Wednesday, March 28, 2018

MENGEMBALIKAN MARUAH SASTERAWAN SECARA KRITIS DAN BERIMBANG



Kemunculan Mutual Admiration Club dalam tahun 1973 seperti yang dihuraikan oleh Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh dalam kertas kerjanya di seminar kritikan sastera 1973 di Johor Baru (lihat entri  22 Mac 2018) telah membongkar dengan berani dan penuh tanggungjawab seorang sarjana sastera apabila beliau membicarakan keburukan Mutual Admiration Club dalam sastera Melayu. Walaupun beliau kemudiannya, setelah dilantik menjadi sasterawan negara,  beliau sendiri menjadi penyokong paling tegar, malah menjadi penaung dan ketua tertinggi Mutual Admiration Club yang dikutuknya pada mulanya, kedudukan beliau telah berubah dan beliau mempunyai misi yang lebih mulia serta penting untuk menjaga maruah para sasterawan negara yang memang diwujudkan oleh kumpulan yang berada dalam Mutual Admiration Club, malah para sasterawan negara adalah hasil sokongan Mutual Admiration Club, yang kebenarannya tidak dapat ditolak. Lihat anggota yang sekarang menjadi anggota kelab sasterawan negara, kita akan melihat, jika tidak buta hati dan tidak tumpul kesedaran ilmiahnya, semua mereka adalah satu kelompok yang semuanya menyokong kemunculan Mutual Admiration Club kerana kelab itulah yang telah mengangkat mereka ke taraf sasterawan negara.  Perubahan kedudukan Mutual Admiration Club ini tidak bererti semua hujah Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh sudah terbatal, kerana jika ini terjadi kedudukannya sebagai seorang sarjana ulung Malaysia akan terjejas, malah akan meruntuhkan sama sekali maruah akademiknya yang sentiasa mendapat sanjungan para sarjana, sasterawan dan pengkritik sastera itu. Penjelasan yang lebih tepat mengenai perubahan ini ialah mengenai peri pentingnya kedudukan para sasterawan negara dipertahankan dari sebarang kritikan dengan meletakkan mereka di dalam Mutual Admiration Club, oleh itu mempertahankan misi ini jauh lebih penting daripada misi awal untuk menjaga kepentingan sastera Melayu yang kini telah berubah daripada keadaan yang ada pada tahun 1973 itu. Saya fikir para sarjana, sasterawan dan pengkritik sastera Melayu cukup faham mengenai perubahan ini, oleh itu sokongan mereka adalah padu dan amat diperlukan supaya para sasterawan negara ini tidak mendapat malu besar dan hilang kredibiliti.

Satu-satunya persoalan besar yang masih tergantung tanpa sebarang keputusan ialah kemunculan Gagasan Persuratan Baru dalam gelanggang sastera Melayu, yang menggegarkan keseluruhan kewujudan sastera itu sendiri. Bagaimana ini boleh ditangani?  Saya kira mudah, dan memang disedari oleh para sarjana, sasterawan, dan pengkritik sastera. Apabila kumpulan ini menolak PB maka mereka telah mengembalikan kedudukan para sasterawan negara sekurang-kurangnya dalam masa satu dekad ini.  Perkembangan selanjutnya selepas itu tidak penting kerana pada waktu itu sejarah telah memihak kepada para sasterawan negara. Dalam konteks hermeneutics yang dianjurkan oleh Gadamar, sesuatu tafsiran akan berubah mengikut konsepsi kita terhadap sejarah, ertinya kehadiran sasterawan negara adalah satu kejadian sejarah, dan dalam sejarah tidak ada yang baik dan yang buruk, semuanya bergantung pada posisi penilai sendiri. Oleh itu, Hang Jebat yang menderhaka tidak dapat dipulihkan kerana sejarah tidak memihak beliau, walaupun ada sarjana dan penulis cuba memulihkan kedudukannya. Hang Tuah masih terus diterima sebagai wira agung Melayu. Demikianlah kedudukan para sasterawan negara sendiri, dengan itu kedudukan Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh sebagai sasterawan, sarjana dan tokoh terulung sastera Melayu, tetap kekal. Demikian huraian Gadamar, tokoh hermeneutics yang terkenal itu.  Dengan demikian, semua mereka yang terlibat boleh bernafas dengan lega, kerana sokongan tokoh sehebat Gadamar sukar ditolak; kecuali jika anda melihatnya dari perspektif ilmu yang benar yang dijadikan teras Gagasan Persuratan Baru. Jika ini terjadi, kita hanya mempunyai dua kedudukan, yang boleh menjadi pilihan jika anda mahu. Tetapi ada satu hujah yang boleh menidakkan kedudukan yang diberikan oleh Gadamar. Apakah hujah itu saya serahkan kepada anda yang lebih bijak dalam sejarah kritikan sastera Barat.

Dengan wujudnya kedudukan seimbang ini, yang diberikan oleh kritikan sastera Barat, dan kedudukan sebenar dari segi konsep ilmu yang diberikan oleh Gagasan Persuratan Baru,  anda boleh membuat pilihan. Oleh sebab pengaruh teori sastera Barat sudah bertapak kukuh dalam sastera Melayu, maka semua sasterawan negara dan para penyokong mereka adalah dalam keadaan selesa dan selamat. Walaupun mereka dicabar oleh Gagasan Persuratan Baru, cabaran itu tidak bererti kerana mereka sendiri telah menolak kemunculan PB dan mengangkat teori sastera Barat di atas segala-galanya. Mereka telah memilih menjadikan sastera sebagai teras negara bangsa, dan ITBM telah menerbitkan buku khusus tentangnya dengan judul yang sama.

