Thursday, March 31, 2016

SENI AVANT-GARDE DI ERA PASCAMODERNISME

(Satu catatan ringkas)

Kalaulah pembaca blog ini tahu makna dan maksud pascamodernisme dalam kesenian, termasuk seni sastera, tentu mereka tidak membantah agak keras apabila dalam entri yang lepas saya mengatakan Sikana sebagai seorang penulis avant-garde terulung di Malaysia yang menjadi jurucakap pascamodernisme dalam kritikan sastera Melayu, telah meletakkan para sasterawan negara di atas tong susu yang dibuat daripada kayu gabus, yang banyak terbuang di Jalan Chaw Kit, Kuala Lumput.  Sikana menjadikan tong susu daripada kayu gabus itu sebagai singgahsana atau takhta keunggulan para sasterawan negara yang bertakhta di atas tong susu yang dilapik tuala kuning, lambang kemuliaan di raja para sasterawan negara.  Saya cukup berhati-hati ketika memberi contoh ini, dengan membawa masuk dalam perbincangan seorang tokoh avant-garde terkenal, M. Duchamp yang menjadikan urinal, mangkuk kencing, sebagai hasil seni avant-garde era pascamodernisme. Kalau Eropah boleh menerima Duchamp sebagai tokoh besar mereka dan menerima mangkuk kencing sebagai hasil seni daripada Duchamp, maka mengapa pula Sikana mesti diasingkan daripada jalur pascamodernisme Barat padahal beliau juga seorang tokoh besar avant-garde, seperti yang dibuktikannya dalam kumpulan cerita pedek abad 20 yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Saya kira Sikana tentu amat gembira dan berasa megah kerana disetarafkan dengan M. Duchamp yang terkenal sebagai seniman avant-garde itu.  Mengapa beliau tidak boleh meletakkan para sasterawan negara di atas tong susu daripada kayu gabus yang di atasnya dihampar tuala kuning, lambang di raja? Sikana tidak mungkin dapat menyediakan takhta sebenar seperti yang diduduki raja-raja Melayu, dan jika dia mempunyai wang untuk membuat takhta keunggulan untuk diduduki setiap sasterawan negara, usahanya itu mungkin ditolak oleh para sasterawan negara sendiri kerana mereka tahu mereka tidak layak didudukkan di atas takhta keunggulan. Jadi apakah isunya?

Perbincangan tentang sasterawan negara masih lagi berada di peringkat pretensi intelektual yang dangkal dan penuh dengan retorik peragaan yang tidak diikuti dengan hujah yang mantap. (Baca entri bertarikh 10 Oktober, 2014). Para sarjana sastera dan sasterawan tidak menunjukkan kecerdasan intelektual mereka apabila dihadapkan dengan seni avant-garde dalam era pascamodernisme, walaupun dua istilah ini mereka sering sebut dalam tulisan mereka untuk menunjukkan mereka tidak ketinggalan, dan kenal seni avant-garde dan tahu dengan mendalam faham pascamdernisme itu, namun mereka tidak boleh menerima hakikat bahawa para sasterawan negara itu tidak layak diberi kedudukan lebih tinggi daripada para ulama dan cendekiawan Melayu dengan meletakkan mereka di atas takhta keunggulan.  Jangan menuduh dulu, seolah-olah saya tidak faham bahawa Sikana menggunakan bahasa kiasan, metafor, ketika menulis bukunya Sasterawan Negara di Takhta Keunggulan itu.  Isu paling besar yang tidak dapat dihuraikan oleh Sikana tentang sasterawan negara ialah mengenai sumbangan intelektual mereka sebagai pemikir bangsa yang melayakkan mereka diletak lebih tinggi daripada kedudukan para ulama dan cendekiawan Melayu.  Apakah sebenarnya kelebihan sasterawan negara? Persoalan ini tidak dapat diberi jawapannya dengan tuntas dan meyakinkan oleh Sikana, malah tidak pernah terlintas dalam keunggulan akademiknya sendiri untuk membahaskan persoalan penting ini, supaya kedudukan para sasterawan negara benar-benar diasaskan kepada keistimewaan intelektual dan pemikiran mereka.  Dalam konteks inilah saya mencabar Sikana untuk menolak bacaan saya dalam entri bertajuk, “Keunggulan yang Cacat.”  Anda boleh membaca penghujahan saya dalam entri tersebut.  Persoalan yang saya bangkitkan di sini mungkin boleh digambarkan dengan mudah dalam sebuah drama komedi berjudul, “Takhta Tong Susu Kayu Gabus Sang Sasterawan,” sebuah satira tentang peranan avant-garde dalam sastera Melayu, dengan membawa sekali urinal oleh Duchamp sebagai bukti bahawa mangkuk kencing pun boleh dijadikan seni avant-garde dalam era pascamodernisme. Saya harap para penulis drama yang hebat-hebat yang menulis di TV dalam slot drama boleh turun ke dunia intelektual untuk menulis drama avant-garde ini. Atau, lebih baik, jika Sikana sendiri menulisnya, sesuai dengan karya avant-garde beliau seperti di dalam cerita pendeknya.  
Kegagalan Dewan Bahasa dan Pustaka dalam seminar tentang pemikiran sasterawan negara tidak sepatutnya berlaku, kerana semua kertas kerja ditulis oleh sarjana handalan bertaraf profesor atau paling kurang profesor madya, dengan title doktor di depan nama mereka.  Mengapa mereka memilih untuk tidak menunjukkan kemampuan akademik dan intelektual mereka yang tinggi dan benar-benar berwibawa?  Mereka boleh saja berkata dengan sinis bahawa penilaian saya tidak boleh dipakai kerana saya bukan seorang sarjana dan tidak mempunyai apa-apa jawatan di universiti terkenal di Malaysia. Ini telah pun dibuat oleh pakar sajak dan seorang pengkritik sastera setaraf dengan Sikana, bernama Prof. Rahman Shaari (kini bergelar Dato’) yang telah memperlekeh syarahan perdana Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir kononnya dibuat untuk  bercakap tentang Persuratan Baru oleh Mohd. Affandi Hassan yang tidak mempunyai kedudukan di universiti untuk mengucapkan syarahan perdana beliau. Mereka boleh berkata, paling baik yang saya boleh buat ialah berbicara tentang pandirisme, satu tajuk yang simple dan simplistic, dan sebenarnya tidak mempunyai kekuatan akademik sedikit pun, kecuali untuk memberi gelaran sebagai seorang pengkritik gasang yang telah mematahkan sayap kritikan sastera Malaysia. Hanya dalam persoalan ini, anda tidak perlu blame saya kerana kekurangan dan kelemahan anda sendiri!  Ini boleh dilihat dalam kertas kerja anda tentang pemikiran para sasterawan negara. Malah Profesor Emeritus yang menulis tentang pengkritik gasang itu pun tidak dapat memperlihatkan ketangkasannya berfikir dan menulis tentang perkembangan intelektual dalam kritikan sastera Melayu, yang kita tunggu begitu lama akan lahir daripada beliau. Sehingga ini, beliau hanya mampu membuat tuduhan, tetapi tidak berupaya menyerlahkan kemampuan akademiknya untuk membicarakan perkembangan pemikiran dalam kritikan sastera Malaysia. Kasihan! What a pity!!

Demikianlah kelebihan tokoh yang diletakkan di atas takhta keunggulan oleh Sikana.


Mohd. Affandi Hassan, 31/3/2016.

Wednesday, March 30, 2016

KRITIKAN SASTERA BARAT SEBAGAI LAMBANG KEMENANGAN IBLIS MEMPERDAYA MANUSIA: Satu Wacana Dalam “Decolonising the University.”

(Bahagian III)

Ada yang bertanya, mengapa saya guna Sikana, tanpa Mana. Dalam bahasa Arab manasikana satu perkataan, bukan dua seperti nama samaran Dr. Abdul Rahman Napiah. Sama ada Mana tunggal atau Sikana tunggal, kedua-duanya boleh dipakai, ada makna tersendiri; tetapi bila dicantumkan barulah betul dan ini terdapat dalam doa Nabi Ibrahim ‘a.s. ketika naik haji.  Itulah maksud unggul, dalam ibadat haji.  Dr. Abdul Rahman Napiah tidak boleh lagi menggunakan nama samaran manasikana kerana dia telah membuang unsur Islam dalam teksdealisme. Itu jelas, dan kita pun tahu ke arah mana dia mengarahkan manasiknya.  Perkara ini disebut di sini untuk menunjukkan beliau tidak mempunyai apa-apa wibawa untuk meletak seseorang sasterawan negara ke atas takhta keunggulan. Dia sendiri tidak tahu di mana letaknya takhta itu! Sering kali dia tersilap menganggap tong kayu gabus bekas susu yang banyak didapati di Jalan Chaw Kit dalam pandangannya adalah sebuah takhta, dan di situlah dia mendudukkan keunggulan para sastrerawan negara. Ini benar-benar seperti lawak Wak Long dalam wayang kulit Kelantan, yang suka bergurau sekadar untuk membuat orang tertawa. Kerja dalang yang tahu penontonnya perlukan comic relief itu.Dalam konteks manasiknya yang keliru dan bercelaru, Sikana menjadikan pascamodenisme sebagai ukuran untuk menilai para sasterawan Melayu, padahal faham sastera yang dipujanya itu menjadi lubuk kekeliruan dan kebengkokan yang disebut sebagai ‘iwajan dalam al-Quran.  Sasterawan tidak boleh diangkat ke takhta keunggulan sekiranya karya mereka kaya dengan sifat-sifat ‘iwajan.  Kecuali jika para sasterawan itu, secara metafor seperti yang difahami dalam retorik kritikan sastera bertaraf tinggi yang dipraktikkan dalam dekonstruksi bikinan Jacques Derrida, seorang tokoh yang menjadi idola (istilah ini cocok sekali untuknya) Sikana,  maka ketika itulah para sasterawan ini layak didudukkan dulu di atas takta sindiran yang sering digunakan Derrida ketika mengejek seterunya dalam polemik (misalnya dengan memanggil John Searle sebagai Sarl, yakni salakan anjing) dengan menjadikan tong susu sebagai takhta. Ini bukan suatu perkara yang pelik, bagi Sikana yang memuja pascamodernisme yang menganggap dirinya seorang tokoh avant-garde, kerana seorang seniman Eropah bernama Duchamp  menjadikan mangkuk kencing sebagai karya seni, sesuai dengan teori estetik avant-garde  pascamodernisme yang mengatakan seni itu ialah apa yang diangkat menjadi seni oleh sekumpulan peminat seni yang menerima sesuatu karya sebagai hasil seni! Sikana boleh mengambil tong susu yang banyak didapati di Jalan Chaw Kit untuk dilapik dengan tuala kuning, lambang takhta di raja, untuk meletakkan sasterawan negara di atasnya sabagai tokoh unggul yang istimewa kerana warna kuning itu dan kini diberi kedudukan sebagai manusia unggul, seperti Duchamp menjadikan urinal sebagai karya seni yang tinggi dan diterima oleh manusia Barat.  Inilah teori seni yang menjadi pegangan anggota panel Anugerah  Sastera Negara, walaupun mereka sendiri tidak tahu teori itu wujud. Dari segi itu mereka mempunyai hujah, walaupun hujah itu sebenarnya diajukan oleh Iblis sebagai pelanggaran kepada perintah Allah SWT kepada Nabi Adam ‘a.s.  Dalam teori sastera Barat, pelanggaran dalam konteks yang disarankan oleh Iblis kepada Nabi Adam ‘a.s. itu adalah satu sayarat untuk menjadi sasterawan agung.  Anda boleh baca tentang perkara ini dalam buku-buku kritikan sastera Barat. Jika anda baca laporan Panel Anugerah Sastera Negara, mereka memang menggalakkan pelanggaran dengan mengangkat sebarang eksperimen, kelainan, dan yang seumpama itu sebagai ciri utama karya bermutu, yang kata mereka terdapat dalam karya para sasterawan negara. Sudah jelas Panel menggalakkan aspek ‘iwajan ini dalam penulisan kreatif. Sekiranya anda mahukan contoh yang paling jelas, bacalah laporan tetang Anwar Ridhwan, dan bandingkan dengan komentar saya dalam entri 28/10/2014, “Keunggulan yang Cacat”.  Jangan takut untuk berbahas jika anda benar-benar percaya apa yang anda sarankan dan yang menjadi pegangan anda itu perkara yang benar dan perlu diteruskan. Dunia akademik memerlukan perbahasan konkrit, bukan gunjingan di belakang seperti yang anda lakukan sekarang.  Walau bagaimana pun, saya bersimpati dengan anda kerana inilah ajaran Panel Anugerah Sastera Negara yang menegaskan moral tidak perlu dalam karya kreatif dan dalam penilaian karya (rujuk laporan mereka untuk A. Samad Said.) 

