Sunday, October 14, 2012

TEORI SASTERA BARAT DALAM TANGAN SARJANA ISLAM


[Catatan: Posting ini hendaklah dibaca bersama dengan  posting bertarikh 4 Jun 2012
dan 29 Ogos 2012.]

Satu rekod baru telah dibuat oleh tiga orang sarjana wanita Malaysia, yang tidak saja memperlihatkan kemampuan akademik mereka, tetapi juga keberanian mereka meneroka belantara teori Barat untuk dipersembahkan kepada pendidikan negara yang kini sedang menghadapi krisis nilai dan krisis bahasa.  Dari segi nilai, dasar pelajaran baru yang dilancarkan baru-baru ini terang-terang meminggirkan nilai-nilai Islam yang tidak lagi diberi keutamaan seperti dahulu dalam era falsafah pendidikan negara. Dari segi bahasa pula, amat jelas dasar baru ini ditumpukan untuk “memperkasa” bahasa Inggeris kerana para pembikin dasar baru ini percaya dengan yakin bahawa Malaysia akan mencapai status negara maju hanya melalui penggunaan bahasa Inggeris.  Pengajaran kesusasteraan Inggeris yang diwajibkan akan dimulai untuk memastikan bahasa Inggeris terus menjadi bahasa utama dalam bidang akademik dan ekonomi. PPSMI yang kononnya dihapuskan dihidupkan dan diberi wajah baharu dalam dasar pelajaran Wawasan 2020 ini. Dalam keadaan inilah tiga orang sarjana wanita Melayu Malaysia membuat sejarah mereka masing-masing. Mari kita lihat sejauh mana mereka berjaya menangani masalah nilai ini, atau hanya berjaya mengusutkan lagi segala kekusutan yang sedia ada.

Sarjana pertama yang mencatat sejarah itu ialah Prof. Zawiah Yahya, seorang yang sangat lantang “mengkritik” pengaruh kolonial (bukan pengaruh Barat?) dengan menegaskan, ““[we need] to unseat England, Europe, and the United States of America as the centre of our universe”, yang jelas ingin melemparkan pendekatan demikian seluruhnya untuk digantikan dengan “the centrality of our own country and our own region as a base on which we stand in relation to the rest of the world.” Beliau juga berkata: “We will [need to] approach a text with our own cultural schema to interpret”. (Kutipan ini disebut oleh Daniel L. Espiritu, seorang padri Filipina, dalam tulisannya, “Ethnohermeneutics or Oikohermeneutics? Questioning the Necessity of Caldwell’s Hermeneutics”, Journal of Asian Mission, 3/2 (2001), pp. 267-281, di halaman 271).  Cita-cita Prof. Dr. Zawiah Yahya untuk menghumban teori sastera Barat itu masih lagi berada dalam dunia misteri yang tidak dapat ditafsirkan, kerana adanya kecenderungan beliau untuk tidak memperdulikan permintaan orang supaya beliau memberi sedikit penjelasan, terutama sekali apakah maksud “our own cultural schema” yang hendak dijadikan asas penilaian itu.  Nampaknya beliau belum bersedia untuk bergelumang dalam dunia akademik yang agak lekit dengan plagiarisme sekarang, oleh itu kita harus menunggu entah berapa lama lagi idea asli beliau itu akan menjelma menjadi kenyataan.  Adakah beliau percaya bahawa ada di antara teori Barat itu yang tidak sesuai dan tidak wajar digunakan untuk menilai dan mentafsir teks sastera Melayu?  Kita tidak pasti, tetapi kita amat pasti sekurang-kurangnya dua orang sarjana sastera Melayu yakin, percaya, dan pasti bahawa feminisme adalah di antara teori sastera Barat yang wajar dijadikan dasar/asas untuk menilai karya sastera Melayu. Dua orang itu ialah Prof. Madya Dr. Siti Hajar Che Man dan Dr. Norhayati Ab. Rahman, yang masing-masing telah menerbitkan sebuah buku khusus membicarakan sastera Melayu dari perspektif feminisme. 

