Wednesday, November 10, 2010

SEA WRITE AWARD DAN MARUAH PARA SASTERAWAN


Perlukah sasterawan mempunyai maruah? Tidak perlu. Maruah hanya akan menjadi hambatan untuk para sasterawan mencapai cita-cita “luhur”nya, iaitu mendapat sebanyak-banyaknya pengiktirafan berupa hadiah, anugerah, gelaran dan lain-lain yang dikira boleh menaikkan markah seseorang sasterawan. Maruah hanya perlu dipunyai oleh orang-orang yang tahu harga diri, sangat  tegas menjaga harga dirinya, sehingga sanggup mempertahankan harga dirinya  dengan apa juga cara. Para sasterawan di Malaysia belum pernah diuji sejauh itu, oleh itu mereka belum lagi faham makna dan maksud harga diri. Sebaliknya mereka berlumba-lumba mencari peluang untuk mendapat seberapa banyak hadiah, anugerah, gelaran dan sebagainya yang boleh mereka tonjolkan apabila nama mereka disebut dalam majlis atau dalam biografi mereka.

Dalam perlumbaan itu, mereka tidak ragu-ragu meragut apa juga hadiah dan anugerah yang disodorkan kepada mereka, meskipun hadiah dan anugerah itu terang-terang menjatuhkan maruah mereka sebagai sasterawan yang kononnya memperjuangkan hak-hak kemanusiaan  sejagat. Hingga ini belum ada lagi para sasterawan Malaysia menolak apa-apa juga anugerah yang dikira boleh menjatuhkan maruah mereka. Misalnya, belum ada yang menolak SEA Write Award dari Thailand, meskipun mereka tahu  serdadu Thai telah membunuh beribu ulama dan rakyat Patani, bangsa satu agama dan serumpun dengan mereka. Seorang tokoh besar   seperti Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh telah bersumpah: “aku telah belajar/ jadi kurang ajar”, namun dia  tidaklah sehabat kata-katanya yang kedengaran bengis dan berani. Dia pun menerima SEA Write Award yang dikiranya lebih tinggi derjatnya daripada gelaran “sasterawan negara” yang telah dihadiahkan kepadanya.    

Kita tidak boleh menyalahkan para sasterawan  yang istimewa ini, kerana semua tindakan mereka pada dasarnya tidak diasaskan kepada konsep taklif, yang sudah jelas mereka tidak tahu kewujudannya dan mereka tidak sedar diri mereka terikat kepada taklif. Jika mereka tahu dan sedar bahawa mereka terikat kepada taklif, mungkin mereka akan mempertahankan maruah mereka dengan gigih dan berani, dan tidak akan menerima apa pun juga hadiah dan anugerah yang bertentangan dengan hakikat taklif itu. Dari segi ini, mereka adalah terdiri daripada golongan orang-orang yang jahil, oleh itu mereka wajib diperingatkan supaya mereka tidak kesasar begitu jauh dari hakikat taklif itu.   Mereka tidak pernah dengar nama ulama besar Shah Wali Allah dari India, yang menjelaskan bahawa setiap manusia, sama ada Islam atau tidak, Melayu atau lain-lain keturunan, terikat kepada hakikat taklif itu. Bezanya ialah, orang Islam sentiasa diperingatkan tentang hakikat taklif itu; manakala yang bukan Islam atau yang Islam tetapi jahil dan cetek ilmunya tidak tahu bahawa mereka terikat kepada hakikat taklif itu.    Oleh itu, orang-orang yang jahil dan menjadi sasterawan yang mengejar gelaran dan glamour ini tidak sedikit pun menjadikan taklif sebagai panduan hidup mereka. Kerana mereka jahil, dan tidak tahu siapa Shah Wali Allah, ulama  besar itu, maka mereka meremehkan saja apa juga maklumat yang mereka dapat tentang hakikat taklif, sebagai sesuatu yang asing dan tidak kena mengena dengan kesusasteraan yang tetap menjadi pilihan utama mereka ketika akan membuat sesuatu keputusan: sama ada memihak kepada kesusasteraan atau kepada hakikat taklif.

Apakah hakikat taklif itu? Shah Wali Allah berkata dalam kitabnya, Hujjatu’Llah al-Balighah, bahawa taklif itu mempunyai tiga rahsia (sirrul-taklif): ilmu pengetahuan, keadilan, usaha dan ikhtiar. Manusia yang sedar akan hakikat taklifnya akan berusaha mendapatkan ilmu yang benar, yakni yang berasaskan al-Quran dan Sunah; supaya dia dapat berlaku adil dalam kehidupannya; dengan itu dia akan berusaha untuk membuat keputusan terbaik dalam sesuatu perhitungan. Termasuk menerima atau menolak SEA Write Award jika dia seorang sasterawan Islam.  Itulah hakikatnya. Tetapi semua sasterawan Islam yang telah menerima SEA Write Award tidak akan menerima penjelasan ini. Mereka berhujah, SEA Write Award tidak kena mengena dengan hakikat taklif, kerana anugerah itu adalah simbol kerjasama negara-negara ASEAN untuk mencapai keadilan dan keamanan yang menjadi dasar perjuangan seluruh sasterawan seluruh dunia.Taklif hanya untuk orang Islam, yang tidak ada kaitan sama sekali dengan kesusasteraan. Anda tidak usah terkejut jika hujah itu digunakan juga oleh para pensajak (bukan penyair) yang menggelar diri mereka pensajak sufi. Apakah jenis “sufi” yang tidak menerima hakikat taklif? Cuba anda perhatikan hujah ini baik-baik. Apakah bau yang tercium oleh anda? Jika anda tidak berbau apa-apa, kembalilah kepada permulaan kejadian Nabi Adam ‘a.s. yang ditempatkan oleh Allah Ta’ala di dalam syurga, dengan satu larangan: jangan mendekati pohon itu, nescaya kamu akan menjadi orang yang zalim. Datang Iblis membisikkan, Tuhan kamu tidak benarkan kamu mendekati “pohon khuldi” (nama yang diberikan oleh Iblis sendiri) itu supaya kamu tidak kekal dalam syurga. Jika kamu mahu kekal dalam syurga, dekatilah pohon itu.    Jika anda seorang sasterawan Islam, anda tahu cerita seterusnya. Apakah kaitan taklif dengan kisah ini? Anda akan tahu jika anda membuka al-Quran dan membaca dengan teliti kisah itu; kemudian mendapatkan bantuan para ulama tafsir untuk mengetahui maksud dan makna kisah itu dalam kehidupan manusia. Anda akan faham mengapa SEA Write Award mempunyai kaitan rapat dengan hakikat taklif seorang Islam, yang secara kebetulan atau pilihan sendiri menjadi sasterawan. Itu tugas anda, untuk mencari maksud dan makna kisah Iblis menipu Nabi Adam ‘a.s.  Saya tidak perlu menjelaskannya untuk anda. Wallahu a’lam.   

Mohd. Affandi Hassan, 10/11/2010.                                                                                    

2 comments:

  1. Salam Tuan Haji Affandi, teruskan dengan kritikan Tuan Haji. Saya pasti ramai yang akan mendapat manfaatnya hasil kritikan Tuan. Walaupun keras, namun apa yang isukan oleh Tuan Haji merupakan sesuatu yang sangat tepat. Teruskan mengkritik.

    ReplyDelete
  2. Salam Tuan Haji.

    Sasterawan yang sering tuan kritik, Fatimah Busu pernah menolak Sea Write Award kerana isu ini. Dan anugerah untuk tahun itu diberikan kepada Agi.

    ReplyDelete