Menurut gosip sastera, seseorang dikatakan
betul-betul meluat dengan Persuratan Baru yang menyekat kebebasannya untuk
meluahkan apa saja yang ingin dikatakannya, tidak dibenarkan kerana perbuatan
itu sia-sia dan mengelirukan. Akibatnya, jika dulu dia ada sedikit minat untuk
mendampingi PB, selepas timbul kesedaran yang menggelapkan pemikirannya itu,
dia jadi amat meluat. Kata gosip itu, dia seorang pelajar yang sedang
berusaha menulis tesis Ph. D. tentang sastera, kononnya menggunakan kerangka
PB. Dia dapati dia tidak dapat bergerak, terikat kaki-tangan macam seorang
tawanan intelektual yang dinafikan kebebasannya. Sekiranya dia mahu meneruskan
tesisnya, maka dia perlu menolak PB dan tidak akan menggunakannya bila-bila
sekali pun kerana terlalu merimaskan hatinya.
Itulah cerita yang disampaikan kepada saya.
Soalan
pertama yang muncul dalam otak saya: Adakah dia akan jadi sasau jika dia
teruskan juga? Tidak mungkin, kerana
seseorang yang menolak PB setelah menelaahnya, maka beliau itu seorang yang
kuat dari segi kemampuan intelektualnya, yang tidak akan tunduk kepada
kebenaran sekiranya konsep taklif yang dijadikan landasan PB itu sesuatu yang
benar. Anda boleh faham ayat ini? Baca
lagi sampai anda faham. Kalau bukan sesuatu yang benar dalam Islam, apakah yang
benar? Bila kita lihat lebih lanjut,
ternyata yang ditolak bukanlah PB, tetapi beberapa konsep penting dalam Islam
yang menghuraikan tentang manusia dan sifat-sifat ilmu yang boleh dikuasainya. Apabila seseorang menolak taklif, maka PB tidak
relevan lagi baginya. Betullah keputusannya. Apakah yang jadi pengganti taklif? Tidak ada, jika dia ingin berbicara tentang
manusia sama ada yang Islam mahu pun yang bukan Islam. Manusia yang hidup di depan matanya mahu pun
yang “hidup” dalam dunia khayal seorang sasterawan, yang Islam atau yang kafir.
Di sinilah masalah itu timbul, yang
membuatnya hampir menjadi nanar (moga-moga belum benar-benar gila).
Jika dia
meletakkan taklif itu untuk orang Islam saja, maka jelaslah dia telah menolak
Islam itu sendiri, jika dia seorang Islam.
Taklif adalah kunci untuk memahami manusia dalam semua aspek kehidupannya,
sama ada sebagai seorang yang beriman atau yang memilih untuk menjadi kafir.
Semua aspek, termasuk dalam penulisan kreatif dan dalam kritikan sastera. Tugas
seorang sarjana Islam ialah untuk memahamkan persoalan ini kepada semua
manusia, yang Islam dan yang bukan Islam. Mengapa aspek ini penting? Bagi orang
Islam, kesedaran tentang hakikat taklif akan membuatnya sedar diri bahawa dia
hamba Allah yang diberi dua tugas besar, iaitu menjadi hamba Allah dan khalifah
Nya di bumi. Menjadi hamba Allah itu, walaupun mudah, tetapi memerlukan
pengorbanan yang amat besar. Tidak lain tidak bukan maksud pengorbanan itu di
sini ialah kesediaannya memahami dan mematuhi konsep taklif dalam kehidupannya
sebagai manusia. Jika dia menolak taklif, maka bagaimana dia sanggup mendakwa
dirinya seorang Islam kerana Islamnya dia ditentukan oleh kedudukannya sebagai
manusia yang terikat kepada hakikat taklif? Adakah penghujahan ini
berpusing-pusing? Tidak. Yang berpusing-pusing ialah orang yang akan
menerimanya, kerana pada hakikatnya dia sudah meletakkan dirinya sebagai orang
yang tidak percaya (tidak beriman) walaupun dia mendakwa dirinya Islam.
