Kira-kira 18
tahun dahulu, Dewan Bahasa dan Pustaka mengadakan seminar Nadwah Ketakwaan Melalui
Kreativiti, membentang 10 kertas kerja tentang sastera Islam (termasuk satu
yang tidak berkaitan dengan sastera Islam tetapi memakai judul kertas sastera
Islam). Pada 28-29 September 2012 baru lepas, Universiti Perguruan Sultan Idris
mengadakan Seminar Teori dan Kritikan Sastera Malaysia, mengemukakan 12 kertas
kerja (dalam Prosiding terdapat 11
buah kertas kerja sahaja, kertas kerja Prof. Ungku Maimunah tentang PB tidak
sempat dicetak). Seminar UPSI tidak
mengkhususkan kepada sastera Islam, tetapi semua kertas kerja menuju ke arah
itu. Apakah kemajuan yang telah dicapai yang dapat kita lihat? Dari segi tajuk yang
dibincangkan, terdapat kemajuan dengan adanya tambahan tajuk-tajuk tertentu;
tetapi dari segi penggunaan istilah “teori”, masih terdapat masalah yang agak
serius yang memerlukan penjelasan.
Istilah “teori” digunakan sewenang-wenangnya dalam Nadwah dan juga dalam
seminar UPSI ini; malah begitu keliru dan kacaunya sehingga semua kertas kerja
yang dibentang dipanggil “teori” walaupun ciri-ciri sebuah “teori” sama sekali
tidak ada. Mengapakah ahli-ahli akademik kita membenarkan perkara ini,
kekeliruan dan kekacauan ini, terjadi kepada mereka? Mengapa mereka membiarkan
diri mereka hanyut dalam perbincangan yang seolah-olah tentang “teori” tetapi
tidak, kerana tidak memenuhi ciri-ciri sebuah “teori”. Apakah ciri-ciri itu
telah saya sentuh dalam sekurang-kurangnya tiga posting dalam blog ini. Huraian itu tidak lengkap, secara umum saja,
tetapi cukup untuk memahami apa yang biasanya dimaksudkan dengan istilah
“teori”.
Kedua-dua
seminar yang disebut di atas melakukan kesalahan yang perlu diperbetulkan,
apatah lagi apabila kesalahan itu dilakukan oleh para ahli akademik sendiri
yang memang berkewajiban untuk mempertahankan kedudukan akademik mereka dengan
menghindar sebarang kekeliruan, terutama sekali terhadap para pelajar. Dalam Nadwah, kertas kerja Dr. Abdul Rahman
Napiah aka Mana Sikana dibenarkan untuk dibentang hanya kerana judulnya
berbunyi, “Teori Sastera Moden dari Perspektif Islam”, padahal kertas itu tidak
kena mengena dengan sastera Islam, malah seratus peratus mengenai teori sastera
Barat yang diambil daripada pemikiran Harold Bloom, seorang sarjana Yahudi yang
memang memperjuangkan idea Yahudi dalam teori sasteranya (bukti: salah satu
buku penting dari tiga serangkai buku penting beliau berjudul, Kabbalah and Criticism.) Kertas kerja itu mengenai teksdealisme, satu idea yang amat mengelirukan,
yang dari segi akademik tidak mempunyai mutu ilmiah sama sekali. Kertas itu
mengemukakan empat “prinsip” yang dikatakan akan mencernakan teks yang unggul:
(1) kehadiran, (2) perlanggaran, (3) pengukuhan, dan (4) individualisme. Khadiran
merujuk kepada pengalaman yang dilalui pengarang dan lintasan “pemikiran” yang
bermain di dalam otaknya. Untuk membuktikan “kehadiran” itu penting, Mana Sikana memberi contoh Usman
Awang yang menulis drama Matinya Seorang
Pahlawan. Kata beliau, drama ini terilham daripada Hikayat Hang Tuah dan drama Ali Aziz, Jebat Menderhaka. Katanya, drama ini memberi tafsiran baru kepada
konsep wira, “dan ternyata ia memberi impak yang besar dan kukuh dalam konsep
kewiraan orang Melayu” (hal.232); oleh itu drama ini adalah sebuah teks yang
