Posting
bertarikh 1/11/2012 dan 15/11/2012 membuktikan betapa kuatnya cengkaman budaya
pandirisme dalam kesusasteraan Melayu, khususnya dalam bidang akademik dan kritikan
sastera. Sejauh mana pengaruh cengkaman
budaya pandirisme itu bertapak dalam kritikan sastera Malaysia? Barangkali
pertanyaan ini boleh digunakan untuk membaca sebuah buku terbaru terbitan Dewan
Bahasan Pustaka, Pemikiran Sasterawan
Negara Shahnon Ahmad (2012, jumlah halaman 529+ prakata dan pengenalan oleh
Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh mulai hal. ix-xxiii). Buku ini penting kerana pengenalannya
diberikan oleh seorang tokoh akademik yang telah dianugerahkan gelaran Tokoh
Akademik Negara, di samping gelaran Sasterawan Negara. Pengenalan beliau
menjadi sangat bermakna jika dilihat dari beberapa saranan besar beliau tentang
mutu akademik dalam kritikan sastera dan juga di kalangan para sarjana. Saya
telah mengulas perkara ini agak panjang dalam tulisan saya yang dimuat dalam Kedudukan Ilmu Dalam Kesusasteraan: Teori
dan Praktik (UKM, 2010; diselegaggarakan oleh Prof. Ungku Maimunah Mohd.
Tahir). Untuk pengetahuan pembaca yang tidak membaca buku itu, saya akan ulang
pendapat Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh yang perlu diberi perhatian serius untuk
kemajuan akademik dalam kritikan sastera Malaysia.
Dalam
pengenalannya kepada buku tentang Shahnon Ahmad itu, Prof. Dr. Muhammad Hj.
Salleh hanya bercerita tentang
“keunggulan” sasterawan itu, tetapi tidak memberikan pandangan kritis beliau
berasaskan analisis dan penilaian yang konkrit, bukan hanya meluahkan semula
pendapat penulis kertas kerja yang ramai itu. Sekarang kita lihat apa yang
“cuba diingini” (frasa ini sumbang, tetapi sesuai sebagai gaya retorik) oleh beliau, tetapi tidak
mungkin terlaksana kerana keterbatasan beliau sendiri sebagai seorang ahli
akademik yang bukan luar biasa seperti misalnya seorang Sutan Takdir Ali
Sjahbana, atau kerana beliau begitu terbelenggu dengan klise yang kini
dijadikan pendapat arus perdana dalam kritikan sastera Melayu, dengan naungan
dan sokongan Panel Anugerah Sastera Negara, yang Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh
dan Prof. Emeritus Shahnon Ahmad sendiri sudah berkali-kali menjadi anggotanya. Kedua-dua mereka bukanlah tokoh akademik luar
biasa seperti luar biasanya Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas sebagai
mahaguru dan seorang ahli akademik yang teliti dan amat perceptive, yang meletakkan standard yang tinggi dalam bidang
akademik untuk dirinya dan para murid beliau (lihat sebagai contoh buku
Adab dan Peradaban: Karya Peng’tirafan untuk Syed Muhammad Naquib al-Attas, 2012). Tetapi kedua-duanya amat popular sebagai tokoh
popular, bukan sebagai tokoh yang benar-benar tokoh seperti seorang Sutan
Takdir Ali Sjahbana atau Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas. Maka itulah buku terbaru tentang Shahnon
Ahmad ini ditulis secara popular dalam bentuk cerita akademik, sesuai dengan corak kritikan cerita yang amat popular di kalangan ahli akademik
Malaysia, tetapi tetap cerita kerana kekeringan analisis yang mendalam yang
akan benar-benar menonjolkan ketokohan beliau seperti yang berlaku terhadap
Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam buku yang disebutkan itu.
Prof. Dr.
Muhamad Salleh yang menulis pengenalan kepada buku Shahnon Ahmad ini nampaknya
telah mengkhianati hasrat hati beliau sendiri yang diucapkannya dalam satu
pertemuan penting yang membicarakan kritikan sastera Nusantara. Antara lain
kata beliau: “... [S]udah puluhan tahun kita menggunakan teori yang muncul di Barat
untuk menilai diri kita yang bukan Barat, sebaliknya dibentuk oleh bahasa
Melayu dengan wataknya yang khusus pula. Jadi kita sudah lama melakukan
kesalahan dalam menilai karya kita, kadang-kadang termasuk saya sendiri”.
(Dalam Teori dan Kritikan Sastera Melayu
Serantau (DBP, 2005); dalam ucap utama beliau yang panjang). Kalau sudah sedar menggunakan teori Barat itu
satu kesalahan, mengapa diteruskan dengan leluasa dalam membicarakan karya
Shahnon Ahmad, dengan direstui oleh Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh sendiri?