Ajaran Panel ini menjadi pegangan kukuh Sikana melalui teksdealisme yang juga menolak moral dan adab dengan konsep pelanggarannya itu. Jika kita sedar tentang perkara ini, maka sangat ganjil dan biadab apabila Sikana menegaskan teksdealisme itu dicetusnya untuk membantu penulis muda mencapai keunggulan melalui pelanggaran itu. Kerana begitu yakin pelanggaran itu bukannya berasal daripada falsafah Iblis untuk manusia, maka Sikana dengan tegas pula berkata, dengan nada yang angkuh, “Ramai penulis muda muncul.  ... Bagaimana seharusnya mereka menghadirkan segala pembahanan karya, melakukan pelanggaran, meneruskan pengukuhan karya demi karya dan akhirnya mencapai puncak individualisme atau kepengarangannya.  Teori ini sebenarnya suatu landasan untuk penulis-penulis muda berkarya.” (hal. 93).  Saranan ini, setelah anda tahu maksud dan makna pelanggaran itu, samalah dengan anda menggalakkan pengambilan dadah di kalangan penulis setelah anda tahu bagaimana pengarang besar Barat juga mengambil dadah untuk menulis. Siapa mereka? Tentulah anda tahu sendiri, atau jika tidak pasti boleh bertanya Sikana yang tahu semua ini.

Pendapat sarjana ciritan seperti yang diutarakan mereka bahawa teksdealisme boleh membebaskan sasterawan untuk mencapai keunggulan dalam karya mereka,  telah membelenggu pemikiran penulis dan sarjana, dibelenggu oleh konsep pelanggaran yang sama sekali bertentangan dengan cara otak manusia berfikir seperti yang dijadikan Allah Ta’ala. Otak manusia tidak dapat menerima konsep seperti pelanggaran untuk mara ke depan, kecuali dalam peperangan sebagai satu tektik perang yang berkesan. Dalam dunia pemikiran, otak manusia berusaha membikin sistem pemikiran  yang teratur dan tersusun, yang boleh mengukur kemajuan yang ingin mereka capai dengan agak tepat. Contoh paling bodoh ialah jika anda berjalan ke depan, anda akan sampai ke tempat yang dituju, betapa jauh sekali pun.  Sebaliknya jika anda “melanggar” ke sana ke mari, anda bukan lagi manusia siuman dan anda tidak  akan menjadi manusia unggul dengan perbuatan itu.

Berkata Sikana dengan megah,  setelah menurunkan satu kutipan daripada Hikayat Hang Tuah,  “Itulah suara Hang Jebat yang bergema dalam pembinaan Teori  Teksdealisme ini. Tindakan penderhakaannya merupakan suatu sifat pelanggaran yang dilakukannya dalam tradisi masyarakat feudalisme. Hang Jebat sedar apa yang dilakukannya. Sesungguhnya dia telah melakukan  pelanggaran terhadap dunia Melaka selama ini. Sesungguhnya akar kepada Teori Teksdealisme ialah sifat pelanggaran itu dalam konteks membina keunggulan, iaitu suatu pencapaian tertinggi dalam dunia kesusasteraan. Teks yang dihasilkan mencapai  taraf yang tinggi, pengarang memiliki sifat kepengarangan yang cemerlang dan khalayak memiliki tradisi penikmatan yang menggalakkan.” (hal. 86).

What kind of nonsense is this? 

Sikana menulis dalam bahagian pendahuluan bab 6 seperti ini: “Teori Teksdealisme didasarka kepada peristiwa keberanian Hang Jebat yang melakukan pelanggaran terhadap feudalisme Melayu, ingin membunuh Raja Melaka untuk menuntut bela atas kematian Hang Tuah yang telah dijatuhi hukum bunuh tanpa usul periksa. Sewaktu Hang Jebat melakukan pelanggaran itu, umurnya sekitar dua puluhan, hampir sama dengan umur Teori Teksdealisme ini.” (hal. 83).

Sikana melakukan dua kesalahan besar: pertama, teksdealisme bukanlah satu teori sastera atau teori politik atau teori pemberontakan atau teori revolusi. Teksdealisme hanya sejenis omongan, idle talk mengikut Heidegger, yang tidak ada  unsur intelektualnya.  Kedua, Hang Jebat tidak memberontak, tetapi mengamuk untuk menstabilkam kemarahannya di atas hukuman ke atas Hang Tuah, seorang sahabat karibnya yang amat dihormatinya. Itu saja motifnya.

Pelanggaran tidak mungkin mencetuskan revolusi dalam pemikiran penulis muda. Apa maksud pemberontakan jika benar Hang Jebat seorang pemberontak?  Pemberontakan adalah satu gerakan massa. Hang Jebat tidak memberontak, hanya membalas dendam.  Kawan-kawannya sendiri pun tidak ikut sama, apatah lagi rakyat Melaka. Selepas dia dibunuh, sistem feudal semakin kuat dan terus kekal hingga sekarang. Apa hujah teksdealisme untuk membahaskan isu penting ini dalam politik Melayu?  Tukang teori Melayu tidak membebaskan pemikiran penulis, malah membelenggunya. Kecuali jika mereka cerdik dan dapat melihat kepalsuan pendapat yang diutarakan oleh teksdealisme dan lain-lain “teori”, termasuk puitika sastera Melayu cetusan sasterawan negara yang mengajak manusia Melayu “menjadi kurang ajar.”   Gimana sih ini cara bikin kamu jadi cerdik seterusnya unggul!

Adalah suatu kenyataan yang amat ironik apabila kita menyedari bahawa teksdealisme itu sendiri adalah cetusan feudalisme intelektual yang akhirnya membelenggu pemikiran para sarjana ciritan yang cetek meraba-raba, apabila mereka menerima teksdealisme sebagai satu teori sastera yang canggih yang menjadikan pelanggaran satu kaedah untuk mencapai keunggulan. Inilah amukan intelektual yang diwarisi daripada peristiwa Hang Jebat menderhaka menurut pengakuan Sikana.  Amukan intelektual ini menjadi bahan tertawa di kalangan orang yang celik ilmu, yang tahu membezakan konsep ilmu yang benar dengan hanya maklumat mentah seperti yang dipegang oleh Sikana ketika membina “teori” teksdealismenya.  Sebaik saja Sikana dicabar secara akademik untuk menghuraikan asas-asas ilmu tentang “teorinya”, dia lari atau menjauhkan dirinya tidak mahu terlibat, kerana itu dia tidak pernah berminat untuk hanya menyebut kemunculan gagasanPersuratan Baru yang jika dinilai dari konsep “pelanggarannya” adalah suatu pelanggaran hebat yang meruntuhkan sama sekali teksdealisme.  Sekalipun teksdealisme masih disogokkan kepada khalayak sastera Melayu yang cetek meraba-raba, tidak seorang pun akan menghampirinya dengan yakin, apabila mereka sedar bahawa konsep pelanggaran itu dipelopori oleh Iblis, seperti yang disebut beberapa kali dalam al-Quran.

Kesan paling baik yang dilahirkan oleh teksdealisme ialah gerakan pandirisme yang kini menjadi pegangan para sasterawan dan sarjana sastera. Pandirisme yang lahir dari teksdealisme kini menjadi asas pegajian sastera di UPSI, tempat Dr.  Abdul Rahman Napiah menjadi salah seorang tenaga pengajar.  Salah satu tugas besar Sikana sebagai seorang ahli akademik (?) ialah menghalang para pelajarnya mempelajari dengan mendalam gagasan Persuratan Baru, yang menurut Sikana tidak mempunyai ciri akademik (rujuk tulisan beliau dalam Prosiding Seminar Teori dan Kritikan Sastera Malaysia, Universiti Perguruan Sultan Idris, 2012: 119-120).  Kata Sikana, “Masyarakat sastera, terutamanya pelajar di institusi pengajian tinggi kurang berminat  mendekati dan mengaplikasi teori ini, akhirnya ia hanya hidup  di atas kertas saja.”  Jelaslah Sikana tidak mahu revolusi dalam kritikan sastera untuk memastikan teksdealisme terus mengelirukan para pelajar, sasterawan dan sarjana sastera dengan menolak konsep ilmu yang benar, tetapi menerima “pelanggaran” yang dipelopori Iblis ketika menipu Nabi Adam ‘a.s.  Dari perspektif ilmu dan nilai akademik yang tinggi, buku Sikana Berdiri di Akar Diri: Kritikan Sastera Melayu Pascamodenisme, adalah setaraf dengan buku Dr. Norhayati Ab. Rahman yang memenangi Hadiah Sastera Perdana yang berasal daripada tesis Ph.D. beliau, Puitika Sastera Wanita Indonesia dan Malaysia:  Satu Bacaan Ginokritik,  kedua-duanya adalah contoh yang baik sebagai karya picisan dalam bidang akademik.  Inilah contoh pelanggaran dalam bidang akademik, yang bersumber dari pelanggaran asal yag disebut dalam al-Quran. Lain-lain contoh anda boleh dapati dengan banyak dan mudah, untuk anda pilih sendiri. Sebahagiannya telah saya bincang dalam blog ini. 

Oleh sebab saya menulis karya kreatif, di samping karya kritikan, maka anda diberi kemudahan untuk mengkritik saya sehabis kritis yang anda mahu, menggunakan teori mana sekalipun yang anda suka. Saya sebut perkara ini untuk menolak tuduhan yang tidak berasas bahawa saya hanya tahu mengkritik, padahal tidak ada pun karya saya sendiri yang bermutu.  Oleh itu, anda mempunyai peluang yang sangat baik untuk menolak hujah dan kritikan saya.

Untuk makluman,  sekadar memberi bahan yang lebih terkini, buku yang berasal dari tulisan di blog ini, Pandirisme dalam Komuniti Dunia,  akan berada dalam pasaran bulan April 2016. Diterbitkan oleh Klasika Media, No. 3-1 Jalan Seri Putera 1/2, Bandar Seri Putera, Kajang. Tel. 013- 606 7081. Sebuah syarikat anak muda progresif.

(Kalau perlu, bahagian IV akan menyusul.)

Mohd. Affandi Hassan,

Petaling Jaya,  30/3/2016.

Monday, March 28, 2016

KRITIKAN SASTERA BARAT SEBAGAI LAMBANG KEMENANGAN IBLIS MEMPERDAYA MANUSIA: Satu Wacana Dalam “Decolonising the University.”

(Bahagian II)

Para sasterawan negara telah diletak di takhta keunggulan oleh seorang sarjana yang diragui kesarjanannya, sekurang-kurangnya itu kesan saya sendiri membaca tulisan beliau. Kalau itulah hasil kesarjanaan, maka hampir semua pelajar tahun satu layak menjadi sarjana andainya mereka mengemukakan hasil kerja yang baik. Saya ada contoh di luar negeri, tulisan seorang pelajar yang bernama Glen W. Butler, yang disiarkan dalam Lethbridge Undergraduate Reseacrh Journal, Volume 1 Number 1, 2006. Esei beliau berjudul, “New Criticism: the Challenger, the Winner, and the Lasting Legacy.” Membaca tulisan ini dalam konteks Gagasan Persuratan Baru, saya dapati tidak sebuah pun esei Mana Sikana, pengasas teksdealisme boleh sampai ke tahap yang dicapai oleh Glen W. Butler; tidak juga mana-mana tulisan yang terdapat dalam buku ITBM, Sastera Teras Negara Bangsa.  Tentu saja kesimpulan ini perlu dicabar, untuk membuktikan kualiti akademik para sarjana sastera Melayu tidak boleh dicabar.

