Monday, October 1, 2012

POSTING TERAKHIR ...


Posting bertarikh 29/9/2012 adalah yang terakhir untuk blog Persuratan Baru. Saya mempunyai beberapa pilihan:

1.         Memberhentikan/menutup terus blog ini.

2.     Atau: Menyemak semula tiap-tiap satu entri,  menyusunnya dalam bab-bab tertentu, kemudian menyiarkan bab yang sudah selesai ditulis dalam blog ini. Akhirnya, sedia   untuk dicetak oleh sesiapa yang berminat; sebaiknya ITBM atau DBP, jika tidak pun penerbit  di universiti.

3.         Atau: Membuka blog ini kepada para penulis yang berminat. Formatnya begini: Saya   tulis satu tajuk (atau anda sendiri boleh mulai); anda respon sama ada menyokong atau mengkritik; pembaca lain ikut serta berbincang. Kita wujudkan dialog bersifat     intelektual dan akademik membahaskan sesuatu tajuk pilihan.  Tetapi ada sedikit   masalah:  Penyumbang tidak dibayar, dan ini agak merugikan kerana sekarang         wang adalah    segalanya. Jarang orang ingin mewakafkan idea/pendapatnya begitu  saja. Tetapi ini  boleh diatasi begini: Editor majalah atau akhbar yang berminat     boleh   menyiarkannya semula dan membayar penulisnya.  Sebaiknya Dewan Sastera  melakukannya atau memulainya.  Ini suatu kegiatan yang baru, yang memerlukan  keputusan yang perlu difikirkan dengan betul-betul masak supaya tidak  merugikan  pihak berkenaan.  
     
Itulah pilihan yang terfikir oleh saya. Mungkin pilihan kedua itu bagus juga, walaupun memakan masa untuk menyediakan bahan. Kita akan lihat nanti perlu/boleh tidak diusahakan.

Impian saya pilihan 3 itu. Tetapi ini hanya akan terjadi 100 tahun akan datang, itu pun belum pasti.  Jika betul ramalan saya, Alhamdulillah, tugas itu akan dibuat oleh seseorang di masa depan, itu pun jika orang itu sudah muncul dalam masa 100 tahun ini.

Mohon maaf daripada pembaca yang tersinggung (sedikit atau banyak) membaca tulisan saya.  Terima kasih di atas sokongan, teguran, kritikan. 

Rasanya saya telah menghujahkan pendirian saya agak mencukupi untuk disanggah atau dibahaskan dengan kritis oleh sesiapa juga yang berminat dalam pemikiran tentang persuratan mahupun kesusasteraan, baik dari segi akademik mahu pun dari segi kreatif. Persoalan pembakuan ukuran dalam kritikan adalah penting, tetapi nampaknya tidak diberi perhatian sepatutnya.  Saya harap ada di antara sarjana, pengkritik, dan sasterawan yang berminat dalam persoalan pembakuan ukuran ini, dan bersedia untuk membincangkannya secara akademik. Pembakuan ukuran tidak bererti menyempitkan ukuran yang boleh digunakan, malah sebaliknya menentukan standard yang perlu dicapai dan proses mencapainya. Anda tidak perlu bersetuju dengan saya untuk membahaskannya secara ilmiah; malah penentangan anda mungkin lebih baik jika tujuannya untuk mencari kebenaran supaya kita dapat membina persuratan Melayu moden dengan cemerlang, betul-betul cemeralang, bukan cemerlang yang dimitoskan, tetapi cemerlang berasaskan konsep ilmu yang benar.  Dalam konteks inilah pentingnya pembakuan ukuran ini. Ukuran yang dipakai seharusnya bertujuan untuk mencapai kecemerlangan kreatif (dan akademik) yang tidak dapat diragukan, seperti yang terjadi sekiranya “kecemerlangan” itu hanya dari segi mitos yang diada-adakan, bukan yang asli berada di dalam karya. Wallahu a’lam.

Mohd. Affandi Hassan

1 Oktober 2012.

4 comments:

  1. Assalamualaikum wrt. wkt.

    Tn. Hj. Mohd Affandi YTH.

    Pada kesempatan ini saya ingin menyatakan pandangan saya tentang tulisan Tn. Hj. untuk 'posting' ini. Saya amat bersetuju dengan pilihan kedua dan ketiga. Meskipun ia memerlukan usaha yang serius bagi menjayakannya, inshaAllah dengan kerjasama para pembaca blog ini, kedua-dua pilihan tersebut boleh direalisasikan. Dalam masa yang sama, saya berharap agar pilihan pertama tidak menjadi pilihan Tn. Hj. Secara peribadi, saya berpendapat bahawa penutupan blog ini akan merugikan banyak pihak. Saya sendiri banyak belajar daripada tulisan Tn. Hj. dalam blog ini. Saya dan ramai lagi golongan muda masih memerlukan perkongsian ilmu dan pengalaman Tn. Hj. Sebelum ini pun, banyak tulisan Tn. Hj. menjadi perbincangan golongan muda khususnya dalam ruangan 'facebook'. Sesungguhnya dalam banyak keadaan, kritikan itu mematangkan dan mencerdikkan bagi mereka yang sentiasa memandang keduanya dari sudut pandang yang positif.

    BarakaLlahu fikum. Wa al-salam 'alaykum.

    ReplyDelete
  2. Anakanda Shahrizal,

    Terima kasih atas pandangan. Mungkin ada sedikit perubahan untuk disesuaikan dengan projek saya yang agak lama terbengkalai. Mungkin saya akan isi blog sebulan sekali, dua bulan atau tiga bulan sekali, bergantung kepada keadaan. Formatnya mungkin berbeza daripada yang biasa, agaknya akan lebih berat perbahasannya. Belum pasti lagi. Jika format sekarang lebih selesa diterima pembaca, mungkin akan diteruskan; diisi dengan yang lebih berat sekali sekala yang sesuai. Dalam pada itu, saya berharap akan muncul format baru, dengan adanya dialog seperti cadangan 3. Terima kasih banyak atas pandangan. Selamat Pengantin Baru!!

    ReplyDelete
  3. Alhamdulillah, syukur pada Allah. Terima kasih ayahanda Tn. Hj. Affandi atas respon yang baik ini. Semoga usaha baik ayahanda Tn. Hj. akan terus diberkati-Nya. InshaAllah, saya dan kawan-kawan juga akan ikut serta secara lebih aktif dalam format yang baru nanti, agar lebih nampak suasana diskusi yang dapat memberi manfaat kepada banyak pihak. Semoga Allah melancarkan urusan ayahanda Tn. Hj. berkaitan projek tersebut. Terima kasih atas ucapan yang diberikan. BarakaLlahu fikum wa ahlikum.

    ReplyDelete
  4. as salam,
    berharap dapat dibukukan. terima kasih.

    ReplyDelete