Menurut para sasterawan, sastera adalah sejenis permainan bahasa; dan dari segi penilaian pula Wittgenstein telah memberi kedudukan tinggi kepada permainan bahasa dalam falsafah bahasanya, yang dihuraikan dengan mendalam oleh Morris Weitz dalam bukunya, Hamlet and the Philosophy of Literary Criticism (Faber paperback Edition, 1964, 1972).  Semua sarjana sastera Malaysia dan para sasterawan mesti baca buku ini kerana inilah satu-satunya teks yang boleh anda guna untuk menidakkan kebenaran Gagasan Persuratan Baru sebagai satu teori sastera. Saya memberi laluan ini untuk mendengar bagaimana anda menghuraikan perbezaan pandangan ini secara ilmiah dalam konteks sastera Melayu yang telah menerima teori sastera Barat sebagai asas sastera Melayu. Semoga anda semua bangkit serentak untuk menolak kehadiran PB dalam konteks sastera Melayu yang berteraskan teori sastera Barat itu.  Jika hujah anda lebih baik daripada hujah yang diberikan oleh PB ketika menolak teori sastera Barat, maka saya tidak ada pilihan selain bersetuju dengan anda. Tetapi PB akan kekal dalam sejarah, sebagai teori yang gagal sama seperti “teori” puitika sastera Melayu yang sudah menjadi fosil itu.  Anda perlu mengambil peluang ini untuk mematahkan hujah PB once and for all!

Cara mematahkan hujah PB cukup mudah, diberi analisis dan penjelasan yang amat terperinci oleh Morris Weitz dalam bukunya dengan menggunakan penjelasan dan analisis terhadap drama Hamlet.  Weitz memberi senarai panjang tokoh-tokoh kritikan sastera Barat yang pernah membicarakan Hamlet, membuat tafsiran dan sebagainya. Lihat bukunya dan cuba pelajari sesuatu yang amat berguna di dalam buku itu: iaitu betapa aneka ragam dan betapa aneka makna yang dilontarkan oleh para sarjana sastera, tetapi satu pun tiada yang menjawab sepenuh rahsia Hamlet. Mengapa terjadi demikian?  Jawapannya cukup mudah: kerana semua teori itu dicetuskan oleh manusia sendiri, yang memang tidak sempurna dan boleh dikritik sebaliknya. Itulah yang terjadi kepada tafsiran para sarjana yang cuba memahami siapa sebenarnya Hamlet dan mengapa dia menjadi masalah kepada sarjana sastera.  Adakah Hamlet watak yang kuat? Jika dinilai daripada kata-katanya yang terkenal, “To be or not to be..”, nampaknya dia bukan seorang watak yang kuat, sebaliknya terumbang-ambing tidak pasti, sukar membuat keputusan kerana tidak yakin yang dibuatnya itu benar-benar perlu. Mengapa Hamlet menjadi masalah dalam sastera Barat? Sebabnya mudah, kerana mereka tidak ada pegangan berasaskan konsep ilmu yang bersumber dari Tuhan, kerana mereka menolak Tuhan sebagai pencipta, dan manusia wujud sendiri melalui proses tabii. Oleh itu sesiapa saja boleh menetapkan apa juga ukuran mereka sendiri dan memberi nilai mereka sendiri, dengan itu watak yang mereka anggap istimewa tidak semestinya begitu. Ini disedari oleh T. S. Eliot, yang mengkritik Hamlet sebagai sebuah drama tragedi yang cacat. Katanya antara lain: 


Kritikan beliau dikritik oleh Morris Weitz dalam bukunya (Bab 4). Saya lebih dapat menerima pandangan Eliot kerana beliau sendiri adalah penulis drama yang terkenal, oleh itu beliau tahu, dari pengalamannya sendiri, apa yang dimaksudkannya dengan drama yang baik dan berjaya. Weitz hanya seorang sarjana, yang membuat tafsiran berasaskan prinsip-prinsip peribadi beliau. Ada juga terdapat sarjana Malaysia meletakkan  Shakespeare di tempat yang tinggi dan istimewa, maka itu adalah pilihan peribadi,  yang mungkin terpengaruh oleh pembacaannya. Shakespeare adalah seorang tokoh bangsawan (maksud saya, cerita bangsawan) Inggeris yang matlamatnya untuk menghibur. Apabila G.B Shaw, seorang penulis drama yang terkenal, yang setiap dramanya dimulai dengan pendahuluan yang panjang, mengkritik Shakespeare, dia berbuat begitu sebagai seorang yang tahu tentang drama. Begitu juga dalam kes Tolstoy. Orang  Inggeris tidak ada pilihan yang lain melainkan meletakkan Shakespeare sebagai tokoh istimewa kerana kemunculan Shakespeare seolah-olah memberi  kekuatan kerana sekarang mereka pun boleh berbangga mereka juga mempunyai tokoh besar seperti lain –lain tokoh Eropah yang terdapat di Sepanyol, Perancis, German, Itali dan lain-lain. Semangat nasionalisme dalam seni tidak dapat dielakkan, seperti yang juga terjadi dalam sastera Malaysia. Tetapi bagi kita yang mempunyai al-Quran, semua ini adalah fatamorgana, ilusi dan kekarutan faham yang diangkat menjadi penentu ukuran padahal ukuran itu bersifat individu, tidak berasaskan konsep ilmu. Anda tentu boleh berkata apa yang anda mahu, tetapi anda tidak dapat lari dari kedudukan ilmu yang benar ketika membuat penilaian, kerana kepercayaan anda mengajar anda begitu. Saya harap anda faham ke mana arah kritikan saya ini. Penjelasannya telah banyak saya berikan dalam blog ini, tentu anda masih ingat.