Buku Dr. Siti Hajar Che Man,  Esei-esei Kritikan Feminis Dalam Kesusasteraan Melayu (USM, 2007) telah saya sentuh sekadarnya dalam posting bertarikh 14 Jun 2012.   Antara lain inilah kesimpulan saya: “Setelah membaca buku Prof. Madya Dr. Siti Hajar Che Man dan makalahnya yang lain, timbul pertanyaan: Apakah yang dapat ditawarkan oleh feminisme?  Nampaknya lebih banyak yang negatif daripada yang positif, malah yang negatif itu terlalu menonjol, sehingga menghairankan kita bagaimana feminisme ini berjaya menarik minat sarjana Melayu yang sembahyang lima kali sehari dan berdoa untuk mendapat al-falah di dunia dan akhirat. Pertama sekali, perempuan solehah tidak wujud dalam feminisme, yang dinilai sangat rendah dan buruk kerana berada dalam dunia patriaki, sebagai seorang yang taat kepada ibu bapa dan suami. Semua ini adalah nilai-nilai peribadi yang tidak berguna dalam feminisme, kerana yang diutamakan ialah sifat memberontak, melawan perintah, mencemuh segala nilai keagamaan yang amat dimuliakan dalam kehidupan seorang perempuan yang solehah. Kerana yang diutamakan ialah sifat-sifat jahat dalam diri seorang perempan, maka menjadi tuntutan dalam feminisme supaya pengarang wanita, jika mahu berjaya seperti yang ditakrifkan oleh feminisme, mestilah menceritakan kejahatan seorang wanita, seorang pemberontak (secara senyap mahu pun secara lantang), seorang yang mahukan kebebasan penuh dan yang berani menampilkan dirinya sebagai penentu nilai-nilai kehidupan biasa menurut kemahuan hawa nafsunya. Ringkasnya, seorang perempuan yang biadab.”

Kesimpulan itu diperkuat dengan lebih konkrit lagi oleh Dr. Norhayati Ab. Rahman dalam buku beliau,  Puitika Sastera Wanita Indonesia dan Malaysia: Satu Bacaan Ginokritik (USM, 2012). Saya diberitahu buku ini asalnya sebuah tesis Ph. D. yang diselia oleh Prof. Madya Dr. Siti Hajar Che Man. Tahniah kepada mereka berdua kerana keterlibatan dalam faham feminisme sehingga membuahkan dua buah buku penting dalam feminisme Melayu dan Indonesia. Kedua-dua mereka begitu kuat terpengaruh dengan pemikiran feminisme Elaine Showalter, sehingga Dr. Norhayati mengambil tajuk bukunya daripada sebuah esei Elaine Showalter yang terkenal, “Toward a Feminist Poetics”.

Apakah yang ingin dibicarakan oleh Dr. Norhayati?  Dalam perkataan beliau sendiri: “Sebagai sebuah buku ilmiah dalam bidang kesusasteraan dan khususnya yang bersifat teori dan aplikasi, penghasilan buku ini diharap dapat membantu para pelajar dan pengajar kesusasteraan di semua institusi pengajian tinggi yang menawarkan kursus-kursus kesusasteraan dalam program pengajian, sama ada pada peringkat sarjana muda, sarjana atau doktor falsafah. Hal ini adalah penting memandangkan buku seumpama ini belum pernah ditulis atau dibukukan oleh mana-mana pihak. Apatah lagi teori yang digunakan dalam penulisan buku ini amat kurang dikenali di Malaysia, meskipun teori ini telah lama wujud dan berkembang di Barat. Oleh yang demikian, buku ini dipercayai merupakan satu-satunya penerbitan dalam bahasa Melayu yang khusus memperkenalkan teori ginokritik dan kaedah pengaplikasiannya terhadap korpus kesusasteraan Melayu. Oleh sebab itu, diharap buku ini dapat dimanfaatkan oleh para pelajar, para pengkaji sastera dan pengajar pada peringkat universiti termasuklah peminat-peminat bidang kesusasteraan di Malaysia.” (Prakata, hal. viii). Kita akan lihat nanti sejauh mana klaim Dr. Norhayati ini benar dan wajar diberi perhatian.