Benarkah sasterawan negara berada di atas takhta keunggulan?  Jika kita percaya Mana Sikana, tunggul pun berada di takhta keunggulan sebagai tunggul. Jika betul sasterawan negara ini mencapai kedudukan itu kerana mereka semua telah melakukan pelanggaran yang sangat hebat dalam pencapaian kreatif mereka, maka kita perlu lihat dengan kritis apakah maksud pelanggaran dalam teksdealisme. Kata Sikana: “Pelanggaran ialah konsep yang membawa unsur revolusi dalam sastera. Penciptaan yang bersifat konvensional dan mentradisi, harus dilakukan pemberontakan, rombakan dan pengubahan untuk meneroka  sesuatu yang baharu.  ...” (dan seterusnya, hal. 88: Berdiri di Akar Diri.) Apakah makna kutipan pendek ini? Inilah contoh tulisan sarjana ciritan yang memuntahkan kata-kata, tetapi kosong makna. Pelanggaran, apa pun maknanya, disamakan dengan revolusi; dan revolusi itu pula bermaksud rombakan dan pengubahan untuk meneroka sesuatu yang baru.  Katalah kita terima pengertian ini, maka kita akan dapati tidak seorang pun daripada sasterawan negara itu melakukan apa-apa pelanggaran dalam maksud revolusi itu. Kalau ada pun hanya cebisan pelanggaran, berupa kejutan sensasi yang tidak bersifat “revolusi.”   Karya para sasterawan negara memang kaya dengan cebisan sensasi ini.  Saya biarkan anda cari sendiri contohnya yang banyak boleh didapati dalam karya para sasterawan negara ini. Sensasi bukan revolusi. Katalah kita terima konsep revolusi itu; maka adakah itu bermakna karya yang unggul yang melanggar tradisi dan konvensi (entah apa maknanya tak usah peduli) itu unggul kerana melanggar tradisi dan konvensi?  Tradisi apa yang dilanggar dalam karya Anwar Ridhwan? Novel pertamanya tentang seorang penglipur lara, yang dinaikkan tarafnya sebagai seorang seniman. Adakah ini satu pelanggaran? Tetapi perwatakan Pak Hassan tidak sedikit pun menampakkan beliau seorang seniman yang berfikir dan dari situ menghantar idea revolusi kepada kita seperti yang ditegaskan oleh Sikana. Tidak ada pelanggaran apa-apa, hanya cerita biasa seorang penglipur lara Melayu yang dijadikan watak biasa yang amat lemah dalam novel ini, dengan kehidupan yang penuh takhayul yang memang cara hidup penglipur lara. Apakah yang baru? Selalu disebut, di luar konteks, yang baru itu ialah keupayaaan Anwar Ridhwan membawa seorang pelipur lara ke peringkat antarabangsa, dengan itu menjadikan sastera Melayu itu sangat terkenal di luar negara, dengan bukti karya itu diterjemahkan dalam banyak bahasa. Jika itulah ukurannya, maka hampir semua sasterawan negara, kecuali Anwar Ridhwan, adalah sasterawan biasa saja, tidak sampai ke peringkat antara bangsa untuk diterjemahkan. Tetapi saya fikir tidak wajar ukuran ini digunakan, kerana minat penterjemah tidak semestinya boleh dijadikan bukti keunggulan karya itu. Kita masih perlukan ukuran yang sungguh-sungguh mantap, yang bila dikena ke atas karya ini membuatnya betul-betul melepasi ujian penilaian yang mantap tadi. Apakah asas ukuran itu? Nampaknya inilah yang menjadi hambatan, oleh itu dengan mudah saja dketepikan dan tidak dibahaskan dengan sewajarnya oleh para sarjana sastera. Apa yang kita dapat daripada tulisan mereka  ketika membicarakan “pemikiran” para sasterawan negara ini bukanlah tentang “pemikiran”, tetapi hanya sekadar pemilihan ciri yang dianggap menojol yang boleh disesuaikan dengan beberapa teori sastera Barat, yang jelas di luar konteks. (Saya tidak akan menyebut contoh-contohnya di sini, kerana telah saya bicarakan dalam beberapa entri dalam blog ini. Sesiapa yang berminat silalah cari entri yang berkenaan.)

Saya ingin menegaskan lagi bahawa konsep “pelanggaran” hanya digunakan dengan selesa oleh pengkritik Barat kerana aspek ini ada disebut dalam teori mereka, walaupun  tidak ditegaskan, kecuali oleh Harold Bloom.  Jikalau kita masih bangga menjadi seorang Islam dan tahu cerita Iblis memperdaya dan menipu Nabi Adam ‘a.s. untuk  melanggar perintah Allah, maka itulah “pelanggaran” sebenarnya dan ini memang menjadi ukuran dalam teori sastera Barat yang telah menolak agama itu, maka adakah sarjana kita juga bangga menjadi pengikut Iblis seperti sarjana Barat yang menolak agama itu?  Apa yang anda boleh  buat, untuk mempertahankan konsep “pelanggaran” bikinan Sikana ini, ialah menafikan terdapatnya peristiwa itu dalam al-Quran, dan jika terdapat sekali pun, maka maknanya tidak seperti yang dimaksudkan oleh Sikana dalam konsep  “pelanggarannya.”  Hanya ketika itu saja anda boleh berbangga telah menemui satu  konsep unggul dalam kritikan sastera Melayu, yang membolehkan kita mengangkat para sasterawan negara di takhta keunggulan sebenar.  Dalam keadaan sekarang, konsep “pelanggaran” bikinan Sikana ini tidak boleh dijadikan ukuran dalam penilaian yang berasaskan ilmu yang benar yang menjadi anutan sarjana Islam (walaupun mereka tidak mahu mengaku), yang cukup tahu cerita di dalam al-Quran itu. Tentu saja sangat kejam jika ada yang berkata sarjana kita tidak pernah kenal siapa Iblis, walaupun mereka menggunakan perkataan itu ketika mereka marah atau ketika sedang menghamun seseorang yang mereka amat benci. Jadi sudah jelas mereka kenal Iblis dan benci sungguh kelakuan Iblis itu, yang menggunakan konsep “pelanggaran” untuk menipu Nabi Adam ‘a.s. supaya melanggar larangan Allah SWT.  Dalam novel Naratif Ogonshoto  karya terbesar Anwar Ridhwan, dan telah diterima sebagai karya teragung Malaysia (sila rujuk kertas kerja Prof. Madya Dr. Noriah Taslim dalam Seminar Pemikiran Sastera Negara Anwar Ridhwan 2013, juga  buku Mawar Shafie), maka pelanggaran seperti yang dimaksudkan oleh Sikana ialah dalam peristiwa tsunami yang dikatakan mencontohi cerita sebenar dalam al-Quran tentang banjir besar itu? Adakah rujukan Anwar Ridhwan ini terjadi hasil “pelanggaran” atau lebih tepat lagi hasil dari kejahilan beliau?  Mana-mana pun alasan atau ukuran yang anda ambil, kedua-duanya, dari perspektif al-Quran, adalah pembohongan yang tidak boleh dinafikan. Tetapi kata para sarjana, jika benar sekalipun satu kesilapan besar telah berlaku, secara keseluruhannya novel agung itu masih tetap agung sebagai sebuah karya kreatif yang ditulis dengan handal sekali, seperti kata Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh dalam ucap utamanya, “Di antara pengarang kita, Anwarlah yang paling jauh langkah depannya – beliau sudah sampai ke simpang pilihan, terutama dalam Naratif Ogonshoto, dan yang dipilihnya ialah dunia antarabangsa serta gaya yang mengambil manfaat daripada Marquez serta beberapa pengarang lainnya.”  Kalau benarlah pendapat Prof. Emeritus ini lahir daripada seorang sarjana ulung yang dihormati, dengan menyebut Marquez sebagai contoh yang diangkat sebagai tokoh “supreme” dalam magic realism, maka beliau seolah-olah memberitahu kita peristiwa banjir besar dalam al-Quran yang terdapat dalam novel teragung ini digunakan oleh Anwar Ridhwan dalam konteks “magic realism”, oleh itu tidaklah menjadi satu kesalahan dalam karya kreatif, dibenarkan dalam proses intertektualiti seperti yang ditegaskan oleh Dr. Mawar Shafie.  Walaupun penjelasan begini sangat aneh dan jelas sekali bermaksud untuk mempertahankan Anwar Ridhwan, bukan mempertahankan kebenaran al-Quran,  bagi sesiapa juga yang ada sedikit pengetahuan agama dan menerima al-Quran sebagai “kitab yang nyata” yang tidak terdapat di dalamnya unsur  ‘iwajan yang menjadi sifat utama novel sepert Naratif Ogonshoto ini,  tentulah tidak dapat menerima magic realism sebagai satu aspek yang penting dalam penulisan novel (inilah penegasan Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh), mengatasi cerita benar al-Quran. Jika penghujahan ini anda anggap sengaja diada-adakan, anda harus memberi hujah yang lebih mantap untuk menolak bacaan saya.  Barangkali anda boleh berkata, Naratif Ogonshoto bukan sebuah karya persuratan yang memberi keutamaan kepada konsep ilmu yang benar, tetapi hanya sebuah novel sastera yang biasa ditulis di Malaysia, oleh itu apa juga aspek Islam tidak relevan dalam penilaian novel itu. Saya hanya boleh berkata, “Suka hati kamulah!”.

Saya diberitahu, karya persuratan tidak wujud dan tak akan wujud dalam penulisan kreatif Malaysia, kerana secara konsensus para sarjana sudah menerma dan menetapkan hanya karya sastera yang diiktiraf, yang kata mereka adalah juga karya ilmu. Ini telah dibuktikan dalam sebuah kertas kerja “seorang sarjana poyo” (penegasan ini oleh pemberi maklumat) yang dibentang dalam Seminar Pemikiran Anwar Ridhwan 2013 itu.  Inilah kesimpulan beliau:  “Kehadiran teks ini menepis pandangan yang ‘meragui’ sumbangan pengarang yang melihat bahawa sastera kreatif yang “diusahakan oleh para ‘sasterawan negara’ selama setengah abad ini, hanya memperlihatkan wajah buruk  dalam perkembangan budaya dan pemikiran Melayu, wajah tokoh-tokoh penulis yang keliru tentang konsep ilmu dan kacau dari segi nilai ... karya-karya baik d Malaysia pada hakikatnya hanya mencerminkan kekeliruan, kebodohan, kecetekan pemikiran, kejahatan manusia tidak (sic) yang dangkal, dan kepalsuan nilai dan penilaian yang dipakai ...” (Mohd. Affandi Hassan, 2008: 172-173). Justeru, cerpen ini merupakan yang terbaik dalam kalangannya yang fokus kepada peristiwa 13 Mei 1969.” (Kertas kerja Dr. Awang Azman Awang Pawi, “Sejarah, Strategi Naratif dan Ideologi 1305.”) 

[Nota: Teks yang dimaksudkan ialah karya Anwar Ridhwan,  Satu Tiga Sifar Lima, DBP 2012. Rujukan Mohd.Affandi Hassan kepada bukunya, Gagasan Persuratan Baru: Pengenalan dan Penerapan, edisi pertama 2008. Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia/ATMA, Bangi 2008.  Edisi kedua 2014 buku ini dengan judul baru, Gagasan Persuratan Baru.  Dengan pendahuluan oleh Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir, “Persuratan Baru: Anjakan Positif yang diperlukan oleh Sastera Melayu,”  berasal daripada kertas kerja beliau yang dibentang di Seminar Teori dan Kritikan Sastera Malaysia, UPSI 28-29 September 2012. Saya salin kutipan yang dibuat Dr. Awang Azman Awang Pawi sebelum diubah/edit oleh beliau:  “Sastera dalam konteks kreatifnya, seperti yang diusahakan oleh para ‘sasterawan’ selama lebih setengah abad ini, hanya memperlihatkan wajah buruk dalam perkembangan budaya dan pemikiran orang Melayu, wajah tokoh-tokoh penulis yang keliru tentang konsep ilmu dan kacau dari segi nilai. Mereka hanya peniru yang tamak dalam merangkul budaya barat, dan tidak malu mengisytiharkan diri sebagai pewaris sastera dunia, tanpa mengetahui implikasi dari segi nilai dan bentuk budaya yang hendak dibina daripada perisytiharan itu. Adakah mereka faham? Sebagai peniru, mereka tidak faham, dengan itu mencampakkan diri mereka dan karya mereka ke dalam lubuk kekeliruan dan kesesatan budaya hawa nafsu yang menjadi tunjang sastera barat yang ditiru itu. Akibatnya, karya-karya yang dianggap baik di Malaysika pada hakikatnya hanyalah mencerminkan kekeliruan, kebodohan, kecetekan pemikiran, kejahatan manusia tidak bermoral yang dangkal, dan kepalsuan nilai dan penilaian yang dipakai. Semua aspek ini dibahaskan dalam Pujagga Melayu dan dalam karangan-karangan saya yang lain, oleh itu tidak akan diperincikan di sini. Adakah keadaan ini perlu diteruskan? Inilah cabaran kreatif dan intelektual yang ditekankan dalam gagasan Persuratan Baru.”  (semua huruf condong adalah bahagian yang ditinggalkan atau diedit.]

Memang benar, inilah contoh penghujahan sarjana poyo, yang cukup jelas tidak memahami gagasan Persuratan Baru seperti yag dihuraikan dengan jelas dalam banyak tulisan mengenainya.  Seperti biasa, sarjana poyo begini tidak dapat membezakan antara konsep ilmu dengan maklumat. Jelas dalam kritikan beliau  yang cetek meraba-raba itu beliau meletakkan setaraf antara ilmu dengan maklumat. Apakah yang membuat para sarjana ciritan tidak dapat memahami perbezaan antara ilmu dengan maklumat?  Memang betul dalam teori kritikan sastera Barat, dua konsep ini tidak dibezakan, oleh itu mereka amat selesa menerima methodologi Iblis dalam kisah pelanggaran yang ditegaskan dalam al-Quran itu. Bagi orang yang tidak percayakan agama, dan menolak al-Quran sebagai sumber ilmu, tentulah tidak perlu dibezakan dua konsep penting ini. Tetapi saya kira ini bukan pendirian para sarjana sastera Melayu, kecuali oleh sebahagian di antara mereka yang bangga menjadi sarjana poyo yang cetek meraba-raba.

(Bahagian III akan menyusul.)

Mohd. Affandi Hassan, 28/3/2016.



Saturday, March 26, 2016

KRITIKAN SASTERA BARAT SEBAGAI LAMBANG KEMENANGAN IBLIS MEMPERDAYA MANUSIA: Satu Wacana Dalam “Decolonising the University.”