Saya setuju para sasterawan negara mesti diselamatkan dari mendapat kutukan generasi akan datang, atau mendapat malu besar pada waktu ini. Cara membela mereka cukup mudah, dan benar-benar  akan menyelamatkan mereka. Mereka mesti dinilai sehabis kritis, sesuai dengan kedudukan mereka, untuk membuktikan kehadiran mereka memang diperlukan. Panel Anugerah Sastera Negara telah gagal memberi perlindungan, kerana laporan mereka sendiri pun cetek meraba-raba dan  tidak ada tunjangan akademik. Tak perlu saya ulang kritikan saya dalam blog ini mengenai mereka. Yang kita perlukan sekarang ialah kita mesti mengelak dari tanggungjawab kita untuk mempertahankan para sasterawan negara ini daripada dikutuk oleh generasi akan datang. Jalan keluar cukup mudah dan boleh dilakukan sekarang, iaitu dengan menilai mereka dari perspektif ilmu seperti yang disarankan oleh PB. Para sarjana sastera tidak mempunyai pilihan lain, kecuali jika mereka benar-benar membuktikan teori kritikan sastera Barat cukup ampuh untuk mempertahankan para sasterawan negara ini, walaupun saya menolak anggapan dan andaian itu, kecuali dibuktikan. Bagi mereka semua ini tidak diperlukan lagi, kerana semuanya sudah selesai, oleh itu lebih bermoral, kata mereka, jika persoalan ini tidak diungkit lagi. Tetapi ini bukan masalah ungkit atau saja-saja hendak mencari salah atau paling kurang mencari kelemahan para sasterawan negara ini.  Masalah ini serius kerana amat jelas mereka ini cuba bersungguh-sungguh untuk menutup kelemahan para sasterawan negara ini, dengan menutup sebarang perbincangan kritis terhadap mereka. Oleh sebab karya mereka digunakan dalam pendidikan sastera, para pelajar perlu diberi penjelasan yang menyeluruh tentang kehebatan para sasterawan negara ini, bukan dengan menyembunyikan fakta seperti yang berlaku terhadap Naratif Ogonshoto, yang satu episod yang memalukan dalam novel itu dibuang. Para pelajar juga perlu tahu dan berbincang tentang perkara itu, kerana mereka sudah dewasa dan bersedia membincangkan aspek perzinaan dalam karya para sasterawan negara ini. Lagi pula kini sudah ada the poetics of adultery  yang diperkenalkan oleh Dr. Norhayati Ab. Rahman, yang bukunya digunakan sebagai teks dalam kursus  the poetics of adultery ini.  Persoalan perzinaan dalam sastera diberi kedudukan tinggi oleh para sarjana kerana ini bagi mereka adalah perubahan yang memang ditunggu-tunggu. Untuk rujukan mudah, lihat Hikayat Salim Adil, hal. 58-59 yang menurunkan beberapa bahagian buku Dr. Norhayati Ab. Rahman mengenai the poetics of adultery ini.  Mengajar para pelajar universiti untuk menipu dalam dunia akademik adalah satu kesalahan besar yang sepatutnya dielakkan. Kalau anda sudah berani memperkenalkan the poetics of adultery dalam sastera Melayu, anda juga mesti berani mempertahankan kepalsuan anda sendiri supaya tidak menjadi ikutan para pelajar anda. Perkembangan ilmu tidak sepatutnya diasaskan kepada penipuan akademik.

Sebaliknya, sekiranya anda memang berpendapat bahawa penipuan akademik adalah sesuatu yang wajar dalam penyelidikan, untuk memberi peluang orang lain membaca kajian anda dan menyokong atau menolak kajian anda, maka anda juga perlu mempertahankan  kedudukan anda itu. Sebaik-baiknya para pelajar diajar untuk tidak menipu, tetapi jika ini akan merendahkan taraf anda sebagai sarjana, maka sekurang-kurangnya anda mendedahkan mereka kepada kebenaran, tidak menutupnya. Pilihan anda untuk menutup kejahatan seperti dengan membuang  satu episod penting dalam Naratif Ogonshoto kerana anda pun tahu tidak sesuai untuk para pelajar, anda sekurang-kurangnya memberi mereka peluang mengetahui terdapat alternatif lain dalam perbahasan tentang isu-isu sastera sekarang, dengan munculnya Gagasan  Persuratan Baru yang tersedia untuk dirujuk melalui tulisan yang sudah diterbitkan  (dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris) dan dibukukan. Sebenarnya adalah aneh dan tidak masuk akal untuk anda menutup kejahatan di kalangan pelajar, tetapi mendedahkannya kepada masyarakat.  Memang benar andaian yang dibuat selama ini bahawa karya para sasterawan negara ini kaya dengan aspek kejahatan dalam kehidupan masyarakat yang dipaparkan begitu saja, seperti dalam Naratif Ogonshoto dan beberapa buah novel erotik dan lucah Shahnon Ahmad. Kita tidak perlu segan silu untuk menyebut kenyataan ini kerana itulah yang diberikan kepada kita oleh para sasterawan negara. Sekarang kerja begini sudah meresap dalam kerja-kerja akademik, dengan munculnya the poetics of adultery dalam karya Dr. Norhayati Ab. Rahman.  Semua ini memerlukan penjelasan, kerana kehadiran  the poetics of adultery ini dalam sastera Melayu amat mengejutkan.  Perkembangan terbaru ini menggugat sifat siuman para sasterawan, sarjana dan pengkritik sastera. Oleh sebab kesemua mereka menerima perkembangan terbaru yang belum pernah berlaku dalam sastrera Melayu ini, maka mereka sudah jelas tidak bertanggungjawab sama sekali. Masalah ini berlaku kerana terdapat tiga masalah BESAR yang menjadi isu yang mesti diselesaikan jika sastera Melayu mahu kembali siuman seperti dalam tradisi persuratan dahulu. Pertama, sastera Melayu terlalu terikat kepada teori Barat, dengan itu para sarjana, pengkritik dan sasterawan menulis dalam wajah teori Barat. Kedua, akibat dari yang pertama, maka terjadilah sikap negatif terhadap perubahan yang menjadikan mereka menolak konsep ilmu yang benar. Ketiga, akibat dari dua isu besar di atas, maka muncullah Mutual Admiration Club yang sesat itu.  Tiga isu besar ini hanya boleh diatasi dengan kembali kepada konsep ilmu yang benar yang dijelaskan dalam Gagasan Persuratan Baru. Tiada pilihan lain, jika mereka ini mahu menjadi siuman.  Membawa masuk dan memperkenalkan the poetics of adultery adalah perbuatan paling tidak siuman yang pernah berlaku dalam sastera Melayu.