Dengan nada yang begitu meyakinkan, Dr. Norhayati mula membedah karya Indonesia dan Malaysia menggunakan “ginokritik” yang diutarakan oleh Elaine Showalter, seorang sarjana Amerika yang giat menulis tentang ginokritik ini sekitar 1970-an (atau lebih awal sedikit), satu jangka waktu yang sebenarnya tidak lama seperti yang disebut oleh Dr. Norhayati. Sebagai satu “teori”, ginokritik masih lagi terumbang-ambing mencari kedudukan kukuh, dan ini diserlahkan dalam kajian Dr. Norhayati ini. Kekurangan paling utama “teori” ini ialah tiadanya sikap tegas terhadap nilai, sama ada nilai karya itu sendiri dan nilai yang diserlahkan dalam karya. Kerana tidak memperhitungkan aspek ini, maka Dr. Norhayati mengambil contoh sebuah buku lucah dan picisan dari Indonesia, Saman, sebagai sebuah novel yang mempunyai banyak “keistimewaan” hasil karya Ayu Utami sebagai seorang sasterawan yang bebas lepas dalam menulis novelnya yang “telah mencipta penggayaan dengan menampilkan makna berlapis-lapis yang perlu ditanggapi secara mendalam terhadap hal yang tersurat dan tersirat.” Apakah yang tersurat dan tersirat itu?  Belum lagi ditemui penjelasannya; tetapi sebagai sebuah novel lucah dan picisan, tentulah Saman sebuah novel yang benar-benar hebat dan istimewa sehingga dipilih sebagai novel terbaik pada tahun terbitnya. Tetapi feminisme memberi kedudukan istimewa kepada karya serupa ini, kerana menurut feminisme tidak ada karya lucah atau picisan, semuanya setaraf, semuanya mencerminkan pembebasan wanita. Feminisme adalah satu wacana, bukan teori sastera, oleh itu bagi feminisme tidak  wujud apa-apa ukuran yang biasa dipakai dalam teori kritikan sastera. Sebagai wacana, ada tidaknya ukuran yang dipakai ialah sama ada  karya yang ditafsirkan itu mempunyai ciri-ciri yang ditetapkan oleh penjana wacana (yakni Elaine Showalter), iaitu empat jenis wacana yang disenaraikan oleh Dr. Norhayati dalam bukunya.   Hakikat bahawa feminisme bukan satu teori kritikan, tetapi satu wacana yang digunakan untuk mentafsirkan karya sastera, perlu diberi perhatian serius supaya para pengamal feminisme di Malaysia berpeluang untuk menjelaskan kedudukan feminisme sebagai wacana dalam membuat tafsiran, bukan sebuah teori yang menilai sesuatu karya.  Mentafsir dan menilai adalah dua perkara yang berbeza: anda boleh membuat tafsiran mengikut wacana tertentu untuk melihat kandungan sesuatu karya tanpa perlu menilai kualiti karya berkenaan, seperti yang dibuat oleh Dr. Norhayati dalam bukunya; sebaliknya anda menilai sesuatu karya untuk melihat  sejauh mana  karya berkenaan berjaya sebagai sebuah hasil seni. Untuk melakukan penilaian begini, anda perlukan ukuran yang boleh diuji tepat tidaknya penilaian tadi. Sebaliknya, apabila anda membuat sesuatu tafsiran, anda tidak perlu menggunakan ukuran tertentu, cukup dengan memeriksa sama ada syarat-syarat yang ditetapkan dalam tafsiran tadi ada atau tidak dalam karya yang anda tafsir. Inilah yang dibuat oleh Dr. Norhayati terhadap novel-novel yang dipilihnya.  Mengapa perbezaan ini perlu dijelaskan? Perbezaan ini perlu dijelaskan untuk memberitahu anda bahawa feminisme tidak berminat dalam penilaian seperti yang dilakukan dalam kritikan biasa dengan menggunakan teori tertentu; dengan itu anda akan tahu bahawa karya yang ditafsirkan dengan menggunakan ciri-ciri yang dipentingkan dalam feminisme tidak semestinya karya yang bermutu; kerana itulah novel picisan dan lucah seperti Saman  diberi tafsiran yang menggalakkan kerana novel itu sesuai dengan ciri-ciri yang ditetapkan dalam feminisme.  Kini anda tahu bahawa feminisme tidak membezakan kebaikan dan keburukan, yang keji dan terpuji adalah sama dan setaraf,  kerana yang dipentingkan ialah peluahan sebebas-bebasnya keinginan dan kemahuan hawa nafsu kaum wanita, kerana mereka percaya itulah imej wanita yang sebenarnya. Jika para pelajar dan masyarakat umum diberitahu apakah maksud dan tujuan sebenar feminisme, semua mereka akan menolaknya dan akan memandang jijik projek feminisme ini. Untuk memahami maksud kesimpulan ini, anda perlu membaca dengan kritis, sehabis kritis, buku Dr. Norhayati ini. Amaran yang boleh saya kemukakan kepada anda semua hanya tentang dua jenis malapetaka. Pertama, malapetaka intelektual, apabila anda disogok dengan maklumat palsu dan pengetahuan palsu tentang hakikat insan dan hakikat amal perbuatan mereka. Anda diajar untuk menerima kejahatan dan gaya hidup songsang sebagai pernyataan sebenar diri anda. Anda mugkin bebas melakukan apa saja yang anda mahu; tetapi ketika itu anda bukan lagi seorang manusia yang ada maruah dan harga diri, yang ingin dihormati  dan diterima sebagai seorang yang baik. Feminisme tidak dapat memberi semua itu kepada anda. Kedua, malapetaka  etika dan moral, yang kesannya sangat buruk dalam kehidupan anda, kerana anda tidak lagi dapat membezakan adab sopan berbanding dengan sikap biadab dan tidak lagi mementingkan kesopanan yang seharusnya ada pada manusia normal.  Untuk memahami kenyataan ini, anda perlu  perhatikan bagaimana novel-novel pilihan itu ditafsirkan berasaskan feminisme. Semua novel disetarafkan, tidak dibezakan dari segi kualiti, tidak juga dari segi pemikiran. Bayangkan bagaimana Saman mendapat pujian dan sanjungan tinggi, padahal novel itu adalah novel picisan dan novel lucah; dan melalui pujian itu anda diheret untuk menerima kebiadaban di dalam novel itu sebagai cara hidup anda sebagai seorang perempuan.   Oleh itu, harapan Dr. Norhayati supaya bukunya dipakai di sekolah dan universiti wajib ditolak kerana kesan negatifnya terlalu besar; tetapi ini tidak bermakna buku ini harus diharamkan.  Masih boleh dibaca, sekurang-kurangnya untuk mengetahui betapa bobrok pengajaran sastera di negara kita. Kerana itu kita harus bijak membuat pilihan. Jika anda terima buku ini sebagai pemberi maklumat sekali pun, anda harus membezakan antara maklumat palsu dengan maklumat yang benar. Maklumat yang diberikan dalam Saman keseluruhannya adalah palsu; manakala maklumat yang diberikan Isteri ada yang palsu dan ada yang tidak, oleh itu anda perlu belajar mana satu yang palsu dan mana pula yang benar. Feminisme tidak dapat memberikan anda pelajaran ini, yang sangat penting dalam kehidupan anda dalam masyarakat.                 

