Kertas ini berpendapat anugerah sastera negara tidak wajar diteruskan, kerana kesan negatifnya seperti yang ditunjukkan itu terlalu besar dan merosakkan untuk dibiarkan berlanjutan. Supaya para sasterawan negara yang ada tidak terbiar sehingga terpaksa mencari wang untuk memulai perniagaan sastera (seperti yang dilakukan oleh SN A. Samad Said yang mendapat wang RM450,000 daripada kerajaan Melaka untuk memulai perniagaan sasteranya), maka yang masih hidup wajarlah diberi pencen bulanan bertaraf menteri sesuai dengan kedudukan dan jasa mereka kepada negara dan kerajaan yang melantik mereka. Mereka juga diberi kelayakan untuk menghadiri majlis-majlis rasmi kerajaan yang sesuai, dengan pakaian rasmi lengkap yang disediakan oleh kerajaan, sebagai wakil para sasterawan, seperti kedudukan yang diberikan kepada bintang filem yang dilantik menjadi senator. Semua kemudahan dan penghormatan ini diberikan untuk mengelak mereka daripada menulis karya erotik dan lucah atau karya-karya tidak bermutu untuk memastikan kedudukan kewangan mereka sentiasa terjamin.
Sudah jelas bahawa terdapat sasterawan negara menggunakan gelaran itu untuk menghasilkan karya-karya erotik, pornografi, karya-karya yang bertentangan dengan konsep ilmu yang benar dan tidak pula selaras dengan kebudayaan Melayu/Malaysia, pendeknya karya-karya yang sangat negatif dari segi nilai dan tidak pula bermutu sebagai hasil kreatif.
Sebiji kudis besar dalam sastera Melayu moden ialah kewujudan SEA Write Award untuk para penulis ASEAN. Hadiah ini tidak lebih daripada sejenis permainan politik sastera/budaya yang tidak ada kaitan dengan mutu karya para pemenang (kecuali beberapa orang dalam jumlah yang kecil sekali). Hadiah ini sejenis “hadiah makan angin” yang tidak meninggikan martabat penulis Melayu/Islam, malah menjatuhkan maruah mereka sebagai pejuang kebenaran dan kemanusiaan yang mereka rakamkan dalam karya mereka. Ketika umat Islam, para ulama dan cerdik pandai Islam dibunuh beramai-ramai di Patani (harus dibezakan dengan Pattani, sebuah wilayah), yang terjadi sejak lebih seratus tahun, maka para sasterawan dibawa “makan angin” di Bangkok untuk menerima SEA Write Award ini. Maruah para sasterawan Melayu/Islam hanya dapat dikembalikan jika mereka menolak hadiah ini, atau jika dihapuskan terus. Tetapi keputusan begini amat sukar, kerana hadiah ini sudah dijadikan batu loncatan untuk melayakkan seseorang sasterawan menerima anugerah sastera negara (walaupun ada yang menerimanya kemudian, selepas diberi anugerah itu). Walau bagaimanapun, hadiah SEA Write Award ini wajar difikirkan kembali dengan mendalam oleh para sasterawan yang dalam kehebatan mereka sebagai pejuang kemanusiaan sanggup membela manusia tertindas, yang miskin atau yang melacurkan diri, oleh itu tidak munasabah jika mereka membiarkan saja pembunuhan kejam ke atas saudara mereka di Patani. Apa pun juga alasan yang diberikan, dalam konteks politiknya tetap merugikan para sasterawan dari segi maruah mereka; manakala dalam konteks sasteranya pula hadiah ini tidak mengubah status sasterawan yang menerimanya, walaupun nama hadiah itu diletakkan di belakang namanya (berbanding dengan SN yang diletak di depan nama, seperti gelaran Datuk atau Tan Sri!). Sebaliknya, jika kita benar-benar ingin mengekalkan hadiah ini dan memberi sedikit prestij kepada penerimanya, maka wajarlah jika setiap penerima hadiah ini diberi gelaran “Datuk” secara automatik. Jika tidak, hapuskan saja!.
