Monday, November 26, 2012

RESPON DARIPADA DR. MUHAMMAD SALEEH RAHAMAD: SATU CATATAN KECIL


Terima kasih tuan...Walaupun semua itu tidak benar sama sekali saya berbangga kerana masih diberi perhatian. Saya memang berhajat untuk menjemput tuan memberikan ceramah tentang sastera tetapi belum ada kesempatan. lama sebelum ini telah saya simpan hasrat itu. TIdak pernah saya menentang Persuratan baru walaupun saya tidak menolak pendekatan lain. saya meraikan semuanya. salam Ramadan, semoga terus sihat dan sejahtera.Mohon alamat emel tuan.. hantar kepada emel saya: maisarah43@hotmail.com..saya ada hasrat untuk menjemput tuan memberikan ceramah..tetapi bukan kerana tulisan tuan ini. Memang sejak dulu saya menyimpan hasrat ini.

Itulah respon Dr. Saleeh Rahamad.

Saya baru lihat respon Dr. Saleeh Rahamad hari ini, 26/11/2012 ketika saya melihat semula beberapa posting untuk diedit dan dimasukkan dalam dokumen yang sedang disiapkan. Posting itu bertarikh 16/5/2012.  Terima kasih di atas undangan yang belum disampaikan. Saya sudah banyak menulis tentang PB, lebih dari mencukupi untuk dibincangkan dengan kritis. Oleh itu, saya tidak perlu diundang memberi ceramah, kerana saya tidak akan menghadirinya untuk hanya mengucapkan kembali pendapat yang telah ditulis dalam beribu halaman dan telah pun diterbitkan di sana sini. Lebih baik diadakan saja pertemuan akademik atau ilmiah membincangkan persuratan Melayu, terutama dilihat dari perspektif PB. Jemput ahli akadmeik yang tidak bersetuju dengan PB, biarkan mereka memberi pandangan kritis mereka untuk dibincangkan dengan “cool”.  Jemput juga wakil dari Kementerian Pelajaran yang diberi tugas memilih karya untuk dijadikan teks supaya kita juga dapat bincang hasrat dan matlamat mereka dalam pendidikan sastera.  Saya diberitahu para guru tidak mahu PB kerana susah difahami oleh mereka, apatah lagi oleh murid-murid sekolah. Tetapi ini tidak bererti PB tidak relevan untuk dijadikan sebahagian daripada  subjek dalam pendidikan sastera. Saya kira PB dapat menghidupkan perbincangan dalam kelas sekiranya guru sastera lebih terbuka dan bersedia untuk mencuba cara baru mengnalisis dan menilai karya kreatif. Satu lagi perubahan besar yang dicetuskan oleh PB ialah mengenai konsep realisme, seperti yang dihuraikan dengan mendalam oleh Prof. Ungku Maimunah. Ini ada kaitannya dengan peranan Panel Anugerah Sastera Negara, yang menjadikan realisme sebagai dasar analisis dan penilaian karya. Adakah ini masih relevan? Perlu juga kita bincang, terutama sekali apabila ada di antara ahli Panel menyebut teori sastera Barat tidak sesuai dipakai untuk menilai karya sastera Melayu. Ini pun perlu dibincang, kerana kekeliruan yang terbit dari pendapat ini cukup mengelirukan orang yang memberi pendapat itu sendiri. Jadi peranan Panel Anugerah Sastera Negara perlu diteliti, sejauh mana Panel ini telah membantu kita menjadi lebih cerdik dan peka  terhadap sastera. Saya pun telah banyak menulis tentang perkara ini. Benarkah Panel Anugerah Sastera Negara telah gagal memberi arah yang betul  dalam perkembangan kritikan di Malaysia?  Nampaknya kita ambil mudah tentang aspek ini, lupa bahawa Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas telah mengkritik golongan sasterawan ini sebagai golongan yang “cetek meraba-raba”. Benarkah  kesimpulan ini dan adakah masih terpakai hingga kini? Persoalan ini penting kerana ini berkaitan rapat dengan peranan para sasterawan negara sebagai “pemikir” bangsa. Adakah para sasterawan negara ini golongan “pemikir”? Belum ada lagi takrif untuk istilah ini, yang nampaknya digunakan sewenang-wenang saja. Kalau kita selesaikan persoalan ini, tidak timbul lagi keraguan tentang para sasterawan dan ahli akademik sebagai golongan yang “cetek meraba-raba”.  Barangkali satu perkara penting yang cuba dielakkan oleh para sasterawan dan sarjana sastera ialah hakikat bahawa PB merupakan pendekatan baru yang merobah sama sekali persepsi kita terhadap apa yang dinamakan sastera dan karya sastera dengan menjadikan konsep ilmu yang benar sebagai asas dan pada waktu yang sama menjadikan konsep taklif sebagai panduan dalam penulisan dan  penilaian karya. Prof. Ungku Maimunah telah menulis tentang aspek ini dalam makalah beliau yang dibentangkan dalam seminar kritikan di UPSI September lepas. Ini yang nampaknya sukar difahami, walaupun perkaranya mudah saja. Adalah aneh, bagi saya, jika dikatakan PB sukar difahami, padahal orang yang sama begitu yakin dengan teori dan pendekatan Barat yang memang sukar dan banyak pula jenisnya.  Adakah ini penjelmaan daripada masalah sikap? Saya gembira apabila Dr. Saleeh Rahamad menunjukkan sikap terbuka beliau, yang wajar diikuti teman-teman yang lain.

