Monday, November 1, 2010

Adakah Penilaian Panel Anugerah Sastera Negara Dibatalkan oleh Pendapat Muhammad Hj. Salleh?


Dalam satu ucapan yang kini menjadi amat terkenal, satu ucapan yang boleh dianggap klasik dalam sastera Melayu moden, Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh,  Ahli Akademik Negara dan Sasterawan Negara, dalam sebuah ucaputamanya, telah merungut seperti ini: “Pertamanya sudah puluhan tahun kita menggunakan teori yang muncul di Barat untuk menilai diri kita yang bukan Barat, sebaliknya dibentuk oleh bahasa Melayu dengan wataknya yang khusus pula. Jadi kita sudah lama telah melakukan kesalahan dalam menilai karya kita, kadang-kadang termasuk saya sendiri. Kedua, teori sastera kita belum dituliskan secara menyeluruh dan cukup mendalam.” (Teori dan Kritikan Sastera Melayu Serantau, DBP 2005, hal. 14). Ucapan itu dibuat pada “Seminar Teori dan Kritikan Sastera Melayu Serantau II”, Dewan Seminar, DBP 22-24 Mac 2005. Sayangnya, profesor ini hanya sedar kesalahan telah dilakukan berpuluh tahun, tetapi dia tidak tahu apakah kesalahan itu, oleh itu tidak disenaraikannya. Siapakah agaknya yang boleh membantu kita menyediakan senarai kesalahan yang disebut oleh Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh itu? Seterusnya, sebagai seorang penyelidik yang teliti dan menyeluruh, beliau membuat kesimpulan yang berani: “Teori sastera kita belum dituliskan secara menyeluruh dan cukup mendalam.”  Kita mahu tanya beliau: Adakah anda membuat kesimpulan itu berasaskan satu penelitian yang “mendalam dan menyeluruh”, atau hanya sangkaan liar saja? Beliau mungkin tidak tahu menahu, tentang usaha-usaha yang telah dan sedang dilakukan oleh teman-teman ahli akademiknya, pofesor sepertinya atau pensyarah universiti yang berminat dalam bidang ini. Begitu rajinnya mereka ini “menelurkan” teori-teori sastera kepunyaan mereka sendiri, sehingga seorang profesor menyindir (?) kita kini sudah ada industri teori sastera. (Lihat halaman 509-523 buku yang sama). Adakah semua profesor dan sarjana yang menelurkan teori mereka itu bodoh-bodoh belaka, sehingga tidak seorang pun berupaya menulis teori mereka secara menyeluruh dan mendalam? Kalau begitu, apakah yang mereka buat? Di sini Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh tidak dapat membantu kita, kerana beliau sendiri tidak tahu menahu adanya industri teori sastera itu. Kalau teori-teori itu begitu tolol dan cetek, bagaimana pula boleh dipasarkan sehingga menjadi satu industri? Tidak mungkin profesor yang bercakap tentang industri teori itu tidak tahu apa-apa tentang teori, oleh itu kita boleh anggap dia membuat kesimpulan itu berasaskan penyelidikan yang cukup akademik dan menyeluruh. Sekarang timbul soalan yang boleh membuat orang jatuh pengsan: Kalau sudah ada industri,  bagaimana pula tidak ada teori yang “menyeluruh dan mendalam”? Ini masalah besar,  kerana jelas sekali terdapat kekeliruan yang memerlukan penjelasan, baik daripada Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh, mahu pun daripada profesor yang bercakap tentang industri teori itu. Kedua-dua mereka bersahabat baik, dan pernah menulis kertas bersama dalam tahun 1983 tentang masalah kritikan sastera Melayu ketika itu, dan mereka berdua serta beberapa orang rakan lagi menganjurkan satu seminar khusus tentang kritikan 1983. Dua pendapat yang bertentangan ini memerlukan penjelasan segera supaya tidak timbul syak wasangka yang tidak baik terhadap mereka berdua.
                Saya tidak fikir kita telah dikelentong. Saya tidak fikir kita semua telah dipermainkan kerana dianggap tidak bertamadun dan tidak mempunyai pengetahuan yang mencukupi untuk memahami soal-soal sastera dan kritikan sastera yang mereka timbulkan itu. Saya tidak tahu sejauh mana Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh dan seorang lagi itu sedar akan implikasi pendapat mereka yang tidak dihujahkan dengan mendalam dan menyeluruh, seperti yang mereka minta orang lain melakukannya. Saya juga tidak pasti adakah mereka benar-benar mengikuti dengan teliti, jujur, tanpa sebarang prasangka buruk terhadap semua upaya yang sudah dilakukan oleh beberapa orang sarjana untuk melahirkan “teori” sastera itu. Sekarang kita lihat apakah implikasi kesimpulan Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh tentang kesalahan yang telah kita lakukan berpuluh tahun itu.

