Ada orang
tidak suka saya kutip pandangan Dr. Faisal Tehrani aka Faisal Musa: “Jika
diperhalus, gagasan ini memperlihatkan beberapa percanggahan yang memerlukan
pembaikan.” Tanya mereka, Adakah saudara
akan menjawab tuduhan Dr. Faisal Tehrani?
Kata saya: Adakah itu masalah saya?
Teman itu tidak puas hati: Dia memperkecil usaha saudara, tidak
tersinggung? Saya hanya tertawa kecil.
Lalu kata saya: Dalam hidup ini, kalau kita tidak boleh ditegur, kita tidak
termasuk orang yang pintar. Itu pandangan dia, jadi dia harus selesaikan, bukan
saya. Bukan masalah saya. Teman itu
nampak kecewa seolah-olah saya menyerah kalah. Lalu katanya lagi: Budak itu
akan naik tocang, orang sehebat saudara boleh ditempelak begitu saja. Saudara
mesti jawab.
Sebenarnya
tidak ada apa-apa yang perlu dijawab. Selain komen itu bersifat umum, pandangan
itu bukanlah satu tempelak, hanya satu cadangan, yang jika dilakukan, mungkin boleh
membaiki lagi PB. Jika tidak dilakukan pun tidak menjejaskan kedudukan PB yang
boleh berfungsi dengan memuaskan dalam keadaan adanya “percanggahan” itu, jika betul ada, yang saya kira tidak fatal.
Dalam hal ini, Prof. Ungku Maimunah telah melakukan beberapa pembaikan, hanya
beliau tidak menyatakannya begitu, sebagai seorang ahli akademik yang matang
dan berpengalaman serta tidak mahu mencari sensasi yang tidak perlu. Contohnya, beliau memperkenalkan konsep ruang
naratif, yang bagi saya banyak membantu penulis dan pengkritik sastera memahami
dengan lebih mudah konsep wacana dan cerita dalam PB. Ada lagi beberapa pembaikan yang dilakukan
beliau, misalnya membezakan mod bacaan intelektual dan mod bacaan cerita, satu
perbezaan yang sangat berguna untuk melihat dengan lebih jelas konsep wacana
dan cerita dalam PB, dan bagaimana kedua-duanya berfungsi dalam membina karya
berkenaan. Sesebuah karya yang memerlukan dibaca dalam mod bacaan intelektual
memberi isyarat karya itu adalah karya persuratan yang mementingkan ilmu;
manakala mod bacaan cerita pula memberi isyarat keterbatasan mod bacaan itu
yang tidak dapat menyerlahkan permainan wacana di dalamnya sebagai sebuah karya
sastera biasa. Melalui mod bacaan intelektual,
kaitannya dengan cerita boleh dilihat dengan jelas dalam konteks keutamaan
wacana di atas cerita. Pada waktu ini hanya mod bacaan cerita saja yang
digunakan, oleh itu penilaian sesebuah karya tidak terarah kepada pemikiran
yang ada di dalam karya itu, sebaliknya lebih terarah kepada cerita dan segala
alat untuk membina cerita. Perbezaan ini penting, kerana pembacaan melalui mod
bacaan cerita akan memberikan penilaian yang berbeza sekiranya karya yang sama
dibaca dalam mod bacaan intelektual, ertinya jika karya itu dinilai dari
perspektif PB. Saya selalu berkata,
sebuah novel seperti Salina, jika
dibaca dalam mod bacaan cerita, akan menyerlah sebagai sebuah cerita (walaupun
ceritanya biasa, kerana cerita tentang pelacur
memang kerap dikemukakan dalam sastera Melayu); tetapi sebaik saja anda
membacanya dalam mod bacaan intelektual, anda akan mendapat penilaian yang
berbeza sama sekali. Menurut pandangan saya, novel itu sebenarnya sebuah novel
picisan sahaja. Sekarang anda ada dua jenis bacaan: mana satukah yang lebih
tepat digunakan untuk menentukan kualiti sebenar novel itu? Apakah maksud
kualiti sebenar itu? Apakah ukuran yang dipakai? Adakah ukuran itu boleh diuji
ketepatannya dalam membuat penilaian? Maksudnya, jika ukuran itu dipakai, karya
itu sendiri akan menyerlah sebagai
sebuah karya yang bermutu, atau sebaliknya. Persoalan ini sangat kontroversial
dalam kritikan sastera Melayu, dan ini menjadi salah satu sebab mengapa PB
disangsikan dan tidak disukai. Seolah-olah anda sekarang dapat melihat, seperti
yang dilihat oleh budak dalam cerita dongeng itu, bahawa sang raja tidak
berpakaian sebenarnya!
