Thursday, October 4, 2012

SASTERA TIDAK PERLU ILMU, KARYA KREATIF TIDAK PERLUKAN PEMIKIRAN UNTUK BERNILAI TINGGI


Nampaknya saya perlu menyambung sedikit lagi tentang pembakuan ukuran dalam kritikan. Baru-baru ini saya ada terima maklumat yang mengatakan para sasterawan, sarjana sastera dan pengkritik sastera bersetuju mempertahankan kedudukan karya sastera sebagai pilihan terbaik untuk memajukan bangsa. Untuk itu, mereka bersetuju bahawa karya kreatif tidak perlu menonjolkan apa-apa bentuk “pemikiran” dalam apa juga bentuk tulisan kreatif. Aspek “pemikiran” ini, kata mereka, menimbulkan masalah dalam penulisan kreatif setelah gagasan Persuratan Baru menjadikan “pemikiran” ukuran terpenting dalam menentukan kualiti sesebuah karya. Kata kumpulan ini, perbahasan tentang kedudukan “pemikiran” dalam karya kreatif tidak wajar dibesar-besarkan, tidak perlu dijadikan isu dalam penilaian sesebuah karya, dan tidak seharusnya ditekankan atau dijadikan prinsip penting dalam penulisan karya kreatif. Mereka berpendapat, jika gagasan Persuratan Baru ingin menjadikan “pemikiran” ukuran utama dalam menentukan bernilai tidaknya sesebuah karya, maka para sasterawan harus membiarkan kumpulan ini memuntahkan sebanyak mana yang mereka mahu apa-apa juga bentuk “pemikiran” yang mereka anggap diperlukan dalam sesebuah karya kreatif. Para sasterawan menolak prinsip ini, oleh itu mereka menolak secara tuntas gagasan Persuratan Baru yang mereka anggap menyusahkan para penulis yang ingin menjadi sasterawan. Dengan menolak peranan “pemikiran” dalam karya kreatif, maka kedudukan ilmu tidak lagi relevan dalam kesusasteraan seperti yang ditekankan oleh gagasan Persuratan Baru.  Dengan demikian, kata mereka, tidak perlu lagi diadakan kategori baru “karya persuratan” kerana karya sastera boleh berdiri sendiri mempertahankan kewujudannya dengan menolak kategori baru “karya persuratan” kerana tidak berfaedah dilihat dari perspektif kreativiti yang mementingkan daya kreatif, bukan daya berfikir seperti yang ditekankan dalam karya persuratan.  Dalam konteks ini, perlu diamati dan diambil peringatan bahawa kemampuan daya berfikir akan membantu kemampuan kreatif seseorang penulis; oleh itu amat penting difahami perbezaan antara konsep ilmu dengan maklumat. Jika dua perkara ini dikelirukan, anda akan keliru dalam pemahaman anda tentang konsep ilmu; dan ini akan memberi kesan negatif kepada kemampuan kreatif anda. Sebagai contoh, cuba analisis dengan cermat bagaimana dua perkara ini memberi kesan negatif kepada sebuah karya seperti novel Ranjau Sepanjang Jalan yang gagal dari segi pengolahan idea, lemah dari segi perwatakan, dan keliru dari segi kefahaman konsep tauhid walaupun dalam novel itu seringkali diulang ungkapan “Allah ‘Azza wa Jalla”.  Kegagalan Ranjau Sepanjang Jalan bukan kerana ceritanya tidak ada, tetapi kerana cerita itu terlalu disensasikan untuk mendapat kesan tragedi, yang memang bertentangan dengan worldview Islam.  Kerana keliru tentang konsep ilmu dan makna tauhid dalam worldview Islam, maka perwatakan dalam novel ini sangat lemah, dengan watak-watak bodoh yang fatalis seolah-olah mereka penganut agama Hindu-Buddha. Dilihat dalam konteks ini, pujian Panel Anugerah Sastera Negara dalam laporan mereka hanya sejenis pembinaan mitos palsu, bukan berasaskan kefahaman tentang konsep ilmu yang benar dalam Islam.  Perhatikan bagaimana “cemerlangnya” kekeliruan kognitif (cognitive dissonance) yang terdapat dalam novel ini, seolah-olah kita mendapat kesan novel ini ditulis untuk menghina Islam.  Orang Islam yang tahu agamanya tidak bodoh dan fatalis seperti watak-watak di dalam novel picisan ini.  Jika anda fahami hujah ini dalam konteks worldview Islam (yang memang cuba diberi penekanan di dalam novel ini), maka anda akan mengerti mengapa novel ini hanya sebuah novel picisan, bukan sebuah karya besar seperti yang dianggap selama ini. Jika anda belum yakin, lihat pula penghujahan ini dalam konteks stylization of ideas, anda akan dapat melihat betapa tepatnya novel ini dikategorikan sebagai sebuah novel picisan.

