Dalam tahun 1950, para penulis muda ketika itu, yang memanggil diri mereka sasterawan, berjaya menguasai akhbar dan majalah Melayu ketika itu, seperti Utusan Melayu dan Mastika. Melalui dua penerbitan penting ini, Asas 50 melancarkan serangannya terhadap pengarang lama Melayu ketika itu, dengan menuduh mereka tidak progresif, jumud, tidak mempunyai bakat sebagai penulis, taksub kepada Islam dan idea lama, dan berfaham kuno menentang fikiran baru. Kumpulan Asas 50 ini melancarkan serangan yang begitu hebat terhadap tulisan Jawi, yang menurut mereka tidak ada kaitannya dengan agama Islam (baca laporan dalam akhbar Warta, Bil. 58, bertarikh 6 April 1954). Berasaskan pandangan itu, maka Asas 50 menggunakan akhbar dan majalah yang dikuasai mereka untuk melancarkan gerakan sosialis dalam politik dan sastera Melayu moden, yang menurut mereka hanya dengan gerakan bercorak itu saja rakyat boleh dimajukan dan negara boleh dimerdekakan. Waktu itu mereka tidak kenal realisme sosialis, tetapi mereka mendukung faham realisme dalam tulisan mereka, dengan menjadikan sastera dan karya sastera sebagai landasan propaganda mereka untuk memisahkan agama daripada kehidupan orang Melayu, yang secara tersembunyi agama dianggap sebagai madat yang menghalang kemajuan. Kemuncak perjuangan Asas 50 dan suku-sakatnya ialah dengan terbentuknya Panel Anugerah Sastera Negara. Satu persatu orang-orang Asas 50 atau pengikutnya diangkat menjadi apa yang mereka namakan dengan gah sebagai “Sasterawan Negara”. Yang tertinggal ialah A. Samad Ismail. Beliau ditinggalkan mungkin kerana pernah diISAkan dan dituduh membawa faham komunis; tetapi kemudiannya diberi anugerah dengan gelaran Tan Sri kerana jasa-jasanya sebagai wartawan. Terakhir beliau diabadikan oleh UiTM dengan Kursi A. Samad Ismail dalam bidang kewartawanan. A. Samad Ismail yang kecewa menuduh sastera Melayu dikuasai golongan Mafia sastera, yang meragut semua hadiah dan anugerah yang mereka adakan untuk dikongsi dengan rakan-rakan terdekat.
Kebenaran pandangan A. Samad Ismail dapat dilihat bagaimana orang-orang yang tidak layak berada di dewan Sasterawan Negara tiba-tiba berada di situ dan menjadi masalah apabila kehadiran mereka dianalisis dengan kritis. Tetapi ini bukan satu masalah besar, kerana pada umumnya tidak ada sasterawan yang tidak layak digelar “sasterawan negara”, sekiranya tidak dihalang. Menghalang sasterawan tertentu daripada diberi anugerah negara itu adalah antara “perjuangan suci” kumpulan Mafia sastera ini. Tetapi sumbangan kumpulan ini yang lebih penting ialah ketegasan mereka meneruskan pengaruh dan nilai-nilai Barat yang sekular dalam sastera Melayu moden, yang dilaksanakan dengan berkesan melalui Panel Anugerah Sastera Negara. Meskipun terdapat suara-suara palsu yang seolah-olah menyesali pengaruh Barat ini, misalnya yang disuarakan oleh Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh dan Prof. Dr. Zawiah Yahya dalam tulisan mereka, namun pada hakikatnya mereka berpendapat tidak wujud sastera Melayu moden tanpa Barat atau pengaruh Barat. Pandangan mereka nampaknya diaminkan oleh sebahagian besar sasterawan Melayu, dari golongan tua mahu pun golongan muda. Walaupun mereka ini sering bercakap tentang perubahan dan sebagainya, tetapi mereka menentang kuat apa juga percubaan untuk membawa kembali persuratan Melayu berasaskan Islam untuk menggantikan kesusasteraan Melayu moden yang keliru dan bersifat sekular sepenuhnya. Mungkin aneh bagi yang tidak mengkaji perkara ini, apabila diberitahu bahawa idea beberapa orang daripada mereka yang inginkan nilai-nilai Islam dalam kesusasteraan, pada hakikatnya adalah percubaan yang mungkin tidak disedari untuk mensekularkan nilai-nilai Islam berasaskan nilai-nilai sastera Barat. Saya telah menyentuh perkara ini dalam buku saya, Pendidikan Estetika Daripada Pendekatan Tauhid (DBP, 1992, cetakan kedua 2005).