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 28 Mac 2018.

Saturday, March 24, 2018

PERLUKAH DITERUSKAN KEKELIRUAN INI?



Penilaian semua terhadap sasterawan negara dan karya mereka semakin mendesak setelah jelas mereka dan karya mereka semakin diragui kualitinya. Mereka tidak perlu dilindungi dengan berada dalam kelompok Mutual Admiration Club yang pernah dikritik oleh Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh dalam tahun 1973 dulu.  Ketika itu beliau agak kritis kerana belum lagi mendapat apa-apa kedudukan istimewa seperti sekarang.   Hak istimewa orang Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan pun masih boleh dikritik supaya keistimewaan itu tidak disalahgunakan oleh ahli politik. Dalam dunia politik, orang Melayu tidaklah istimewa, tetapi ketua-ketua mereka adalah istimewa dan memang terbuka luas untuk mendapat kemewahan, sesuatu yang tidak dapat dirasakan dengan adil oleh Melayu kampung yang berada dalam mood lembu kenyang, menunggu habuan daripada ketua-ketua politik mereka. Sehari dua ini kita diberitahu ada usaha (?) daripada Felda untuk berbelanja 300 juta untuk membayar hutang penghuni FELDA. Mengapa mereka masih berhutang dan terus tinggal miskin  padahal mereka ditempatkan di dalam rancangan itu untuk menjadi bebas hutang. Semua ini terjadi kerana mereka hanya diberi keistimewaan untuk berhutang dengan syarikat FELDA yang kaya itu sekiranya mereka mahu tanam semula. Banyak perkara yang memerlukan penelitian tentang kehidupan mereka yang sebenarnya tidak istimewa itu. Sekarang kita lihat para sasterawan negara berada dalam keadaan selesa kerana diberi keistimewaan yang berlebihan, antaranya yang utama ialah mereka tidak boleh dinilai semula dan tidak boleh dikritik. Adakah ini hak istimewa atau mereka diistimewakan untuk melindungi kesilapan besar melantik mereka? 

Setelah lebih dari 35 tahun (tepatnya 37 tahun) diwujudkan sasterawan negara, tidakkah terdapat kemajuan yang dibuat oleh penulis lain yang tidak berada di dalam gerombolan sasterawan negara?  Kalau begitu, jelaslah tidak ada kemajuan di kalangan para sasterawan selain dari sasterawan negara. Adakah ini bermakna Malaysia begitu papa kedana dengan bakat baru yang lebih menonjol kebolehannya? Kalau memang tidak ada, maka jelaslah tiada siapa pun di antara generasi selepas sasterawan negara ini mendapat faedah daripada mereka. Semua ini adalah persoalan yang memerlukan penjelasan dan jawapan. Kita mesti ukur kemajuan yang telah kita capai dan mesti dapat melihat bakat-bakat baru yang muncul, adakah mereka sebenarnya lebih mundur? Kalau begitu, pendidikan sastera ternyata telah gagal melahirkan generasi penulis yang berbakat. Semua ini memerlukan penjelasan dan analisis. Sikap lembu kenyang yang menjadi  praktik sekarang tidak membina kreativiti, malah semakin membantut kreativiti itu.  Ini adalah penipuan yang jelas dalam perkembangan intelektual dan budaya.

Seperti yang telah saya sentuh banyak kali sejak tahun 1970-an lagi, sastera Melayu mengajar orang Melayu terus menjadi bodoh, dibantu dengan gigih sekali oleh para sarjana yang amat menyanjung kebodohan itu supaya kedudukan mereka sendiri pun tidak tergugat dan tidak dipersoalkan.  Saya telah mencabar para sarjana dan sasterawan ini supaya tampil dengan kelebihan ilmu yang ada pada mereka untuk menolak Gagasan Persuratan Baru dan karya yang telah ditulis berasaskan gagasan itu. Sepatutnya tidak harus ada perasaan takut untuk dinilai dari perspektif PB, kerana mereka ini memang dinilai dengan menggunakan macam-macam teori Barat yang banyak direka di Barat. Dalam hal ini saya bersetuju dengan Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh yang satu masa dulu bersedih tidak dinilai dari perspektif Melayu, sebaliknya dengan menggunakan teori Barat. Tetapi masalahnya beliau sendiri tidak mahu dinilai dari perspektif Melayu yang dibawa oleh PB, kerana jika ini dilakukan karya beliau tidak lagi istimewa dan jelas tidaklah bermutu seperti yang dilaungkan oleh beliau sendiri dan teman-temannya dalam Mutual Admiration Club. Demikian rendahnya self esteem mereka! 

Dalam konteks ini amat jelas saya lebih terbuka dan sentiasa bersedia untuk dinilai karya kreatif dan ilmiah saya dari mana-mana teori yang mereka suka, dengan membuat perbandingan dengan karya para sasterawan negara ini. Kita tidak seharusnya memberi sokongan kepada kebaculan intelektual dengan tidak mahu dinilai sehabis kritis menggunakan pendekatan tempatan yang telah teruji keterampilannya sebagai sebuah teori sastera.  Itulah kedudukan PB dalam sastera Melayu. PB mesti dicabar dengan menggunakannya untuk menilai karya para sasterawan negara yang telah dinilai dengan selekeh oleh Panel Anugerah Sastera Negara, seperti yang telah saya buktikan dalam banyak kritikan saya terhadap kedudukan sebenar dari segi akademik Panel ini.