Apakah wajah sebenar feminisme ini dalam sastera Melayu? Sekurang-kurangnya terdapat tiga wajah yang menonjol dan dapat dikesan dengan mudah: wajah kebetinaan, wajah keperempuanan; dan wajah kewanitaan. Inilah tiga wajah yang dimiliki oleh para sasterawan feminis dan sarjana feminis di Malaysia.  Inilah tiga gaya penulisan para penulis dan sarjana feminis di Malaysia. Gaya kebetinaan lebih keras, berterus terang, kasar, sensasi, dan pekat dengan bumbu seks yang dijadikan teras gaya kebetinaan ini. Antara contoh: novel Saman oleh Ayu Utami;  novel-novel Fatimah Busu, termasuk yang dikaji dalam buku ini, juga novel kontroversi beliau, Salam Maria (dalam novel ini unsur seks itu berada di bawah sedar pengarang sendiri).  Gaya keperempuanan lebih jelas unsur intelektualnya, terkawal emosinya, lebih lembut dan kadang-kadang agak sentimental, lebih sederhana dari segi pengolahan. Contoh: karya Adibah Amin,  Seroja Masih di Kolam. Adapun  gaya kewanitaan pula cirinya yang utama ialah “celoteh kewanitaan” yang selalunya bercorak gosip, biasanya diiringi humor dan sindiran kewanitaan yang suka menonjolkan diri atau bermegah dengan harta benda, termasuk suami yang kaya atau tampan dan diri wanita itu sendiri yang cantik dan menarik perhatian lelaki. Gaya kewanitaan ini agak mengada-ada dan berlebihan dari segi celoteh, tetapi selalunya menyenangkan pembaca kerana unsur hiburan di dalamnya. Walaupun bahannya mungkin serius, tetapi caranya lebih mirip kepada hiburan bersifat santai, menyembunyikan hedonisme dalam retorik kewanitaan yang memuja materialisme. Inilah gaya novel-novel Rosmini Shaari, termasuk yang dibicarakan di dalam buku ini.

