Saturday, December 15, 2012

MEMPERKASA ILMU DAN PERSURATAN MELAYU: MENGAPA ANUGERAH SASTERA PERLU DIGANTI DENGAN HADIAH PERSURATAN PETRONAS


Satu kesilapan besar  telah berlaku apabila institusi anugerah sastera diwujudkan. Inilah pandangan saya sejak awal. Sebagai satu protes, saya menderma seringgit kepada Dewan Bahasa dan Pustaka; beberapa minggu kemudian saya menerim surat penerimaan ditandatangan oleh Encik Ayub Yamin, mengucapkan terima kasih di atas derma itu. Sindiran dibalas dengan sindiran! Memang adil. Kemudian saya menulis sebuah cerita pendek berjudul, “Orang Yang Berdiri”, untuk memperingati penerimaan anugerah itu oleh Keris Mas. Cerita pendek itu disiarkan dalam sebuah majalah yang tidak terkenal yang saya sudah lupa namanya. Cerita pendek itu ditulis selepas saya menonton upacara penerimaan anugerah itu yang disiarkan secara langsung di RTM.  Selama beberapa tahun saya menerima undangan untuk menghadiri upacara anugerah, tetapi saya tidak pernah hadir. Akhirnya nama saya dibuang dari senarai dan kad jemputan pun tidak lagi  dikirim kepada saya. Satu anugerah yang bagus untuk saya.

Saya beranggapan, dan saya yakin saya betul, anugerah sastera yang diwujudkan 1981 itu adalah projek politik; oleh itu selepas itu hampir semua perlantikan baru berunsur politik. Sebagai bukti, Ishak Hj. Muhammad tidak layak diberi anugerah; demikian juga A. Samad Ismail; dan seterusnya Kassim Ahmad. Jika bukan satu projek politik, ketiga-tiga tokoh ini sudah semestinya dilantik, apatah lagi Ishak Hj. Muhammad dan A. Samad Ismail sudah pun diberi hadiah Pejuang Sastera.  Kemudiannya terjadi lobi-melobi untuk dipilih menjadi sasterawan negara; ada yang mendapatnya akhirnya, ada yang kecundang terus menerus. Lobi-melobi ini sudah kerap ditulis dalam ruangan sastera di akhbar, perihal sasterawan mengiklan dirinya sebagai tokoh yang layak untuk diberi gelaran sasterawan negara. Serendah itukah tarafnya? Maksud saya, taraf kedua-duanya, anugerah dan penerimanya. Tetapi keberatan yang paling besar ialah kesilapan mengangkat kesusasteraan terlalu tinggi, atau begitu tinggi, sehingga sasterawan layak ditokohkan sebagai tokoh negara yang bertaraf di raja. Yang layak dan berhak memberi anugerah itu hanya Yang di Pertuan Agong, tidak perdana menteri atau menteri pelajaran. Wajarkah sasterawan diberi taraf setinggi itu?  Di sinilah terjadi kesilapan besar Dewan Bahasa Pustaka, sehingga dapat dituduh sebagai sudah mengkhinati perjuangan bahasa dan pemertabatan ilmu.  Dewan Bahasa dan Pustaka ditubuhkan untuk mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, selain bahasa perpaduan negara. Sebaliknya yang terjadi ialah pemertabatan para sasterawan, dengan meminggirkan perkembangan ilmu dalam bahasa Melayu. Jika DBP ingin membetulkan kesilapan ini, maka yang harus dilakukan ialah dengan memberi pengiktirafan kepada ilmuan yang menulis dalam bahasa Melayu, dengan mewujudkan Hadiah Persuratan PETRONAS.  DBP sudah wajar sedar bahawa sastera bukan segala-galanya, sehingga perlu diberi taraf di raja dengan melibatkan Yang di Pertuan Agong, seolah-seolah para sasterawan itu sama tarafnya dengan perlantikan para hakim dan lain-lain perlantikan yang dilakukan oleh Yang di Pertuan Agong. Perbuatan ini sudah melampau, dilakukan tanpa sebarang maruah, yang jika dipakai bahasa yang halus, boleh dianggap sudah berlaku biadab. Tidak ada masa lagi untuk berdolak-dalik dalam perkara ini. Kita harus menerima kenyataan bahawa perbuatan mengangkat para sasterawan begitu tinggi adalah satu kesilapan besar yang hanya boleh berlaku apabila orang sudah kehilangan adab. Untuk mengembalikan adab itu dalam kebudayaan Melayu, maka caranya ialah dengan meletakkan ilmu pada tempatnya yang mulia, dengan memberi pengiktirafan kepada ahlinya yang menulis dalam bahasa Melayu, yang dengan itu sekali gus mengangkat ilmu itu melalui penggunaan bahasa Melayu. Tidakkah inilah tugas besar Dewan Bahasa dan Pustaka?

Para sasterawan yang bekerja di Dewan Bahasa dan Pustaka telah berjaya memujuk ahli politik di bawah pimpinan Tun Razak untuk mewujudkan anugerah sastera negara bagi mengiktiraf para sasterawan sebagai “pejuang kemerdekaan”.  Sungguh munasabah jika sebahagian besar pemenang anugerah datang dari DBP sendiri, pewaris Asas 50 pula.  Para sasterawan ini diberi keistimewaan sebagai golongan tersendiri yang berjasa kepada negara kerana “perjuangan” mereka menulis dalam bentuk cerita pendek atau pun novel, membicarakan betapa peritnya perjuangan kemerdekaan itu mereka rasai sendiri sambil mengadap mesin taip mereka. Inilah kemudiannya yang diberi anugerah sastera.   Siapakah mereka sebenarnya? Saya telah menjawab soalan ini dalam beberapa post dalam blog ini.  Mereka adalah sasterawan biasa, bukan luar biasa baik dari segi teknik dan “pemikiran” mahu pun dari segi bahasa dan gaya, tidak juga dari segi penerokaan tema. Semua mereka menulis tentang perkara yang sama, dengan judul yang berlainan. Ini boleh dilihat dalam laporan yang disediakan oleh Panel Anugerah Sastera Negara.  Ciri utama semua mereka adalah ketangkasan mereka meniru teknik Barat, yang sangat dipandang tinggi oleh Panel Anugerah Sastera Negara, diberi sanjungan sebagai sasterawan yang berjaya membuat eksperimen dan perubahan dalam karya mereka melalui peniruan teknik Barat itu. Itulah keistimewaan mereka, menurut Panel Anugerah Sastera Negara, dan diterima dengan baik oleh para sasterawan dan sarjana, serta pengkritik sastera.  Jadi tidak saja Panel Anugerah Sastera Negara memuji karya para sasterawan ini sebagai karya Barat dalam bahasa Melayu, menjadi pelindung para sasterawan yang menulis novel dan cerita pendek, serta sajak-sajak juga, malah para sasterawan ini pun bangga menjadi ahli waris sastera Barat.  Inilah kumpulan yang kemudiannya diberi anugerah sasterawan negara.

Apakah kesalahan yang dilakukan apabia diwujudkan institusi anugerah sastera?  Pertama sekali, para sasterawan diberi kedudukan tinggi oleh ahli politik sebagai satu golongan tersendiri yang penting dalam kemajuan sesuatu bangsa. Pada permulaannya kesalahan ini  tidak disedari oleh sesiapa pun, tetapi kesannya memang dapat dirasakan apabila semakin sukar mencari calon yang sesuai, membuktikan calon-calon yang kemudian tidaklah “sebaik” calon yang terdahulu. Malah ada di antara calon yang terpilih diremehkan oleh rakan-rakan mereka dan oleh para sasterawan negara terdahulu. Siapa mereka memang diketahui oleh para sasterawan dan pegawai DBP sendiri.  Keadaan ini membuktikan tidak ada “kemajuan” yang ditunjukkan oleh calon terkemudian, ertinya dari segi kualiti makin merosot. Hal ini menimbulkan anggapan bahawa di kalangan para sasterawna negara sendiri memang ada penarafan yang tidak diketarakan, tetapi orang yang mengikuti politik sasterawan negara tahu ada tiga kategori sasterawan negara: yang bagus; yang tak berapa bagus; yang tidak bagus. Siapa mereka anda boleh kesan sendiri, misalnya melalui percakapan antara para sasterawan.  Apakah makna yang kita boleh baca dari keadaan ini?  Semua ini menunjukkan sejenis permainan politik dalam sastera. Kini sudah dicanangkan kita patut mengangkat seorang sasterawan negara bukan Melayu, jadi sudah dijadikan isu perkauman, bukan lagi isu kualiti karyanya. Ada juga semangat kedaerahan, dengan misalnya dipersoalkan mengapa tidak seorang pun sasterawan dari Sabah dan Sarawak diangkat menjadi sasterawan negara, padahal dua negeri itu mempunyai ramai sasterawan yang layak. Antaranya yang berada di Sarawak misalnya ialah Azmah Nordin dan Jong Chian Lai. Dari Sabah saya tidak pasti, mungkin bagus juga jika ditambah nama mereka dalam senarai calon penerima  anugerah sastera negara.  Keberatan  yang menjadi misteri ialah mengapa ramai sangat sasterawan negara yang berasal daripada pegawai DBP. Jawapan yang sering diberikan ialah, terjadinya demikian hanya satu kebetulan, yakni memang DBP merekrut penulis atau sasterawan yang berkualiti untuk bekerja dengan DBP, oleh itu tidak ada kesangsian apa-apa pun jika mereka kemudiannya dijadikan sasterawan negara.  Memang mereka layak, apatah lagi semua syarat ditentukan oleh para sasterawan yang berada di DBP ketika itu, masih belum berubah. Syarat-syarat itu tidak semuanya menjurus kepada kualiti karya, kerana antara yang penting ialah berpengaruh tidaknya sasterawan yang dipilih dengan dapat dikesan dari karya penulis kemudian yang meniru gaya mereka; syarat lain ialah mengenai kegiatan mereka dalam persatuan atau memberi ceramah tentang sastera. Pada mulanya syarat-syarat itu dituduh diadakan untuk memenuhi keperluan sasterawan tertentu, supaya mereka juga layak dilantik. Tetapi syarat tentang pengaruh itu sangat cetek, kerana jika para penulis kemudian memang diharapkan meniru yang terdahulu, maka bagaimana kita akan mengukur kemajuan dalam penulisan kreatif? Syarat tentang banyaknya tulisan yang membicarakan tentang seseorng sasterawan juga cetek, jika tidak diambilkira kualiti pembicara yang membicarakan karya mereka. Semua ini sukar dilakukan, dan akan menjadi kemarahan para pembicara sendiri jika mereka dituduh sama selekehnya dengan sasterawan yang mereka bicarakan. Saya pernah diberitahu terdapat  tesis Ph.D. tentang seorang sasterawan, yang kualiti tesis itu sangat disangsikan, malah penulis yang dijadikan bahan itu sendiri pun tidak layak diberi kedudukan setinggi itu, walaupun orang seperti itu memang popular di kalangan para pegikut mediocre mereka.  Semua ini memang membenarkan pemerhatian saya bahawa memang terdapat budaya pandirisme dalam kesusasteraan Melayu moden, yang dengan megah dijadikan aliran arus perdana.

Kegagalan ujian paling besar ialah dari segi pemikiran para sasterawan negara ini.  Dewan Bahasa dan Pustaka telah mengadakan seminar tentang pemikiran ini untuk hampir semua sasterawan negara.  Tetapi istilah “pemikiran” itu tidak pernah ditakrifkan dengan terperinci, tidak pernah dibahaskan dalam seminar mengenai apakah yang dimaksudkan dengan “pemikiran” ini. Apakah ciri-ciri seorang pemikir sastera? Semuanya tidak pernah dipersoalkan.   Oleh itu terdapat satu jenis konsensus di kalangan para sarjana yang menulis kertas kerja bahawa A. Samad Said bukanlah seorang pemikir, begitu juga Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh dan yang lain-lain. Kalau begitu, jenis “pemikiran” apa yang dibincangkan? Pemikiran tentang tiadanya “pemikiran”? Dalam seminar begini, penulis kertas kerja akan memilih tema atau tajuk tertentu yang dijadikan bahan penulisan sang sasterawan, lalu dicari pendekatan tertentu untuk dipadankan dengan tema berkenaan, lalu dibahaskan dengan cetek sekali bahawa sasterawan sekian-sekian memang membicarakan tentang burung gagak, tentang pokok kayu di tepi jalan yang tumbang, tentang katak yang mati dilanggar kereta, dan sebagainya, lalu dibuat kesimpulan bahawa sasterawan itu seorang pemerhati alam yang tajam dan membicarakan dengan ... (dengan apa?) aspek alam sekitar. Kita beri contoh yang mudah, supaya sesiapa juga yang kemampuan kognitifnya paling minimum sekali pun boleh faham maksud “pemikiran” tentang alam sekitar misalnya.  Kerajaan dalam usahanya membasmi kemiskinan, membuka tanah hutan besar-besaran. Akibatnya mengeruhkan sungai, menyukarkan penduduk mendapat air, membunuh hidupan dalam sungai, mendatangkan hakisan yang teruk, menjadikan kawasan itu gondol dan panas, mengganggu tadahan air, dan sebagainya. Maka bangkitlah seorang petani miskin membantah projek itu, kerana burung-burung yang jadi kesayangannya yang dipikatnya pada musim tertentu sudah lari, begitu juga binatang liar yang diburunya. Lalu dia menubuhkan satu badan yang khusus untuk membantah pembasmian kemiskinan yang memiskinkan alam sekitar. Sasterawan yang bijak pandai, seorang “pemikir”, menulis sebuah novel yang hebat. Dia mengetengahkan watak-watak yang hebat yang saling bertentangan; dan dalam konflik itu ahli politik mengambil kesempatan untuk memperkayakan diri mereka dan sekutu mereka. Apakah yang akan ditawarkan oleh sang sasterawan dalam karya itu? Sebagai seorang “pemikir”, dia akan cuba mengolah tema itu secermat mungkin, sehingga segala buah fikirannya diberi perhatian oleh para perancang dan manusia yang berada dalam  kemiskinan. Tiba-tiba kita diberitahu, pembukaan hutan bukanlah cara terbaik dan berkesan untuk menghapuskan kemiskinan, malah menambah kemiskinan dan bermacam masalah sosial yang timbul kemudian; dan dia menghujahkannya dengan meyakinkan, sehingga kita mendapat kesimpulan bukan kemiskinan yang cuba diselesaikan, tetapi bagaimana kemajuan dijadikan strategi untuk mendapat keuntungan: wang yang mudah, di samping itu dipuji kerana melaksanakan projek untuk rakyat.  Sang sasterawan menjadikan korupsi sebagai teras “pemikirannya”, dengan itu semua aspek rasuah itu dijadikan tema penulisannya. Dia membahaskan peranan korupsi dalam pembangunan negara.  Barangkali menarik juga apabila dia memberitahu kita, di kalangan para sasterawan pun terdapat rasuah, tetapi diberi wajah yang indah untuk mengabui mata masyarkat. Rasuah intelektual? Rasuah dari aspek nilai dan etika? Kalau dibuat begini begini, barulah dapat dilihat “pemikirannya”,  bukan ditebuk di sana sini untuk memperlihatkan “kepelbagaian” tema yang disajikan oleh sang sasterawan, walaupun dari segi pengolahan amat cetek!  Ini hanya satu contoh, untuk menjadi panduan bagaimana kita memberi tafsiran dan takrif tentang istilah “pemikiran” ini. Dalam gagasan Persuratan Baru, hal ini tidak lagi menjadi masalah.  Memang pemikiran itulah yang menjadi teras karya persuratan yang dianjurkan oleh Persuratan Baru.  Tetapi contoh takrif pemikiran yang paling tepat dan terkenal ialah yang diberikan oleh Pujangga Iqbal dalam syair-syairnya, iaitu tentang pembinaan peribadi unggul dan cinta Tuhan sebagai asasnya. Kalau belum jelas lagi maksud “pemikiran” dalam karya kreatif, maka tidak payahlah dibincangkan aspek pemikiran ini dalam mana-mana seminar sekali pun.

