Bagi seorang penulis yang menulis novel atau cerita pendek, pengetahuan yang mendalam tentang konsep taklif akan membantunya untuk menulis tentang manusia dan cerita mereka dengan lebih berkesan, lebih indah dan bermakna. Dari situlah dia akan membina keindahan bahasanya berasaskan konsep ihsan. (Tentang aspek ini, sila lihat Gagasan Persuratan Baru: Pengenalan dan Penerapan).

Bagaimanakah bentuk karya yang indah dan bermakna?:  Para sasterawan, sarjana dan pengkritik sastera selalu berkara, sesebuah karya seperti  novel atau cerita  pendek dikira baik dan menarik jika perenggan pertamanya memikat pembaca untuk membaca seterusnya. Tiga ukuran digunakan: baik, menarik, memikat untuk menentukan kesan awal yang diberikan oleh sebuah karya.  Dari segi apa kebaikan sesebuah karya diukur?  Unsur apakah yang terdapat dalam karya yang menarik minat pembaca?  Apakah ciri-ciri yang membuat sesebuah karya itu memikat?  Semua unsur yang dikatakan itu tidak boleh dipakai kerana satu perenggan atau perenggan pertama bukanlah sebuah karya. Sebuah karya adalah jauh lebih kompleks dari itu, yang memerlukan analisis untuk menentukan kualitinya. Tetapi ukuran berasaskan kesan awal itu boleh dipakai sebagai panduan umum apabila seseorang sedang memilih buku di kedai-kedai buku; malah bagi seorang penilai yang cekap dan berpengalaman kesan awal itu kadang-kadang digunakan untuk menentukan boleh tidaknya karya itu dimasukkan ke dalam kumpulan yang akan digunakan untuk mencari yang terbaik. Jika cara ini digunakan, dan memang banyak digunakan, maka pilihan yang dibuat pasti akan menimbulkan kritikan keras, malah perbalahan ilmiah yang berpanjangan, sekiranya karya yang dipilih didapati tidak layak apabila dinilai dengan lebih teliti. Hal ini terjadi juga dalam pemilihan untuk diberi Hadiah Nobel Sastera, apalagi jika penulis yang dipilih itu didapati, kemudiannya, melakukan plagiat. Semua ini menunjukkan kepada kita betapa subjektifnya penentuan nilai baik tidak baik sesebuah karya. Kesan awal tadi berkait dengan taste  (atau cita rasa) seseorang penilai, tidak diasaskan kepada penelitian objektif kerana tidak mungkin dilakukan dengan hanya menggunakan satu perenggan sebagai asas.  Tetapi dalam analisis yang didakwa objektif pun masih boleh dikuasai taste yang amat subjektif ketika membuat keputusan akhir. Contoh paling ketara di Malaysia ialah penilaian terhadap buku  Pendidikan Estetika Daripada Pendekatan Tauhid, yang ditentukan oleh unsur (?) diplomatik yang menurut penilai tidak ada dalam karya itu. (Lihat Dewan Sastera, Januari 1994, hal. 17-19.  Lihat ulasan saya dalam Kedudukan Ilmu Dalam Kesusasteraan: Teori dan Praktis, bab 4, diselenggarakan oleh Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir, 2010).  Semua kelemahan dan kekurangan ini boleh diatasi, sebahagian besarnya, dengan menggunakan ukuran yang lebih tepat, jitu dan objektif yang  menjadi prinsip gagasan Persuratan Baru.