Beruntunglah orang Islam kerana mereka diperkenalkan kepada sejenis makhluk yang amat jahat, bernama Iblis, yang menerima hakikat dia dijadikan oleh Allah SWT, tetapi tidak menerima perintah yang diperintahkan supaya sujud hormat kepada Nabi Adam ‘a.s.,  dengan menggunakan logiknya sendiri dialah makhluk yang terbaik kerana dijadikan daripada api, sedangkan Nabi Adam ‘a.s. dijadikan daripada tanah kering, oleh  itu perintah supaya sujud hormat kepada Adam ‘a.s. ditolak bulat-bulat.  Awal-awal lagi Iblis telah menentukan bagaimana seharusnya kelakuan dan perbuatan manusia untuk membuktikan dialah yang paling hebat.  Iblis memperdaya manusia melalui bahasa, dengan mencipta konsep-konsep yang mengelirukan. Untuk memperdaya  Nabi Adam ‘a.s., Iblis menggunakan istilah “khuldi” yang diberikannya sebagai nama pokok yang terlarang dan tidak boleh didekati itu, dengn memberi pengertian larangan itu bermaksud untuk dilanggar supaya Nabi Adam kekal dalam syurga. Adakah konsep “pelanggaran” dalam teksdealisme mendapat ilham, mungkin secara tidak sedar, daripada Iblis?  Yang pasti, penjana teksdealisme membuang pengaruh Islam yang didakwanya menjadi teras teksdealisme (lihat kertas kerja Mana Sikana dalam “Nadwah Kesusasteraan Islam” di DBP 1-3 Disember 1993, yang jelas mengaku berasaskan ajaran Islam, tetapi kemudiannya tidak lagi disebut dalam buku terbarunya, terbitan ITBM 2013, berjudul Berdiri di Akar Diri: Kritikan Sastera Melayu Pascamoden, bab 6.)  Bagi Melayu ini, unsur Islam adalah sebati dengan unsur pascamoden, maka dengan itu dia puji Shahnon Ahmad kerana idea Islamnya selaras dengan nilai-nilai pascamodern. Lihat bukunya (terbitan ITBM), Sasterawan Negara di Takhta Keunggulan.

Walaupun awal-awal lagi penganut Islam diberitahu Iblis dan Syaitan adalah musuh “yang nyata kepada manusia dan hendaklah dijadikan musuh”, tidak boleh diikuti perintahnya, namun sarjana Islam dalam bidang sastera tidak menganggap ini satu isu besar.  Bagi mereka sastera dan karya sastera berada di luar Islam, oleh itu tidak perlu mengikut nilai-nilai Islam, sebaliknya MESTI mengikut nilai-nilai universal dalam teori sastera Barat. Anggapan ini sangat pelik dan lucu, kerana nilai-nilai Barat tidak bersifat universal, jika anda membaca karya kritikan mereka.   Inilah apa yang disebut dalam teori sastera Barat sebagai masalah “consciousness” dalam epistemology mereka. Yang bukan Islam hanyut dalam konflik yang tak mungkin diselesaikan kerana tiap seorang dari mereka menggunakan logik Iblis untuk menyatakan “kebenaran” menurut hawa nafsu mereka. Inilah yang berlaku dalam teori sastera Barat.  Ini juga yang berlaku di Malaysia, akibat pengaruh teori Barat yang begitu mencengkam kuat “pemikiran” sarjana dan sasterawan.

Teori sastera Barat yang menjadi pegangan dan ikutan di Barat menghadapi hanya dua masalah, tetapi sangat besar kesannya terhadap perkembangan ilmu dan kesejahteraan akal manusia. Isu pertama ialah ketiadaan autoriti yang boleh dijadikan rujukan, akibat penolakan mereka terhadap Tuhan. Bagi mereka Tuhan adalah mitos yang jadi penyebab segala kesengaraan manusia seluruh dunia dari permulaan tamadun hingga kini dan akan berterusan tanpa apa-apa penyelesaian. Bagaimanakah idea ini muncul dalam tamadun Barat?  Ia bermula dengan cengkaman agama Kristian yang telah dipinda oleh para rahib, untuk memastikan agama Kristian terus menjadi anutan setelah dibatalkan dengan lahirnya Nabi Isa ‘a.s.  Pindaan itu menjadi cengkaman ke atas kehidupan manusia dalam semua bidang, termasuk bidang sains, ekonomi, politik, undang-undang dan sebagainya. Kekuasaan paderi Kristian menimbulkan kemarahan rakyat, pada mulanya dengan pemberontakan teologi yang melahirkan Protestanisme.  Peperangan sengit dua mazhab Kristian ini melahirkan kebencian dan permusuhan yang tidak dapat diselesaikan, kerana masing-masing mengaku kumpulannya  berhak di atas agama Kristian. Agama yang pada mulanya agama tauhid, berubah menjadi agama trinity dalam tangan para rahib Kristian.  Dengan berubahnya kemajuan manusia, agama Kristian tidak dapat menghadapi perubahan itu, terutama dalam perkembangan sains dan juga dalam perkembangan ilmu secara umumnya. Semua ini meninggalkan kesan yang amat besar dalam teori sastera Barat.  Aspek ini akan dibincang kemudian.  Mungkin anda tidak sedar bahawa dalam sastera Melayu moden telah muncul kaum rahib sastera tersendiri, yang berkumpul di bawah kekuasaan para rahib mereka dalam Mutual Admiration Club.  Para rahib sastera ini memastikan dengan gigih ajaran salah mereka dalam kritikan sastera tetap diteruskan walaupun mereka sedar kesilapan mereka, seperti yang pernah disuarakan oleh Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh yang secara de facto mengepalai Mutual Admiration Club ini. “Bantahan” main-main Prof. Emeritus ini boleh dibaca dalam ucaputama beliau termuat dalam, Teori dan Kritikan Sastera Melayu Serantau (DBP, 2005: 14).


Ketiadaan autoriti ini menimbulkan kekacauan yang lebih besar, apabila manusia sendirilah yang menentukan segala-galanya, dan ini hanya dapat dilakukan dengan kekerasaan dan paksaan.  Sebaik saja nilai ditentukan oleh manusia tanpa sandaran kepada agama, maka apa yang disebut nilai itu tidak lagi universal, sebaliknya ditentukan melalui kekuatan hujah dalam pertarungan tentang kewajaran sesuatu perubahan yang ditimbulkan oleh tokoh pemikir sendiri.  Di sinilah bermulanya  perkembangan teori yang berbeza atau yang disesuaikan mengikut perubahan cita rasa di kalangan sasterawan, penulis, sarjana yang turut mempengaruhi masyarakat untuk membuat pilihan mereka.  Maka terjadilah pertembungan pendapat yang kadang-kadang sengit, atau sekurang-kurangnya menimbulkan konflik  yang dengan secara tabii menimbulkan keraguan dalam kehidupan intelektual dan juga dalam penerapan nilai. Ini sebenarnya dapat kita lihat dalam perkembangan sastera Melayu moden.  Sebagai contoh awal, apabila Asas 50 muncul dengan slogan mereka, membawa  pengaruh ajaran sosialis  dan Marxist yang menjadi pegangan mereka, maka sastera dijadikan alat propaganda sepenuhnya untuk mencapai sesuatu tujuan tertentu, tidak lagi menjadi wahana ilmu seperti dalam persuratan.  Hakikat ini hampir tidak diketahui oleh para sasterawan dan sarjana sastera sendiri, dengan itu kekeliruan dan kepalsuan dijadikan panduan yang dipertahankan dengan amat gigih. Kita ambil satu contoh lagi, sebagai kesan pengaruh Asas 50,  untuk  melihat bagaimana kekeliruan ini dijadikan hujah untuk membina negara bangsa. Dalam Sidang Kemuncak Penulis Malaysia 2014, ditegaskan tanpa sebarang keraguan, walaupun  tidak ada hujah intelektual yang sahih, bahawa sastera wajar dijadikan teras negara bangsa.  Inilah cita-cita Asas 50 sendiri. Satu-satunya bukti yang dikemukakan ialah kehadiran 12 (ketika itu) orang sasterawan negara, yang secara automatis disahkan bahawa mereka adalah penulis/sasterawan terbaik yang telah melahirkan tidak saja karya yang tiada tolak bandingnya dari segi keindahan  dan ketinggian pemikirannya, tetapi juga amat kaya dengan pengalaman empirikal dan spiritual.  Tidak ada yang membantah kesimpulan yang amat naif dan cetek ini, kerana mereka tidak mahu dituduh tidak mempunyai wibawa untuk memberikan pendapat yang berbeza daripada yang diterima umum.  Kita boleh berkata tanpa ragu, hampir keseluruhan sarjana dan sasterawan menerima dengan bangga  bahawa sastera seperti yang dihasilkan oleh para sasterawan, terutma sekali, dan lebih-lebih lagi, yang dihasilkan oleh para sasterawan negara, mempunyai ketinggian ilmu yang tidak dapat dicapai oleh mana-mana manusia biasa yang bukan sasterawan, megatasi sumbangan para ulama dan cendikiawan; maka dengan itu tepatlah jika mereka memilih untuk menjadikan sastera sebagai teras negara bangsa, sambil meletakkan para sasterawan negara di atas takhta keunggulan yang tidak dapat dicapai dan ditandingi oleh sesiapa sekali pun, hatta oleh para ulama dan cendekiawan.  Adakah kehebatan yang diada-adakan ini memang terdapat di dalam karya para sasterawan negara dan mereka, sasterawan negara itu, memang ahli fikir yang amat canggih dalam mengemukakan pendapat yang tidak dapat disangkal lagi adalah semuanya bernas belaka?.  Adakah penilaian ini, yang memang dibuat oleh Panel Anugerah  Sastera Negara, satu penilaian yang tepat? Ini memerlukan perbahasan lanjut, dan kritis, yang masih menunggu untuk dilakukan. Menurut pemerhatian saya, mereka tidak akan melakukannya (yakni membahaskan isu penting ini), kerana perbuatan itu ibarat melondehkan kain yang dikilas kemas hanya untuk membuktikan pemakainya tahu bagaimana memakainya.

Sekarang kita menghadapi satu cabaran yang berat, iaitu untuk memberi penjelasan yang tidak dapat diragukan, mengapa kita perlukan sasterawan negara  padahal kita telah mempunyai ulama dan cendekiawan yang telah teruji kehebatan dan sumbangan mereka.  Apakah ukuran yang kita pakai untuk menilai para sasterawan negera ini dan adakah ukuran itu tepat sehingga membolehkan kita mencapai keputusan yang tidak dapat diungkit lagi.  Penilaian yang kita berikan kepada karya para sasterawan negara adalah luar biasa, yang ukurannya hanya boleh dipakai untuk mereka kerana jika ukuran ini dipakai untuk sasterawan yang selain dari mereka, kita akan dapati begitu canggung dan songsang sekali. Apakah ukuran yang memberi keistimewaan kepada para sasterawan negara itu?  Sumber kita ialah laporan Panel Anugerah Sastera Negara.  Pada pemerhatian dan perincian saya, Panel sebenarnya tidak memberikan apa-apa ukuran, sebaliknya hanya mencari alasan dan andaian umum  yang mereka anggap boleh dipakai untuk memuji seseorang sasterawan negara dengan menafikan ukuran yang boleh dikenakan kepada mereka yang tidak memberi kelebihan kepada mereka, walaupun ukuran itu lebh tepat. Kita ambil contoh tentang karya A. Samad Said seperti yang dinyatakan oleh Panel. Ketika Salina, sebagai sebuah novel, dikritik hebat sebagai karya picisan yang tidak mementingkan nilai-nilai moral masyarakat Melayu, Panel tampil  membela karya itu dengan mengatakan moral tidak perlu dalam karya sastera. Yang penting ialah soal-soal kemanusiaan, yang menjadi tema novel itu. Yang mereka maksudkan dengan kemanusiasan ialah kesengsaraan manusia yang menjadi korban peperangan, yang penuh dengan penderitaan dan kemiskinan yang secara khusus hanya dialami oleh penghuni Kg. Kambing. Keistimewaan Kg. Kambing ialah dapat melahirkan seorang pelacur yang cantik, yang baik hati dan menjadi pembela kepada masyarakat di situ. Dalam konteks novel ini, kesimpulan ini adalah satu pembohongan, kerana Salina bekerja untuk kekasihnya, dan jika dia sekali sekala membantu Hilmi, maka itu dilakukannya sebagai seorang sahabat. Salina bukan seorang pejuang yang berusaha membaiki masyarakat Kg. Kambing, malah novel itu ditulis bukan dengan matlamat itu, sebaliknya hanya untuk memperlihatkan bahawa pelacur juga mempunyai peri kemanusiaan dan hati yang baik dan peribadi yang mulia.  Apakah motif A. Samad Said untuk membela seorang pelacur?  Dalam teori sastera Barat, motif dan matlamat tidak penting, dan tidak perlu dijadikan ukuran untuk memahami dan menilai sesebuah karya sastera. Hanya dalam Islam saja motif dan matlamat itu penting, kerana itu merupakan ajaran Islam yang utama.  Oleh sebab karya sastera ditulis untuk  manusia sejagat, tidak terbatas kepada pembaca Islam saja, maka unsur-unsur Islam tidak diperlukan.  Inilah pendirian Panel Anugerah Sastera Negara, dan ini mendorong mereka menolak apa juga unsur moral dan unsur didaktik untuk kebaikan manusia. Biarlah pembaca sendiri menilainya, tidak perlu diajar dengan khutbah dan sebagainya.  Dengan pendirian seradikal ini, mengikut cita rasa Barat, maka tidak ada karya picisan dan erotik, dengan itu semua karya sastera bebas nilai, apatah lagi nilai agama atau nilai Islam.  Adakah ini antara nilai yang akan kita jadikan teras negara bangsa yang diutarakan oleh ITBM dalam bukunya Sastera Teras Negara Bangsa?  Kesimpulan ini ditolak dengan bengis dan keras oleh sarjana poyo yang ciritan, yang menegaskan nilai kemanusiaan itu adalah nilai-nilai Islam sendiri, oleh itu nilai Islam tidak perlu diberi penekanan, selain tidak sesuai dengan konsep sastera, nilai-nilai Islam itu berada di luar karya dan juga tidak boleh dijadikan ukuran dalam menilai karya sastera.  Inilah yang saya maksudkan dengan sasterawan negara membawa nilai-nilai palsu dan negatif ke dalam masyarakat yang sekian lama menerima nilai-nilai Islam sebaga ukuran dalam kehidupan mereka. Mengapa pula para sasterawan mesti diberi kelonggaran untuk tidak mencermin nilai-nilai Islam dalam karya mereka? Siapa yang memberi kebebasan itu? Kebebasan seumpama  ini meninggalkan kesan yang amat buruk dan negatif dalam penilaian sastera yang kita kanunkan. Saya akan bahaskan aspek ini kemudian.