Generasi persuratan mungkin tidak menghadapi masalah yang digambarkan di atas; tetapi mereka menghadapi masalah yang lebih besar. Pertama, mereka harus memperlengkapkan diri mereka dengan kemahiran berfikir, diikuti dengan kemahiran menulis dan berhujah. Kedua, mereka harus memahami dengan mendalam tamadun Barat, yang lama dan yang semasa; sama seperti mereka memahami dengan mendalam tamadun Islam. Ketiga, mereka harus menerima hakikat bahawa sebagai pengarang, mereka hanya akan dihormati berasaskan penulisan mereka yang berkualiti, bukan dengan pemberian hadiah dan anugerah atau apa-apa gelaran rasmi yang diberikan kepada mereka. Saya akan bincangkan yang ketiga ini terlebih dahulu, kerana dari ketiga-tiga masalah ini yang ketiga inilah yang terpenting. Ia berkait dengan maruah.
Kekuatan generasi persuratan akan diukur daripada kehebatan karya mereka, bukan kerana hadiah dan anugerah yang diterima atau diberikan kepada mereka. Hakikat ini menjadi masalah besar dalam kehidupan hedonistik para sasterawan yang mementingkan penghormatan luaran, bukan kekuatan daya intelek dan pemikiran. Dalam konteks ini, saya telah membincangkan kaitan Sea Write Award dengan maruah para sasterawan. Nampaknya kita harus berhati-hati apabila membaca perisytiharan para sasterawan ini yang menegaskan dengan lantang bahawa mereka adalah pembela keadilan, kemanusiaan, dan penentang kezaliman. Sedangkan pada waktu yang sama mereka membiarkan saja pembunuhan beramai-ramai oleh askar Siam di Patani dan lain-lain wilayah selatan Siam yang didiami oleh orang Melayu sejak beribu tahun. Mereka menulis sajak dan membaca sajak tentang kekejaman askar Siam dan kerajaan Siam membunuh ulama dan rakyat Wilayah Selatan; tetapi mereka tidak berasa canggung atau rasa tertipu menerima anugerah SEA Write Award dari negara pembunuh ulama itu. Mereka tidak rasa berdosa, tidak rasa terkilan sedikit pun. Mereka begitu rakuskan penghormatan, walaupun daripada musuh Islam dan musuh orang Melayu. Generasi persuratan tidak boleh bersikap begini dalam fiil mereka, berkata dan menulis satu perkara, tetapi berbuat sesuatu yang lain yang bertentangan. Mereka harus selalu membaca dan ingat maksud hadis munafik yang masyhur itu untuk dijadikan panduan.
Kita kembali kepada masalah pertama, tentang perlunya kemahiran berfikir, menulis dan berhujah. Tanpa kemahiran berfikir, tanpa kemampuan menulis dengan jelas, dan selekeh pula bila berhujah, maka hasilnya dapat dilihat seperti dalam Puitika Sastera Melayu: Satu Pertimbangan, sebuah syarahan perdana yang gagal dan keliru. Anda harus membaca dengan teliti huraian dan kritikan Prof. Siti Hawa Hj. Salleh tentang buku ini dalam Budi Kencana, atau tulisan Prof. Mohd. Mokhtar Abu Hassan tentang sarjana ini yang tidak boleh mengeja dengan betul (aneh bukan?) dalam Rangkaian Pemikiran Dalam Karya Sastera, hal. 12-17); atau tulisan Dr. Ramli Isin dalam buku yang sama (hal. 22). Dr. Ramli Isin menegur Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh, gurunya, yang memuji sajak-sajak Baha Zain melampau-lampau kerana Baha Zain sahabatnya.