Dalam gagasan Persuratan Baru, konsep wacana dan cerita dipisahkan dalam konteks analisis, dengan memberi keutamaan kepada wacana.  Hal ini terjadi kerana gagasan Persuratan Baru menjadikan konsep ilmu yang benar dalam Islam sebagai asas analisis, baik yang bersifat ilmiah/kritikan mahu pun yang bersifat kreatif (merujuk kepada penulisan cerita dalam novel, cerita pendek mahu pun sajak; kerana sajak adalah juga sejenis cerita dalam bentuk karangan berangkap).  Dengan memberi keutamaan kepada wacana, kedudukan cerita dipertajam dengan meletakkan cerita dalam ruang naratif yang fungsinya diarahkan untuk menyerlahkan kehadiran wacana dalam karya. Wacana dan cerita dikemaskan dalam satu kesatuan teknik yang dipanggil stylization of ideas, atau siratan makna. Dengan menggunakan konsep stylization of ideas, karya dapat dihindar daripada menjadi propaganda cetek untuk suatu maksud tertentu, sebaliknya penyatuan antara wacana dan cerita melalui stylization of ideas akan menjadikan karya itu indah dan bermakna. Keindahan tadi dilahirkan/dihasilkan melalui penggunaan teknik stylization of ideas.  Penggunaan teknik ini penting kerana wacana yang tidak disebatikan dengan cerita, atau cerita yang tidak dikuasai wacana, akan melahirkan karya yang tidak matang kerana wacana dan cerita dibiarkan bersendirian, terasing atau terpisah satu sama lain, oleh itu cenderung untuk menjadi propaganda yang kontang dari makna yang mendalam, yang menyentuh kalbu. Contohnya banyak, di sini disebut dua buah contoh yang terkenal, iaitu novel Salina dan Ranjau Sepanjang Jalan. Dua buah karya ini mendapat perhatian dan penilaian tinggi berasaskan cerita semata-mata, bukan pengolahan dan analisis persoalan yang dikemukakan. Kedua-duanya adalah karya melodrama yang meletakkan watak utamanya dalam keadaan terkongkong, terikat oleh kemahuan pengarang untuk bercerita, bukan untuk mengolah dan meghujah persoalan yang dikemukakan dalam karya.  Oleh itu kedua-dua karya ini mengambil watak yang bodoh, tidak berfikir dan tidak berusaha untuk mengubah nasib mereka, walaupun mereka berada dalam kesusahan yang teruk. Yang dijadikan watak bukanlah manusia yang berfikir, tetapi boneka yang dibiarkan hanyut tanpa tujuan. Inilah kelemahan paling ketara apabila konsep taklif tidak dijadikan asas untuk membina perwatakan, seperti yang digunakan oleh Abdul Kadir Adabi dalam novelnya Melati Kota Bharu (lihat analisis Prof. Madya Dr. Zariat Abdul Rani tentang novel ini dalam Kedudukan Ilmu Dalam Kesusasteraan, bab 5.)  Ketiga-tiga karya ini banyak sekali menggunakan bentuk khutbah dan komentar langsung daripada pengarang, dengan perbezaan yang ketara dalam novel Abdul Kadir Adabi. Dalam novel Melati Kota Bharu khutbah digunakan dalam bentuk wacana, tetapi tidak dalam novel A. Samad Said dan Shahnon Ahmad.  Huraian mendalam Dr. Zariat haruslah dibaca bersama ulasan Panel Anugerah Sastera Negara terhadap novel A. Samad Said dan Shahnon Ahmad yang dicontohkan di sini.

Di mana letaknya penggunaan teknik stylization of ideas dalam novel Abdul Kadir Adabi, dan tiadanya dalam  Shahnon  Ahmad dan A. Samad Said?  Oleh sebab aspek ini penting, saya perturunkan kutipan yang panjang daripada kesimpulan Prof. Madya Dr. Mohd. Zariat Abdul Rani dalam makalahnya yang dirujuk di atas. Kata beliau dalam kesimpulan itu:

“Bacaan ini dengan jelas berhasil mengenal pasti kekuatan novel Melati Kota Bharu. Antaranya, saratnya idea-idea intelektual A. Kadir Adabi yang mengisi sebahagian besar ruang naratif novel.  Kesaratan idea intelektual  ini dimungkinkan dengan terbinanya wacana ilmiah yang mendominasi novel. Sehubungan itu, dan yang istimewanya di sini ialah apabila A. Kadir Adabi menjadikan usaha-usaha pembinaan wacana itu sendiri sebagai mekanisme utama dalam membangunkan novel. Ini bererti, pembangunan novel Melati Kota Bharu tidak bergantung sepenuhnya kepada cerita. Alat-alat penceritaan digembeling bukan untuk membangunkan cerita, tetapi untuk menampung pemikiran wacana, dan sekali gus membangunkan ilmu. Adalah jelas bahawa Melati Kota Bharu dibangunkan daripada usaha-usaha serius pengarangnnya untuk membangunkan satu wacana intelektual yang mantap. Ini sekali gus menjawab persoalan yang dibangkitkan pada awal perbincangan, iaitu apakah novel A. Kadir Adabi ini memikul tanggungjawab yang sama dengan tuisan-tulisan ilmiahnya, iaitu menyebarluaskan idea-idea intelektual.