Mohd. Affandi Hassan
26/11/2012.








3 comments:

  1. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum, Tuan Haji Mohd Affandi Hassan.

    Adalah tidak wajar untuk menolak secara semberono sesebuah pemikiran atas faktor khabar angin.Saya mengambil diri saya sebagai contoh. Pada awal pembabitan saya dalam lapangan kesusasteraan, terdapat tulisan penulis tersohor yang mendalam isi karyanya tetapi tidak saya baca kerana mendengar khabar angin yang tidak baik mengenai penulis dan karya itu. (Satu kebodohan dan kesalahan lampau saya sebagai pembaca).

    Hal yang sama berlaku kepada PB. Kebanyakan masyarakat sastera lebih gemar mendengar cakap-cakap orang mengenai PB berbanding menelaah sendiri PB dengan akal sendiri. Namun, sekiranya segelintir pihak (penulis kreatif/ilmiah) itu menganalisis PB sekalipun, akan ada pula ujian terhadap diri iaitu untuk membuang kebiasaan yang telah diaplikasikan ke dalam karya yang bertentangan dengan teras PB (Islam), yang barangkali dianggap oleh mereka sebagai satu kekangan untuk memanipulasi dunia 'kreatif' yang sudah sebati dalam diri dan tulisan sebelum ini.

    Sekadar pandangan kecil daripada saya. Mohon pencerahan jika ada kelompangan pada pandangan ini. Terima kasih atas perkongsian ilmu.

    Wallahu'alam

    ReplyDelete
  3. Salam Wardah Munirah.

    Sepatutnya apa yang anda sebut tidak berlaku jika sastera itu benar-benar mengandungi nilai-nilai murni seperti yang disebut dan ditegaskan oleh para sasterawan dan sarjana. Sepatutnya tidak juga berlaku jika para sasterawan dan sarjana adalah golongan pemikir yang jujur, seperti yang didakwa mereka sendiri. Apakah yang mendorong terjadinya hal yang anda sebutkan itu? Itulah yang perlu kita tahu, kerana faktor pendorong inilah yang menjadi penghalang kepada kemajuan sebenar dalam persuratan Melayu. Ada sesiapa yang boleh membantu kita memahami masalah yang disebut oleh Wardah Munirah ini?

    Terima kasih Wardah kerana memberi maklumat yang berguna.

    Mohd. Affandi Hassan

    ReplyDelete