unggul. Kesimpulan Mana Sikana tidak benar, malah terlalu jauh lari dari
kenyataan yang tidak disedari beliau. Apa yang disebutnya sebagai perubahan dan
kehadiran itu tidak lain daripada pengaruh Marxisme dalam sastera Melayu moden,
yang memungkinkan Usman Awang, seorang sasterawan penganut faham realisme
sosialis, yang menjadi pegangan Asas 50, menulis sebuah drama berasaskan
Marxisme. Mana ada pengaruh Islam di situ? Contoh ini saja sudah cukup untuk
menolak teksdealisme yang tidak kena mengena dengan apa-apa keunggulan selain
keunggulan dari segi kekeliruan pencetus idea ini. Dari segi perkembangan ilmu, atau perkembangan akademik, adakah
pengalaman dalam realisme sosialis sesuatu yang akan membuahkan keunggulan
dalam penulisan seseorang pengarang Islam? Dalam penulisan seorang penganut
faham komunis mungkin betul, tetapi tidak dalam pengalaman seorang sasterawan
Islam. “Prinsip” kedua, perlanggaran, lebih-lebih lagi tidak berguna kerana tidak
diberi takrif yang jelas apakah maksud dan matlamat “perlanggaran” itu, selain
daripada melakukan perubahan. Bagaimana kita mengukur perubhan itu memang
diperlukan dan mendatangkan kebaikan? Semua ini tidak jelas dalam apa yang
dinamakan “prinsip perlanggaran” ini. Mana Sikana memberi contoh novel Shahnon
Ahmad, Patriach: “Novel ini
memperlihatkan sifat-sifat perlanggaran terutama dalam peghasilan novel baru” (
dalam Nadwah Ketakwaan Melalui
Kreativiti, hal. 233; seterusnya akan disebut Nadwah diikuti halaman buku). Antara perlanggaran itu ialah unsur
realisme magis yang terdapat di dalam novel ini. Maka berkatalah Mana Sikana dengan penuh
keyakinan: “Di dalamnya [yakni teks atau
novel] ada unsur-unsur magis dan sihir yang akan segera larut dalam diri
khalayak” (Nadwah, hal. 241). Shahnon
Ahmad sendiri menolak sebarang unsur realisme magis, dan menempelak A. Samad
Said yang banyak menggunakannya dalam novel Hujan
Pagi, dengan amaran keras penggunaan realisme magis akan menggelincirkan
akidah, sehingga A. Samad Said merajuk sinis sambil berkata, dia pun seberapa
boleh tidak mahu masuk neraka kerana realisme magis (Dewan Sastera, Julai 1997). Adakah ini bererti realisme magis bukan
faktor yang membolehkan seorang sasterawan mencapai keunggulan? Dalam hal ini,
“konsep” perlanggaran itu memang tidak boleh dijadikan ukuran untuk
menghasilkan karya yang unggul, kecuali jika kita menerima bulat-bulat cara
berfikir dan cara menulis para sasterawan Barat. Di kalangan mereka, tidak ada
batasan itu, oleh itu semua perkara boleh dilanggar, kerana itulah muncul karya
picisan yang ditulis dengan indah dari segi bahasa, tetapi kosong dari segi
makna. Inilah karya-karya picisan dan lucah yang menjadi kegemaran para
sasterawan Barat. Anda tentu masih ingat betapa dahsyatnya perlanggaran yang
dilakukan oleh Salman Rushdie, penulis novel The Satanic Verses. Bagi orang Barat, karya itu adalah karya
pascamoden yang hebat, sebuah karya pascamodenisme yang unggul mengikut ukuran
Mana Sikana. Jika itulah hasil dari perlanggaran, maka amatlah tidak siuman
untuk menjadikan perlanggaran suatu faktor dalam mencapai karya unggul. Dengan
itu “prinsip” kedua ini pun tidak boleh dipakai, kerana eksperimen atau apa
juga perubahan yang terhasil dari perlanggaran itu seringkali bertentangan
dengan worldview Islam. Aspek ini
telah dibicarakan dengan mendalam oleh Dr. Zulkarnain Mohamed dalam tulisannya