“Lanjutan itu, dan merujuk perkara di atas juga ialah aspek pengkosepsian dan penjanaan novel. Berdasarkan usaha dan strategi pembangunan novel di atas, adalah jelas bahawa pada A. Kadir Adabi: novel dikonsepsikan sebagai wadah ilmiah yang sah dan dapat dipertanggungjawab untuk menyampaikan idea-idea intelektual. Dan dalam pengkonsepsian ini, A. Kadir Adabi tidak menganggap cerita sebagai ilmu, sebaliknya hanyalah sebagai alat yang dapat dimanfaatkan untuk menyalurkan pemikiran dan ilmu.  Oleh kerana itulah, idea-idea intelektual dijana dalam novel secara jelas, substantif dan sistematik. Cerita dan peranan cerita pula dikawal ketat, sesuai dengan fungsinya hanya sebagai alat penyampaian ilmu. Pengawalan ketat cerita inilah yang memungkinkan Melati Kota Bharu mencapai matlamat untuk menyampaikan ilmu dengan jaya dan berkesan. Satu perkara yang mesti diakui ialah sejajarnya pengkonsepsian dan penjanaan novel, dengan al-Quran. Dengan pengkonsepsian dan penjanaan demikian, adalah jelas bahawa pada A. Kadir Adabi: penulisan novel tidak terlepas daripada tanggungjawab Qalam yang menuntut supaya ilmu menjadi teras dalam setiap bahagian penulisan. Pemahaman ini menyimpulkan dengan jelas bahawa tradisi yang mendasari kegiatan penulisan A. Kadir Adabi adalah tradisi persuratan Islam. Tradisi persuratan Islam yang dikenalinya dan dipelajarinya sejak kecil hingga dewasa inilah yang turut menghadirkan Melati Kota Bharu.  Dan tradisi inilah yang rata-rata gagal dikesan dan difahami dalam kajian-kajian terdahulu. Kegagalan inilah yang mendorong kajian-kajian itu menerapkan kaedah bacaan/kritikan moden-Barat, dengan konsep dan terma sastera  yang asing dan bertentangan dengan tradisi persuratan Islam yang mendasari Melati Kota Bharu. Ini jelas tidak dapat berlaku adil  terhadap novel A. Kadir Adabi itu. Dalam konteks ini jugalah, gagasan Persuratan Baru (PB) cetusan Mohd. Affandi Hassan memberikan sumbangannya yang sangat bermakna. Dengan prinsip-prinsip dalam tradisi persuratan Islam yang dihidupkan kembali oleh pencetusnya, PB di satu pihak tampil sebagai satu kerangka bacaan/kritikan yang dapat meletakkan Melati Kota Bharu kembali pada kedudukan dan tradisinya yang tepat. Di pihak yang lain pula, novel Melati Kota Bharu membuktikan secara konkrit bahawa tradisi persuratan Islam yang dihidupkan semula oleh Mohd. Affandi Hassan melalui PB itu, sebenarnya bukan mustahil untuk dilaksanakan dan dibudayakan kembali.”  (Huruf condong dalam teks asal).

Perlu diingat, novel Melati Kota Bharu diterbitkan pada tahun 1939 (sebelum itu diterbitkan dalam majalah al-Hikmah mulai 1934, dan pada tahun yang sama terbit Ilmu Mengarang Melayu oleh Za’ba), lama sebelum munculnya gagasan Persuratan Baru.   Ini bermakna pendapat pengkritik dan sarjana, dan tentu saja para sasterawan sendiri, yang mengatakan gagasan Persuratan Baru mungkin hanya boleh digunakan untuk menganalisis dan menilai karya-karya yang muncul kemudian, bukan yang muncul sebelumnya, terbukti dari analisis Prof. Madya Zariat tidak benar. Pendapat cetek dan tidak logik ini diutarakan untuk melindungi karya-karya para sasterawan negara supaya tidak dinilai semula dengan kritis berdasarkan gagasan Persuratan Baru, kerana terdapat ketakutan yang tidak wajar bahawa karya-karya para sasterawan negara itu akan hilang nilai sasteranya kerana memang diakui karya-karya itu tidak mempunyai tunjang ilmu. Pendapat ini sangat aneh dan tidak masuk akal, bertentangan dengan sifat ilmu dan bertentangan pula dengan dakwaan bahawa karya-karya para sasterawan negara itu boleh ditafsirkan dalam pelbagai “teori” sastera yang wujud pada waktu ini. Jika benarlah dakwaan tentang kepelbagaian makna itu, maka bagaimana pula gagasan Persuratan Baru tidak boleh dipakai untuk melahirkan makna yang pelbagai itu?  Kegersangan ilmu dalam karya para sasterawan negara ini tidak wajar dilindungi dengan tohmahan yang jahat seperti di atas, tetapi sepatutnya dihadapi dengan berani dan jujur tanpa sebarang syak wasangka dan ketakutan untuk dinilai semula dengan menggunakan kaedah yang dianjurkan oleh gagasan Persuratan Baru. Jika dengan menggunakan kaedah itu ternyata penilaian Panel Anugerah Sastera Negara tidak tepat, cetek, keliru dan palsu, maka hakikat itu mesti diterima dengan penuh tanggungjawab ilmiah. Sikap anti-ilmu dan anti-intelektual dalam bentuk apa pun harus dibuang dalam dunia akademik kita.  Kemajuan dalam kesusasteraan (baca persuratan) harus bertunjang daripada pemikiran besar para penulis, bukan berasaskan kecetekan pengetahuan yang tidak disandarkan kepada ilmu. Walau apa pun hujah dan alasan yang dikemukakan, sudah jelas bahawa kesusasteraan dan para sasterawan yang  mengembangkannya telah gagal mendidik masyarakat menjadi lebih cerdik dan mencintai ilmu. Ini bertentangan dengan tradisi persuratan berasaskan Islam yang telah berjaya, sejak beratus tahun, mengembangkan ilmu dalam berbagai-bagai bidang, dan berjaya pula melahirkan para ulama, pendeta, pemikir dan pendidik bangsa Melayu. Usaha para sasterawan melenyapkan tradisi itu dengan menggantikannya dengan tradisi Barat dan nilai-nilai Barat dalam kesusasteraan adalah suatu pengkhianatan dalam pembinaan tamadun kita, oleh itu harus ditolak supaya kita tidak lagi berada dalam alam khayal para sasterawan yang sedang bermimpi akan diberi Hadiah Nobel Sastera, tidak puas dengan gelaran “ sasterawan negara “  yang gah tetapi tidak berisi.  Tugas utama penulis baru  dalam era persuratan ialah mencerdikkan bangsanya dan membina tamadun baru berasaskan ilmu yang benar.