Perihal kehilangan adab ini diceritakan oleh Prof. Madya Dr. Siti Hajar Che Man, tertulis dalam kertas kerjanya ketika membicarakan “pemikiran” Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh. Prof. Madya Dr. Siti Hajar Che Man memberitahu, Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh berpesan, “Untuk seminar nanti, kena tulis elok-elok pasai (sic) saya”. Andainya Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh hanya bergurau, maka gurauan itu in bad taste, tidak pantas dikeluarkan oleh seorang yang bergelar Tokoh Akademik Negara. Apakah perlunya Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh berpesan demikian? Hanya untuk menunjukkan kualiti sebenar beliau sebagai seorang ahli akademik yang handalan, yang perlu memberi amaran supaya hanya yang baik-baik saja yang ditulis. Bukan satu gurauan, kerana itu kata Dr. Siti Hajar: “Maka, terikatlah sudah satu perjanjian yang tidak dimeterai, saya perlu menulis sesuatu yang indah yang menyamankan hati dan perasaan seorang tokoh yang cukup baik dengan saya.” Hasilnya, Dr. Siti Hajar membentang satu kertas yang tidak ada faedah langsung dari segi akademik. Beliau memilih untuk menyukakan hati gurunya dan tokoh yang baik dengannya daripada memberikan analisis dan kritikan yang objektif dan bersifat akademik, sesuai dengan tarafnya sebagai seorang sarjana yang mengajar di USM, universiti paling cemerlang di Malaysia sekarang. Nampaknya maruah akademik boleh diketepikan demi “menjaga hati” seorang tokoh “yang cukup baik dengan saya”. Jika inilah hasil yang kita dapat, maka DBP tidak perlu membuang masa dan wang untuk maksud yang murahan begini.  Jika inilah bentuk kesopanan akademik yang dihumban ke muka kita oleh para ahli akademik kita yang handalan, maka adalah mengarut saja untuk kita mengharapkan mereka bersikap objektif dan boleh dipercayai kualiti akademiknya. Jika inilah jenis manusia yang dilantik menjadi sasterawan negara, maka apakah moral yang boleh kita dapat daripada seorang tokoh yang begitu tabiatnya dan sikapnya? Semua ini menguatkan hujah kita bahawa kita tidak perlukan sasterawan negara untuk menjadi cerdik dan beradab.  Imej buruk yang diberikan oleh sasterawan negara sendiri nampaknya tidak dapat dielakkan, kerana mereka terpilih bukan kerana kualiti pemikiran mereka, tetapi kerana permainan politik sastera semata-mata. Dalam laporan terakhir (2012) kita diberitahu telah muncul seorang pensajak sufi di kalangan sasterawan Malaysia. Maklumat yang kita dapat memberitahu bahawa ada seorang pensajak yang cukup “syok” digelar pensajak sufi; diberitakan juga dia pandai bermain gendang, dan sambil bermain dia berzikir, sampai menangis-nangis di pentas. Orang bertanya saya: Itukah pensajak sufi? Tidak pasti sama ada pertanyaan itu bodoh atau ingin menguji kebodohan saya. Walau bagaimana pun, saya beritahu, orang yang pandai bermain gendang atau memalu batil namanya Awang Batil, seorang penglipur lara.  Adapun yang mudah menangis dan meraung di pentas, maka itulah buktinya dia seorang pelakon yang hebat. Orang sufi menangis sendirian di tengah malam, ketika mengadu kepada Allah Ta’ala. Orang yang bergelar pensajak sufi meraung di atas pentas di depan khalayak untuk mendapat tepukan; dia seorang pelakon handalan. Jika anda mahu memanggilnya pensajak sufi, tidak ada halangan kerana sekarang orang sufi pun sudah ada yang dituduh merogol atau mencabul maruah wanita. Lagi pula, kata Shahnon Ahmad, penulis TIVI yang penuh dengan adegan seks itu, antara anak-beranak pula,  novel lucahnya itu adalah sebuah novel sufi. Apakah yang lebih baik daripada itu yang kita peroleh daripada seorang sasterawan negara?  Contoh-contoh lain anda boleh dapat dalam laporan Panel Anugerah Sastera Negara. Kalau anda rajin, anda boleh lihat kritikan saya di blog ini.  Tetapi saya fikir anda tidak perlu melakukannya, kecuali anda seorang ahli akademik yang ingin  menguji sejauh mana hebatnya seorang sasterawan negara, dan sejauh mana pula karutnya pandangan pengkritiknya.  Kes sasterawan negara memaksa penulis kertas kerja mengikut telujuknya bertentangan dengan keghairahan mereka, dalam kes Interlok, supaya para sasterawan diberi kebebasan untuk menyuarakan pendapat mereka. Bagaimana pula dengan ahli akademik, tidak  perlukah kebebasan itu untuk mereka menulis dengan objektif tanpa sebarang campur tangan sasterawan negara?

Tetapi cadangan untuk mewujudkan Hadiah Persuratan PETRONAS bukanlah sesuatu yang karut; sebalikya kewujudan Hadiah Persuratan itu sepatutnya sudah lama diwujudkan, sebelum bahasa Melayu dihina seperti sekarang; yakni sebelum para ilmuan yang menulis dalam bahasa Melayu dipinggirkan sebagai sampah dalam perkembangan ilmu di negara kita, sementara para sasterawan yang menulis karya picisan dan erotik diberi sanjungan dan pengiktirafan sebagai penyumbang nilai-nilai murni dalam masyarakat walaupun yang diserlahkan dalam karya mereka adalah nilai kurang ajar, biadab dan sebagainya.  Bagaimana pun, masih belum lewat untuk memperkasa bahasa Melayu sambil menghargai para penyumbang buku-buku ilmiah yang menggunakan bahasa Melayu, dengan mewujudkan Hadiah Persuratan PETRONAS yang dicadangkan itu. Sila lihat perinciannya dalam kertas kerja yang dibentang di “Seminar: Impak Anugerah dan Hadiah Sastera ke Atas Perkembangan  Sastera Kebangsaan”, 25 Mei 2006 di Dewan Seminar, DBP.  Antara lain dalam kertas itu saya mencadangkan seperti yang berikut:

Dari memberi tumpuan kepada sastera dalam pengertiannya yang sempit, DBP harus meluaskan skopnya dengan memberi tumpuan kepada persuratan Melayu, dengan mengadakan program terancang untuk memajukan persuratan Melayu. Karya persuratan daripada para pengarang dan pemikir Melayu dan Nusantara, seperti Hamzah Fansuri, Nuruddin al-Raniri, Amir Hamzah, Sutan Takdir Ali Sjahbana, Za’ba, Hj. Agus Salim, Muhammad Hatta, Soekarno, Syed Muhammad Naquib al-Attas, Dr. Burhanuddin dan lain-lain pengarang/pemikir terkenal seharusnya dipilih untuk dijadikan teks dalam mata pelajaran persuratan Melayu di sekolah-sekolah; tidak dibataskan kepada karya sastera yang bercorak kreatif saja. Hanya yang betul-betul terbaik daripada karya kreatif itu dipilih, tidak termasuk karya-karya baru daripada sasterawan yang belum teruji lagi. Dicadangkan supaya DBP berusaha mendapatkan kerjasama Petronas dalam program membangunkan persuratan Melayu ini. Petronas wajar dilibatkan dalam kegiatan yang bersifat intelektual dan budaya tanpa mengganggu program yang sedia ada. DBP wajar mencadangkan kepada Petronas untuk mewujudkan satu hadiah untuk menggalakkan perkembangan persuratan Melayu dalam semua bidang dengan mewujudkan Hadiah Persuratan Petronas setiap tahun, diberikan kepada sesiapa juga yang menulis dalam bahasa Melayu dalam bidang ilmu yang terpilih. Hadiah itu hendaknya tidak kurang daripada RM100,000/- setiap satu, dikeluarkan setiap tahun untuk (1) bidang matematik dan sains (ini termasuk perubatan, pergigian, kimia, fizik dll), (2) bidang sosiologi dan kemanusiaan (termasuk perundangan), dan (3) bidang bahasa (linguistik) dan cereka (novel, cerita pendek, drama dll). Tiap-tiap tahun kita berikan hadiah kepada tiga orang tokoh yang berjasa dalam bidang-bidang ini. Pemberian hadiah kepada para ilmuwan akan mendatangkan faedah yang sangat besar dalam memajukan pemikiran dan memartabatkan lagi bahasa Melayu. Penghargaan  seperti ini kita berikan kepada para penyelidik perubatan, pertanian, kimia dan lain-lain, di samping sumbangan bermakna para sarjana kemasyarakatan dan lain-lain. Kita dengan itu mendemokrasikan ilmu, tidak hanya mengehadkan kepada penulis kreatif saja. Ini bermakna kita berpindah dari sastera kepada persuratan. Maksud kesimpulan ini perlu difahami dengan jelas supaya sebarang kekeliruan yang akan timbul dari tafsiran yang salah tidak dijadikan pegangan.”

Dalam kutipan ringkas di atas, kita dapat melihat betapa pentingnya Dewan Bahasa dan Pustaka mengiktiraf para ahli akademik tidak saja dari kumpulan bahasa dan sastera, tetapi juga dari kumpulan-kumpulan lain seperti yang disenaraikan. Tetapi perubahan paling penting di sini ialah perpindahan dari kecenderunagan berlebihan untuk memberi perhatian besar kepada sastera kreatif kepada penekanan terhadap perkembangan ilmu dalam konteks persuratan Melayu. Dua perkara yang perlu ditekankan di sini: Pertama, tumpuan perlulah diarahkan kepada perkembangan ilmu melalui bahasa Melayu, dengan itu ahli akademik yang menulis dalam bahasa Melayu dalam bidang masing-masing diberi pengiktirafan untuk perkembangan ilmu dan sekali gus untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Kedua, konsep kreatif tidak lagi dihadkan kepada cerita yang difahami pada waktu ini yang terangkum dalam kosep sastera, tetapi kreativiti haruslah diluaskan skopnya merangkum bidang-bidang ilmu dengan tidak meninggalkan bidang kreatif dalam seni mengarang.  Kedua-dua perubahan ini amat diperlukan jika kita benar-benar ingin memajukan bahasa Melayu di samping membina budaya ilmu dalam konteks pembinaan tamadun moden.

Dengan hujah ini, kita lihat kecenderungan berlebihan untuk memberi perhatian terlalu besar kepada sasterawan dan penulisan kreatif adalah bertentangan dengan penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka sendiri yang sememangnya diberi kepercayaan untuk memajukan ilmu dalam semua bidang, menggunakan bahasa Melayu bertaraf tinggi, yakni bahasa akademik dan bahasa ilmu. Cabaran ini belum lagi disahut secara kontan dan berterusan dalam projek yang menjurus ke arah itu; oleh itu sekaranglah masanya untuk berubah, sesuai dengan teriakan sekarang bahawa abad ini adalah abad ilmu. Apakah jenis ilmu yang boleh diberikan oleh para sasterawan dan karya sastera? Anda tidak perlu berdegil untuk mempertahankan sastera dengan mengenepikan ilmu, seperti yang berlaku sekarang, yang melahirkan kumpulan yang “cetek meraba-raba” yang mempunyai selera besar untuk menjadi pemimpin masyarakat dalam kekeliruan mereka tentang konsep ilmu. Adakah kita mahu meneruskan kehilangan adab ini dalam pembinaan tamadun kita? Seperti yang ditegaskan di awal tulisan ini, kita tidak harus meneruskan kesilapan besar yang telah terlanjur itu, dengan itu perubahan ke arah memartabatkan ilmu dan bahasa Melayu harus dilakukan sekarang, dalam konteks persuratan Melayu, tidak lagi dalam konteks yang sempit terkhusus kepada sastera Melayu dan para sasterawannya saja. Apa juga jenis perubahan yang bertentangan dengan kehendak ilmu yang benar bukanlah perubahan, tetapi penyelewengan dari hakikat insan yang seluruh kehidupannya terikat kepada konsep taklif.  Wallahu a’lam.