Jika anda biasa dengan psikologi binatang, anda akan dapati rusa betina jenis moose yang bila sampai waktu mengawan, akan mencari yang jantan paling kuat, kencing di depannya untuk memberitahu dia telah bersedia untuk mengawan. Semua binatang betina hampir sama sifatnya. Seekor kucing betina sanggup mengawan dengan berapa ekor kucing jantan dalam suatu kawasan untuk memastikan anaknya tidak dimakan oleh kucing jantan yang tidak mengawan dengannya. Anjing pun begitu, kita lihat anjing jantan sanggup menunggu giliran berjam-jam untuk mengawan. Kita lihat mawas (orang utan) agak lambat bergerak kerana berat, tetapi bila sampai waktu mengawan, mawas jantan akan mengalahkan semua pencabarnya untuk mendapat semua mawas betina di dalam kawasan kawalannya; ketika itu semua mawas betina akan beratur menunggu giliran untuk mengawan, dan mereka tahu kerana mawas jantan akan meraung dengan kuat untuk memberitahu kedatangannya. Jika anda membaca Saman, anda melihat semua perilaku ini. Malah Dr. Norhayati lebih khusus lagi memberitahu kita bahawa “Ayu Utami ialah seorang wanita muda moden serta berfikiran terbuka dan mendapati bahawa selama ini wanita hidup terkongkong serta tidak bebas mengungkap keinginan diri sendiri. Justeru, beliau ingin bersikap jujur dengan perasaan dan pengalaman wanita khususnya dalam soal seks. ... Beliau bersikap berani, terbuka dan jujur dalam menggambarkan soal seks wanita seperti pengakuannya dalam suatu temu bual, ‘Pertama, saya hanya mahu jujur. Kedua, saya tidak menampilkan seks sebagai cerita tentang seks tapi seks itu problem bagi perempuan. Misalnya, Yasmin dan Saman membicarakan seks dengan rasa bersalah. Seks jadi diskusi, bukan peristiwa’. Dalam konteks ini, beliau menjadikan penulisan sebagai satu bentuk pernyataan tentang kebebasan diri, penegasan identiti dan keperkasaan wanita. ... Sikap pengarang ini mencerminkan protesnya terhadap nilai-nilai sosiobudaya yang membezakan hak dan kedudukan wanita dalam soal seks. Justeru, keberanian dan keterbukaan dalam soal seks melambangkan satu bentuk penentangan pengarang terhadap dwistandard seks dan kepura-puraan seks dalam masyarakat.” (hal. 110).

Apakah yang ingin disampaikan oleh Dr. Norhayati? Kebebasan individu itu lebih penting daripada nilai-nilai sosiobudaya yang telah diterima dalam masyarakat dan telah dijadikan ukuran dalam menentukan kesopanan dan adab; oleh itu setiap individu yang berani melanggarnya adalah jujur, bersikap terbuka, dan bersedia melakukan perubahan radikal dalam masyarakat.  Adakah ini yang menjadi intipati feminisme? Jika betul, maka apa yang disebut sebagai kejujuran, perubahan radikal dan sikap terbuka itu pada hakikatnya adalah kebiadaban individu dan kumpulan yang rendah moralnya atau tidak bermoral. Contoh yang saya berikan dari dunia binatang tadi sebenarnya lebih bermoral dan lebih jujur, kerana itulah kehendak tabii dalam kelangsungan kehidupan binatang. Jika inilah yang cuba ditiru oleh manusia moden, atas nama feminisme atau apa-apa nama sekalipun yang membenarkan kebiadaban itu, maka feminisme bukanlah jawapan kepada masalah masyarakat (yang sebenarnya tidak dikenal pasti), tetapi mengundang mala petaka yang lebih besar apabila manusia dibawa untuk menjadi binatang demi kebebasan hawa nafsu. Dari segi semangatnya inilah falsafah feminisme Barat, jika anda membaca tulisan mereka baik yang terdapat di Perancis mahu pun yang terdapat di Amerika. Elaine Showalter, yang menjadi ikutan para feminis di Malaysia, memberikan pendapat beliau yang amat menarik tentang perkara ini,  yang bertentangan dengan gambaran yang diserlahkan oleh Dr. Norhayati, yang nampaknya tidak diberi perhatian atau tidak disedari oleh Dr. Norhayati. Inilah pandangan beliau, yang juga menjadi kesimpulan beliau:

“A theory based on a model of women’s culture can provide, I believe, a more complete and satisfying way to talk about the specificity and difference of women writing than theories based in biology, linguistics, or psychoanalysis. Indeed, a theory of culture incorporate ideas about women’s body, language, and psyche but interprets them in relation to the social contexts in which they occur. The ways in which women conceptualize their bodies and their sexual and reproductive functions are intricately linked to their cultural environments. The female psyhe can be studied as the product or construction of cultural forces. Language, too, comes back into the picture, as we consider the social dimensions and determinants of language use, the shaping of linguistic behaviour and cultural ideals. A cultural theory acknowledges that there are important differences between women as writers: class, race, nationality, and history are literary determinants as significant as gender. Nonetheless, women’s culture forms a collective experience whithin the cultural whole, an experience that binds women writers to each other over time and space. It is in the emphasis on the binding force of women’s culture that this approach differs from Marxist theories of cultural hegemony.” (Dari esei Elaine Showalter, “Feminist criticism in the wilderness”, dimuat dalam David Lodge ed. Modern Criticism and Theory: A Reader (1988), hal. 344-345.