Mohd. Affandi Hassan, 24/12/2010.

Thursday, December 23, 2010

GAGASAN PERSURATAN BARU DAN CABARAN INTELEKTUAL

Ada orang bertanya (siapa lagi jika tidak sasterawan dan sarjana) mengapa gagasan Persuratan Baru tidak disukai, tidak disambut dengan ghairah, padahal kita telah mendengar betapa ghairahnya mereka (siapa lagi jika bukan sasterawan dan sarjana) mengharapkan lahirnya “teori” sastera kita sendiri.  Apa sebenarnya yang mereka mahu?  Saya kira pertanyaan itu agak nakal, sengaja hendak mengenakan saya; apa yang mereka (jika bukan sasterawan dan sarjana siapa lagi) hendak kenakan itu saya tidak pasti. Jadi saya jawab agak nakal, tetapi serius dan penuh sindiran yang boleh dikira tajam menghiris. Kata saya: Sebenarnya mereka pandang rendah orang Melayu, kerana mereka telah diasuh oleh guru-guru mereka di dalam dan luar negeri bahawa  yang bagus-bagus itu mesti datang daripada orang putih, orang Barat, orang asing. Orang Melayu, seperti mereka sendiri, bodoh dan tidak boleh berfikir. Orang Melayu, seperti mereka sendiri, hanya bagus untuk meniru dan menciplak daripada para “pemikir” Barat. Kerana mereka orang Melayu dan bodoh, menurut mereka (siapa lagi jika bukan para sarjana, sasterawan dan pengkritik sastera), maka mereka tidak boleh mengesan siapa-siapa yang menciplak itu, oleh itu mereka puji penciplak idea Barat itu dan suguhkan kepada pembaca sebagai hasil pemikiran yang hebat. Itulah kehebatan mereka.

Satu perkara lagi, kata saya, Mereka ini mungkin tidak mendalam pengetahuannya dalam apa yang mereka sebut “teori” Barat, dan kerana mereka anggap perkara baru, mereka sangat gemar kerana baru mereka jumpa. Mereka membuktikan betapa ceteknya pengetahuan mereka. Ini pula diikuti dengan kesukaran mereka memahami gagasan Persuratan Baru kerana adanya kelemahan kognitif yang jelas di kalangan mereka, kerana hampir semua istilah yang mereka kenal selama ini hampir tidak berguna kerana asingnya seperti yang terdapat dalam gagasan Persuratan Baru. Misalnya, selama ini mereka tidak pernah terfikir pentingnya konsep ilmu yang benar itu dijadikan asas penerokaan ilmu dalam penulisan kreatif dan juga dalam penilaiannya (yakni, dalam kritikan).  Yang paling mengejutkan mereka ialah konsep taklif. Dulu tidak pernah mereka dengar, walaupun dari segi syarak mereka sudah mukallaf. Jangan-jangan mereka pun tidak lagi berapa faham apa makna mukallaf itu, kerana masih berfikir pada peringkat mumayyiz dalam dunia ilmu. Jadi, kesimpulannya, jika benarlah mereka (tentu saja maksudnya para sasterawan, sarjana dan pengkritik) tidak menerima gagasan Persuratan Baru, maka mereka membuktikan, tanpa mereka sedari, bahawa memang benar mereka dari  kumpulan kaum pinggiran (seperti yang ditegaskan oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas) yang ke Barat pun bukan, ke Timur pun bukan. Pengetahuan tentang Barat cetek; pengetahuan tentang budaya sendiri pula kabur dan terpisah-pisah, yakni lebih cetek lagi.  Orang yang bertanya tentu tidak suka mendengar penjelasan atau jawapan itu, tetapi itulah jawapan yang paling tepat dan paling baik untuk menggambarkan kedudukan mereka yang sebenarnya.

