Thursday, November 1, 2012

SEKITAR KONSEP TEORI DALAM BUDAYA PANDIRISME


Pandangan saya tentang teksdealisme menimbulkan sedikit (atau banyak?) bantahan, tidak pasti sama ada daripada para penyokong Dr. Mana Sikana aka Dr.  Abdul Rahman Napiah atau daripada sarjana yang terkena cili kritikan.  Perkara yang ditimbulkan itu ialah: Sekiranya analisis dan kesimpulan Mohd. Affandi Hassan tentang konsep teori  (sebenarnya saya tidak pun bercakap tentang konsep “teori”, hanya meminta para sarjana menjelaskan apa yang mereka maksudkan dengan istilah “teori”), khususnya tentang teksdealisme, maka bagaimanakah kedudukan tesis sarjana dan kedoktoran, juga latihan ilmiah yang telah ditulis dan diluluskan dengan menggunakan “teori” teksdealisme, adakah palsu juga, atau sekurang-kurangnya tidak mencerminkan persoalan sebenarnya kerana telah ditutup dengan “teori” teksdealisme? Kalau ini dianggap satu masalah, maka masalah itu tidak seharusnya ditujukan kepada saya untuk diselesaikan. Saya hanya memberi pendapat saya, yang boleh saja ditolak (dengan itu masalah yang ditimbulkan itu terhapus dengan sendirinya), atau diterima dan diberi pertimbangan akademik. Walaupun diterima untuk dibincangkan, jika mahu, tetapi itu tidak bermakna dipersetujui, sepenuhnya atau separuh atau lebih kecil dari itu. Jadi sebenarnya masalahnya bukan di situ. Masalahnya ialah istilah “teori”, sama ada digunakan dengan betul mengikut standard antarabangsa  (mesti antarabangsa kerana semua sarjana sastera Malaysia  bertaraf antarabangsa), atau terdapat kesewenangan dalam penggunaan istilah itu. Inilah perkara yang saya cuba ketengahkan, kerana jika kita tidak jelas, ertinya keliru, dalam memahami kedudukan “teori” dalam pemikiran yang berciri dan bertaraf akademik dan dalam praktik yang dipakai di kalangan ahli akademik antarabangsa, maka kita akan mudah, dengan sewenang-wenangnya, menggunakan istilah itu tidak pada tempatnya. Contohnya saya huraikan dalam tulisan berkenaan.  Yang diminta itu mudah saja, yang sukar ialah untuk menjawabnya dengan pasti. Menurut hemat  saya, penggunaan istilah “teori” itu mestilah mengikut piawaian antarabangsa. Yakni berasaskan standard atau ukuran yang diterima di kalangan ahli akademik yang menggunakan istilah itu. Ini penting, untuk menghalang kita daripada hanyut dalam khayalan kononnya kita sudah punya macam-macam “teori” sastera, padahal hanya sejenis omongan, sejenis idle talk saja.  Padahal semuanya itu, menurut Harry G. Frankfurt dalam bukunya, On Bullshit, tidak lebih daripada sejenis bullshit saja.

Katalah teksdealisme bukan sebuah “teori” (tetapi something else!), maka adakah latihan ilmiah, tesis sarjana dan kedoktoran yang ditulis berdasarkan teksdealisme terbatal dengan sendirinya?  Tidak semudah itu, kerana pihak institusi dan sarjana yang menyelia kerja-kerja akademik itulah yang akan menentukan keputusan yang bagaimana yang mereka akan ambil. Mungkin dibiarkan begitu saja, yakni dianggap sah. Atau lebih baik lagi, teksdealisme dinaikkan taraf menjadi sebuah “teori”. Ini tidak menimbulkan masalah, kerana sebaik saja teksdealisme dijadikan asas penulisan tesis, sudah jelas memang terdapat pengesahan daripada universiti dan para sarjana bahawa teksdealisme adalah sebuah “teori” sastera yang unggul.  Adakah ini bererti analisis saya terbatal dengan sendirinya?  Tidak juga. Analisis itu masih utuh sehingga dibuktikan sebaliknya. Di sinilah akan terjadi pertempuran akademik yang sengit antara kumpulan Dr. Mana Sikana dan pengkritiknya. Tetapi semua ini hanya andaian, kerana besar kemungkinan Dr. Mana Sikana tidak akan menurunkan darjat akademiknya untuk menyanggah kritikan terhadapnya, seperti yang terjadi kepada Skinner yang dikritik hebat oleh Chomsky, atau seperti yang dicontohkan oleh guru Dr. Mana Sikana sendiri, Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh yang tidak memberi perhatian sedikitpun terhadap sanggahan Mohd. Affandi Hassan terhadap syarahan perdananya. Hanya kira-kira sepuluh tahun kemudian barulah muncul murid (atau pengikut) Skinner membela gurunya. Agak lewat, kerana Chomsky telah membuktikan kehebatannya sebagai seorang sarjana yang berwibawa, walaupun Skinner mengatakan beliau “a nobody” yang tidak perlu dilayan.  Lebih baik jika Dr. Mana Sikana membiarkan murid beliau atau para pengikut beliau yang akan mengemukakan sanggahan, kerana sekarang kita boleh menilai dengan objektif guru dan muridnya dari segi kehebatan akademik mereka. Sekiranya Dr. Mana Sikana silap sekali pun, tetapi jika muridnya atau pengikutnya memperlihatkan ketangkasan berfikir dan berhujah tentang  persoalan akademik (bukan lagi persoalan ilmu, satu hal lain pula) yang ditutup atau didedah dalam “teori” teksdealisme itu, maka jelaslah teksdealisme boleh dipertahankan dari segi akademik, walaupun tidak dari segi ilmu.  (Ini anda kena faham betul-betul supaya tidak keliru.)  Cuma di sini timbul persoalan: adakah teksdealisme begitu kukuh kedudukannya dalam bidang akademik, sehingga boleh memaksa  konsep “teori” itu ditakrifkan daripada perspektif teksdealisme; atau sebaliknya konsep “teori” itu begitu lekeh sekali difahami oleh para ahli akademik dalam bidang sastera di Malaysia  sehingga hasil “pemikiran” yang foni pun boleh dan sanggup dipertahankan semata-mata untuk melindungi kepentingan akademik yang boleh dicurigai kualiti akademiknya. 

Mohd. Affandi Hassan
1 November 2012.

No comments:

Post a Comment