Jadi punca
yang membuat manusia menjadi nanar dari perspktif intelektual ialah keengganan
untuk memahami dan menerima hakikat taklif ini.
Dunia intelektualnya menjadi gelap gelita sebaik saja dia meletakkan
dirinya menjadi hamba pemikiran dan teori Barat, bukan hamba Allah yang terikat
kepada hakikat taklif. Ini tidak bererti orang yang kukuh kepercayaannya kepada
taklif, yakni yang imannya tidak tergugat oleh sebarang pengaruh yang menentang
hakikat taklif tadi, akan dan perlu menolak semua yang datang dari Barat. Unta
yang dianggap bodoh pun tidak begitu, kerana masih menerima pemberian Barat
berupa bahan makanan dan ubatan keuntaannya. Apatah lagi manusia yang siuman
dan tahu menggunakan akalnya. Yang ditolak oleh orang-orang cerdik yang kukuh
pendirian taklifnya itu ialah keangkuhan manusia Barat yang meletakkan dirinya
sebagai sumber segala nilai; padahal dari perspektif taklif, nilai itu
ditentukan oleh Allah yang mencipta
manusia. Sebaik saja manusia meletakkan dirinya sebagai sumber nilai, maka dia
akan merosakkan dunia seluruhnya, termasuk dirinya sendiri. Dia akan melakukan
perbuatan fasad, sama ada disedarinya
atau tidak. Kalau anda seorang yang cerdik dalam konteks taklif ini, anda perlu
tahu perbuatan fasad itu tidak saja perbuatan zahir, tetapi juga perbuatan yang
bersifat kerohanian dan bersifat intelektual. Dari segi intelektual, anda telah
melakukan perbuatan fasad itu sekiranya anda terus degil mempertahankan bahawa
nilai adalah bikinan manusia, distrukturkan oleh cara pendidikan yang mereka
terima atau cara pentadbiran yang mereka amalkan. Inilah maksud kehilangan adab yang menjadi
teras falsafah pendidikan Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas. Jika anda berminat, anda perlu membaca karya
Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas, terutama sekali Islam and Secularism. Jika anda tidak berminat dan meremehkan saja pemikiran
beliau, maka anda akan terus berada dalam keadaan biadab dan keliru dalam
konsep ilmu. Kesimpulan ini agak keras, oleh itu anda perlu meneliti pemikiran
Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas dengan mendalam untuk mengelak dari
sebarang kekeliruan tentang konsep ilmu yang anda pegang yang membuat anda
hampir gila berada dalam kecelaruan kognitif (cognitive dissonance) sepanjang masa.
Jika anda
berasa anda tidak perlukan pemikiran orang lain untuk memahami konsep ilmu yang
benar itu (sebenarnya anda mungkin menggunakan pemikiran totok Barat yang
menggelapkan nurani anda), maka teruskanlah hanyut dalam kecelaruan kognitif yang anda
pilih dan berasa selesa berada di dalamnya. Anda tidak perlu berasa sepi atau
kekurangan apa-apa, kerana anda berada di bawah naungan Iblis, seperti yang
berlaku terhadap Faust yang menjadi tema agung Goethe, yang telah mengagumkan
Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh, si Sasterawan Negara yang menulis bahawa beliau
kagum dengan kepintaran Mephistopheles, Raja Iblis yang terkenal dalam sastera
Eropah itu. (Lihat Sebuah Unggun di Tepi Danau, hal. 5. Bunyinya: sepertimu
aku terlantar/ pada sungai takdir,/ sekali murung sebagai sarjana/ tetapi
sering bercermin kaca rusuh/ dan memihak pada pintar mephistopheles.). Adakah anda nampak apa-apa dalam cerita gosip
ini? Kebenaran
yang anda mahu tolak itu terjongol di depan mata anda, yang tidak lagi
kelihatan kepada anda kerana anda benar-benar sudah tidak siuman lagi! Itulah cabaran yang dilontarkan oleh PB
terhadap anda. Itulah ubat yang anda
perlukan.
Mohd.
Affandi Hassan,
Maal Hijrah
1434, bersamaan 15/11/2012
No comments:
Post a Comment