Dengan panduan yang diberikan oleh Panel, maka Prof. Mokhtar Abu Hassan dalam kertas kerjanya yang dimuat dalam buku ITBM itu menegaskan, ketika berbicara tentang sajak Si Tanggang, bahawa dalam sajak itu terdapat nilai positif yang diperlukan dalam masyarakat moden, yakni kegigihan bekerja untuk mencapai cita-cita, misalnya dengan menjadi orang kaya dan mempunyai kedudukan yang tinggi dalam masyarakat. Si Tanggang telah mencapai cita-citanya, dan ini, menurut Prof. Mokhtar Abu Hassan, perlu ditanam dalam pendidikan sastera di sekolah-sekolah untuk dijadikan teladan. Adakah ini satu pandangan yang siuman, satu pandangan yang betul?  Saya telah membincangkan isu ini dengan kritis dalam entri bertarikh 28/10/2014 (Keunggulan yang Cacat).  Kumpulan tulisan berjudul, “Kita Tidak Perlukan Sasterawan Negara” (251 halaman) akan diterbitkan sebagai buku dengan judul, “Keunggulan Yang Cacat: Perlukah Kita Kepada Sasterawan Negara.” Akan dibuat penyuntingan sehingga menjadi tidak lebih dari 100 halaman saja, sekadar memberi peringatan kepada generasi abad 21 bahawa pembetulan harus/perlu dilakukan apabila sesuatu kesilapan besar telah terjadi. Melantik sasterawan negara adalah satu kesalahan besar dalam sejarah intelektual Melayu, kerana tidak mungkin dan tidak layak para sasterawan ini diletak lebih tinggi dan terhormat daripada para ulama dan cendekiawan Melayu.  Saya akan cuba mendapat kerja sama daripada Penerbit  USM untuk menerbitkan buku ini. Semoga tidak ada halangan. Penerbit USM telah menerbitkan sebuah buku penting, berjudul Decolonising the University: The Emerging Quest  for Non-Eurocentric Paradigms, eds. Claude  Alvares, Shad Saleem Faruqi, 2012.)  Buku saya tentang sasterawan negara ditulis dalam semangat yang ditunjukkan dalam buku ini.  USM telah mengambil inisiatif yang amat bermakna dalam perkembangan intelektual yang sihat di negara kita.  Saya pun ingin memberi sumbangan ke arah itu. 

Saya salin pandangan bernas ini untuk perhatian semua yang berkenaan.
Ucapan rasmi, Seminar 6 Sasterawan Negara, 13 Mac 2013, Dewan Za'ba, FBMK,  Profesor Abdul Mua'ti, Dekan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi.  Antaranya kata beliau:   "Saya bukanlah sasterawan, saya orang komunikasi. Namun saya dan kita semua faham, bahawa dalam berkarya sesuatu karya yang bernilai tinggi harus mampu menarik perhatian pembaca dan menarik wacana intelektual tinggi terhadap pembaca kerana kini kita hidup pada zaman adiwara tinggi ... karya bermutu mementingkan mesej tertentu terutama ke arah peningkatan moral ..... konsep ilmu perlu diadun dalam karya kreatif yang bersifat naratif. Bangsa yang tidak menulis karya kreatif yang bestari dalam jumlah yang banyak dan tinggi kualiti, akan susah untuk bersaing di arena antarabangsa."

Kesedaran seperti inilah yang kita perlukan pada waktu ini.

(Bahagian II akan menyusul).
Mohd. Affandi Hassan,.


Petaling Jaya, 22/3/2016.

Monday, March 21, 2016

BANTAHAN DAN JAWAPAN (Bahagian iii, MAWAR TIDAK SAMA DENGAN ROS...)


Beberapa orang teman membantah dengan keras bahagian III dengan menuduh saya keterlaluan “menghina dan meremehkan para sasterawan negara yang dipilih oleh negara dan diberi tauliah oleh Agong sendiri.” Marah betul mereka. Tetapi adakah ini adil?

Kalau tulisan saya dibaca dengan kritis dan kreatif dalam konteks “reading is an argument” yang ditegaskan oleh Paul de Man, saya pasti anda akan lebih berhati-hati. Pertamanya, saya bukan menghina sesiapa. Saya hanya mengkritik perbuatan melantik sasterawan negara itu kerana TIDAK WAJAR SASTERAWAN DILETAK LEBIH TINGGI DAN MULIA DARIPADA PARA ULAMA DAN CENDEKIAWAN Melayu yang jauh lebih berjasa. Mahu saya sebut sumbangan mereka dan judul kitab-kitab mereka? Kalau anda tidak tahu semua ini, apakah asas hujah anda?  Memang benar saya mengkritik mereka agak keras, tetapi ini tidak bererti tidak wajar kerana saya cukup cemat menghujahkan pandangan saya. Jika mereka tidak boleh dikritik, anda akan bertindak lebih tidak siuman kerana meletakkan mereka “beyond criticism”.  Andainya anda berkata, boleh dikritik, tetapi mestilah jujur dan wajar serta adil.  Maka saya jawab: Adakah penilaian dan pujian terhadap karya mereka tidak melampau, jujur, wajar dan adil? Kedua, bagaimana dan apakah yang dikatakan kritikan yang jujur, wajar dan adil? Saya telah melakukannya dengan memberi hujah berasaskan bukti daripada karya mereka sendiri. Adakah itu tidak jujur, tidak wajar, dan tidak adil? 

Oleh sebab saya telah banyak menulis tentang isu ini, tindakan anda yang paling siuman ialah memeriksa dengan kritis (tidak kreatif pun tak mengapalah), maka anda perlu bertindak dengan jujur, wajar dan adil dengan membaca dan faham pandangan saya yang saya paparkan dalam tulisan yang berkenaan. Kalau anda sendiri tidak membacanya dan tidak pula tahu asas penilain saya, bagaimana anda boleh meletakkan diri anda sebagai manusia yang jujur, wajar dan adil?

Isu sebenar yang cuba disembunyikan atau lebih tepat diketepikan dengan angkuh ialah tentang konsep ilmu seperti yang diajarkan oleh Islam. Boleh dikatakan semua sasterawan negara menolak aspek ini; apatah lagi para sarjana yang memang tidak tahu apa-apa tentang konsep ilmu ini, maka dengan bangga dan agak angkuh mereka menolak sambil memperli bahawa sastera itu sendiri adalah ilmu. Pendapat ini sebenarnya ditolak oleh sarjana Barat sendiri, walaupun ada juga pandangan yang mengatakan sastera lebih tinggi darjatnya daripada falsafah. Kalau saya biadab saya akan menengking mereka: Kepala hotak kamu!  Tetapi saya tidak pernah kata begitu. Saya masih menerima mereka sebagai manusia yang wajar dihormati, seperti yang saya nyatakan dalam entri itu.  Malah saya memberi peluang kepada mereka untuk mengkritik saya sehabis kritis yang mereka mahu, kerana saya sendiri menulis karya kreatif selain karya akademik. Saya cukup yakin karya saya boleh mempertahankan saya tanpa saya masuk campur dalam perbincangan mereka.  Malah inilah pendirian para sasterawan negara sendiri. Oleh itu tidak ada isu sebenarnya. Yang tidak boleh menerima kritikan bukan para sasterawan negara, tetapi para sarjana yang menjadi penyokong mereka. Dengan itu saya rasa isunya ialah sikap negatif terhadap ilmu dan keengganan untuk menerima kosep ilmu yang benar.  Sepatutnya itulah yang patut dijadikan asas penilaian kita.

Mohd. Affandi Hassan, 21/3/2016.




Sunday, March 20, 2016

Bahagian III (penutup): MAWAR TIDAK SAMA DENGAN ROS: Satu Analisis Berasaskan Dekonstruksi Bikinan Jacques Derrida

Benarkah saya terlalu keras mengkritik sasterawan negara dan sarjana sastera yang memuji mereka?  Kalau anda pernah membaca karya kritikan Barat, dan juga karya falsafah, pertanyaan ini tidak timbul, kerana terlalu angkuh untuk dijadikan isu.  Kalau anda seorang yang tajam inteleknya, seorang yang cerdik, dan berminat dalam pemikiran para penulis, anda akan dapati saya tidak peduli pun para sasterawan ini, sebelum mereka dilantik menjadi sasterawan negara. Ketika itu, saya tidak membaca karya mereka, kerana  memberi tumpuan kepada perkara lain yang lebih bermanfaat. Hanya apabila mereka dilantik menjadi sasterawan negara, saya jadi terkejut dan amat hairan, maka ketika itulah timbul minat untuk membaca karya mereka. Benarkah mereka mewakili penulis paling cerdik, dan sejauh mana kecerdikan mereka? (Seseorang mencelah dengan sinis: Adakah anda sendiri cerdik, pintar? Mana buktinya?  Saya hanya menjawab mudah: Andalah buktinya!  Tentu saja dia tidak faham permainan bahasa falsafah. Saya fikir hingga sekarang pun masih tidak faham rejoinder saya itu.)  Saya membaca karya para sasterawan negara ini untuk mengetahui mengapa mereka layak dilantik menjadi sasterawan negara, apakah makna pelantikan mereka, apakah sumbangan intelektual mereka.  Ketiga-tiga soalan ini tidak pernah ditanyakan oleh sarjana sastera, yang daya inteleknya hanya sejenis “pulut pagi”, meminjam satu ungkapan Kelantan. Dalam konteks seharian, “mendapat pulut pagi” adalah suatu perkara yang menyenangkan; tetapi apabila digunakan dalam konteks kepintaran seseorang, “otak pulut pagi” tidak lagi bermakna seperti yang pertama. Pulut pagi senang didapat, dan harganya murah, menjadi makanan ringan bagi yang berminat dengan pulut.  Adakah para sasterawan negara juga hanya sejenis “pulut pagi”?  Saya telah menulis banyak tentang mereka, memberi pandangan yang kritis, tetapi diiringi dengan hujah dan bukti yang bila-bila saja boleh ditolak oleh sesiapa saja yang memahami hujah itu dan sekali gus  menafikan bukti yang diberikan.  Khusus berkaitan dengan tajuk entri ini, anda boleh rujuk misalnya entri bertarikh  24 Jun 2014 (Kemunculan sasterawan negara adalah satu penyelewengn budaya ...);  2 Jun 2014 (Manakah karya besar sasterawan negara? ...);  31 Mei 2014 (Tentang Pandirisme dan Mutual Admiration Club ...).  Lihat juga entri bertarikh 4 April 2014 (Revolusi Persuratan Melayu: Menangani Perubahan Abad 21 yang Tidak Dapat dielakkan).  Saya telah mengumpulkan sebahagian besar tulisan di blog mengenai sasterawan negara, diberi judul “Kita Tidak Perlukan Sasterawan Negara” (manuskrip 251 halaman; tersimpan di beberapa perpustakaan penting, termasuk DBP).