Tidak sepatah pun disebut ole Tokoh Akademik Negara ini mengenai perkara ini,
dengan itu kita dapat membuat kesimpulan mudah bahawa beliau hanya melontarkan
saja pendpat itu, tetapi tidak mempercayainya.
Dia tahu, tanpa teori Barat karya beliau sendiri tidak dapat dibicarakan
dengan megah, seperti yang kita lihat dalam buku tentang beliau, Critical Perspectives on Muhammad Haji
Salleh (ed. Zawiah Yahya, DBP 2003). Apakah maksud dan matlamat Prof. Dr.
Muhammad Hj. Salleh mengucapkan ucapan keprofesorannya
yang bersemangat itu? Hanya untuk bermuka-muka, kononnya dia cukup sedar
akan “masalah” yang sebenarnya bukan masalah, tetapi menjadi masalah baginya
kerana dia telah “mengadakan” satu macam “teori” sastera yang dinamakannya
“Puitika Sastera Melayu”, yang diucapkannya dalam syarahan perdana, sebagai
satu sumbangan besar dalam bidang keilmuan sastera, tetapi tidak dipedulikan
oleh ahli akademik sendiri dan tidak digunakan dalam sebarang kajian sastera.
Dalam syarahan perdana itu pun dia hanya
bercerita tentang sastera Melayu lama, kayak seorang penglipur lara sesuai dengan
pengakuannya sendiri bahawa dia di dalam syarahan itu bersimpuh di depan tokoh “besar”
(?) penglipur lara yang bernama Pak Mahmud Awang Batil dari Negeri Indera
Kayangan! Saya tekankan perkara ini di
sini kerana pengenalan yang dibuat oleh Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh itu amat
mengecewakan, padahal dia telah diberi peluang yang begitu baik dan luas terbuka
untuk memperincikan pendapatnya yang saya kutip tadi. Biarlah kita peringatkan beliau bahawa
penggunaan teori Barat dalam sastera Melayu tidak dapat dielakkan, tidak ada
pilihan kecuali jika beliau mahu menggunakan Gagasan Persuratan Baru, satu-satunya
gagasan dalam kritikan sastera Melayu yang boleh dipanggil sebuah “teori”. Beliau juga diberi kesempatan untuk menyebut
Persuratan Baru sebagai seorang sarjana yang bergelar Tokoh Akademik Negara
yang mentereng itu, tetapi sebaliknya dia memperlihatkan sikap selekeh dari
segi akademik dengan maksud untuk memperlekehkan Persuratan Baru dengan
menyamakan Persuratan Baru dengan Persuratan Melayu, sama seperti yang
dilakukan oleh Panel Anugerah Sastera Negara dalam Laporan 2003.
Dengan hanya
memilih untuk bercerita, meluahkan kembali secara ringkas kertas kerja
tertentu, maka kritikan sastera Malaysia tidak dapat melonjakkan dirinya
daripada cengkaman budaya pandirisme
yang selesa berada di bawah bayangan teori Barat, walaupun sang profesor
mengatakan perbuatan itu satu kesalahan yang wajar diperbetulkan. Profesor ini amat
jelas memberi pandangan yang tidak
diyakininya. Nampaknya semua penulis kertas kerja menempelak beliau kerana
tidak seorang pun daripada mereka memperdulikan amaran beliau supaya meninggalkan
teori Barat kerana “kita yang dibentuk oleh bahasa Melayu dengan wataknya yang khusus” itu tidak wajar menggunakan teori Barat
“untuk menilai diri kita yang bukan Barat.”
Dari satu segi, pandangan Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh ada benarnya,
kerana dalam buku ini jelas sekali teori Barat telah gagal menyerlahkan
kehebatan Shahnon Ahmad sebagai pemikir dan penulis karya kreatif. Walaupun di
sana sini diperlihatkan bagaimana hebatnya Shahnon Ahmad “menulis” tentang berbagai
aspek kehidupan orang Melayu, tetapi yang dipilih oleh beliau bukanlah kumpulan
yang membentuk dan membina tamadun Melayu, sebaliknya segelintir watak biasa
yang dikuasai hawa nafsu dan amat cetek pula perwatakannya digambarkan oleh
pengarang ini. Apakah sebenarnya yang
dicari oleh sasterawan ini? Melalui karyanya, sangat jelas kegemarannya kepada
sensasi dan persoalan seks, kerana menurut beliau (secara jujur, mungkin) aspek
seks itu menjadi bumbu penting dalam penulisan kreatif (lihat Dewan Sastera, Oktober 1997). Antara lain kata Shahnon Ahmad: “... [U]nsur-unsur lucah itu perlu wujud
kerana itulah realiti pun, ... hanya dijadikan semacam umpan dalam babak-babak
kehidupan kini yang sememangnya serba lucah ...” (hal. 40). Dengan sikap itu, Shahnon Ahmad tidak
segan-segan lagi menjadikan unsur seks sebagai antara unsur utama dalam
karyanya dari dahulu hingga kini (contoh terbaik ialah TIVI yang dengan tidak bertanggungjawab dilontar olehnya sebagai
‘karya berunsur Islam yang mithali’ (Dewan
Sastera, Oktober 1997, “Shahnon Ahmad dan TIVI”). Tidak seorang pun penulis kertas kerja cuba menganalisis
persoalan ini, terutama sekali mengapa Shahnon Ahmad mengambil pendirian itu.