Itulah pendirian para sasterawan dan sarjana serta pengkritik sastera tentang “masalah ilmu” dalam penulisan kreatif.  Menarik juga “pendirian baru” ini, jika pendirian ini baru disedari oleh para sasterawan dan sarjana sastera. Bolehkah kita berkata mereka (sasterawan, sarjana) telah mengaku kalah setelah gagal mengemukakan hujah mereka tentang aspek pemikiran ini? Nampaknya golongan ini telah mulai “hilang akal” setelah gagal menyekat kemaraan gagasan Persuratan Baru yang mereka lihat akan mengetepikan karya sastera sebagai  satu-satunya bentuk kreatif yang perlu diteruskan dan diberi galakan dan pengiktirafan secara rasmi oleh kerajaan dengan menggunakan karya sastera sebagai bahan bacaan penting di sekolah-sekolah dan sebagai subjek penting dalam peperiksaan.  Maksud ayat panjang ini mudah saja: beri galakan dan pengiktirafan kepada karya sastera, tidak kepada karya persuratan yang menurut mereka tidak wujud. Jika kita ingin mengusik mereka dengan agak serius, kita boleh bertanya mereka: Adakah mereka cuba menyekat kebebasan berfikir yang diiktiraf dalam Perlembagaan Malaysia?  Mereka sering menegaskan betapa pentingnya sasterawan diberi kebebasan. Mengapa pula mereka seolah-olah ingin menyekat kebebasan berfikir di kalangan penulis semata-mata kerana mereka tidak sukakan penulis tertentu dan idea yang dicetusnya. Perilaku begini tidak masuk akal sama sekali.

Saya kira pendirian dan sikap paling baik yang boleh diambil oleh para penentang gagasan Persuratan Baru ialah dengan mempelajari gagasan itu secara mendalam. Tambah sedikit ilmu sambil belajar menjadi dewasa dengan memberi peluang kepada kemampuan kognitif masing-masing untuk memahami dan jika perlu membahaskannya dengan objektif. Itu yang perlu dibuat, yang sebenarnya lebih senang daripada usaha sia-sia untuk menyekat kemaraan gagasan Persuratan Baru dalam persuratan Melayu.  Dalam hal ini persatuan penulis boleh membantu dengan memulai dialog ilmiah di antara ahli, para sasterawan sendiri, supaya kesedaran  tentang pentingnya ilmu dalam penulisan dibahaskan bersama. Cuma perlu diingat maksud ilmu di sini lebih kepada kemampuan berfikir secara teratur menggunakan maklumat yang diperolehi melalui pembacaan, kajian dan lain-lain sumber serta cara. Akhirnya melalui perbincangan ini para penulis akan dapat memahami dengan mendalam maksud dan makna stylization of ideas yang diperkenalkan oleh gagasan Persuratan Baru sebagai teknik yang boleh merangkum wacana dan cerita dalam satu kesatuan “makna dan keindahan estetik” yang seimbang. Maksud seimbang di sini boleh difahami jika kita lihat bagaimana dalam sebuah novel yang “gila cerita” akan hanyut di dalam cerita yang sengaja diperpanjangkan, padahal maknanya dalam konteks pemikiran terbengkalai, malah seringkali terlalu kacau. Sebagai contoh, lihat analisis Prof. Ungku Maimunah terhadap novel Salam Maria karya Fatimah Busu (termuat dalam Gagasan Persuratan Baru: Pengenalan dan Penerapan).  Jika anda seorang pembaca yang cekap, yang dapat menangkap “makna dan keindahan estetik” dengan cepat, anda akan dapati stylization of ideas adalah satu teknik yang berkesan untuk dipakai dalam penulisan, dan juga berkesan untuk membantu anda  memahami kecekapan seorang pengarang menyusun dan memberi makna karyanya.  Sebagai pembaca yang menguasai teknik stylization of ideas, anda akan dapat memberi penilaian anda dengan pantas dan tepat; anda juga akan mengerti mengapa saya masukkan Ranjau Sepanjang Jalan sebagai sebuah novel picisan, sama tarafnya dengan Salina yang mungkin anda sanjung. Anda juga akan mengerti mengapa Salam Maria sebuah novel sastera yang biasa saja, yang penuh dengan padding persis seperti seorang wanita yang berasa lebih aman dan meyakinkan jika menggunakan padding di tempat yang sesuai yang dia mahu tonjolkan.  Dalam novel Melayu banyak sekali padding ini, untuk memastikan novel itu panjang ceritanya dan barangkali lebih menarik, seperti yang anda dapat lihat dalam Salina, Interlok, Imam, Salam Maria dan lain-lain yang anda boleh pastikan sendiri dengan mudah. Inilah novel arus perdana yang mendapat pujian Panel Anugerah Sastera Negara. [Nota kecil: “Padding is unnecessary words or information used to make a piece of writing or a speech longer.” (Collins Cobuild English Dictionary)].