Jawapan yang diberikan itu tertumpu pada masalah kognitif. Tetapi ada masalah lain yang lebih berat. Sebenarnya mereka ini terdiri daripada orang-orang yang berpenyakit jiwanya (mungkin ada di antara mereka yang betul-betul sakit jiwa), ditutup oleh perasaan hasad dan dengki, perasaan cemburu dan marah kerana berasa tercabar, dan yang paling utama ialah kebencian yang tidak tertahan lagi apabila gagasan Persuratan Baru, menurut mereka, mencabar semua andaian mereka, semua kaedah yang mereka gunakan selama ini, dan semua penilaian mereka kelihatan begitu remeh dan lekeh apabila dijentik dengan hujah-hujah berdasarkan gagasan Persuratan Baru.  Tentu saja mereka tidak mahu mengaku, untuk melindungi diri mereka daripada dituduh bersikap dan berniat jahat. Sebenarnya mereka akan jadi lebih mulia dan berhemah tinggi dengan mengaku mereka bersikap dan berniat jahat untuk melihat gagasan Persuratan Baru tidak diterima, apatah lagi digunakan sebagai kaedah paling tepat dan berkesan untuk menilai karya kreatif, yang boleh pula dipakai dengan berkesan dalam kritikan dan penulisan karya kreatif, dengan hasil analisis yang memuaskan. Ini telah dibuktikan oleh Prof. Ungku Maimunah dan Prof. Madya Dr. Mohd. Zariat dalam analisis mereka.  Misalnya, jika anda masih ragu-ragu, baca dengan teliti dan kritis analisis Prof. Madya Dr. Zariat Abdul Rani tentang novel Melati Kota Bharu, oleh Abdul Kadir Adabi, seorang genius dari Kelantan pada zamannya.  Kaedah remeh temeh yang dipakai oleh para sarjana yang tahap pengetahuannya peringkat sekolah menengah saja, tidak dapat melihat kekuatan novel itu, malah tidak berupaya dibaca secara intelektual (dalam mod bacaan intelektual, menurut istilah Prof. Ungku Maimunah).

Tentulah menarik jika kaedah yang dianjurkan oleh gagasan Persuratan Baru digunakan pula untuk meneliti, memeriksa kembali, menilai kembali, karya semua sasterawan negara yang sepuluh orang itu. Kita mahu melihat keistimewaan mereka, seperti kita dapat melihat kekuatan karya Abdul Kadir Adabi tadi, dengan menggunakan analisis dan penilaian menurut kaedah gagasan Persuratan Baru. Jika kita betul-betul ikhlas ingin melihat ketinggian mutu karya kita, dan berasa bangga mengenal pasti ketinggian mutu itu, maka jalan untuk mencapainya ialah dengan menggunakan kaedah gagasan Persuratan Baru. Oleh itu, tidak ada sebab untuk sesiapa pun berasa sangsi dan takut untuk menggunakan kaedah itu untuk menilai kembali karya para sasterawan negara kita. Tentulah sangat aneh dan tidak masuk akal jika karya mereka tidak boleh diuji dibatu analisis berasaskan gagasan Persuratan Baru. Kita mesti beri peluang kepada karya para sasterawan negara ini kelihatan bersinar dengan ilmu, yang hanya boleh diketahui dengan tepat dan jitu jika analisis dan penilaian itu berasaskan gagasan Persuratan Baru.  [Nampaknya anda belum faham; oleh itu tidak perlu dijelaskan lagi.]

Mohd. Affandi Hassan,  20/12/2010



Tuesday, December 21, 2010

GOSIP SASTERA DALAM BLOG PENULIS MUDA

Ini zaman gosip. Kita boleh baca gosip di mana-mana. Sejak adanya Internet, gosip sudah dibudayakan. Para sasterawan yang senior pun bergosip, dengan cara mereka. Dewan Sastera selepas Usman Awang sudah jadi majalah gosip sastera, disertai oleh para sasterawan negara sendiri. Kita harus bangga kerana gosip diceburi secara aktif oleh para sasterawan negara sendiri, satu kemajuan yang tidak pernah berlaku sebelumnya.  Jangan berasa aneh jika sasterawan negara pun menulis gosip sastera. Mereka juga manusia, seperti para wartawan akhbar yang sudah menjadikan gosip para artis dan selebriti (siapa mereka ini sebenarnya?) satu budaya bernilai berjuta ringgit, menjadi kegemaran pembaca Melayu tua dan muda. Apa yang kita boleh harap daripada para sasterawan negara ini? Mereka tukang khayal yang telah diterima sebagai seniman sasterawan (atau sasterawan seniman?), yang memang pandai menulis, tapi belum tentu pandai mengarang. Kalau mereka menulis gosip, tentang perkara remeh temeh sekadar untuk diterbitkan setiap bulan, maka itu memang trade mark mereka, jangan berasa hairan. Mereka bukan pemikir, walaupun DBP sudah buat banyak seminar tentang pemikiran mereka. Tapi sukar hendak dipegang kepala apa yang mereka fikirkan. Kita berasa kasihan melihat ahli-ahli akademik, para sarjana kita yang kelas pertama dan bertaraf global pula, tak berdaya hendak mencerakinkan “pemikiran” para sasterawan negara ini. Akhirnya kita dapat kertas kerja bercorak gosip akademik, seperti yang berlaku pada seminar anjuran DBP, 9-10 November 2010 baru lepas.  Tidakkah gosip namanya apabila seorang profesor madya dengan tiba-tiba “naik sheikh” lalu dengan beraninya mengisytiharkan seseorang yang dipuji-pujinya, tanpa sebarang analisis dan hujah yang munasabah,  sebagai seorang “Raja Penyair Malaysia”?  Dalam gosip kita tak perlu punyai perasaan malu atau rasa bersalah; yang penting hanya rasa seronok; oleh itu dengan rasa seronok yang meluap-luap sang profesor madya itu tiba-tiba melantik dirinya sebagai seorang Hakim Besar Sastera!