(Kedudukan Ilmu Dalam Kesusasteraan, hal. 83-157). Seterusnya “prinsip” ketiga, pengukuhan,
“didefinisikan sebagai usaha pendewasaan pengarang untuk penghasilan teks yang
unggul” (Nadwah, hal. 235). Yakni,
“pengukuhan ialah usaha pematangan, pengejapan dan penyempurnaan dalam
berkarya”. Caranya tidak jelas, oleh itu
anda boleh lakukan apa saja yang anda suka untuk memastikan anda menghasilkan
karya yang unggul. Akhir sekali, “sebuah
teks yang unggul ialah yang mempunyai keperibadiannya sendiri dan biasanya
mengasyikkan. Di dalamnya ada unsur-unsur magis dan sihir yang akan segera
larut dalam diri khalayak” (Nadwah, hal. 241). Bagaimana prinsip ini diserlahkan boleh apa
saja, tidak terikat kepada apa-apa syarat asalkan yang dilakukan itu
menghasilkan teks yang unggul. Kemuncak keunggulan itu ialah lahirnya prinsip
keperibadian (individualisme). Bagi Dr.
Mana Sikana, unsur magis dan sihir menjadi sebahagian daripada syarat
tercapainya matlamat teks yang unggul itu. Bagaimana soal magis dan sihir ini
boleh masuk dalam kerangka teksdealisme hanya menjadi persoalan jika kita mahukan keunggulan itu berjiwa Islam; tetapi
oleh sebab teksdealisme tidak kena mengena dengan Islam, sebaliknya erat dengan
nilai-nilai Barat yang memang bertentangan dengan nilai-nilai Islam, unsur apa
pun yang dibawa masuk tidak menjadi persoalan, seperti kita lihat “pelanggaran”
Salman Rushdie yang menulis The Satanic
Verses memperlihatkan keunggulannya kerana menghina Nabi SAW dan menghina
Islam, suatu bukti bahawa “pelanggaran” adalah sama dengan bid’ah dalam Islam.
Banggakah seorang sasterawan Islam melanggar agamannya sendiri demi mencapai
keunggulan dirinya dan karyanya?
Sebenarnya
apa yang dibebelkan oleh Dr. Mana Sikana tidak memberikan kepada kita apa-apa insight yang boleh membantu kita
memahami apa sebenarnya keunggulan teks
itu. Jika anda membaca Heidegger, anda akan segera teringat kritikan beliau
tentang ocehan dan omongan, idle talk,
dalam tulisan yang berpretensi ilmiah, padahal hanya sejenis omongan sahaja.
Jika anda bandingkan ini dengan pandangan Harry G. Frankfurt tentang bullshit dalam kebudayaan Amerika, anda
mungkin mendapat contohnya di Malaysia dalam teksdealisme. Menarik juga para pertama buku kecil
Frankfurt: “One of the most salient features of our culture is that there is so
much bullshit” (On Bullshit, hal. 1).
Adakah ini menggambarkan juga bidang kesusasteraan Melayu? Terutama sekali
bidang kritikannya? Jika kita dapat menggunakan teksdealisme sebagai contoh dan
bukti, nampaknya penyakit di Amerika itu sudah lama bertapak di Malaysia dalam
bidang kritikan dan kesusasteraan. Ini semua terjadi kerana kita tidak memberi
perhatian sewajarnya kepada penggunaan konsep yang tepat dalam tulisan ilmiah
kita, misalnya konsep “teori” yang seringkali dipakai apabila orang bercakap
tentang kritikan sastera. Kehadiran unsur bullshit ini dalam kritikan
sastera Melayu moden menjadi penghalang kepada kemajuan sebenar yang kita
ingini. Kita mengingini persuratan Melayu moden berteraskan ilmu yang benar,
seperti yang kita warisi sebelum dimusnahkan oleh Asas 50 sejak tahun 1950-an
hingga kini, yang sangat gigih dipertahankan sehingga unsur bullshit ini dijadikan budaya arus
perdana dan diberi kedudukan tinggi melalui kemunculan Panel Anugerah Sastera
Negara yang memilih para sasterawan negara.