Tidak pernah berlaku dalam dunia ilmu di mana-mana sekali pun kita harus meneruskan kekeliruan dan kecetekan ini dan berbangga pula dengannya. Inilah yang kita wujudkan dalam projek sasterawan negara ini. Ini yang kita mesti ubah dan hapuskan, kerana projek sasterawan negara ini menghalang kemajuan berfikir dalam kesusasteraan.  Meletakkan para sasterawan sewbagai gelomboluan sastrera yang mengatasi peranan para ulama dan cendekiawan samalah dengan meletakkan kaldai setaraf dengan kuda bima yang besar dan gagah perkasa itu, yang menjadi kuda perang pada zamannya.Keldai hanya berguna untuk menarik kincir sambil mengelilingi kincir, berjalan berbatu-batu dengan mata tertutup. Entah berapa ribu batu dia sudah berjalan, tetapi tidak bergerak ke mana-mana. Itulah para sasterawan. Tidak terdapat sebuah pun karya sasterawan negara ini yang boleh dijadikan teladan dalam ketangkasan berfikir, seperti yang ditunjukkan oleh para ulama dan cendekiawan Melayu ketika membina kebudayaan Melayu berteraskan Islam.  Persuratan Melayu dibina oleh tokoh-tokoh ulama dan cendekiawan yang berilmu; manakala sastera pula diceburi hanya oleh penulis yang tidak tahu berfikir tetapi gemar bermain kata-kata yang kosong jika dinilai aspek pemikirannya. Tunjukkan satu contoh, satu pun cukup, untuk membuktikan para sasterawan ini manusia yang berfikir dalam konteks Islam yang berteraskan konsep ilmu yang benar. Kita sudah menunggu lebih dari empat dekad, masih belum lagi lahir seorang pun  pemikir yang unggul di kalangan para sasterawan negara ini. Kalau begitu, apa perlunya kita kepada mereka? Soalan ini mesti dijawab dengan kritis, bukan dengan emosi dan cemuhan, sebaliknya dengan membentangkan hujah yang tersusun.  Tentu sekali mereka boleh melakukannya dengan mudah, jika benarlah mereka dari  kumpulan gerombolan yang berfikir. 
Kecelakaan (Inggeris: disaster) paling besar yang lahir dari idea sastera ini ialah perubahan paradigma dalam sastera dengan wujudnya the poetics of adultery yang berasaskan sastera. Celakalah bangsa yang menjadikan the poetics of adultery sebagai asas perkembangan kebudayaan mereka.  Tetapi inilah yang terjadi di Malaysia. Sarjana ulung yang memperkenalkan the poetics of adultery ini mendapat  penghargaan dan pujian besar untuk bukunya Puitika Satera Wanita Indonesia dan Malaysia: Satu Bacaan Ginokritik (USM 2012).  Novel teragung Malaysia, karya Anwar Ridhwan, seorang sasterawan negara, telah diisytiharkan sebagai novel teragung sepanjang zaman dalam sastera Melayu, Naratif Ogonshoto. Novel ini telah mendapat hadiah dan anugerah kesemua jenis hadiah dan anugerah yang terdapat di Malaysia dan di Nusantara. Bayangkan kehebatannya menurut penilaian para sarjana dan pengkritik, tanpa mereka sedari novel ini membawa ajaran Mafia dan dipengaruhi oleh tokoh sadis terkenal dalam budaya Barat, Marquis de Sade. Novel ini mendapat pujian semua sarjana dan pengkritik sastera Malaysia, tanpa kecuali. Demikian hebatnya, tetapi Kementerian Pendidikan yang mengambil novel ini sebagai teks sastera, tidak ada pilihan selain tidak memasukkan satu episod yang paling unggul dalam novel ini, tetapi bagi pihak kerajaan, episod itu tidak boleh dimasukkan kerana inilah episod  yang paling jahat dan tidak sesuai dibaca oleh pelajar sekolah menengah. Oleh sebab novel ini tidak ditulis oleh pengarang wanita, maka dalam analisis Dr. Norhayati Ab. Rahman, novel ini tidak dibicarakan; padahal inilah novel yang totok memperakukan the poetics of adultery sebagai salah satu kehebatan pemikiran Anwar Ridhwan.  Sarjana Malaysia tidak menyedarinya kerana mereka anggap hal itu perkara biasa saja dalam karya sastera.  Walaupun tidak dinyatakan dengan jelas, mereka menganggap sastera tidak mengajar masyarakat dengan ajaran moral yang baik, seperti yang ditegaskan oleh Panel Anugerah Sastera Negara terhadap Salina karya A. Samad Said. Lagi pula, A. Samad Said sendiri mengaku dia menulis tentang seorang pelacur yang baik hati. Inilah ajaran yang menjadi pegangan para sasterawan negara dan lain-lain sasterawan. Kerana itu watak jahat menjadi pilihan mereka, yang amat jelas digambarkan dengan  bergaya oleh Anwar Ridhwan dalam novelnya yang menjadi maha karya sepanjang zaman dalam sastera Melayu, Naratif Ogonshoto.  Secara logik, karya-karya yang tidak menjadikan kejahatan sebagai tema utama, seperti novel-novel saya dan cerita pendek yang saya hasilkan, tidak dapat digolongkan sebagai karya kreatif  yang baik dan bermutu, hanya sejenis propaganda murahan saja. Kata sarjana sastera dan pengkritik sastera, karya begitu tidak ada seni, terlalu pekat dengan propaganda.  Inilah hujah yang mereka gunakan untuk menolak Gagasan Persuratan Baru.  Dengan hujah inilah mereka menerima the poetics of adultery sebagai panduan asasi penulisan sastera Melayu.  Inilah perkembangan terbaru dalam sastera Indonesia yang dijadikan ikutan para penulis Malaysia.

