Malaysia
beruntung kerana mempunyai dua jenis bangsa. Yang pertama bangsa Johor. Ini
jenis bangsa yang bukan Melayu, bukan Cina, bukan Jawa, buka Bugis, bukan
apa-apa sekali pun. Hanya bangsa Johor. Siapakah yang memberi nama itu tidak
penting, kerana jika kita ketahui tentulah yang memberi nama itu seorang yang
bodoh dan sekali gus angkuh. Baik kita tidak usah cari susur galur gelaran
bangsa Johor itu. Satu lagi jenis
bangsa, yang hebat seperti bangsa Johor juga, ialah bangsa DAP. Bagaimana nama
ini boleh muncul samalah juga dengan kes pertama, tentang bangsa Johor. Kita
tidak perlu tahu dari mana asal bangsa DAP ini.
Dengan
munculnya dua jenis bangsa ini di Tanah Melayu dan di Malaysia, maka hilanglah
bangsa Melayu, tiada lagi bangsa Cina, lenyap pula bangsa India. Sebenarnya
dari dulu pun tidak ada bangsa India, tetapi ada kaum Tamil yang dibawa oleh
Inggeris untuk menjadi kuli mereka di estet getah. Kaum Cina pula dibawa masuk
untuk menjadi kuli bijih, tetapi kemudiannya ramai di antara mereka menjadi
tokeh bijih yang kaya raya. Si Melayu tidak dibenarkan melombong bijih timah (membijih),
hanya diberi kebebasan menanam sayur dan tanam padi saja.
Sekarang Melayu disebut
kaum Melayu atau etnik Melayu atau keturunan Melayu. Mereka ini tidak ada
bangsa setelah Tanah Melayu merdeka. Malah sekarang pun nama Tanah Melayu itu
ditentang hebat oleh bangsa DAP dan bangsa Tamil. Tidak ada Tanah Melayu; yang
ada hanya Malaysia yang dipersetujui oleh semua kaum yang ada di Malaysia. Apakah yang ada pada kaum Melayu? Tak elok
kalau saya sebut, kasar sangat; tetapi itu pun nampaknya dikurangkan
aktivitinya setelah diperkenalkan rancangan keluarga. Jenis Melayu
diberitahu Tanah Melayu sudah dihapuskan bila diwujudkan Malaysia, dan
kini sudah pula menjadi Malaysia Baru. Betulkah?
Malaysia Baru ialah nama
lain kepada Malaysian Malaysia yang dirancang dan diwujudkan selepas berlakunya
perubahan kerajaan kepada Pakatan Harapan, atau PH. Sebenarnya PH ini pun bukannya baru, hanya
namanya saja baru. Isinya masih isi lama, kini diterajui oleh orang yang sama
yang telah bermaharajalela selama 22
tahun tetapi kaum Melayu tetap mundur dan miskin. Kata ahli politik, kaum
Melayu memilih untuk menjadi mundur dan miskin, kerana tidak banyak tanggungjawab. Adakah Melayu ini bangga menjadi miskin dan
terus tinggal miskin? Nampaknya begitulah. Sebagai orang beragama Islam, mereka
ingin masuk syurga sebagai orang miskin. Oleh itu kekayaan Tanah Melayu
(uuuppp, silap!)… Malaysia Baru, bukan Tanah Melayu lagi, kini dipunyai dan
dikuasai bangsa DAP. Di Pulau Pinang bangsa DAP ini membuat tambak di kawasan
laut yang etnik Melayu pergi ke laut tangkap ikan. Mereka akan hilang kawasan ini, untuk
diduduki oleh bangsa DAP. Mujurlah di Pulau Pinang tidak ada etnik Melayu yang
tulen, kebanyakannya berdarah Tamil atau Arab dan mungkin juga Siam. Bangsa DAP membuat strategi halus untuk
menghalau etnik Melayu ke daratan, tempat asal mereka kata bangsa DAP. Etnik
Melayu suka jika dapat tinggal di tanah seberang, lebih luas kawasannya
walaupun bukan kepunyaan mereka.
Mengapakah ahli politik
Melayu berasa amat selesa mengkhianati etnik Melayu yang sudah hilang bangsanya
itu? Ada dua faktor yang membuat mereka mengkhianati pengikut mereka sendiri.
Pertama, mereka yakin mereka tidak dikhianati oleh pengikut mereka. Kedua,
mereka lebih percaya kepada bangsa Cina dan bangsa Tamil yang mereka anggap
lebih cerdik dan lebih jujur daripada etnik Melayu. Saya harap faktor ini tidak benar, kerana
sekiranya betullah begitu, maka etnik Melayu akan terus tertipu, seperti “Tipah
Tertipu Lagi”. Bolehkah kita atasi
kegilaan ini? Boleh, tetapi cara yang akan dicadangkan ini tidak disukai dan
ditentang dengan keras oleh para tokoh politik etnik Melayu. Kita perlukan satu revolusi pendidikan yang
berteraskan bahasa Arab, supaya etnik Melayu boleh memahami al-Quran dan
mengambil faedah secara langsung dari kitab suci itu, tidak lagi bergantung
pada yang disebut ulama seperti Haji Hadi Awang dan para pengikut beliau. Kumpulan
lebai ini menggunakan agama untuk mendapat faedah bagi diri mereka sendiri,
oleh itu mereka sokong kedudukan PM Tun Dr. Mahathir supaya meneruskan
kedudukan itu sampai mati atau sampai nyanyuk. Walaupun dikatakan sudah ada
janji untuk menyerahkan jawatan PM kepada Anwar Ibrahim, kata mereka tidak ada
perjanjian bertulis. Oleh itu, apa pun yang diucapkan tidak boleh dipakai.
