Monday, November 22, 2010

Membina Generasi Persuratan Dengan Kesedaran Taklif Yang Tinggi


Mengapa taklif penting dalam kehidupan manusia?  Seperti yang dijelaskan oleh Shah Waliullah al-Dahlawi, tersirat di dalam konsep taklif itu tiga rahsia yang menjadi asas kehidupan semua manusia. Tiga rahsia taklif itu ialah ilmu pengetahuan, keadilan, dan usaha ikhtiar. Tentang rahsia pertama, secara fitrah manusia dibekalkan dengan kemampuan untuk memahami kewujudan Allah Ta’ala, dengan itu manusia diberi kemampuan untuk membaca ayat-ayat Allah di dunia. Dari situlah tercipta semua jenis ilmu dan kemahiran yang dipunyai manusia sekarang. Tetapi lama-kelamaan manusia memisahkan dirinya daripada sumber ilmu yang sebenar, yakni Allah Ta’ala, sehingga dia menjadikan dirinya ukuran nilai-nilai kehidupannya. Pada ketika itu dia tidak lagi sedar akan hakikat taklif yang secara tabi’i menjadi asas kejadiannya sebagai manusia. Walaupun dia mungkin seorang Muslim, beragama Islam, namun kesedaran taklifnya begitu rendah sekiranya dia tidak lagi mempelajari ilmu tauhid, dengan itu memisahkan dirinya daripada sumber ilmu yang benar. Dia mungkin tahu sesuatu daripada pengalamannya sebagai manusia (yang beriman atau tidak), tetapi tidak kenal hakikatnya. Inilah yang terjadi kepada Ratu Balqis, ketika beliau menemui Nabi Sulaiman ‘a.s. lalu melihat kolam pada lantai berkilat. Pengalaman empirisnya telah membuat dia melihat realiti semu di depan matanya. Apabila diberitahu Nabi Sulaiman ‘a.s. hakikat sebenarnya, barulah dia sedar dia telah menzalimi dirinya, dan dengan kesedaran itu dia menerima ajaran tauhid yang dibawa oleh Nabi Sulaiman ‘a.s.            

Kerana adanya tiga rahsia taklif yang dihuraikan oleh Shah Waliullah tadi, maka barangsiapa yang benar-benar sedar dan faham akan hakikat taklif ini akan muncul sebagai seorang manusia yang kuat peribadinya, seperti yang ditekankan oleh Iqbal dalam syair-syairnya.

Mengapa taklif penting dalam seni mengarang dan penulisan? Taklif seperti kemudi kepada perahu dan kapal. Semua orang yang siuman tahu apa yang akan terjadi kepada perahu dan kapal jika tidak dikemudi dengan bijak dan betul. Bila perahu atau kapal sampai di pengkalan, taklif seperti tali sauh atau tali pengikat untuk menambat perahu supaya tidak hanyut dan selamat di perhentian. Bila kapal di tengah lautan, taklif seperti nakhoda yang cekap, mengelak dari  batu karang, membawa muatan yang berguna untuk semua manusia, yang diridhai Allah Ta’ala.   Taklif membina ilmu yang benar, membina peribadi takwa, menemukan kebijaksanaan dalam membuat keputusan. Semua ini terkandung dalam hakikat taklif.  Dengan kesedaran takif, jika anda seorang sasterawan atau sarjana, anda boleh baca apa juga karya. Tak akan terpesona. Anda boleh membezakan realiti semu dengan realiti hakiki. Ini penting, kerana ramai orang yang hanyut dalam realiti semu ini.   Apabila para sasterawan dan sarjana berasa selesa berada dalam realiti semu, menganggap lantai berkilat yang dipijaknya sebuah kolam yang dalam seperti yang terjadi kepada Ratu Balqis, maka mereka akan terus khayal dalam keselesaan palsu dan terus keliru dalam penilaian mereka. Orang-orang seperti ini sangat gigih mempertahankan kepalsuan itu bukan kerana mereka tidak tahu yang benar, tetapi kerana mereka berpihak kepada Mephistopheles seperti yang dinyatakan oleh Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh dalam sajaknya, “baris-baris dari muzium goethe”. (Sebuah Unggun di Tepi Danau, hal. 5). Dalam konteks ini, Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh pernah menyuarakan pendapatnya begini:  “Kita sudah lama telah melakukan kesalahan dalam menilai karya kita, kadang-kadang termasuk saya sendiri.” (Teori dan Kritikan Sastera Melayu Serantau, hal. 14).  Apakah kesalahan itu? Masih dirahsiakan. Berapa ratus jumlahnya? Belum lagi dihitung.  Siapa yang melakukannya? Belum ada kepastiannya.  Adakah Panel Anugerah Sastera Negara termasuk dalam senarai yang belum disiapkan?  Pertanyaan ini tidak perlu kerana Panel Anugerah Sastera Negara telah diisytiharkan tidak melakukan apa-apa kesilapan dan kesalahan.  Kesimpulan ini memang logik dan semestinya begitu: kerana kalau tidak, pelantikan Sasterawan Negara oleh Panel Anugerah Sastera Negara tentulah boleh dipersoalkan dan mungkin juga silap, oleh itu terdapat sasterawan negara yang tidak layak telah dilantik oleh Panel.  Semua ini menjadi masalah apabila konsep ilmu yang benar dan konsep taklif ditolak, tidak boleh dipakai dalam kritikan dan penilaian sastera yang diasaskan kepada teori dan nilai-nilai Barat, yang kini menjadi pegangan para sasterawan, pengkritik, sarjana dan ahli Panel Anugerah Sastera Negara.

