Akhir-akhir ini banyak sekali kita dengar rintihan, rungutan, kesalan, kemarahan, dan entah apa-apa lagi mengenai bahasa Melayu. Perlukah kita tangisi nasib bahasa Melayu? Saya kira bahasa Melayu masih hidup dan semakin baik kedudukannya sebagai bahasa negara. Cuma akhir-akhir ini saja terdapat sedikit kekeliruan daripada ahli-ahli politik, di kalangan UMNO atau UMCO (nama baru yang agak popular sekarang) terutama sekali. Kekeliruan itu timbul daripada kelemahan bahasa Melayu mereka, yakni mereka tidak boleh bercakap Melayu dengan fasih dan tidak boleh berfikir dalam bahasa Melayu. Oleh itu mereka campur-campur bahasa Inggeris dan bahasa Melayu dalam percakapan dan ucapan mereka. Masalahnya ialah, bahasa Inggeris mereka juga tidak lancar, menyebabkan mereka tergagap-gagap mencari nafas ketika ingin menyampaikan sesuatu. Mengapa jadi begini? Mereka adalah hasil pendidikan Malaysia yang telah gagal melahirkan manusia yang cekap berbahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Dalam sistem pendidikan yang kita ada, terjadi jungkir-balik dari segi memahami keperluan ilmu dan kemahiran berfikir. Sepatutnya kita perkuatkan (sekarang orang kata, perkasakan) kemahiran berbahasa ini sebagai teras utama dalam sistem pendidikan, diikuti dengan pengajaran matematik. Dua mata pelajaran ini adalah teras kemajuan, teras pembinaan tamadun. Apa yang kita buat ialah menjadikan anak-anak kita bodoh dengan tidak memberi mereka peluang menjadi pengguna bahasa yang kompeten, yang boleh berfikir dengan teratur dalam berbahasa dengan menguatkan kemahiran mereka dalam ilmu matematik. Dua mata pelajaran ini berkaitan rapat: ilmu matematik memberi kita sistem untuk berfikir; bahasa pula memberi kita kebolehan untuk menyuarakan secara sitematis apa juga yang ingin kita ucapkan. Kita menjadi bisu dan bodoh apabila kerajaan mengutamakan sains dan teknologi. Itulah punca kelemahan kita berbahasa dan berbicara dengan sistematik. Dasarnya (bahasa dan matematik) tidak kita perkuatkan, yakni bahasa dan matematik. Kecelakaan ini terjadi kerana para pembuat dasar pelajaran tidak mengenal tamadun dunia secara dekat, terutama tamadun Islam. Jika mereka kenal tamadun Islam secara dekat, mereka akan tahu bahawa sebelum lahirnya Al-Farabi, Ibn Sina dan ahli sains Islam yang lain-lain, termasuk ahli matematik, sudah dikanunkan terlebih dahulu bahasa Arab dan sastera Arab dan nahu Arab. Pada waktu yang sama mereka mempelajari logik dan matematik. Dua ratus tahun kemudian barulah lahir tokoh-tokoh besar dalam berbagai jenis ilmu sains ini. Tak bolehkah kita jadikan ini panduan kita?
Mengenai sastera Melayu. Mengapa mesti ditangisi? Jika anda tahu bagaimana sejarah kesusasteraan Melayu moden dilahirkan, anda akan rasa bahagia dan gembira sekiranya sastera Melayu moden itu sedikit demi sedikit hapus. Tamadun kita mementingkan persuratan, yang melaluinya kita lahirkan pendita, ulama, para pengarang. Tamadun kita tidak kenal sasterawan dan tidak menghargai sasterawan. Hanya akhir-akhir ini saja kita tersasul jauh daripada dunia persuratan itu dan tenggelam dalam dunia sastera yang tidak memberi apa-apa yang istimewa jika dibandingkan dengan dunia persuratan yang telah melahirkan ribuan ulama dan cerdik pandai kita. Jika anda tidak kenal mereka, maka itulah tandanya anda sudah mabuk, betul-betul mabuk dalam sastera dan sasau dalam dunia yang tidak memberi apa-apa faedah dari segi intelektual. Fikirkanlah. Kita harus berbangga jika kita akhirnya akan kembali kepada persuratan dan meninggalkan sastera. Tidakkah kita telah silap besar? Kalau anda masih keras kepala, maka ketahuilah anda telah ditipu oleh faham sastera yang merugikan anda, tetapi anda tidak tahu atau terlalu degil untuk menerimanya. Anda perlu tahu, sebaik saja sastera Melayu moden diajarkan di universiti, maka bermulalah kebodohan umat Melayu tentang tamadun mereka. Bermulalah juga penggunaan bahasa Melayu yang tidak bersifat ilmah, tidak berciri intelektual, apabila bahasa Melayu dikaburkan dengan bahasa-bahasa "sastera" (kononnya) yang mengutamakan hawa nafsu, emosi, dan kebebasan menulis yang tidak berasaskan ilmu. Sesiapa juga yang mahu pertikaikan kesimpulan ini, silakanlah. Kemukakan hujah anda secara ilmiah, bukan mengikut perasaan. Kita harus ajar kembali rakyat kita mencintai ilmu, bukan lagi diri sendiri seperti yang diutamakan dalam karya sastera.
Mohd. Affandi Hassan, 25/11/2010.
No comments:
Post a Comment