Dalam keadaan seperti ini, kita tiada pilihan lain melainkan mewujudkan pembakuan ukuran dalam kritikan berasaskan ukuran/kriteria yang bertunjangkan konsep ilmu yang benar dan hakikat insan sebagai pencipta karya yang dinilai,  dengan tidak mengetepikan hakikat karya yang dinilai (dalam konteks inilah wajarnya kategori karya persuratan, karya sastera dan karya picisan/lucah dikenalpasti kerana masing-masing mempunyai ciri tersendiri yang mesti diambilkira dalam penilaian).  Dalam praktik sekarang, pembahagian karya tidak diambilkira, oleh itu semuanya disetarafkan kedudukannya, suatu keadaan yang amat mengelirukan. Akibatnya laporan yang disediakan oleh Panel Anugerah Sastera Negara menjadikan karya picisan dan lucah sebagai antara karya yang layak dinilai begitu saja (yakni tidak kritis) sebagai sebahagian daripada jumlah karya seseorang sasterawan tanpa menilai kualitinya.  Tidak pula dijelaskan sejauh mana karya picisan dan lucah ini memberi sumbangan kepada kedudukan seseorang sasterawan yang dinilai; oleh itu kerana tidak adanya penjelasan penting ini, seseorang yang diangkat menjadi sasterawan negara dikira telah menghasilkan karya yang bermutu semuanya, walaupun mungkin lebih dari separuh jumlah karya itu picisan atau lucah. Orang seperti Shahnon Ahmad yang juga menduduki Panel Anugerah Sastera Negara menganggap inilah sebahagian daripada karya yang menurutnya menunjukkan “kematangan” seseorang sasterawan, kerana karya begini menunjukkan anekaragam karya si sasterawan yang dikaut daripada pengalaman hidupnya yang luas. (Baca betul-betul tulisan Shahnon Ahmad yang penting ini dalam Dewan Sastera, September 2012).

Dalam keadaan begini, bolehkah kita bertanya soalan yang agak nakal ini: Adakah semua sasterawan negara setaraf, atau terdapat sasterawan negara yang lebih tinggi darjatnya daripada yang lain? Satu lagi soalan yang sama nakalnya yang penting ditanya dan perlu dijawab: Benarkah semua karya sasterawan negara bernilai tinggi?  Tujuan soalan ini ialah untuk mengenalpasti karya-karya yang tidak bernilai atau yang picisan/lucah.  Soalan-soalan ini boleh menentukan “kematangan” seseorng sasterawan negara sebelum dan selepas dilantik menjadi sasterawan negara.  Tujuannya supaya kita dapat menilai “kematangan” seseorang sasterawan negara, sesuai dengan kedudukan mereka yang tinggi yang boleh dijadikan ukuran dalam kita menentukan kemajuan yang kita capai, sejauh mana sudah meningkat setelah institusi sasterawan negara diwujudkan, juga adakah mereka menunjukkan kemajuan berkarya yang semakin tinggi kualitinya. Kalau kita tidak berhati-hati melihat perkembangan para sasterawan negara ini, kita akan ditipu mereka supaya percaya semua karya mereka pasca sasterawan negara adalah bernilai tinggi, padahal andaian dan anggapan ini tidak betul. Bagaimana kita boleh tahu tidak betul? Itulah pentingnya pembakuan ukuran, yang perlu dikenakan kepada semua sasterawan negara dan yang bukan sasterawan negara, sebelum dan selepas mereka dilantik menjadi sasterawan negara. Kita mesti tahu siapa yang kita nilai, apa yang kita nilai, dan ukuran apa yang kita pakai. Semua laporan Panel Anugerah Sastera Negara tidak memberi apa-apa isyarat tentang perkara ini, oleh itu mereka juga perlu dinilai dengan kritis untuk memastikan mereka memberi sumbangan bermakna dalam perkembangan kritikan sastera di Malaysia.  Kita mahu kepastian dalam penilaian yang kita lakukan, dan tidak boleh terima kekeliruan yang ada sekarang berterusan dalam kritikan sastera di negara kita.

Mohd. Affandi Hassan,
4 Oktober 2012.


1 comment:

  1. Benar,tanpa wujudnya 'tolok ukuran diiktiraf syarak',kebebasan yang melanggar hukum-hakam yang prinsip menjadikan karya dihasilkan cuma untuk kepuasan diri penulis itu semata-mata,
    Maka wajarlah kritikan menjadi elemen penting menentukan ketinggian akal dan budi pengarang dan pengisian karyanya.
    Jika mereka terus mengambil sikap 'penolakan' terhadap apa juga idea baik yang dikemukakan oleh pihak yang mempertikai,malah berdasar hujahan yang terang di mana kelemahan dalam sesebuah karya,yakinlah kita sikap yang demikian sangat bertentangan dengan tuntutan kebaikan yang diajarkan oleh agamanya.
    Jadilah segala perit jerih,tenaga masa yang disediakan dan dikorbankan untuk dunia penulisannya itu cuma percuma sahaja.
    Tentulah itu bukanlah hasrat setiap insan yang peka dengan beban 'amanah' Tuhan supaya kita melaksanakan sebaik-baiknya dalam kehidupan di dunia ini.
    Kesungguhan tuan haji adalah usaha memartabatkan pemikiran pembaca.
    Pilihan dibuat, itulah petunjuk keinginan berada dalam diri.
    Pertembungan pemikiran dan memilih yang benar itu menentukan ke mana kita akhirnya.
    Salam semua.

    ReplyDelete