Jadi
pandangan Dr. Faisal Tehrani aka Faisal Musa mungkin saja lebih menyerlahkan
keterbatasan fahaman Dr. Faisal Tehrani, atau menyerlahkan kewibawaan beliau
sebagai seorang peneliti sastera yang serius. Oleh itu beliau mempunyai dua
pilihan: terus berada dalam lingkungan PB dan melakukan perubahan dari dalam
seperti yang dilakukan oleh Prof. Ungku Maimunah dan lain-lain (termasuk Prof.
Madya Dr. Mohd. Zariat), atau terus keluar dari lingkungan itu dengan membina
“teori” beliau sendiri. Dalam sejarah pemikiran Islam, hal ini sering berlaku,
antaranya yang paling terkenal ialah Imam Ashaari memisahkan dirinya dari kumpulan
Muktazilah untuk membina faham Ahl Sunnah wal Jamaah. Siapa tahu Dr. Faisal
Tehrani akan sampai ke tahap itu, memandang faham Shiah yang didalaminya
meletakkan kebijaksanaan di atas ilmu, dengan itu PB akan kelihatan kerdil jika
dibandingkan dengan faham baru yang dipelopori Dr. Faisal Tehrani yang
mengutamakan kebijaksanaan itu. Ini hanya berupa beberapa kemungkinan yang akan
berlaku, sekiranya Dr. Faisal Tehrani berasa tidak selesa lagi berada dalam PB.
Tetapi perlukah beliau berada dalam PB? Saya fikir ini bukan masalah membuat
pilihan; sebaliknya ini adalah masalah cita-cita seseorang (yang dalam konteks
teksdealisme, menurut faham Dr. Mana Sikana) untuk membina individualismenya
yang tersendiri, tidak terikat kepada mana-mana faham kecuali faham yang
diminatinya. Oleh itu, sama ada Dr. Faisal Tehrani berada di dalam lingkungan
PB atau di luarnya, sastera Melayu akan beruntung kerana para ahli akademik
akan lebih tajam lagi daya analisisnya kerana mereka pun perlu membuat pilihan
masing-kasing secara kritis. Itulah barangkali jasa Dr. Faisal Tehrani dalam
membina kritikan sastera Melayu yang lebih mantap. Sambil tersenyum, saya
berkata kepada teman yang tidak puas hati itu: Ini semua hanya bisa terjadi
kerana wujudnya PB yang memberi pilihan kepada sesiapa juga yang mahu
mencabarnya atau menyokongnya. Insha Allah, dunia kritikan kita akan menjadi
lebih mencabar berkat kemunculan PB, yang mungkin saja mendorong seorang
peneliti sastera sepintar Dr. Faisal Tehrani aka Faisal Musa untuk mencari
jalannya sendiri yang lebih baik baginya. Wallahu
a’lam.
Mohd.
Affandi Hassan,
25/10/2012
Assalamualaikum Tuan Haji Mohd Affandi Hassan. Saya membaca pandangan Faisal Tehrani mengenai Persuratan Baru menerusi novelnya Perempuan Nan Bercinta http://wardahmunirah.blogspot.com/2012/05/perempuan-nan-bercinta-penerobosan.html. Saya juga tertanya-tanya reaksi PB selepas membaca novel dan pandangan beliau itu. Saya suka dengan penerimaan positif yang tuan kemukakan ini. Semoga dunia sastera akan mekar lestari apabila kritikan benar memainkan fungsinya.
ReplyDeleteTerima kasih.
Salam hormat.
Salam, Wardah Munirah.
ReplyDeleteTerima kasih di atas pandangan anda. Saya telah lihat ulasan novel. Bagus. Jelas dan bersahaja. Saya harap, Insha Allah, anda akan menjadi seorang ahli akademik terkemuka satu hari nanti. Bangsa kita perlukan orang cerdik seperti anda, yang cerdik dan tajam bahasanya, tetapi masih tetap seorang wanita Melayu yang santun. Terima kasih sekali lagi. Wassalam.
Insya-Allah, saya akan berusaha ke arah itu. Terima kasih atas doa yang baik daripada tuan dan terima kasih kerana membaca ulasan saya itu.
ReplyDelete