Hadiah Persuratan Petronas
Pada waktu ini perancangan program kesusasteraan memberi tumpuan berlebihan kepada para sasterawan negara saja, seolah-olah di Malaysia sekarang hanya terdapat sembilan orang sasterawan yang berkualiti. Bagaimana dengan penulis lain? Mahu juga kita dengar program untuk mereka, dengan misalnya diadakan seminar membicarakan tokoh-tokoh seperti Ahmad Boestamam sebagai sasterawan, atau Dr. Burhanuddin sebagai seorang ahli fikir Melayu dalam agama dan politik dengan membicarakan bagaimana dua orang tokoh ini menggunakan bahasa Melayu yang baik untuk menyampaikan idea mereka. Kita juga ingin tahu pemikiran Abdul Rahim Kajai tentang masalah sosial dan politik di zamannya, juga pemikiran Syed Sheikh al-Hadi tentang peranan media dalam dakwah di zamannya; atau tentang Ahmad Bakhtiar, Harun Muhammad Amin dan lain-lain pengarang Melayu yang terkenal.
Dari memberi tumpuan kepada sastera dalam pengertiannya yang sempit, DBP harus meluaskan skopnya dengan memberi tumpuan kepada persuratan Melayu, dengan mengadakan program terancang untuk memajukan persuratan Melayu. Karya persuratan daripada para pengarang dan pemikir Melayu dan Nusantara, seperti Hamzah Fansuri, Nuruddin al-Raniri, Amir Hamzah, Sutan Takdir Ali Sjahbana, Za’ba, Hj. Agus Salim, Muhammad Hatta, Soekarno, Syed Muhammad Naquib al-Attas, Dr. Burhanuddin dan lain-lain pengarang/pemikir terkenal seharusnya dipilih untuk dijadikan teks dalam mata pelajaran persuratan Melayu di sekolah-sekolah; tidak dibataskan kepada karya sastera yang bercorak kreatif saja. Hanya yang betul-betul terbaik daripada karya kreatif itu dipilih, tidak termasuk karya-karya baru daripada sasterawan yang belum teruji lagi. Dicadangkan supaya DBP berusaha mendapatkan kerjasama Petronas dalam program membangunkan persuratan Melayu ini. Petronas wajar dilibatkan dalam kegiatan yang bersifat intelektual dan budaya tanpa mengganggu program yang sedia ada. DBP wajar mencadangkan kepada Petronas untuk mewujudkan satu hadiah untuk menggalakkan perkembangan persuratan Melayu dalam semua bidang dengan mewujudkan Hadiah Persuratan Petronas setiap tahun, diberikan kepada sesiapa juga yang menulis dalam bahasa Melayu dalam bidang ilmu yang terpilih. Hadiah itu hendaknya tidak kurang daripada RM100,000/- setiap satu, dikeluarkan setiap tahun untuk (1) bidang matematik dan sains (ini termasuk perubatan, pergigian, kimia, fizik dll), (2) bidang sosiologi dan kemanusiaan (termasuk perundangan), dan (3) bidang bahasa (linguistik) dan cereka (novel, cerita pendek, drama dll). Tiap-tiap tahun kita berikan hadiah kepada tiga orang tokoh yang berjasa dalam bidang-bidang ini. Pemberian hadiah kepada para ilmuwan akan mendatangkan faedah yang sangat besar dalam memajukan pemikiran dan memartabatkan lagi bahasa Melayu. Penghargaan seperti ini kita berikan kepada para penyelidik perubatan, pertanian, kimia dan lain-lain, di samping sumbangan bermakna para sarjana kemasyarakatan dan lain-lain. Kita dengan itu mendemokrasikan ilmu, tidak hanya mengehadkan kepada penulis kreatif saja. Ini bermakna kita berpindah dari sastera kepada persuratan. Maksud kesimpulan ini perlu difahami dengan jelas supaya sebarang kekeliruan yang akan timbul dari tafsiran yang salah tidak dijadikan pegangan.