Mohd. Affandi Hassan,
15 Disember 2012.




Wednesday, December 12, 2012

GAGASAN PERSURATAN BARU dan KAMUS DEWAN: Nota Hujung Tahun 2012


Dalam Kamus Dewan (ed. ketiga 1994), contoh penggunaan di bawah entri naif diberikan begini: Mohd. Affandi Hassan mengatakan ceritanya terlalu naif dan terlalu mudah utk mencapai maksud simbolik itu (hal. 917). Dalam edisi keempat, nama Mohd. Affandi Hassan dihilangkan, diganti dengan “dia”.  Saya belum semak adakah tidak entri untuk perkataan foni yang kerap saya pakai. Mungkin terlalu awal untuk dimasukkan; tetapi wajar dimasukkan jika naif dimasukkan.  Amatlah naif  jika foni ditinggalkan; padahal foni kini menjadi sebahagian daripada ciri budaya akademik di Malaysia, menurut satu sumber yang sampai kepada saya. Secara peribadi saya tidak percaya ini sudah dibudayakan, walaupun saya pernah membaca tuisan “akademik” yang foni, malah yang berstatus syarahan perdana sekali pun. Tulisan saya sendiri pun disindir tidak kurang sifat foni-nya, walaupun hingga ini saya belum berjumpa hujah-hujah saya dipatahkan; sebaliknya saya banyak bertemu pendapat foni yang dilemparkan terhadap pendapat saya, tanpa sebarang hujah yang membuktikan pembuat tuduhan itu bukanlah seorang yang naif dan sekali gus bukan foni!  Dua perkataan ini menggambarkan dengan baik sekali perkembangan budaya ilmu dari kumpulan yang pengetahuannya “cetek meraba-raba”. [Tentang foni seterusnya lihat di bawah].

Bilakah Kamus Dewan akan memasukkan perkataan aligupit?  Mungkin bunyinya begini: Tajuk/judul sebuah novel mengikut gaya Persuratan Baru yang ditulis oleh Mohd Affandi Hassan.  Kali ini nama itu boleh dihapuskan dengan entri yang berbunyi: Judul sebuah novel Melayu yang diterbitkan 1993. Aligupit bererti tipugila atau gilatipu; penipuan yang menggila.  Atau ada entri berbentuk lain yang lebih baik? Seperti naif  dan foni, kini aligupit adalah salah satu ciri penting dalam kritikan sastera Melayu, dengan itu para sasterawan agak sukar hendak melepaskan diri daripada dunia aligupit ini.  Mahu tidak mahu, Kamus Dewan harus menerima kemasukan perkataan ini sebagai sebahagian daripada perkembangan budaya ilmu di Malaysia.

Bila pula Kamus Dewan akan memasukkan segala maklumat tentang Gagasan Persuratan Baru? Mungkin dalam edisi kelima, tidak sempat untuk edisi keempat kerana seperti biasa dengan penerbitan kamus di mana-mana sekali pun, entri tentang subjek baru akan tetap lewat, mungkin memakan masa lebih sepuluh tahun. (Kecuali jika dilampirkan bahagian khas sebagai pelengkap/supplement.) Rasanya sudah cukup banyak istilah dan konsep yang dipakai dalam Persuratan Baru sudah dibakukan, oleh itu layak mendapat tempat dalam Kamus Dewan sesuai dengan matlamat kamus untuk memberikan maklumat terkini dalam sesuatu perkembangan baru dalam bahasa Melayu dan kesusasteraan Melayu. Mungkin para pakar kamus di DBP sudah mencatat perkara ini. Mungkin mereka sudah terkesan adanya perbezaan antara persuratan dan kesusasteraan dalam Persuratan Baru; dan nama Persuratan Baru itu sendiri ...  Tentang konsep wacana dan cerita; konsep taklif; konsep paksi naratif dan ruang naratif; serta lain-lain konsep yang dipakai dalam Persuratan Baru.

Bagaimana pula dengan istilah pandirisme? Istilah ini adalah sebahagian daripada Persuratan Baru ketika membincangkan sikap mental para sasterawan, sarjana dan pengkritik sastera yang meremehkan ilmu dan tidak dapat membezakannya dengan maklumat.  Apakah maksud budaya pandirisme? Nampaknya banyak juga perkara baru yang perlu dimasukkan ke dalam Kamus Dewan. Hal ini tidak dapat dielakkan kerana Gagasan Persuratan Baru sudah dijadikan tajuk sebuah syarahan perdana di UKM (2007), yang diberikan oleh Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir.

Nampaknya banyak catatan yang perlu dibuat, dan dibuat dengan tepat supaya pengguna kamus tahu apa yang dimaksudkan dalam konteks Gagasan Persuratan Baru.  Satu tabiat sarjana Malaysia yang perlu diberi perhatian ialah kegemaran mereka menayangkan retorik peragaan.  Bila menulis, mereka menderetkan nama pengarang dan judul buku, termasuk dalam bahasa yang mereka tidak tahu, kononnya supaya kelihatan original. Kalau berbicara tentang sastera, macam-macam teori diperagakan, sekadar untuk diperagakan, tetapi tidak difahami dengan mendalam. Retorik peragaan ini sudah menjadi penyakit akademik yang perlu dikritik supaya tidak dibudayakan dalam dunia akademik Malaysia.  Ataukah retorik peragaan ini sudah pun dibudayakan? Dalam Puitika Sastera Melayu, retorik peragaan ini menjadi ciri utama syarahan perdana ini. Kalau sudah masuk dalam syarahan perdana, tidakkah retorik peragaan ini sudah masuk arus perdana di kalangan ahli akademik?

Satu istilah penting tentang realisme ialah istilah realisme semu. Istilah ini merujuk konsep realisme yang berbeza daripada konsep realisme Barat: realisme semu merujuk  kepada ilusi atau khayalan yang terjadi apabila orang tertipu dengan gambaran palsu yang dianggap sebagai realiti. Inilah yang terjadi kepada Ratu Balqis ketika mengadap Nabi Sulaiman ‘a.s. Yang penting dalam konteks ini ialah Balqis sedar akan kesilapannya setelah diberitahu lantai berkilat yang disangkanya air kolam yang dalam itu hanya pancaran dari marmar berkilat; dia beriman setelah mendedahkan auratnya (mengangkat kainnya sehingga nampak betisnya), dengan itu melakukan dua kesilapan: menyangka kilatan  marmar sebagai air kolam dan mendedahkan auratnya akibat kesilapannya itu. Konsep realiti semu penting dalam kesenian, termasuk seni mengarang. Seseorang yang tidak berilmu akan dengan mudah terpesona dengan ilusi yang terdapat di dalam karya, misalnya seseorang yang percaya karya pascamodenisme adalah baik dan bermutu kerana mempunyai kelainan yang luar biasa. Oleh itu ada orang Islam yang menerima The Satanic Verses sebagai karya seni yang tinggi mutunya, seperti H.B. Jassin mempertahankan cerita pendek yang menghina Islam “Langit Makin Mendung” atas nama kebebasan, apabila dia juga terjebak dalam ilusi akibat fahaman yang salah tentang makna dan maksud kebebasan. Sebenarnya cerita pendek itu hanya sebuah karya picisan, bukan karya seni yang tinggi.  Bagaimana dengan The Divine Comedy oleh Dante?  Sukar juga hendak memasukkan sesuatu entri jika terjadi perubahan konsep seperti dalam konsep realisme, yang dijelaskan dengan mendalam oleh Prof. Ugku Maimunah dalam Kuliah MASTERAnya yang dicetak oleh DBP. Makna realisme yang diberikan oleh Gagasan Persuratan Baru tidak sama dengan realisme yang terpakai di Barat. Adakah ini salah? Adakah sebuah kamus yang akan menentukannya atau ahli akademik dan para pemikir menentukannya? Maksudnya, sebuah kamus hanya mencatat dengan tepat apa yang berlaku dalam perkembangan ilmu.  Adakah catatan itu akan berubah apabia terjadi perubahan sikap? Memang, seperti terhapusnya nama Mohd Affandi Hassan apabila ditampilkan alasan “untuk maksud ekonomi” dalam sebuah kamus, oleh itu diganti dengan “dia” sudah mencukupi. Tetapi dari segi perkembangan ilmu tidak bermakna apa-apa lagi! Maka itulah amat penting dimasukkan juga perkataan foni yang sering dipakai oleh Mohd Affandi Hassan.  Dalam perkembangan ilmu, apakah yang digambarkan oleh perkataan foni yang kelihatan “innocent”, tetapi sebenarnya menceritakan  suatu keadaan yang membuat kita meragui kewibawaan akademik sebahagian ahli akademik yang kata-kata dan perbuatannya tidak selaras.  Sebagai contoh: ada di antara mereka yang berkata teori sastera Barat tidak sesuai digunakan untuk menganalisis dan menilai karya sasterawan Melayu kerana perbezaan budaya dan agama terlalu jauh; tetapi pada waktu yang sama mereka inilah juga yang menggunakan teori Barat dan mereka pun suka jika karya mereka dinilai dari perspektif teori Barat. Tidakkah pendirian ini jelas sekali sifat foninya?  Perlukah sebuah kamus menggambarkan semua perkembangan seperti ini?  Itulah cabaran yang anda hadapi dengan munculnya Gagasan Persuratan Baru.

Mohd. Affandi Hassan,
24/11/2012.


Friday, December 7, 2012

PENJELASAN YANG TIDAK PERLU TAPI PERLU DILAYAN


Sumbangan Panel Anugerah Sastera Negara dalam kritikan sastera Malaysia belum lagi dikaji secara ilmiah walaupun Panel itu sudah wujud lebih dari 30 tahun. Sejauh mana Panel itu telah berjaya memberi arah yang betul dalam kritikan sastera Malaysia?  Pada hemat saya, Panel itu telah gagal memberi arah yang betul itu; sebaliknya Panel itu hanya menjadi jurucakap dan pelindung sastera Barat yang ditulis dalam bahasa Melayu. Jika andaian ini benar, adakah kita perlu meneruskan kewujudan Panel Anugerah Sastera Negara? Di sinilah timbul reaksi yang menarik: Mengapa anda perlu menyibukkan diri mempersoalkan kewujudan Panel Anugerah Sastera Negara? Pada hemat saya, reaksi ini bersifat reaksioner dan tidak sepatutnya timbul setelah kita mempunyai berpuluh buah universiti yang mengajar sastera dengan beribu profesor dan sarjana sastera, yang kesemuanya memperjuangkan kebebasan bersuara dan kebebasan memberi kritikan. Dalam penelitian saya, kewujudan Panel Anugerah Sastera Negara telah memberi kesan negatif dalam perkembangan ilmu. Paling utama dalam persoalan ini ialah: Apakah konsep ilmu yang menjadi pegangan Panel Anugerah Sastera Negara? Seperti yang dibayangkan di atas, Panel menjadi pelindung sastera Barat dalam bahasa Melayu dengan menjadikan teori dan nilai-nilai sastera Barat sebagai ukuran dalam menentukan siapa yang patut dan layak dijadikan sasterawan negara.   Adakah ini yang kita perlu kembangkan dalam kesusasteraan Melayu moden? Tidak adakah alternatif lain yang lebih baik dan lebih sesuai dengan semangat tamadun bangsa Melayu? Untuk soalan kedua ini, jawapan yang diberikan ialah bahawa kewujudan kesusasteraan Melayu moden bergantung seluruhnya kepada teori dan nilai-niai sastera Barat yang menjadi ikutan dan panduan para sasterawan dan para sarjana sastera Melayu selama lebih dari 80 tahun.  Kata mereka, yakni para sasterawan dan sarjana sastera, tidak pernah pun terjadi dalam sastera Melayu moden itu terputusnya tradisi Melayu dan nilai-nilai Islam dalam perkembangan sastera Melayu moden. Tetapi pandangan dan andaian ini telah ditolak sejak 1972 lagi oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam syarahan pengukuhan beliau dengan kesimpulan yang terkenal itu, iaitu perihal para sasterawan ini adalah kumpulan pinggiran yang tidak mendalam pengetahuannya tentang tradisi bangsanya dan tidak pula mendalam kefahamannya tentang tamadun Barat, oleh itu mereka adalah kumpulan yang “cetek meraba-raba”. Sehingga ini kesimpulan ini belum ditolak secara ilmiah, malah dengan kehadiran Panel Anugerah Sastera Negara dan laporan yang mereka terbitkan,  kesimpulan Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas itu dibuktikan dengan jelas, tanpa ragu-ragu, oleh Panel Anugerah Sastera Negara dalam laporan mereka. Sekarang sudah jelas bahawa kewujudan Panel Anugerah Sastera Negara dan sekumpulan sasterawan negara yang mereka pilih membuktikan wujudnya hingga ke hari ini sifat kumpulan pinggiran ini yang “cetek meraba-raba”. Adakah kita masih mahu meneruskan keadaan ini?  Sekiranya anda masih mahu meneruskan feudalisme sastera yang mencirikan lembaga sasterawan negara ini, maka anda harus memperinci sumbangan mereka dari segi perkembangan ilmu dan nilai-nilai tamadun kita. Sekali imbas pun kita dapat mengesan dengan mudah kehadiran para sasterawan ini dan karya mereka telah mengubah sistem nilai yang beteraskan sistem ilmu yang benar kepada sistem nilai yang berteraskan liberalisme Barat dengan pendewaan yang berlebihan kepada pendekatan dan teori sastera Barat dalam keseluruhan analisis dan penilaian mereka terhadap karya kreatif itu, dengan alasan bahawa karya itu hanya sesuai dinilai dari kacamata teori Barat kerana asas penciptaannya ialah teknik dan stail sastera Barat seluruhnya. Kesimpulan bahawa Panel Anugerah Sastera Negara menjadi pelindung kepada sastera Barat dalam bahasa Melayu adalah tepat,  dan inilah yang perlu dipersoalkan dan seterusnya dirombak sama sekali.