Esei ini adalah salah sebuah tulisan terpenting Elaine Showalter, yang sudah pasti sudah pun dibaca oleh Prof. Madya Dr. Siti Hawa Che Man dan Dr. Norhayati Ab. Rahman.  Jika kesimpulan Elaine Showalter ini menjadi pegangan dan panduan dua orang sarjana ini dan sarjana lain yang berminat dalam feminisme, maka mereka mempunyai dua pilihan: sama ada menolak dengan total faham feminisme Barat yang anti-agama dan anti-Tuhan; atau membina teori mereka sendiri berasaskan nasihat Elaine Showalter yang saya kutip. Bagi para sarjana Islam di Malaysia, teori feminisme itu mestilah berasaskan tauhid, oleh itu jenis feminisme ini bolehlah kita namakan feminisme beradab.  Jenis feminisme yang terkandung dalam buku Dr. Norhayati ini tidak sesuai dibawa masuk ke sekolah atau ke bilik kuliah seperti yang ditegaskan oleh Dr. Norhayati dalam klaimnya yang saya kutip di atas.  Jika mahu juga dijadikan satu disiplin akademik di universiti, maka pensyarah atau profesor yang akan menyampaikannya perlulah memahami sejarah pemikiran Islam dengan agak mendalam, terutama aspek epistemologinya; di samping itu dia harus mengenal budaya Melayu dengan agak mendalam, juga asas-asas pemikiran sastera moden di Barat. Tanpa pengetahuan ini, dia akan lebih cekap mengelirukan para pelajar daripada memberi pengetahuan yang seimbang (yakni, tidak terlalu berat sebelah ke arah Barat seperti yang terdapat dalam buku Dr. Norhayati ini). Maka itulah dia perlu menggunakan teori yang akan memberi keseimbangan itu dalam feminisme beradab.  Pendapat Elaine Showalter yang dikutip di atas boleh digunakan untuk membina teori ini, asal saja paksinya konsep ilmu yang benar.  Dr. Norhayati hanya membuang masa membicarakan “sastera ranjang” di Indonesia tanpa mengambilkira kualiti karya yang dibicarakan beliau dengan mengambil karya picisan dan lucah sebagai bahan yang kononnya menggambarkan puitika wanita Indonesia.  Adakah masyarakat Indonesia sudah serosak itu, atau sastera moden Indonesia begitu bobrok hingga menjadi begitu biadab? Adakah Dr. Norhayati ingin memberitahu kita bahawa sastera moden Indonesia telah berjaya mewujudkan masyarakat permisif (permissive society) yang merayakan seks bebas? Adakah ini perkembangan terbaru di Indonesia yang menjadi kebanggaan masyarakat Indonesia? Atau semua ini adalah kelainan yang timbul dari faham liberal yang ekstrem? Semua ini perlu dijelaskan dengan tuntas, jika Dr. Norhayati ingin bukunya diterima sebagai sumbangan bererti dalam pengajian sastera di Malaysia. Jikalau beliau enggan melakukannya, maka beliau akan dianggap seorang Ayu Utami dalam kritikan sastera dan dalam pengajaran sastera di universiti. Sekali lagi, kita mahu penjelasan yang jujur dari segi akademik, walaupun mungkin tidak jujur dari segi moral. Kejujuran akademik itu bererti terdapat perbahasan terbuka untuk mencari kebenaran akademik, yakni kebenaran yang diasaskan kepada penggunaan bahan dan sumber dan cara sumber itu dianalisis untuk sampai kepada kesimpulan yang boleh diterima dari segi akademik, yakni yang dicapai melalui analisis dan penilaian yang cermat berasaskan ukuran tertentu. Ukuran yang dipakai juga memerlukan penjelasan, sebab kita pun ingin tahu apakah yang dapat dicapai dengan menggunakan ukuran itu. Sejauh mana ukuran tadi boleh digunakan untuk menguji sesuatu andaian yang dibuat. Semua ini tidak terdapat dalam buku Dr. Norhayati, kerana terlalu rimbun dengan ocehan tentang seks bebas, seolah-olah seks bebas itu menjadi ukuran dalam kemajuan berfikir dan kemajuan masyarakat secara umum. Tidakkah ini merupakan pengaruh “pemikiran songsang” dalam sastera Indonesia yang dibawa oleh Ayu Utami, yang kemudiannya dibawa masuk ke dalam dunia akademik dan kritikan sastera Malaysia oleh Dr. Norhayati? Beberapa ukuran yang digunakan oleh Dr. Norhayati berasaskan pandangan beberapa orang sarjana Barat, masih bersifat andaian, oleh itu tidak semestinya betul. Dengan hal yang demikian, tidak dapat diterima seolah-olah itulah gambaran watak wanita Indonesia. Pengaruh ajaran Freud dan para pengikutnya di Perancis terlalu kuat, yang mungkin sesuai untuk mencirikan perilaku wanita Barat yang liar; tetapi tentu saja tidak cocok dengan perilaku wanita Timur yang lebih sopan tindak tanduknya. Jika kita mahu memakainya, maka perilaku itu lebih mencerminkan watak pengarang yang digambarkan melalui watak novel mereka. Pandangan ini  diasaskan kepada bacaan saya seperti yang dihuraikan dalam bab 4.

