Saturday, November 6, 2010

Generasi Persuratan Mengambil alih Generasi Sastera Yang Tidak Relevan Lagi

Satu perkara tidak dapat dielakkan dalam Abad 21: munculnya generasi persuratan untuk mengambil alih generasi sastera yang tidak relevan lagi. Walau bagaimanapun, sastera masih hidup, tetapi hanya untuk menampung para penulis yang  masih terus terikat kepada model Barat, terus dicengkam oleh keinginan hawa nafsu untuk menulis karya-karya yang bebas dari nilai-nilai Islam, untuk terus menghasilkan karya buatan (al-adab al-sina’i) seperti yang disebut oleh Maulana Abu Hassan Ali Nadwi , yakni karya yang artifisial. Manakala karya persuratan adalah karya asli (al-adab al-tabi’i; dalam gagasan Persuratan Baru disebut ‘genuine literature’, merujuk kepada konsep taklif). Pertentangan antara persuratan dan sastera bukanlah pertentangan perseteruan; tetapi pertentangan dari segi konsep ilmu yang benar yang  menjadi asas persuratan Melayu, dengan konsep cerita dan fiksyen yang menjadi asas kesusasteraan. Lebih halus lagi, ia berupa pertentangan antara rea liti semu yang menjadi pegangan sasterawan dengan realiti hakiki yang menjadi panduan para pengarang dalam persuratan.

Untuk lebih mudah difahami, pertembungan antara realiti semu  dan realiti hakiki ini digambarkan dalam peristiwa Ratu Balqis mengadap Nabi Sulaiman ‘a.s.  Kisah ini sudah sering kali disebut, oleh itu tidak perlu diulang di sini.  Meskipun terdapat ramai (malah kebanyakan dari mereka) yang mengejek peranan ilmu dalam penulisan kreatif,  namun saya percaya ejekan ini akan hilang sebaik saja mereka dewasa dari segi pengalaman ilmiah dan mula belajar bersikap berlapang dada sebagai orang dewasa.  Ketika itu mereka akan mula melihat dengan bijaksana dan objektif kewajaran gagasan Persuratan Baru  sebagai satu gagasan ilmiah untuk membangun kembali persuratan Melayu dalam Abad 21. Jika ada di antara mereka masih menentang, maka penentangan itu sangat baik kerana sudah pasti mereka mempunyai pemikiran yang lebih tajam dan dapat melihat kecacatan gagasan Persuratan Baru dengan jelas, dengan itu  mereka dapat mengemukakan gagasan mereka pula untuk memastikan yang salah dan tidak benar,  yang mereka dapat dalam gagasan Persratan Baru, tidak diteruskan meracuni perkembangan ilmu. Tetapi sekiranya mereka sekadar menyalakkan kemarahan dan kebencian mereka, perasaan hasad dengki mereka, maka yang menjadi masalah bukanlah gagasan Persuratan Baru, tetapi sikap mereka yang tidak saja negatif, tetapi tidak bermaruah. Mana satu pun pendirian mereka, tidak akan mencacatkan gagasan Persuratan Baru sebagai asas perkembangan persuratan Melayu dalam Abad 21. Mereka tidak mungkin dapat menahan munculnya generasi persuratan itu.

Pada waktu ini sudah agak ramai para penulis yang berpendidikan agama yang tinggi dan mendalam menceburkan diri dalam dunia kreatif, menulis cerita pendek, novel dan sajak. Ada juga yang menulis kritikan sastera. Ada di antara mereka yang sering mendapat hadiah, menunjukkan kualiti tulisan mereka melayakkan mereka diberi hadiah. Dengan itu sudah terbukti para penulis yang berpendidikan agama ini mempunyai bakat dalam bidang kreatif. Jika hasil karya mereka terus diterbitkan,  pengaruh kumpulan berpendidikan agama ini akan meluas tidak saja di kalangan pembaca, malah juga di kalangan penulis sendiri. Dengan itu kemunculan generasi persuratan ini akan lebih cepat terjadi, dan akibatnya akan lebih baik kepada persuratan Melayu, kepada perkembangan ilmu (melalui bidang kritikan dan analisis serta penilaian karya), juga kepada penerbitan karya-karya bermutu berasaskan konsep ilmu yang benar. Jika hal ini terjadi, kita tidak lagi akan berada dalam keadaan lesu seperti sekarang. Lebih penting, pendidikan estetika akan mengambil alih pengajaran sastera seperti yang dihidangkan kepada para pelajar pada waktu ini.