Peraduan Menulis Novel Persuratan
Cabaran Abad 21, menurut pandangan saya, ialah memulai satu janru (istilah Jepun untuk genre) baru dalam penulisan kreatif. Saya telah mencadangkan dalam banyak tulisan betapa pentingnya kita membahagikan karya kreatif itu dalam tiga kategori besar: (1) karya persuratan; (2) karya sastera; dan (3) karya picisan/erotik/lucah. Pembahagian ini akan memudahkan kita membuat penilaian yang tepat, dengan itu kita dapat mengukur sejauh mana kita telah maju dalam bidang kreatif ini. Pada waktu ini pembahagian itu tidak jelas, oleh itu panel anugerah sastera negara sendiri mencampuradukkan antara karya “bermutu” dalam kategori karya sastera dengan karya “picisan” dalam kategori karya picisan/erotik/lucah. Ketika membicarakan sastera Islam pun para sasterawan dan sarjana tidak dapat membezakan dua kategori ini, lantas sebuah karya picisan dan lucah seperti TIVI diterima sebagai sebuah karya Islam mithali kerana penulisnya melabelkan demikian, padahal dari segi “sastera”nya lebih tepat dikategorikan sebagai karya picisan dan lucah.
Sekarang sudah sampai masanya kita mula menulis karya persuratan yang berasaskan konsep ilmu yang benar. Caranya masih samar-samar, masih tidak jelas kepada para penulis dan masih dianggap terlalu ideal oleh para sarjana dan pengkritik sastera. Oleh hal yang demikian, kita harus melaksanakan sejenis “eksperimen kreatif” untuk menggalakkan lahirnya karya persuratan itu. Dengan itu dicadangkan semacam peraduan menulis novel persuratan yang dikendalikan dengan cermat untuk memastikan hasilnya benar-benar tepat dengan kategori yang dimaksudkan. Cara yang dicadangkan di sini boleh digunakan oleh mana-mana organisasi yang berminat melaksanakannya.
Pada peringkat awal, para penulis diberitahu melalui siaran akhbar dan elektronik maklumat tentang peraduan itu. Para penulis kemudiannya diminta mendaftarkan nama mereka untuk menyertai peraduan itu, selepas diadakan pilihan awal berasaskan profil yang mereka kemukakan kepada urus setia. Hanya 30 orang yang memenuhi syarat awal saja dijemput menghadiri taklimat terperinci mengenai konsep “novel persuratan”. Satu majlis dialog dan perbincangan terbuka diadakan bersama peserta. Tujuan pertemuan ini ialah untuk memberitahu peserta peraduan beberapa konsep penting mengenai novel persuratan, terutama konsep wacana dan cerita dan konsep stylization of ideas, dan peranan konsep taklif dalam seni mengarang. Kefahaman itu penting bagi penulis supaya mereka tidak terus menulis novel sastera atau novel picisan yang sudah biasa mereka buat atau akan buat. Tujuan penjelasan ini dan eksperimen peraduan menulis novel persuratan ini bukan untuk menyekat kebebasan para penulis; tetapi hanya untuk memberi kefahaman kepada mereka apakah novel persuratan itu. Seterusnya urus setia akan menyediakan beberapa orang pakar runding yang boleh memberi nasihat setiap masa kepada sesiapa juga yang memintanya ketika mereka menulis novel itu. Ini untuk menjamin penulisan novel itu benar-benar berdasarkan konsep taklif dan konsep ilmu yang benar. Dalam penilaian nanti, hanya lima (5) buah dipilih untuk diberi hadiah yang sama jumlahnya, dicadangkan RM20,000 ke atas, mengikut budi bicara penganjur. Semua karya yang terpilih akan diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.