Paling menarik dalam buku Dr. Norhayati ini ialah bahagian kesimpulan, apabila beliau merumuskan bagaimana pengarang Indonesia dan Malaysia memperagakan kecekapan masing-masing dalam empat faktor penilaian yang diberikan oleh Showalter, yang dijadikan ukuran dan kemuncak penilaian oleh Dr. Norhayati. Dia memuji pengarang Indonesia yang berjaya melepasi kekangan masyarakat untuk menulis dalam gaya Ayu Utami, yang dikatakan merubah sama sekali penggunaan bahasa dalam sastera Indonesia moden. Membaca huraian dalam bahagian ini mengingatkan saya kepada peri hidup manusia Jahiliah sebelum Islam, yang bebas lepas tidak terikat kepada peraturan, kecuali yang telah ditetapkan oleh lelaki yang berkuasa, seperti kebebasan membunuh anak perempuan, boleh memiliki seberapa ramai jariah, boleh berperang hanya kerana sedikit persinggitan dari segi maruah, dan hal-hal seumpama itu. Menurut Dr. Norhayati, sastera moden Indonesia telah diberi wajah baru yang progresif apabila Ayu Utami dan lain-lain penulis wanita yang dikajinya tidak lagi ragu-ragu untuk memecahkan segala tabu dan larangan masyarakat. Menurut beliau, itulah pembaharuan dan kemajuan yang belum lagi dapat dicapai oleh para penulis wanita Malaysia, yang masih tersipu-sipu bila berbicara tentang seks, dan tidak mahu menggunakan bahasa yang kesat dan kasar demi kemajuan sastera dan pembebasan wanita daripada segala jenis kekangan yang mereka hadapi sekarang, dari segi agama, ekonomi, politik, kesopanan, penggunaan bahasa lucah dan sebagainya. Nampaknya dalam hal ini penulis wanita Malaysia lebih maju daripada rakan mereka di Indonesia, dalam erti mereka (penulis wanita Malaysia) tetap menjaga maruah kewanitaan mereka walaupun sekali sekala mereka agak keras mengkritik ketidakadilan kaum lelaki yang kononnya membelenggu kebebasan mereka. Apabila semua kesimpulan ini dihitung dan diteliti, maka saya menjadi lebih yakin bahawa yang diperlukan oleh para sasterawan Melayu (jantan atau betina) ialah kembali beradab dengan memahami konsep ilmu yang benar. Saya yakin, dengan kemampuan para sasterawan ini, kita akan dapat membina satu warisan persuratan yang hebat dan beradab berasaskan konsep ilmu yang benar itu, yang terikat kepada taklif sebagai pegangan secara fitrah. Jika para sasterawan wanita Indonesia berlumba-lumba ingin kembali ke zaman Jahiliah, maka para sasterawan wanita Malaysia pula berusaha melakukan perubahan dalam konteks yang dibenarkan oleh konsep ilmu yang benar dan sandaran kepada taklif. Mereka lebih beradab, oleh itu jika mereka masih mahu menggunakan feminisme untuk melahirkan perubahan yang mereka ingini, maka cadangan supaya dijana feminisme beradab itu cocok dan wajar sekali dilakukan oleh penulis wanita Malaysia.