                Tentu saja kita mahu tahu, adakah Panel Anugerah Sastera Negara termasuk ke dalam kelompok yang bersalah itu? Jika kita meneliti analisis yang diberikan oleh Prof. Ungku Maimunah yang menghuraikan bagaimana estetika realisme yang dipegang dan dipraktikkan oleh para penilai sastera kita dipengaruhi oleh falsafah realisme Eropah Abad 19 (lihat buku beliau, Dinamika Pemikiran Sastera Melayu, 2009), nampaknya Panel Anugerah Sastera Negara juga terlibat dalam kesalahan yang dibangkitkan oleh Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh itu, walaupun Prof. Ungku Maimunah tidak secara khusus mengatakan demikian dalam bukunya itu. Soalnya sekarang ialah: Adakah ini bermakna penilaian Panel Anugerah Sastera Negara tidak tepat, terlalu kuat dipengaruhi nilai-nilai sastera Barat, oleh itu sasterawan negara yang mereka pilih itu boleh dipersoalkan kualitinya? Mungkin kita tidak suka soalan ini, tetapi itulah implikasi kesimpulan Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh yang kita bahaskan sekarang. Jika implikasinya tidak begitu, bolehkah kita berkata dengan meyakinkan bahawa Panel Anugerah Sastera Negara tidak membuat apa-apa kesalahan, tidak terpengaruh dengan nilai-nilai sastera Barat, oleh itu penilaian mereka adalah tepat dan tidak boleh diungkit? Inilah dilema ditelan mati emak, diluah mati bapa. Lebih berat lagi, jika kita tidak mahu dan tidak berani membuat pilihan, kita akan membunuh kedua-dua mereka (maksudnya, ibu dan bapa). Dan inilah yang telah terjadi. Kita telah membunuh tradisi persuratan Melayu dan tamadun Islam yang menjadi dasarnya dengan menerima dan merayakan kehadiran karya-karya sastera yang disanjung oleh Panel Anugerah Sastera Negara, walaupun dari segi sejarah dan bukti sejarah, kita menolaknya. Mahu tidak mahu, sekarang kita harus menilai dengan kritis sumbangan Panel Anugerah Sastera Negara dalam menghancurkan tradisi persuratan Melayu dan Islam yang menjadi kebanggaan kita selama beratus tahun, dengan melantik para sasterawan negara yang pada hakikatnya bukanlah golongan yang boleh kita ketengahkan seperti kita telah mengetengahkan para ulama, pujangga, ahli sejarah, pendeta kita. Orang-orang yang disebut kemudian ini tidak dapat diragui lagi terdiri daripada orang-orang yang berilmu. Padankah para sasterawan dengan mereka? Wajarkah para sasterawan ini diletakkan di tempat yang lebih tinggi daripada mereka, seperti yang kita lakukan sekarang? Saya fikir inilah kesilapan besar yang telah kita lakukan, yang tidak mahu disenaraikan oleh Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh kerana beliau sendiri pun salah seorang ahli panel; jadi  beliau tahu tentangnya. Jika kesimpulan ini benar, maka kewujudan Panel Anugerah Sastera Negara ternyata merugikan kita, meletakkan kita dalam dilema yang dinyatakan di atas. Oleh itu sudah sampai masanya kita bubarkan Panel ini, kita ganti dengan anugerah baru yang lebih luas cakupannya, dan lebih dekat dengan tradisi persuratan Melayu dan lebih mesra nilai-nilai Islam. Kita harus memberi anugerah kepada orang-orang berilmu, bukan kepada para sasterawan yang diragui ilmunya itu. Ini telah saya cadangkan dalam kertas kerja berjudul, “Hadiah dan Anugerah Sastera di Malaysia: Satu Penilaian Kritis (Seminar: Impak Anugerah dan Hadiah Sastera ke Atas Perkembangan Sastera Kebangsaan, 25 Mei 2006; Dewan Seminar, DBP). Cadangan-cadangan itu wajar dibincangkan jika kita betul-betul jujur dalam masalah penyelewengan nilai ini.

Mohd. Affandi Hassan, 31/10/2010.

No comments:

Post a Comment