Organisasi mana yang akan menganjurkan peraduan ini dan siapa pula yang akan menyediakan hadiah dan ongkos penyelenggaraannya terbuka untuk dipilih oleh pihak yang berminat. Sekadar satu bayangan, jika Dewan Bahasa dan Pustaka tidak berminat kerana terlalu sibuk dengan program yang lebih penting, maka sebuah organisasi penulis seperti PENA boleh mempelopori projek ini (tentu saja dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka juga). Atau jika tidak ada yang berminat kerana lebih berminat dan lebih selesa berada dalam status quo yang ada, tidak mahu melakukan ‘anjakan paradigma’, maka tidak salah kita menunggu 30-40 tahun lagi, selepas tercapainya (?) Wawasan 2020 yang lebih penting, untuk memulai satu program memajukan pemikiran bangsa kita. Tetapi jika kita sudah punya penulis genius yang berbakat besar dan mendalam pula ilmunya, dengan izin Allah SWT kita akan dapat membaca novel persuratan itu dalam masa terdekat. Insha Allah.
Penutup
Jalan keluar yang disarankan oleh kertas ini untuk mewujudkan Hadiah Persuratan Petronas dan Peraduan Menulis Novel Persuratan akan tertumpu ke arah perkembangan ilmu yang dihidangkan dalam bahasa Melayu yang bermutu tinggi, oleh para ilmuwan dan kalangan profesional di negara kita, di samping tulisan-tulisan kreatif yang tidak lagi berdolak-dalik tentang bahasa dan tema, tetapi terus mencerminkan ketinggian bakat, kedalaman ilmu pengarangnya yang menulis dalam konteks konsep ilmu yang benar. Di sinilah relevannya gagasan Persuratan Baru. Oleh itu semua sasterawan, sarjana, pengkritik dan ahli akademik tidak mempunyai pilihan selain memahami atau sekurang-kurangnya mengetahui dengan cukup jelas prinsip-prinsip utama dalam gagasan Persuratan Baru. Jika tidak, mereka akan terus ketinggalan dan mungkin akan tertawa kering apabila ditanya, megah bermain dengan ular palsu seperti ahli sihir Firaun. Amanah intelektual ini tidak boleh diabaikan untuk mempertahankan integriti intelektual mereka, kejujuran intelektual mereka. Jaminan ini sangat penting, kerana kita tidak mahu lagi “menderita malu besar” apabila penilai dan tokoh yang kita sanjung dan beri anugerah didapati foni, tidak sehebat yang disangka. Kita tidak harus sesat seberapa jauh yang kita mahu.
Epilogue: Amaran Akhir
Sesiapa juga pengguna ilmu yang serius berhak menilai dengan kritis sebarang tulisan akademik atau kreatif, asal saja dia memberikan hujah dan bukti yang boleh disanggah atau dipersetujui oleh pembaca lain. Sesiapa juga yang telah menerbitkan tulisannya, di mana sekali pun, dalam bentuk apa pun juga, harus bersedia untuk dikritik dan dinilai dengan tegas. Jika dia tidak sanggup menghadapi keadaan itu, kerja yang paling sesuai untuknya ialah sama ada pergi mengail, atau bekerja bendang, atau memelihara ayam atau binatang ternak pilihannya. Ini telah dibuat oleh beberapa orang, walaupun masih menulis dan masih bangga memperagakan kecetekan ilmunya
Salam En. Affandi, setelah membaca entri terbaharu En. saya mendapati bahawa sangat wajar diadakan sayembara Hadiah Persuratan. Hal ini disebabkan lambakan karya "sastera" dipasaran yang bersifat "popular" semata-mata. Teruskan dengan hujah-hujah tuan. Saya percaya ia mampu mengubah "dunia sastera" tanahair. Wasalam.
ReplyDelete