Kita perlukan alternatif yang lebih baik. Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir dalam kertas kerja beliau, “Persuratan Baru: Anjakan Positif Yang Diperlukan Oleh Sastera Melayu” (dibentang dalam Seminar Teori dan Kritikan Sastera Malaysia, UPSI 28-29 September 2012), menghujahkan dengan meyakinkan perlunya alternatif yang dimaksudkan. Nampaknya sudah ada kecenderungan di kalangan para sasterawan dan sarjana sastera, terutama di kalangan generasi muda, untuk menerima alternatif itu sebagai cabaran baru dalam perkembangan kesusasteraan Melayu. Walaupun belum meluas, masih lagi terdapat keraguan akibat terlalu bergantung kepada teori dan pendekatan Barat, namun kesedaran itu sudah mula terlihat dalam karya kreatif  dan dalam kritikan sastera.  Perubahan yang paling penting dalam perkembangan ini ialah kesedaran tentang konsep kesusasteraan itu sendiri yang terlalu begantung kepada realisme seperti yang difahami di Barat, yang mengakibatkan lahirnya karya yang bercanggah dengan tradisi Melayu Islam.  Dengan kesedaran ini, aspek ilmu dalam karya kreatif mula mendapat perhatian, sekurang-kurangnya sudah timbul keinginan untuk mengetahui apakah yang dimaksudkan dengan ilmu dan peranannya dalam karya kreatif. Memang masih diperlukan penjelasan serta contoh yang konkrit tentang aspek ilmu ini, terutama dari segi bagaimana konsep ilmu itu diadun dalam karya kreatif yang bersifat naratif. Untuk mencapai maksud itu, tulisan-tulisan Prof. Ungku Maimunah dan Prof. Madya Dr. Mohd. Zariat Abdul Rani wajar dijadikan rujukan penting. Anda tidak perlu bersetuju dengan mereka, tetapi sekurang-kurangnya anda tahu apakah  persoalan penting dalam sastera Melayu moden, misalnya tentang konsep realisme dan cabang-cabangnya. 

Alternatif yang diberikan oleh gagasan Persuratan Baru ialah kategori baru dalam karya kreatif, iaitu karya persuratan sebagai hasil karya yang berbeza daripada karya sastera: yang pertama berasaskan ilmu yang benar, manakala yang kedua berasaskan emosi dan hawa nafsu. Contoh-contoh karya berasaskan emosi dan hawa nafsu ini banyak sekali boleh didapati dalam laporan Panel Anugerah Sastera Negara. Anda hanya perlu lihat di sana untuk memuaskan keraguan anda tentang karya sastera berasaskan emosi dan hawa nafsu itu memang dilaksanakan dengan gigih oleh para sasterawan dan diterima sebagai karya bermutu oleh Panel Anugerah Sastera Negara. Karya persuratan dikenalpasti melalui unsur wacana yang menjadi peneraju dalam pembentukan ruang naratif karya berkenaan, dengan itu cerita diletakkan di tempat kedua sebagai pelengkap. Apakah kesannya ke atas analisis dan penilaian karya kreatif?  Unsur wacana memerlukan pemikiran, dengan itu analisis akan tertumpu kepada aspek intelektual di dalam karya, yang boleh dicapai melalui teknik mod bacaan intelektual. Dalam mod bacaan intelektual, sesebuah karya akan dianalisis berasaskan penggunaan wacana di dalam karya itu, bukan lagi hanya tertumpu kepada cerita semata-mata seperti yang diamalkan sekarang. Oleh itu anda tidak menyibukkan diri anda berbicara tentang plot, perwatakan, latar dan sebagainya yang kini sudah menjadi klise dalam kritikan sastera Melayu. Sesuatu cerita dilihat dalam konteks peranan yang dimainkannya untuk membentuk wacana, yakni bagaimana cerita itu digunakan untuk menghidupkan wacana melalui penggunaan ruang naratif novel tersebut. Dalam teknik lama, ruang naratif tidak diberi fungsi apa-apa untuk membina wacana; tetapi dalam Persuratan Baru, ruang naratif digunakan seberkesan mungkin dengan memberi tumpuan kepada isian ilmu dalam konteks wacana, tidak hanya untuk menampung isian cerita seperti dalam teknik lama. Perbezaan inilah yang memerlukan kategori karya persuratan diwujudkan kerana dari segi penampilan idea dan teknik, karya persuratan tidak dapat disamakan, apatah lagi disetarafkan dengan karya sastera.  Sementara itu, karya sastera akan terus ditulis, dengan ini bermakna dari masa ke semasa sasterawan negara akan terus dipilih berasaskan sumbangan mereka dalam karya sastera.

Adakah karya persuratan memerlukan pengiktirafan yang sama seperti karya sastera? Saya telah mencadangkan tahun 2006 lagi supaya satu cara pengiktirafan ilmu diusahakan dengan PETRONAS menjadi penyumbangnya. (Lihat kertas kerja, “Hadiah dan Anugerah Sastera di Malaysia: Satu Penilaian Kritis”, DBP 25 Mei 2006, “Seminar Impak Anugerah dan Hadiah Sastera ke Atas Perkembangan Sastera Kebangsaan”). Dari masa ke semasa, apabila terdapat karya persuratan yang layak diberi hadiah, maka karya itu akan diberi hadiah bersama dengan hadiah dalam bidang-bidang akademik untuk buku-buku yang ditulis dalam bahasa Melayu. Tidak ada gelaran khusus untuk penulis karya persuratan, cukup untuk disebut sebagai “penerima hadiah persuratan PETRONAS tahun 2020” misalnya. Kita biarkan saja para sasterawan dengan gelaran mereka jika kerajaan masih mahu  meneruskan projek itu. Tetapi saya fikir jika sudah ada Hadiah Persuratan PETRONAS, anugerah dan gelaran sasterawan negara tidak diperlukan lagi. Kerajaan sendiri telah melakukan ini dengan memberi sekali saja Hadiah Pejuang Sastera kepada enam orang sasterawan, lepas itu dihentikan. Oleh itu, memberhentikan anugerah sastera adalah wajar, setelah diwujudkan hadiah yang lebih bermakna untuk memartabatkan bahasa Melayu melalui Hadiah Persuratan PETRONAS yang dicadangkan itu. Cukuplah kita mempunyai 11 orang sasterawan negara yang tidak diiktiraf sebagai pemikir oleh sarjana sastera sendiri; dan orang-orang ini pula telah terbukti menulis karya-karya yang bertentangan dengan semangat dan nilai teras tamadun Melayu. Walaupun pujian tinggi telah diberikan oleh Panel Anugerah Sastera Negara, namun jika dinilai semula sumbangan sebenar para sasterawan negara ini, kita akan menemui hakikat sebenar kualiti karya mereka. Jika mereka yakin karya mereka benar-benar bermutu, mereka harus bersikap terbuka untuk dinilai semula dengan lebih kritis, berasaskan kritikan wacana, bukan kritikan cerita yang dilakukan oleh Panel untuk membina hanya mitos di sekitar para sasterawan negara ini. Di sinilah perlunya diadakan kajian menyeluruh tentang sumbangan Panel Anugerah Sastera Negara dalam bidang kritikan dan kajian mendalam tentang sumbangan para sasterawan negara dalam membangunkan budaya ilmu dalam kebudayaan Melayu.

Sebagai penutup, saya ingin kemukakan satu kutipan panjang, khusus untuk pembaca yang kritis dan mempunyai pengetahuan luas tentang kebudayaan Barat.

“Paradoxically, tradition is revolutionary. A tradition is always older than the immediate past; hence the endorsement of tradition always implies a rejection of that immediate past in the interests of something purer, and such rejection is always experienced as revolutionary, an overturning of the values of an immediate past which have outlived their usefulness.  This makes sense of the great modernist paradox in which T. S. Eliot claimed ‘tradition’ as his own in what as perceived as an overtly revolutionary form of poetry. By extension, the endorsement of tradition, in the rejection of the immediate past, also always presupposes the possibility of a different future; and the adoption of tradition can thus (though this is not always necessarily the case) put an artist in the position of being avant-garde, the originator of a different future, the liberator of a number of proleptic possibilities.  A second level of paradox arises, however, whenever this strategy is repeated. Once it becomes possible to repeat the avant-garde procedure of the ‘revolutionary’ adoption of ‘tradition’, one has begun the process whereby the avant-garde strategy is in danger of becoming itself ‘traditional’ in a weak sense of the term. An inbuilt crisis of obsolescence is necessarily inscribed in the logic of the avant-grade. The avant-garde artist in an emancipatory  ‘hero’ whose very  individuation and status as a leading figure or exemplary  artist is necessarily worthless, for such individuation is characterised by the necessity of her or his self-sacrifice in the interest of the arriere-garde.” (Thomas Docherty ed. Postmodernism: A Reader. New York: Columbia University Press, 1993; hal. 217).

Bagaimana hendak membaca kutipan itu?

Mohd. Affandi Hassan,
7 Disember 2012.

                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                          



Tuesday, December 4, 2012

BENARKAH SASTERAWAN NEGARA BUKAN GOLONGAN PEMIKIR?


Dalam seminar pemikiran sasterawan negara A. Samad Said tak berapa lama dulu, saya bertanya Prof. Rahman Shaari, adakah A. Samad Said seorang pemikir? Saya terkejut dan hairan apabila beliau mengatakan tidak, ertinya A. Samad Said bukan seorang pemikir. Siapakah di antara sasterawan negara yang ramai itu boleh diterima sebagai seorang pemikir? Ada orang berkata, soalan itu sangat nakal, bertujuan untuk menghina para sasterawan negara. Ini pun satu hal yang sangat pelik dan memalukan, seolah-olah orang yang beranggapan demikian, kerana terlampau ghairah ingin mempertahankan kedudukan sasterawan negara, telah menjadikan mereka seolah-olah patung Kristus di Gereja Sastera Malaysia.  Di Indonesia pula, kegiatan sastera dalam pandangan Prof. A. Teeuw, adalah sejenis gerakan gereja tidak rasmi, yang membolehkan orang Indonesia berasa sangat bangga apabila H. B. Jassin digelar Paus Sastera Indonesia oleh Gayus Siagian. Mengapa harus diberi gelar “Pope” tidak pernah dipersoalkan, walaupun H. B. Jassin telah menulis tafsir (lebih tepat terjemahan harfiah) Quran, dan dia memang seorang Islam. Bagaimana masyarakat Indonesia boleh bebangga apabila dia digelar Paus Sastera Indonesia?  Nampaknya idea ini dibawa masuk ke Malaysia, sama ada disedari atau hanya untuk megah terikut-ikut saja, dengan meletakkan para sasterawan negara ini sebagai golongn istimewa yang mesti diiktiraf sebagai kelompok yang berada di luar pagar kritikan seperti yang diberikan kepada para paderi. Mengapa mesti meletakkan mereka di luar pagar? Dengan berbuat begitu, mereka bebas dari segala kritikan yang akan meletakkan mereka seolah-olah setaraf dengan  para sasterawan lain, padahal mereka adalah golongan istimewa dan telah dianggap demikian oleh negara yang memberikan mereka gelaran itu. Sekarang anda faham apa maksud saya membawa cerita H. B. Jassin ini? Kata orang yang berpendapat begini, para sasterawan negara sendiri telah menerima hakikat itu dan dengan sedar meletakkan diri mereka sebagai golongan istimewa. Anda mahu bukti? Di mana saja anda bertemu mereka, anda mesti address “sasterawan negara”; dan dalam tiap majlis, gelaran dan nama mereka mesti disebut.  Dalam satu peristiwa, ada seorang yang bergelar ini masuk majlis dan duduk bersama orang lain; tiba-tiba ada satu orang besar sastera memberi ucapan aluan, dia sebut beberapa nama, yang bukan  sasterawan negara; tetapi tidak menyebut nama orang itu padahal dia sedar kehadiran orang itu; maka marahlah orang itu kerana berasa terhina. Oleh itu, mereka mestilah diberi keutamaan dalam mana-mana majlis sastera. Jika tidak, mereka mengomel tidak puas hati; dan omelan mereka ini telah lama kedengaran. Walaupun ada sasterawan lain tertawa kerana menganggap perbuatan itu lucu, namun sebahagian besar sasterawan menerima omelan itu sebagai suara protes yang wajar.  Kata orang yang baik-baik, apa guna diberi gelaran jika tidak disebut dan orangnya tidak diangkat-angkat? Sebenarnya memang betul, kerana itulah budaya Melayu. Jadi sebagai orang berbudaya dan beradab sopan yang tinggi, mereka mesti dihormati dan disanjung setiap masa, tanpa ragu-ragu. Lebih-lebih lagi mereka pun mahu dilayan begitu.  Adakah ini bentuk feudalisme sastera?  Ada orang mengomel, tak pasal-pasal kita dibeban dengan feudalisme sastera seperti ini.  Jika kita meneliti semua ini, tidak dapat dielakkan lagi kita harus bertanya: Siapakah sebenarnya sasterawan negara ini?