Pada hemat
saya, inilah bukti bahawa Shahnon Ahmad pada dasarnya seorang novelis Barat
yang menulis dalam bahasa Melayu. Konsep sasteranya adalah konsep sastera yang difahami
di Barat. Walaupun beliau dikatakan pernah membincangkan tentang sastera Islam,
tetapi dalam karyanya tentang Islam itu lebih sarat dengan babak-babak seks,
tidak langsung membicarakan persoalan Islam secara mendalam. Aspek ini sebenarnya
menarik untuk diperkembangkan dalam “teori sastera Islam” bikinan Shahnon Ahmad,
kerana peranan seks dalam agama Hindu, sebagai perbandingan, muncul dengan mewah
dalam arca dan candi yang khusus memperaga kemewahan seks dengan aneka ragam aksinya
dalam kehidupan manusia. Jika Shahnon Ahmad
meneruskan usahanya dalam “teori sastera seks Islam”, maka kita akan mendapat satu
bentuk pemikiran yang mungkin original dan berani, yang menjadikan karya lucah beliau,
TIVI, sebagai kemuncak karya Islam versi
Shahnon Ahmad yang menurutnya berunsur sufistik dan layak diletakkan sebagai “karya
Islam mithali” (lihat penegasan beliau dalam Dewan Sastera, Oktober 1997). Memang itulah sifat dan ciri karya
Shahnon Ahmad, iaitu menyentuh secara popular dan ringan segala persoalan
masyarakat yang dilihatnya dalam akhbar dan TV untuk dijadikan bahan novel dan
cerita pendeknya dengan menjadikan unsur seks sebagai unsur penting. Kerana itu
karyanya tidak membicarakan sesuatu persoalan secara mendalam, tetapi hanya
menyentuh sipi-sipi sekadar untuk menunjukkan beliau kononnya prihatin kepada
persoalan itu. Boleh dikatakan semua penulis kertas kerja, dan terutama sekali
Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh, terpedaya dengan cara Shahnon Ahmad ini, oleh
itu mereka dengan ghairah mengisytiharkan bahawa Shahnon Ahmad adalah “pemikir”
yang handalan, padahal tidak sebuah pun novelnya yang ditulis dan diterbitkan, membentangkan
dengan meyakinkan sesuatu persoalan dalam konteks pemikiran seperti yang
dimaksudkan dalam karya-karya Iqbal, malah dalam karya-karya Sutan Takdir Ali
Sjahbana sekalipun. Sebagai
perbandingan, tentang unsur seks ini, kita lihat pendapat Oakley Hall, seorang
novelis yang juga seorang pensyarah kreatif di University of California at
Irvine, dalam bukunya yang ditulis khas untuk rujukan para pelajarnya, The Art & Craft of Novel Writing,
1973), yang menyediakan satu bab khusus, bab yang diberi tajuk, “Information
and Sex” (hal. 128-138). Kata beliau: “[Sex] has become almost one of the
components of the novel, like plot, character, and setting; indeed sex is
inextricable from both plot and character. Plot turns on sexual tensions, and
sex is a useful method of presenting character” (hal. 133). Itulah pada
hakikatnya pendapat Shahnon Ahmad sendiri ketika mempertahankan TIVI, sebuah novel yang sarat dengan
adegan seks dan diberi status sebagai sebuah karya mithali dalam genre sastera
Islam versi beliau!. Pendeknya, seperti yang ditunjukkan dalam
kertas kerja dalam buku ini, setiap buah novel Shahnon Ahmad menjadikan seks
sebagai paksi naratif yang memenuhi ruang naratif cerita sensasi yang
dihidangnya. Baik novel politik mahu pun novel agama, paksi naratifnya adalah
unsur seks, kerana menurut Shahnon Ahmad seks dan kelucahan adalah realiti
masyarakat yang perlu dijadikan tema karya kreatif yang “bermutu”!