Adakah penjelasan ini menjawab kemusykilan yang sering disuarakan, mengapa saya hanya memberi perhatian kepada para sasterawan negara dan sarjana sastera  pemuji mereka?  Sebagai seorang yang pemurah, saya memberi mereka (yakni para sarjana dan sasterawan) untuk menilai pemikiran saya dan kualiti kreatif saya; dengan misalnya mencadangkan supaya sajak “Al-Andalus” (tentang pemikiran tokoh tamadun Islam, dimuat dalam Pujangga Melayu) dengan membacanya secara kritis dan kreatif bersama sajak sasterawan negara Muhammad Haji Salleh, “Pulang Si Tanggang”; atau membahaskan dengan kritis Gagasan Persuratan Baru dengan membandingkannya dengan apa yang disebut “teori sastera Melayu” yang dihasilkan oleh tokoh-tokoh akademik yang amat terkenal (sering disebut “tersohor”), dengan meneliti prinsip-prinsip yang mereka lontarkan dan melihat sejauh mana mereka telah berjaya mempengaruhi perkembangan kritikan dan sejauh mana pula “fikiran bernas” mereka dimanfaatkan oleh para penulis. Kemudian, anda dijemput untuk membicarakan karya saya “Rumah Impian Polan Cupan” (termuat dalam Balai Maqamat), dengan misalnya membuat perbandingan dengan karya sasterawan negara Anwar Ridhwan yang dikatakan sudah dianggap Raja Intertekstualiti di Malaysia.  Walaupun karya saya sebuah cerita pendek yang sederhana, tetapi ilhamnya daripada Pak Pandir, tokoh Melayu yang paling cerdik yang telah melahirkan seorang cucu bernama Polan Cupan, seorang genius Melayu yang tidak dikenali. Bagaimana jika beliau dibaca bersama cerita Pak Hassan the creation of Anwar Ridhwan?  Ini satu peluang yang baik untuk para sarjana membuktikan mereka bukan sarjana poyo (meminjam slanga anak muda Malaysia), sebaliknya boleh berfikir seperti Jacques Derrida!  Walau bagaimanapun, anda tidak perlu melayan cabaran saya, kerana beban intelektual yang akan anda pikul terlalu berat bagi seorang yang hanya biasa mengangkat satu baldi kecil air untuk menyiram pokok bunga di dalam pasu di halaman rumah.  Tetapi saya ingin mencadangkan supaya ITBM (DBP tidak mungkin melakukannya) mengadakan satu seminar membincangkan kritikan saya terhadap sasterawan negara; atau lebih baik lagi diadakan seminar khusus untuk menilai sehabis kritis sumbangan Mohd. Affandi Hassan sebagai pencetus Gagasan Persuratan Baru dan  sasterawan negara Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh yang menelurkan Puitika Sastera Melayu. Lihat di bawah mengapa seminar ini penting.

Kita selalu mendengar bagaimana ghairahnya para sarjana sastera (sama ada mereka ini jenis poyo atau sarjana ciritan adalah hal lain)  ini bercakap tentang perlunya dialog, dan mereka dengan bangga pula menyebut nama Bakhtin, tetapi merekalah yang enggan  untuk berdialog secara ilmiah. Sebabnya sangat mudah: semua kegiatan para sarjana ini terarah kepada satu tujuan saja, iaitu mendapat faedah untuk diri dan kumpulan mereka dalam kumpulan Mutual Admiration Club. Jika anda baca resolusi panjang Sidang Kemuncak Penulis Malaysia 2014, anda akan berasa amat terharu (rasakanlah pedihnya sindiran ini!) bila melihat betapa mereka mencadangkan hanya perkara-perkara yang sudah menjadi klise dalam persidangan sastera, tetapi penting dalam usaha mereka  “berjuang gigih” mengambil segala kesempatan yang terbuka untuk mendapat faedah peribadi. Samalah dengan ahli politik yang bercakap sudah lebih setengah abad untuk membasmikan kemiskinan, dengan membiarkan yang miskin terus miskin, tetapi mereka sendiri sangat mewah dan kaya raya. Sungguh celaka sesiapa juga yang menggunakan kesempatan untuk mendapat faedah diri sendiri dan kelompok mereka. Ini yang kita lihat, dan dibuktikan oleh mereka sendiri dalam perbuatan dan tulisan mereka. 

Tentang klise yang saya sebut di atas, sangat menarik apabila Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh dalam kertas kontotnya untuk Sidang Kemuncak itu menyebut perkara ini seperti ini: “Seminar cukup banyak -  berulang tajuknya. Biasanya kertasnya daripada falsafah baru – iaitu semuanya dikitar semula – kerana waktu yang diberikan kepada penulis hanyalah tiga minggu. ... “ (hal. 206).  Kalau kertasnya dikitar semula, maka apakah falsafah baru yang dikemukakan? Perhatikan betapa tajamnya sindiran ini ... tentulah untuk para penyumbang Sidang Kemuncak itu!  Atau mungkin juga  ditujukan kepada ITBM, dan ini agaknya lebih tepat kerana Prof. Emeritus ini merungut dia hanya diberi tiga minggu untuk menulis ...

Inilah yang berlaku apabila konsep intertekstualiti, yang dari segi perkembangan ilmu hanyalah sejenis klise, bukan sesuatu yang baru,  diperkenalkan dan digunakan  untuk memuji sasterawan negara ketika menganalisis dan menilai karya para sasterawan negara, padahal konsep itu sendiri telah mengaburkan, dan malah menyesatkan (contoh terbaik ialah menyamakan kisah Nabi Nuh ‘a.s. seolah-olah setaraf dengan cerita tsunami yang disumpah oleh seekor penyu gergasi yang keluar dari pertapaan.) Bolehkah kita terima kisah Nabi Nuh ‘a.s. yang menerima wahyu untuk membina bahtera dengan cerita penyu gergasi yang meramalkan terjadinya tsunami?  Kalau anda belum dapat melihat betapa karutnya konsep intertekstualiti ini dalam kritikan sastera Melayu, maka anda tidaklah lebih bijak daripada Pak Pandir yang diberitahu padi berat tetapi terus memilih padi hampa. Inilah yang terjadi dalam kritikan sastera Melayu, yang dengan indah sekali, dan penuh dengan kesantunan akademik yang tinggi dan halus,  yang diperlihatkan oleh Prof Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh yang menulis kertas kerjanya di atas bumbung kilang berkarat yang dikemukakannya dalam Sidang Kemuncak Penulis Malaysia.  Sesuai dengan kecenderungannya kepada dunia khayalan penglipur lara, maka dia mengajak para sasterawan Malaysia mencontohi Salman Rushdie untuk mencari ilham dalam dunia penglipur lara, yang menurutnya amat kaya dengan nilai-nilai primordial Melayu sebelum dinodai oleh agama luar yang dianut silih berganti oleh orang Melayu.  Dengan amat serius, dia mencadangkan supaya diwujudkan Kerusi Sastera Lisan dan Kerusi Sastera Lama di universiti.  Kita tahu, dan dapat bayangkan, untuk siapa kedua-dua kerusi itu, yang layak mendudukinya, dan memang tidak ada orang yang berminat. Dalam ucapan perasmiannya di Seminar Pemikiran Sasterawan Negara Anwar Ridhwan 2013, dia menegaskan betapa istimewanya Anwar Ridhwan kerana kembali kepada dunia penglipur lara itu. Kata beliau, antara lain: “Sebagai pengarang Anwar Ridhwan selalu mencari – dan mencari melalui waktu, tahap hidup dan ruang geografi yang berlainan. Dalam gaya dan naratifnya beliau berdiri di depan anak tangga yang memanjat ke atas, ke arah kelainan dan ke arah dunia yang masih belum dikenali atau diperikan. Inilah langkah pengarang yang baik, dan Anwar Ridhwan ialah seorang pengarang yang saya anggap baik – dan oleh itu selalu dirundung persoalan penciptaan, masalah gaya yang saksama dan tema yang menyentuh pada jantung kewujudan.” (ucaputama, Seminar Sasterawan Negara Anwar Ridhwan 2013 anjuran DBP).

Bombastik, itulah pujian paling tepat untuk Prof.  Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh. Kalau betullah Anwar Ridhwan seorang pencari, apakah yang dicarinya? Jika kita lihat novel pertama beliau, tidak ada perkara baru yang wajar diberi pujian, dan sangat aneh apabila profesor ini berkata Anwar Ridhwan “selalu dirundung persoalan penciptaan, masalah gaya yang saksama dan tema yang menyentuh pada jantung kewujudan.”  “Jantung kewujudan”?  Tidak perlu komen.  Dia berbicara tentang “kelainan,” jika ini betul, apakah kelainan itu dan dari sudut mana kelainan itu penting kepada perkembangan kreatif Malaysia?  Bercakap secara umum  amat tidak sopan dilakukan oleh seorang Prof. Emeritus, yang kita anggap sangat mendalam  ilmunya dan boleh membantu kita yang biasa-biasa ini mendapat sesuatu yang bermakna daripada beliau. Tetapi itu tidak berlaku, sehingga kita boleh membuat kesimpulan dengan yakin, tanpa keraguan sedikit pun, bahawa novel pertama sasterawan negara Anwar Ridhwan adalah sebuah novel biasa yang dangkal pengolahannya, yang tidak sedikit pun cuba memberi wajah yang dinamik kepada seorang penglipur lara yang cerdik dan tahu berfikir sebagai seorang “seniman”.  Tidak bolehkah seorang penglipur lara berfikir dan bertindak tegas ketika dia perlu berbuat demikian, sesuai dengan tarafnya sebagai seorang “seniman”? Adakah “seniman” mesti bodoh dan tidak  berupaya berfikir sedikit pun untuk memahami apakah masalahnya dan bagaimana dia cuba menyelesaikannya?  Ini tidak terbayang sedikit pun dalam “novel besar” yang kaya dengan “kelainan” ini. Apakah makna “seniman” bagi Anwar Ridhwan. Ini telah saya ulas dalam entri bertarikh 28 Oktober 2014 (Keunggulan yang cacat.).  Saya menyatakan dalam entri itu, kelemahan paling menonjol dalam novel-novel Anwar Ridhwan ialah perwatakan, yakni watak-watak yang menjadi tumpuannya adalah watak-watak yang lemah. Saya ingin membiarkan anda membincang sesama sendiri mengenai kesimpulan ini, untuk memberi peluang kepada anda tidak bersetuju dengan kesimpulan ini. Selain dari itu, sifat suka membesarkan sensasi sebagai satu teknik untuk menarik perhatian pembaca adalah bagi saya satu kecacatan yang amat tidak patut dilakukan oleh sasterawan negara. Kerana ini dilakukannya ketika dia belum lagi dilantik menjadi sasterawan negara, tidak bererti kelemahan ini boleh diterima. Jika anda seorang pembaca yang kritis dan kreatif, yang dimaksudkan oleh Paul de Man dalam kutipan yang saya salin (“reading is an argument”), maka anda harus membaca secara kritis untuk melihat keunggulan pengolahan pegarang; dan secara kreatif untuk melihat bagaimana keunggulan itu dibina dalam struktur naratif yang benar-benar memikat daya intelek anda, bukan hanya emosi murahan yang mungkin mejadi pegangan anda. Ini suatu permintaan yang adil, yang seharusnya dapat diberikan oleh seorang sasterawan yang layak diberi gelaran sasterawan negara.  Mengenai perwatakan Pak Hassan dan lain-lain dalam novel ini, lihat entri bertarikh 20 November 2014 (Sesat dalam belantara maklumat) dan dua lagi yang berikutnya (dalam tiga bahagian).  Inilah antara komen saya dalam entri itu:
Tidakkah tujuan dan matlamat ilmu untuk dijadikan panduan manusia? Kerana itu ilmu tidak boleh mengusutkan masalah, antaranya dengan berhanyut dalam idle talk dalam pesta bullshit penuh dengan  pretensi intelektual semata-mata. Inilah yang terjadi kepada buku yang berasal daripada tesis Ph.D. Mawar Shafie, Novel Intertekstual Melayu(UKM, Bangi, 2010). Buku ini antara lain membicarakan karya Anwar Ridhwan daripada pendekatan intertekstual. Apakah hasilnya? Boleh saja anda puji beliau kerana ketekunannya menampilkan begitu banyak “bukti” untuk menunjukkan Anwar Ridhwan pandai menggunakan teks dari sumber lain untuk dimasukkan ke dalam Hari-hari Terakhir Seorang Seniman. (Rujuk antara lain hal. 118-132). Di sini  timbul satu persoalan besar yang tidak disentuh oleh Mawar Shafie, malah persoalan itu timbul akibat dari analisis beliau sendiri: Apakah pengajaran yang ingin disampaikan oleh intertekstualiti? Tidak ada apa-apa yang berguna, kecuali paparan teknik yang dikatakan digunakan oleh Anwar Ridhwan dalam menulis novel itu.”