Soalan itu tidak boleh dijawab oleh seorang pengkritik sastera, yang di Malaysia telah diberi  peranan dan kedudukan sebagai pakar untuk memuji para sasterawan negara, dan secara umum sasterawan lain yang masih menunggu giliran.  Ini menimbulkan sedikit masalah: Jika soalan itu tidak boleh ditanyakan, bagaimana kita akan menentukan status para sasterawan negara ini?  Sebenarnya status mereka telah dipastikan melalui majlis rasmi yang dihadiri oleh Yang Dipertuan Agong yang menganugerahkan sendiri ijazah untuk membolehkan seseorang sasterawan diberi gelaran Sasterawan Negara. Itulah kedudukan mereka, sebagai seniman di raja, yang sama taraf dan kedudukannya dengan “polis di raja, “askar Melayu di raja”, “kastam di raja”, dan lain-lain lagi yang diberi gelaran “di raja”. Terloncat satu soalan nakal daripada seorang murid kelas satu yang baru meninggalkan kelas tadika: “Adakah para sasterawan negara ini sama darjat dan kedudukannya dengan Profesor di Raja?”  Gurunya menjawab pantas: “Tentu tidak sama. Kita mempunyai hanya seorang Profesor Di Raja, tetapi sasterawan di raja yang bergelar sasterawan negara itu sudah berjumlah 11 orang semuanya, dan akan ditambah lagi. Lainlah jika kita menambah gelaran Profesor di Raja setiap tahun. Pada ketika itu samalah kedudukan seniman di raja yang bergelar sasterawan negara itu dengan kedudukan seorang profesor yang bergelar Profesor di Raja. Kamu faham?”.  Semua murid kelas satu (kini dipanggil tahun satu) meneriakkan dengan penuh bersemangat: “Faham cikgu!!”

Itulah ceritanya. Atau: Begitulah cerita kedudukannya. Adakah sama maknanya dua kesimpulan ini, atau kedua-duanya tidak bermakna apa-apa?  Yang sah dan pasti ialah Dewan Bahasa dan Pustaka telah mengadakan seminar pemikiran sasterawan negara untuk semua sasterawan negara, dan bukunya telah diterbitkan dengan pengantar oleh sasterawan negara sendiri.  Sama ada mereka pemikir atau apa ditentukan oleh karya dan sumbangan mereka. Yang akan menentukannya ialah pembaca yang kritis yang memberikan bukti dan hujah sebelum membuat kesimpulan.  Di antara mereka ada yang tinggi kedudukannya, ada yang sederhana, dan ada yang rendah saja kedudukannya. Mereka tidak setaraf, walaupun sama dari segi gelaran.  Walaupun mereka diberi gelaran, namun gelaran tidak menentukan kualiti karya mereka. Oleh itu ada di antara mereka yang menulis karya picisan, hatta selepas diberi gelaran sasterawan negara; dan ada di antara karya picisan yang ditulis sebelum mereka diberi gelaran itu dijadikan bukti untuk melantik mereka sebagai seniman di raja yang diberi gelaran sasterawan negara.  Sebagai penulis dan sasterawan, mereka bukanlah istimewa; tetapi gelaran sasterawan negara itu sangat istimewa, yang membolehkan mereka diletakkan di luar pagar kritikan.  Itulah kedudukan sebenar para sasterawan negara. Oleh itu mereka tidak perlu diberi taraf seorang pemikir kerana tidak diberi peluang untuk diuji sehabis kritis dalam analisis dan penilaian yang ketat berasaskan ukuran yang boleh diuji kesahihannya, tidak kira dari mana datangnya ukuran itu.  Kritikan cerita yang dipakai untuk menilai karya mereka, seperti yang dibuat sekarang,  hanya menyerlahkan kedudukan mereka sebagai penglipur lara moden atau penulis cerita, bukan sebagai pemikir.  Jika kita benar-benar berminat untuk membuktikan mereka sebagai pemikir, maka kita harus menggunakan kritikan wacana yang lebih teliti, kritis, dan objektif menganalisis dan menilai “pemikiran” mereka, bukan hanya bercerita tentang “pemikiran” mereka.  Itulah pilihan yang perlu kita buat; dan untuk itu kita perlu meletakkan sasterawan negara di canai wacana yang disediakan oleh gagasan Persuratan Baru.     Tidakkah itu namanya melanggar feudalisme sastera? Tak pasal-pasal anda dipaksa membuat pilihan: terus bersama feudalisme sastera, atau  membina tradisi persuratan berasaskan konsep ilmu yang benar.    

Mohd Affandi Hassan,
3 Disember, 2012.

Saturday, December 1, 2012

SEJAUH MANA RASIONALNYA DUNIA SASTERA DAN DUNIA KRITIKAN MALAYSIA?



Perhatikan kata-kata ini: “Kelesuan kritikan sastera kita dewasa ini harus dirancakkan kembali, walaupun tidak semestinya meniru kerancakan kritikan di medan politik. Kita memerlukan kritikan sastera yang sihat serta membina, sebagai mana gelanggang politik juga memerlukan kritikan yang konstruktif demi kemaslahatan penduduk negara ini.” (Anwar Ridhwan, dalam Berita Harian, 28/11/2012 siaran ulangan).

Bagi saya, pengakuan ini bagus kerana bertepatan sekali dengan kritikan saya sendiri selama ini.  Sebenarnya sejak tahun 1970-an lagi. Bagus kerana sekarang ada orang sudah sedar. Mengapakah terdapat “kelesuan kritikan” itu? Saya telah memberi jawapannya dalam posting bertarikh 9 November 2011 mengenai tiga beban besar dalam kritikan sastera Malaysia. Bacalah di sana jika anda berminat. Seterusnya kita lihat pula kenyataan ini: “Pada umumnya kritikan digunakan untuk menganalisis, menilai dan mengulas sesuatu perkara atau isu. Oleh yang demikian kritikan yang bertanggungjawab, yang biasanya diharapkan dalam sebuah masyarakat bertamadun, biasanya berada dalam kritikan yang rasional. Ia tidak datang dalam kritikan yang keras serta panas berapi-api, yang kelahirannya lebih didorong emosi, bukan oleh dorongan intelek.”  (Sumber sama). 

Ini pun bagus juga, inilah persis yang saya lakukan. Tetapi ramai yang tidak dapat memahaminya, mungkin kerana mereka ketinggalan terlalu jauh ke belakang, masih bergelumang dengan isu-isu klise dalam sastera Melayu. Antara isu klise yang amat digemari dan dipertahankan ialah konsep realisme, yang dari situ timbul konsep kemanusiaan sejagat berasaskan faham hedonisme. Mengapa realisme sudah menjadi klise? Dalam konteks sastera Melayu, realisme memberi makna yang mudah dan cetek, merujuk kepada kehidupan manusia tertindas atau kehidupan yang memberi keutamaan kepada kejahatan manusia atau kebodohan mereka. Keburukan yang terdapat dalam masyarakat dan kejahatan manusia menjadi tema yang amat digemari dalam sastera Melayu. Karya demikian dibawa masuk ke bilik-bilik darjah untuk diajar kepada para pelajar. Sebagai contoh, sila lihat kajian Muhammad Zarif Hassan dan Dr. Roselan Baki tentang novel Jeriji Kasih yang kini dijadikan teks sastera.  (Lihat posting bertarikh 23 November 2012 untuk penjelasan lanjut). Adakah realisme sama dengan ilmu yang benar? Dalam PB, dibezakan antara realiti semu dengan realiti hakiki. Realiti semu itulah yang kini menjadi pegangan para sasterawan dan sarjana sastera, juga yang menjadi panduan Kementerian Pelajaran Malaysia ketika menentukan karya yang akan digunakan dalam pendidikan sastera.  Hasilnya terpilih karya picisan seperti Jeriji Kasih dan lain-lain karya yang setaraf dengannya. Mengapa kita harus mengelak daripada membincangkan perkara ini dengan betul-betul teliti dan kritis? Di sinilah pentingnya kaedah analisis, dan dalam konteks inilah gagasan Persuratan Baru dapat membantu untuk mengenal pasti karya yang benar-benar bermutu dan layak dijadikan teks sastera. Tetapi sekiranya anda masih mahu membawa karya picisan ke dalam bilik darjah, dengan alasan karya demikian dapat difahami oleh para pelajar, maka anda harus menyediakan kaedah yang betul-betul kritis supaya para pelajar ini dapat membezakan antara karya picisan yang sedang mereka kaji  dengan karya bermutu yang dikatakan sukar difahami itu. Dengan menggunakan kaedah yang betul, sesiapa pun juga dapat memahami dengan mudah karya yang dikatakan sukar sekali pun. Membiasakan diri menggunakan kaedah yang betul ini nampaknya cuba dielak, padahal jika diluang sedikit masa, anda akan dapat memahami PB dengan mudah dan ketika itu anda akan dapat mengujinya ketika membaca, menganalisis dan menilai karya yang sedang anda hadapi. Adakah itu pun sukar dilakukan?

Apakah yang dimaksudkan dengan “kritikan yang rasional” dalam kutipan di atas?  Jawapannya yang diberikan oleh penulis yang sama berbunyi begini: “There is a tendency on the part of Malay literary scholars to construct a theory  without a reference to texts. Perhaps the most obvious axamples of this trend are certain Islamic literary theories that prevailed in Malaysia. The basic concepts of Islam and its connection with the artistic philosophy were extracted and compiled to construct a (Malaysian) Islamic literary theory. It is, therefore, a theory created from ‘the top’. Apparently, the theory appeared in the middle of the developmental path of Malay literature, without literary text as its basis.  ... [T]his approach in constructing a theory does seem odd.” (DalamCritical Perspectives on Muhammad Haji Salleh, DBP 2003, halaman  173).

Apa yang anda boleh dapat daripada kutipan ini?  Kutipan di atas adalah contoh kritikan tidak rasional tentang sastera Islam kerana kaedahnya tidak merujuk kepada teks.  Adakah ini benar?  Penulis ini mengatakan teori sastera Islam itu tidak ada rujukan kepada teks, malah hanya berupa rumusan daripada ajaran Islam yang dianggap berkaitan dengan seni. Kita lihat bahasa Melayunya untuk memudahkan kita memahami sifat “rasional” sarjana ini: “Terdapat kecenderungan di kalangan sarjana kesusasteraan untuk membina teori dengan mengabaikan sumber teks. Barangkali contohnya yang agak jelas adalah beberapa teori sastera Islam di Malaysia. Konsep asal Islam dan hubungannya dengan falsafah kesenian telah dipetik dan disusun membentuk teori sastera. Dengan demikian, teori tersebut dicipta dari ‘atas’. Teori ini seolah-olah dipacakkan di tengah-tengah jalan perkembangan kesusasteraan kita, yang jalan masa lampaunya tidak diambil kira. Sungguh pun teori semacam itu tidak dibina daripada sumber teks sastera sebelumnya, kita tidak mungkin menolak teori tersebut begitu sahaja. Pencipta teori itu mungkin menemukan rumus penting yang dianggap boleh dimanfaatkan untuk memahami atau menjadi acuan untuk karya-karya pascapenciptaan teori itu. Akan tetapi, kaedah tersebut tetap terasa keanehannya.” (Dalam Rangkaian Pemikiran dalam Karya Sastera, DBP 2006, hal.61).

Siapakah “pencipta” teori yang tidak rasional itu? Teori apa? Apa namanya (jika diberi nama)? Semua ini kita tidak tahu, kerana penulis ini tidak mahu memberitahunya; dengan itu kita tidak  tahu sejauh mana sarjana ini betul dalam andaiannya. Lagi pula, apa salahnya cara yang dibantahnya itu? Itu hanya salah satu cara, antara beribu cara yang boleh dipilih. Cara yang dibantahnya itu tidak pula pelik, kerana orang yang menggunakannya mungkin tidak mengambil dari teks Melayu, tetapi dari teks yang dicipta oleh para pujangga Islam seluruh dunia. Salahkah itu? Lagi pula, sumber al-Quran dan Hadis adalah dua sumber utama, sumber wajib. Mengapa pula tidak boleh digunakan? Pendeknya, apa yang dianggap kaedah tidak rasional itu adalah paling rasional kerana berasaskan sumber yang paling autoritatif.   Orang ini tidak membezakan antara teks yang autoritatif dengan yang tidak. Ini satu kesilapan besar dalam kesarjanaan Islam, oleh itu hanya teks yang autoritatif saja yang harus dijadikan asas; manakala yang tidak autoritatif, yang dicipta pengarang, dijadikan hujah untuk menunjukkan terdapat kesedaran akan pentingnya unsur Islam itu dalam karangan novel misalnya. Ini telah dibuktikan oleh Prof. Madya Dr. Mohd. Zariat Abdul Rani dalam analisis dan penilaiannya terhadap novel Abdul Kadir Adabi, Melati Kota Bharu (terbit 1938/39). Dalam karya hikayat, syair, pantun dan segala macam bentuk puisi Islam yang terpakai dalam bahasa Melayu, kita dapat melihat dengan jelas prinsip-prinsip seni mengarang yang menjadi ikutan para pujangga Islam. Yang paling utama ialah konsep tauhid, yang dijelmakan dalam kehidupan manusia dalam bentuk taklif; dan dalam konsep taklif itu terdapat tiga rahsia taklif, iaitu ilmu pengetahuan, keadilan,  dan usaha ikhtiar (menurut huraian Shah Wali Allah).  Oleh itu apabila anda menulis dalam kesedaran taklif, anda akan menulis seperti yang dirumuskan dalam Gagasan Persuratan Baru, yang boleh dibaca dalam Pendidikan Estetika Daripada Pendekatan Tauhid (DBP 1992). Apakah yang tidak rasional di situ?  Tersebutnya PB di sini cukup rasional: sarjana ini telah menuduh sarjana yang menulis tentang Islam tidak rasional kerana tidak berasaskan teks; apa maksud beliau dengan teks itu, dan adakah beliau  sendiri telah meneliti betul-betul usaha manusia yang dikatanya tidak rasional itu?  Mungkinkah sebuah cerita pendek seperti “Dunia Adalah Sebuah Apartment” akan lahir daripada seorang pengarang yang berpegang kepada konsep taklif?  Pertanyaan ini penting kerana contoh ini boleh saja dikemukakan sebagai bukti bahawa sesuatu karya kreatif menjadi tidak rasional dan sia-sia jika ditulis tanpa sebarang kesedaran taklif. Tetapi kesedaran begini tidak wujud di kalangan para sasterawan dan penilai (seperti Panel Anugerah Sastera Negara) kerana mereka berada dalam dunia “yang cetek meraba-raba” seperti yang ditegaskan oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas. Di mana kita dapat konsep taklif itu jika tidak daripada al-Quran? Jika kita hanya membaca teks dalam konteks yang difahami oleh Anwar Ridhwan, maka kita akan terus berpusing-pusing dalam ilusi sastera, seperti yang terjadi kepada Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh dalam syarahan perdananya.