Dalam bahasa mudah yang saya pakai, inilah budaya pandirisme. Dalam
budaya pandirisme ini, konsep ilmu kadang-kadang disebut sambil lalu, sambil
lewa, tetapi tidak menjadi teras perkembangan tamadun dan budaya moden di
Malaysia. Tentulah anda akan berkata, jika ini semua bullshit, maka ini bertentangan dengan kenyataan, kerana kita
mempunyai beribu buah sekolah yang tinggi pencapaian akademiknya, dan kita
mempunyai berpuluh buah universiti dengan para profesor yang semuanya bertaraf
kelas dunia. Tetapi bolehkah kita berkata, dengan meyakinkan, bahawa pengajaran
kesusasteraan di universiti kita tidak tercemar sedikit pun dengan budaya bullshit? Jika kita membaca Prosiding Seminar Teori dan Kritikan Sastera
Malaysia (2012) dan Nadwah Ketakwaan
Melalui Kreativiti (1995), kita mungkin menelan air liur berkali-kali
kerana suara tersekat-sekat di kerongkong kerana serba salah sama ada mahu
mengiakan atau pun tidak. Sebenarnya pertanyaan itu tidak perlu dijawab sama
ada dengan sepatah “ya” atau “tidak”; kerana jawapan demikian akan membuktikan
memang terdapat budaya bullshit itu.
Kita memerlukan jawapan yang lebih bijaksana: “Memang ada kelemahan, tetapi dalam banyak hal kita telah jauh maju,
malah dapat menandingi pengajaran sastera di mana-mana saja di atas dunia, oleh
itu ramai di antara student kita diterima dengan mudah untuk melanjutkan
pelajaran pasca ijazah mereka dan ramai yang pulang dengan kejayaan cemerlang
yang kini menjadi profesor yang tersohor di Malaysia, seperti Prof. Dr.
Muhammad Hj. Salleh, Prof. Mohd. Yusof Hasan, Prof. Shahnon Ahmad, Prof. Mohd.
Mokhtar Hassan dan ramai lagi ...”
Dengan pengakuan itu, kita boleh bergerak setapak yang amat penting,
iaitu perlunya konsep “teori” yang kita gunakan sewenang-wenang itu dikawal
sedikit supaya tidak terlalu liar seperti rusa masuk kampung dalam dunia
akademik kita. Bayangkan sebuah manual
untuk melahirkan “modal insan” menurut corak UMNO/BN, yang dahulunya dikenali
sebagai Teori SPB4K kini menjadi Teori SPB4L, akhirnya dilengkapkan menjadi
tiga teori bersepadu: SPB4K, SEB4K dan SSB4K yang kesemuanya terdapat 12K yang
menjadi unsur penting dalam pembinaan peribadi “modal insan” acuan UMNO/BN. “Teori” ini telah melahirkan ramai doktor
SPB4K atau SPB4L yang kini mengajar kritikan sastera di beberapa buah
universiti. Tidakkah perkembangan ini membenarkan kenyataan Harry G. Frankfurt
dalam bukunya On Bullshit? Di sini
kita boleh pakai nasihat Dr. Mana Sikana, betapa pentingnya sifat keberanian
dan kebijaksanaan dalam menangani masalah “teori-teorian” agar supaya tercapai
hasil yang benar-benar unggul, bukan yang bersifat bullshit (Nadwah, hal.