Siapakah
Shahnon Ahmad sebenarnya? Soalan ini penting apabila dikaitkan dengan
kesimpulan Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam syarahan pengukuhan beliau
(1972), yang mengkritik para sasterawan sebagai golongan pinggiran yang tidak
mendalam pengetahuannya tentang tradisi dan budaya Melayu dan cetek pula
pengetahuannya tentang tamadun Barat yang menjadi tempat pergantungannya, oleh
itu para sasterawan ini adalah kumpulan yang “cetek meraba-raba”. Adakah
Shahnon Ahmad termasuk ke dalam golongan ini? Jika tidak, mengapa beliau
dikecualikan? Soalan ini penting diberi
jawapan dan penjelasan untuk memastikan kedudukan Shahnon Ahmad sebagai
“pemikir” itu bukan sesuatu yang diada-adakan, sesuatu yang pada hakikatnya
bertentangan dengan kenyataan. Tidak
sebuah pun daripada tulisan yang terdapat dalam buku ini cuba memberi jawapan
kepada persoalan ini, malah bagi mereka ini tidak penting, dengan alasan Panel
Anugerah Sastera Negara telah menerima beliau sebagai seorang tokoh yang layak
menerima gelaran sasterawan negara. Tetapi jawapan kepada soalan itu amat
penting kerana dari jawapan itulah kita dapat membuktikan kedudukan Shahnon
Ahmad sebagai “pemikir”. Perkara ini menjadi
lebih penting lagi apabila dikatakan beliau seorang “pelopor” dalam penulisan
novel yang bercorak politik. Apakah
pemikiran politik beliau? Ada usaha untuk menunjukkan beliau seorang sasterawan
yang telah mentakrifkan dengan mendalam unsur kepemimpinan dalam politik Melayu.
Tetapi tidak ada pun sebarang bukti dikemukakan dalam mana-mana tulisan
mengenai beliau, meskipun kita diperlihatkan rangkain gambar rajah yang
bersimpang siur dalam tulisan seorang pakar Shahnon Ahmad, untuk kononnya
membuktikan Shahnon Ahmad seorang pemikir yang unggul dalam aspek kepemimpinan
politik Melayu ini.
Kesan saya
sendiri adalah berbeza. Semua rajah dan gambar yang bersimpang siur itu hanya
menceritakan betapa kelam-kabutnya penulis yang cuba menaikkan taraf Shahnon
Ahmad sebagai pemikir politik. Saya
rujuk di sini tulisan Prof. Emeritus Yusof Hasan yang sudah diterima sebagai
pakar ulung tentang pemikiran Shahnon Ahmad.
Dalam novelnya yang dikatakan bercorak politik itu, kita tidak mendapat
apa-apa imbasan tentang falsafah politik Shahnon Ahmad. Kita hanya mendapat
cerita mengenai kononnya para pemimpin politik yang korup, tamak, penipu dan
sebagainya. Persoalan paling penting di sini ialah, dalam sistem apa
orang-orang ini beroperasi? Adakah sistem itu bikinan baru atau lanjutan
daripada sistem lama? Apabila kita bertanyakan soalan-soalan ini, kita ingin
mendapat jawapan kepada satu soalan penting: Mengapa orang Melayu mendapat pemimpin seperti yang mereka dapat
sekarang? Apakah pengaruh yang menjadi sumber lahirnya para pemimpin yang
korup dan sebagainya itu? Adakah mereka terpengaruh dengan Dua Mitos Agung dalam politik Melayu? Semua ini tidak diberikan dalam mana-mana
novel Shahnon Ahmad yang dikatakan menjadi pelopor novel politik Melayu itu.
Semua ini mengarah ke arah pemitosan belaka, tidak diasaskan kepada analisis
mendalam dengan cukup pembuktian. “Analisis” yang pada umumnya cetek seperti
yang diberikan dalam beberapa kertas kerja tidak boleh diterima sebagai hujah,
kerana di situ memang tidak ada hujah kecuali cerita tentang kehebatan Shahnon Ahmad.
Dengan itu, adalah lebih wajar dan lebih tepat untuk kita membuat kesimpulan
bahawa Shahnon Ahmad bukanlah seorang pemikir, tetapi hanya seorang pencatat
biasa seperti seorang wartawan yang membuat catatan tentang peristiwa yang
berlaku. Itulah sifat karya sasterawan ini, dan ini membuktikan betapa tepatnya
pemerhatian Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam syarahan pengkukuhan beliau
itu.
Mohd.
Affandi Hassan,
19/11/2012.
No comments:
Post a Comment