Seterusnya Prof. Emeritus ini berkata:  “Di antara pengarang kita, Anwarlah yang paling jauh langkah depannya – beliau sudah sampai di simpang pilihan, terutama dalam Naratif Ogonshoto, yang dipilihnya ialah dunia antara bangsa serta gaya yang mengambil manfaat daripada Marquez serta beberapa orang pengarang lainnya.  Ada unsur sarwajagat yang diburunya, ada kebenaran bersama dan pemerian kenyataan seperti yang kita kongsikan bersama ini. Dan secara tidak langsung Anwar mengisytiharkan bahawa sastera Melayu/Malaysia juga boleh dibaca oleh manusia/negara yang sedang mencari makna ini. ...”

Profesor Emeritus ini tidak terkenal, dan tidak terbukti, sebagai seorang yang tajam daya inteleknya dalam kritikan sastera. Beliau tidak membaca dengan kreatif dan kritis karya Anwar Ridhwan, oleh itu mata sasteranya tidak nampak tabiat Anwar Ridhwan yang sukakan sensasi, yang melimpah ruah di dalam karyanya. Saya tidak perlu memberi contoh kerana mudah dikesan, jika anda membaca dengan kreatif dan kritis. Kata Paul de Man, “reading is an argument” (dikutip oleh Christopher Norris, Deconstruction: Theory and Practice,  3rd. ed., 2002; hal. 151.)  Kita tidak lihat apa-apa “argument” dalam pembacaan para sarjana sastera, seperti jelas dalam ucaputama Prof. Emeritus ini.  Seperti seorang penglipur lara, beliau hanya memuntahkan saja kata-kata yang bombastik yang tidak bermakna apa-apa kecuali untuk bermegah-megah, laksana seorang sarjana poyo (meminjam slanga anak muda Malaysia) yang mengada-ada. Supaya anda dapat memahami maksud saya, rujuk entri bertarikh 4/1/2014 (Sasterawan negara bukan pemikir); 31/12/2014 (Jangan baca karya sasterawan negara ...);  20/12/2014 (Sekali lancung ke ujian).


Prof. Emeritus Muhammad Haji Salleh, dalam semua tulisannya mengenai kritikan sastera, menutup rapat apa juga perkembangan sihat yang diusahakan oleh “musuh sastera” beliau, tanpa  membaca dengan objektif pandangan orang lain yang berbeza dengan beliau. Adalah jelas beliau mempunyai self-esteem yang rendah,  dengan perangai kebudakan mengharapkan  hanya pujian terhadap karyanya, walaupun  pujian itu sangat janggal jika dikenakan ke atas karyanya.  Tetapi kerana kedudukannya sebagai seorang sasterawan negara, maka pujian seolah-olah menjadi haknya, walaupun kualiti akademik tulisannya tidaklah hebat  dan seringkali berwajah poyo (meminjam slanga anak muda Malaysia).  Dengan angkuh beliau menegaskan, menurut laporan/catatan Dr. Fatimah Busu (dalam buku picisannya,  Nyanyi Sunyi Salam Maria VS. Sarjana Nasi Dingin),  ketika menempelak pengkritik sastera yang mengkritiknya, “Benar seperti kata Sasterawan Negara Profesor Muhammad Haji Salleh, situasi seumpama ini samalah seperti kita dikerkah seekor anjing kurap. Justeru kita tidak mungkin dapat menendang anjing itu bagi membalas kerkahannya pada waktu itu juga kerana kulitnya yang berkurap.” (hal. 162).  Ini suatu pujian yang tinggi, yang diucapkan dengan sopan santun “bahasa anjing” yang menjadi salakan dalam tulisan kritikan tokoh-tokoh penting sarjana Malaysia, seperti Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh (pencipta sajak paling indah di Malaysia, yang pernah diucapkan oleh seorang puteri raja dari Jordan, “Pulang Si Tanggang”),  dan Dr. Fatimah Busu, penulis novel Salam Maria yang mendapat penghargaan tinggi H. B. Jassin, oleh itu menurut penulisnya adalah novel terulung di Malaysia (kerana telah disahkan oleh H. B. Jassin, Paus Kritikan Sastera Indonesia).  Tetapi menurut pandangan Mohd. Affandi Hassan yang saya tahu, novel paling lucu dan serius ialah Aligupit, kerana di situ digambarkan dengan tajam perilaku aligupit yang menjadi amalan biasa di Malaysia. Saya diberitahu, yang membaca novel ini hanya tiga orang intelektual Melayu, iaitu Pak Ungku Aziz (yang satu ketika dahulu pernah membicarakannya dalam ceramahnya di jabatan kerajaan dengan gesaan supaya pegawai kerajaan membacanya), Dr. Syed Husin Ali dan Abdullah Tahir yang membicarakannya dalam satu majlis bicara buku anjuran PENA (kini satu organisasi Mutual Admiration Club) lama dahulu. (Sekarang PENA menumpukan kegiatannya kepada baca sajak, tiada lagi perbincangan ilmiah kerana semua orang sudah bosan dengan ilmu, lalu memindah perhatian mereka kepada hiburan yang mereka dapat melalui membaca sajak).

Mengingat betapa besarnya pengaruh Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh dalam kesusasteraan Melayu moden, saya fikir wajar jika kita melihat “pemikiran” tokoh ulung bertaraf antarabangsa ini dalam perkembangan intelektual di Malaysia.

Pembacaan kreatif dan kritis saya terhadap tokoh ini meyakinkan saya bahawa beliau belum lagi dewasa dalam bidang akademik, masih keliru dan terus merayau dalam dunia ilmu yang membingungkannya. Beliau tidak mempunyai tradisi, seorang pengembara yang membawa beg galas yang tidak diketahui isinya dengan pasti, mungkin antaranya sebuah batil yang diterimanya daripada Pak Mahmud Si Awang Batil dari Perlis, dan gaya pengembara beg galas itu diperlihatknnya dengan begitu tegas jelas dalam tulisan terakhirnya yang saya baca, termuat dalam Sastera Teras Negara Bangsa.  Menggunakan perbandingan dalam permainan kanak-kanak yang kadang-kadang digemari orang dewasa, beliau masih lagi bermain guli, (meminjam istilah Annemarie Schimmel ketika berbalas pandangan dengan seorang profesor dari Iran tentang Rumi, 1991 ketika perasmian ISTAC;  yang mengatakan Goethe dan Shakespeare hanya budak-budak pemain guli jika dibandingkan denagn Rumi, gergasi sebenar puisi dunia), dan   belum kenal gasing uri yang besar, yang mungkin belum pernah dilihatnya  (seperti belum pernah mendengar lagu bertabuh satu ketika dulu (1984), atau mungkin hingga sekarang masih tak dapat membezakan lagu bertabuh dengan yang lain yang terdapat dalam wayang kulit, kerana beliau tidak ada pengalaman budaya). Beliau terikat kepada penglipur lara yang dipelajarinya (menurut pengakuan beliau dalam syarahan perdananya 1989) daripada Pak Mahmud Perlis, Si Awang Batil. Muhammad Hj Salleh masih lagi bermain batil, ketika orang sudah tidak kenal lagi apakah batil yang tidak lagi dipakai, kini disimpan dalam muzium. Itulah Muhammad Hj Salleh. Seorang yang terlalu gigih mengunjung muzium, melihat dan terpesona dengan barang yang sudah pupus atau hanya tinggal sebagai artifak.  Apa juga yang diucapkannya tidak dapat dijadikan asas perkembangan intelektual, kerana beliau sendiri tidak tahu apa yang boleh dibuatnya. Sebagai pemain batil  akademik, beliau ada ketikanya memberikan cerita yang menarik, seperti tentang kedudukan teori sastera Barat, tetapi beliau tidak dapat membicarakannya kerana sebagai pemain batil, itulah saja kemampuannya, melontarkan cerita yang tidak diketahui asal usulnya. Dengan lagak seorang sarjana poyo yang aktif (menurut pengakuannya dalam kertas kerja), beliau tidak menonjol dalam analisis dan pemikirn, oleh itu yang terbaik yang dapat dilakukannya ialah menggesa orang lain, pengkritik sastera, supaya belajar daripada Baha Zain, teman rapatnya. Apakah yang kita boleh dapat daripada Baha Zain ini? What a let down!!!!  Itulah Muhammad Haji Salleh, yang secara de facto  adalah ketua mutual admiration club yang pernah dikutuknya (sejak 1973; tetapi kini beliau sedar betapa pentingnya mutual admiration club itu, yang melahirkan para sasterawan negara).  Gambaran ini tidak dapat dielakkan, kerana itulah beliau yang sebenar, yang cukup jelas boleh dilihat dalam ucaputamanya terhadap Anwar Ridhwan.  Bagi saya ini bukan satu kelemahan, atau sesuatu yang mencacatkan kedudukan beliau, malah satu keistimewaan, yang mungkin tidak ketara pada orang lain.  Apabila  beliau tidak sukakan seseorang dia tidak pernah menyebut nama orang itu kerana kesantunannya yang tinggi, tetapi kita tahu dia amat bencikan tokoh itu, (yang mungkin lebih besar daripada beliau sendiri!), maka inilah ucapannya:   “Kritikan ialah satu sayap sastera yang sudah patah – sebahagiannya dipatahkan orang gasang dan tidak berbudi sastera, yang menulis dengan kata-kata racun dan kebencian, tanpa etika dan maruah diri atau hormat terhadap penulis lain. Saya menginginkan suatu kritikan yang dipupuk kembali menjadi bidang yang bermoral, beretika, bertanggungjawab, dan juga membantu penulis berkembang. “Criticism with kindness” ialah suatu prinsip yang dapat diikuti. Penulis juga harus belajar menerima kritikan dan belajar daripadanya. Kembalilah mencari contoh daripada Goenawan Mohamad dan Baha Zain.” (hal. 206.)

Saya bersetuju dengan Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh bahawa kritikan sastera Melayu sudah patah sayap, dipatahkan oleh Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh sendiri yang tidak mampu membesar menjadi helang yang boleh terbang jauh seantero dunia.  Beliau terus menjadi anak burung murai yang bising tetapi tidak boleh terbang, hanya menunggu makanan dibawakan kepadanya.  Bila beliau merayu (?) dengan kata-kata, “Berilah waktu secukupnya supaya penyelidikan dapat dibuat dan ideanya juga dapat mematang. Karya yang baik memerlukan waktu dan penyelidikan yang luas dan rumit,”  maka beliau menyuarakan bantahan para sarjana poyo dan ciritan yang selalu memberi alasan ini apabila mereka gagal menulis assignment yang diberikan kepada mereka.  Inilah jenis ucapan bullshit, menurut Prof. Harry G. Frankfurt dalam bukunya On Bullshit, yang dibaca oleh Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh dan teman-temannya setelah diperkenalkan dalam blog ini, tetapi tidak dimanfaatkannya kerana beliau sendiri menganggap bullshit yang dibicarakan oleh Prof. Frankfurt itu penting dalam kritikan sastera Melayu, kerana itulah sifat kritikan yang sudah dibudayakan dengan nama pandirisme dan diteruskan dengan gigih oleh sarjana poyo yang ciritan melalui Mutual Admiration Club mereka yang melahirkan sasterawan negara. Tanpa bullshit, mereka tidak dapat merempuh  dengan gagah dalam belantara kritikan yang menyesatkan pengkritik gasang yang disebut oleh Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh.  Bullshit adalah penting dan perlu diteruskan dalam budaya pandirisme yang dipelihara oleh Mutual Admiration Club yang secara de facto dikuasai oleh Prof. Emeritus ini.

Walaupun saya agak kritis dari dulu hingga kini terhadap tokoh ini, namun saya amat menghormati beliau yang berani dan tegas meneruskan budaya pandirisme dan sikap bullshit dalam kritikan sastera yang menolak konsep ilmu yang benar.  Menurut pengakuan beliau sendiri, beliau telah melahirkan tidak kurang dari 5,000 (lima ribu!) orang pelajar sastera, termasuk sarjana sastera dan yang telah memperoleh Ph.D. di bawah bimbingan beliau, yang semunya mempunyai pengetahuan sastera yang amat mendalam. Mereka inilah yang menghidupkan kegiatan sastera dan dunia penulisan di Malaysia, yang melahirkan para sasterawan negara dan para pengkritik serta ahli akademik yang bertaraf dunia yang sering kali mendapat hadiah sastera di Malaysia, dan masih menuggu untuk mendapat Hadiah Nobel.  Semoga mereka berjaya!

Berasaskan kedudukan beliau dan para pengikutnya yang diterima di peringkat antarabangsa, maka mereka dengan berani membuat keputusan dalam Sidang Kemuncak Penulis Malaysia 2014 untuk menjadikan sastera sebagai teras negara bangsa, setelah dengan jayanya melahirkan 13 orang sasterawan negara, yang semuanya telah berjaya menghasilkan karya yang bertaraf antarabangsa dan menjadi  rebutan di seluruh dunia. Sebagai contoh, Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji  Salleh dalam ucaputamannya menyebut karya-karya Anwar Ridhwan telah diterjemahkan ke dalam bahasa-bahasa Urdu, Perancis, Inggeris, Russia, Thai, Jepun, Jerman dan Korea, satu senarai yang amat impressive!  Inilah bukti sastera layak dijadikan teras negara bangsa.  Dalam hal ini, idea Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh dan rakan-rakannya adalah tepat dengan ucapaan Jonathan Culler,  “We should just use texts as we use word-processors, in an attempt to say something interesting.”  (dalam Interpretation and Overinterpretation, ed.  Stefen Collini,  1992: 116.)  Sekiranya anda hairan dengan kutipan ini diambil dalam konteks ini, bacalah tulisan Jonathan Culler itu.