Setelah anda memahaminya secara lengkap, terutama dalam konteks konsep ilmu yang benar berasaskan ajaran tauhid itu, maka anda akan dapat melihat dunia dari perspektif yang jelas, dengan itu menolak segala bentuk karya yang menghina agama atau yang dengan sengaja menentang agama seperti novel Saman itu. Anda akan membawa semua pelajar anda, terutama sekali semua wanita ke jalan selamat dan beradab sopan yang tinggi, tidak lagi tak tentu arah seperti yang dikonsepsikan dalam feminisme Barat yang matlamatnya mahu memberontak dan menafikan hak kaum lelaki sambil membesar-besarkan kononnya hak wanita yang tertindas di dalam sitem patriaki yang dikuasai lelaki.  Sekarang anda akan jadi lebih cerdik untuk menerima peranan lelaki dan peranan anda sendiri sebagai wanita, yang saling memerlukan, dan kemuncak dari saling memerlukan itu ialah membina keluarga bahagia dan mendidik anak-anak untuk menjadi manusia beriman dan bertakwa. Jika anda fikir feminisme beradab boleh melakukan  perkara ini, boleh mencapai matlamat ini, maka teruskanlah membina feminisme beradab itu. Tetapi dalam Islam feminisme seperti yang dihuraikan oleh Dr. Norhayati dalam bukunya tidak diperlukan, kerana semua jenis ilmu untuk keperluan manusia sudah dibakukan dalam tamadun Islam. Tinggal hanya mengenalnya dan mengambil faedah daripadanya. Itulah yang tidak dilakukan oleh kebanyakan para pengikut faham feminisme yang ada di Malaysia, yang mengheret mereka ke jurang kesesatan ilmu, yang akhirnya merosakkan akidah mereka sebagai penganut Islam. Orang yang  cerdik dan sayangkan agamanya tidak berasa bangga menjadi pengkhianat nilai-nilai agamanya hanya untuk mendapat kebebasan melakukan kejahatan seperti yang ditonjolkan dalam karya Indonesia yang mendapat sanjungan Dr. Norhayati Ab. Rahman dalam bukunya.

A. Samad Said, ketika ditegur oleh Shahnon Ahmad tentang realisme magis, dengan sinis berkata begini: “Seboleh-bolehnya saya juga tidak mahu masuk neraka kerana Realisme Magis.” Siapakah di antara penganut feminisme di Malaysia, di kalangan sasterawan atau sarjana, yang berani berkata, “Soal syurga dan neraka ini tidak relevan, kedengaran begitu aneh dan melucukan bagi penganut feminisme”.  Walaupun terdapat beberapa bahagian yang melucukan dalam buku ini dan dalam feminisme, namun masuk neraka bukanlah perkara yang melucukan.   Wallahu a’lam.


Mohd. Affandi Hassan,
10 Oktober 2012.

3 comments:

  1. Salam Tn Hj Affandi, ada sebuah lagi buku feminisme; Wanita Dalam Karya Hamzah Hussain hasil tulisan Dr Membunga@Siti Meriam Yacoob. Sudi Tn Hj beri sedikit komentar.

    ReplyDelete
  2. Salam sdr. Anonymous.

    Terima kasih atas maklumat itu. Buku itu ada disenaraikan dalam buku Dr. Norhayati. Kalau sdr. sudah baca, komenlah sikit.

    Feminis (perempuan atau lelaki yang minat feminisme) yang berbicara tentang watak wanita dalam karya sasterawan lelaki tidak sama dengan feminis (perempuan) yang berbicara tentang watak wanita dalam karya sasterawan wanita. Mengapa mesti ada diskriminasi perlu dijelaskan sendiri oleh para feminis. Tak boleh cakap, tak ada autoriti.

    Bagi saya feminisme adalah salah satu tanda dekatnya kiamat, satu kutukan Allah Ta'ala ke atas manusia yang sengaja memesongkan fitrah manusia. Itulah saya amat hairan, dan sungguh terkilan, macam mana benda ini jadi rebutan sarjana Melayu, disuruh pula bincang di kelas dan bilik kuliah, mengajar anak dara kita jadi jahat dan berasa senang dengan kejahatan. Tidakkah itu satu kutukan? Ibu bapa cuba mendidik anak perempuan mereka jadi baik, para feminis pula mengajar budak-budak perempuan ini jadi jahat dan berasa senang dengan kejahatan. Boleh pula perkara ini dibiarkan oleh Kerajaan!!

    ReplyDelete
  3. salam tuan.. maaf jika soalan ini agak kebudakkan, jika feminisme ni xwajar diaplikasikan, jadi teori apa yang dapat menggantikan teori tersebut? yang dapat berbicara tentang wanita kepada wanita..

    ReplyDelete