Tetapi kita masih mundur, masih berada di tempat yang sama, sesudah beratus kali tahun hijrah disambut oleh umat Islam. Orang Islam berhijrah setiap tahun baru, tetapi tidak bergerak. Apa yang berlaku sebenarnya? Kita ambil contoh gosip ini, yang dalam bahasa Melayu lama dipanggil  mengumpat. Sesudah dibudayakan, ketika akhbar yang membela rakyat sudah jadi kaya raya kerana mengumpat (bergosip), maka mengapa budaya gosip, budaya umpat itu tidak dijadikan bahan penyelidikan penting oleh para sarjana kita, dibicarakan dalam kuliah, diajar cara-cara mengumpat yang terbaik dan berkesan, digalakkan para pelajar yang pintar menulis tesis tentang gosip, tentang mengumpat dalam budaya Melayu. Kita belum ada seorang pun lagi yang lulus ijazah tertinggi, Ph.D. dalam budaya mngumpat, dalam budaya gosip ini, padahal kita sudah mempunya ramai pakar sajak-sajak kabur, sajak-sajak sufi (yang lebih banyak mengumpat daripada ucapan bersifat kesufian), sajak-sajak hijau (sekarang orang suka warna hijau, bukan lambang PAS, tetapi lambang alam semesta).  Kita sudah diberi tahu oleh SN Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh dia sudah tulis dan terbitkan 1000 sajak hijau ini. Berapa ramai pensajak kita yang menulis sajak-sajak gosip? Berapa ribu sajak gosip yang sudah ditulis dan diterbitkan? Prof. Rahman Shaari telah memasukkan satu kategori sajak dalam syarahan perdananya, iaitu sajak konfesi. Bolehkan beliau tambah satu kategori lagi dengan memasukkan kategori sajak gosip? 

Gosip boleh diangkat menjadi satu kegiatan budaya yang menguntungkan, seperti yang telah dibuktikan oleh akhbar Utusan Malaysia dan Berita Harian. Para ulama telah menerima gosip, atau dalam bahasa Melayu tua yang sudah tidak dipakai lagi dipanggil mengumpat, sebagai satu “amal” yang tidak bercanggah dengn nilai-nilai Islam.  Para ulama tidak pernah menegur sepatah kata pun bahawa bergosip seperti yang dilakukan oleh akhbar Melayu itu suatu dosa, suatu kesalahan adab yang boleh membuat para penggosip itu dijatuhkan hukuman tidak beradab, atau biadab. Lagi pula setiap minggu kita dihidangkan dengan gosip yang berbagai-bagai jenis, menjadi kegemaran masyarakat Melayu moden yang kaya mahu pun yang masih miskin setelah dibebaskan dari kemiskinan lebih dari setengah abad oleh kerajaan.  Jika dikumpul semua gosip ini, yang diterbitkan setiap minggu dalam edisi khas, maka kita sudah mempunyai tidak kurang dari seratus jilid tebal tentang gosip. Ini menguatkan lagi betapa perlunya gosip dijadikan mata pelajaran wajib di universiti, supaya nanti akan muncul beberapa orang profesor yang membuat pengkhususan dalam bidang gosip, atau yang menjadi pakar gosip.  Di England akhbar The Times menerbitkan edisi khusus tentang kesusasteraan, pendidikan, dan lain-lain yang bukan bercorak gosip. Edisi khusus seperti  The Times Literary Supplement (TLS) memuat tulisan daripada para intelektual terkemuka di negeri itu. Kita boleh tiru dengan mengajak para profesor dan sasterawan kita menulis gosip masing-masing dalam edisi gosip yang diterbitkan oleh Mingguan Malaysia dan Berita Minggu. Kalau gosip sudah dibudayakan, tidak salah dan tidak menjatuhkan maruah untuk para profesor dan sasterawan besar menulis gosip masing-masing dalam edisi gosip yang diterbitkan oleh Mingguan Malaysia dan Berita Minggu.