Tidak saja kritikan harus rasional, lebih penting lagi ialah penerimaan dan penolakan terhadap kritikan itu juga harus rasional. Seperti yang saya selalu ulang dalam banyak tulisan, panduan kita ialah peringatan Imam Ghazali, yang menekankan betapa pentingnya setiap persetujuan dan tidak bersetuju diasaskan kepada ilmu, bukan prasangka atau andaian semata.  Inilah pendapat Imam Ghazali yang penting itu: “Benda yang tak boleh difaham bagaimana boleh ditolak atau diterima?” (terjemahan Abdulfatah Haron Ibrahim, Penyelamat dari Kesesatan, DBP 1986, hal. 26). Terjemahan W. M. Watt: “[I]f a thing is not comprehended how can it be either refuted or accepted?” (The Faith @ Practice of al-Ghazali, hal. 32).  Itulah puncak rasionaliti sebenarnya, yang amat jarang ada di kalangan para sarjana kita. Ini semua terjadi kerana mereka tidak hormatkan ilmu. Oleh itu, jika mereka mempunyai sedikit kuasa dan kedudukan, mereka berusaha untuk menghalang pemikiran orang lain yang mereka tidak suka daripada masuk ke dalam lingkungan mereka. Jika mereka bekerja di universiti, mereka akan berusaha untuk menghalang apa juga pemikiran yang berbeza dengan mereka atau yang mereka anggap mengancam kedudukan mereka. Jika anda mahu contoh, anda harus cari sendiri, kerana mudah mendapatnya. Saya pernah ditanya pelajar ASWARA, mengapa buku-buku dan tulisan saya tidak ada di ASWARA? Saya jawab mudah: “Sebenanrya kamu tidak baca dan tidak cari betul-betul. Jikalau kamu yakin tidak ada, kasi tahu sama Pustakawan bahawa  kamu perlukan buku-buku itu.” Tentulah amat tidak rasional jika para pelajar ini dinafikan dari mendapat maklumat tentang PB, padahal mereka pelajar sastera. Apakah gambaran yang kita dapat dari keadaan ini?  Inilah jenis “masyarakat madani” yang disebut dalam kutipan berikutnya. 

Seterusnya lihat kesimpulan ini:  “Masyarakat madani atau masyarakat bertamadun memerlukan kritikan yang sihat serta membina dalam apa jua lapangan kehidupan umat manusia – termasuk politik dan sastera. Untuk itu diperlukan pengkritik yang berilmu, yang berpandangan luas, yang bebas menyuarakan apa jua pendapat, dan yang mendapat keadilan pendemokrasian media. Jika tujuan politik dilihat lebih untuk aspek luaran keperluan umat manusia, tujuan sastera lebih untuk aspek dalaman seperti emosi, pemikiran dan kebijaksanaan melalui penghasilan karya kreatif.” (Sumber sama).

Sekali imbas bunyinya bagus dan mudah , tetapi tidak semudah itu untuk mencapainya. Di atas telah disebut beberapa halangan.  Betul kita perlukan pengkritik yang berilmu, tetapi “ilmu” yang bagaimana?  Oleh itu amat penting diberi definisi  ilmu terlebih dahulu, seperti yang dilakukan oleh Prof. Syed Muhammad  Naquib al-Attas dalam buku-bukunya. Sejauh mana para sasterawan dan sarjana bertindak rasional untuk menerima pandangan Prof. Syed  Muhammad Naquib al-Attas itu?  Bila sudah dihadapkan dengan pertanyaan yang memerlukan seseorang membuat pilihan, maka dia akan tersangkut oleh emosinya yang rendah, dengan itu dia akan memberikan berbagai alasan untuk tidak menerima pemikiran rasional orang lain.  Contoh klasik dalam kesarjanaan Melayu ialah sikap negatif Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh yang ditunjukkannya dalam syarahan perdananya. Dia berbicara tentang syair dalam syarahan itu, tetapi dia tidak menyebut kajian Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas yang sampai kepada kesimpulan bahawa pencipta syair Melayu ialah Hamzah Fansuri. Tidakkah kesimpulan itu sangat penting? Tetapi dia (yakni orang berkenaan) dengan rasionalnya melenyapkan  pendapat seorang tokoh yang tidak digemarinya dalam satu wacana ilmu yang didakwa bersifat ilmiah dan objektif.

Dan bagaimana dengan Anwar Ridhwan sendiri yang “menempelak” sarjana yang katanya pandai-pandai mahu cipta teori sastera Islam tanpa merujuk teks kerana belum ada lagi teks yang boleh dipakai? Adakah ini pendapat yang rasional dan benar-benar berasaskan bukti empiris?  Ternyata tidak, malah Prof. Madya Dr. Mohd. Zariat Abdul Rani telah menunjukkan sebaliknya, dengan memberikan contoh analisis beliau terhadap novel Abdul Kadir Adabi, Melati Kota Bharu.  Jadi memang ada pun teks yang dikatakan tidak ada itu, daripada seorang pelopor penulisan novel pula, yang diakui oleh Dewan Bahasa Pustaka sendiri.  Jelas sekali kedua-dua orang sarjana ini telah tersilap besar dalam kesimpulan mereka, oleh itu mereka layak diberi kesempatan untuk membetulkan kesilapan mereka tanpa perlu  memohon maaf kepada dunia akademik yang mereka sanjungi dan hormati supaya kredibiliti akademik mereka tidak terjejas!  Bagaimana dengan kedudukan Prof. Emeritus Ismail Hussein yang sanggup dan berani memohon maaf di atas kesilapannya?

Demikianlah, bertindak rasional itu memerlukan keberanian intelektual yang luar biasa, oleh itu tidak semua orang boleh melakukannya, walaupun semua orang boleh dan bangga membuat kesilapan yang kadang-kadang menjadi peragaan yang ditayang-tayang dengan megah.  Bunyinya lucu (kalau dalam bahasa retorik Pak Sako, bunyinya lucah!), tetapi itulah sebahagian yang menarik dalam dunia akademik kita.  Semuanya rasional mengikut faham masing-masing, dengan itu tiada ukuran baku yang boleh dipakai dan dijadikan landasan penilaian yang objektif. Itulah sebabnya Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas menggelarkan golongan ini kumpulan yang “cetek meraba-raba”. Tak mungkin persuratan Melayu akan maju jika pendapat dan pandangan kumpulan ini dijadikan panduan; sebaliknya yang akan terus subur ialah karya sastera yang terus hedonistik sifatnya dan terus tenggelam dalam ilusi sastera yang menyesatkan.  Sejauh mana para sasterawan negara telah melepaskan sastera Melayu daripada ilusi sastera ini? Kita hanya dapat memberikan jawapannya dengan tuntas, objektif dan tepat jika kita menggunakan kaedah yang betul, seperti yang disarankan dalam Gagasan Persuratan Baru. Itulah cabaran yang mesti dihadapi jika kita mahukan “kritikan yang rasional”.

Mohd. Affandi Hassan,
1 Disember 2012.



Monday, November 26, 2012

RESPON DARIPADA DR. MUHAMMAD SALEEH RAHAMAD: SATU CATATAN KECIL


Terima kasih tuan...Walaupun semua itu tidak benar sama sekali saya berbangga kerana masih diberi perhatian. Saya memang berhajat untuk menjemput tuan memberikan ceramah tentang sastera tetapi belum ada kesempatan. lama sebelum ini telah saya simpan hasrat itu. TIdak pernah saya menentang Persuratan baru walaupun saya tidak menolak pendekatan lain. saya meraikan semuanya. salam Ramadan, semoga terus sihat dan sejahtera.Mohon alamat emel tuan.. hantar kepada emel saya: maisarah43@hotmail.com..saya ada hasrat untuk menjemput tuan memberikan ceramah..tetapi bukan kerana tulisan tuan ini. Memang sejak dulu saya menyimpan hasrat ini.

Itulah respon Dr. Saleeh Rahamad.

Saya baru lihat respon Dr. Saleeh Rahamad hari ini, 26/11/2012 ketika saya melihat semula beberapa posting untuk diedit dan dimasukkan dalam dokumen yang sedang disiapkan. Posting itu bertarikh 16/5/2012.  Terima kasih di atas undangan yang belum disampaikan. Saya sudah banyak menulis tentang PB, lebih dari mencukupi untuk dibincangkan dengan kritis. Oleh itu, saya tidak perlu diundang memberi ceramah, kerana saya tidak akan menghadirinya untuk hanya mengucapkan kembali pendapat yang telah ditulis dalam beribu halaman dan telah pun diterbitkan di sana sini. Lebih baik diadakan saja pertemuan akademik atau ilmiah membincangkan persuratan Melayu, terutama dilihat dari perspektif PB. Jemput ahli akadmeik yang tidak bersetuju dengan PB, biarkan mereka memberi pandangan kritis mereka untuk dibincangkan dengan “cool”.  Jemput juga wakil dari Kementerian Pelajaran yang diberi tugas memilih karya untuk dijadikan teks supaya kita juga dapat bincang hasrat dan matlamat mereka dalam pendidikan sastera.  Saya diberitahu para guru tidak mahu PB kerana susah difahami oleh mereka, apatah lagi oleh murid-murid sekolah. Tetapi ini tidak bererti PB tidak relevan untuk dijadikan sebahagian daripada  subjek dalam pendidikan sastera. Saya kira PB dapat menghidupkan perbincangan dalam kelas sekiranya guru sastera lebih terbuka dan bersedia untuk mencuba cara baru mengnalisis dan menilai karya kreatif. Satu lagi perubahan besar yang dicetuskan oleh PB ialah mengenai konsep realisme, seperti yang dihuraikan dengan mendalam oleh Prof. Ungku Maimunah. Ini ada kaitannya dengan peranan Panel Anugerah Sastera Negara, yang menjadikan realisme sebagai dasar analisis dan penilaian karya. Adakah ini masih relevan? Perlu juga kita bincang, terutama sekali apabila ada di antara ahli Panel menyebut teori sastera Barat tidak sesuai dipakai untuk menilai karya sastera Melayu. Ini pun perlu dibincang, kerana kekeliruan yang terbit dari pendapat ini cukup mengelirukan orang yang memberi pendapat itu sendiri. Jadi peranan Panel Anugerah Sastera Negara perlu diteliti, sejauh mana Panel ini telah membantu kita menjadi lebih cerdik dan peka  terhadap sastera. Saya pun telah banyak menulis tentang perkara ini. Benarkah Panel Anugerah Sastera Negara telah gagal memberi arah yang betul  dalam perkembangan kritikan di Malaysia?  Nampaknya kita ambil mudah tentang aspek ini, lupa bahawa Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas telah mengkritik golongan sasterawan ini sebagai golongan yang “cetek meraba-raba”. Benarkah  kesimpulan ini dan adakah masih terpakai hingga kini? Persoalan ini penting kerana ini berkaitan rapat dengan peranan para sasterawan negara sebagai “pemikir” bangsa. Adakah para sasterawan negara ini golongan “pemikir”? Belum ada lagi takrif untuk istilah ini, yang nampaknya digunakan sewenang-wenang saja. Kalau kita selesaikan persoalan ini, tidak timbul lagi keraguan tentang para sasterawan dan ahli akademik sebagai golongan yang “cetek meraba-raba”.  Barangkali satu perkara penting yang cuba dielakkan oleh para sasterawan dan sarjana sastera ialah hakikat bahawa PB merupakan pendekatan baru yang merobah sama sekali persepsi kita terhadap apa yang dinamakan sastera dan karya sastera dengan menjadikan konsep ilmu yang benar sebagai asas dan pada waktu yang sama menjadikan konsep taklif sebagai panduan dalam penulisan dan  penilaian karya. Prof. Ungku Maimunah telah menulis tentang aspek ini dalam makalah beliau yang dibentangkan dalam seminar kritikan di UPSI September lepas. Ini yang nampaknya sukar difahami, walaupun perkaranya mudah saja. Adalah aneh, bagi saya, jika dikatakan PB sukar difahami, padahal orang yang sama begitu yakin dengan teori dan pendekatan Barat yang memang sukar dan banyak pula jenisnya.  Adakah ini penjelmaan daripada masalah sikap? Saya gembira apabila Dr. Saleeh Rahamad menunjukkan sikap terbuka beliau, yang wajar diikuti teman-teman yang lain.

Mohd. Affandi Hassan
26/11/2012.








Friday, November 23, 2012

PANDIRISME DALAM PENDIDIKAN SASTERA DAN PENILAIAN KREATIF


Pemilihan karya untuk pelajaran sastera di sekolah-sekolah Malaysia sudah acapkali dikritik oleh para penulis/sasterawan sendiri, tetapi tidak berkesan kerana ukuran yang diajukan dan penghujahan yang dikemukakan tidak konkrit, tidak berasaskan ukuran yang boleh dinilai dengan objektif ketepatannya. Oleh hal yang demikian, kesilapan dalam pemilihan karya terus berlaku, dan ini memberi kesan yang amat negatif dalam pelajaran sastera.  Karya yang tidak bermutu dan mempunyai nilai moral yang negatif dipilih kerana pihak yang membuat pilihan terlalu bergantung kepada penilaian yang dibuat oleh juri yang tidak cekap dalam sesuatu peraduan menulis. Walaupun para juri ini dari segi zahirnya seolah-olah mempunyai kewibawaan tertentu, tetapi kerana ukuran yang mereka gunakan itu kabur dan tidak konkrit, maka mereka seringkali membuat kesilapan dalam penilaian mereka. Penilaian yang salah dan tidak tepat ini dijadikan sandaran oleh pihak-pihak tertentu untuk membantu mereka melilih karya yang boleh dipakai dalam pelajaran sastera. Dalam tulisan ini saya akan kemukakan satu makalah mengenai masalah ini untuk perhatian pihak berkenaan. Moga-moga mereka terbuka untuk menerima pandangan yang agak kritis, sesuai dengan nilai-nilai murni yang menjadi panduan mereka sendiri ketika memilih karya untuk dijadikan teks.

