Thursday, November 18, 2010

“Biarlah Karya Kamu dan Pengkritik Kamu Berbicara Tentang Diri Kamu!”

Membaca beberapa komen tentang seminar pemikiran Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh 9-10 November 2010 di DBP baru-baru ini amat mengecewakan. Cukup jelas para sasterawan dan sarjana (atau pengkritik sastera) tidak berminat kepada pemikiran. Mereka lebih berminat kepada pemujaan, pujian, sanjungan dan segala macam yang berkaitan dengan keseronokan menonjolkan diri. Amat disayangkan perihal fiil para sasterawan dan sarjana ini. Tidak timbul kehebatan pemikiran profesor itu dalam komen-komen    isingan yang ditulis dalam blog. Dalam akhbar pun tidak ada. Dalam laporan akhbar pun tidak muncul apa-apa laporan yang berguna. Adakah ini suatu bukti para sasterawan negara ini hanya gah di kalangan mereka sendiri, di kalangan teman-teman terdekat yang menyanjung mereka sahaja? Kalau dalam politik kita sukar mendapat pandangan kritis yang jujur dan adil, dalam sastera lebih buruk lagi. Mengapa para pengkritik dan sasterawan takut untuk membicarakan sasterawan mereka dengan kritis? Lebih-lebih lagi waktu kita berseminar tentang pemikiran mereka. Apakah yang mereka fikirkan? Apa jenis pemikiran mereka?   Kita tidak mahu mendengar bebelan (asal kata “bebel”)  mereka sendiri bercakap tentang diri mereka, tentang perangai mereka yang kononnya suka membaca. Buku apa yang mereka baca? Kita mahu tahu. Adakah Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh membaca dengan mendalam karya-karya pemikir Islam? Nampaknya tidak seorang pun bertanyakan soalan ini. Malah kita sebenarnya tidak tahu buku Inggeris yang mana yang beliau baca? Hanya buku sajak? Tidak adakah buku-buku penting dalam bidang falsafah yang dibaca oleh ahli fikir Melayu yang dikatakan setaraf dengan Aristotle ini? (Sebenarnya perbandingan ini tidak siuman, lucu dan amat memalukan. Tetapi itulah standard sarjana Melayu dan sasterawan Melayu! Walau bagaimana pun, bacalah yang lucu dan memalukan ini dalam buku Rangkaian Pemikiran Dalam Karya Sastera). Tidak adakah sarjana kelas pertama yang menulis kertas kerja berbicara tentang bagaimana Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh menghadapi ahli falsafah Barat jika benarlah beliau seorang pemikir?  Janganlah perlekehkan tokoh-tokoh besar dan para pemikir sastera ini dengan tidak berbicara tentang pemikiran mereka, hanya berjela-jela memuji yang entah apa-apa.  Kalau anda tidak mampu berbicara tentang ilmu, tentang pemikiran, janganlah kelirukan pembaca, terutama pelajar, dengan pendapat yang lucu dan bodoh.  Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh pernah mendakwa beliau mempunyai 4-5 ribu pelajar universiti yang belajar daripada beliau. Dalam seramai itu, beliau hanya berjaya melahirkan Mana Sikana, Ramli Isin dan lain-lain yang memuji beliau. Mana ada di antara pelajar beliau yang jauh lebih cerdik dan hebat daripada beliau? Dengan itu beliau telah gagal mendidik para pelajar yang ramai, hanya sekadar lulus periksa saja, tetapi menulis pun kacau-bilau logiknya.  Kalau mahu berbicara tentang pemikiran Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh, wajib ditonjolkan pelajar beliau yang telah mengubah  cara berfikir tentang sastera dan kritikan sastera.  Mana mereka? Tunjukkan, baru ada bukti profesor ini benar-benar seorang pemikir. 

Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh bukan seorang pemikir, hanya seorang penyelidik dan penterjemah saja.  Standard beliau sebagai seorang penyelidik pun dikritik dengan hebat oleh Prof. Dr. Mohd. Mokhtar Abu Hassan, yang menuduh beliau tidak teliti dan tidak boleh mengeja dengan betul (tentang perkara mengeja ini saya telah bangkitkan dalam tahun 1983 lagi; kemudian dalam tahun 1991 di Dewan Sastera). (Lihat tulisan Mokhtar dalam  Rangkaian Pemikiran Dalam Karya Sastera, DBP 2006).  Kerana banyak sangat kelemahan Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh dalam kritikan beliau, maka kesimpulan beliau berupa pujian tinggi tentang keaslian profesor ini menjadi lucu dan tidak wajar, bertentangan dengan kritikan sebelumnya. Ini dibuktikan oleh kesimpulan Prof. Dr. Siti Hawa Salleh yang menganggap Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh adalah “seorang tunanetra” dalam sastera tradisional. (Lihat analisis beliau dalam Budi Kencana, (Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, 1994). Kesimpulan Prof. Siti  Hawa dalam analisisnya menolak bulat-bulat segala pujian dalam kesimpulan Prof. Dr. Mohd. Mokhtar Abu Hassan itu. Tetapi saya bersetuju dengan Dr. Ramli Isin, murid Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh, yang berkata (dalam buku Rangkaian Pemikiran ...) bahawa profesor ini terlalu memuji temannya Baha Zain yang “terlalu sempurna, memberi sanjungan tanpa sebarang kecacatan” (hal. 22). Perkara yang dibangkitkan oleh Dr. Ramli Isin, murid Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh, adalah penting. Sebenarnya itulah keistimewaan Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh, yang tidak ada pada orang lain. Tetapi adakah ini hasil pemikiran atau hasil sanjungan palsu? Ini perlu dijelaskan, oleh seorang atau dua orang daripada 4000-5000 murid beliau.   Murid-murid beliau mesti tampil mempertahankan guru mereka; atau jika mereka lebih objektif dan jujur, maka mereka wajar tampil memberikan persetujuan mereka terhadap kritikan yang ditujukan kepada guru mereka.  Jadilah murid yang baik dengan tampil mempertahankan kebenaran dan menolak kepalsuan.

Apakah yang dimaksudkan dengan “pemikiran”? Soalan ini nampaknya tidak dijawab dengan tuntas dan ilmiah oleh mana-mana kertas kerja tentang “pemikiran” ini.    Adakah para penulis, yang terdiri daripada sarjana kelas pertama, tidak tahu berfikir?

Mohd Affandi Hassan, 18/11/2010

                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                 

1 comment:

  1. salam. saya mahasiswa yang hadir ke majlis tersebut. Saya cadangkan Tuan Haji baca kertas kerja dr awang azman awang pawi dari Universiti malaysia sarawak (UNIMAS) yang menulis tentang ambivalen Muhammad haji salleh dengan nada berlapik orang melayu. Dia ada menyebut kritikan siti hawa dan Prof Mokhtar hassan.

    ReplyDelete