Di sinilah pentingnya peranan para penulis muda yang mengendalikan blog masing-masing, yang menulis gosip dengan bergaya sastera. Jika anda mengikuti blog para penulis muda ini, anda akan berasa terkejut juga melihat dan membaca begitu banyak gosip dalam posting mereka. Komen-komen yang dibuat oleh teman-teman mereka tidak saja dipenuhi gosip, tetapi amat kaya dengan kata-kata tidak senonoh yang mengecutkan perut anda jika anda sudah berumur.  Misalnya, ada di antara mereka, para penulis muda ini, yang menulis slogan di blog mereka, “Allah lihat apa yang anda buat/tulis”, tetapi menulis seperti mereka tidak sedar slogan mereka sendiri.  Demikian kuatnya pengaruh gosip dalam kehidupan mereka.  Bahasa yang digunakan amat dahsyat yang boleh membuat kita terbeliak biji mata. Tetapi jika kita sabar, terus membaca, kita akan dapat lihat logiknya. Inilah pembaharuan yang diidamkam-idamkan oleh para sasterawan, dan mereka mendapat peluang membuat pembaharuan itu melalui blog mereka. Berasaskan kenyataan ini sahaja pun sudah jelas betapa perlunya kita mempunyai pakar gosip yang bertaraf profesor, yang boleh didudukkan setanding dengan profesor kesusasteraan dan profesor linguistik atau profesor semiotik (jika sudah wujud, tapi rasanya belum lagi).  Profesor semiotik ini tentu saja boleh membaca beratus makna yang mendalam daripada tanda-tanda yang berada di dalam budaya gosip itu.  Seperti yang kita sudah tahu, para sarjana, pengkritik sastera dan para profesor sastera, sangat gemar menilai sesuatu karya kreatif apa jenis pun dengan melihat ada pembaharuan atau tidak. Lihat saja laporan Panel Anugerah Sastera Negara, yang memang gemarkan pembaharuan, kerana bagi orang-orang yang sejenis dengan mereka setiap pembaharuan adalah kemajuan. Termasuk di dalamnya ialah gosip, dan ini memang diketahui oleh para penulis muda yang mengendalikan blog masing-masing, diketahui juga oleh para sahabat mereka yang menulis komentar. Mustahil tidak diketahui oleh para profesor atau sarjana sastera.

Sekarang zaman orang buat wang. Tak kira dengan cara apa saja. Dengan itu kisah-kisah al-Quran disusun begitu rupa, diberi nama tertentu, dijadikan model menulis cerita, maka jadilah perdagangan cerita al-Quran. Kalau anda mahu tahu, ini sejenis gosip yang ada standard sedikit, kerana dikaitkan dengan Kitab Suci. Tetapi tetap gosip sifatnya, kerana yang lahir daripada program seperti ini ialah cerita-cerita ringan untuk hiburan. Ini prinsip perniagaan sekarang. Mesti ada hiburan, kerana hiburan itulah yang boleh menarik minat pembaca untuk membaca dan membeli buku. Adakah ini satu penyelewengan ilmu? Kata para ulama muda, itulah cara terbaik dan berkesan untuk berdakwah. Yakni, berdakwah sambil bercerita. Itu cara Islam, kata mereka. Dan pendapat ini nampaknya sudah diterima dengan baik, tidak boleh diungkit apa-apa lagi, kerana yang memberi pendapat itu orang yang dikira ada pendidikan agama, tahu bahasa Arab, berakhlak Islam dan sebagainya. Tetapi sebenarnya tidak semudah itu, kerana cara begitu adalah timbul daripada prinsip bercerita di kalangan para sasterawan sekular yang menggunakan agama. Adakah mereka penjual agama? Yang pasti, mereka menjual buku-buku cerita yang diselang-seli dengan nasihat agama, dan ada pula pembaca yang sukakan itu, jadi buku boleh dijual, penerbit dapat banyak wang, demikian juga penulis. Kedua-duanya puas hati. Pembaca pun puas hati kerana terhibur. Tetapi ke mana pun hujah itu dibawa, akhirnya pulang kepada prinsip gosip juga. Demikian kuatnya tarikan gosip ini dalam zaman teknologi maklumat yang mengejutkan ini.

Mohd. Affandi Hassan, 21/12/2010.

Friday, December 17, 2010

PERSATUAN PENULIS WAJAR BERSIKAP ANTI-ILMU

Baru-baru ini saya ditanya oleh beberapa orang sasterawan dengan suatu pertanyaan yang saya kira aneh. Kata mereka: Mengapa persatuan penulis di negara kita bersikap anti-ilmu? Mengapa mereka tidak berminat berbahas tentang ilmu? Saya kira pertanyaan itu aneh kerana saya pernah mengemukakan pertanyaan yang agak sama kira-kira 40-50 tahun dahulu, ketika persatuan penulis tumbuh di setiap daerah dan ceruk bandar di Malaysia.  Saya memberitahu mereka, saya pernah diseranah oleh ketua-ketua persatuan penulis kerana mengkritik mereka mengabaikan perkembangan ilmu, tidak memperdulikan kebajikan penulis, lebih berminat mencari pengaruh terutama sekali di kalangan ahli-ahli politik yang berkuasa. Kemuncaknya ialah, seorang pemimpin besar mereka menyeranah saya dengan berkata, “itu orang gila!”. Jadi apabila perkara ini timbul kembali, saya fikir para sasterawan sudah salah faham, seperti saya pernah dituduh dahulu. Sekarang saya berpendapat, persatuan penulis tidak seharusnya memasukkan ke dalam agenda mereka soal-soal yang bercorak keilmuan, misalnya dengan membincangkan secara serius soal-soal seperti kedudukan ilmu dalam penulisan kreatif, tentang pengaruh Barat yang dikatakan memberi sumbangan negatif dari segi perkembangan ilmu, tentang pemikiran para sasterawan, terutama yang sudah bergelar sasterawan negara, dan lain-lain yang mengarah kepada perbincangan tentang peranan ilmu dalam penulisan. Semua ini tidak wajar dijadikan isu dalam persatuan penulis, tetapi wajar dibincangkan di kalangan ahli akademik, para pengkritik, dan mungkin juga di kalangan para “pemikir” sastera sekiranya kita mempunyai “pemikir”  sastera.