Tentang Ramli Isin sendiri, yang jadi murid sarjana yang tak boleh mengeja dengan betul ini, anda harus baca ulasan kritis (rujuk majalah Sarina, Januari 1985) oleh Balham K ke atas buku Ramli Isin berjudul , Riak dan Gelombang Sastera Melayu (DBP). Kata Balham K: [Buku ini mengandungi] sekumpulan tulisan yang sungguh kacau, malah beberapa tulisan ini jelas membuktikan kegagalannya sebagai peneliti sastera yang berwibawa gagasannya. ... pembacaan yang kritis akan cepat membawa seorang pembaca kepada hakikat kecetekan pemikirnanya. ... Penghujahannya berbelit-belit. .. kontradiksi dalam pembicaraannya cukup ketara (dan menyakitkan). ... Bakat Ramli hanya satu: mempermainkan beribu-ribu kata yang pada akhirnya tidak pun menyampaikan satu gagasan yang bermakna!” Lihat kesimpulan penulis Balham K yang menarik ini: “Ramli telah menulis: ‘Pada keseluruhannnya dapat dikatakan bahawa kita (para pengkritik) memang tidak pernah mendapat didikan secara formal dan sistematis, bagaimana pula untuk melakukan kritikan terhadap sesebuah karya itu.’ Penilaian Ramli itu tidaklah adil sebab kita memang mempunyai beberapa orang pengkritik yang arif tentang asas-asas kritikan, tetapi sebagai satu kenyataan untuk menghuraikan pengkritik seperti Ramli penilaian itu amat tepat.” Saya menurunkan kutipan yang agak panjang untuk memperlihatkan bagaimana penilaian seperti ini (yakni, yang dibuat oleh Ramli Isin) amat lumrah kita temui, satu penilaian yang tidak pernah dihujahkan. Dua pelajaran penting boleh diambil dalam kes Dr. Ramli Isin ini. Pertama, generasi persuratan jangan hendaknya menulis seperti Dr. Ramli Isin dan gurunya, mendedahkan kecetekan tulisan mereka dan kontradiksi yang berserak kerana kemahiran menulis dan berhujah secara logik sangat lemah. Pelajaran kedua, generasi persuratan harus bersedia menghasilkan tulisan terbaik dengan meletakkan standard yang tinggi, dan ini boleh dicapai jika mereka menjadikan syarahan pengukuhan Prof. Syed Naquib al-Attas, Islam Dalam Sejah dan Kebudayaan Melayu (1972) dan syarahan perdana Prof. Ungku Maimunah, Kritikan Sastera Melayu: Antara Cerita Dengan Ilmu (2007) serta kuliah MASTERA beliau, Dinamika Pemikiran Sastera Melayu (2009), sebagai contoh dan standard yang perlu dicapai.
Perlunya kemahiran berfikir, menulis dan berhujah ini di kalangan generasi persuratan menjadi suatu tuntutan ilmiah dan kreatif yang tidak dapat diabaikan jika mereka benar-benar ingin memajukan pemikiran rakyat dengan menyediakan mereka keupayaan menilai dengan kritis apa juga sumbangan yang bercorak ilmiah dan kreatif. Para sarjana, pengkritik dan sasterawan telah gagal menyediakan arah yang jelas dalam kemajuan berfikir dan menilai ini, sehingga mereka tidak dapat mengesan tokoh yang benar-benar tulen dan berkebolehan daripada tokoh buatan yang dibina berasaskan mitos yang palsu. Kemunculan tokoh-tokoh buatan yang palsu ini pernah dibicarakan oleh Prof. Syed Hussein al-Attas sekitar tahun 1980-an apabila beliau bercakap tentang wujudnya profesor kangkung di universiti, yakni profesor yang tidak boleh berfikir dengan kritis dan tidak dapat menerima kritikan terhadap mereka. Dalam posting untuk blognya, Shamsuddin Othman, seorang pensyarah muda di UPM dan seorang pensajak, pernah menulis tentang perkara ini (rujuk posting dalam Tanah Nurani, bertarikh 14 Julai, 2010). Nampaknya masalah yang dicetuskan oleh Prof. Syed Hussein al-Attas itu masih berterusan, dan besar kemungkinan menjadi “arus perdana” dalam pengurusan universiti kita dan dalam dunia akademik. Nampaknya kita telah menjadikan pandirisme sebagai teras apa yang disebut “budaya ilmu” di universiti. Agak aneh, bagaimana pandirisme boleh dijadikan teras “budaya ilmu”. Tetapi itulah kehebatan Malaysia, semua boleh diterima dengan bangga, tanpa menjatuhkan maruah sesiapa pun. Hanya maruah ilmu yang jatuh ke lembah pandirisme, yang disokong dengan gagahnya oleh para ilmuan (?) yang mendukung pandirisme itu. Bolehkah kita bertanya, adakah Panel Anugerah Sastera Negara sendiri mendukung pandirisme yang sama? Sesiapa yang telah membaca laporan mereka dan telah meneliti dengan kritis buku penting Prof. Ungku Maimunah, Dinamika Pemikiran Sastera Melayu (2009), tahu jawapannya. Generasi persuratan tidak boleh terjerumus ke dalam gaung pandirisme ini.