Adakah anda mempunyai pilihan?  Tidak. Para sarjana sastera (yang ciritan) dan para pengkritik sastera (yang cetek meraba-raba) dan para sasterawan sendiri (yang menulis karya picisan) telah menutup rapat apa juga alternatif baru yang diperkenalkan dalam pemikiran kreatif di Malaysia. Tujuan mereka untuk menolak, secara total, apa juga bentuk alternatif yang dicadangkan oleh Gagasan Persuratan Baru.  Mereka sudah gagal melakukannya kerana kini karya persuratan sudah bertapak kukuh dalam kegiatan kreatif di Malaysia, walaupun karya persuratan belum lagi mencapai angka ribuan. Permulaannya telah ada, dan buku-buku yang membicarakan karya sastera dari perspektif PB sudah pun ditulis  dan diterbitkan dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Apakah pilihan yang ada pada mereka, penentang konsep ilmu yang benar ini?  Pada mulanya saya ingin memberi jawapannya, tetapi lebih baik jika mereka sendiri menentukannya. Yang pasti, mereka sedang menghadapi masalah identiti yang amat teruk, kerana tidak sebuah pun karya sastera yang mereka tulis boleh berdiri gagah apabila dinilai dari perspektif PB. Ini memberi kesan yang besar terhadap kedudukan para sasterawan negara, yang tidak lagi dapat dinaungi oleh Mutual Admiration Club.

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 24/3/2018.

Thursday, March 22, 2018

MUTUAL ADMIRATION CLUB MEMBAWA KECELAKAAN DALAM PEFRKEMBANGAN BUDAYA DAN INTELEKTUAL DI MALAYSIA



Kecelakaan budaya dan intelektual yang dibawa oleh Mutual Admiration Club tidak disedari oleh golongan intelektual di Malaysia yang terus khayal dalam kepalsuan dalam pemikiran mereka yang menentang konsep ilmu yang benar.  Kerosakan terbesar yang berpunca dari Mutual Admiration Club ialah mewujudkan, dengan persetujuan kerajaan, anugerah sasterawan negara yang dikhususkan kepada anggota mereka. Hakikat ini tidak dapat ditolak kerana inilah yang berlaku sebenarnya. Apabila mereka keputusan/ketandusan/kepupusan calon, mereka pun kembali kepada tokoh lama untuk dipilih sebagai sasterawan negara. Itulah caranya Baha Zain diberi gelaran itu. Ini dibantah dengan keras oleh Shahnon Ahmad, tetapi tidak menjadi suatu isu pun. Semua sasterawan dan sarjana menerima pelantikan itu sebagai hak Baha Zain yang sudah lama berjasa kepada Panel Anugerah Sastera Negara yang dia sendiri menjadi anggotanya beberapa kali. Siapakah di belakang pelantikan ini diketahui oleh para sasterawan dan sarjana sastera.

Sejauh mana mereka (sasterawan dan sarjana) tahu bagaimana lobi dilakukan oleh sasterawan yang mahukan kedudukan yang menguntungkan itu sebenarnya tidak penting, kerana DBP mempunyai caranya yang tersendiri untuk mendapat  pencalonan. Di sinilah pentingnya kedudukan dan pengaruh Mutual Admiration Club, yang sedia membantu DBP untuk mendapatkan calon.  Untuk memudahkan kerja DBP, mungkin bagus jika badan-badan penulis diberi tugas khas untuk mengenal pasti calon baru tiap negeri masing-masing.  PENA dan GAPENA juga boleh memainkan peranan mereka untuk mendapatkan calon setiap tahun, yang jika tidak terpilih tetap menjadi calon simpanan.

Apakah keistimewaan para sasterawan negara ini? Belum ada lagi penilaian yang benar-benar objektif, walaupun telah banyak ditulis mengenai mereka untuk seminar khusus para sasterawan negara anjuran DBP.  Semua kertas itu ditulis tergesa-gesa, tiada yang benar-benar mengemukakan analisis yang mendalam terhadap karya para sasterawan istimewa ini. Ciri paling menonjol di sini ialah penampilan pelbagai “teori” sastera Barat untuk dipadankan dengan karya para sasterawan negara ini, dengan dua tujuan tertentu. Pertama, untuk memperlihatkan bahawa mereka adalah istimewa dan dapat memenuhi keperluan semua teori Barat. Kedua, mereka wajar dilantik sebagai sasterawan negara kerana memenuhi ciri-ciri teori sastera Barat.  Inilah yang telah ditunjukkan oleh para penulis kertas kerja. Timbul persoalan yang belum dijawab: Mengapa hanya teori sastera Barat yang digunakan untuk menilai karya para sasterawan negara ini? Tidak adakah teori lain yang boleh digunakan? Jawapan yang boleh kita lihat melalui kertas kerja itu ialah teori Barat sesuai digunakan kerana semua karya sasterawan negara ditulis untuk memenuhi keperluan teori sastera Barat. Inilah kesimpulan semua laporan Panel Anugerah Sastera Negara dalam semua laporan mereka. Apakah implikasi kesimpulan ini?