Setelah mengikuti perbincangan ini dalam tiga siri, kita boleh membuat beberapa kesimpulan, dengan mengambil kira maksud mathnawi Rumi yang memulai tulisan ini.  Pertama sekali, konsep intertekstualiti yang dijadikan hujah oleh Dr. Mawar Shafie ternyata dilakukannya dalam konteks “duri mawar”, bukan bunga mawar itu sendiri yang harum yang boleh membina taman-taman indah.  Penilaiannya terhadap karya Anwar Ridhwan tidak memberi kesan sedikit pun sepanjang mengenai kualiti karya sasterawan negara itu, malah amat jelas terlalu diada-adakan untuk membina mitos palsu yang relai bertaburan apabila diuji dengan menggunakan ukuran berasaskan konsep ilmu yang benar.  Jadi kesimpujlan kedua, yang lebih penting daripada kesimpulan pertama, ialah mengenai sikap negatif para sarjana sastera terhadap peranan ilmu dalam kesusasteraan, dengan menolak secara angkuh konsep ilmu yang benar yang diajarkan oleh al-Quran.  Kerana itu, maka terjadi kesimpulan ketiga iaitu sastera Melayu akan terus cetek meraba-raba sesat dalam belantara teori sastera Barat dan hanyut dalam lautan bergelora ambiguiti yang menjadi ukuran penting dalam kritikan sastera Barat.  Kalau sudah sesat dalam belantara teori Barat, dan hanyut dalam lautan ambiguiti, maka apa gunanya dibawa masuk segala macam konsep teori  sastera Barat yang tidak diberi tempat sewajarnya dalam konteks ilmu yang benar. Adakah sastera Melayu moden mahu berada selama-lamanya dalam gua kejahilan yang digambarkan oleh al-Quran dalam konsep  ‘iwajan (crookedness atau kebengkokan) yang menjadi sifat utama karya sastera, yang kini mahu dijadikan teras negara bangsa?  Sampai sejauh itu picisannya mereka ini.


Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 18/3/2016

Nota:

Kata Prof Frankfurt, "It is just this lack of connection to a concern with truth - this indifference to how things really are - that I regard as of the essence of  bullshit" (hal. 33-34).












Tuesday, March 15, 2016

Bahagian II: MAWAR TIDAK SAMA DENGAN ROS: Satu Analisis Berasaskan Dekonstruksi Bikinan Jacques Derrida

Jacques Derrida telah memberikan kepada masyarakat Barat satu ucapan paling terkenal, dan paling membingungkan, yang dalam bahasa Inggerisnya berbunyi:  “Nothing exists out side a context.”  Huraian paling lengkap, yang saya tahu sepajang pembacaan saya, diberikan oleh Simon Critchley dalam bukunya, The Ethics of Deconstruction: Derrida & Levinas  (Blackwell, 1992).  Kalau anda perhatikan, tidakkah ini hantu bungkus yang pernah diucapkan oleh New Criticism yang menegaskan setiap karya sastera itu autonomous, dan semua penilaian hendaklah dilakukan dalam konteks itu.  Kerana itu orang yang tidak sukakan dekonstruksi menegaskan bahawa dekonstruksi adalah wajah baru yang sama saja dengan New Criticism, atau paling tidak bersumber dan dipengaruhi oleh New Criticism.  Biarlah sarjana Barat berkelahi sesama mereka mengenai perkara ini. Yang ingin saya bincang di sini ialah, di manakah kedudukan intertekstualiti jika dilihat dalam konteks ini?  Jika dekonstruksi betul, maka tidak ada intertekstualiti yang dikosepsikan oleh Julia Kristeva.  Jika kesimpulan ini benar, maka seluruh penilaan Dr. Mawar Shafie terhadap novel Anwar Ridhwan adalah khayalan belaka. Bagi saya sendiri, kedua-duanya  adalah kemuncak kekeliruan dalam teori sastera Barat, yang telah mempengaruhi kritikan sastera Malaysia  begitu rupa sehingga melahirkan penilaian yang sangat keliru dan cetek meraba-raba.  Kesimpulan ini telah dibayangkan dalam bahagian pertama entri ini.

Apakah sebenarnya yang dimaksudkan oleh Derrida?  Critchley cuba menjawabnya dengan mengemukakan dua kutipan yang seakan-akan sama, tetapi berbeza (hal. 25).  Menurut beliau, “... the first claims that there is no ‘outside text’, no text outside, whereas the second claims that there is  nothing outside the text, that the text outside is nothing, implying by this that any reading that refers the text to some signified outside textuality is illusory.”  (Sila baca baik-baik supaya anda tidak terkeliru dengan ungkapan “textuality is illusory”.)  Anwar Ridhwan dalam novel-novelnya banyak sekali memasukkan “teks” yang dipilihnya untuk dijadikan sebahagian daripada novelnya, sesuai dengan pendapat Kristeva yang mengatakan, “In its structures, writing reads another writing, reads itself and constructs itself through a process of destructive genesis.” (hal. 77).  Apakah maksud Kristeva? 

Kita lihat bagaimana Dr. Mawar  Shafie memberi penjelasannya.  Tegas Dr. Mawar Shafie dengan meyakinkan: “Proses mengada-adakan ini antara lain memperlihatkan kerincian Anwar Ridhwan terhadap hipoteks  yang dirujuknya dan ia diterima sebagai maklumat tambahan yang dibekalkan pengarang novel. Ia juga merupakan pantulan kreativiti pengarang mengadun beberapa hal di luar hipoteks ke dalam hiperteksnya. Kecenderungan ini dalam intertekstualiti dilihat sebagai differential, non-stable atau non-unitary.” (hal. 123.)  Apa maksud tiga perkataan Inggeris itu? Mengapa tidak saja disimpulkan dengan menggunakan bahasa Melayu? Nampaknya Dr. Mawar Shafie sedang bermain dengan intertekstualiti, seperti Anwar Ridhwan yang bermain dengan cerita-cerita penglipur lara sebagai sumber “pemikirannya.”  Adakah “pemikiran” beliau sampai ke tahap menghidangkan ilmu seperti yang diakuinya dalam beberapa tulisan beliau dan percakapan beliau (sepanjang yang sampai kepada saya.)   Saya tidak fikir begitu, dan ini dalam konteks intertekstualiti tidak merupakan satu kelemahan, kerana telah ditegaskan oleh Julia Kristeva dengan tagas seperti ini: “Literature confirms all the hypotheses of all the human sciences; it gives the linguist as well as the historian its surplus value, on the condition that it remain in the shadows of knowledge as a passive thing, never as an agent. This means that, not specified as a precise object, delineated in its totality by an autonomous, and circumscribed theory looking for its truth, literature does not give rise to specific knowledge, but to applications  of doctrines that are nothing but ideological excercises since they are empirical and fragmented.” (hal. 95; huruf condong asal).  Terus terang, aku tidak tahu apa maksud Kristeva, kerana aku bukan ahli akademik. Aku perlukan penjelasan daripada para sarjana sastera yang pakar dalam tekstualiti.  Yang penting ialah kesimpulan dan penegasan Kristeva bahawa lirearture does not give rise to specific knowledge, but to applications of doctrines.”  Bagus juga jika kita dapat mendengar pendapat para sarjana sastera Malaysia yang memutuskan dalam Sidang Kemuncak Penulis Malaysia bahawa sastera perlu dijadikan teras negara bangsa, kerana sastera adalah sumber ilmu. (Sila rujuk buku ITBM, Sastera Teras Negara Bangsa, 2014.)  Kalau mengikut fahaman saya terhadap pandangan Kristeva, yang menjadi rujukan Dr. Mawar Shafie, karya sastera tidak perlu mengandungi ilmu dalam bentuk apa sekali pun, cukup dengan bercerita saja. Inilah pandangan dan keyakinan para sarjana sastera Malaysia dan para sasterawan.  Atas dasar inilah mereka menolak konsep ilmu yang benar, dengan itu menerima ‘iwajan sebagai sesuatu yang tidak dapat dielakkan dalam karya kreatif, kerana sifatnya yang fictional itu.  Kalau begitu, mengapa pula sastera mahu dijadikan teras negara bangsa? Ini tidak dijelaskan oleh para penulis kertas kerja Sidang Kemuncak Penulis Malaysia 2014.

Bagaimana kita dapat menyelesaikan kekusutan ini, yang menjadi kebanggaan Anwar Ridhwan dalam karyanya dan diberi pengiktirafan tinggi oleh Dr. Mawar Shafie?  Nampaknya kita tidak dapat mengelak daripada kembali kepada al-Quran, khususnya untuk memikirkan dengan waras empat ayat pertama dalam Surah al-Insan. Ini dia ayat-ayat itu:

1.  Bukankah telah datang atas manusia satu waktu dari masa, sedang dia ketika itu belum merupakan sesuatu yang dapat disebut?
2.  Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari setetes mani yang bercampur yang Kami hendak mengujinya (dengan perintah dan larangan), kerana itu Kami menjadikan dia mendengar dan melihat.
3.   Sesungguhnya Kami telah menunjukinya jalan yang lurus; ada yang bersyukur dan ada pula yang kafir.
4.   Sesunguhnya Kami menyediakan kepada orang-orang kafir rantai, belenggu dan neraka yang menyala-nyala.  (Terjemahan daripada Al-Quran dan Terjemahnya).


Apakah konteks ayat-ayat ini?  Tentu kita masih ingat ayat “perjanjian azali” antara manusia di alam ruh yang bersaksi, “Tidakkah Aku Tuhan kamu? mereka menjawab, bahkan kami bersaksi Engkaulah Tuhan kami.”  Inilah asas kejadian manusia, yang hanya dapat diketahui melalui ilmu yang benar yang diajarkan al-Quran.  Kalau begitu, mengapa kita perlu bersusah payah, berhempas pulas cuba memahami segala macam teori sastera Barat, dan menggunakannya untuk menilai amal kita dalam seni mengarang?  Nampaknya pengarang Islam tidak mempunyai pilihan, kecuali menerima hakikat ilmu seperti yang diajarkan oleh al-Quran, yang menjadi sumber ilmu yang utama.  Sekarang kita perlu memberi penegasan yang jujur, apakah kedudukan sebenar para sasterawan negara jika dinilai daripada perspektif ilmu yang benar itu?  Kalau kita tidak berani menghadapi soalan ini, maka jelaslah sasterawan negara tidak layak diberi kedudukan begitu tinggi dalam pembinaan tamadun kita. Tetapi kita tidak perlu menghumban mereka ke Laut China Selatan; sebaliknya kita perlu menilai karya mereka daripada perspektif ilmu yang benar. Itu saja. Dan ini tidak sulit dilakukan, kerana dekonstruksi sendiri mengakui bahawa “deconstruction is justice” (ini ucapan Derrida sendiri; dikutip oleh Simon Critchley dalam makalahnya yang dimuat di dalam Deconstruction and Pragmatism, ed. Chantal Mouffe, London, 1996: 34), walaupun konsep keadilan (justice) itu berbeza daripada yang difahami dalam Islam, yakni meletakkan sesuatu tepat pada tempatnya.  Yang hendak ditekankan di sini ialah betapa kesedaran kepada keadilan itu juga disedari oleh Derrida.  Kalau begitu, tidaklah sukar untuk menempatkan para sasterawan negara ini pada tempat yang layak bagi mereka, dari perspektif keadilan yang difahami dalam Islam, agama mereka semua. Kita belum lagi mempunyai sasterawan negara bukan Islam, atau bukan Melayu.  Ini suatu perkara yang sangat pelik. Lebih dari 20 tahun dulu, Pujangga Melayu  telah menyuarakan bahawa tentulah sudah muncul seorang sarjana bahasa Melayu dari kalangan  bukan Melayu  yang layak diberi gelaran pendeta. Belum adakah?

Anda perlu membaca kembali kesimpulan dalam bahagian pertama:

Jikalau anda dapat menerima begitu mudah konsep intertekstualiti, dan menggunakannya dengan perasaan bangga  dalam karya akademik anda, padahal anda tahu konsep itu hanya bikinan manusa biasa yang kemampuan intelektualnya tidaklah terlalu tinggi sehingga  membuat anda amat kagum; maka bagaimana pula anda menjadi ragu dan mungkin benci untuk menerima konsep ‘iwajan  yang sumbernya al-Quran sendiri? Demikian  pentingnya memahami konsep ilmu yang benar, dan melihat peranan anda sebagai manusia yang berilmu.

Mohd. Affandi  Hassan,
Petaling Jaya,  15. 3. 2016.