Masalah besar kedua yang dihadapi generasi persuratan ialah cabaran keilmuan: Apakah aras pengetahuan mereka tentang tamadun Islam dan tamadun Barat? Bagaimana pula pengetahuan mereka tentang tamadun Melayu dan Nusantara dan tamadun-tamadun Asia? Dalam sistem pendidikan kita, tidak ada mata pelajaran khusus mengenai perkembangan tamadun manusia sejak zaman awal hingga yang terkini. Khusus mengenai Malaysia, para pelajar di semua peringkat tidak diperkenalkan tokoh-tokoh pemikir Melayu dan Nusantara, tetapi terlalu banyak dibicarakan “tokoh-tokoh” Malayan Union dan penggiat UMNO serta parti-parti yang bersekutu dengan UMNO. Oleh hal yang demikian, sistem pendidikan kita menyerlahkan kebodohan orang Melayu yang tidak mempunyai pemikir mereka sendiri, tetapi terlalu tepu dengan “tokoh-tokoh” politik yang sebahagian besarnya tidak layak diteladani, tetapi dibesar-besarkan jasa dan pengaruhnya dalam masyarakat. Penipuan ilmiah ini membantut pemikiran kritis pelajar, menjadikan mereka penyokong pandirisme di kalangan ahli politik yang kebanyakannya korup. Berhadapan dengan kenyataan ini, apakah yang boleh dilakukan oleh generasi persuratan? Mereka tidak ada pilihan, melainkan berusaha melengkapkan diri mereka dengan pengetahuan tentang tamadun manusia sejagat, terutama sekali tentang tamadun Melayu dan Nusantara, tamadun Islam dan tamadun Barat. Mereka harus mengenal tokoh-tokoh penting dalam ketiga-tiga tamadun itu, di samping berusaha secara sistematik untuk mengenal lain-lain tamadun dan tokoh-tokoh besarnya. Dengan terbitnya buku suntingan Prof. Ungku Maimunah, Kedudukan Ilmu Dalam Kesusasteraan: Teori dan Praktis (2010), maka satu batu tanda telah diwujudkan untuk menjadi permulaan dalam penerokaan ilmiah ini, khususnya dalam persuratan. Buku ini wajar dijadikan bacaan wajib generasi persuratan, supaya mereka sekurang-kurangnya mengetahui serba sedikit (tetapi lengkap) tentang kedudukan ilmu dalam persuratan dalam tiga tamadun: Islam, Melayu, Barat.
Huraian tentang peranan Islam dalam kegiatan kreatif, terutama dalam penulisan, harus difahami dengan betul; demikian juga tentang selok-belok pemikiran kreatif dalam tamadun Barat. Pengetahuan ini sangat penting, kerana terdapat kecenderungan di kalangan para penulis yang terdidik dalam pengajian Islam, dan yang belajar secara khusus tentang kesusasteraan Arab, tidak dapat membezakan antara realiti semu dalam tamadun Barat dan realiti hakiki dalam tamadun Islam. Ada penulis yang begitu ghairah hendak memperkenalkan ciri Islam ini dengan menulis cerita pendek tentang syurga-neraka, atau alam ghaib yang tidak seorang manusia pun tahu. Misalnya, kita dapat cerita pendek berjudul, “Blogger Kecil Dari Syurga”, atau “Agresi Di Genting Sakarat” oleh Ibnu al-Kurauwi. Beliau mempunyai pendidikan Islam yang baik dan secara khusus lulus kesusasteraan Arab. Tetapi apabila beliau menamakan dua buah cerita pendeknya itu berunsur “Realisme Magis Islami”, beliau boleh mengelirukan pembaca, dan mungkin juga akan muncul penulis/sasterawan yang menjadikan istilah itu satu hujah, kerana diucapkan oleh seorang yang berpendidikan Islam. Tentu saja tidak ada “realisme magis Islami”, malah sebarang percubaan untuk menulis tentang perkara-perkara ghaib begini “diharamkan” oleh Islam (kita tidak perlu apologetik untuk mengelak daripada menyebut istilah ini). Di sinilah makalah Prof. Madya Dr. Rahmah Ahmad Othman, Ustaz Zulkarnain Mohamed, dan Mohd. Shahrizal Nasir dalam Kedudukan Ilmu Dalam Kesusasteraan boleh membantu dan boleh dijadikan panduan oleh generasi persuratan. Huraian Prof. Ungku Maimunah tentang peranan “ilmu” dalam kritikan Barat boleh membantu generasi persuratan untuk melihat apa sebenarnya yang ada dalam “teori” Barat.
Sekiranya generasi persuratan tidak dapat mengatasi tiga cabaran besar ini, maka mereka akan terus menulis karya seperti yang ditulis oleh para sasterawan yang ada sekarang. Tetapi ini tidak bermakna mereka harus terjun dengan seluruh kegilaan ke dalam lembah eksperimen untuk kononnya mengemukakan idea dan teknik baru. Berasaskan pengetahuan yang mendalam tentang hakikat taklif, mereka tidak perlu bereksperimen. Dengan berbekalkan kefahaman yang mendalam tentang konsep ilmu yang benar, mereka akan mengemukakan kelainan bukan dalam bentuk eksperimen yang dangkal, tetapi dalam kedalaman analisis sewaktu mengemukakan wacana kreatif mereka dalam apa juga janru yang mereka pilih. Di sinilah mereka harus memahami dengan jelas dan agak mendalam konsep stylization of ideas yang menjadi salah satu asas penting gagasan Persuratan Baru.
Mohd. Affandi Hassan, 20/11/2010.
No comments:
Post a Comment