Persatuan penulis tidak mungkin memberi pandangan yang bernas dalam soal-soal keilmuan, kerana bukan itu matlamat mereka ditubuhkan. Persatuan penulis adalah sejenis NGO yang lebih berminat menggembeling para penulis untuk berkenalan sesama mereka, dan menjadi jambatan antara kerajaan atau badan-badan kerajaan untuk mendapat apa-apa faedah yang layak  diberikan kepada para penulis (atau golongan/kelompok penulis tertentu).  Kemunculan persatuan penulis memudahkan kerajaan atau badan-badan kerajaan seperti DBP, kementerian yang dulunya dipanggil Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan, menyalurkan bantuan atau apa-apa juga kemudahan yang wajar diterima para penulis (misalnya menentukan siapa yang layak diberi anugerah atau gelaran). Semua ini berkaitan dengan memberi prestij kepada para penulis atau sasterawan yang dikira layak menerimanya.  Tetapi tidak semua inginkan prestij jenis itu. Dr. Fatimah Busu misalnya menolak SEA Write Award kerana beliau lebih mementingkan maruahnya sebagai seorang seniman; dan beliau juga mungkin tidak berminat digelar “sasterawan negara” walaupun ramai yang menganggap beliau sudah lama layak diberi gelaran “berprestij” itu.  Tidak pernah kita dengar mana-mana badan penulis “memujuk” anggotanya supaya menerima apa-apa juga pemberian yang diberikan kepada mereka; malah lebih kerap kita mendengar mereka membantah atau menentang apa-apa juga pemberian terhadap orang-orang (atau penulis) tertentu dengan mengemukakan sebab-sebab yang munasabah menurut pandangan mereka.  Semua ini wajar dilakukan oleh persatuan penulis kerana salah satu peranan persatuan penullis yang penting ialah menentukan kedudukan para penulis/sasterawan terus dihormati dan dipandang tinggi oleh masyarakat. Jika badan-badan penulis, atau ketua-ketua badan penulis terlibat dalam soal-soal keilmuan, maka mereka akan terjebak ke dalam polemik yang boleh meruntuhkan persatuan penulis dan keharmonian yang sudah lama dibina dengan badan-badan kerajaan dan ahli-ahli politik. Itu sebabnya pada mulanya GAPENA berdiam diri melihat PPSMI dilaksanakan; hanya pada saat akhir barulah badan induk itu bangun dengan lantang “menentang” PPSMI setelah orang lain mengadakan tunjuk perasaan menentang PPSMI. Sikap GAPENA adalah wajar, menunjukkan kedewasaan dan kebijaksanaan  para pemimpin badan itu yang tidak mahu terlibat dalam apa juga kontroversi.  Dengan itu semua para penulis/sasterawan terselamat. Hanya bahasa Melayu sahaja yang diperlekehkan, termasuk oleh para “pejuang” bahasa Melayu sendiri sebelum mereka mendapat kedudukan yang selesa.

Dengan menjauhkan diri dalam sebarang kegiatan yang bersifat ilmu, atau membicarakan persoalan ilmu dalam kesusasteraan, maka badan-badan penulis tidak terlibat dalam apa-apa juga bentuk polemik yang merugikan para sasterawan atau penulis. Ingat saja bagaimana kalutnya keriuhan antara dua kumpulan sasterawan dalam tahun 1950-an, yang mewakili kumpulan “seni untuk masyarakat” dan “seni untuk seni”.  Menurut pandangan para sarjana dan ahli akademik, polemik itu sia-sia, dan memalukan bangsa Melayu, seperti yang pernah disebut oleh Prof. Dr. Sahlan Mohd. Saman. Menurut beliau: “Tragedi polemik kelompok Asraf “Seni Untuk Masyarakat” dengan kelompok Hamzah “Seni Untuk Seni” dalam dunia kritikan sastera dekad itu telah merugikan sejarah sastera dan martabat keintelektualan Melayu” (Teori dan Kritikan Sastera Melayu Serantau, hal. 511). Dari segi positifnya, polemik ini nampaknya telah membijaksanakan para pemimpin persatuan penulis. Oleh itu lebih bijaksana jika ketua-ketua badan penulis menyisihkan diri mereka dan persatuan yang mereka pimpin daripada terlibat dalam apa juga jenis kegiatan yang bercorak keilmuan. Bukan tugas mereka, dan tidak pernah menjadi matlamat mereka untuk menyebarkan ilmu, atau untuk membina budaya ilmu.

Mohd. Affandi Hassan, 17/12/2010.