228-229).
Kemunculan teksdealisme dalam
kritikan sastera Malaysia adalah sesuatu yang amat malang. Satu malapetaka yang tidak dapat dibaca
sehinggalah munculnya gagasan Persuratan Baru menolak semua kepalsuan yang
dibawanya. Lebih
malang lagi apabila terdapat sarjana yang bergelar profesor menerima teksdealisme
untuk dijadikan sandaran kepada beberapa tesis sarjana dan kedoktoran dalam
sastera, padahal teksdealisme tidak mampu sama sekali menonjolkan analisis yang
tajam dan kritis yang seharusnya ada dalam tesis sarjana dan kedoktoran.
Teksdealisme tidak mempunyai sebarang ukuran yang boleh digunakan untuk menilai
makna keunggulan teks yang menjadi obsesi Dr. Mana Sikana aka Abdul Rahman
Napiah. Sepanjang kertas yang dibentang oleh Dr. Mana Sikana dalam Seminar
Nadwah itu, tidak muncul-muncul ukuran yang boleh digunakan untuk menentukan
sesebuah karya itu mencapai keunggulan yang dimaksudkan. Contoh yang diberikan
oleh Dr. Mana Sikana terhadap karya Shahnon Ahmad dan Usman Awang tidak boleh
dijadikan pegangan, tidak boleh dipakai untuk dijadikan bukti keunggulan karya
yang dipilih daripada dua orang sasterawan negara itu, seperti yang telah saya
jelaskan di atas. Kedua-dua contoh itu sebenarnya tidak memperlihatkan
keunggulan karya yang dipilih; malah dalam kes Shahnon Ahmad, sudah jelas
faktor yang dipilih oleh Dr. Mana Sikana tentang realisme magis tidak dapat
digunakan kerana teknik itu ditolak oleh Shahnon Ahmad sendiri, oleh itu
bagaimana teknik itu boleh digunakan untuk menilai keunggulan karya Shahnon
Ahmad yang dipilih sebagai contoh? Demikian juga drama Usman Awang, yang lahir
bukan kerana Usman Awan ingin mencapai keunggulan dalam penulisan drama, tetapi
kerana pegangannya terhadap faham realisme sosialis yang menjadi dasar Asas 50.
Adakah Dr. Mana Sikana ingin kita terima bahawa faham realisme sosialis itu
adalah penentu kemajuan dan keunggulan karya sastera Melayu moden? Adakah ini
bermakna segala kritikan saya selama ini bahawa kesusasteraan Melayu moden
telah membawa nilai-nilai baru yang negatif dan palsu telah merosakkan
nilai-nilai tamadun kita memang tepat, seperti yang dicontohkan oleh Dr. Mana Sikana dalam teksdealismenya? Sekiranya
anda tidak faham keterangan saya, baca beberapa kali, Insha Allah anda akan
faham maksud saya. Sekarang saya bertanya lagi: Tidakkah kritikan saya itu
telah dibuktikan betul oleh teksdealisme?