Dalam makalah mereka, “Kelemahan Novel Jeriji Kasih Sebagai Teks Pendidikan Kesusasteraan Melayu: Satu Penilaian Berdasarkan Gagasan Persuratan Baru”, Muhammad Zarif Hassan dan Dr. Roselan Baki dari Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia,  dalam bahagian penutup tulisan mereka, menegaskan dengan kata-kata yang jelas dan tepat seperti yang berikut:  “Melalui analisis yang dilakukan, jelas kandungan novel Jeriji Kasih memaparkan paksi naratif dan ruang naratif yang dipenuhi dengan isian cerita yang berkisar pada soal akhlak yang negatif.  Dengan pemilihan paksi naratif yang sedemikian rupa, pemanipulasian alat penceritaan seperti watak dan perwatakan, plot serta insiden menjadikan hampir keseluruhan penceritaan novel Jeriji Kasih didasari oleh perkara yang tidak bermanfaat dan bertentangan sama sekali dengan nilai ilmu. Ternyata ruang naratif novel dipenuhi dengan penceritaan yang berlegar pada perihal kejahatan akhlak remaja yang dibentuk dari awal penceritaan sehingga ke akhir penceritaan novel.  Sehubungan itu, dakwaan Laporan (merujuk kepada sayembara Jubli Emas DBP 2007) dan Kementerian Pelajaran Malaysia yang menjelaskan bahawa novel ini mengandungi “penceritaan yang menarik” dan “ilmu” serta mampu menjadikan murid seorang insan yang berfikir tentang “kebaikan, kebenaran, dan kehalusan budi pekerti” sama sekali bertentangan dengan kandungan novel Jeriji Kasih.  Hal ini menandakan bahawa kualiti novel Jeriji Kasih sebagai teks pendidikan wajib Kesusasteraan Melayu sebenarnya masih boleh dipertikaikan dan penelitian yang lebih serius dan mendalam perlu dilakukan oleh pihak yang berwajib bagi menjaga kualiti pendidikan Kesusasteraan Melayu.”  Tulisan mereka boleh dicapai di sini  http://www.medc.com.my/medc/seminar_medc/fromCD/pdf/125.pdf

Pendapat yang dirumuskan dalam Penutup makalah ini penting kerana sebelum ini belum lagi ada kritikan secara akademik tentang pemilihan teks sastera dalam mata pelajaran Kesusasteraan Melayu, walaupun sudah umum diketahui banyak sekali kelemahannya.  Sebelum muncul Gagasan Persuratan Baru, alat analisis yang dipakai tidak berupaya menilai dengan kritis karya sastera yang dipilih.  Konsep-konsep lama dan usang yang sudah menjadi klise seperti plot, tema, perutusan, perwatakan, latar dan sebagainya terlalu umum dan boleh bermakna apa saja, sehingga sukar sekali untuk dijadikan ukuran yang tepat dalam membuat penilaian sesebuah karya kreatif.  Sebagai alat analisis, konsep-konsep itu keseluruhannya menekankan aspek cerita, padahal Kementerian Pelajaran sendiri telah sedar aspek ilmu juga amat penting dalam sesebuah karya kreatif. Bagaimana aspek ini boleh diserlahkan? Secara umum, konsep-konsep yang sudah klise tadi menyentuh juga aspek ilmu, tetapi secara sipi dan kurang tepat, malah seringkali menyeleweng, seperti yang dibuktikkan dalam analisis kertas ini. Tetapi dengan menggunakan teknik analisis yang dikenalpasti dalam Gagasan Persuratan Baru, terutama perbezaan antara wacana dan cerita, kita dapat melihat bagaimana pengarang yang cekap menggunakan wacana untuk menyerlahkan aspek ilmu dalam karya kreatifnya, dengan memberi keutamaan kepada wacana dan ilmu berbanding cerita. Lantas karya itu boleh dibaca dalam dua cara, iaitu dengan mod bacaan intelektual atau mod bacaan cerita. Apa yang terjadi selama ini ialah hanya mod bacaaan cerita saja yang digunakan, dengan memberi perhatian kepada perjalanan  cerita. Itulah yang terjadi dalam novel Jeriji Kasih. Keinginan untuk bercerita itu terlalu besar, sehingga pengarang tidak dapat membezakan sesuatu kebaikan dengan kejahatan yang disembunyikan dalam pengisahan cerita itu.

Dengan menggunakan kerangka analisis yang diberikan oleh Persuratan Baru, perbincangan tentang sesebuah novel akan menjadi lebih hidup dan lebih menarik. Dalam analisis ini, perkara utama yang ditekankan ialah aspek ilmu yang dilahirkan melalui wacana yang digunakan oleh pengarang; aspek cerita turun menjadi perkara kedua dalam konteks untuk menjadikan wacana itu tidak saja menarik tetapi juga mempunyai makna yang mendalam dari segi penonjolan unsur ilmu yang dibawanya. Yang dimaksudkan dengan unsur ilmu di sini bukanlah ilmu-ilmu seperti ilmu hisab, ilmu sejarah, ilmu alam, dan lain-lain disiplin ilmu yang biasa; tetapi sebaliknya penonjolan aspek kebijaksanaan dalam kehidupan manusia. Misalnya aspek akhlak negatif yang menjadi paksi naratif dalam novel Jeriji Kasih, apakah jenis kebijaksanaan yang akan diperolehi oleh murid-murid yang membaca novel itu jika kejahatan perilaku wataknya dijadikan keutamaan dalam  penceritaan novel ini? Jika tujuannya untuk menjadikan seseorang murid bersopan santun, berbudi pekerti mulia, mengapa watak yang biadab dijadikan model seperti dalam novel Jeriji Kasih? Di sinilah pentingnya unsur ilmu, kerana semua jenis kejahatan yang dipaparkan itu hanya dapat dinilai dengan objektif sekiranya pembaca novel diberi persediaan secukupnya untuk memahami tingkah laku jahat tadi yang dikontraskan dengan tingkah laku yang baik dan terpuji. Kesediaan seorang murid perempuan melaporkan kejahatan watak utama, sewajarnya dilindungi habis-habisan oleh para guru dan murid lain yang mengetahui perkara itu, kerana memberi perlindungan sedemikian adalah sebahagian daripada amanah dalam kehidupan, satu nilai yang amat terpuji. Dengan itu, watak jahat tadi tidak diberi pembelaan begitu rupa seperti yang diberikan oleh pengarang novel ini, untuk membolehkannya merogol murid perempuan berkenaan.  Perlukah babak perogolan Ruhaiza di halaman 204-205 itu diberi tempat dalam novel yang dikatakan ingin mendidik murid-murid sekolah menjadi bersopan dan berperangai baik?

Jika kita dapat terima analisis dalam makalah itu sebagai tepat, apakah tindakan yang boleh kita ambil terhadap novel Jeriji Kasih? Sebenarnya tidak ada apa-apa tindakan diperlukan. Sudah diterima umum, apa juga penilaian yang dibuat, sifatnya adalah subjektif, oleh itu boleh apa saja.  Lagi pula, novel ini telah diperakukan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia berasaskan pilihan juri yang berwibawa dalam peraduan menulis anjuran DBP itu. Tidak mungkin juri melakukan kesalahan, kerana kedudukan mereka sebagai penilai tidak boleh dan tidak sepatutnya dicabar. Lagi pula keputusan adalah muktamad, tidak boleh diungkit. Tetapi persoalan paling penting di sini ialah: bolehkah Gagasan Persuratan Baru dipercayai dapat memberi penilaian yang tepat dan objektif?  Akhirnya yang dipersoalkan bukan kualiti novel tadi, tetapi kedudukan Gagasan Persuratan Baru dalam kritikan sastera Malaysia. Adalah lebih mudah untuk membela novel Jeriji Kasih daripada mempertahankan kewibawaan Gagasan Persuratan Baru yang tidak pun dikenali oleh guru-guru sastera, dan tidak pula diterima oleh ahli akademik dan pengkritik sastera sendiri.

Apakah yang boleh kita belajar dari sini? Saya telah menyatakan dalam beberapa tulisan saya bahawa feudalisme akademik di Malaysia sudah diterima sebagai aliran arus perdana yang mesti dipertahankan dan terus diamalkan oleh ahli-ahli akademik kerana asasnya ialah teori Barat yang memang sudah established.  Tidak saja penulis novel Jeriji Kasih tidak rela novelnya dinilai berasaskan Persuratan Baru; malah para sasterawan negara sendiri pun tidak mahu, dan membantah keras, jika karya mereka dinilai dari perspektif Gagasan Persuratan Baru.  Satu-satunya organisasi yang boleh diharapkan ialah PENA, yang akan memulai satu projek memperkenalkan sastera kepada murid-murid sekolah dengan melawat sekolah-sekolah pilihan untuk menjinakkan mereka kepada sastera. Bolehkah kita mengharapkan PENA membawa kes novel Jeriji Kasih ini kepada para guru dan Kementerian Pelajaran? Tidak juga. PENA mempunyai agenda mereka sendiri yang tidak berkaitan dengan mutu karya yang dipakai di sekolah-sekolah, yang dipilih sendiri oleh Kementerian Pelajaran. Siapa PENA untuk mempersoalkan kualiti teks yang dipilih oleh Kementerian Pelajaran? Demikianlah realiti yang ada sekarang. Oleh itu cengkaman budaya pandirisme akan berterusan dan terus menjadi aliran perdana dalam pengajaran dan pendidikan sastera di Malaysia. Demikian juga kehadiran karya picisan yang tidak bermutu akan diteruskan dengan sokongan badan-badan penulis, para sasterawan dan ahli akademik serta pengkritik sastera. Masing-masing mempunyai kepentingan tersendiri yang perlu diteruskan dengan persetujuan Kementerian Pelajaran sendiri.  Oleh itu amat wajar mereka tidak bercakap tentang kepentingan sastera dan tentang kualiti karya yang dijadikan teks. Mereka tidak mempunyai maruah dan harga diri untuk melakukannya.

Mohd. Affandi Hassan,
23/11/2012.





Monday, November 19, 2012

CENGKAMAN PENGARUH BUDAYA PANDIRISME KE ATAS KESUSASTERAAN MELAYU MODEN


Posting bertarikh 1/11/2012 dan 15/11/2012 membuktikan betapa kuatnya cengkaman budaya pandirisme dalam kesusasteraan Melayu, khususnya dalam bidang akademik dan kritikan sastera.  Sejauh mana pengaruh cengkaman budaya pandirisme itu bertapak dalam kritikan sastera Malaysia? Barangkali pertanyaan ini boleh digunakan untuk membaca sebuah buku terbaru terbitan Dewan Bahasan Pustaka, Pemikiran Sasterawan Negara Shahnon Ahmad (2012, jumlah halaman 529+ prakata dan pengenalan oleh Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh mulai hal. ix-xxiii).  Buku ini penting kerana pengenalannya diberikan oleh seorang tokoh akademik yang telah dianugerahkan gelaran Tokoh Akademik Negara, di samping gelaran Sasterawan Negara. Pengenalan beliau menjadi sangat bermakna jika dilihat dari beberapa saranan besar beliau tentang mutu akademik dalam kritikan sastera dan juga di kalangan para sarjana. Saya telah mengulas perkara ini agak panjang dalam tulisan saya yang dimuat dalam Kedudukan Ilmu Dalam Kesusasteraan: Teori dan Praktik (UKM, 2010; diselegaggarakan oleh Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir). Untuk pengetahuan pembaca yang tidak membaca buku itu, saya akan ulang pendapat Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh yang perlu diberi perhatian serius untuk kemajuan akademik dalam kritikan sastera Malaysia.

Dalam pengenalannya kepada buku tentang Shahnon Ahmad itu, Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh hanya bercerita tentang “keunggulan” sasterawan itu, tetapi tidak memberikan pandangan kritis beliau berasaskan analisis dan penilaian yang konkrit, bukan hanya meluahkan semula pendapat penulis kertas kerja yang ramai itu. Sekarang kita lihat apa yang “cuba diingini” (frasa ini sumbang, tetapi sesuai sebagai  gaya retorik) oleh beliau, tetapi tidak mungkin terlaksana kerana keterbatasan beliau sendiri sebagai seorang ahli akademik yang bukan luar biasa seperti misalnya seorang Sutan Takdir Ali Sjahbana, atau kerana beliau begitu terbelenggu dengan klise yang kini dijadikan pendapat arus perdana dalam kritikan sastera Melayu, dengan naungan dan sokongan Panel Anugerah Sastera Negara, yang Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh dan Prof. Emeritus Shahnon Ahmad sendiri sudah berkali-kali menjadi anggotanya.  Kedua-dua mereka bukanlah tokoh akademik luar biasa seperti luar biasanya Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas sebagai mahaguru dan seorang ahli akademik yang teliti dan amat perceptive, yang meletakkan standard yang tinggi dalam bidang akademik untuk dirinya dan para murid beliau (lihat sebagai contoh buku Adab dan Peradaban: Karya Peng’tirafan untuk Syed Muhammad Naquib al-Attas, 2012).  Tetapi kedua-duanya amat popular sebagai tokoh popular, bukan sebagai tokoh yang benar-benar tokoh seperti seorang Sutan Takdir Ali Sjahbana atau Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas.  Maka itulah buku terbaru tentang Shahnon Ahmad ini ditulis secara popular dalam bentuk cerita akademik, sesuai dengan corak kritikan cerita yang amat popular di kalangan ahli akademik Malaysia, tetapi tetap cerita kerana kekeringan analisis yang mendalam yang akan benar-benar menonjolkan ketokohan beliau seperti yang berlaku terhadap Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam buku yang disebutkan itu. 