Dua kekeliruan mesti dijelaskan: kemunculan generasi persuratan tidak bererti golongan sasterawan akan terhapus. Golongan sasterawan akan naik pangkat bila menyertai generasi persuratan, tetapi tidak sebaliknya.   Kedua: kemunculan generasi persuratan memang ditunggu-tunggu dalam persuratan Melayu, untuk mengembalikan nilai-nilai Islam dalam persuratan dan kebudayaan Melayu yang telah dirosakkan dan dipinggirkan oleh golongan sasterawan selama kira-kira 80 tahun, yang sampai ke kemuncaknya apabila Panel Anugerah Sastera Negara ditubuhkan. Panel inilah yang melanjutkan nilai-nilai sekular Barat dalam sastera Melayu moden dan dalam kebudayaan Melayu. Jika kita dapat percaya ucapan beberapa orang tokoh sasterawan yang mengatakan kita perlukan perubahan, atau kata mereka, kita perlukan anjakan paradigma, atau seperti kata Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh kita telah lama membuat salah dalam penilaian kita, maka jalan keluar yang paling wajar dan selamat ialah dengan kembali kepada taklif, menjadikan taklif sebagai asas dalam seni mengarang.  Tetapi para sasterawan dan sarjana sastera menolak taklif, kerana menurut mereka jalan satu-satunya yang boleh membawa sastera Melayu moden mencapai taraf antarabangsa ialah dengan meniru dari Barat, seperti yang ditegaskan oleh Panel Anugerah Sastera Negara ketika menilai karya A. Samad Said. Jadi sebenarnya mereka yang menyalakkan perubahan ini tidak mahu berubah. Malah yang berubah ialah sikap mereka yang tidak mahu lagi bercakap tentang perubahan, kerana di depan mata mereka berdiri gagasan Persuratan Baru mencabar kejujuran dan sikap lapang dada mereka yang selama ini mereka sering jeritkan sebagai kepunyaan mereka. Bagi mereka, orang lain yang tidak sehaluan dengan mereka adalah biadab, tidak beretika, tidak bertamadun, cetek dan angkuh. Hanya orang-orang yang bersifat seperti yang mereka katakan itu saja yang menerima gagasan Persuratan Baru. Siapakah mereka ini sebenarnya?

Dalam seminar pemikiran Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh baru-baru ini, pensyarah dan pensajak muda Shamsuddin Othman, Imam Madrasah al-Johori (maaf jika maklumat ini salah!) menulis satu kertas kerja yang banyak memetik ayat Al-Quran. Yang menarik ialah beliau mengemukakan “teori” (?) beliau yang beliau namakan Model Rasa Insaniah (MRI). Pada mulanya saya fikir sejenis mesin pengesan yang canggih, MRI yang dipakai di hospital. Rupanya MRI Shamsuddin ini meneropong tiga unsur, (1) penulis sebagai makhluk, (2) penulis yang bersifat kerasulan (?), (3) penulis dan karya. Bila saya fikir-fikir, saya kira konsep taklif yang dihuraikan oleh Shah Waliullah lebih tepat. Gerun juga membaca prinsip kedua itu. Dalam novel  Jejak Warisan saya catat, pengarang adalah tokoh penting dalam kehidupan manusia bertamadun dalam Islam, selepas ulama, kerana ulama adalah waris para nabi.  Ulama besar adalah pengarang terkenal pula, dan dari kitab-kitab mereka kita belajar tentang hakikat Islam. Urutannya jelas. Tidak pasti mengapa Shamsuddin Othman mengemukakan MRI. Mungkin kerana beliau ingin berteori-teorian. Kalau itu tujuannya, memang tidak perlu, kerana yang anda kemukakan itu boleh membawa kekeliruan. Kita sudah ada istilah kita sendiri, pakai saja supaya mengelak dari kekeliruan. Oleh itu saya ingin peringatkan kepada generasi persuratan, mereka tidak harus mengusutkan yang telah dijelaskan oleh para ulama, misalnya dengan mengemukakan idea “realisme magis Islami” yang mengelirukan itu. Jika kita berpegang kepada Surah al-‘Asr, kita tidak akan keliru; malah kita akan jadi lebih berani dan jujur untuk menyatakan kebenaran yang diajarkan kepada kita oleh para nabi. Tepat sekali pandangan Imam Shafi’i bahawa Surah al-Asr itu sepertiga daripada al-Quran. Pendek, tetapi huraian dan maknanya panjang seluas angkasa; dalamnya lebih dalam daripada tujuh lautan; tingginya lebih tinggi daripada semua gunung yang di darat dan di dalam laut. Kalau anda mahu tahu, itulah hakikat taklif seperti yang dihuraikan oleh Shah Waliullah: ilmu pengetahuan; keadilan; usaha ikhtiar. Terjemahan (A. Hassan Bandung): “Perhatikan masa; sesungguhnya manusia itu di dalam kerugian; kecuali orang yang beriman dan beramal baik dan berpesan-pesan pada (menjalankan) kebenaran, dan berpesan-pesan pada manjalankan kesabaran.”  Para sasterawan, sarjana, ahli akademik, pengkritik sastera, tidak suka dinasihati;  sebab itulah mereka anti-khutbah kerana di dalam khutbah itu terkandung nasihat yang baik. (Untuk mendapat huraian dan penjelasan lanjut, lihat kuliah MASTERA Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir, Dinamika Pemikiran Sastera Melayu (DBP, 2009), hal. 122-124).

Mohd. Affandi Hassan, 22/11/2010.

No comments:

Post a Comment