Ertinya, melalui teksdealisme, semua nilai-nilai buruk dalam tamadun
kita, yang disalur melalui karya sastera, diberi pengiktirafan dan dijadikan
arus perdana melalui Panel Anugerah Sastera Negara. Saya telah banyak menulis
tentang perkara ini, oleh itu tidak perlu diulang di sini. Anda mungkin tidak bersetuju dengan kesimpulan
saya, tetapi anda tidak dapat menolak bukti-bukti yang diberikan oleh
teksdealisme dalam usahanya mencari keunggulan, padahal yang terjadi adalah
sebaliknya. Anda perlu ulang membaca
ayat ini untuk sampai kepada makna yang dimaksudkan. Ketika itu nanti baru anda
tahu cerita sebenarnya. Selepas itu baru anda
faham mengapa teksdealisme adalah
malapetaka sastera Melayu dan kritikan sastera di Malaysia. Teksdealisme
itu sendiri palsu, maka proses yang kononnya diperlukan untuk mencapai
keunggulan teks adalah juga palsu. Anda perlu lihat kembali dengan kritis
bagaimana teksdealisme memperbodohkan anda, sampai-sampai memakai nama Islam
untuk menyembunyikan wajah buruknya yang tidak dapat diterima oleh sesiapa pun
yang siuman. Semua ini terjadi kerana konsep “teori” dalam kritikan tidak diperhalusi dan difahami terlebih
dahulu, sehingga apa saja “idea palsu” diterima sebagai berpotensi untuk
dijadikan teori kritikan. Demikian juga
halnya SPB SEB SSB 3K (tiap satu) adalah sejenis manual untuk melahirkan modal insan acuan UMNO/BN, yang disaring
daripada beberapa panduan mudah dalam pengurusan Barat. Walaupun disebut
manusia yang akan dilahirkan itu manusia Islam, tetapi cara mendapatnya melalui
idea Barat, bukan berteraskan prinsip-prinsip Islam. Disebut konsep tauhid,
tetapi ditinggalkan konsep taklif yang dari situ akan difahami hakikat insan,
hakikat ilmu, hakikat amal dan jika ingin diterapkan dalam sastera, apa pula
hakikat seni yang difahami dalam Islam.
Kalau anda ingin bercakap tentang Islam, asasnya mestilah dari Islam,
bukan dari Barat, bukan dari de Bono misalnya.
Sekali lagi konsep “teori” perlu diperjelas dalam konteks seperti ini,
supaya para pengikut dan penyokong tidak hanyut dalam kekeliruan berterusan.
Siapakah
yang akan membincangkan selok belok “teori” ini? Mujurlah kita mempunyai ramai
ahli akademik dari segala bidang yang boleh membantu. Pada waktu ini kita
perlukan penjelasan ini supaya satu standard boleh ditetapkan apabila kita
berbicara tentang konsep “teori”, seperti mudahnya kita kenal jika disebut kelapa yang tidak sama dengan kepala, walaupun kedua-duanya terdiri
dari lima abjad. Dengarnya mudah, tetapi tidak semudah itu apabila kita
bercakap tentang “teori”. Bilakah kita akan dapat melahirkan standard yang
dimaksudkan itu? Kita perlukan standard
itu supaya tidak keliru meracau lagi seperti yang terjadi sekarang. Itulah
cabaran kita dalam kritikan yang mesti diselesaikan dengan tuntas.
Gagasan
Persuratan Baru membahagikan karya kreatif kepada tiga kategori: karya persuratan berasaskan konsep ilmu
yang benar, menggunakan wacana untuk menyampaikan cerita; karya sastera yang
mengutamakan emosi dan imaginasi bebas (hingga sampai ke alam ruh dan dunia
selepas mati!), menjadikan cerita lebih penting daripada wacana bersifat ilmu;
dan karya picisan dan lucah, yang menggunakan unsur seks dan lain-lain
kejahatan manusia untuk bercerita dengan maksud menghibur dan mencari wang
(biasanya karya begini mudah dijual).
Ketiga-tiga kategori ini telah dihuraikan di dalam buku Gagasan Persuratan Baru: Pengenalan dan
Penerapan. Sejenis standard telah diusahakan melalui kategori itu, yang
terbuka untuk disanggah dan dibahaskan seberapa kritis yang anda terdaya
melakukannya. Saya sebut perkara ini
sekadar contoh bagaimana orang berfikir tentang teori, yang walaupun sekali
imbas nampaknya susah, tetapi apabila difahami seperti sepatutnya boleh
membantu sesiapa juga yang ingin menganalisis dan menilai karya kreatif dengan
objektif, tepat dan jitu, tidak berpusing-pusing seperti dalam dua contoh yang
saya bahaskan di atas. Orang yang terbuka untuk belajar akan mendapat
manfaatnya.
Mohd.
Affandi Hassan
30/10/2012
No comments:
Post a Comment