Jika ini benar, maka kesimpulan Panel bahawa para sasterawan negara telah memberi kepada sastera Melayu teknik baru yang asli adalah karut, tidak betul.  Mereka adalah peniru teknik sastera Barat. Kalau begitu, apakah keistimewaan mereka? Tiada siapa pun boleh menjawab pertanyaan bodoh ini.  Pertanyaan ini bodoh kerana tidak perlu dan tidak wajar dikemukakan, kerana “keistimewaan” para sasterawan negara ini bukan di situ. Para sasterawan negara ini adalah tukang cerita penglipur lara moden yang menggunakan teknik penglipur lara untuk menulis novel mereka. Ini diakui sendiri oleh Prof. Emeritus Muhammad Haji Salleh ketika memberi ucaputama kepada seminar tentang Anwar Ridhwan.  Beberapa kelemahan mereka, misalnya yang terbesar dalam perwatakan, pengolahan, dan penampilan teknik baru yang benar-benar baru ciptaan mereka, tidak diberi sorotan yang sepatutnya. Kita mahu tahu, manakah di antara watak yang ditulis dalam karya para sasterawan negara yang muncul sebagai watak yang kuat? Maksud kuat di sini, antara lain, ialah kecerdikan mereka, kedegilan mereka menghadapi masalah secara bijaksana dan memberi kesan kepada pemikiran, dan penampilan mereka sebagai watak ciptaan seorang sasterawan. Kelemahan  yang terdapat dalam perwatakan ini adalah kelemahan sasterawan sendiri, yang tidak muncul sebagai pemikir yang handal dan unggul. Anda boleh kemukakan mana-mana karya yang anda mahu untuk menidakkan kesimpulan ini.  Dalam aspek pengolahan tema, kita juga mendapati tiada pemikiran baru dikemukakan, malah tema yang ditonjolkan oleh para sasterawan negara masih tema lama, terutama sekali tentang kemiskinan, persoalan seks, hiburan, keseronokan dan yang sejenis dengannya.  Pengaruh penglipur lara sangat kuat dalam karya Anwar Ridhwan misalnya.  Pengkritik dan sarjana sastera menamakan ini intertekstualiti. Bunyinya hebat, maknanya  lipur lara. Menghidupkan lipur lara dan memujinya pula adalah satu perkembangan yang tidak dapat diterima, menunjukkan kerendahan cara berfikir dan kecetekan ilmu. Pendapat Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh tentang perkara ini adalah naif, cetek, dan mengarut. Baca tulisan beliau dalam Sastera Teras Negara Bangsa (ITBM 2014).  Antara lain kata beliau dengan bangga, tetapi dangkal: “Jika mengenal karya-karya (lisan ini) kita mungkin bereksperimen  dengan pantun, syair, gurindam, hikayat, dan cerita lisan - ..” (hal. 204).  Ini suatu cara menempelak para sasterawan supaya terus kekal dalam khayalan penglipur lara sambil memalu batil, seolah-olah Awang Batil itulah genius Melayu. Tidakkah ini mengarut dan berlebihan memuja khayalan penglipur lara.  Sekiranya anda menerima konsep sasterawan sebagai pemikir bangsa, anda tidak wajar mendorong mereka menjadi Awang Batil, seolah-olah itu saja modal dan model seorang sasterawan.

Semua ini berlaku dalam kumpulan yang menjadi anggota Mutual Admiration Club yang telah mengkhianati perkembangan intelektual dan budaya ilmu di Malaysia. Amat memalukan kita semua ialah hal ini berlaku dengan sokongan dan persetujuan ITBM dan DBP.  Sifat naif dan cetek ini menghalang adanya dialog ilmu yang kritis di kalangan sarjana dan sasterawan, malah salah satu prinsip yang menjadi pegangan anggota Mutual Admiration Club ini ialah “persetankan kritikan dan ejekan”, asalkan mereka terus mendapat faedah daripada dua organisasi besar tadi.  Mereka memilih untuk dikutuk generasi masa depan daripada menghadapi persoalan masa kini yang memerlukan perhatian serius dan jujur daripada mereka.  Peranan ilmu yang benar dalam penulisan kreatif dan dalam kritikan sastera bukanlah boleh dipermainkan dengan bersikap “lembu kenyang” seperti yang mereka lakukan dengan angkuh kini.  Banyak kerosakan telah terjadi kerana keengganan mereka mengaku dengan berani dan jujur bahawa mereka, sebagai penyokong Mutual Admiration Club, telah menghalang kemaraan pembaharuan dalam pemikiran persuratan Melayu yang dianjurkan oleh Gagasan Persuratan  Baru.  Dengan menerima pandirisme sebagai satu-satunya saluran untuk berkarya, maka mereka menyekat pembinaan budaya ilmu dalam persuratan.  Pengkhianatan seumpama ini  menafikan para pelajar mendapat maklumat yang tepat dan objektif dalam bidang kreatif dan kritikan dan pendidikan kesusasteraan.  Pendidikan kesusasteraan tidak saja lemah dan keliru, tetapi juga menafikan pemikiran baru dan bernas yang diperkenalkan oleh Gagasan Persuratan Baru.  Adalah tidak siuman dan tidak masuk akal untuk kembali ke zaman animisme seperti yang dianjurkan oleh sasterawan negara yang memanjat bumbung kilang berkarat untuk mendapat ilham, padahal yang dibawa turun dari bumbung itu hanya cadangan mengarut dan cetek, yang tidak sekali-kalai dapat membina budaya ilmu yang kita kehendaki berasaskan konsep ilmu yang diajarkan oleh al-Quran.  Dengan menggesa sasterawan dan penulis Malaysia meniru dan menjadi pengikut Salman Rushdie dan Orhan Pamuk, dua orang penulis yang menolak agama yang menghina Islam secara terang-terang, maka sesiapa juga yang membuat cadangan itu pastilah sudah tidak siuman dan amat tidak bertanggungjawab, sekiranya orang itu mempunyai kedudukan dalam masyarakat.  Inilah persoalan yang mesti dihadapi dengan penuh tanggungjawab ilmiah.

Kemunculan Mutual Admiration Club dalam sastera Melayu dikesan oleh Prof.  Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh dalam tahun 1973 lagi, sudah begitu lama. Mengapa beliau kemudiannya membela Mutual Admiration Club, malah menjadi jaguhnya pula? Kita boleh lihat perubahan ini dalam tulisan beliau sendiri, terbaru seperti yang dilepaskannya dalam Sidang Kemuncak Penulis Malaysia 2014. Mengapa perubahan ini perlu bagi tokoh besar ini? Kita tidak tahu cerita sebenarnya, yang kita boleh teka ketika itu beliau merasakan terdapat halangan terhadap beliau sendiri yang menjadi mangsa Mutual Admiration Club yang disebutnya 173 dulu, secara khusus mengenai sajaknya “Batu-batu” yang dikecam oleh segolongan sasterawan.  Mengapa beliau akhirnya menerima kemunculan Mutual Admiration Club itu dan menjadi jurucakapnya kalau tidak pun Ketua Agungnya. Perlukah  beliau memberi penjelasan? Saya fikir tidak perlu. Yang berlaku adalah wajar dan memang diperlukan oleh sekumpulan sasterawan yang telah dilantik menjadi sasterawan negara. Mutual Admiration Club dalam bentuk baru yang diperlukan oleh para sasterawan negara untuk mempertahankan diri dan melindungi kepentingan mereka. Sebagai satu imbasan yang menyeronokkan, kita lihat apa kata Muhammad Haji Salleh dalam tahun 1973 di Johor Baru dalam seminar kritikan sastera itu. Inilah pandangan beliau:

“Sebagai seorang pengadil, seorang kritikus itu bukanlah manusia yang mudah bertolak ansur di dalam hal nilai-nilai sastera – yang mungkin dilonggarkan untuk kawan-kawannya dan diperketatkan untuk musuhnya. Tulisan begini sebenarnya bukanlah kritikan tapi propaganda: dan ini leluasa sekali pada hari ini. Ada kumpulan-kumpulan penulis yang saling memuji antara satu sama lain sebagai ahli-ahli suatu mutual admiration club. Di dalam kumpulan-kumpulan begini penulis-penulis yang terlalu  sederhana kebolehannya dan daya kreatifnya ataupun fikirannya dipuji tinggi-tinggi dan dibandingkan dengan pujangga yang besar di Barat. Ataupun dicarinya saja sifat-sifat yang baik dan dibesar-besarkannya, dan dibutakannya mata penilainya kepada keburukannya.”

Memang menarik pandangannya ini, yang semua keburukan yang dikritiknya itu dilakukannya dalam tulisannya dalam Sastera Teras Negara Bagnsa, seperti yang sudah kita lihat dalam pujiannya yang tidak munasabah terhadap Baha Zain, yang disuruhnya dicontohi kemampuan inteleknya sebagai pengkritik, walaupun teman yang dipujinya itu tidak atau belum lagi menulis sebuah buku kritikan dan teori sastera yang boleh mengatasi Gagasan Persuratan Baru, edisi ke-2.  Dolak-dalik begini tidak lagi memualkan, tetapi terus memuntahkan pembaca yang tahu kualiti sarjana profesor terkenal ini.  Seterusnya kita baca lagi:

“Kepentingan kritikan adalah kepentingan sastera dan bukan untuk kritikus itu sendiri atau teman-temannya. Kita dan generasi yang akan datanglah akan rugi jikalau kepentingan perseorangan atau kumpulan-kumpulan kecil ditempatkan di  atas kepentingan sastera dan kebudayaan. Dan ini tak lebih dari  rasuah yang dilakukan oleh pegawai-pegawai yang rakus dan mencuri wang rakyat. Kita tau apa yang akan jadi kepada negeri yang ditulari oleh rasuah, dan kita pun tahu apa yang akan terjadi kepada sastera yang korupsi, kerana kita sendiri sedang mengalami akibat-akibatnya. Pengarang-pengarang begini bukan saja tidak tenang dan adil di dalam tulisannya, tetapi sudah melanggar tatatertib dan nilai-nilai sastera.”

Tentu saja pandangan profesor agung ini sangat hebat, yang tidak pernah terfikir olehnya bahawa semua itu berlaku ke atas dirinya sendiri, seperti yang dapat kita lihat dengan jelas dalam tulisannya di dalam buku ITBM itu.  Seterusnya beliau membuat kesimpulan yang amat mengagumkan orang yang tidak tahu politik kritikan sastera ini. Renung seterusnya kebijaksanaan sarjana agung ini:

“Seorang kritikus itu harus mempunyai harga diri yang dia tidak akan jualkan untuk sesiapa saja atau tujuan apa-apa pun.” (rujuk hal 66).


Melihat kutipan itu, kita rasa beliau seolah-olah ikhlas membangkitkan kemunculan Mutual Admiration Club itu.  Apa yang berlaku kemudiannya? Nampaknya tidak perlukan penjelasan, sudah menjadi sejarah buruk dalam sastera Melayu.  Apakah reaksi kita sekarang? Hebat. Tulisan 1973 memang hebat dan sangat hebat;  tetapi sayangnya tidak boleh dipakai untuk menjadi ukuran kemajuan berfikir yang telah kita hadapi pada tahap sekarang. Atau, inilah bukti kemunduran berfikir yang kita hadapi pada waktu ini.  Saya yakin ketika menulis catatan beliau yang penting ini, Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh jujur kepada dirinya dan mungkin juga kepada sastera; tetapi tidak lagi sekarang, sudah berubah sama sekali apabila beliau sendiri yang mengepalai Mutual Admiration Club yang dikutuknya 1973 itu. Sebenarnya inilah hasil perkembangan yang paling dramatik dalam sastera Melayu, apabila selepas 8 tahun pandangan bernas dan jujur ini disuarakan oleh seorang sarjana ulung, maka terciptalah gelaran “sasterawan negara” yang kini sudah mencapai angka 13 orang, setelah dimulai dalam tahun 1981 dengan penerima pertama Keris Mas, seorang tokoh besar Asas 50. Pemberian gelaran ini adalah untuk para penyokong Asas 50 dan konco-konconya, bukan untuk negara apatah lagi untuk sastera kerana apabila dinilai dengan kritis karya mereka, kita berasa hairan yang amat sangat inilah karya manusia yang diberi gelaran “sasterawan negara” itu. Tidak ada bezanya dengan karya lain-lain, malah kemudiannya terdapat karya yang lebih bermutu ditulis oleh bukan sasterawan negara, misalnya dalam kes T. Alias Taib, yang sajak-sajaknya jauh lebih indah dan lebih bermutu daripada sajak-sajak Muhammad Haji Salleh sendiri, sasterawan negara ke-6 selepas Arena Wati. Is this just a joke?

Sekarang anda sudah dapat melihat mengapa saya memberi judul yang menggegarkan untuk entri kali ini.  Sekarang anda mengerti mengapa saya memanggil sarjana jenis ini sebagai sarjana hisap puting!

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 22 Mac 2018.