Prof. Dr. Muhamad Salleh yang menulis pengenalan kepada buku Shahnon Ahmad ini nampaknya telah mengkhianati hasrat hati beliau sendiri yang diucapkannya dalam satu pertemuan penting yang membicarakan kritikan sastera Nusantara. Antara lain kata beliau: “... [S]udah puluhan tahun kita menggunakan teori yang muncul di Barat untuk menilai diri kita yang bukan Barat, sebaliknya dibentuk oleh bahasa Melayu dengan wataknya yang khusus pula. Jadi kita sudah lama melakukan kesalahan dalam menilai karya kita, kadang-kadang termasuk saya sendiri”. (Dalam Teori dan Kritikan Sastera Melayu Serantau (DBP, 2005); dalam ucap utama beliau yang panjang).  Kalau sudah sedar menggunakan teori Barat itu satu kesalahan, mengapa diteruskan dengan leluasa dalam membicarakan karya Shahnon Ahmad, dengan direstui oleh Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh sendiri? Tidak sepatah pun disebut ole Tokoh Akademik Negara ini mengenai perkara ini, dengan itu kita dapat membuat kesimpulan mudah bahawa beliau hanya melontarkan saja pendpat itu, tetapi tidak mempercayainya.  Dia tahu, tanpa teori Barat karya beliau sendiri tidak dapat dibicarakan dengan megah, seperti yang kita lihat dalam buku tentang beliau, Critical Perspectives on Muhammad Haji Salleh (ed. Zawiah Yahya, DBP 2003). Apakah maksud dan matlamat Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh mengucapkan ucapan keprofesorannya yang bersemangat itu? Hanya untuk bermuka-muka, kononnya dia cukup sedar akan “masalah” yang sebenarnya bukan masalah, tetapi menjadi masalah baginya kerana dia telah “mengadakan” satu macam “teori” sastera yang dinamakannya “Puitika Sastera Melayu”, yang diucapkannya dalam syarahan perdana, sebagai satu sumbangan besar dalam bidang keilmuan sastera, tetapi tidak dipedulikan oleh ahli akademik sendiri dan tidak digunakan dalam sebarang kajian sastera. Dalam syarahan perdana itu pun dia hanya bercerita tentang sastera Melayu lama, kayak  seorang penglipur lara sesuai dengan pengakuannya sendiri bahawa dia di dalam syarahan itu bersimpuh di depan tokoh “besar” (?) penglipur lara yang bernama Pak Mahmud Awang Batil dari Negeri Indera Kayangan!  Saya tekankan perkara ini di sini kerana pengenalan yang dibuat oleh Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh itu amat mengecewakan, padahal dia telah diberi peluang yang begitu baik dan luas terbuka untuk memperincikan pendapatnya yang saya kutip tadi.  Biarlah kita peringatkan beliau bahawa penggunaan teori Barat dalam sastera Melayu tidak dapat dielakkan, tidak ada pilihan kecuali jika beliau mahu menggunakan Gagasan Persuratan Baru, satu-satunya gagasan dalam kritikan sastera Melayu yang boleh dipanggil sebuah “teori”.  Beliau juga diberi kesempatan untuk menyebut Persuratan Baru sebagai seorang sarjana yang bergelar Tokoh Akademik Negara yang mentereng itu, tetapi sebaliknya dia memperlihatkan sikap selekeh dari segi akademik dengan maksud untuk memperlekehkan Persuratan Baru dengan menyamakan Persuratan Baru dengan Persuratan Melayu, sama seperti yang dilakukan oleh Panel Anugerah Sastera Negara dalam Laporan 2003.

Dengan hanya memilih untuk bercerita, meluahkan kembali secara ringkas kertas kerja tertentu, maka kritikan sastera Malaysia tidak dapat melonjakkan dirinya daripada cengkaman  budaya pandirisme yang selesa berada di bawah bayangan teori Barat, walaupun sang profesor mengatakan perbuatan itu satu kesalahan yang wajar diperbetulkan. Profesor ini amat jelas  memberi pandangan yang tidak diyakininya. Nampaknya semua penulis kertas kerja menempelak beliau kerana tidak seorang pun daripada mereka memperdulikan amaran beliau supaya meninggalkan teori Barat kerana “kita yang dibentuk oleh bahasa Melayu  dengan wataknya yang khusus”  itu tidak wajar menggunakan teori Barat “untuk menilai diri kita yang bukan Barat.”  Dari satu segi, pandangan Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh ada benarnya, kerana dalam buku ini jelas sekali teori Barat telah gagal menyerlahkan kehebatan Shahnon Ahmad sebagai pemikir dan penulis karya kreatif. Walaupun di sana sini diperlihatkan bagaimana hebatnya Shahnon Ahmad “menulis” tentang berbagai aspek kehidupan orang Melayu, tetapi yang dipilih oleh beliau bukanlah kumpulan yang membentuk dan membina tamadun Melayu, sebaliknya segelintir watak biasa yang dikuasai hawa nafsu dan amat cetek pula perwatakannya digambarkan oleh pengarang ini.  Apakah sebenarnya yang dicari oleh sasterawan ini? Melalui karyanya, sangat jelas kegemarannya kepada sensasi dan persoalan seks, kerana menurut beliau (secara jujur, mungkin) aspek seks itu menjadi bumbu penting dalam penulisan kreatif (lihat Dewan Sastera, Oktober 1997).  Antara lain kata Shahnon Ahmad:  “... [U]nsur-unsur lucah itu perlu wujud kerana itulah realiti pun, ... hanya dijadikan semacam umpan dalam babak-babak kehidupan kini yang sememangnya serba lucah ...” (hal. 40).  Dengan sikap itu, Shahnon Ahmad tidak segan-segan lagi menjadikan unsur seks sebagai antara unsur utama dalam karyanya dari dahulu hingga kini (contoh terbaik ialah TIVI yang dengan tidak bertanggungjawab dilontar olehnya sebagai ‘karya berunsur Islam yang mithali’ (Dewan Sastera, Oktober 1997, “Shahnon Ahmad dan TIVI”). Tidak seorang pun penulis kertas kerja cuba menganalisis persoalan ini, terutama sekali mengapa Shahnon Ahmad mengambil pendirian itu.

Pada hemat saya, inilah bukti bahawa Shahnon Ahmad pada dasarnya seorang novelis Barat yang menulis dalam bahasa Melayu. Konsep sasteranya adalah konsep sastera yang difahami di Barat. Walaupun beliau dikatakan pernah membincangkan tentang sastera Islam, tetapi dalam karyanya tentang Islam itu lebih sarat dengan babak-babak seks, tidak langsung membicarakan persoalan Islam secara mendalam. Aspek ini sebenarnya menarik untuk diperkembangkan dalam “teori sastera Islam” bikinan Shahnon Ahmad, kerana peranan seks dalam agama Hindu, sebagai perbandingan, muncul dengan mewah dalam arca dan candi yang khusus memperaga kemewahan seks dengan aneka ragam aksinya  dalam kehidupan manusia. Jika Shahnon Ahmad meneruskan usahanya dalam “teori sastera seks Islam”, maka kita akan mendapat satu bentuk pemikiran yang mungkin original dan berani, yang menjadikan karya lucah beliau, TIVI, sebagai kemuncak karya Islam versi Shahnon Ahmad yang menurutnya berunsur sufistik dan layak diletakkan sebagai “karya Islam mithali” (lihat penegasan beliau dalam Dewan Sastera, Oktober 1997). Memang itulah sifat dan ciri karya Shahnon Ahmad, iaitu menyentuh secara popular dan ringan segala persoalan masyarakat yang dilihatnya dalam akhbar dan TV untuk dijadikan bahan novel dan cerita pendeknya dengan menjadikan unsur seks sebagai unsur penting. Kerana itu karyanya tidak membicarakan sesuatu persoalan secara mendalam, tetapi hanya menyentuh sipi-sipi sekadar untuk menunjukkan beliau kononnya prihatin kepada persoalan itu. Boleh dikatakan semua penulis kertas kerja, dan terutama sekali Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh, terpedaya dengan cara Shahnon Ahmad ini, oleh itu mereka dengan ghairah mengisytiharkan bahawa Shahnon Ahmad adalah “pemikir” yang handalan, padahal tidak sebuah pun novelnya yang ditulis dan diterbitkan, membentangkan dengan meyakinkan sesuatu persoalan dalam konteks pemikiran seperti yang dimaksudkan dalam karya-karya Iqbal, malah dalam karya-karya Sutan Takdir Ali Sjahbana sekalipun.  Sebagai perbandingan, tentang unsur seks ini, kita lihat pendapat Oakley Hall, seorang novelis yang juga seorang pensyarah kreatif di University of California at Irvine, dalam bukunya yang ditulis khas untuk rujukan para pelajarnya, The Art & Craft of Novel Writing, 1973), yang menyediakan satu bab khusus, bab yang diberi tajuk, “Information and Sex” (hal. 128-138). Kata beliau: “[Sex] has become almost one of the components of the novel, like plot, character, and setting; indeed sex is inextricable from both plot and character. Plot turns on sexual tensions, and sex is a useful method of presenting character” (hal. 133). Itulah pada hakikatnya pendapat Shahnon Ahmad sendiri ketika mempertahankan TIVI, sebuah novel yang sarat dengan adegan seks dan diberi status sebagai sebuah karya mithali dalam genre sastera Islam versi beliau!.  Pendeknya, seperti yang ditunjukkan dalam kertas kerja dalam buku ini, setiap buah novel Shahnon Ahmad menjadikan seks sebagai paksi naratif yang memenuhi ruang naratif cerita sensasi yang dihidangnya. Baik novel politik mahu pun novel agama, paksi naratifnya adalah unsur seks, kerana menurut Shahnon Ahmad seks dan kelucahan adalah realiti masyarakat yang perlu dijadikan tema karya kreatif yang “bermutu”!

Siapakah Shahnon Ahmad sebenarnya? Soalan ini penting apabila dikaitkan dengan kesimpulan Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam syarahan pengukuhan beliau (1972), yang mengkritik para sasterawan sebagai golongan pinggiran yang tidak mendalam pengetahuannya tentang tradisi dan budaya Melayu dan cetek pula pengetahuannya tentang tamadun Barat yang menjadi tempat pergantungannya, oleh itu para sasterawan ini adalah kumpulan yang “cetek meraba-raba”. Adakah Shahnon Ahmad termasuk ke dalam golongan ini? Jika tidak, mengapa beliau dikecualikan?  Soalan ini penting diberi jawapan dan penjelasan untuk memastikan kedudukan Shahnon Ahmad sebagai “pemikir” itu bukan sesuatu yang diada-adakan, sesuatu yang pada hakikatnya bertentangan dengan kenyataan.  Tidak sebuah pun daripada tulisan yang terdapat dalam buku ini cuba memberi jawapan kepada persoalan ini, malah bagi mereka ini tidak penting, dengan alasan Panel Anugerah Sastera Negara telah menerima beliau sebagai seorang tokoh yang layak menerima gelaran sasterawan negara. Tetapi jawapan kepada soalan itu amat penting kerana dari jawapan itulah kita dapat membuktikan kedudukan Shahnon Ahmad sebagai “pemikir”.  Perkara ini menjadi lebih penting lagi apabila dikatakan beliau seorang “pelopor” dalam penulisan novel yang bercorak politik.  Apakah pemikiran politik beliau? Ada usaha untuk menunjukkan beliau seorang sasterawan yang telah mentakrifkan dengan mendalam unsur kepemimpinan dalam politik Melayu. Tetapi tidak ada pun sebarang bukti dikemukakan dalam mana-mana tulisan mengenai beliau, meskipun kita diperlihatkan rangkain gambar rajah yang bersimpang siur dalam tulisan seorang pakar Shahnon Ahmad, untuk kononnya membuktikan Shahnon Ahmad seorang pemikir yang unggul dalam aspek kepemimpinan politik Melayu ini.

Kesan saya sendiri adalah berbeza. Semua rajah dan gambar yang bersimpang siur itu hanya menceritakan betapa kelam-kabutnya penulis yang cuba menaikkan taraf Shahnon Ahmad sebagai pemikir politik.  Saya rujuk di sini tulisan Prof. Emeritus Yusof Hasan yang sudah diterima sebagai pakar ulung tentang pemikiran Shahnon Ahmad.  Dalam novelnya yang dikatakan bercorak politik itu, kita tidak mendapat apa-apa imbasan tentang falsafah politik Shahnon Ahmad. Kita hanya mendapat cerita mengenai kononnya para pemimpin politik yang korup, tamak, penipu dan sebagainya. Persoalan paling penting di sini ialah, dalam sistem apa orang-orang ini beroperasi? Adakah sistem itu bikinan baru atau lanjutan daripada sistem lama? Apabila kita bertanyakan soalan-soalan ini, kita ingin mendapat jawapan kepada satu soalan penting: Mengapa orang Melayu mendapat pemimpin seperti yang mereka dapat sekarang? Apakah pengaruh yang menjadi sumber lahirnya para pemimpin yang korup dan sebagainya itu? Adakah mereka terpengaruh dengan Dua Mitos Agung dalam politik Melayu?  Semua ini tidak diberikan dalam mana-mana novel Shahnon Ahmad yang dikatakan menjadi pelopor novel politik Melayu itu. Semua ini mengarah ke arah pemitosan belaka, tidak diasaskan kepada analisis mendalam dengan cukup pembuktian. “Analisis” yang pada umumnya cetek seperti yang diberikan dalam beberapa kertas kerja tidak boleh diterima sebagai hujah, kerana di situ memang tidak ada hujah kecuali cerita tentang kehebatan Shahnon Ahmad. Dengan itu, adalah lebih wajar dan lebih tepat untuk kita membuat kesimpulan bahawa Shahnon Ahmad bukanlah seorang pemikir, tetapi hanya seorang pencatat biasa seperti seorang wartawan yang membuat catatan tentang peristiwa yang berlaku. Itulah sifat karya sasterawan ini, dan ini membuktikan betapa tepatnya pemerhatian Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam syarahan pengkukuhan beliau itu.

Mohd. Affandi Hassan,
19/11/2012.