Kita harus menuju kepada pendidikan estetika, kerana salah satu kesan daripada pendidikan estetika ialah kemunculan pelajar yang cerdik dan terdidik dalam kemahiran menulis dengan baik dan analitikal. Hal ini tidak ada pada waktu ini, atau sekurang-kurangnya sangat sukar didapati. Bahasa Melayu sebagai bahasa kemunikasi menjadi lemah dalam sistem pengajaran sastera yang tidak memberi perhatian kepada perkembangan daya kritikan para pelajar, tidak saja dalam tulisan mereka, tetapi juga dalam percakapan mereka. Mahu tidak mahu, kita harus mengakui bahawa pengajaran sastera yang dihidangkan pada waktu ini telah membantut perkembangan pemikiran pelajar kerana metode yang dipakai tidak mengarah kepada pemikiran dan analisis, tetapi tertumpu pada pemahaman teks yang sangat dangkal, berlegar di sekitar konsep-konsep lama yang sudah menjadi klise, seperti plot, dialog, latar dan lain-lain yang dipakai tanpa pendekatan kritis. Akibat penggunaan konsep-konsep yang sudah jadi klise dan tidak lagi tajam sebagai alat analisis, maka para pelajar tidak dapat melihat kecerdasan pengarang dalam karya mereka, dan tidak dapat menikmati karya itu dari segi intelektual dan dari segi keindahan seninya. Dengan menggunakan gagasan Persuratan Baru, sesebuah karya dapat dianalisis dan dinilai dengan objektif,  tepat dan jitu dengan menggunakan konsep-konsep baru yang lebih berupaya meneroka kecerdasan pengarang mengolah bahannya dan keupayaan kreatifnya yang tinggi dalam membangun karyanya. Ini dapat dicapai melalui alat analisis yang disediakan oleh gagasan Persuratan Baru seperti wacana, cerita, paksi naratif, ruang naratif, dan konsep-konsep lain yang diperkenalkan oleh Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir ketika menganalisis dan menilai karya-karya kreatif berasaskan gagasan Persuratan Baru. Antara yang penting ialah wujudnya mod bacaan intelektual yang boleh dipakai untuk mendekati sesebuah karya kreatif, seperti yang telah ditunjukkan oleh Prof. Ungku Maimunah dan Prof. Madya Dr. Mohd. Zariat dalam tulisan mereka.  Konsep-konsep yang sudah jadi klise yang disebut di atas boleh dipakai dengan lebih bermakna jika dilakukan dalam konteks gagasan Persuratan Baru. Sebagai contoh, konsep plot selalu menjadi masalah di kalangan para sasterawan, dan salah satu kekeliruan yang sering mereka sebut ialah gagasan Persuratan Baru menolak plot, kerana terlalu membebankan pembaca dengan khutbah untuk menyampaikan ilmu.  Kekeliruan ini tidak timbul jika plot dilihat dalam konteks ruang naratif, dan cerita yang dipaparkan dalam ruang naratif itu tidak menyimpang dari paksi naratif yang ditetapkan, sehingga betapa tebal pun sebuah novel misalnya, penggunaan ruang naratif tetap terkawal  dan dikawal oleh paksi naratif. Sila baca tulisan-tulisan Prof. Ungku Maimunah dan Prof. Madya Dr. Mohd Zariat untuk memahami aspek ini dengan lebih jelas. Analisis Dr. Mohd. Zariat tentang novel Melati Kota Baharu, karya Abdul Kadir Adabi, sangat menarik kerana dengan menggunakan konsep-konsep yang dipakai dalam gagasan Persuratan Baru dapat menyerlahkan kualiti  sebenar novel itu, yang sebelumnya tidak muncul dalam tulisan-tulisan para sarjana yang menggunakan teori sastera Barat, atau yang menggunakan konsep-konsep yang sudah  tumpul dan menjadi klise yang disebutkan itu. Tentu saja kesimpulan Dr. Zariat terbuka untuk dicabar oleh sesiapa pun yang berasa teori-teori Barat lebih wajar digunakan untuk menilai Melati Kota Baharu. Mungkin mereka boleh berkata, sarjana-sarjana yang menggunakan teori Barat untuk menilai novel itu tidak benar-benar faham teori-teori yang mereka pakai. Dengan wujudnya gagasan Persuratan Baru, semua kemusykilan ini boleh diselesai dan diuji dengan objektif.

Dirgahayu generasi persuratan!

Mohd. Affandi Hassan, 6/11/2010.



4 comments:

  1. hidup pak affandi ! tahniah !

    salam perkenalan drpd srg peminat,
    rozan azen mat rasip / 012 657 7878

    ReplyDelete
  2. Salam, moga Gagasan Persuratan Baru terus mewarnai "Dunia Sastera" tanahair. Teruskan dengan kritikan yang bernas Tuan Haji Affandi. Saya sangat berharap karya penulisan karya kreatif Tuan yang terkini. Tidak sabar menunggu.

    ReplyDelete
  3. salam pak affandi,

    baru usai baca buku himpunan artikel WARISAN GEMILANG / INTAN

    rozan azen

    ReplyDelete
  4. Assalamualaikum, Tuan Haji Affandi.

    Salam kenal daripada saya, insya-Allah saya sedang bermula dengan membaca 'Pendidikan Estetika Daripada Pendekatan Tauhid'.

    Insya-Allah akan terus menelusuri jalan yang sudah ditebas cantik oleh pejuang terdahulu.

    ReplyDelete