Mesti ada hitam putih. Apakah nama sikap ini? Sekarang orang tidak pandang berat kepada sifat dan sikap munafik, kerana
yang penting matlamat peribadi lebih utama daripada kepentingan rakyat walaupun
dijanjikan begitu; dan lagi setiap percakapan tidak boleh dijadikan hujah
kerana tidak ada bukti bertulis, oleh itu apa juga persetujuan boleh diingkari
dengan mudah dan itulah yang sepatutnya dibuat jika kedudukan tergugat. Menjaga
kedudukan itulah yang penting, bukan menepati janji atau mempertahankan
kebenaran. Itulah inti pati politik Melayu. Sebenarnya sikap mereka
benar, kerana al-Quran menegaskan jika seseorang berhutang atau berurusan dengan
harta, mesti ada perjanjian dan mesti disaksikan. Bagaimana dengan janji
politik? Dalam politik demokrasi, yang penting ialah konsep mobilization of bias, yang sudah banyak
kali dijelaskan dalam blog ini. Maksudnya, politik demokrasi adalah politik
pembohongan untuk mendapat kuasa melalui mobilization
of bias tadi, yang secara mudah dipanggil manifesto. Inilah yang berlaku dari dulu hingga sekarang.
Dalam konteks ini, yang menipu dan berbohong bukan Najib Tun Razak saja; yang
menuduh beliau pun sama juga keadaan dan kedudukannya. Politik adalah
pembohongan, kerana itulah saja cara yang paling berkesan untuk mendapat
kemenangan dalam pilihan raya.
Melayu mesti ingat,
“Amanat Haji Hadi” belum ditarik balik, walaupun PAS sekarang bergabung dengan
UMNO melawan bangsa DAP! Bolehkah
seseorang berkata, yang disebut amanat itu sendiri adalah
sejenis pembohongan politik yang paling penting dalam sejarah politik
Malaysia. Amanah Haji Hadi tidak dapat
membina tradisi kepemimpinan Islam yang boleh dihormati semua jenis manusia
yang terdapat di Malaysia sekarang. Amanat Haji Hadi mengecualikan kumpulan
beliau sendiri daripada sebarang tanggungjawab apabila atau andainya berlaku
sesuatu yang boleh menggugat keamanan negara. Amanat Haji Hadi tidak memberi
pertunjuk corak kepemimpinan Islam yang benar-benar adil. Bagaimana ini boleh
dicapai?
Cara paling baik dalam
keadaan sekarang ialah mendedahkan kekayaan para pelakon politik di semua
peringkat, seperti yang dilakukan oleh
Perdana Menteri Britain James Callaghan di England 1976 dengan
mengisytiharkan harta semua jemaah menteri dalam akhbar untuk dilihat oleh
semua rakyat. Haji Hadi Awang dan para pengikutnya tidak akan melakukan ini
kerana Haji Hadi Awang telah memberitahu rakyat Malaysia perbuatan itu haram
dalam Islam. Jika inilah kedudukan Islam sebenarnya, seperti yang ditafsirkan
oleh Haji Hadi Awang, maka Islam tidak mungkin menjadi asas pembangunan politik
di Malaysia dan tidak akan dihormati oleh mana-mana ketua parti sekali pun. Maksudnya, Islam
tidak relevan dalam politik Malaysia.
Supaya kekeliruan ini
tidak berpanjangan, kita perlukan pandangan para ulama yang jujur mengenai
persoalan ini. Tetapi nampaknya dalam keadaan sekarang tidak akan tampil
mana-mana ulama untuk memperjuangkan
politik Islam seperti yang dikonsepsikan oleh Islam. Inilah masalah kita,
masalah Malaysia Baru. Jika masalah ini
tidak diselesaikan, maka politik Islam terus tidak relevan di Malaysia. Segala
omongan yang dikatakan oleh ketua politik Islam seperti Haji Hadi Awang akan
tetap tinggal omong kosong, hanya satu pembohongan politik yang nyata. Kita
mesti selesaikan persoalan ini jika kita mempunyai tokoh politik Islam yang
cerdik dan jujur. Dalam keadaan sekarang, orang itu belum muncul.
Inilah keadaan sebenar
yang membolehkan bangsa Johor dan bangsa DAP hidup selesa dalam politik
Malaysia Baru yang anti-Islam, seperti yang dihuraikan di atas. Seperti yang
ditegaskan berkali-kali, keadaan ini hanya akan berubah jika pelakon politik
Malaysia mengisytiharkan harta mereka dalam akhbar seperti yang dibuat oleh PM
Britain 1976. Tetapi ini hanya berani dibuat oleh orang kafir, tidak oleh orang
Islam. Itulah hakikatnya yang membuat politik Islam tidak relevan dalam
Malaysia Baru.
Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 29 Julai
2019.